Sunday, April 29, 2012

Berani Punya Budak


Muka pompuan, suara macam jantan... nah! Amik kau!!
Aww... tu bukan suara aku lah. Tu suara Afdlin Shauki! Sial sangat!

Setelah menonton sedikit promo tentang filem ini dalam Jom Ke Panggung minggu lepas, aku memang terasa nak tengok. Ada seorang penonton yang di temubual ketika itu memberi komen “Mana ada dah orang yang buat stail alih suara macam ni, kan?“. Siap bagi 5 bintang lagi tu untuk filem ni. Nampaknya dia memang terhibur dan berwajah ceria masa itu. Aku tak ingat pula bab alih suara tatkala aku pergi menonton Berani Punya Budak Sabtu yang lalu. Walaupun mula-mula agak terpinga-pinga kerana tak dapat tangkap motif sebenar apa benda yang aku tengok ni, tapi lama-lama apabila sudah tersedar, barulah aku berjaya menikmatinya. Sungguh tidak masuk akal, merepek dan menggamatkan.

Rupa-rupanya ia versi Malaysia bagi Brave yang pernah Afdlin Shauki buat di Thailand dahulu. Aku tidak pasti sama ada jalan ceritanya masih dikekalkan atau tidak. Ok, ketepikan jalan cerita itu dulu. Aku hendak tahu skrip sebenar yang sepatutnya di sebut oleh pelakon-pelakon Siam itu memang sebijik ke sama seperti yang telah dialihsuarakan oleh si Afdlin ini? Tapi kalau diikutkan gerak mulut pelakon itu nampak macam sesuai je dialog merapu yang mereka lontarkan itu. Cuma kadang-kala ia terlalu laju serta bunyi suara pula lebih kurang sama saja (mana taknya, dah si chief Kodok ni yang conquer semua) membuatkan ia susah nak faham. Namun tahniah ya, kerana lenggok suara yang beraneka ragam itu sangat lawak dan berjaya menggeletek diriku.

Ada pula tiba-tiba suara latar yang muncul entah dari mana dok promote kedai karpet Jarvis sempena lambang pada jaket yang seorang penjahat tu pakai. Sekali dua keluar rasa kelakar juga tetapi kalau dah banyak kali terasa sakit hati tau. Itu pun di tambah lagi dengan lagu-lagu dengan lirik sengal yang tak boleh blah. Afdlin memang berhempas pulas ingin mencetuskan segala yang mengarut darjah tertinggi untuk filem ini. Namun di sebalik semua itu, plotnya memang ada isi yang munasabah. Perihal dua lelaki dari Thailand yang di soal-siasat oleh Interpol tentang penglibatan mereka dengan kongsi gelap dan ceritanya mengimbas kembali kejadian yang membawa kepada tangkapan itu.

Peminat aksi lasak dan pertarungan rasanya akan berpuas hati dengan kareograf adegan bergasak yang terlalu banyak dalam filem ini. Walaupun babak berlawan di bangunan separuh siap tu macam sama seperti Bangkok Knockout, tetapi ia tetap kelihatan mantap dan efektif. Cuma mungkin terasa agak panjang setiap kali mereka tumbuk-menumbuk, tendang-terajang sampai boleh terkeliru. Di tambah dengan suara-suara latar yang mencelah dan dialog-dialog pelik yang tak sesuai untuk babak berlawan memang akan membuatkan penonton terkesima. Tetapi anda terpaksa bertenang semasa mengikuti filem ini. Afdlin berani mengambil risiko mengeluarkan filem yang jenaka alih suaranya sangat berleluasa dan sesuka hati dibuatnya. Terpulanglah kepada anda untuk menyahut keberaniannya itu.

Monday, April 23, 2012

Dua Untuk Hari Buku Sedunia

Sempena dengan Hari Buku Sedunia hari ini, mari tinjau dua buah buku yang aku tengah baca sekarang. Sudah agak lama aku mula membaca kedua-dua novel ini tapi belum juga selesai. Aku memang jenis mengadap dua tiga biji buku dalam satu masa walaupun yang pertama tu belum habis pun. Tapi aku ceritalah sedikit sebanyak peristiwa berkenaan dengan kedua-dua bahan bacaan yang aku sedang hadam ini.

