Monday, November 29, 2004

The Gift

Alamak, annual dinner tu hari Jumaat ni aku ingatkan minggu depan! Tak dapat aku nak pergi Ikea sebagaimana yang di rancang minggu lepas. Oh, minggu lepas rancangan ke Ikea tak dapat di penuhi sebab aku dan Brad plan nak tengok wayang tapi tiket sold out. Brad pulak bengang dengan aku tak beli tiket tu awal-awal. Aku tak beli awal-awal pasal aku alami sakit kepala dua-tiga hari sebelum tu.

Gangguan sebentar: Kalau anda rasa curiga dengan nama kawan-kawan aku yang berbau macam orang putih, janganlah hairan. Pasal memang nama-nama ini ada kena-mengena dengan mereka, bukan aku saja-saja letak.

Jadi aku pun tak dapat tengok wayang dan tak dapat pergi Ikea. Ingat tak majlis kahwin mak saudara yang aku ceritakan dalam entry dua bahagian yang lepas? Aku nak pergi Ikea sebab nak beli hadiah kahwin minah tu lah. Bukanlah penting pun aku beli hadiah tu di sana cuma kerana ingin membuat dia merasa lebih istimewa. Kalau aku beli di Ong Tai Kim Supermarket pun bukannya dia tahu.

Selain dari salam bersulam duit yang aku ceritakan dalam entry lepas, hadiah juga turut memainkan peranan dalam memakmurkan sesuatu acara perkahwinan. Kali ni aku tak mahu lagi bagi pinggan mangkuk sebagaimana kebiasaan. Aku nak bagi benda lain pulak. Benda yang boleh menunjukkan ia berasal dari KL. Oleh kerana kat kampung tu tak ada Ikea, sesuai sangatlah aku beli hadiah tu kat tempat ini.

Gangguan lagi satu: Masa aku tengah menai-naip ni, officemate aku berceloteh pasal masalah dia dengan client. Dengar jer lah walaupun aku tak berapa faham apa inti pati masalah dia tu. Tak kisahlah, mungkin dia perlukan seseorang untuk mendengar, bukannya seseorang untuk memaham.

Hadiah ni share dengan satu family bukannya pakai duit aku sorang. Tak manis rasanya nak bagi present secara solo, nampak macam tak sepakat pulak. Untungnya beli hadiah dengan duit yang di kongsi beramai-ramai ialah kita akan dapat jumlah yang lebih banyak dan hadiah yang lebih besar. Mesin photostat misalnya?

Sunday, November 28, 2004

Mula Beraya di Kota

Hari Sabtu kena kemas rumah pasal ada kawan nak datang beraya. Aku juga beli maruku, biskut sebab kuih raya banyak yang dah habis di lantak oleh housemates. Nasib baik ada kerepek ubi lagi sebungkus yang aku belum bukak. Air kotak pun aku beli sebab malas nak buat air masa dia datang nanti, bagi air kotak jer. Cuma bilik air jer tak sempat nak cuci sebab kawan aku si Khai ni cerewet sikit pasal kebersihan shower room. Harp-harap dia takder lah mengutuk bilik air rumah aku yang berkerak tu dekat kawan-kawan lain.

Dalam pada aku dok tertunggu-tunggu kehadirannya itu, aku boleh tertidur pulak. Cuaca hujan masa ni sejuk dan membuai mata. Dalam pukul 4 tu baru dia sampai, jalan jem katanya. Aku pun hidangkan apa-apa yang patut atas meja. Khai siap bawak karipap dan pulut panggang lagi. Tetamu pulak yang bawak kuih untuk tuan rumah. Dia seorang jer makan sebab aku puasa hari tu. Belum habis lagi puasa 6.

Borak-borak sikit sambil tengok tv. Dia pinjam dvd-dvd aku yang dia sendiri tak pasti bila dia dapat tengok semua tu. Berbuka aku minum Nescafe dalam tin sebab malam tu officemate ada buat open house kat Keramat. Itulah majlis rumah terbuka pertama yang aku dapat sejak kembali ke KL ni. Aku duduk kat luar jer bersama rakan-rakan yang lain. Ada lontong, laksa, nasi lemak, mihun goreng, agar-agar dan buah-buahan.

