Thursday, December 30, 2010

Gulliver's Travel

Aku tak ingat riwayat sebenar kisah klasik Gulliver's Travel ini. Apabila menonton trailer versi terbaru daripada Hollywood, tentulah taktik menggunakan manusia gergasi terperangkap dalam dunia orang kenit itu, ia sangat menjadi. Dan si gergasi itu ialah Jack Black. Jika ini boleh membuatkan ramai akan memenuhi panggung dan bergelak ketawa dalam sisa-sisa tahun 2010 ini kian ke penghujung, maka tercapailah juga matlamat itu.

Rasanya sudah agak lama tidak tengok sebuah filem yang menggabungkan orang gergasi dengan makhluk kenit begini. Sudah dapat di bayangkan komplikasi yang mungkin berlaku jika kedua-duanya berpapasan. Setelah menyelidik sedikit, pertembungan antara Gulliver dengan masyarakat mini Lilliput itu saja yang angkat sebagai inti dalam olahan semula cerita rakyat tersebut yang disesuaikan dengan kombinasi persekitaran moden dan zaman dahulukala. Segala aspek yang kekok, tak masuk akal namun kelakar dan ada juga yang hambar tersaji dalam filem sederhana saja prestasinya ni.

Kalau anda peminat kental Jack Black, maka anda tak kisah untuk menonton aksi ulangannya yang mirip lakonannya dalam filem-filem terdahulu. Mesejnya agak menjentik juga bagi aku yang buat kerja pejabat yang rutin dan seperti tidak berkembang macam wataknya itu juga. Lalu apabila ada peluang untuk meneroka dimensi baru walaupun sehingga terpaksa di sedut pusaran gelombang pun, berbaloi jika itu pengalaman gratis yang bakal mencetuskan revolusi dalam hidup.

Wednesday, December 29, 2010

My Soul To Take

Ok, memanglah tidak ada yang baru atau menakjubkan pasal filem teen slasher horror ini, tapi kalau dah minat tu, tetap juga nak tengok. Menggunakan barisan pelakon remaja yang tidak begitu dikenali, tetapi nama pengarahnya Wes Craven sudah cukup sebagai umpan. Setelah dalam 5 tahun tidak mengeluarkan sebarang cereka terbaru, kali ini beliau warm-up kita semua dengan filem ini sebelum kita semua menjerit dengan Scream 4 tahun depan.

Premisnya agak dekat dengan realiti kepada beberapa peristiwa yang berlaku di tanahair pasal manusia kelihatan normal tetapi sebenarnya mental yang sedang dalam frasa pemulihan dan masih bergantung pada ubat-ubatan akhirnya tertewas juga dengan kesasauan minda lalu menimbulkan kesudahan yang hodoh. Ngeri untuk membayangkan prospek begini di kala hidup tenteram tanpa stigma berkait dengan mereka yang putus wayar tiba-tiba menjadi igauan sepanjang hayat. Oleh kerana ia bertemakan misteri, kita diselitkan plot bahawa roh pembunuh itu menyerap masuk dalam salah satu jasad tujuh bayi yang lahir pada ketika si psiko itu dilaporkan menemui maut. Untuk menambahkan suspen, mayat pembunuh itu tidak pernah pula ditemui dan dikhuatiri ia sebenarnya masih liat bernyawa.

Sebenarnya aku lebih sukakan bahagian prolog filem ini yang agak mendebarkan dan ganas. Saat si bapa itu bertukar personaliti dan mula mengamuk lebih berkesan daripada cerita sebenar yang ingin ditampilkan berkenaan sekumpulan remaja yang obses dan resah dengan momokan turun-temurun bahawa seorang antagonis akan kembali dari oblivion untuk memusnahkan mereka. Silapnya semata-mata kerana mereka lahir tatkala penjahat itu dibasmikan dari muka bumi ini. Entah bagaimana anak-anak muda terbabit dan penduduk di pekan itu boleh dapat idea mengarut sebegitu. Tapi tentulah apa yang mereka takutkan tetap jadi kenyataan! Tonton ini jika anda peminat setia Craven.

Tuesday, December 28, 2010

Janin

Filem bercorak seram ini muncul di celah-celah filem lain bergenre serupa yang mendapat publisiti dan di beri liputan lebih meluas sebelum mula ditayangkan lagi. Tetapi Janin sehingga dah masuk seminggu di panggung kelihatan sekadar adanya dan suam-suam saja. Mungkin di kalangan mereka yang mengikut siri tv remaja, Dunia Baru patut menjengah filem ini di pawagam kerana dua tenaga kerja daripada drama tersebut, Wan Hasliza dan M. Hitler telah bergabung skil mereka sekali lagi, kali ini untuk sebuah produk yang berbeza.

Apabila terpapar saja apakah isu yang di bawa filem ini, aku terus teringatkan cerita kawan aku. Di kampung dia pun buat masa ni memang tengok heboh ada toyol mencuri duit jiran-jiran sekampung dia, termasuklah keluarga dia sendiri kena. Mak dia suspek ada seorang tua di situ yang bela toyol dan melakukan onar ini. Masa dengar dia yang bersungguh-sungguh bercerita itu, aku tak rasa nak ambil serius. Tapi tak adalah aku nak mencemuh dengan memperolok-olokkan kejadian paranormal yang sedang menimpa dia dan masyarakat sekelilingnya itu.

Jadi memang sangat kenalah filem Janin ni dalam beberapa elemennya yang berkaitan dengan situasi dialami kawanku. Hanya, tentulah ia tidak terlampau ekstrem seperti beberapa babak yang ditampilkan sehingga ia mendapat klasifikasi 18 tahun ke atas saja. Segala desas-desus yang pernah kita dengar tentang toyol akan di bongkar dalam filem ini dan ada sesuatu yang langka pada makhluk itu kali ini untuk mengubah pandangan anda.

Untuk reviu yang merangsang, sila jenguk sini.

Monday, December 27, 2010

Fair Game

Ingatkan ini remake filem lakonan Cindy Crawford dan William Baldwin tu. Rupa-rupanya tajuk saja yang sama malah isinya lebih berkuasa daripada cerita gred-B terbitan pertengahan 90-an tersebut. Walaupun aku tidak tahu apa-apa (seperti biasa) apabila pergi memutuskan untuk menontonnya, pemandangan Kuala Lumpur pada permulaan tayangan boleh jadi daya pemikat. Sebelum fikiran anda akan mula berwaspada sama ada filem ini cuba memanipulasi bandaraya ini menjadi objek prejudis mereka atau ia sebenarnya langsung tiada rujukan apa-apa, secara teknikal, ia sekadar batu loncatan untuk karektor utama ini mengesahkan misinya.

Ini isu yang agak lapuk jika menjelang separuh ceritanya baru anda dapat tangkap apa sebenarnya yang ia mainkan. Memang pun begitu kerana filem ini berdasarkan buku karya Valerie Plame berjudul sama dan buku "The Politics of Truth" hasil tulisan suami beliau, Joseph Wilson. Naomi Watts memegang peranan sebagai Valerie bekas pegawai CIA yang didedahkan identitinya secara halus apabila suaminya itu lakonan Sean Penn menulis dalam suratkhabar melaporkan hal yang tidak sebulu dengan White House berkenaan senjata pemusnah yang kononnya terdapat di Iraq semasa pemerintahan Saddam Hussein. Jika pada masa sekarang pembongkaran seperti itu kita namakan sebagai "Wikileaks", ya, itulah ledakan maklumat yang paling ingin dihindari oleh pejabat presiden di sana.

Kita mungkin tidak percaya dengan dakwaan AS bahawa Iraq memang menyembunyikan bahan yang merbahaya itu cuma tiada upaya untuk membuktikannya tetapi kita tetap mengutuk tindakan perang yang Bush lancarkan terhadap negara teluk ini. Valerie yang sedaya boleh ingin menyembunyikan identitinya sebagai pegawai dalam badan risikan itu di kalangan rakan dan tetangga kerana kerjaya yang sungguh berisiko akhirnya di gegar tindakbalas yang mengancam peribadi dan masa depan sendiri apabila strateginya menggunakan sumber dalaman bagi mendapatkan informasi rupa-rupanya mendatangkan implikasi yang bukan kepalang. Beberapa faktor kemudian yang menekannya dan suami memaksa mereka menghadapi sebarang kemungkinan dengan kudrat sendiri.

Sehinggakan dalam satu babak apabila Sean Penn ingin membuka pintu kereta terdengar penonton berkata “Habislah kena bom…” sampai ke situ kita terpaksa memikirkan tindakbalas yang akan menimpa pasangan ini. Kalau di luar lakonan, mungkin itu juga situasi yang Penn bakal terima jika ada sesiapa di negara itu yang tidak dapat bertoleransi dengan aktor ini yang terkenal begitu lantang mengkritik dasar AS. Seperti yang ditunjukkan di penghujung durasi, tiada apa-apa hukuman atau pembalasan yang kita rasa sepatutnya berpihak. Cuma melalui buku dan filem ini saja yang khalayak dapat sedikit pencerahan tentang konflik yang berlaku cuma kita tidak mampu untuk mengelakkan kemusnahan yang sudah terjadi.

Saturday, December 18, 2010

Juara Amazing Race 17



Ya, aku tahu. Sudah basi untuk bercakap tentang hal ini. Tapi aku baru saja menyaksikan finale Amazing Race ke-17 hari ini dan akhirnya pasukan perempuan-perempuan telah menjadi juara. Nat Strand dan Kat Chang yang merupakan para doktor dari Arizona telah berjaya memecahkan rekod untuk menyandang gelaran itu. Banyak musim juga rancangan ini terpaksa menanti gandingan wanita setelah selalunya pasangan berlainan jantina atau kedua-duanya lelaki saja yang asyik menang.

Cuma masa mula-mula dulu aku sokong pasukan penyanyi acapella, Connor dan Jonathan graduan Ivy League tu. Tapi sayang mereka tersingkir setelah berhempas pulas menyudahkan aktiviti di Sweden. Bagus juga mereka terkeluar sebab lama-lama macam annoying pulak bila mereka asyik nak menyanyi tak kena gaya. Bagi aku pasukan lain yang tinggal untuk menang adalah sama-rata kerana masing-masing nampaknya memiliki daya kekuatan fizikal dan mental yang setara.

Walaupun tidak begitu menyokong Nat dan Kat tetapi aku tidak boleh menidakkan semangat berlawan yang ada dalam diri mereka sehingga ketika “Double U-Turn” sanggup menggunakan peluang itu bagi melengahkan pasangan lain. Malah Brook dan Claire yang menjadi naib johan tambah memaniskan keadaan yang memastikan dua tempat teratas diduduki oleh kumpulan wanita juga. Mereka yang merupakan hos program membeli-belah memang sangat bertenaga, tidak mudah putus asa, sentiasa tampil positif walaupun muka Claire teruk dihentam buah tembikai dalam satu tugasan dulu.

Untuk musim akan datang, rancangan realiti ini telah memanggil balik beberapa pasukan yang pernah bertanding untuk kembali berlumba. Agak menarik untuk meninjau prestasi bekas peserta terutama terdiri dari wanita-wanita sama ada mereka boleh merangka semula strategi atau merancang untuk bermain dengan lebih baik supaya tiga posisi teratas berjaya ditakluk. Sama-sama kita nantikan adakah untuk kali ke-dua berturut-turut para perempuan ini boleh menjuarainya.

Thursday, December 16, 2010

Aku Tak Bodoh

Kawan aku yang turut terlibat di belakang tabir filem ini sudah menguar-uarkan tentangnya sejak dari tahun lepas lagi. Aku mula-mula bila dengar tajuknya terus teringatkan I Not Stupid disebabkan oleh terjemahan secara langsung itu. Dia cakap memang produksi dari Singapore pun filem ni. Aku tak sangka ia akan di bikin semula di sini kerana aku tidak rasa macam ada potensi. Entahlah. Aku bukannya tahu sangat agenda dan prospek industri penerbitan filem-filem ni semua.

