Thursday, April 28, 2011

Hello Stranger

Wabak hiburan Korea berjangkit di mana-mana. Negara jiran utara kita juga nampaknya tidak terkecuali menerima virus ini. Cara apa lagi untuk menyakat obsesi rakyat sendiri yang kemaruk dengan segala produk K-Pop selain karyawan mereka turut menyertai kegilaan itu melalui sebuah persembahan filem di panggil Hello Stranger. Keghairahan peminat di sana terhadap drama rantaian Korea di angkat menjadi topik satu kisah komedi romantik tentang dua jiwa tidak serasi yang berpapasan dalam sesi rombongan wisata.

Si jejaka yang di perdajalkan oleh kawan-kawannya menyertai pakej melancong ke negara tersebut dengan tiada sebarang bekalan asas dan maklumat awal terpaksa berkongsi koc dengan sekumpulan fanatik telenovela Korea. Dia linglung dengan halatuju lawatannya ke sana yang sungguh terbeban dan terpaksa bagi dirinya untuk bersekongkol dengan para ahli rombongan lain yang bersemangat gila dapat mengunjungi setiap lokasi yang ada kaitan dengan produksi drama itu. Manakala di suatu sudut berbeza, kita diperlihatkan seorang gadis yang mengembara sendirian turut menjejaki tempat yang sama dengan wajah teruja serta mengamati dan menghargai kesempatan berada sendiri di suatu kawasan yang begitu diimpikannya. Dia yang kebetulan dalam memenuhi jemputan kahwin kawannya di sana, di ambil kesempatan itu untuk pergi meninjau ke setiap destinasi di Korea yang ada kena-mengena dengan siri tv yang taksub di tontonnya selama ini.

Untuk seorang yang tidak memahami keasyikan mereka semua itu yang tekun mengikuti episod demi episod soap opera Korea, aku sangat berpihak pada jejaka yang jengkel sekaligus sinis dengan puak-puak yang obses habis dengan hiburan ini sehingga satu acara lawatan yang berkonsep demikian boleh dianjurkan. Tidak cukupkah dengan hanya menikmatinya di kaca tv tanpa perlu sampai mengemas bagasi dan pergi terus ke negara asalnya. Teringat pula aku dengan satu pakej melancong ke lokasi tumpuan set penggambaran Sex and the City di New York yang mendapat sambutan menggalakkan bagi penggemar sitkom tersebut. Tak ada pula aku mendengar ada program melawat ke sekitar set rakaman drama Nur Kasih walaupun siri itu memang popular sehingga versi filemnya bakal ditayangkan. Kita mungkin memerlukan sebuah telenovela tempatan yang kuat dan berkuasa pengaruhnya untuk menjadikan ia sebuah produk pelancongan yang bukan setakat boleh terkesan pada rakyat sendiri tetapi juga serantau seperti yang telah dikecapi oleh penerbitan dari Korea itu.

Hello Stranger membuktikan kita tidak perlu memahami bahasa apa pun yang dipertuturkan malah nama insan yang bertembung dengan kita itu pun kita sengaja tidak ambil peduli kerana kita tahu untuk merasa sesuatu tarikan, semua itu tidaklah penting. Jejaka dan gadis yang masing-masing boleh menjalinkan perhubungan walau terbatas identiti dan peribadi, ia bukan halangan untuk suatu pertalian tercipta. Filem ini cantik dan sayu sekaligus dengan momen-momen yang dipinjamkan daripada drama Korea untuk memberi warna dan humor terhadap cerita ini yang mengangkat kegilaan sejagat kepada karya tv dari sana yang di olah meresap ke segenap liang hati. Namun yang paling utama, kita tidak perlu menanti berminggu-minggu untuk ketahui kesudahan episod cerita gadis dan jejaka lewat pertemuan singkat mereka di bumi asing itu.

Wednesday, April 27, 2011

Limitless

Baru aku sedar pasal tagline itu sesudah menonton filem ini. Sebelum itu aku hanya terperasan layout poster yang macam wirit di lihat dengan susunan tiga nama pelakon berjujuk. Aku tidak tahu ia berkenaan apa filem ini kerana terlepas pandang ungkapan kata-kata tersebut yang terus membongkar kata kunci Limitless. Mendengar tajuknya tentulah kita akan curiga apakah yang tidak terhad itu? Kaitkan ia dengan tagline tadi pasti kita boleh merumuskan bahawa sebiji pil boleh membuatkan seseorang menjadi kaya dan berkuasa tanpa ada batasannya lagi.