Nasi lemak dia sedap sangat. Agak jarang orang buat nasi lemak sebagai hidangan rumah terbuka. Lauk dia ialah sambal kerang, sambal ikan bilis, rendang daging dan ayam serai. Tetamu berbilang bangsa datang ke rumah offiemate aku tu. Dalam pukul 10 tu aku pun balik.

Wednesday, November 24, 2004

Kenduri Raya (Bahagian 2)

Sebelum kita sambung cerita pasal kenduri kahwin, aku nak beritahu pasal aku beraya di rumah kawan aku kat tepi pantai tu. Sebenarnya kawan aku, Jr terpaksa beli nasi minyak kerana kat rumah dia tu memang tidak ada sebarang makanan basah untuk di jamu. Nasib baik ada kedai makan berhampiran jadi dapatlah membeli apa-apa yang patut. Kalau di KL memang payah sikit nak jumpa restoran yang jual nasi minyak, cuma boleh didapati di rumah orang kahwin jer.

Aku suka dengan keadaan rumah yang Jr duduk tu, kecil dan tidak serabut. Sejenis rumah kampung yang ringkas dan lengkap dengan keperluan asas. Hanya yang membahayakan jika ombak terlalu kuat maka kenalah berhati-hati kerana boleh melimpah sampai ke tangga. Kita boleh mengambil masa sepanjang yang kita mahu dengan duduk-duduk saja di beranda, merenung laut. Di samping itu kita kena juga menghalau kambing dan ayam itik yang selalu bermain-main di halaman. Cuaca pada masa tersebut pula tidak menentu yang sekejap panas, sekejap lagi hujan turun. Memang tidak digalakkan turun mandi laut ketika tu.

Pada hari kenduri, aku mengajak Jr pergi makan nasi minyak di rumah nenek. Mula-mula dia agak keberatan nak ikut sebab dia tak bawak duit nak di beri pada tuan rumah. Aku pun bagi dia guna duit aku dulu. Selesai menjamu selera, dia bersalam dengan bapa saudara – salam berselit duit sepertimana tradisi biasa mengahadiri kenduri kahwin. Nasi minyak di sini sekadar ok berbanding dengan nasi minyak yang di beli di kedai makan dekat rumah Jr yang lebih sedap rasanya.

Lepas tu aku ikut Jr pergi rumah kawan dia yang nak akad nikah dalam pukul 3 petang tidak berapa jauh dari rumah nenek aku. Tuan punya badan yang nak akad nikah tu masih belum bersiap lagi. Kami naik ke rumah dan kelihatan beberapa tetamu sedang menikmati jamuan. Aku tak makanlah sebab baru jer lepas makan tadi kan. Duduk aje lah tercongok dalam tu sementara menanti majlis dimulakan. Beberapa tetamu lain beransur datang dan memenuhi setiap isi rumah. Di satu sudut, tersedia satu ruang untuk acara akad nikah diadakan nanti.

Ada bantal tempat pengantin lelaki duduk bersila depan tok kadi di samping dihiasi dengan langsir dan bunga-bunga supaya sudut itu nampak lebih berseri dari ruangan lain. Tidak lama selepas itu tok kadi pun datang. Pengantin perempuan pun datang jugak dan terus meluru ke bilik bakal suaminya tengah bersiap. Mungkin dia segan agaknya tengok ramai sangat orang kat luar dan cepat-cepat masuk bilik. Pengantin lelaki yang telah siap berdandan pun keluar mengadap tok kadi untuk melaksanakan upacara yang akan menamatkan zaman bujangnya.