Panggung agak penuh masa tu di Wangsa Maju yang majoritinya adalah keluarga dan remaja. Filem ini memang sangat berorientasikan mereka yang boleh dekat dengan suasana dan latar-belakang urban yang berhadapan dengan pancaroba, dilema dan nilai yang cuba ditafsirkan dan dipertahankan dalam sesebuah isi rumah dan masyarakat secara kolektif. Pertembungan dua generasi yang hidup sebumbung dan diwakili oleh dua jenis keluarga telah menjadi asas filem ini yang intipatinya memang pernah kita hadap dalam slot cerekarama di kaca tv.

Aku agak skeptikal dengan filem ini sebab bayangan awal yang aku dapat ia tentang budak sekolah dan drama rumahtangga tidak begitu merangsangkan. Tapi kalau aku terjumpa kawan aku nanti boleh lah aku bagitahu aku dah tengok filem yang dia turut membabitkan diri tu. Beberapa minit terawal menonton, filem ini sudah nampak ada tarikannya tersendiri. Walaupun temanya biasa saja, tapi cara olahannya agak menarik dan mampu mengawal minat penonton secara konsisten dengan iringan humor, syahdu dan syarahan tatarakyat yang seimbang. Namun beberapa babak terasa macam di ambil bulat-bulat daripada filem asal sehingga tiada nuansa Melayu dipaparkan yang sekurang-kurangnya cuba di beri landas agama terutamanya di meja makan itu.

Atau itu memang sengaja sebagai sindiran kepada golongan Melayu kelas menengah dan yang tidak berkelas yang sibuk mengejar duniawi sehingga mengabaikan kepentingan rohani? Aku Tak Bodoh memang di buat dengan ibu bapa dan anak-anak disasarkan sebagai fokus kumpulan. Beberapa isu dan topik diutarakan lewat filem ini sama ada yang berlapis atau didaktik, menuntut mereka duduk semeja dan berkomunikasi secara jelas, berhemah dan berkasih-mesra.

Tuesday, December 14, 2010

Due Date

Daripada Todd Phillip yang menyuguhkan The Hangover, kita dihidangkan pula dengan Due Date yang turut menampilkan Zach Galifianakis sekali lagi bersama pengarah itu yang ingin terus mengeksploitasi bakat dan kepopularannya. Di pasangkan dengan gandingan tidak terjangka Robert Downey Jr sebagai teman kembara seiring jalan, filem ini sepatutnya riuh dengan gelak ketawa dan aksi jenaka melangkau ufuk. Namun ia seakan silap bancuhan kimia yang di harap dapat membuahkan pulangan serupa. Mungkin sebab mereka terlalu taksub pada formula yang sama.

Zach digambarkan sebagai seorang yang bercita-cita ingin jadi pelakon dan sedang menuju ke Hollywood. Manakala Robert ialah arkitek yang dalam perjalanan pulang untuk menemani isterinya yang sudah due untuk bersalin. Mereka terpaksa berkongsi kereta menyusur laluan panjang ke LA disebabkan oleh suatu salah faham dengan pihak berkuasa penerbangan. Kekecohan tidak berhenti setakat dalam pesawat apabila dalam kereta juga dua manusia dengan personaliti berbeza ini turut bertingkah dan saling membambu.

Aku tidak faham kenapa watak Zach tu perlu di beri keletah agak lembut begitu. Mungkin sebab dia nak jadi artis? Manakala Robert pula selalu bermuka ketat dan tidak berperasaan lebih-lebih lagi masa dia berkeras dengan anak penjual dadah itu dan meludah anjing Zach. Tidak ada karektor yang di gemari di sini walaupun beberapa nama terkenal seperti Juliette Lewis, Jamie Foxx dan Danny McBride turut muncul sebagai pembantu. Sampaikan anjing itu pun aku tak lalu nak tengok (tapi tak patutlah sampai dia kena ludah kan…)

Oleh kerana ini road movie yang kebanyakan aksi akan berlaku di jalanan serta pelakon yang bermain agak minimum serta dinamik untuk perkembangan watak itu agak terhad jadi kita mungkin berharap agar lebih banyak dialog yang lucu atau momen yang kelakar untuk di beri perhatian. Namun Due Date kekurangan semua itu. Malah Zach kelihatan berusaha keras untuk jadi lawak sepanjang filem ini. Tapi bagi aku, cameo yang dibuatnya semasa Two and a Half Men di akhir filem itu lebih mencuit hati.

Friday, December 10, 2010

Haunted Changi

Filem ni lebih kurang macam “Blair Witch Project”, menurut Kekure sebelum kitorang, termasuk Gaia masuk ke panggung di MidValley. Aku memang pernah mendengar yang filem Singapura ini berkonsep dokumentari tetapi tidak sangka pula ia menceduk 100% gimik dan senario seperti produksi tersebut yang telah mencetuskan fenomena dan mengaut keuntungan di luar jangkaan. Kenapa tidak membuat konsep doku-drama yang lebih konvensional tanpa berharap pada pseudo-realiti dan propaganda untuk menarik minat? Lagipun idea sebegini sudah lapuk. Tiada sebab nak percaya testimoni yang dangkal macam tu lagi. Ia hanya tambah menjengkelkan.

Apabila melihat bangunan usang dan terbiar itu, terdetik di hatiku, kenapa pihak berkuasa mereka tidak berbuat sesuatu tentang tempat ini? Merobohkannya atau jalankan restorasi supaya ia di beri nafas baru dan boleh dimanafaatkan kembali. Bukankah mereka sangat terhad ruang dan saiz jadi setiap penjuru adalah sudut berharga. Tiba-tiba ada pula binaan kumal yang teguh berdiri jadi saksi kepada hikayat misteri tempatan yang tidak sepatutnya berlaku jika ia terus disengajakan wujud di situ.

Bagi orang luar, Changi akan lebih diingati sebagai tempat mendarat apabila masuk ke republik itu. Namun menerusi filem ini, kita ada satu lagi mercu tanda untuk mengaitkan tempat tersebut apabila ia dikatakan kawasan paling berpuaka di sana menerusi bangunan hospital lama Changi yang ditinggalkan mereput dan lusuh. Bukan lagi rahsia bagi lokasi sebegitu untuk di dakwa sebagai berhantu dan menakutkan jika sudah berzaman dibiarkan jelek dan buruk sendiri. Tapi reputasi negatif sebegitu di ambil sekumpulan anak muda di sana untuk mencabar kreativiti mereka merakam sesuatu yang telah lama menjadi buah mulut komuniti setempat sebagai produk filem.

Dan hasilnya kurang efektif kerana idea yang dikitar semula dari Blair Witch itu tadi tanpa sebarang usaha untuk cipta atau cetus semula sesuatu yang baru supaya kita boleh mendapat input yang lagi segar. Teknik yang diinspirasikan ini sangat meletihkan untuk memacu otak kita supaya menerima ini kononnya adalah kejadian sebenar dan mereka semua mangsa kepada konspirasi entiti yang menghuni bangunan terbabit. Ya, aku harap mereka semua betul-betul menderita sebagaimana yang mereka filemkan itu supaya tidak dapat menyeksa penonton lagi dengan idea lemau mereka pada masa akan datang.

Tuesday, December 07, 2010

Unstoppable

Filem ini sudah di tayang agak lama di pawagam tapi aku baru saja menontonnya. Lagipun kawan aku ada mention tentang filem ni jadi aku rasa macam nak tengok. Seperti mana yang tajuknya diketahui, memang itulah hasil yang anda dapati. Ini filem Tony Scott yang paling jinak dan tone down aku fikir setakat ini. Menggunakan medium keretapi sebagai bahan penggerak untuk menghidupkan ceritanya, ia memang berharap pada kenderaan itu saja sebagai aksi utama. Malah, kita seakan boleh mendengar keretapi itu “bertempik” melalui bingit bunyi yang dihasilkannya tatkala melalui landasan.

Pengarah Unstoppable ini meneruskan kerjasama dengan Denzel Washington dalam sebuah lagi kisah aksi yang agak luar biasa kerana tidak melibatkan orang jahat. Ok, mungkin ketua syarikat lokomotif itu boleh di anggap sebagai antagonis tapi tidak cukup untuk diberikan kredit. Denzel berpasangan dengan Chris Pine sebagai wira yang dalam usaha untuk menghalang sebuah gerabak yang sedang meluncur laju tanpa pengemudi akibat kesilapan manusia. Tambah membahayakan lagi, salah satu koc yang diusungnya mengandungi bahan toksik yang boleh membinasakan sekiranya ia tergelincir daripada rel.

Unstoppable lebih menarik perhatian kerana label diinspirasikan daripada kejadian sebenar pada posternya. Jadi kita boleh menyemak sendiri di internet untuk mengenalpasti perisitiwa keretapi yang mana filem ini didasarkan. Di bahagian penamat cerita, penonton dipaparkan dengan teks mengenai apa yang berlaku selanjutnya kepada watak-watak yang terlibat dalam filem tersebut. Namun yang pastinya tren itu juga bernasib baik kerana dapat meneruskan perkhidmatan untuk berbakti kepada para pengguna setelah melalui episod genting seperti itu.

Friday, November 26, 2010

Let Me In

Aku tak tahu sama ada cubaan aku untuk menonton Let the Right One In yang sampai ke sudah tidak berjaya adalah satu rahmat atau patut disesali. Tapi menurut beberapa reviu yang aku baca, versi remake arahan Matt Reeves ini adalah lebih bertenaga dan jitu. Sebab tidak dapat membandingkan, aku akur saja dengan pendapat mereka bahawa Let Me In memang sangat baik buatannya dan aku tidak ralat jika filem asalnya tidak dapat ditonton. Sekurang-kurangnya aku mahu membiarkan atmosfera itu masuk ke duniaku buat sekian waktu sebelum bersedia untuk menemukan produk awal yang mencetuskannya.

Berterus-terang aku ingin memihak kepada filem vampire ini setelah merasa jengkel dengan segala hiruk-pikuk publisiti yang dibawakan Twilight. Isi ceritanya lebih mengganggu, kompleks dan matang walau karektor utamanya adalah budak pra-akil baligh. Paling mengejutkan juga, ia turut romantis dan melankolik dalam ruang lingkup genre begini yang tidak dinafikan terkandung ngeri dan bahaya. Semua itu berpadu cantik untuk memberikan kita satu alternatif kepada kisah vampire yang boleh menggigit.

Menonton filem ini seperti kita di ajak mengintai atau menyelak batasan frem pada kelir kerana beberapa babak dan watak, shotnya terlalu dekat atau paparan di buat tidak menyeluruh sehingga naluri kita membuak-buak ingin tahu lebih lanjut. Dari awal pembukaan lagi kita sudah di usik dengan strategi itu apabila adegan dalam ambulans yang tidak jelas dengan dialog latar-belakang memang menimbulkan intrig. Malah memulakan rangka cerita daripada tengah juga barjaya membuatkan mood untuk suspen dan seram muncul tiba-tiba.

Ia bukanlah seram seperti nampaknya hantu di tengah skrin. Tetapi beberapa pendedahan yang dileraikan perlahan-lahan dalam Let Me In ini sangat menyeramkan bila difikirkan kembali. Contohnya bila kita tahu hubungan sebenar vampire itu dengan karektor dibawakan Richard Jenkins, memang tak terbayangkan mula-mula. Jalan ceritanya yang tidak straight-forward dan tidak menyuap jawapan kepada kita memang menyegarkan. Gandingan plot seorang budak yang hidup kesunyian dan sering di buli serta seorang vampire yang kesunyian dan terpaksa “membuli” untuk hidup adalah naratif yang mengasyikkan.

Pujian menggunung untuk dua pelakon cilik tersebut, Kodi Smit-McPhee dan Chloe Moretz yang membawakan peranan yang mencengkam itu dengan berkesan. Subjek begini yang sungguh mencabar dan melanggar batasan namun di tangan pengkaryanya telah melunaskan dengan berhemah dan terkawal. Let Me In secara kasarnya bersandarkan pada tema vampire itu untuk memikat penonton, tapi kita memerlukan penonton yang tahu bersabar dan berbudaya untuk menghargai cerita yang bagus tapi perlahan semacam ini.