1) Winter's Bone



Buku ni aku beli di jualan Big Bad Wolf tahun lepas. Hajat sebenar nak tengok filemnya saja tetapi tak sempat pula nak ke panggung. Bila dah jumpa dalam bentuk bercetak ini, aku pun beli saja. Dalam bab-bab awal ni kita sudah di giat dengan kisah misteri kehilangan bapa kepada watak utama novel ini. Ree, heroin kita itu yang berhati kental terus menjejaki si ayah walaupun seluruh pekan itu seakan menentang usaha sucinya.

Senang saja nak faham ceritanya cuma dialog mereka banyak menggunakan ejaan bahasa Inggeris slang koboi atau pertuturan orang kampung di Amerika yang tidak biasa kita pakai. Memang menarik untuk kita ketahui sampai penyudah akan ke manakah gerangan bapa Ree pergi dan barjayakah dia mengharungi hidup bersama keluarganya semenjak lelaki itu tiada.

2) Seri Tertangguh



Aku telah lama mula membaca Seri Tertangguh ini semasa masih bujang lagi tapi belum habis-habis. Sejak ia masih dipaparkan secara bersiri dalam blog penulisnya sehinggalah ia sudah dibukukan. Tapi apabila dah jumpa novelnya pun tidak selesai juga. Jalan ceritanya memang menarik pasal budak sekolah perempuan bernama Seri yang berperwatakan biasa serta mempunyai blog.

Idea tentang suatu karektor yang menulis blog adalah metah mengujakan sebagai bahan tulisan. Kisahnya tentang hidup seharian Seri dikelilingi keluarga dan rakan yang tidak terkeluar sangat dari landasan realiti. Aku cuba habiskan novel ini sebelum minat itu pudar.

Tuesday, April 17, 2012

Freakonomics



Aku pergi menonton filem ini kerana tertarik dengan tajuknya. Sudah agak lama aku tahu mengenai bukunya apabila terbaca dalam sebuah blog dulu. Tapi sebab malas nak capai buku itu jadi bila tahu yang ia disiarkan di gsc, aku pun pastikan yang aku mesti pergi tengok. Petang itu aku seorang saja dalam panggung. Lagipun filem ni dah lama juga dimainkan. Tambahan pula ia bukan filem yang jenis akan menarik penonton kebanyakan. Aku memuji langkah gsc yang tergerak juga ingin menayangkan dokumentari di pawagamnya.

Perkataan ekonomi bukanlah suatu benda yang diminati. Bunyinya macam bosan dan serius. Lalu seorang ahli ekonomi Steven D. Levitt dan wartawan Stephen J. Dubner bekerjasama menulis buku ini yang membentangkan setiap subjek yang boleh difikirkan mereka untuk dianalisis daripada segi teori ekonomi. Aku pun bukan pandai sangat masa ambil kursus ini dulu. Lekuk penawaran dan permintaan? Tapi mereka berdua tidak membincangkan topik relevan segmen warta niaga yang penuh data syarikat korporat atau dunia dagangan semasa.

Namun hanya beberapa bab saja yang di ambil daripada buku tersebut untuk dijadikan rakaman. Aku tertarik dengan kajiselidik yang di buat pasal trend memberi nama kepada anak di Amerika yang berpotensi menjadi kayu ukur kepada masa depan mereka. Contohnya kaum kulit hitam biasanya terlebih kreatif dalam membubuh nama yang langka atau sengaja perkataan itu diubahsuai supaya menjadi unik. Manakala orang kaukasian memilih jalan selamat dengan letak nama-nama yang tipikal dan biasa. Masalahnya bila budak-budak itu besar nanti nak mohon kerja, syarikat-syarikat memang tidak pandang pada resume yang namanya berbunyi Temptress atau Uneeque!

Isi dokumentari ini secara keseluruhan memang menyentuh kepada isu-isu di Amerika sendiri. Jadi ia memerlukan budi bicara kita untuk mengaitkan dengan senario tempatan. Cuma kisah pendedahan sukan sumo di Jepun yang dinobatkan suci dan terhormat rupa-rupanya tersembunyi skandal penipuan yang keji. Itu agak menarik untuk diketahui. Aku ada terjumpa versi pdf buku ini yang anda boleh muatturun saja secara percuma.

Wednesday, April 11, 2012

Martha Marcy May Marlene


Hah, tembak tu biar tepat. Kalau tak, macam mana nak menang Hunger Games!