Sebelum tu tok kadi masuk bilik pengantin jumpa pengantin perempuan dulu dan uruskan beberapa dokumen. Then barulah beliau membacakan khutbah nikah, first time aku dengar khutbah nikah ni. Sebelum ni memang aku tak pernah hadir pun upacara macam ni. Akhir sekali barulah lafaz ijab dan kabul kedengaran di susuli sambutan sah! sah! terpacul dari mulut saksi maka lengkaplah separuh dari agama. Kemudian Jr dan rakan-rakannya menjamu selera tapi aku terus tunggu kat tanah.

Agak pelik rasanya sebab kenduri kahwin mak saudara aku sendiri aku tak pergi pun majlis akad nikahnya. Yang orang lain punya pulak aku pergi. Mak saudara aku dinikahkan di masjid pagi tersebut manakala majlis bersanding di buat pada petang harinya. Selesai saja Jr makan, kami pergi semula ke rumah nenek aku dan setibanya di sana pengantin sedang makan beradab. Itulah kisah kenduri kahwin di Hari Raya yang aku bertandang semasa cuti yang lepas.

Tuesday, November 23, 2004

Kenduri Raya

Hari Raya sangat happy. Happy in a sense of kami tak keluar berjalan sangat. Aku memang malas bab-bab pergi menziarah rumah saudara-mara ni. Perangai yang buruk kan? Lagi pun tahun ni bukan saja-saja tidak mahu pergi berjalan-jalan beraya rumah orang. Ini semua kerana ada kenduri kahwin di rumah nenek yang kami semua kena uruskan dan bergotong-royong.

Kenduri kahwin di kampung memang tidak panggil catering. Mana-mana jiran-tetangga dan saudara-mara jauh dan dekat semua mari menolong. Rumah di cat baru, halaman kena di sapu, bahan-bahan mentah harus di siang, khemah nak didirikan, ruang tamu nak kena clear dari kerusi meja, tempat jemputan makan hendak disiapkan, banyak betul kerjanya. Penat.

Aku tolong sehari jer di rumah nenek, lepas tu hari-hari yang lain pergi merambu di rumah member…hehehe…. Tingkat atas di rumah nenek kebetulan baru sudah renovate jadi banyaklah sisa-sisa yang ditinggalkan tukang rumah. Aku pulak yang kena bersihkan semua tu. Ada kayu, zink, papan dan benda-benda lain yang masih bersepah di ruang atas kena clear. Penat jugak buat kerja-kerja tu, naik lenguh badan angkut benda-benda tersebut ke bawah.

Tingkat bawah pulak kebetulan sedang di cat dengan bau cat yang menusuk kalbu, tak tahan aku menghidunya. Bolehlah ada excuse aku pergi berjalan ke rumah member. Tak jauh sangat rumah kawan aku tu, rumah dia lagi dekat dengan pantai. Terdapat kesan ombak melimpah sampai ke tebing kerana malam sebelumnya laut bergelora. Maklumlah musim tengkujuh dah tiba.

Di rumahnya aku makan biskut raya yang cantik tersusun atas meja menunggu untuk di ngap. Kami pergi kedai makan berhampiran nak menapau nasi minyak lauk ayam masak merah. Lagipun tak bestlah makan biskut jer, kenalah ada sajian yang heavy sikit. Sedap betul nasi minyak mak cik tu jual, rasa nak pergi situ lagi. Padahal kat kenduri kahwin tu pun aku boleh makan nasi minyak jugak nanti. Apa-apa entah.

Next, aku ceritakan pasal kenduri kahwin tu pulak ye.

Tuesday, November 09, 2004

Empat Perkara Raya

Sebelum kita minta ampun dan maaf, dah nak raya lah katakan – apa kata kita tinjau dulu beberapa aspek tentang Hari Raya yang melanda duniaku. Benda-benda ini tidak semestinya memberi kesan yang besar dalam hidup sesetengah orang tapi bagi aku sendiri ia adalah mercu. Lebih cantik kalau setiap benda tu aku selitkan gambar sekali kan? Sorry lah, tak sempat nak cari gambar.