Thursday, November 25, 2010

Megamind

Ada ungkapan menarik dalam Megamind yang menangkap perhatianku. Tak kira betapa buruk pun asal-usul kita, yang lebih bererti ialah di mana tempat kita akan berakhir nanti. Begitulah lebih kurang dialog si Megamind ni yang semasa bayinya telah mendarat di penjara. Ada sesetengah anak yang membesar dalam pusat tahanan disebabkan ibunya dijatuhkan hukuman ketika sedang hamil. Tetapi makhluk asing bernama Megamind ni terdampar di sana kerana laluannya dipesongkan ke situ bersama side-kick yang tidak kurang aneh tapi kelakar untuk menemaninya.

Dreamworks selalu mengetengahkan hero yang tidak semacam tipikal hero seperti Disney yang cantik lawa dan baik pekerti. Ini elok juga untuk menerapkan pada kanak-kanak bahawa fizikal luaran bukanlah penentu hati budi seseorang. Kalau tengok betul-betul pada trailernya tentu kita boleh suspek sesuatu yang tak kena apabila Megamind pula yang diangkat sebagai tajuk. Bukan Metroman. Tauladan yang ingin di beritahu ialah, setiap antara kita ada ciri-ciri baik dan buruknya yang tersendiri. Jadi terpulanglah kepada kita untuk memupuk sifat yang mana satu bagi menjana keupayaan diri dalam sebuah perjalanan hidup yang belum pasti.

Saturday, November 20, 2010

Menonton Filem di YouTube - Setinggan

Oleh kerana talian internet di kampung ini guna streamyx yang laju maka bolehlah tonton filem guna youtube. Kalau di KL memang sakit hati nak tengok youtube pasal kat kawasan rumah aku tu internetnya lembab. Jadi dengan adanya jalur lebar serba pantas di sini, aku pun fikir baik aku pilih satu cerita untuk di tonton. Seperti yang anda sedia maklum, kebanyakan video yang di muatnaik dalam laman itu memang pendek-pendek. Justeru, kenalah tengok filem yang panjang secara bahagian demi bahagian.

Entah kenapa filem pertama yang aku pilih untuk tonton secara dalam talian ini ialah Setinggan. Ada sebelas part semuanya dan terdapat juga sesetengah durasi yang tersekat-sekat tapi sekejap saja. Tidaklah sampai menjejaskan tumpuan. Tiba-tiba masa tengah tengok filem ni, aku boleh terbayangkan filem Estet pula. Mungkin kerana Setinggan ini dalam lawak jenakanya ada menyelitkan kritikan sosial terhadap kehidupan masyarakat Melayu dari desa yang berhijrah ke kota besar. Sedangkan Estet boleh bertindak sebagai platform yang sama untuk mewakili golongan penduduk tanah rancangan itu menyampaikan aspirasi mereka dalam sela-sela komedi acuan pengarah itu yang tersendiri.

Tak silap aku, macam pernah terbaca blogger Fadz menulis pasal filem Setinggan. Rupa-rupanya Fadz mencatatkan sejarah zombie dalam filem-filem Melayu apabila memperkatakan tentang Setinggan yang di tulisnya tatkala mengkritik tentang Zombie Kg Pisang. Dalam dua perenggan ulasannya itu memang menepati apa yang cuba disampaikan oleh tontonan youtube pertama aku tadi.

Wednesday, November 10, 2010

Death Place

Agaknya Thailand dah tepu daya kreativiti mereka dalam mengeluarkan karya-karya seram yang bisa menyentak lagi menghantui seperti dulu. Contoh yang paling ampuh sudah pastilah Nang Nak dan disusuli Shutter dan Lhong Khong serta beberapa filem lain yang darjah keseraman mereka adalah tinggi. Kali ini aliran cereka panjang genre itu macam semakin diabaikan. Nampaknya mereka beralih kepada konsep memuatkan beberapa siri cerita menerusi satu filem dipakejkan sebagai antologi. Terbaru yang beredar di pasaran ialah Death Place.

Ada empat kisah dalam filem ini yang diadaptasi dari kejadian sebenar yang pernah mendapat liputan di negara tersebut. Biasanya tiga daripada cerita berkenaan di persembahkan secara serius dan salah-satunya mesti ada elemen komedi. Seperti formula yang lazim di guna oleh filem jenis empat dalam satu begini berdasarkan keluaran terdahulu.

Filem pertama yang dipersembahkan, formulanya seperti Final Destination. Cuma ia bukan rekaan kerana aku masih ingat laporan berita pasal kebakaran disko di sana yang meragut banyak nyawa. Info selanjutnya boleh anda baca dalam Utopia keluaran terbaru. Satu lagi filem tu ala Dark Water. Kisah mayat dalam tangki air di puncak bangunan yang mengalirkan air paip menjijikan. Ke semua siri cerita ini tidak bertujuan untuk menimbulkan unsur suspen kerana sebab-akibat misteri tercipta tidak diselindungkan.

Namun pada bahagian akhir, berjaga-jaga untuk satu kejutan yang tetap juga mahu di buat sebagai penamat. Aku rasa selagi Thailand masih rasa yang banyak lagi koleksi kisah seram mereka yang wajar di kongsi, tunggulah sajalah satu lagi konsep filem sebegini diterbitkan.

Thursday, November 04, 2010

Sammy's Adventures: The Secret Passage

Filem animasi Sammy’s Adventure: The Secret Passage ini sudah lama berputar di pawagam tetapi aku baru saja berpeluang mengikutinya. Lagipun aku tidak begitu menggugah untuk menontonnya setelah membuat rumusan sendiri ia mesti berkenaan hidupan segara seperti Finding Nemo yang begitu cemerlang dihasilkan. Ok, memang susah untuk menandingi piawaian karya Pixar itu tetapi ia tidak bermakna Sammy terlalu lekeh. Kisah yang dibawakan ini agak penting tentang alam sekitar dan kita di ajar melalui sudut pandang seekor penyu agar yang merentas lautan dan mengembara ke segenap pelusuk samudera lewat usianya yang panjang.

Peralihan zaman yang dilalui penyu bernama Sammy itu terbias melalui beberapa situasi yang ketara seperti zaman hippies yang diiringi lagu California Dreamin' yang sangat menepati. Dalam sorot matanya, ia melihat banyak aspek yang menunjukkan sisi buruk manusia terhadap dunia bawah laut ini. Betapa mereka semua tidak berdaya dan lemah untuk membasmi ejen pemusnah tersebut. Tetapi yang mencuit hati, filem ini turut mengimbanginya dengan sinar harapan bahawa masih ada insan bersifat pengasih yang sebilangan mereka turut berbakti untuk kesejahteraan makhluk sejagat.

Senario ini agak keliru dan rumit untuk penyu fahami yang aku dapati ia terkias betapa manusia adalah makhluk yang kompleks diciptakan. Di samping itu Sammy's Adventures ini turut mengandungi plot yang melibatkan perhubungannya dengan haiwan marin yang lain dan pertembungannya dengan kucing yang licik bernama Fluffy agak menawan. Memang ini dikhususkan untuk anak-anak kecil dan sesiapa yang berjiwa remaja untuk di didik secara santai dan murni.

Tetapi apa yang dikesalkan pihak tgv ini sungguh tidak sensitif dengan menayangkan promosi beberapa filem yang sangat tidak sesuai untuk budak-budak sebelum Sammy ini bermula. Sampai seorang lelaki orang putih yang turut membawa dua anaknya menonton masa tu telah memprotes rasa tidak puas hatinya dengan agak kuat. Memang patut pun kena sound.

Mula-mula sekali trailer filem The Road Less Traveled lakonan Louis Koo dan Huang Yi telah disiarkan. Ia mengisahkan seorang pemandu lori kontena terlanggar seorang lelaki. Agak grafik trailernya menunjukkan babak lori itu meluru ke arah lelaki yang berbasikal itu sebelum shotnya beralih ke adegan lain.

Kemudian trailer filem Lelio PoPo (tak tahulah kenapa filem Cina juga) yang menampilkan dua dj lelaki memakai pakaian perempuan seperti nenek yang asyik nak bersenggul-senggulan di bahagian tetek palsu mereka. Kelakar lah juga, ala-ala lucah gitu. Tak sesuai langsung untuk ditonjolkan pada budak-budak. Berulang kali pula tu dipaparkan adegan yang sumbang itu.

Tapi trailer yang paling mengganggu sekali ialah Let Me In. Memang disturbing cerita ni. Banyak muzik latar dan adegan yang mengejutkan. Ngeri dan suspen dibuatnya. Masa inilah bapa mat salleh tu sound dengan suara yang marah. Kenapalah tayang promosi filem-filem yang bertaraf dewasa dan daring itu pada masa ni. (Walaupun Let Me In itu memang watak utamanya ialah kanak-kanak juga, tapi temanya sangat gelap dan traumatik). Boleh mengigau dibuatnya.

p/s: Tak sabar nak tunggu Let Me In. Tapi orang kata versi Swedennya, Let The Right One In lebih mantap.

Wednesday, November 03, 2010

Dancebox October

Sejak Actor Studio di buka di Lot 10, baru Sabtu lalu aku berpeluang menjengah ke sana. Sebenarnya beberapa bulan lepas pun ada juga cuba pergi nak tengok ada satu pementasan tu tapi rupa-rupanya ia dikhaskan hanya untuk jemputan dan tidak di buka kepada orang luar. Agak menyusahkan juga masa tu sebab mereka tidak nyatakan awal-awal dalam laman web atau dalam media.

Malam minggu tersebut yang tiba-tiba Bukit Bintang menjadi meriah dengan bunga api (aku rasa itu sempena pelancaran model baru Volkswagon) turut menyemarakkan suasana sebelum aku masuk ke dalam panggung. Persembahan yang aku saksikan hari Sabtu lalu dinamakan Dancebox. Aku tidaklah begitu gemar dengan genre tarian ni tapi setakat untuk hargai bakat dan pertunjukan mereka, aku tak kisah. Cuma kalau nak tengok reality show tentang pencarian bakat menari atau rancangan tentang bertandak di kaca tv yang aku malas nak tengok. Namun untuk acara ini, aku sudah sediakan mental untuk mengadap bentuk dan gaya hiburan dansa yang mungkin berbeza dan langka.

Tepat sekali jangkaan aku. Artis pertama yang membuat penampilan sudah cukup nak buat aku ketawa dengan aksinya yang selamba kelihatan gigih sekali menarikan suatu gerakan yang moden dan robotik. (Aku terpaksa merujuk flyer nak tahu nama makcik ni). Riki von Falken membuat persembahan solo yang begitu eksperimental sampai aku tak boleh nak tafsirkan apa ke bendanya tu. (Tentulah aku boleh membaca butir-butir mengenainya dalam flyer yang sama juga).

(Sebenarnya penonton diizinkan ambil gambar – tapi aku segan nak bawa keluar kamera fon ku. Rata-rata menggunakan dslr).

Penonton boleh dikatakan ramai juga dengan variasi umur, kaum dan warna hadir memenuhi ruang. Paling mendapat perhatian gemuruh ialah Naim Shahrazad dan Azizi Mansor dari Aswara yang mempersembahkan formasi tarian yang menyihatkan kerana banyak menggunakan fizikal dan daya ingatan. Menjentik semangat para hadirin yang mula-mula macam bosan, tiba-tiba menjadi segar.

Sunday, October 31, 2010

The Child's Eye

Aku tak pernah tengok siri-siri filem The Eye sebelum ini kecuali versi remake-nya lakonan Jessica Alba. Dalam pada ingatkan sudah tiada lagi filem susulannya akan keluar, tiba-tiba Danny dan Oxide Pang terbitkan pula satu lagi The Eye, kali ini dengan format 3-D yang semacam sudah satu wabak menimpa dunia wayang. Mereka mungkin mengeksploitasi jenama tersebut yang sinonim pada khalayak penonton untuk menguji penerimaan peminatnya jika visualnya lebih menonjol di bantu teknologi. Memang sepatutnya macam tu kan, apatah lagi tajuk filem itu sendiri berkaitan mata.