Jenis: DVD
Bahasa: Inggeris
Genre: Drama/Thriller

Kalau anda sudah tahu lebih awal yang filem ini ada melibatkan unsur-unsur kultus ajaran sesat, harap anda buang pra-tanggapan yang ia akan dipenuhi dengan adegan ritual atau ratib atau bersawai atau apa-apa amalan di luar normal yang boleh kita tunding bahawa itu memang sesuai dikaitkan dengan mereka. Martha Marcy May Marlene (jenuh nak menyebut) sebaliknya cuba meneroka aspek psikologi seorang bekas pengikutnya yang telah lari dari komuniti itu lantas cuba menyesuaikan diri ke dunia masyarakat umum. Memang pening beberapa ketika nak asingkan sama ada babak ini adalah dia yang sekarang atau dia tatkala masih terpukau dalam fahaman itu.

Rasanya, Sean Durkin pengarah dan penulisnya menggunakan teknik itu sebagai sengaja membiarkan penonton mengalami sendiri dunia delusi Martha (lakonan berkesan Elizabeth Olsen) yang menetap bersama kakak, Lucy (Sarah Paulson) dan abang iparnya Ted (Hugh Dancy) setelah melepaskan diri daripada belenggu koloni terbabit. Di sana dia cuba berasimilasi kembali dengan masyarakat biasa yang telah dua tahun dia tinggalkan. Namun dia mengalami krisis kejiwaan yang agak merungsingkan walaupun kakaknya cuba untuk mengorek rahsia silam sepanjang kehilangannya itu sedangkan Martha terus kelihatan linglung bersama arus masa. Dia sudah tidak dapat lagi membezakan antara dua jenis kehidupan yang pernah dia lalui, mana satu yang normal dan yang mana pula adalah melampaui batas.

Menarik juga untuk kita kaji akan tafsiran yang ingin di bawa Durkin tentang tatacara hidup yang dijalani seseorang apabila suatu sistem atau ideologi tiba-tiba dimaktubkan ke atas mereka. Contohnya apabila Ted naik angin kepada Martha lalu membidasnya yang dia hanya tahu menumpang percuma dan tidur makan saja tanpa memikirkan masa depannya. Sedangkan semasa dia menjadi anggota kultus itu, mereka menanam hasil makanan sendiri dan mencuri dari rumah orang kaya! Ok, itu mungkin bukan kaedah yang betul mencari rezeki tetapi oleh kerana mereka kumpulan ajaran sesat ... well... Kita akan bersetuju dengan Ted selaku ahli masyarakat yang bertanggungjawab bahawa Martha kena keluar mencari kerja. Cuma adik iparnya itu sudah di basuh dengan doktrin yang tidak sebati dengan prinsip kehidupan orang ramai maka mindanya masih celaru begitu.

Sepanjang adegan imbas kembali dan suasana waktu sekarang kita dapat rasakan tekanan mental yang Martha alami secara senyap seperti keseluruhan nada filem ini yang sunyi ibarat penyakit yang makan dalam. Martha Marcy May Marlene tidak mengadili mereka yang menubuhkan aliran menyeleweng itu sebaliknya ia seolah-olah testimoni tentang seseorang individu apabila terjerumus ke kancah tersebut. Kehidupan moden mungkin tidak sesuai bagi semua orang, tetapi ada beberapa faktor lain yang harus dipertimbangkan dengan serius sebelum kita ingin komited kepada suatu pertubuhan yang menawarkan gaya hidup alternatif yang cenderung di label songsang atau subversif.

Monday, April 09, 2012

Islamophobia Theatre



Atau judul penuhnya ialah Islamophobia Theatre – A Non-Muslim Point of View berlangsung di Pusat Islam malam Ahad yang lalu. Aku yang tidak pernah ke sana, lantas mengambil peluang itu, di samping kepingin menonton satu persembahan yang aku suspek akan dipenuhi isu-isu kontroversi dan mencetuskan gempar. Mungkin lain kali aku kena tetapkan dalam fikiran kalau dah sesebuah majlis itu diadakan dalam sebuah premis kerajaan, mustahil ia akan berani untuk provok pihak berkuasa dengan sebuah acara yang menyinggung ketenteraman awam. Aku tidak rasa yang draf asalnya akan menjadi sejinak ini.

Aku cuba juga cari maklumat di internet pasal persembahan teater ini yang diadakan tahun lalu, tapi tak ada pula. Sebenarnya ia pernah dipentaskan di KLPAC bulan April tahun lepas dan kita tahu kumpulan fokus yang tertumpu ke situ kebanyakannya jenis multi-kaum yang urban dan liberal. Jadi apa-apa bahan yang di anggap sensitif mungkin tiada masalah untuk dipaparkan dan mereka selalunya terbuka untuk menerima variasi hasil seni. Jadi aku agak skeptikal dengan corak penceritaan yang dibawakan oleh Serious Comedy Studio pada malam tersebut yang sungguh klise dan amatur. Oklah, pelakon-pelakon mereka bukan daripada golongan pro tetapi skrip dia sangat drama tv. Kalau anda pernah tengok dulu-dulu drama yang Janet Khoo berlakon masuk Islam tu, lebih kurang macam tu lah teater ini.

