Thursday, May 27, 2010

Venom (Tv)

Filem Venom ni aku tonton kat TV3 Jumaat lepas. Tanpa membaca sinopsis, bayangan pertama yang aku dapat mengenainya ialah ia macam Anaconda. Rupa-rupanya sejenis horror slasher thriller remaja begitu. Memang genre yang aku minat ni. Kebetulan pada masa yang sama TV2 pula menyiarkan A Beuatiful Mind yang aku tak pernah tengok. Jadi aku berbelah-bagi mula-mula nak tengok yang mana satu.

Memandangkan aku baru saja menonton Robin Hood di pawagam jadi agak muak nak mengadap Russell Crowe lagi sekali. Aku pun pilih Venom akhirnya setelah lebih kurang setengah jam pertama aku melayan filem arahan Ron Howard itu. Venom dikeluarkan pada 2005 dan dibarisi pelakon muda-mudi yang aku tak berapa cam. Oleh kerana aku terlepas permulaan cerita namun masih boleh di tebak bagaimana semua huru-hara dan kengerian tersebut boleh melanda. Lagipun aku cuma mahu dihiburkan dengan aksi-aksi kelar-mengelar dan kejar-mengejar.

Tuesday, May 25, 2010

Je crois que je l'aime

Sebuah lagi filem Perancis yang sempat aku ikuti di GSC ialah Je crois que je l'aime. Aku suka dengan filem begini yang lebih dekat dengan tradisi mereka yang suka keluarkan produk jenis drama ringan beserta humor dan idea eksentrik. Kalau boleh, banyak lagi judul-judul lain yang aku ingin tengok tapi tak sempat. Harga tiket juga dah sama macam filem-filem biasa. Kalau dulu harga untuk filem dalam kategori festival ni agak murah.

Kisah interaksi manusia yang ingin berhubungan sama ada atas dasar mahukan sesuatu yang intim atau ingin meluaskan konteks bisnes adalah intipati filem ini yang berpusat pada seorang lelaki di usia matang yang berjaya dalam hidup namun masih di belenggu rasa waspada dan prasangka serta melaksanakan sesuatu dengan penuh rancangan dan terma. Ini terpapar jelas melalui sikapnya yang mengharapkan supaya perempuan yang bekerja menyiapkan hasil seni seramik di ruang legar pejabatnya dapat jatuh cinta dengannya. Manakala dalam masa yang sama dia perlu menjayakan kontrak dengan China demi kepentingan syarikatnya itu.

Filem romantik komedi ini jadi lebih memikat dengan telatah detektif pencen yang di upah oleh ketua pejabat tadi untuk menyiasat latar belakang perempuan seramik yang dia gila-gilakan sangat tu. Dia menggunakan segala jenis peranti dan gajet untuk menyusup masuk ke dalam hidup si wanita sebagai cara memuaskan hati bosnya supaya peristiwa silam ada perempuan menyamar mencintai si ketua sedangkan bermuslihat untuk mencedok rahsia perniagaan lelaki tadi tidak berulang.

Tetapi memang perangai si bos terbabit yang suka menyelidik atau mengimbas sesuatu jika dia rasa suspek atau ingin menggali lebih dalam lagi secara jalan belakang termasuklah dalam soal bisnes atau terhadap orang bawahannya juga. Cuma siapalah yang suka jika diri sendiri di intai oleh kamera pengintip dan di syaki dan di hidu ibarat kita ni penjenayah. Memang kelakar melihat modus operandi seorang lelaki yang berkuasa tetapi paranoid dalam sesetengah aspek malah bertindak secara melampau untuk menceroboh privasi seseorang demi mencapai matlamat peribadinya.

Keseluruhan filem agak seimbang dari segi jalan cerita dan para pelakon terutama watak tambahan yang benar-benar membantu mengukuhkan perkembangan plot. Walaupun aku rasa filem ini tidak begitu aneh atau unik seperti lain-lain filem Perancis yang pernah aku tonton namun ia masih menepati selera.

Thursday, May 20, 2010

Ice Kacang Puppy Love

Sebuah kisah tentang pengalaman tertarik kepada jantina lawan yang pertama, penuh jujur dan murni. Dari saat keluar logo syarikat kemudian disusuli dengan kredit pembukaan, aku sudah mula mengagumi produksi ini. Asyik-asyik tengok logo MiG, Grand Brilliance atau Tayangan Unggul yang macam tak digilap tu, jemu juga. Tapi poster promosi filem ni membuatkan aku terkenang pada Sepet. Jeti yang mengadap tasik sambil sepasang remaja ini duduk di situ berjuntai kaki merenung air tenang sambil berbicara meluah rasa memang mengesankan. Persamaan itu tidak dapat di sangkal malah latar-belakang cerita mengenai kali pertama di sentuh cinta adalah mirip.