Babak-babak terawal filem ini akan mengingatkan kita pasal penunjuk perasaan antikerajaan yang bergelar “baju merah” yang kecoh melanda Bangkok pada awal tahun ini dulu. Cuma mereka tak adalah memakai sebarang uniform atau lambang yang boleh dikaitkan dengan kejadian benar itu. Ia hanya diaplikasi di sini supaya menjadi pencetus kepada peristiwa angker yang bakal dialami oleh sekumpulan anak muda dari Hong Kong yang kebetulan sedang melancong di sana dan terperangkap dalam demonstrasi tersebut. Namun perkaitan antara pemberontakan tadi dengan kisah seram yang mahu dibentangkan ini berhenti setakat itu saja.

Oleh kerana banyak prasarana lumpuh dan sistem pengangkutan tergendala, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa terus duduk di ibukota itu buat sementara waktu menanti keadaan pulih. Sebuah hotel kusam yang masih tidak terjejas oleh krisis menjadi tempat berteduh. Oleh kerana tidak mahu membiarkan penonton tertanya-tanya, bilakah akan muncul kanak-kanak boleh nampak hantu itu, tiba-tiba menjelma tiga orang budak dengan ekspresi terpempan tanpa emosi memandang ke satu sudut ala “I see dead people” setiap kali mereka bertembung dengan sekawan remaja terbabit. Tidak begitu menjadi lagi pada pendapatku dengan skil begini untuk menyuruh elemen seram takut itu keluar.

Mungkin kalau anda menontonnya dalam format 3-D, impaknya lebih jelas dan menyentak. Maksud aku, bukan takut pada budak-budak itu. Malah kelibat mereka juga agak terhad dalam filem ini untuk di pakai sebagai tajuk. Anjing itu pula yang banyak dapat coverage. Sebaliknya ada beberapa adegan yang disasarkan untuk dinikmati secara tiga dimensi supaya menjadi santapan keseraman yang total. Bercakap pasal anjing, salah-satu unsur misteri dalam filem ini juga melibatkan haiwan tersebut yang bergaul sadis dan tabu.

Tuesday, October 26, 2010

Altitude

Kalau filem orang putih yang kita tidak kenal siapa barisan pelakonnya, itu boleh jadi keluaran dari New Zealand atau Kanada. Tapi sebab aku tertarik melihat imej sotong dari angkasa tu, pedulikanlah tak ada pelakon tersohor pun. Habis, macam mana pula dengan jalan ceritanya? Err… kalau sotong yang anda harapkan, maka sotong jugalah yang anda dapat. Mujurlah moluska raksasa itu tidak ditunjukkan kerap sangat. Jadi agak ternanti-nanti juga kemunculan beliau yang mengancam itu. Seluruh shot hampir bertumpu dalam kabin pesawat melalui suasana latar belakang yang gelap pekat dengan awan bersisik menggerunkan.

Tengok filem ini aku teringat pada The Hole yang baru saja bermain di pawagam kita. Idea kedua-dua filem ini seakan-akan serupa. Aku lebih suka dengan The Hole yang jurus ceritanya di olah lebih baik dan efektif. Teen flick begini sesuai untuk satu lagi koleksi tontonan Holloween ringan.

Monday, October 25, 2010

Legend of the Guardians: The Owls of Ga'Hoole

Agaknya Zack Snyder fikir, kalau nak suruh dia buat filem yang semua orang boleh tengok, baik dia buat cerita kartun je. Pengarah ini telah mengangkat sebuah novel fantasi yang memang tidak pernah aku dengar sebelum ini ke bentuk animasi dan menyertai sekian banyak produksi lain yang turut memaparkan versi 3-D dalam salinannya. Masa menengok tu, aku makin tertanya-tanya sama ada filem ini sesuai atau tidak untuk tontonan umum. Snyder mungkin ingin mendidik daripada awal, sasaran penonton yang dia mahu tackle untuk mengikuti filemnya pada masa akan datang. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, bak kata pepatah.

Sebelum tayangan bermula, kita disajikan dengan filem pendek The Road Runner Show yang memang aku tak suka sejak kecil lagi. Aku betul-betul sakit hati dengan burung kasawari (?) yang sangat lincah pantas memecut tatkala di gempur oleh seekor coyote yang comel. Seperti biasa memang tidak berjaya pun ia dalam sebarang cubaannya untuk menangkap burung yang bedebah itu. Cuma grafiknya lebih cantik dan solid kali ini walaupun senario kedua haiwan itu saling mengakali antara satu sama lain dalam percubaan daripada menjadi habuan kekal sebagai trade marknya.

Bahagian yang paling menakjubkan dalam Legend of the Guardians: The Owls of Ga'Hoole ini ialah kehalusan dan corak animasi yang begitu teliti. Burung-burung hantu berkenaan terasa hidup dan majestik dalam dunia misteri mereka. Kisah yang dibentangkan di sini mengenai pergaduhan adik beradik dan pihak yang baik menentang puak yang jahat adalah lazim di bawa kebelakangan ini. Cuma plot itu tidak di terangkan lebih mendalam sebaliknya ia hanya di bantu oleh adegan perang dan latar yang begitu ekstrem dan getir untuk standard sebuah cerita kanak-kanak.

Mungkin filem ini tidak menepati selera anda terutama jika loghat yang digunakan tidak mesra telinga. Aku teringat satu filem kartun lain yang turut menggunakan burung sebagai watak-wataknya, Valiant juga guna loghat begini. Burung-burung lebih sesuai cakap ala British kot?

Saturday, October 23, 2010

Buried

Bagaimanakah dia boleh berada dalam tanah tu? Dapatkah dia diselamatkan? Begitulah bunyi pertanyaan skima yang akan berkeliaran di benak setiap antara kita. Dan percayalah, sesungguhnya gambar poster dan tajuknya memang 100% menjurus pada isinya. Itulah yang dibentangkan pada kita selama sembilan puluh minit. Memang itu terlalu lama bagi seseorang terperangkap di bawah tanah untuk menyelamatkan diri. Mungkin agak panjang juga masa bagi sesetengah penonton untuk menghadam sebuah cerita yang menunjukkan seorang pelakon saja.

Rasanya aku tidak perlu menghuraikan lebih lanjut tentang filem ini kerana sesuai dengan temanya yang minimal , lebih sedikit yang anda tahu, adalah lebih baik. Manalah tahu kalau anda ghairah sangat nak menyelidik serba-sedikit mengenai cerita tu tiba-tiba terbaca spoiler pula. Betapa malangnya. Atau mungkin tidak? Bergantung kepada sejauh mana anda mampu bertahan dengan seorang lelaki di sebuah lokasi saja dengan prop yang terhad, cabaran anda akan teruji.

Begitulah juga terdengar suara-suara sumbang di panggung yang sama-sama menonton denganku seakan tidak berpuas hati dengan persembahan Buried ni. (Bunyi macam mencarut pun ada kalau salah sebut). Mungkin jangkaan mereka terlalu tinggi. Atau mereka tidak membaca terlebih dahulu sebelum pergi tengok. Tapi aku amat sukakan filem ini walaupun aku dah tahu penamatnya.

Kreativiti pengarah, Rodrigo Cortés dan penulis lakon layar Chris Sparling menghidupkan sebuah thriller dengan beberapa faktor ketakutan dirangkumkan dalam satu dimensi adalah sangat bijak. Sampai bunyi suara melalui telefon juga mampu menyeramkan sekaligus mendatangkan fobia. Ryan Reynolds telah berjaya mengerah seluruh tenaganya untuk psiko anda supaya mendoakan dia selamat.

Friday, October 22, 2010

Eat Pray Love

Selepas menonton Eat Pray Love barulah aku membaca ulasannya di internet (IMDB dan Rotten Tomatoes) dan ia mendapat kritikan yang agak teruk. Mungkin aku juga akan terpengaruh dengan reviu begitu kalau tidak kerana aku menonton Oprah yang mengundang Elizabeth Gilbert sendiri untuk bercakap perihal buku tersebut. Tapi aku memang tidak merancang untuk mencari buku itu dahulu setelah mereka memperkenalkan Julia Roberts yang akan memegang watak si pengarang berkenaan dalam sebuah kisah tentang seorang wanita yang mencari diri dan menilai semula kehidupannya setelah terbit idea rancu yang menggusarkan. Kalau sudah dalam proses ingin difilemkan, baik aku tunggu ia di wayang saja.

Aku memberi filem ini peluang kerana aku suka dengan tema pengembaraan yang turut menjadi nadi ceritanya. Semasa mengikuti wawancara itu dahulu aku boleh bayangkan Elizabeth yang tiba-tiba mendapat kesedaran dan petunjuk bahawa hidup yang dijalaninya itu bukanlah ideal baginya dan dia sudah tidak merasa istimewa atau bahagia dalam rutin sehariannya lagi. Lantas dia mengorak langkah drastik dengan bercerai, memulakan cinta baru bersama seorang anak ikan yang new age dan lepas tu memutuskannya kemudian berkelana ke tiga destinasi yang pada firasatnya boleh menemukannya kembali pada jiwa dan jasadnya yang kosong dan tepu.

Wanita yang ketandusan zat ini mungkin kelihatan terburu-buru atau mementingkan diri sendiri serta tidak bersyukur dengan apa yang diperolehinya setakat ini. Tetapi bagi aku semua orang ada utopia yang mahu di capai atau menyonsong keutamaan yang perlu. Mereka yang berada di sekitarannya kelihatan memberi sistem sokongan yang boleh di harap. Elizabeth telah menggunakan seluruh kuasa individunya secara mutlak di sini bagi menentukan arah tujunya. Namun ada terkesan rasa teragak-agak dan pasrah di sebalik pandangannya yang dituturkan secara bersahaja.

Itu semua pendapat peribadi aku tentang penulis novel ini semasa di temubual oleh Oprah dulu. Namun setelah menyaksikan Julia menjelmakan karektor pengarang itu, sukar untuk mengikis imej Elizabeth yang sederhana dan polos dari fikiran. Sebaliknya, aku cuma nampak persona superstar yang ada pada pelakon tadi yang sudah sebati di terap di samping kemelut emosi yang cuba di zahir tetapi agak kurang meyakinkan. Malah untuk menyelami panasaran heroin kita ini pun agak susah sebab ia tidak di rinci sangat. Watak tambahan terutama Richard Jenkins lebih menarik di sini yang aku boleh percaya dengan rusuh dan ghalaunya lantas membawa diri ke ashram di India.

Eat Pray Love kaya dengan catatan perjalanan yang bertindan dengan visual indah bagi sebuah memoir tentang pencarian diri seorang wanita yang sesat. Dia melampiaskan semua itu dalam bentuk santapan rohani dan jasmani yang bukanlah asing bagi semua manusia. Namun kita ini secara umum, tidak berkongsinya sebagai bahan bacaan untuk ramai, sehingga ia macam ada agenda tersembunyi atau bertindak menjadi guru seakan proksi.

Tuesday, October 19, 2010

Magika

Rasa teruja untuk menonton filem ini sebab semasa di kampung dulu pernah terdengar cerita budak-budak disorokkan hantu. Berjam-jam jugalah lesapnya tu sampai dah tak tahu nak cari kat mana. Tiba-tiba terjumpa di perdu pokok merimbun yang sudah di periksa dan di geledah beberapa kali sebelum ini. Tapi masa tu tak jumpa pun. Bila dah tengah malam, apabila cari lagi di tempat yang sama, terjumpa pula si budak ini duduk memeluk lutut mengerekot di celahan pokok tersebut. Syukurlah selamat ditemui anak jiran aku tu.

Ibarat mengimaginasikan semula detik kanak-kanak yang secara tidak semena-mena boleh hilang dari pandangan terutamanya di pinggir desa berhampiran rimba yang di asosiasikan dengan kepercayaan setempat, Magika menawarkan saktinya. Kalau kita pernah dengar sendiri pengalaman anak kecil yang ghaib entah ke mana ini tentu akan bersetuju sedikit sebanyak dengan bayangan yang digambarkan menerusi filem itu. Cuma Edry Abd Halim ini sudah pastilah perlu melebih-lebih untuk memberi impak dan aura mendalam agar penonton semua sekilas lalu boleh merasa takjub terhadap dunia melangkau horizon yang diciptakannya.