Jika aku memiliki bahan perangsang seperti pil yang dimaksudkan, sudah pasti aku tidak bertangguh-tangguh untuk menyiapkan perenggan ulasan dalam blog ini. Membuatkan anda semua ternanti-nanti sinambungan rencana. Cuma aku akan sukat pengambilannya secara berhemah (err...itu kita bincang kemudian ... ) Bukan sekadar menulis blog, mungkin aku mampu menghasilkan sebuah novel malah! Seperti Eddie Morra (Bradley Cooper), si penulis sengkek yang sedang buntu telah disogokkan ubat eksperimen oleh bekas abang iparnya dengan dakwaan ia mampu menjana otak ke tahap maksimum. Ibarat orang mengantuk di sorongkan bantal walau teragak-agak apabila disuakan tablet semacam paracetemol yang lutsinar dan kelihatan selamat, dia akhirnya menelan juga. Hidup Eddie berubah 360° selepas itu yang menyerlahkan potensinya secara total sekaligus meletakkan nyawanya dalam bahaya.

Kita tahu Eddie sedang bergelut celaka apabila pada permulaan cerita, dia ditunjukkan berdiri di tebing balkoni menguji nasibnya sementara pintu rumahnya ingin di pecah masuk di bantu suara latar dengan ayat-ayat pasrah. Dia sepatutnya tahu segala apa urusan yang sulit dan penuh kerahsiaan ada cagarannya. Limitless mengangkat subjek pil stimulan yang berkapasiti muktamad kepada otak manusia serta godaannya terhadap serba jenis golongan. Kita sendiri turut terpesona dengan shot gambar pandangan pertama tentang dunia Eddie tatkala sedang di bawah pengaruh ubat tersebut. Segala fokus menjadi jelas, imej yang cemerlang, tenaga turut mencanak, semangat sungguh jitu dan setiap sasaran pasti memberi imbuhan lumayan.

Seakan kita semua turut khayal dan stim bersama, filem ini menempelak masyarakat moden yang selalu ingin jalan pintas atau formula segera dalam semua perkara untuk menghalalkan matlamat masing-masing. Hanya dengan menelan pil atau menekan butang, setiap kerja atau agenda akan berjalan lancar. Filem arahan Neil Burger yang diadaptasi daripada novel The Dark Fields oleh Alan Glynn ini memang kena dengan situasi hari ini yang amat mendesak dan menjerankan untuk memenuhi tanggapan serta memuaskan hati sesiapa yang selalu mencabar kita. Sedikit olahan di sini apabila dadah yang stigma dengan gejala buruk dan binasa di beri aspek yang positif walaupun ia disalahgunakan. Plot yang turut mengandungi unsur thril dan suspen ini masih bisa membuatkan kita terlekat untuk mengikuti kesudahan takdir “penagih“ tersebut.

Limitless ini juga bagi aku turut menjadi penggerak kepada Bradley untuk melonjakkan namanya di Hollywood. Beliau yang sinonim dengan watak himbo dan komedi sangat meyakinkan untuk karektor dramatik aksi kali ini. Agaknya pil itu sendiri menjadi motivasi kepada beliau untuk melebarkan pilihan dan jurus lakonan. Sekarang, mana aku nak cari pil NZT-48 ini untuk aku gunakan dengan berhemah?

Thursday, April 21, 2011

Gantz

Sekali pandang pun aku boleh mengagak yang Gantz ini merupakan adaptasi daripada manga. Cuma aku tidak boleh mengesahkan dakwaan aku sama ada ia betul-betul adaptasi daripada medium tersebut atau memang filem ini berdiri dengan sendiri kerana aku memang tidak terdedah sangat dengan komik Jepun. Malah tok guru manga aku, Gaia pun tidak tahu bahawa ianya adalah di angkat daripada sebuah karya anime popular sehinggalah dia mencari maklumat terbabit di internet. Sudah tentulah dia menontonnya dulu sebelum berminat untuk tahu lebih lanjut mengenainya lantas trick aku supaya tengok di panggung untuk mengecapi keunikannya.