Menggunakan ais kacang atau mesra di panggil abc oleh orang ramai sebagai lambang untuk mengimbas kembali memori silam seorang pemuda kepada gadis yang didambanya secara rahsia-samar-samar-jelas-tidak terucapkan-ini begitu puitis dan syahdu dengan olahan yang ringkas, padat dan boleh menepati dengan norma tempatan. Malah pelbagai terma atau resam Malaysia yang lazim di papar secara adil untuk memberi gambaran sebenar zaman 80-an di mana ia berlaku. Selain abc, main guli, gunting rambut kedai mamak, bai roti, malah azan berkumandang menambahkan lagi rencah setempat dalam filem berbahasa Mandarin ini.

Isi filemnya secara mudah mendakwa, biasanya kita memang mudah tertarik dengan orang yang paling hampir dengan kita. Dalam situasi ini Botak terpana dengan sepupunya sendiri Angel (atau Ikan Laga, nama manjanya di kalangan kawan-kawan) yang begitu spunky dan berjiwa bebas. Aku tak tahu bagaimana penerimaan masyarakat Cina dalam hubungan cinta antara sesama sepupu ini. Dalam filem ini nampaknya macam tiada masalah besar. Mereka menjadi rapat setelah suatu konflik melanda keluarga Angel memaksanya dan ibu menumpang di rumah kedai Botak. Perlahan-lahan perasaan meresap dan terbina diselang-selang beberapa peristiwa itu ini yang menambahkan bahan-bahan "ais kacang"nya.

Oleh kerana aku tak berapa kenal pelakon-pelakon dalam Ice Kacang Puppy Love ini kecuali Angelica Lee dan Fish Leong, terasa mereka semua dapat mewujudkan keserasian di dalam mengembangkan watak dan bermain emosi yang cukup untuk meyakinkan keadaan.Aku suka dengan babak Botak naik basikal mengejar bas sambil menggenggam bunjut plastic abc. Sangat tersentuh. Filem romantis yang tidak dipaksa-paksa untuk menjelmakan suasana itu.

Wednesday, May 19, 2010

Largo Winch

Disebabkan ini saja yang bertepatan dengan kelapanganku, maka aku pun menonton Largo Winch untuk Festival Filem Perancis tahun ini. Seperti biasa aku memang tidak mengimbas dulu latar-belakangnya, berserah saja apa yang bakal tersaji di depan mata. Rupa-rupanya ia adalah sejenis filem aksi lasak yang ganas, cemas dan penuh konspirasi. (Bila aku selidik di imdb kemudiannya, ia berniat untuk dijadikan franchise ala James Bond malah sekuelnya sedang dalam bikinan). Terdapat juga elemen ala Hindustan dengan plot keluarga dilibatkan serta pewaris harta dan drama korporat diselang-seli dalam struktur cerita melangkau batas masa dan lokasi.

Kalau filem dari Perancis yang bercorak aksi advencer, biasanya orang akan kaitkan dengan Luc Besson. Filem mutakhir Besson yang aku tengok ialah From Paris with Love yang memberikan input dangkal dan klise cuma berharap pada lagak ngeri dan tembak-menembak secara maksimum. Namun untuk Largo Winch ini binaan ceritanya tidak menjurus pada espionage atau politik antarabangsa yang wirit dalam filem-filem aspirasi penyiasat atau badan risikan.

Sebaliknya ia memaparkan konflik kekeluargaan dalam urusan bisnes dan transaksi syarikat. Terasa macam mengikut drama dalam slot Samarinda pula. Namun sudah tentulah tema korporat dalam filem ini lebih ekstrem dari aspek lakonan yang di penuhi aksi pertarungan dan pembunuhan tanpa teragak-agak serta adegan seks yang terpaksa petugas GSC tutup dengan kertas. Penonton cuma boleh nampak subtitle je … hahahah… Biasalah filem Perancis ni kalau tak ada tayang tubuh macam tak sah.

Filem ni rupa-rupanya adalah adaptasi daripada komik. Di barisi oleh beberapa nama terkenal seperti Kristin Scott Thomas, Karel Roden (RocknRolla) membantu pelakon utamanya Tomer Sisley sebagai pembawa tajuk filem ini, sedikit sebanyak dapat menaikkan keinginan untuk menonton. Sebuah filem dengan motif spy yang boleh menjadi saingan yang baik bagi Bond atau Bourne.

Sunday, May 16, 2010

Belukar

Kenapa aku rasa bila tengok cerita Belukar ni macam filem-filem Melayu 80-an? Petang Ahad di TV3 biasanya ada disiarkan filem dari era itu (kalau diorang tak buat hal dengan ganti kepada sinetron Indonesia) yang biasanya keluar dengan gambar kusam kelabu dan lagu latar yang bingit dan melodramatik. Cuma bezanya bila tonton di tv itu tak bolehlah nak komplen apa sebab dah percuma. Tetapi untuk tahun 2010 ini apabila kita perlu membayar untuk suatu hasil seperti zaman 80-an dulu yang boleh didapati percuma, ia memang tak berbaloi.