Mengambil tema muzikal dengan setiap beberapa minit, pemeran itu semua akan menyanyi, ia mungkin taktik untuk memanjangkan jangkamasa filem ini. Atau strategi yang berkesan juga untuk memastikan kanak-kanak tidak bosan kalau keluar adegan agak meleret. Cuma lagu-lagunya itu kedengaran sama – tak ada banyak ragam untuk membezakan setiap satu lagu yang berkumandang. Tak melekat pula iramanya untuk di buat humming. Mujurlah filem ini tidak begitu banyak babak yang membazir tenaga.

Kesinambungan ceritanya agak baik dan padat dalam sela-sela nyanyian untuk disesuaikan konsep itu. Akhirnya aku harus memuji Edry kerana mengambil langkah menaikkan kembali nama-nama watak dan figura metos dan legenda tempatan sebagai tonggak pilihan untuk Magika. Walaupun beberapa karektor yang ditampilkan itu sekadar tempelan atau hanya di buat mengisi ruang, ia sudah cukup membuatkan penonton dewasa teringat kembali cerita hikayat yang melibatkan mereka tatkala di telaah suatu ketika dahulu. Cuma anak-anak kecil yang rasanya kurang jelas signifikan mereka semua dalam sosio-budaya Melayu. Mungkin untuk masa akan datang KRU boleh memikirkan untuk mengangkat semula kisah dongeng dan cerita rakyat tersebut secara serius dalam skala yang lebih ekstravaganza.

Friday, October 15, 2010

Dinner for Schmucks

Bagi aku, Stevel Carell memang sesuai dan berjaya bawa watak lurus bendul dan bodoh-bodoh alang tanpa terlalu menyakitkan hati. Walaupun kasihan untuk mentertawakannya, tapi tak boleh tahan nak tergelak. Bukan hanya kepada beliau saja, tetapi artis seniman itu pun kelakar. Juga tetamu-tetamu aneh yang di jemput hadir menemani ahli korporat di jamuan makan malam tersebut. Namun yang merungsingkan lagi mereka tidak sedar pun bahawa merekalah bahan jenaka sejati.

Menganalisis kepada bakat-bakat unik yang dipersembahkan oleh para pengiring tersebut, walau sesetengah daripadanya macam merepek dan lebih layak di pandang sinis, tetapi masing-masing nampaknya percaya dengan kebolehan mereka yang tersendiri itu serta beria-ia pula ingin membuat orang lain kagum dengan mereka. Itulah pun tujuan makan malam itu dianjurkan oleh bos Tim (Paul Rudd) sebelum dia boleh dinaikkan pangkat maka dia perlu membawa seseorang yang memiliki “daya penarik” begitu untuk mereka sama-sama boleh ketawa dan memalukan perangai si bodoh tadi yang tidak sedar bahawa kehadiran mereka di sana sekadar untuk dieksploitasi. Si “badut” yang paling berjaya menampilkan kedunguan secara maksimum akan diiktiraf sebagai juara. Siap dapat trofi lagi tu.

Aksi Barry lakonan Carell dengan diorama tikus yang diawet melalui pelbagai variasi watak dan situasi sangat memukau dan mengesankan. Lebih-lebih lagi apabila dia cuba menambat hati Tim setelah menyusahkan pemuda itu dengan seribu satu karenah yang tidak disengajakan daripada sifatnya yang lurus dan naïf itu. Mungkin tikus bukan haiwan kegemaran anda, tetapi seawal kredit pembukaan lagi anda akan disajikan oleh rodensia ini yang mula-mula aku ingatkan anak patung buatan. Rupa-rupanya memang tikus betul yang telah di awet. Malah pertemuan kedua lelaki ini juga telah ditakdirkan berlaku apabila Barry cuba menyelamatkan seekor haiwan itu daripada dilenyek kereta Tim. Apa yang terjadi selepas itu, akan diingati sebagai sejarah.

Aku suka dengan tema yang disajikan Dinner for Schmucks ini. Setiap orang memiliki bakat yang tersendiri. Macam Tim contohnya. Idea beliau melalui lampu dengan bom itu sangat menarik. Tidak semua orang bernasib baik sepertinya yang ada saluran dan sokongan untuk mengembangkan potensinya. Manakala Barry dan para calon yang lain itu terpaksa menyerah diri pada sekumpulan elitist yang memperdaya untuk menonjolkan kebolehan masing-masing. Namun mungkin itu saja peluang yang ada membiarkan diri di jamah oleh pihak berkuasa sebelum akhirnya kita juga dapat ketawa besar sambil kaki melangkah ke bank…hahaha...

Tuesday, September 28, 2010

Devil

Semasa tertengok trailer filem ni depan tgv beberapa minggu nan lalu, tidak ada langsung idea ia tentang apa. Sehinggalah Gaia memberitahu bahawa ini mungkin comeback dari M Night Shyamalan setelah sekian lama di cemuh kerana menghasilkan filem-filem yang gagal dan menjerankan. Mengejutkan juga kerana baru saja khalayak disajikan dengan The Last Airbender kini dalam jangkamasa terdekat datang lagi buah tangan beliau. Hanya penghasilan ini lebih menjurus forte beliau seperti mana dunia pertama kali terdengar namanya setelah The Sixth Sense meletup.

Tidak silap, aku pernah ada tertengok sedutan filem seakan-akan Devil ni berkaitan dengan sebuah lif yang di timpa tragedi bertajuk Blackout. Tapi filem tersebut macam tak masuk sini (atau aku yang tak sedar bila ia dimainkan?) padahal aku tertunggu untuk menontonnya. Mujurlah ada sebuah lagi filem tentang terperangkap dalam lif yang menyusul untuk memuaskan nafsu menakutkan diri sendiri yang di panggil klaustrofobik ini.

Pembukaan filem ini sudah memukau dengan bangunan dan binaan di paparkan secara terbalik dipadankan muzik latar yang begitu menyeru memang berhantu. Apatah lagi ia sangat menepati konsep cahaya pada liang lif menyerupai dahat yang secara kebetulan berkedudukan terbalik juga seperti di promosi oleh posternya. Apatah lagi terdapat tulisan di situ yang mengusik kita bahawa salah seorang daripada mereka bukan manusia, kita berharap mungkin ada twist tersirat seperti yang sudah dimaklumi dari minda Shyamalan yang lazim diketahui. Rupa-rupanya tagline tersebut tidak menipu.

Hanya bertindak sebagai pengarang cerita, kerja-kerja pengarahan dan lakon layar di serahkan pada orang lain malah Shyamalan tidak menyibuk pun untuk membuat cameo. Aku boleh merasakan sesuatu yang segar di sini dari seseorang yang pernah dikagumi kerana mempedayakan sekian ramai khalayak dalam karya sulungnya. Inilah yang membuatkan chronicle kedua dalam siri “Night” ini semakin di antisipasi.

Thursday, September 23, 2010

Piranha

Begitulah kisahnya sekumpulan ikan karnivor yang rakus dan sadis mencicip mangsanya tanpa belas kasihan atau bertangguh-tangguh lagi. Satu keseronokkan sinema yang tulen dan meloncat dari tempat duduk dibuatnya! Bagi yang memilih untuk menontonnya dalam format 3-D pasti kepuasan lebih berganda. Gabungan imej sekawan spesis ganas mengerumuni secara nyata dan fobia lemas di dalam air adalah ketakutan yang dieksploitasi demi memberikan impak. Rasa bersalah pula untuk terhibur.

Wednesday, September 15, 2010

Towelhead

Rasanya aku pernah terbaca reviu pasal filem Towelhead ni dulu dalam satu blog tapi dah ingat-ingat lupa. Cuma bila aku terjumpa dvd filem ni di kampung semasa balik raya baru-baru ni, aku pun tergerak untuk menonton. Tanpa ada sebarang maklumat jelas ia mengenai apa malah “towelhead” itu sendiri aku tak tahu merujuk kepada apa, dengan poster remaja perempuan memandang kosong di sebuah sub-bandar, ia begitu sukar dilepaskan. Rupa-rupanya subjek yang di bawa filem ini sangat meresahkan dan mengena.

Menyaksikan filem ini membuatkan kita tidak dapat mengelak daripada terfikirkan masalah gejala seks bebas yang melibatkan remaja perempuan di negara sendiri. Kes terbaru yang terpapar di media ialah sepasang kembar dengan kawan mereka lari menghilangkan diri masa orang tengah sibuk nak sambut raya. Rupa-rupanya mereka lari ikut teman lelaki. Oleh kerana mereka masih di bawah umur, hanya jantan dua ekor tu sajalah yang kena dakwa. Aku pasti puncanya adalah pengaruh bahan picisan yang berlambak memenuhi laman web. Bagaimana pula kalau tiada internet untuk menawarkan keasyikan itu? Adakah terjamin gejala ini akan terbendung?

Latar filem ini yang berlangsung ketika perang teluk pertama sekadar ingin mewajarkan plot yang melibatkan dua beranak dari Asia Barat (walaupun bukan Islam) di dalam sebuah cerita yang sepatutnya lebih efektif tetapi hasilnya mendatar saja. Beberapa persoalan politik dan persepsi perkauman yang klise dipaparkan menerusi sesetengah adegan dan dialognya yang tidak ada matlamat jelas ingin di capai. Itu yang mula-mula aku sangka berkenaan filem ini kerana peristiwa perang itu dan pemilihan watak yang stereotaip dengan isu begini akan membuatkan kita merumusnya demikian.

Diadaptasi daripada novel karya Alicia Erian berjudul sama, nampaknya ia macam sengaja memprovok dengan campuran beberapa topik kontroversi di dalam sebuah naskhah. Pelbagai subjek sarat dimuatkan secara kolektif tanpa benar-benar di rinci sehinggalah akhirnya kita dimaklumkan perkara sebenar yang ingin didedahkan ialah kronologi seorang budak perempuan yang mula mencapai status akil-baligh dan menyelongkar daya seksualitinya. Dengan sumber rujukan yang terhad (internet tak ada) dan persekitaran yang tidak membantu, gadis naif ini terbelek pula majalah porno ketika menjadi babysitter di rumah jirannya. Sebuah tontonan yang sukar dengan tema begini tambah menyentakkan ia turut menjadi-jadi di halaman sendiri.

Tuesday, September 14, 2010

Home of the Brave

Sepasukan askar mendapat berita yang mereka akan di hantar pulang ke tanahair setelah berkhidmat sekian tempoh di Iraq. Dalam pada gembira menerima khabar tersebut, mereka ditugaskan pula dalam satu misi menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan ke sebuah bandar kecil. Namun kumpulan mereka di serang semasa di sana yang mengakibatkan sebahagian anggota cedera parah dan ada yang maut. Tragedi itu mengembalikan mereka ke kampung halaman di Spokane, Washington dengan sisa-sisa kenangan pahit yang terjadi bahana tugasan terakhir yang tidak bergerak sempurna.

Home of the Brave memfokuskan empat teraju utama yang pulang dari kacau-bilau perang ke suatu tempat yang sepatutnya dapat mententeramkan tapi mereka bertarung pula dengan emosi dan mental terganggu pasca peperangan yang ditempuhi. Dr Marsh (Samuel L. Jackson), Vanessa (Jessica Biel), Tommy (Brian Presley) dan Jamal (50 Cent) masing-masing mengalami trauma yang tersendiri dan berusaha untuk mengatasinya walaupun sukar dan memerlukan iltizam yang jitu. Sejauh mana mereka berupaya untuk mengubati katarsis, mendasari perjalanan filem terbitan tahun 2006 ini.

Dalam pada kontroversi pembakaran kitab suci Al-Quran baru-baru ini (yang telah di tarik balik) dengan kerisauan utama Amerika berkenaan nasib tentera mereka di sana jika polemik berpanjangan kita boleh memahami dilema mereka ini. Filem ini sebagai contoh – walau plotnya sederhana saja dan lakonan seimbang – mampu memberi sedikit gambaran tentang kesan peperangan yang di alami apabila pulang dari perbatasan. Apatah lagi jika suatu ledakan prospek yang boleh mencuit sentimen umat Islam secara skala yang lagi besar, bayangkan tindakbalas yang akan menimpa pasukan hadapan mereka di sana. Efeknya tentu lagi bukan kepalang.