Dua orang pemuda yang sepatutnya sudah meninggal dunia akibat di gilis keretapi, tiba-tiba mendapati mereka terjelma di sebuah apartmen dengan dekorasi minimalis yang cuma dihiasi seketul sfera agam berwarna hitam di tengah ruang. Bersama mereka terdapat beberapa individu lain yang juga terpinga-pinga mempersoalkan kemunculan mereka secara magis di sana. Menambahkan bingung lagi apabila masing-masing mendapat tahu bahawa kewujudan setiap seorang di situ bermula setelah perkara terakhir yang menimpa mereka ialah semuanya hampir menghadapi maut sebelum sekelip mata ternitis ke unit pangsapuri itu yang masih terasa normal dengan tubuh bernyawa.

Tetapi peluang hidup kedua tidak datang percuma. Sfera misteri itu yang tiba-tiba boleh beroperasi sebagai mesin mengeluarkan arahan secara digital kepada semua calon dengan sungguh menjengkelkan. Ia menugaskan mereka ke suatu misi membunuh makhluk asing, robot dan variasi entiti aneh lain yang bertebaran di segenap Jepun supaya mereka boleh mengumpul mata untuk beberapa ganjaran tertentu. Salah satu insentif daripada mata tertinggi yang diperolehi adalah dapat menebus kehidupan sebelum mereka di jemput ajal dulu. Ia turut membekalkan mereka dengan senjata canggih dan pakaian ala cosplay untuk melangsaikan tugasan. Belum sempat untuk masing-masing diges semua ini, tidak semena-mena mereka telah di teleport ke medan pertempuran.

Menurut maklumat yang aku perolehi, siri manga si-fi yang memakan berpuluh-puluh episod ini memang tidak mampu untuk menterjemahkan setiap intipati yang terkandung dalam plot yang kompleks, sarat falsafah dan adicita melalui sebuah filem berdurasi dua jam. Jadi fanboy mereka agak meluat dan kesal kerana ia masih juga mahu di bikin. Aku pula rasa ia boleh difahami secara literal tanpa mendalami komik itu terlebih dahulu cuma ia akan perlu backstory yang banyak untuk menjelaskan karektor-karektor yang mati dan hidup serta datang dan pergi dalam dimensi Gantz ini. Malah Gantz itu sendiri aku yakin memiliki jalan cerita hidupnya yang menarik.

Tuesday, April 19, 2011

Rio

Jika saya adalah seekor haiwan, saya akan menjadi burung. Kakaktua secara khususnya. Ia berwarna biru, tertib, berpekerti dan jinak. Saya akan duduk diam menetap bersama tuan yang telah memelihara bak ahli keluarga sendiri sejak saya masih kecil lagi. Saya tidak peduli pun untuk mengenal dunia luar atau mengembangkan potensi diri yang belum dieksploitasi kerana saya tidak menganggap itu semua perlu. Saya sudah ada tuan yang menyayangi saya sepenuh hati. Itu sudah cukup buat saya dan kami akan hidup bahagia selama-lamanya.

Ok, memang tuan itu sayang sangat dan komited dengan burung macaw yang sedang dalam risiko kepupusan tersebut. Tetapi baka itu perlu dibiakkan dan ia mesti di bawa ke tempat asalnya di Rio (ya, di mana lagi?), Brazil untuk menjalani proses itu supaya legasi mereka berterusan. Tuannya yang sungguh posesif bertindak untuk turut serta ke negara Amerika Selatan itu bagi memastikan keselamatan burung intan payung yang tak pernah berkelana jauh. Di luar pengetahuan, unggas terancam itu turut sedang di intai oleh sekumpulan penyangak yang berniat menjualnya di pasaran gelap.

Dalam pada isi cerita yang tidak banyak kandungan baru, tetapi ia tetap boleh di terima jika anda mengharapkan persembahan kartun serasi kanak-kanak yang menjalinkan karektor berwarna-warni, lagu-lagu gembira dan jenaka yang boleh dimengerti seusia mereka. Carlos Saldanha yang pernah mengarahkan beberapa siri filem Ice Age yang begitu mantap, bersekali dengan penulisnya Don Rhymer, salah seorang penulis Surf's Up yang sungguh inovatif dulu, kelihatan tidak begitu menyuguhkan kreativiti jitu kali ini kerana perjalanan cerita seakan seacuan dengan apa yang biasa dihasilkan studio animasi saingan lain.