Aku hanya tertarik dengan posternya yang ada kelas. Juga taglinenya. Kita boleh merangkumnya semua menerusi satu ayat ringkas itu untuk mengisahkan apa sebenarnya si pengkarya ini mahu sampaikan. Masalahnya nak menunggu “di mana ia bermula” sampai “di situ ia berakhir", agak menjerankan kerana di tengah-tengah antaranya, seakan tidak berupaya untuk memaku tumpuan penonton supaya dapat fokus pada isi ceritanya yang tidak disampaikan secara terus.

Idea Jason Chong selaku pengarah dan penulis dapat di puji kerana membuat filem sebegini yang jarang diketengahkan dalam sinema tempatan yang asyik dengan komedi slapstick dan hantu jembalang akhir-akhir ini. Jadi aku rasa wajar untuk memberi kredit kepada beliau di atas inisiatif menawarkan variasi kepada kita. Menggandingkan Daphne Iking dan Bront Palare juga adalah percubaan yang berani kerana mereka bukan crowd puller. Tetapi aku berpuas hati dengan kedua pelakon ini sebab aku boleh nampak keserasian mereka dalam memainkan peranan yang kompleks sebagai penipu dan penyiasat insurans.

p/s: Masa aku sedang surf internet untuk memuatkan imej filem ini, banyak pula aku jumpa posternya. Kesemuanya ada tiga aku dan berkenan dengan ketiga-tiga poster yang mereka pamerkan. Ia menepati gambaran thriller seperti yang Belukar mahu luahkan kepada umum. Hanya mungkin cara penyampaian itu yang boleh diperbaiki untuk mencantikkan lagi hasil akhirnya.

Wednesday, May 12, 2010

Balas Dendam Berbulu

Macam ada yang kurang pada filem ni. Sepatutnya kelakar tetapi tidak terasa pula detik klimaks ketawa yang di nantikan. Tema haiwan ingin mempertahankan hak habitat mereka daripada kerakusan haloba manusia ini adalah lebih menarik dalam format animasi seperti Over the Hedge dulu. Cuma apabila Furry Vengeance ambil manusia dan haiwan beraksi secara real life ia tidak berhasil bagai yang di jangka daripada trailernya.

Seperti biasa mesej begini memanglah baik kerana kalau hutan dah dimusnahkan, kat mana lagi binatang-binatang itu nak duduk? Tak kanlah semua nak disumbatkan dalam zoo? Lagipun memang bukan firah asal mereka pun duduk dalam hutan rekreasi begitu. Dalam satu adegan apabila mereka semua di tangkap dan kena kurung dalam reban dan sangkar yang saiznya muat-muat tubuh saja tu, ia sudah menyebabkan hati menjadi belas. Isu hak asasi haiwan dan alam sekitar memang lebih mudah disalurkan terutama apabila pendekatan komedi dan jalan cerita yang ringan di guna pakai.

Lagi satu, aku tak faham dengan Ken Jeong tu. Oklah, mungkin lawaklah jugak dia dalam Hangover walaupun lebih banyak yang annoying. Tapi dalam filem ni dia makin menjadi-jadi pula kelakar jenis menjengkelkan dia tu. Oh, terjemahan tajuk filem ni memang tak boleh blah.

Tuesday, May 11, 2010

Amazing Race 16 - Finale

Sebagai peminat setia Amazing Race aku merasa gembira jugalah dengan keputusan malam ini. Walaupun dah biasa sangat pasukan lelaki dengan lelaki memenangi pertandingan tersebut tapi mereka di kira sebagai lawan yang underdog dalam permainan ini. Dengan saiz tubuh yang kecil serta penampilan yang tidak di anggap sebagai mengancam, maka kedua beradik ini, Dan dan Jordan mampu meneruskan perlumbaan tanpa perlu membuatkan peserta lain tergugat oleh mereka. Apatah lagi salah-seorang daripada mereka ni pula agak lembik lotek dan asyik nak menangis je. Tapi yang lemah tak semestinya akan kalah!

Cuma sepanjang perjalanan siri realiti musim ini yang kelihatan macam bosan sikit ialah apabila tiba pada bahagian finalenya. Tak pernah-pernah ada perang mulut masa saat-saat pemenang diraikan itu, kali ni ada pula adegan macam tu. Menarik juga tengok. Tak adalah rasa palsu sangat semua peserta-peserta lain berlagak gembira dan ikhlas bertepuk girang kerana melihat orang lain dapat masuk final sedangkan diorang awal-awal lagi dah kena singkir. Apatah lagi kena eliminated pasal angkara halangan u-turn pulak tu. Lagilah bengkek je member.

Memandangkan hakikat permainan ini yang dah begitu cara ia berlangsung, kenalah mereka bersedia dengan segala kemungkinan. Oleh kerana dah bermusim-musim orang tengok program ni, sampai dah boleh expect apa yang menanti mereka pada pusingan akhir. Siap boleh buat nota awal-awal lagi tu berdasarkan apa event yang pernah berlaku dalam episod sebelum ini. Mungkin untuk rancangan akan datang, suruh creator rombak habis formatnya sampai peserta jadi bingung tak dapat agak apa-apa.