Sebagai filem yang menjurus kepada konflik di Iraq walau dalam perspektif yang berbeza, Home of the Brave mampu menggugah. Sekurang-kurangnya watak remaja anak Dr Marsh itu berani memprotes melalui saluran yang dia fikirkan betul kepada suatu perang yang pada fikirannya tidak betul. Merujuk ungkapan Machiavelli di akhir durasi, memulakan perang itu mudah. Tetapi untuk menamatkannya ia adalah sesuatu yang tidak pasti.

Monday, September 13, 2010

Hot Tub Time Machine

Seperti juga John Cusack, aku tertarik dengan filem ini setelah mendengar tajuknya saja. Walau pun sebenarnya aku memang berminat dengan cerita yang bercorak merentas masa. Apatah lagi medium yang digunakan bagi tujuan tersebut adalah sangat tidak terjangkau akal sama sekali, ia pasti membuahkan hasil yang lucu. Sementelah idea pengembaraan masa yang sudah sekian banyak di paparkan pada layar, tentunya tidak menjadi masalah untuk berseronok dengan satu lagi produk berkonsep sedemikian.

Tetapi filem ini yang dipasarkan atas label menjadi Hangover untuk 2010 seakan tidak begitu mengesankan. Mungkin kerana perbandingan itu. Atau mungkin sebab formula yang cuma nampak menjadi atas kertas namun apabila diaplikasi secara nyata ia tidak berhasil. Atau aku bias dengan Hangover yang aku suka giler?

Seperti yang boleh di agak (melainkan tab mandi sebagai pengangkutan melangkau era tadi) filem sebegini akan dipenuhi lawak slapstick, dialog jenaka lucah dan aksi melampaui batas. Selain itu bagi merangsang pancaindera, kita disajikan dengan panorama dekad 80-an yang jelas terang dengan warna, aksesori dan spray rambut. Dan kita boleh mengimbas kembali bagaimana hidup ketika telefon bimbit, internet dan gajet canggih belum mendominasi persekitaran kita.

Hot Tub Time Machine mungkin agak dipaksa-paksa penyampaiannya tetapi moralnya mengenai peluang kedua dalam hidup yang seseorang itu berhak memperolehinya dapat menyimpulkan sedikit daripada ia menjadi terlalu longgar. Lupakan logika tentang alam semesta yang caca-marba kesan menebus kesilapan silam dan mengeksploitasi sesuatu dengan cara yang aneh namun menguntungkan. Hidup pada tahun 80-an tidak pernah menjadi semeriah ini.

Thursday, August 26, 2010

Sahur Oat

Bersahur tahun ini nampaknya lebih mudah. Mungkin sudah semakin tua. Sudah semakin banyak kesedaran untuk bangun mengaut pahala. Tidur pun jadi perkara remeh-temeh. Lebih baik bangkit dan menikmati hidangan sahur yang menjanjikan ganjaran daripada terus melelapkan mata yang tiada membuahkan hasil apa-apa. Tapi payah juga kalau setakat bangun untuk meneguk air sejuk setelah memaksakan diri meninggalkan tilam empuk dan mimpi indah. Paling kurang nak lah juga merasa makanan yang lengkap.

Tiada siapa yang nak masak nasi dengan lauk-puak sempurna di subuh hening begitu. Kalau macam di kampung tu, lainlah cerita. Jadi apakah yang sesuai aku makan pada awal pagi menjelang hari berpuasa ini? Sesuatu yang tidak perlu di masak tentunya.

Aku pilih oat. Dan juga beberapa jenis bijiran lain yang mudah disediakan sebagai sajian sarapan jika dalam bulan-bulan yang lain. Hanya tuangkan susu dalam mangkuk dan ia sedia dinikmati. Sebelum aku berbunyi macam tukang kempen untuk satu jenama oat yang popular ni, aku ingin kongsi di sini apabila bersahur dengan oat, kita tidak rasa cepat lapar. Menurut info yang aku baca itu, oleh kerana ia merupakan sebagai satu sumber tenaga rendah lemak, oat memerlukan masa yang lebih panjang untuk dihadamkan. Maknanya anda akan kenyang untuk satu jangkamasa yang lama dan ia tidak akan menyebabkan anda akan makan berlebihan.

Ok, memandangkan kita berada dalam bulan puasa, usahkan nak makan berlebihan, memang tak makan langsung pun waktu siang ni. Sesuai sangat jika kenyang itu berpanjangan.

Lain-lain maklumat berkaitan kebaikan oat sila tonyoh sini.

Sunday, August 22, 2010

Tiada Bufet Dalam Banjir



Walaupun rasa ingin menafikan tetapi dialog dalam kartun Senyum Kambing itu memang setiap tahun menjadi tabiat buruk yang sentiasa disematkan dalam hati untuk dihapuskan. Namun azam selalu tidak seiring perlakuan. Walaupun kali ini sudah tidak seghairah tahun-tahun sudah sering ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka namun makanan di beli ada juga yang tidak mampu dihabiskan. Menambah pula rasa bersalah apabila memikirkan sesetengah umat Islam lain yang di timpa bencana alam seperti di Pakistan yang terpaksa berebut menagih sedikit habuan makanan yang sekelumit.

Negara itu yang sudah hampir sebulan di landa banjir besar mengakibatkan satu per lima kawasannya lumpuh. Dengan hadirnya bulan Ramadan ini menyukarkan penduduk di sana untuk menjalani ibadah puasa dengan selesa apatah lagi dengan masuk waktu berbuka, tiada sekeping roti pun yang tersedia untuk di jamah. Kita di sini pula sampai tahap terpaksa menolak untuk terus menjamu selera sebab perut dah penuh sangat.

Contohnya macam semalam, berbuka di Strudels Great Eastern Mall secara bufet yang cuma berharga RM20. Terasa juga sayang tidak mampu nak merasa semua juadah kerana sudah tersandar kekenyangan. Walau relatifnya harga sebegitu di kira murah dengan seleksi menu yang boleh tahan juga variasinya namun ia masih tidak boleh menjustifikasikan nilai puasa untuk kaitkan dengan insan-insan lain yang belum tentu ada sebarang makanan sebagai santapan berbuka berbanding tafsiran kita untuk sebuah bufet yang kita anggap berpatutan.

Menurut berita yang aku baca, bantuan kemanusiaan masih belum menyeluruh sampai ke beberapa wilayah di Pakistan yang teruk terjejas. Wajah-wajah sayu yang terpampang di akhbar menadah tangan mengharapkan sesuap nasi menimbulkan belas. Pada mulanya ingatkan bencana banjir di sana tidak seazab mana dan akan segera pulih setelah beberapa ketika. Berdasarkan perkembangan terkini ini nampaknya penduduk negara itu terpaksa bertahan untuk seberapa lama yang perlu. Dari jauh, doa dan luahan hati ini yang dapat di kongsi untuk menyalurkan harapan kepada saudara seagama kita di sana.

Friday, August 20, 2010

Pelita Ku Nyalakan



Begitu bersemangat sekali restoran ni menyalakan pelita di halaman asmara ala-ala malam tujuh likur. Tapi gambarnya tak berapa jelas sebab kamera phone aku ni malas aku nak set tangkapan di waktu malam. Cantik dan syahdu sekali pemandangan pelita berderet di tepi menyinari suasana. Macam nak raya dah.

Rupa-rupanya kedai makan ini turut menawarkan buffet berbuka puasa. Murah pula tu, hanya RM20 ringgit saja untuk menikmati aneka juadah yang tersedia. Antara yang sempat aku baca dalam flyer, menunya ialah nasi putih/kerabu, ayam percik, bihun, daging masak merah, sayur campur, tauhu sumbat, keropok, egg sandwich, kuih-muih, mince chicken spageti, masak tumis kerabu dan banyak lagi. Kanak-kanak dikenakan bayaran RM13. Tapi aku tidak merasa buffet mereka kerana datang untuk supper saja.



Aku makan nasi goreng ulam yang dicadangkan oleh pekerja di sana yang begitu ramah dan sabar melayani pelanggan. Mula-mula aku nak makan nasi dagang Terengganu tapi tak buatlah pulak. Kawan aku pesan chicken chop. Nasi goreng ulam dia sedap sangat dengan sayur-sayur ulam sebagai bahan utama di tambah dengan udang dan hirisan ayam. Makanan yang kawan aku order tu pula menurutnya so-so aje. Aku minum teh susu manakala kawan aku minum ais kosong. Sorry gambar makanan tak ambil.

Kalau anda ingin mengunjungi restoran berkonsepkan ala kopitiam ini, ia terletak bersebelahan Ampang Waterfront. Sepanjang bulan puasa ni ia di buka sampai 4 pagi. Jadi eloklah singgah jika ingin menikmati hidangan larut malam atau bersahur.

Tuesday, August 17, 2010

Karektor Filem yang Sebenarnya Wujud

Ada beberapa filem yang karektor utama filem tersebut rupa-rupanya terilham daripada orang sebenar. Ini aku ceduk dari internet dan aku terjemahkan secara kasar. Untuk bacaan lanjut boleh luncuri laman ini dan ini.

1. Lucy (50 First Dates) - Michelle Philpots

Kalau anda pernah tengok filem ni, tentu tahu yang watak Lucy lakonan Drew Barrymore ni macam mana. Begitulah yang dialami oleh Michelle Philpots yang otaknya tercedera bahana di timpa kemalangan sebanyak dua kali. Beliau hanya dapat mengingati peristiwa yang berlaku sehingga tahun 1994 saja dan apa-apa kejadian yang menjelma selepas tarikh itu akan luput dari memori sampailah suaminya Ian cuba pelbagai teknik untuk mengembalikan ingatannya semula.



2. Viktor Navorski (The Terminal) - Mehran Nasseri

Walaupun dalam filem, sosok utama ini digambarkan berasal dari Eropah timur, sebenarnya ia mendapat inspirasi menerusi seorang lelaki tidak bernegara yang tinggal di lapangan terbang Charles De Gaulle disebabkan birokrasi diplomatik. Mehran Nasseri yang merupakan pelarian Iran merancang untuk berhijrah ke Britain serta mendakwa mempunyai ibubapa warganegara British. Malangnya ketika di Paris dokumen pengenalan dirinya telah di curi dan dia di tahan ketika sampai di London dan di hantar pulang semula ke Perancis. Oleh kerana beliau tiada negara asal yang sah lagi maka dia bermasatautin di terminal pengangkutan udara itu sebagai penempatannya.



3. Hanna Schmitz (The Reader) - Ilse Koch

Karektor Hanna Schmitz yang melayakkan Kate Winslet menang Oskar itu adalah bersumberkan kisah hidup Ilse Koch, seorang pengawal kem tahanan yang telah di olah serba sedikit dalam versi filem ini. Selain persamaan latar-belakang dan cerita kekejaman Koch ketika menyelia penjara tersebut sehingga menyebabkan beliau dibicarakan, tidak pula dinyatakan sama ada Koch ada menjalinkan hubungan intim dengan mana-mana remaja lelaki seperti di dalam filem. Cuma di gambarkan reunion remaja itu setelah dewasa tatkala Hanna dipenjarakan ianya mirip dengan perjumpaan semula Koch dengan anak lelakinya yang baru mengetahui identiti sebenar ibunya itu.

4. Norman Bates (Psycho) - Ed Gein

Lelaki psiko termahsyur ini tidak perlu diperkenalkan lagi kepada khalayak peminat filem. Watak beliau sebenarnya di angkat oleh penulis novel di mana filem itu disandarkan kepada pembunuh bersiri yang mengalami gangguan mental bernama Edward Gein yang telah membunuh dan membongkar mayat para wanita yang mengingatkannya kepada ibunya yang telah arwah.

5. Emily Rose (The Exorcism of Emily Rose) - Anneliese Michel

Filem ini mendapat inspirasi menerusi kisah Anneliese Michel, gadis Jerman berusia 16tahun yang menunjukkan simptom-simptom dirasuk hantu puaka. Selama bertahun-tahun dia menderita lumpuh, mencederakan diri sendiri, menahan lapar dan alami visi gangguan makhluk halus. Apabila dua paderi menjalankan ritual exorcise ke atasnya, dia yang dalam keadaan lemah akibat kurang makanan akhirnya meninggal pada Julai 1976Ibu bapa Anneliese dan paderi itu kemudian dibicarakan atas dakwaan membunuh.