Sampul Duit Raya

Masa bebudak dulu sibuk nak collect duit raya, dah besar-besar ni sibuk pulak nak collect sampul duit raya. Sesetengah orang lah ada buat macam tu, apa entah faedahnya. Aku kalau dapat sampul tu memang tak teringin nak buat koleksi, baik aku gunakan untuk isi duit. Selain dari memberinya untuk adik-beradik dan saudara mara, aku juga bagi pada nenek yang telah uzur. Kalau dulu datuk dan nenek yang beri pada cucu-cucu, sekarang tiba giliran cucunda pula nak berbakti pada golongan emas ini.

Pada awal-awal dulu hanya bank yang aktif mengedarkan paket duit raya ini tapi kini organisasi dan syarikat tertentu pun ada mencipta dan mengagih-agihkannya. Malah ia seakan menjadi bentuk promosi pula kerana aku pernah tengok sampul duit raya bergambarkan poster filem. Tahun ni tak banyak aku dapat dari bank yang aku selalu berurusan itu, dah habis stok. Nasib baik officemate dan kawan-kawan lain ada memberinya sebungkus dua. Jadi tak payahlah aku nak hulurkan wang tu secara langsung. Malah ia nampak lebih bersuasana di samping merahsiakan berapakah jumlah yang tersembunyi di dalam.


Kad Raya

Tahun lepas dalam entry di bulan puasa, aku dah berceloteh panjang lebar pasal kad ucapan ni. Untuk coretan ini pula aku selitkan sikit mengenai fenomena kad raya nih. Tahun ni ada kawan aku hantar kad raya sebijik macam kad raya tahun lepas. Dah lah isi dalamnya sama saja, hanya ucapan dan tandatangan. Kalau dia ada tulis benda-benda lain misalnya, tanya aku apa khabar ke, baju raya dah beli ke belum atau kata-kata lain, at least ada juga nampak perbezaannya. Mungkin company dia tak sempat design kad baru tak? Atau agaknya dia tak expect aku masih simpan kad raya lama-lama.

Kenapa ada orang yang masih menyimpan kad raya yang dah berkurun lamanya itu? Atas dasar apa ia begitu dihargai? Kalau macam aku sebab untuk sentimental value. Bukan senang menulis, bubuh setem dan mengeposnya, memerlukan banyak kerja juga tu. Lainlah hantar e-kad, segalanya di hujung jari anda. Bontot tak payah beralih dari kerusi pun. Sementara ada banyak space dalam drawer aku ni, aku sumbat semua kad lama-lama dalam tu. Di simpan bermakna kadang-kadang aku boleh membuka dan membacanya semula bila tak ada kerja buat.


Kuih Raya

Kakak sepejabat yang biasa aku tempah kuih dari dia berura-ura ingin pindah ke Kelantan, ikut suami. Tahun ni merupakan kesempatan terakhir aku nak merasa kuih raya yang dia dan kakaknya buat. Mahal sikit dari harga biskut-biskut yang di jual di Masjid India atau pasaraya tapi sedap. Apa yang ralatnya dia beritahu aku kali ni dia tak sempat nak buat biskut yang aku order tu sebab tepung tak cukup. Dah aku order last minit. Cuma beberapa jenis saja yang mampu disiapkan sebelum baki tepung habis stok. Tak kisahlah, jimat sikit duit aku.

Memandangkan kuih raya jenis biskut ni cepat muak dan tak begitu popular di kalangan para tamu, aku order jugak kerepek-kerepek. Padahal dah duduk kat kampung tu, tapi beli kerepek kat sini. Lagipun tak pasti kat kampung aku tu dimanakah tempat peruasahaan kerepek dijalankan. Jenis kacang-kacang aku tak beli pasal mak aku akan goreng sendiri kacang tanah, lepas tu lumurkan dengan garam dan gula. Selain itu mak aku juga rajin buat rempeyek dan popia mini. Popia mini tu yang malas tu pasal aku lah biasanya kena tolong isikan inti dia dan gulung kecil-kecil. Kali ni mungkin aku simpulkan saja sebab aku pernah tengok ada popia style macam tu.