Ada dua cerita yang tiada kaitan secara langsung dijalankan secara berselang-seli tentang sepasang kekasih berlainan agama yang sedang dalam peringkat serius si lelaki Cina itu menimbang untuk memeluk Islam sebelum kahwin. Manakala satu lagi kisah lelaki India yang selalu rasa hairan dan sangsi dengan aspek Muslim Melayu di sekelilingnya dan dia meluahkan itu kepada seorang kawan Melayunya dan mualaf. Namun cara mereka lakonkan itu tidak nampak sangat yang mereka fobia tetapi lebih kepada musykil terhadap Islam. Contohnya kenapa bertudung tidak sempurna, adakah tidak boleh sambut tahun baru Cina selepas menjadi Islam, kenapa boleh ada berbeza-beza fahaman dalam agama ini dan sebagainya. Memang ada banyak persoalan yang diutarakan sepanjang persembahan berlangsung dan jawapan di beri secara dialog santai dan selamat.

Mungkin aku beri harapan tinggi terhadap teater ini memandangkan tajuknya Islamophobia yang sangat luas isi yang dapat diteroka. Aku masih tidak rasa bahawa ini naskhah asal yang ingin dipentaskan, mungkin setelah dinasihat pihak tertentu supaya merombak atau tone-down beberapa unsur yang boleh membuat sesetengah kelompok gelisah. Tapi ini spekulasi aku saja. Cuma kalau orang bukan Islam fobia dengan agama ini semata-mata sebelum dapat bernikah dengan gadis Melayu atau sebelum dapat berpacaran dengan orang Islam, apa mesej sebenar yang ingin dikongsikan di sini? Aku tidak tahu respon penonton bukan Islam (mereka masuk percuma) yang hadir pada malam itu kerana tidak tunggu sesi soal-jawab. Segalanya kelihatan mudah dan manis menerusi teater ini dalam menanggapi suatu isu yang rumit dan sensasi seperti Islamophobia.

Thursday, April 05, 2012

Jom Ke Panggung

Dua hari lepas semasa isteri mengalih-alih saluran tv, dia terbuka tv2. Eh, rupa-rupanya ada sebuah program berkenaan hal-hal filem macam Wayang Kita di Astro Kirana dulu sedang ditayangkan. Bagus juga ni. Aku tak tahu sudah berapa minggu rancangan ini ke udara, (tapi bila check di internet, ia mula bersiaran pada 21 Feb lalu) langsung buat aku melekat. Tapi dah separuh jalan aku tengok dengan temuramah bersama Ruminah Sidek berkenaan pencapaian beliau sepanjang bergelar anak seni diketengahkan.

Dihoskan oleh Naz Habibur Rahman, bagi aku pengisian program ini lebih kurang macam rancangan berbentuk majalah hiburan lain juga cuma ia menjurus ke arah filem. Difahamkan ia hanya ada 13 episod dan krew mereka kena konsisten membuat rakaman supaya ia terkini dengan maklumat perfileman semasa. Apa yang aku ingin highlight ialah segmen “Akan ke Panggung“. Ada empat filem menarik yang mereka petik dan sebuah daripadanya sudah memulakan tayangan hari ini.

1. Battleship



Sudah banyak kali tertengok trailer filem ni. Tidak silap lagi jika anda memekik “Transformers!“ sepantas itu kerana ia memang diadaptasi daripada produk keluaran Hasbro, pihak sama yang mengeluarkan robot-robot Transformers. Sekumpulan tentera laut yang sedang mengadakan latihan perang bertembung dengan sebuah objek gergasi di tengah samudera. Nampaknya dunia bakal di timpa malapetaka kerana benda tersebut sebenarnya ialah sejenis kapal makhluk asing yang sungguh mengancam. Saksikan ini jika anda ingin melihat lakonan pertama Rihanna.