6. Thelma and Louise (Thelma and Louise) - Rose Marie Turford and Joyce Carolyn Stevens

Pada tahun 1994 Turford dan Stevens ingin mengubah kehidupan rutin dan bosan mereka menjadi segar, baharu dan bahaya dengan melibatkan diri dalam jenayah kecil-kecilan untuk mendapatkan sedikit hiburan dan habuan di sepanjang laluan Amerika dan Kanada. Cuma dalam filem Thelma and Louise, mereka sebenarnya telah terlibat dalam pembunuhan dan menjadi pelarian secara tidak sengaja dan bukannya memang berniat untuk menjadi gangster jalanan.

7. Herschel Shmoikel Pinchas Yerucham Krustofski or Krusty the Clown (The Simpsons)– Jim Allen from Rusty Nails

Panjang giler nama asal badut Krusty ni. Watak yang annoying dalam The Simpsons ni rupa-rupanya berasal daripada badut sebenar yang pernah di gemari oleh pencipta The Simpsons iaitu Matt Groening semasa beliau membesar di Portland. Ia diilhamkan menerusi badut Rusty Nail yang diperagakan oleh Jim Allen dalam sebuah program tv di sana. Sebenarnya pun kebanyakan watak-watak yang Groening reka memang ada kena-mengena dengan kaum kerabat atau rujukan tertentu yang ada sangkut-paut dalam hidup beliau.



8. Jack Sparrow (Pirates of the Carribean) - Rackham

Watak Jack Sparrow yang popular melalui filem lanun di kepulauan Carribean itu dikatakan bersumberkan daripada Rackham seorang perompak di laut lepas pada abad ke-18 yang selalu memakai sut calico dengan begitu bergaya dan menggoda. Malangnya tidak seperti karektor fiksyennya itu, Rackham tidak hidup semula selepas mati apabila penguasa British berjaya memberkasnya lalu dia di hokum gantung di Port Royal. Mayatnya dibiarkan mereput di dalam kurungan di Terumbu Deadman.



9. Indiana Jones (Indiana Jones 1-4) - Hiram Bingham

Bingham ialah Indiana Jones sebenar kerana beliau memang seorang ahli arkeologi yang luar biasa dan hebat. Beliau menggabungkan daya intelek yang dimiliki hasil didikan cemerlang dari Harvard, Yale dan Berkeley di samping semangat yang sukakan advancer (beliau merupakan juruterbang tatkala Perang Dunia ke-2). Seperti dalam plot filem itu sendiri yang berkisarkan era yang sama, Bingham pada tahun 1911 telah menjalankan penjelajahan di Andes untuk menjejak kota Inca yang hilang, Machu Picchu malah telah menulis buku best-seller.

10. Diana Dahlan (Dukun) – Mona Fandey

Kalau pun tidak diletakkan berdasarkan kisah benar sebagai promosi filem, kebanyakan daripada kita tahu ia ada kena-mengena dengan peristiwa apa. Setakat menonton trailer sajalah kita dapat menyaksikan Umie Aida beraksi sebagai seorang dukun yang menjalankan upacara mistiknya yang begitu menarik minat. Namun filem ini tidak dapat disiarkan sampai sekarang di atas sensitiviti sesetengah pihak.

Saturday, August 14, 2010

Beberapa

Mula-mula saya rancang mahu habiskan tulis pasal filem Shanghai itu tapi saya tak ada idea langsung

Sekarang saya tengok Man vs Wild yang menyiarkan episode Bear Grylls membawa penonton menyaksikan belakang tabir dokumentarinya itu

Lagu yang saya pasang ialah Mengapa Sepi Tanpa Berita nyanyian Steps sebuah kumpulan mendayu 80-an

Kawan saya sms tanya nak berbuka tak kat Kg Baru esok tapi saya reply we discuss later. Saya nak tidur dulu

Ok, baik saya tidur sekarang

Friday, July 30, 2010

Shanghai



Sekali pandang filem ini boleh di tebak perencanaannya. Tidak silap jika anda menganggap ia berkisarkan dunia perisikan, perang dan propaganda. Seperti tiada apa yang baru kalau anda mahukan kelainan daripada genre begini. Aku sendiri pun tak mengerti kenapa Shanghai yang aku pilih dalam banyak-banyak senarai yang tersedia di Gsc Pavilion masa tu. Justeru aku yang jarang menonton filem bercorak noir ini di panggung jadi aku bagi ia peluang.

Atmosfera dalam filem ini memang sangat dekat dengan kita kerana bibit-bibit kancah penjajahan Jepun turut melanda di segenap ceruk Asia yang lain. Jadi bagaimana pula keadaan di Shanghai semasa dunia di ambang perang dunia ke-dua itu? Filem di buka melalui Paul Soames (watak di peran John Cusack) yang teruk di bantai oleh seorang pegawai tentera Jepun (Ken Watanabe) tatkala menyoalnya berkenaan wanita yang disyaki ada terlibat sesuatu dengannya. Soames, perisik yang menyamar sebagai wartawan sebenarnya ingin menyiasat tentang kematian rakannya yang dikhuatiri terbabit dalam skandal berbahaya.

Saturday, July 24, 2010

Mantra

“Ini lah filem paling seram yang aku tengok selepas Nang Nak” kata kawan aku.

Hah, betul ke kau nih?

Betul lah.

Err… tak tahulah aku nak komen apa.

Nota: Lepas tu dia tiba-tiba teringat yang sebenarnya filem paling seram baginya ialah Lhong Khong, bukan Nang Nak. Tapi Mantra tetap jatuh nombor dua jugalah nampaknya.

Aku tak tahulah sama ada nak bersetuju dengan kawan aku tu yang Lhong Khong (atau Nang Nak) tu layak ke di iktiraf sebagai yang terseram. Selera masing-masing kan. Cuma aku rasa sekurang-kurangnya kedua filem tadi menyediakan jalan cerita yang mudah di fahami. Tapi walaupun Mantra ini memang banyak unsur-unsur yang menyeramkan tapi ia tidak di sokong oleh jalan cerita yang diperhalusi. Seperti menurut penjelasan tontonfilem yang permulaan filem ini di edit laju syotnya yang mengelirukan sehingga kita tidak dapat tangkap apa celaka yang menyebabkan Muzir, karektor utama ini perlu ditimpakan azab sehingga tergamak membongkar pusara sebagai syarat ilmu hitam bagi mencari penawar isterinya yang menderita sakit.

Adegan di kuburan itu aku mengaku memang berkesanlah sebab ia sungguh mengejutkan penonton. Juga babak-babak di penjara Pudu yang sudah tinggal kenangan juga begitu memberi impak. Aku risau jika terdapat tangkapan entiti-entiti yang tidak ada kena-mengena termasuk sekali dalam rakaman sebenar. Lebih baik lagi kalau filem ini menumpukan kepada “penghuni” yang sebilik dengan Muzir itu di beri cerita latar-belakang yang boleh establish kepada nuansa seram dengan serunya yang sangat memesongkan dan memperdaya itu. Kemunculannya yang misteri itu memang agak meremangkan bulu roma sekaligus ia akan lebih bermakna dengan mentera sebagai tema.

Walaupun aku agak suka dengan penamatnya yang ada twist sikit tetapi ia tetap tidak boleh di harap melalui plot yang tidak konkrit. Mungkin ada yang menyangkal bahawa kalau dah seseorang itu ingin berniat jahat, memang dia akan lunaskan juga hajat itu walau sebagaimana dangkal pun motifnya. Kedua lelaki teraju utama filem ini Zul Suphiaan dan Hasnol Rahmat memang berjaya memberikan lakonan mantap yang sekurang-kurangnya dapatlah aku enjoy dengan filem yang tak masuk dalam carta seram aku ni.

Thursday, July 22, 2010

Bagaimana Kopi Bekerja

Hujung minggu yang lepas aku tertonton rencana bertajuk “Coffee” dalam siri HowStuffWorks di saluran Discovery. Melihat saja topiknya berkenaan kopi membuatkan aku terus melekat. Rasa mengantuk pun hilang walaupun biasanya petang-petang cuti begitu adalah masa untuk aku membuta. Memang ia dipenuhi info pasal minuman kegemaran aku itu dalam program selama satu jam ini. Cuma aku saja yang tak sempat tengok daripada awal.

Penonton di bawa ke Columbia untuk meninjau pekebun kopi organik di sana. Biji-biji tanaman itu kena dikeringkan betul-betul supaya ia menghasilkan kualiti yang baik. Kebetulan masa tu hujan, jadi kenalah jemur dalam rumah. Mutu rasanya mungkin tidak sebagus kalau ia dapat sinaran mentari secukupnya. Tapi petani-petani itu semua terpaksa jual juga kerana para pembeli kopi dari seluruh dunia sudah mula mendesak untuk mendapatkannya bagi penampung permintaan ramai peminat minuman tersebut. Mereka hanya akan membeli biji-biji kopi yang terbaik saja bagi di tawarkan kepada para pelanggan.

Tak tahulah tahap “terbaik” yang mereka pakai di sini tu macam mana piawaiannya. Pasal dalam suratkhabar beberapa hari ini, aku ada terbaca bahawa terdapat sejenis haiwan yang di panggil civet atau dalam bahasa Melayunya, musang pulut memang pakar dalam menentukan biji-biji kopi terpilih. Caranya ialah dengan haiwan ini memakan bijian tersebut setelah mengenalpasti yang terbaik antaranya kemudian dia akan mem”berak”kan biji-biji tadi. Err… mungkin tidak on the spot lah ia berak. Tunggu sampai perut ia memulas kot?

Ia sangat terkenal di Bali dengan nama kopi Luwak (panggilan bagi makhluk itu di Indonesia) yang khabarnya inilah kopi yang yang paling mahal di dunia. Biji kopi hasil kumuhan musang itu akan di bersihkan lalu di panggang untuk menjadi ramuan minuman yang tidak terperi lazatnya. Maklum sajalah, kalau dah pakar sendiri yang memilih biji-biji kopi tersebut tentu saja citarasa yang terhasil akan lebih ampuh. Walaupun MUI sudah mengeluarkan fatwa bahawa ianya halal, tapi aku tak tergamak lagi nak mencuba.



Berbalik kepada dokumentari itu tadi, kita juga di bawa meninjau budaya minum kopi di kafe-kafe yang trendy di Amerika terutamanya sejarah pembukaan Starbuck yang pertama di Seattle. Seronok juga mengetahui yang terdapat pertandingan untuk mencari pembuat kopi atau Barista terhandal yang boleh membancuh minuman terbabit mengikut spesifikasi yang tertentu. Aku juga baru mengetahui yang terdapat coffee tester yang mencicip bercawan-cawan kopi pelbagai jenis demi untuk mencari perisa yang sesuai dengan standard mereka. Kuat pulak bunyi yang mereka keluarkan setiap kali menghirup tu.

Berselera dengar walaupun dari segi etika agak kurang sopan.

Rupa-rupanya espresso mengandungi paling kurang kafein antara banyak-banyak kopi yang dihasilkan. Mungkin sebab ia dihidangkan dalam cawan yang mini menyebabkan bahan stimulan itu memang sedikit kuantitinya? Lagipun memang tak pernah nampak espresso di isi dalam mug atau gelas yang besar. Tapi kalau anda tidak mahukan kafein dalam kopi, boleh pilih serbuk yang telah di nyah kafein. Agak rumit dan panjang juga proses yang dijalankan untuk membuang kafein berkenaan, semua itu di buat demi memuaskan selera orang ramai yang variasi.



