Thursday, July 26, 2007

Kuiz Harry Potter


Find out your Harry Potter personality at LiquidGeneration!


Mencuba kuiz di atas dari blog mamaikmal dan saya adalah Harry Potter! (Ini sekali cuba je tau. Saya tak ada buat dua tiga kali.. hehe.. )Saya belum habis lagi membaca The Order of Pheonix apabila filemnya keluar. Lagipun saya sudah tahu kesudahannya melalui adik saya *dia sudah habiskan buku itu lebih awal* jadi kalau saya tonton filemnya dulu pun ia tidak merosakkan apa-apa.

Walaupun banyak yang di buang – setakat bab yang saya baca ini & apa yang saya tidak terlepas pandang – misalnya ketika Ron dan Hermione di lantik jadi pengawas, saat berkongsi koc dengan Luna, Hedwig cedera, Dobby muncul, tapi itu tidak mencacatkan cerita. Tetapi nasib baik masih ada juga pasal Kreacher sikit (itu pun setelah JK Rowling desak) dimasukkan dalam filem supaya kesinambungan untuk sekuel akan datang tidak begitu terjejas.

Namun seperti yang pernah diucapkan oleh Lisa Simpson kepada Rowling dalam satu episod siri The Simpsons, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau. Kerana Harry Potter inilah, kanak-kanak seluruh dunia kembali membaca buku. Tak kiralah sama ada ia berharga 69.90 atau 109.90.

Wednesday, July 25, 2007

Anak-anak Dewasa

Menonton Little Children bagaikan menonton satu episod dalam Desperate Housewives. Berlokasi di sebuah kejiranan pinggir bandar. Wanita-wanita yang menjadi surirumah dengan anak-anak kecil serta menjaga urusan rumahtangga. Komuniti sederhana yang melingkungi tempat tinggal sehari-hari, mereka yang saling kenal dan menyapa serta berharap keharmonian tidak akan tergugat. Tetapi hidup di mana pun manusia bertapak, tetapi dipenuhi drama.

Taman permainan kanak-kanak itu menjadi teras dalam filem ini. Seperti detik bermula bagaimana Sarah (lakonan Kate Winslet) terpanah oleh kehadiran Brad (Patrick Wilson) di kala itu mengendong anak lelakinya ke sana. Di situlah juga tempat Ronnie (Jackie Earl Haley) dikatakan membuat aktiviti gangguan seks kepada golongan bawah umur sehingga di berkas. Atau kaki lima bangunan tempat Brad berharap dapat bermain papan selaju dengan para remaja. Serta stadium di mana Brad dan Larry (Noah Emmerich) bermain football. Seperti tajuknya yang mengambil kanak-kanak sebagai alegori, permainan orang dewasa adalah lebih membahayakan lagi.

Kita dipaparkan dengan dilema Sarah dan Brad yang bermain kayu tiga dengan pasangan masing-masing. Apa yang bermula sebagai menyahut cabaran untuk mendapat nombor telefon bertukar menjadi kemelut hati dan perasaan sehingga sukar menduga bagaimana penghujungnya. Malah mereka pandai mengeksploitasi anak-anak untuk melepaskan diri. Walaupun secara psikologi kita nampak kekeliruan dan serba-salah tetapi dalam masa yang sama mereka ingin terjebak dengannya, semua itu berjaya dilakonkan penuh bermakna oleh pemerannya.

Malah filem ini di bantu pula oleh suara latar yang entah siapa yang seakan tahu segala-galanya gerak-geri serta emosi setiap watak-watak pada sesetengah adegan walaupun dengan visual itu kita sendiri pun boleh lihat. Paling menarik perhatianku ialah si peodephilia itu yang di sisih masyarakat tetapi masih mendapat belas dan kasih sayang ibunya yang tidak berbelah-bagi. Ronnie itulah yang sangat cemerlang di sini walaupun hanya tampil lebih kurang separuh ke-dua filem tetapi melalui posternya saja yang tertampal di sekitar perumahan yang memberi amaran tentang bekas pesalah ini adalah kiasan kepada apabila munculnya saja beliau di skrin bersedialah untuk satu intensiti.