Jesse Eisenberg yang masih segar menerusi pencalonan The Social Network dalam Oskar, mengukuhkan nilainya sebagai pelakon berkaliber dengan meminjamkan suara untuk watak Blu yang membayangi imejnya yang nerd, pemalu tetapi petah walau anti-sosial. Dengan personaliti demikian, ia semacam kontras dengan tenaga yang ditawarkan bandaraya Rio de Jeneiro yang mahsyur kemeriahan karnival, pesta dan rakyat yang suka bercampur gaul, berlibur dan bercanda sepuasnya. Burung macaw yang kekok dan kotaraya penuh semangat menjadi kombinasi yang sepatutnya boleh di pacu terbang lebih tinggi.

Saturday, April 16, 2011

Scream 4

Empat adalah nombornya. Walaupun dulu aku rasa filem itu akan berakhir dengan trilogi, tiba-tiba ada lagi bersambungan. Kalau dah ianya begitu memberikan untung, kenapa perlu berhenti setakat itu? Buatlah jalan cerita yang paling klise atau lemau sekalipun, para peminat setia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton. Apatah lagi si penggemar tadi tidak pernah menyaksikannya di layar lebar kerana apa entah masalah penapis yang sangat mengongkong, tidak mahu para remaja kita terus tikam dan membunuh secara rambang agaknya setelah usai wayang. Nasib baik akhir-akhir ini polisi mereka lebih toleran. Hanya setelah filem ke-empat. Dan dekad yang lain, barulah Scream dilepaskan.

Menurut satu info yang kawan aku pernah beritahu dulu, Drew Barrymore bersetuju untuk muncul cameo dalam Scream 1 sebagai watak pertama yang di bunuh kerana dia mendapat teori bahawa mangsa yang mula-mula dimatikan akan lebih di kenang lantas menjadi popular sementelah Drew pula memang mengharapkan publisiti begitu untuk menaikkan kembali namanya yang kian suram kerana kontroversi. Tetapi dalam Scream 4 ni, terlalu banyak pula ‘watak pertama‘ dimatikan sampai kita yang asyik tertipu ini sudah tidak mahu ambil peduli lagi berapa kali pengulangan itu akan berlangsung. Nak rasa takut pun jadi was-was.

Konsep filem di dalam filem sebagai pembuka cerita dengan merujuk kepada kisah pembunuhan yang terjadi di sebuah pekan fiksyen Woodsboro berdasarkan kepada buku yang disandarkan pada kejadian itu sehingga dijadikan sebuah filem yang berlanjutan kepada beberapa siri adalah parodi yang memeningkan. Scream adalah dedikasi penulisnya Kevin Williamson terhadap tema horror dan thriller yang selalu mengandungi formula dan tempo boleh di agak melalui pola serta elemen mereka sebagai resepi genre itu. Beliau melampiaskan semua obsesi tersebut dengan mencipta karektor sekumpulan remaja sekolah menengah yang meminati filem tema seram di sebuah lokasi yang secara kebetulan sedang hangat dengan berita pembunuhan kejam yang dilakukan oleh seorang lembaga bertopeng. Beberapa watak dewasa yang dominan turut di cipta sebagai talian hayat untuk membantu anak-anak muda tadi daripada situasi kritikal yang bakal membawa maut itu.

Begitu juga dengan Scream 4 ini apabila tradisi itu berterusan dengan pengenalan beberapa peranan anak remaja yang baru seperti Hayden Pennetierre, Emma Roberts, Rory Culkin dan lain-lain untuk terus memberi sokongan kepada tunjang asal Scream seperti Neve Campbell, Courtney Cox dan David Arquette yang masih liat bernyawa. Aku memang berpuas hati akhirnya dapat menonton aksi dramatik Ghostface mengacah dan mengejar bakal mangsa sebelum menghunus pisau ikonik itu ke tubuh mereka di layar besar. Juga melihat bagaimana rakan atau orang sekeliling yang cuma mampu memandang sambil menjerit-jerit dengan tidak berdaya di saat-saat pembunuhan itu juga adalah priceless. Penapis turut tidak terlalu berkeras dengan adegan ganas tersebut dan itu turut menyeronokkan tontonan. Hanya sarikata saja yang sedikit menjengkelkan.