Gambar daripada website http://dsc.discovery.com/tv/how-stuff-works/coffee

Tuesday, July 20, 2010

Buddha Collapsed Out of Shame

Filem yang melibatkan kanak-kanak memang mudah untuk meruntun hati. Walaupun menurut komen Fadz lakonan kanak-kanak dalam filem ini nampak macam di paksa-paksa, nampak sangat di arah-arah. Terasa mereka seperti dieksploitasi pun ada juga. Ala-ala child labour gitu. Bila difikirkan pula, sekurang-kurangnya tenaga mereka ini tercurah kepada satu hasil yang dapat di lihat prosesnya serta di analisis dan di hadam ke seluruh dunia. Bukannya mereka di kerah untuk menghasilkan sesuatu tetapi produk akhir yang siap adalah dalam bentuk barang secara fizikal yang kita tidak sedar pun entah si cilik dari ceruk rantau mana yang telah di perdayakan khidmat mereka secara berleluasa dan di salah guna.

Mendengar cadangan daripada Gaia yang mempromosikan filem ini yang ia ada kena-mengena dengan patung Buddha besar agam yang telah dimusnahkan oleh puak Taliban, membuatkan aku teruja nak menonton. Aku bayangkan (dan selalunya bayangan aku tu silap) ceritanya akan berkisarkan tentang rentetan peristiwa patung itu diletupkan sehingga menjadi kontroversi kepada masyarakat antarabangsa. Aku sendiri baru tahu kewujudan patung itu semasa ia mahu di bom. Jadi timbul juga rasa suspek kalau-kalau filem ini turut memuatkan serba-sedikit info tentang asal-usulnya. Dalam novel A Thousand Splendid Suns ada gambaran tentang keluarga karektor utama novel tersebut pergi berkelah di Bamiyan berdekatan patung Buddha itu tatkala ia masih berdiri gagah.

Filem ini memang mengambil latar kawasan patung terbabit hancur menyembah bumi yang di barisi anak-anak comel yang menghuni dalam gua di celahannya. Malah adegan pertama yang dihidangkan pada kita ialah footage letupan patung tersebut untuk menjustifikasikan tajuknya. Seterusnya kita akan bersabar meneliti kegigihan seorang kanak-kanak perempuan yang di suruh oleh si ibu bagi menjaga adik kecilnya tetapi dia pula sibuk untuk ke sekolah. Ini semua gara-gara jirannya budak lelaki yang mencabar dia supaya membaca apa yang tertulis dalam buku yang sedang ditelaahnya. Tetapi budak perempuan itu cuma menyebut apa yang tertera pada gambar lalu dia di ejek oleh budak lelaki berkenaan yang di samping itu turut berkongsi sebuah kisah lucu yang di sampaikan oleh gurunya di sekolah.

Berazam untuk tahu membaca dan mengetahui lebih banyak lagi cerita jenaka maka si gadis kecil itu tabah merentas tanah gersang dan tandus beriktiar membeli buku tulis dan mencari di manakah letaknya sekolah yang dihadiri oleh budak lelaki tadi. Dalam serba-payah pengembaraannya itu, dia di asak pula oleh sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedang bermain perang-perang ibarat manifestasi terhadap situasi yang melanda negara mereka kini.

Buddha Collapsed Out of Shame meneruskan tradisi menggunakan pelakon cilik seperti lain-lain keluaran filem dari rantau sebelah sana yang tidak pernah gagal untuk mengusik jiwa. Walaupun nampak tidak natural pada kamera tetapi bagi insan kecil itu untuk mencurahkan tenaga kerdil mereka sebagai wakil kelompok yang selalu kurang didedahkan secara adil adalah bakti tidak ternilai. Menonton cerita begini membuatkan kita lebih menginsafi benda-benda kecil dan di pandang ringan oleh kita sedangkan pada sesetengah manusia yang lain ia adalah satu nikmat paling berharga. Apa yang aku dapat simpulkan daripada filem ini, anugerah terbesar yang mereka dambakan adalah ilmu dan kebebasan.

Tuesday, July 13, 2010

Konsert Ella di Istana Budaya

Awal bulan ni aku terima ajakkan seorang rakan menonton persembahan penyanyi wanita yang sentiasa nampak muda bernama Ella. Sampai-sampai saja di ruang legar Istana Budaya, ternampak Dayang Nurfaizah sedang bergambar dgn para peminatnya. Cantik dan mesra sekali Dayang melayani mereka semua dengan wajah tidak putus menguntumkan senyum. Artis atau selebriti yang lain aku tak perasan pulak. Mungkin ada yang hadir tapi aku tak kenal.

Sebelum Kak El kita memulakan persembahannya, orkestra Simfoni Kebangsaan yang di pimpin oleh Mustafa Fuzer Nawi terlebih dahulu memainkan beberapa buah lagu top Ella secara instrumental. Kemudian muncul seorang juruacara di tepi dinding dewan, sebelah pentas, mengumumkan yang artis yang dinantikan itu akan menyanyikan 22 buah lagu untuk show selama 2 jam pada malam tu. Penonton pun bersorak-sorak riang masa ni dengan menjerit-jeritkan nama ratu rock itu sekuat hati. Aku tak menjerit pun... malu nak menjerit tak tentu pasal.

Apabila Ella naik saja ke atas pentas, makin meriahlah pekikan dan sorakan penonton itu. Aku pun rasa teruja jugak sebab lama betul tak tengok beliau. Akhir sekali semasa Ella buat show kat Saloma Theatre Restaurant pada tahun berapa entah. Menyaksikan beliau sekarang seakan masa tidak berganjak sedikit pun kerana beliau tetap nampak sama - muda dan lincah bertenaga seperti dulu. Mengenakan kasut kanvas (jenama All Star kot) yang melepasi buku lali dan seluar leather hitam ketat dengan jaket dan t-shirt di dalam, beliau kelihatan sangat bergaya remaja.

Memang banyaklah lagu-lagu hits beliau yang dinyanyikan pada malam tersebut, antaranya Permata Pemotong Permata, Kitalah Bintang, Rama-rama, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta, Bayangan, Puisi Hamba, Kesal, Simbiosis, Nuri, Layar Impian, Standing in the Eyes. Ada seorang penonton fanatik yang duduk selang dua baris dari aku ni, punyalah excited sampai siap nyalakan lighter lagi. Lepas tu kena tegur dengan petugas Istana Budaya.

Ada juga lagu baru yang Ella nyanyikan iaitu Engkau, Aku dan Mereka. Tapi macam tak masuk lagi dalam pendengaran. Artis jemputan Ella ialah Datuk Ahmad Jais yang kedua mereka berduet dengan lagu Budi Setahun Segunung Intan. Boleh tahan lah gandingan mereka berdua ini. Kemudian apabila terpapar sedutan filem Pemburu Bayang di skrin atas pentas melalui adegan Awie dan Ella sedang bercinta, penonton pun apa lagi terus bertepik dan bersorak kuat nama rockers itu. Sah lah Awie yang akan muncul lepas ni. Awie nampak gemuk dan serabut dengan rambut kerinting. Pemuzik undangan ialah Joe Wings yang kelihatan kacak dan lebih kemas daripada Awie yang tak sikat rambut tu. Awie dan Ella berpadu suara menerusi lagu Baldu Biru dan Dua Insan Bercinta.



Konsert tu habis dekat-dekat pukul 11 malam. Ella tukar baju dua kali. Ada sekali beliau pakai dress meleret ala-ala gaun nak pergi majlis anugerah semasa menyampaikan lagu Ulek Mayang dan Jauh di Mata sambil meliuk-lentukkan badan dan jari-jemari ala gadis Melayu terakhir. Menuju akhir konsert, beliau bersalin baju yang lebih kasual menepati konsep dan imej rocknya. Memang aku sangat terhibur dengan show ini. Harap Ella akan stay young and gorgeous.

Gambar daripada website http://www.meow.my/2010/07/konsert-ella-di-istana-budaya-mantap-hebat

Wednesday, June 30, 2010

Knight and Day

Meneruskan tradisi blockbuster musim panas menerusi watak hero dan wanita tidak berdaya terjebak dalam situasi yang serba bahaya serta cuba meloloskan diri mereka daripada situ, Knight and Day memenuhi selera anda yang mahu dihiburkan dengan segala elemennya. Tom Cruise mengembalikan alter-ego Mission Impossiblenya dalam sebuah cerita tentang misi yang diperjelaskan kepada kita secara nyata namun tidak mustahil ia mengandungi muslihat disebaliknya. Cameron Diaz adalah perempuan yang hadir pada waktu yang salah, di tempat yang silap cuma kerana dia sasaran yang layak maka dia terpaksa bergelumang dengan dunia penuh aksi si hero.

Tuesday, June 29, 2010

Piala Dunia Kembali

Seorang kawan bertanya kenapa iklan-iklan mempromosikan Piala Dunia FIFA 2010 ini menggunakan tagline “World Cup Return to Africa” seolah-olah memberi maksud Afrika pernah menganjurkan kejohanan berprestij itu sebelum ini. Aku jawab, tak tahu. Sepanjang pengetahuan aku, wilayah tersebut memang tidak pernah menjadi tuan rumah kepada temasya sukan terulung di muka bumi ini. Malah aku pernah terbaca hak itu diberikan kepada Afrika Selatan kali ini sebagai peluang bagi setiap benua secara adil agar dapat juga merasai nikmat mengendalikan acara yang menjadi tumpuan seluruh dunia itu.

“Habis, kenapa ia dikatakan return to Africa?” kawan yang tidak mudah puas itu bertanya lagi.

“Manalah aku tahu. Aku ni - minat bola pun tidak,”

Setelah berfikir-fikir seketika, sekadar untuk menawarkan jawapan juga…

Agaknya, mungkin terma Return itu sepatutnya diterjemahkan kepada “akhirnya”. Dan bukan di rujuk sebagai “kembali”.

Piala Dunia Akhirnya ke Afrika.

Itu lebih memuaskan hati. Cuma “piala” itu sendiri, aku bet akan “kembali” ke benua Amerika Selatan. Hehe...

Monday, June 28, 2010

Frozen

Pada pendapat peribadi aku, senario yang dibayangkan oleh filem ini tentang tiga orang penunggang ski terkandas di atas chairlift di sebuah pergunungan ketika musim salji, agak mudah untuk diselesaikan. (Ok, aku mengaku yang ketika berhadapan dengan situasi yang ekstrem untuk berfikir secara rasional, otak kita mungkin tidak memberi kerjasama yang sewajarnya). Namun sepanjang filem ini berputar, aku asyik menimbangkan penyelesaian yang boleh mereka ambil untuk membebaskan mereka daripada derita. Sudah tentulah solusi yang aku tawarkan itu lahir ketika aku duduk di kerusi panggung empuk yang selesa walau dingin air-cond terasa menyucuk.

Sama juga seperti Black Water mengenai beberapa pelancong terkontang-kanting akibat di tinggalkan bot dalam satu kawasan paya bakau yang di huni buaya ganas. Idea yang membabitkan manusia berhadapan dengan kesukaran alam agak mudah untuk menjana kengerian kerana paranoia di asak secara dua penjuru melalui keterasingan serta bahaya yang menanti. Sesuatu yang tidak pasti akan menimbulkan traumanya tersendiri. Jadi senang untuk meraih simpati penonton dan berseronok dengan ketakutan yang menimpa mereka.

Masuk-masuk saja di panggung, dah start rupa-rupanya. Adegan si gadis bernama Parker sedang tawar-menawar dengan pekerja chairlift ski dalam satu urusniaga sambil diperhatikan dua jejaka sedang ditayangkan. Apa kata kita terus saja ke bahagian yang mendebarkan dalam filem ini apabila ketiga-tiga mereka terawang-awang di atas kerusi kabel itu akibat suatu kekhilafan. Bermulalah proses mereka ingin melepaskan diri dari tersangkut di situ sedang malam semakin larut dan salji semakin mencurah. Ceritanya mungkin akan jadi lebih ringkas jika tidak diselang-selikan dengan dialog-dialog cukup syarat apa kala mereka sepatutnya melebihkan ikhtiar yang munasabah untuk menyelamatkan nyawa masing-masing.

Walaupun bagi aku Frozen ini tak cukup horror, tapi penerimaan penonton ketika itu sungguh responsif. Mereka turut sama mengaduh kesakitan tatkala adegan terjun tiruk dan ketika serigala datang mengancam tiba-tiba, ramai yang menjerit. Membuatkan filem yang agak lembab dengan pelakon minimum ini menjadi begitu mengujakan juga.