Walaupun beberapa karektor itu tidak mempunyai kaitan secara langsung seperti juga kita dengan jiran tetangga yang tidak semuanya kita sempat bertegur sapa. Tetapi ada faktor yang menjadi penghubung untuk semua itu supaya ada pautan. Macam Larry contohnya yang ingatkan dia sekadar tempelan tetapi bekas polis ini yang pernah terlibat dalam satu kes di zaman silam mempergunakan Ronnie untuk membersihkan namanya sehingga mengundang ancaman kepada masyarakat sekeliling. Ia diadun dengan elok sampai klimaksnya kita cepat berharap supaya ia tidak bertambah buruk.

Filem begini dengan tema yang biasa mengenai kekeluargaan serta masyarakat juga adalah tentang peluang kedua. Semua orang patut di beri ruang untuk bermula sekali lagi. Walaupun kita tidak dapat kembali ke zaman kanak-kanak, sebelum mati seharusnya kita berpeluang untuk membetulkan kesilapan diri.

Tuesday, July 24, 2007

Gala

Hahhaha… memang seronok tak hengatt dapat tengok tayangan perdana The Simpsons Movie ni…. tapi tak tahu lah buat kat mana tu kan...


Jangan lah korang percaya, menipu jer semua tu

Monday, July 23, 2007

Tegakkan Bendera Kita

Filem tentang sejarah boleh menginsafkan. Atau mengusik emosi. Atau menimbulkan semangat membara. Atau membuatkan kita pening kepala. Flags of Our Fathers cuba menjadi patriotik secara tidak buat orang meluat dengan mengangkat subjek perang di perairan pasifik Iwo Jima menentang Jepun ketika perang dunia ke-dua. Tidak ada yang lebih mengesankan pada detik itu selain melihat gambar bendera Amerika cuba ditegakkan dalam sela-sela pertempuran yang masih meletus.

Inilah matlamat filem itu, merakamkan kisah di sebalik tabir dalam satu peristiwa yang getir melalui sekeping gambar sebagai mercu. Menarik juga kalau kita dapat tahu tentang itu sekurang-kurangnya kita tidak menganggap itu adalah gambar Tugu Negara! Tapi kedua-dua itu ada persamaan, ia berkaitan dengan peperangan serta mewirakan mereka yang berhabis-habisan mempertahankan negara. Namun ironinya Iwo Jima itu bukanlah sebahagian daripada Amerika.

Di sinilah perspektifnya tentang kewajaran perang itu sendiri seperti yang masih berlaku sehingga sekarang dengan garisan kabur memperjuangkan sesuatu nilai. Sebenarnya perang masih belum tamat semasa bendera itu di pacak di atas bukit. Tiga daripada tentera yang beraksi dalam gambar itu di panggil pulang ke tanahair menyertai misi membantu kerajaan dalam mendapat sokongan rakyat melalui pembelian war bonds.

Tidak pernah terbayang pula taktik begini kerana menyangka yang pihak pemerintah sentiasa mempunyai sumber yang cukup untuk membiayai misi mereka. Malah dalam Flags of Our Fathers inilah dua elemen yang diselang-seli antara road show tiga askar itu untuk meraih simpati rakyat serta babak-babak medan pertempuran di pulau sana. Di samping itu kita juga di bawa menyorot kisah askar tersebut pada masa sekarang setelah tua melalui naratif apa yang terjadi selepas perang berakhir. Itu yang pening sikit tu kalau tak fokus.

Ia bukan semata-mata tentang pertempuran sengit di medan yang meragut nyawa. Malah kebanyakan tone filem ini di buat suram macam sebuah karya technicolor zaman dulu. Jadi tidak terasa kejamnya perang sebaliknya paparan kemanusiaan melalui watak tiga tentera yang kembali itu terutama peranan Ira Hayes lakonan Adam Beach yang paling impak. Melaluinya, kita akan berfikir semula cara kita mengenangi dan membalas jasa para perajurit yang berbakti pada nusa dan bangsa sehingga kita dapat hidup dalam suasana yang aman-damai serta kita sendiri juga boleh mengibarkan panji-panji.