Baju Raya

Definisi baju raya yang sinonim sekarang ialah Baju Melayu. Kalau masa kanak-kanak dulu, ia termasuk sekali dengan baju moden. T-shirt atau seluar jeans yang baru di beli tapi cuma boleh di pakai masa Raya saja. Kerana hari itu sangat bermakna dan kita harus meraikannya dengan berpakaian serba baru. Dulu mak bapak kita sangat berjimat cermat membeli pakaian anak-anak, apa yang ada, itulah di pakai sehingga lusuh. Jadi masa Hari Raya sajalah saat untuk merasa berbaju baru.

Sekarang, pantang ada sale jer sibuk nak beli baju baru. Kadang-kadang kalau nampak baju bundle yang berkenan pun di beli juga. Jadi tak payah nak beli t-shirt atau kemeja baru semata-mata kerana Raya. Pakai aje apa yang ada di almari yang belum pun dua tiga kali tersarung di badan. Hanya Baju Melayu saja terpaksa aku beralah untuk membeli yang baru. Itu pun bukan setiap tahun aku bertukar baju Melayu. Tahun ni kena tukar pasal dah dua tahun asyik pakai baju yang sama. Entahlah, bukan nampak buruk pun hanya naluri sendiri yang masih ingin merasa lebih bergembira di Hari Raya dengan berpakaian serba baru memutuskan aku berbuat demikian.

Kepada semua Muslimin dan Muslimat diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Monday, November 08, 2004

Bollywood Beats

Biasanya aku asyik tengok filem orang putih saja, kali ni setelah sekian lama tidak menonton filem Hindustan, aku tiba-tiba tertengok cerita Hindustan pulak. Sabtu lepas mula-mula aku ingat nak tengok Cerekerama bertajuk “Anak-anak Ramadan” tapi pada masa tu aku tak ada mood nak tengok budak-budak berlakon. Terus aku alih channel ke stesyen sana-sini, terus sampai ke saluran family anda TV2. Mula-mula aku ingatkan ia bukan sebuah filem Hindi sebab pelakon-pelakon tu banyak speaking jer. Ni filem Hindustan ke filem orang putih nih? Pelakon-pelakonnya pula bukanlah terdiri dari bintang-bintang Bollywood yang biasa kita tengok dan mendengar beritanya.

Tak silap aku kali terakhir aku betul-betul menonton filem Hindustan ialah semasa aku masih kanak-kanak dulu dengan pelakon-pelakon yang dah season sekarang seperti Sashi Kapoor, Zeenat Aman, Hema Malini, Amitabh Bachchan (sampai sekarang masih top) dan lain-lain. Filem yang betul-betul aku ikuti dari awal sampai habis ialah Yaadon Ki Baaraat yang telah berabad-abad lamanya tu. Lepas tu seingat aku dah tak ada filem Hindi yang aku tengok secara lengkap. Kebanyakannya aku tengok sepintas lalu dan tidak bersungguh. Walaupun filem tu jenis yang menjadi sebutan ramai seperti Kabhi Kushi Kabhi Gham, Aa Ab Laut Chalen, Kaho Naa Piyaar Hai, Devdas dan lain-lain.

Aspek yang paling aku menyampah dengan filem Hindustan ni ialah dari segi menyanyi dan berdansa yang tidak semena-mena itu. Sekejap-sekejap menyanyi di balik pokok, sekejap-sekejap menyanyi di pergunungan Alps, sekejap-sekejap menari di Eiffel Tower, sekejap-sekejap berguling di Chow Kit Road…. apa-apa ntah! Lagi satu ialah jalan cerita yang stereotype yang mesti ada orang jahat ataupun perbezaan darjat terus menimbulkan kejengkelan di hati. Tak ada cerita lain ke nak buat? Itu saja ke penulis skrip di sana boleh explore atau kreativiti mereka di kekang oleh birokrasi tertentu? Dulu aku cuba tengok filem Bhoot dari genre seram yang jarang-jarang diteroka oleh karyawan di sana, tapi aku tertidur! Bukan sebab filem tu boring sampai aku terlelap tapi kerana aku mengantuk sangat masa tu. Lain kalilah aku tengok betul-betul kalau ada peluang.