Kali ini Scream 4 mengadaptasi dunia moden supaya filem thriller 90-an itu terasa relevan menerusi paparan aplikasi teknologi dan media sosial seperti video blog untuk mencerminkan urutan kejadian sebenar. Namun telefon bimbit yang merupakan prop paling penting di sini seakan tidak bermakna kerana telefon tidak digunakan dengan efektif, sekurang-kurangnya bagi menghubungi pihak 911 ketika detik mencemaskan berlaku. Juga, jangan berharap pada seseorang ada membawa pistol secara konsisten, walaupun sudah masuk siri ke-empat dan dunia sudah tidak selamat, mentaliti penduduk di situ masih terkebelakang tatkala ia gempar dengan pembunuh bersiri bebas berkeliaran, nampaknya tiada peluang untuk aksi tembak-menembak Ghostface. Satu lagi sekuel dijangkakan.

Sunday, April 10, 2011

Rango

Ini sebuah filem yang agak menggerunkan jika mengikut piawai dunia animasi yang lazim. Daripada tarilernya saja sudah ada idea yang ia bukan tahap untuk kanak-kanak berseronok dengannya. Well, jika anak itu seorang yang sukakan reptilia atau amfibia, mungkin tak ada hal. Segala koleksi hidupan dari kelompok itu diwakilkan dalam setiap spesisnya yang boleh difikirkan untuk membawa watak komuniti sebuah penempatan yang hampir lumpuh kerana suatu krisis yang amat kritikal. Mujurlah kedatangan seekor sumpah-sumpah yang secara tidak sengaja terhela ke sana seakan wira penyelamat gagah ekoran suatu insiden yang sebenarnya lebih kepada nasib baik semata-mata.

Seperkara lagi bahawa kartun ini merujuk kepada genre western juga adalah tidak mesra kepada khalayak si cilik. Dan sederet burung hantu mariachi yang menyanyi prolog filem yang terus memberi "spoiler" bahawa nasib hero kita tidak akan selamat pada penghujungnya seakan merumuskan konotasi negatif yang terpalit pada Rango. Namun kemunculan mereka yang kerap sepanjang durasi mengalunkan naratif bermelodi terhadap advencer sesumpah kita ni sekurang-kurangnya memberikan warna terhadap filem yang asasnya sangat kusam, hangat dan kering latarnya.

Percubaan pertama Gore Verbinski mengarahkan filem animasi dengan tema yang sofistikated melalui karya tulisan John Logan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Johnny Depp sebagai peneraju. Beliau sangat menyerlah seperti selalu waima cuma suara yang terzahir tapi ianya simbiosis yang meyakinkan di antara haiwan yang dipinjamkan emosinya oleh Depp itu. Walaupun sekadar calitan nada tanah yang polos dan tandus sebagai menghiasi lanskap serta kelompok fauna yang mengancam, itu hasil seni yang indah, terperinci dan bergaya untuk melengkapi jalan cerita yang mengandungi subteks dan humor sukatan tinggi. Juga muzik latar yang mengiringi setiap babak menyuntik semangat koboi secara mutlaknya. Nickelodeon mungkin tidak sabar untuk mendidik anak-anak supaya lebih cepat berfikir di luar kotak melalui sumber hiburan matang begini yang berupaya memberi mereka maklumat dan kesedaran bahawa ini adalah masa depan yang menanti mereka.

Beberapa pengulas mengaitkan Rango dengan filem klasik Chinatown kerana kemiripan plot antara keduanya cuma terbatas oleh beberapa komposisi kerana sasaran penonton sebenar mereka pun berbeza. Jelasnya subjek tentang seorang penyiasat (atau sheriff seperti Rango) yang terjebak dalam satu kancah melibatkan badan berkuasa yang berfungsi untuk menjaga kepentingan awam tetapi melencong kepada menyembunyikan satu komplot penuh muslihat, rakus dan jahat demi melindungi matlamat peribadi. Ia tidak jauh lari daripada realiti hari ini yang kerap kali kita didedahkan dengan segala isu bobrok dan jelik melibatkan pihak atasan yang sepatutnya memimpin dengan saksama sebaliknya merekalah pengkhianat. Jangan sampai ada seorang asing seperti Rango pula yang tiba-tiba hadir dengan penuh karisma dan berwibawa membantu untuk menyelamatkan koloni yang hampir musnah akibat salah-laku dan kealpaan sendiri seolah-olah kita kena menanti campur tangan luar, manakala sesama kita ini tiada siapa yang boleh diharapkan lagi.