2. A Better Life



Mungkin ada yang ingin menonton A Better Life kerana pencalonan yang diperolehi oleh Demian Bichir dalam Oscar baru-baru ini. Aku fikir filem ini mungkin akan diedarkan di International Screen di gsc. Berdasarkan sinopsis, ia berkenaan konflik seorang bapa imigran dengan anak lelakinya di LA dengan isu-isu seputar kehidupan pendatang. Filem ini mendapat banyak reviu positif daripada pengkritik. Mungkin kalau berpeluang aku akan pergi tengok.

3. We Not Naughty



Merupakan produksi seberang tambak, tentu yang biasa dengan nama Jack Neo boleh agak acuan filem yang beliau akan hasilkan. We Not Naughty nampak seperti mirip I Not Stupid (walaupun aku cuma tengok versi remake) berdasarkan komen yang aku baca. Malah tajuknya pun dah macam sama. Ia mengisahkan masalah yang para ibu bapa hadapi untuk menangani budak remaja masakini yang suka memberontak. Sama ada anak-anak muda itu betul-betul nakal atau mereka telah disalah-anggap, sila-lah ke panggung dan tengok sendiri.

4. The Cabin in the Woods



Aku rasa dah lama sangat filem ini berada dalam peringkat pasca-penerbitan, akhirnya baru dapat ditayangkan tahun ini. Aku masih ragu-ragu sama ada ia betul-betul dapat disiarkan di tanahair kita. Di tulis oleh Joss Whedon, ia mengisahkan sekumpulan muda-mudi memecah masuk ke sebuah kabin misteri di tengah hutan lalu di landa pelbagai azab. Tapi bila baca komen-komen awal di imdb, ramai yang hentam. Tak kisahlah tu.

Jom Ke Panggung disiarkan setiap Selasa, 9.30 malam, TV2

Tuesday, April 03, 2012

John Carter


Lelaki dari Bumi, Perempuan dari Barsoom

Aku yang tidak berapa peka dengan dunia komik klasik ini, ingatkan Edgar Rice Burroughs hanya membuat Tarzan. Rupa-rupanya beliau juga menghasilkan John Carter, dengan banyak siri pula tu. Mula-mula tertengok posternya tahun lepas aku bayangkan ia tentang detektif yang berasal dari dunia masa depan. Namun kerana kejahilan itu aku rasa lebih enjoy menonton filem ini tanpa perlu dipengaruhi sumber asal. Cuma perwatakan heronya itu terasa acuan Tarzan yang turut dicetuskan oleh pereka yang sama dengan ilustrasi sedikit berbeza.

Berlaku pertembungan genre di sini apabila era perang sivil dan sains fiksyen berbaur membentuk tema yang sungguh imaginatif melangkaui zamannya. Malah penulisnya sendiri was-was dengan jenis karyanya itu sehingga tidak sanggup menggunakan nama sebenar. Tapi prasangka itu terbukti tidak berasas kerana naskhah tersebut mendapat sambutan positif ramai. Beruntung menjadi perintis kerana rentetan daripada itu, ia menjadi inspirasi kepada sekian banyak karyawan yang menceburi bidang kreatif ini lalu mengambil dan memperkayakan lagi idea berkenaan supaya ia bertambah spektakular.

Nasib mungkin tidak menyebelahi John Carter sepenuhnya kerana pra-produksi bagi versi filemnya ini wujud terlalu panjang, memakan masa hampir 79 tahun. Sudah banyak filem lain muncul terlebih dahulu dengan motif dan konsep yang lebih kurang sama dengannya terutamanya Star Wars lantas menurunkan antisipasi terhadap penghasilan itu. Andrew Stanton yang sebelum ini berjaya dengan genre animasi seperti Wall-E dan Finding Nemo menggalas tugas sukar untuk mengarah dan menawarkan sesuatu yang segar daripada bahan yang sungguh purba ini. Setelah menontonnya aku senang saja berpuas hati dengan usaha beliau yang walaupun tiada yang baru tetapi ia masih menghiburkan.

Aku suka dengan teknik jalan ceritanya yang bermula semacam tergantung tetapi di beri pengakhiran yang menjawab persoalan awal tadi. Malah ini semacam pseudo-biografi bagi Edgar pula yang dalam proses bagi menulis karya tersohornya itu. Stanton sendiri telah menjana segala kepakaran imej grafiknya untuk menimbal kelapukan yang ada dengan makhluk asing, kota fantasi dan jentera aneh yang kelihatan sebati dengan lanskap. Mungkin jalan cerita sebenarnya memakan banyak siri tetapi bagi sebuah filem yang baru ingin memperkenalkan jenamanya, ia sudah lengkap sebagai suatu produk yang solid.