Jadi, filem Hindustan apa yang aku tengok Sabtu lepas? Tajuknya mungkin kita tak pernah dengar (apatah lagi bagi aku yang bukan fanatik filem dari negara tersebut) iaitu Jhankaar Beats. Oleh kerana aku pun bukan tengok dari awal so tak tahulah apa yang berlaku selepas opening kredit. Masa aku start tengok jer dua orang mamat ni tengah memerah idea untuk seorang client mereka yang ingin mengiklankan kondom. Di samping kerja sepenuh masa sebagai copywriter, mereka juga berkecimpung dalam bidang muzik. Setiap tahun mereka mengambil bahagian dalam satu pertandingan muzik tapi tak pernah menang dan tahun ini mereka sekali lagi ingin memasuki Jhaankar Beats dan berazam untuk berjaya.

Walaupun aku mengharapkan yang filem ni tidak di lambak dengan begitu banyak unsur-unsur tarian dan nyanyian nampaknya hajat aku telah dipenuhi. Kedua-dua aspek yang begitu sinonim dalam filem Hindi itu telah di tone down dan di beri ruang yang minimum untuk mencelah dalam adegannya. Suara penyanyinya juga kedengaran lebih enak di telinga dan dalam satu adegan lagu yang disampaikan pun sekerat jalan aje, tidak dihabiskan sebagaimana filem-filem Hindustan tipikal. Itu dari segi muzik, dari segi jalan cerita pula, agak sensasi apabila tema kondom yang mendominasi separuh dari latar belakang filem ini. Malah dalam satu adegan flashback apabila si lelaki ini teringatkan saat-saat dia dalam kereta dengan teman wanitanya apabila si wanita bertanya adakah dia ingin menerima keseronokkan daripada temannya tadi? Kalau anda pernah tengok Scary Movie 1, apakah perkara yang menyebabkan Carmen Electra kena langgar oleh kereta yang dinaiki oleh ibubapanya? Gitu ler lebih kurang.

Pendek kata keseluruhan filem ini adalah menghiburkan. Kalau ia dari genre popular maka ia boleh bersaing dengan filem Kuch Kuch Hota Hai yang sangat dikenali itu cuma mungkin untuk khalayak yang tidak menyeluruh. Setiap satu adegan juga berjalan lancar tanpa ada unsur-unsur lawak bodoh atau slapstick yang tidak kelakar itu. Penggambaran juga di buat di apartmen dan bukannya di rumah agam atau mahligai yang klise. Paling menarik perhatian bahawa filem ini seakan mocking filem Hindustan tipikal semasa adegan di tepi pantai si lelaki ingin memikat si gadis kemudian di atas tebing ramai orang kampung keluar bertepuk tangan. Abang si lelaki secara berseloroh mengusik adiknya bahawa dia boleh jadi hero filem Hindustan dengan aksi sedemikian.

Deepavali Verthukel!

Thursday, November 04, 2004

You've Got Sms

Last weekend…. (asyik-asyik last weekend jer – sebab aku tak ada idea lain), ok what happened last weekend? Aku telah hantar sms kepada (if you’re reading this, you know who you are) seseorang. Kali ni ni mesej berjaya di hantar. Kalau tak dulu delivery failed. Tapi nampaknya mesej tidak segera di balas. Lepas tu aku masuk tidur.