Tuesday, April 05, 2011

Cun!

Filem ni sangat penting bagi sesiapa yang mengikuti gembar-gembur mengenai dua pelakon utama yang membintanginya sama ada ia dapat mengesahkan teka-teki yang bersarang selama ini. Atau ia tidak lebih sekadar gimik dan propaganda untuk melariskan majalah dan rating rancangan. Namun tidak adil untuk mensabitkan mereka dengan segala spekulasi dan tebakan yang belum tentu sahih di saat peluang berlakon dalam filem Cun ini terbit bersekali dengan gossip melanda. Apatah lagi ini bukan kali pertama mereka muncul bersama dalam sebuah persembahan. Cuma pembabitan begitu seakan bonus untuk menarik peminat memenuhi apa saja fantasi yang mereka mahu tentang kedua pelakon ini.

Osman Ali menulis dan mengarah filem ini dengan merujuk kepada obsesi masyarakat yang kecanduan kisah peribadi selebriti melalui watak Luna lakonan Maya Karin sebagai pengacara program gosip. Segala hingar-bingar, glamor dan sensasi kehidupan mereka dipaparkan secara keterlaluan di sini dengan gaya dan ekstravaganza menerusi peranan Ning Baizura dan krew studio serta selitan babak kekasih Luna dibawakan oleh Jehan Miskin yang juga seorang artis terlibat dalam skandal menjadikan ia sebagai titik tolak episod pelariannya dari semua kemilau itu. Pengenalan filem ini yang bermula dengan dunia hiburan yang meriah bagaikan sarkas oleh watak-watak tadi mencetuskan elemen komedi slapstik yang boleh memancing ketawa cuma ia agak merimaskan. Mungkin jika mereka semua tidak berlebih-lebih sangat, jenakanya akan wujud secara terkawal.

Seterusnya Cun menjadi kontras melangkaui segala yang “meletop” tadi kepada yang lebih mulus dan murni apabila ia berpindah lokasi ke sawah bendang di sebuah perkampungan petani yang damai mengikut eskapism Luna di sana. Seperti mana yang telah di beritahu, di sinilah dia bertemu dengan Atan (Remy Ishak), lelaki alfa desa yang secara tidak sengaja memperkenalkannya erti hidup yang lebih ringkas, ceria, akrab dan bermakna menerusi persekitaran serta insan yang sebati dengan alam semulajadi yang mewujudkan rasa kasih sayang penuh suci dan boleh menyebabkan sesiapa pun menjadi kasmaran. Kampung adalah simbolnya bagi mereka yang hilang untuk mencari diri mereka semula, mendapatkan sinar dan menilai hidup melalui kacamata alternatif supaya segala yang ilam-ilam mampu menjadi jelas.

Kisah gadis metropolitan yang jatuh cinta dengan pemuda luar bandar seperti ini pernah kita lihat dulu misalnya dalam filem Puteri lakonan Fauziah Ahmad Daud dan Eman Manan walau nuansa berbeza, pun masih berlingkar pada teras yang sama. Ceritanya tentang pertemuan dua insan berlainan latar-belakang pada suatu situasi yang kebetulan alam semesta turut memainkan peranan secara ekstensif sebagai pendorong supaya bibit-bibit perasaan mujarad itu menjadi realiti. Ironinya Puteri pada zaman itu adalah medium kukuh peminat untuk menafsirkan desas-desus yang mereka terkilas mengenai hubungan dua pelakon ini yang lebih daripada rakan seperjuangan. Nampaknya kisah sebegitu berulang lagi pada masa sekarang apabila giliran Cun pula yang menjadi bahan untuk pemerhati dunia hiburan memuaskan persepsi dan harapan yang ada berkenaan hal peribadi kedua-dua bintang ini.