Thursday, July 12, 2007

Jemputlah ke Pawagam

Ada satu majalah baru keluar di pasaran sekarang. Tajuknya Remix. Cover pertamanya adalah seorang gadis bernama Kat sedang posing dengan mulut ternganga. Ada ruangan review filem dalam majalah tu. Sebab memang minat aku baca benda-benda ulasan filem ni, aku pun baca. Tiga buah filem diutarakan dalam ruangan tersebut iaitu The Invisible, Diva dan Vacancy.

Bila aku perhatikan ketiga-tiga review yang di tulis untuk filem tersebut, ke semuanya diakhirinya dengan ayat yang lebih kurang sama. Macam tak ada idea lain. Lihat contoh seperti yang aku taip balik ni,

The Invisible

“Kalau nak tahu bagaimana pihak polis merungkai misteri kehilangannya, jemputlah ke pawagam berdekatan anda”

Diva

“Kalau nak tahu apa itu Jiwa dan kenapa ia ditubuhkan oleh Kartika serta mampukah ibunya memaafkannya, jemputlah ke pawagam berdekatan anda”

Vacancy

“Jika hendak tahu kenapa mereka takut dan siapakah yang bertanggungjawab merakamkan gambar mereka, jemputlah ke pawagam berdekatan anda”

Jemput sekali dah ler, nanti pandai-pandai ler orang pergi sendiri. Atau pun tak payah nak guna ayat jemput-jemput (macam bunyi kuih lak) tu, tulis satu ayat lain atau guna perkataan pergi, misalnya atau pandai-pandailah variasikan sendiri supaya jadi sedap di baca. Kat bawah ni aku cuba menjawab “jemputan” seperti yang di undang penulis review tersebut.

The Invisible

Saya rasa saya dah tahu macam mana cara pihak polis merungkai misteri kehilangannya itu sebab berdasarkan dari trailernya saja macam dah tahu a whole story. Tapi jemputan awak ni akan saya pertimbangkan.

Diva

Terima kasih kerana menjemput but no thanks!

Vacancy

Hahaha….. saya dah tahu kenapa mereka takut dan siapakah yang bertanggungjawab semua tu. Saya dah tengok melalui dvd. Jemputan awak terpaksa di tolak.

Thursday, July 05, 2007

Dendam Dari Penjara

Ini adalah trilogi terakhir yang terkandung dalam siri Vengeance, Park Chan-wook tetapi ini yang pertama aku tengok. Terjemahan daripada tajuknya yang tidak beritma di tambah asal-usul dua cerita terawal yang aku tak berapa tahu (tiada kaitan secara langsung) serta bukan penggemar sinema Asia timur namun aku beri peluang kepada filem ini setelah menerima desakan seorang kawan. Verdiknya?

Mula-mula tanggapan pertama aku ialah mungkin susah sikit aku nak faham. Sebab ia bukan straight-forward, kita kena susun sendiri kronologi – bagaimana perempuan itu boleh dipenjarakan (aku ingat dia duduk dalam asrama), hubungannya dengan rakan-rakan sesama jel, profile banduan-banduan lain, perancangan yang dibuatnya, kisah orang-orang lain yang ada kena-mengena, mimpi dan dendamnya yang di buat secara artistik lagi puitis sekaligus memaksa kita bersimpati dengannya. Sedangkan kalau di buat secara garis lurus mungkin lagi menjemukan jadi baik kita cuba jalan bersimpang-siur.

Ok, mungkin ceritanya adalah perkara sekunder tetapi aspek yang membuatkan mataku tertancap ialah visual warnanya yang begitu merangsang seawal kredit pembukaan. Aku anggap ini gaya beliau atau ia ada signifikan tertentu tentang apa yang menunggu kita sebaik karektor-karektornya enterframe. Satu lagi unsur cuaca yang memainkan peranan penting, di sini salji yang mendominasi semangat filem ini iaitu dendam seorang perempuan namun sebagaimana sifat salji itu yang lembut dan gebu ia masih ada timbang rasa atau memahami. Macam mana pula kalau ribut salji melanda? Sebab itulah kebanyakkan nama ribut taufan didedikasikan kepada wanita (teori yang pernah di dengar).