Esok petangnya baru aku terima balasan sms yang di nanti. Kemudian aku terus nak reply. Aku menekan-nekan butang kecil pada handphone menyusun perkataan tertentu sehingga siap menjadi satu ayat yang ringkas. Tiba-tiba aku rasa berbelah-bagi pulak, nak send ke tak nak. Dua tiga kali fikir nak send ke tak nak send – last-last aku erase balik mesej yang telah di karang. Terus tak jadi send. Entahlah kenapa aku memutuskan tidak jadi untuk menghantarnya. Macam tak gempaklah kalau balas sms tu on the spot, kita tunggu lagi dua tiga jam ke, setengah hari atau besok jer lah….. hehehe…..

Sebenarnya petang tu aku sepatutnya berbuka di Pandan Indah dengan kawan aku di satu restoran that was featured in Jalan-Jalan Cari Makan episod minggu sebelumnya. Tapi kawan aku busy dengan kerja dan terpaksa cancel plan berbuka bersama. So aku berbuka kat rumah sajalah. Sebelum keluar beli juadah, aku tengok tv rancangan Jalan-Jalan Cari Makan, saja nak membuatkan air liur meleleh. Nampak sedap Nasi Ibu Mertuaku yang di makan pengacara dan dua tetamu jemputan di restoran kat Sungai Buloh tu. Kemudian Maria membawa penonton makan di restoran Chef Ismail di Bangsar. Kali ni tetamu jemputan beliau ialah Sofea Jane. Tak sangka pelakon berdarah kacukan ni suka makan rebung dan masakan asli kampung.

Aku tak tunggu sampai rancangan habis pasal dah dekat nak pukul 6.30 nanti habis pulak kuih-muih dan lauk-pauk di pasar Ramadan tu. Dahlah kat area rumah aku ni tak begitu ramai orang yang memjual – ada tiga empat gerai saja. Bukan macam kat Taman Melawati atau Jalan TAR yang begitu banyak pilihan dan meriah. Sesampai di sana, aku mundar-mandir sekejap mencari mana-mana makanan yang nampak menyelerakan di mata. Sekali round jer pasal tempat kecik kan, aku pun decide beli agar-agar dulu. Tiba-tiba aku meraba-raba poket belakang, eh, mana wallet?! Laa… aku tak bawak wallet rupanya! Hampeh betul. Nasib baik akak tu tak sempat nak bungkuskan agar-agar yang aku nak tadi. Kalau tak nak bayar pakai apa? Buat malu saja.

Aku sure memang wallet tu tertinggal di rumah, bukan aku tercicir atau di copet orang ke. Lantas aku bergegas balik nak ambik wallet yang bertuah tu. Lepas tu aku berpatah balik ke pasar juadah beli agar-agar tadi dan nasi campur. Penat jugak dua tiga kali ulang-alik naik turun tangga flat semata-mata kerana tak bawak duit. Nasib baik nak dekat waktu berbuka so semua itu tidak jadi masalah. Alangkah leganya bila azan Maghrib berkumandang, bolehlah aku melepaskan lapar dan dahaga (serta penat berulang-alik) setelah seharian berpuasa dengan menikmati sajian yang biasa-biasa jer. Lepas aku berbuka tu tiba-tiba ada orang call. Hah…. aku pun dengan nervous dan guilty sebab tak reply sms tadi, akhirnya telah bercakap dengan orang itu. Pendek jer berborak pasal orang tu takder kredit…hehe….

Dalam pukul 10 lebih tu kawan aku call ajak pergi Coffee Bean minum-minum dan lepak-lepak. Kami ternampak seorang artis wanita dengan husband dia. Ramainya orang kat sini, queue untuk ambil order pun panjang. Aku minum café latte dan makan cheese cake yang lembut sedap dan tak puas makan. Sesambil tu aku hantar sms kepada orang yang call tadi ucapkan thank you kerana menelefon dan bertanya perihal majlis berbuka puasa yang dihadirinya. Kami minum dan bersembang di kafe tersebut lebih kurang sejam lah duduk melepak dalam tu. Ternampak pelakon Zed Zaidi apabila keluar dari Coffee Bean. Dia dengan beberapa kawan yang tak dikenali menuju ke arah kereta Wira.