Satu lagi keunikan filem ini ialah bagaimana dia ingin melunaskan dendam itu supaya kesumatnya berbalas. Daripada review yang aku baca ia tidak sengeri atau ganas seperti di buat oleh siri terdahulu. Sebab aku tak boleh bandingkan macam mana, stail keganasan yang ditonjolkan dalam filem ini lebih banyak memerlukan penonton gambarkan sendiri semua itu. Ia cuma bekalkan kita dengan senjata – parang, kapak, malah pistol antik serta darah berceceran maka yang selebihnya kita ikhtiarkan sendiri. Mungkin pengarahnya malas nak suap banyak-banyak atau jika kita sendiri yang berdendam cuba bayangkan apa tindakan paling buruk yang dapat kita ambil.

Olahan cerita yang smart, dialog yang minimum serta naratif yang padat, lakonan bersahaja tetapi berkesan dan yang menakjubkan teknik gambar cantik dan memukau membuatkan aku terpaksa bersetuju yang filem ini cemerlang. Melainkan aku telah menonton dua filem terawal dalam siri ini mungkin pendapat aku akan bercanggah sikit. Tapi aku fikir walaupun dendam itu lazimnya hak milik individu namun Sympathy for Lady Vengeance ada falsafah dendamnya sendiri yang tidak terjangkaukan.

Monday, July 02, 2007

Bersendirian Dengan Hot Fadz Fuzz

Urghhh… nampaknya aku kena berhenti tulis benda yang aku tak pandai. Aku telah baca banyak review untuk Hot Fuzz dan begitu ramai yang memuji filem tu sedangkan aku tidaklah begitu menyanjunginya setelah menonton. Lain kali aku ingin sematkan dalam hati bahawa black comedy stail British bukanlah aku punya secawan teh (hehe).

Comedy? Yes

Black? Yes

Black and alone? Yes and yes!

Bayangkan menonton cerita black comedy di dalam panggung yang gelap dan sempit dan seorang diri pula. Sedangkan itu hari Sabtu yang sepatutnya lebih ramai orang. Memang ada ramai orang tapi semuanya nak tengok Transformers (oh, aku dah tengok Transformers. Best!) Dah-lah aku duduk di barisan tengah. Aku takut nak pindah ke kerusi paling belakang – malah nak pandang belakang pun aku tak berani! Peliknya aku tak pula nak keluar panggung sebab tak selesa tengok seorang diri. Aku bertahan tengok sampai habis.

Kalau berdasarkan sinopsisnya Hot Fuzz ini bukannya sebuah kisah yang seram. Tapi sebab ada banyak sound effects yang kuat dan secara tiba-tiba seperti bunyi laci di buka, pintu di hempas, air di tuang, kereta di brek – semua bunyi di buat secara melampau tahap decibel berapa ntah, sampai banyak kali aku terkejut. Dah-lah aku sorang-sorang dalam tu. Itu belum di tambah dengan kemunculan watak berjubah ala-ala Grim Reaper yang tak semena-mena ada dalam skrin. Semakin seram ler jadinya.

Tapi berbaloi lah tunggu sampai habis kerana kita ingin tahu juga kesudahan misteri pembunuhan yang berlaku di kampung yang kononnya aman permai tersebut. Kelakarnya apabila mereka memperolokkan filem aksi tipikal Hollywood berlatarkan sebuah desa terpencil Inggeris yang selalunya action movies memang terlebih dramatik dan terlalu dibuat-buat. Hot Fuzz pula adalah saduran bijak daripada genre berkenaan dengan idea yang licik dan di perkukuhkan oleh lakonan mantap serta prestasi baik yang di bawa sebelum ini oleh Shaun of the Dead.

Bila lampu di buka semula dan aku ingin melangkah keluar, si cleaner kelihatan hairan melihat aku seorang di dalam lantas menegur

“Satu orang saja kah?”

“Ya,”

Terasa macam satu pencapaian di situ, bersendirian dalam panggung dengan filem yang aku bukan minat sangat. Mungkin lain halnya kalau ada lebih ramai orang sedang menonton bersama ketika itu. Maybe akan berjangkit lebih vibe untuk aku appreciate. Atau lebih sesuai lagi jika aku tengok filem hantu Siam, Alone secara alone?