Tuesday, August 30, 2011

Raya Merdeka

Hari raya tahun ini agak istimewa kepada jatuh berdekatan dengan hari merdeka. Bagi aku sendiri secara peribadi memang lebih bermakna kerana pertama kali meraikannya sebagai seorang suami. Kena beraya dua tempatlah nampaknya. Hari pertama dihabiskan dengan mengunjungi sanak-saudara di daerahku dan pada raya kedua akan bertandang ke kampung isteri. Sepanjang hari seperti biasa bila sudah datang berziarah, acara makan minum di setiap rumah tidak di lupa.

Sekarang bersandar kekenyangan di kediaman orang tua menghadam juadah raya yang di jamah sejak pagi. Di samping itu sebagai santapan minda, aku membaca cerpen-cerpen yang termuat dalam antologi terbaru Faisal Tehrani, Tiga Kali Seminggu. Salah satu cerita yang terkandung bertajuk, Dangai, Pau dan Maruku sangat bertepatan untuk sambutan merdeka. Cuma aku tak tahu langsung apakah kuih dangai itu. Setelah di google, inilah rupa kuih tersebut yang aku dapati dari dapur mina punya blog.

Thursday, August 25, 2011

Buffet Ramadan 1432H 2.0

Rasanya aku boleh tempek balik entry pasal buffet yang lepas tu dan letak sebagai isi terbaru untuk hari ini pula. Ini kerana semalam aku sekali lagi mengalami peristiwa yang sama cuma kali ini bukan dengan rakan sepejabat. Aku terima pelawaan seorang kawan untuk bersama-sama berbuka di hotel sebab dia ada lebihan baucer. Selain aku, dia turut mengajak beberapa kenalan lain untuk sama-sama memanafaatkan baucer tersebut daripada ia terbazir tidak di pakai. Itu pun ada ekstra banyak lagi sebab ramai betul peserta yang sepatutnya menghadiri acara tersebut tidak dapat menghadirkan diri.

Maka si kawan yang baik hati itu pun berusaha mencari dan menghubungi handai-taulan yang boleh memenuhi kekosongan yang di tinggalkan kerana memang ralat melihat habuan berbuka yang sepatutnya ramai boleh nikmati tetapi tidak dapat dilunaskan. Aku kebetulan yang lapang pada petang itu bersyukur dengan teman yang sudi mempelawa. Walaupun dalam hati masih terharu dengan peristiwa makanan melimpah yang dialami dalam sesi buffet yang baru lalu, namun aku fikir secara positif supaya tetamu yang semeja denganku kali ini akan lebih berhemah dalam memilih dan mengeksploitasi makanan.

Tetapi hal yang sama masih berlaku nampaknya. Dan aku tidak boleh salahkan mereka kerana menurut tuan punya baucher yang mengajak itu, rata-rata kenalan yang hadir memenuhi undangan itu adalah pertama kali merasai pengalaman berbuka puasa secara buffet di hotel. Mahunya tak rambang mata melihat makanan dan minuman beraneka jenis mengisi setiap ruang dan sudut serta pelbagai gerai dan kiosk didirikan bagi memuatkan variasi sajian gastronomi yang mampu membuat perut penuh kekenyangan sehingga esok pagi sekurang-kurangnya.

Jadi pandangan sinis mata-mata memandang dan bisik-bisik halus mereka tatkala terpapas meja kami yang sarat dengan juadah tak terbendung, aku cuba buat tak tahu saja. (Sedangkan dalam benak sudah ligat memikirkan, ini boleh jadi idea untuk entry terbaru). Aku berbesar hati dan tumpang seronok melihat kenalan baru ini yang sungguh berselera berbuka di hotel dengan makanan yang seakan tiada terbatas. Masing-masing ingin mencuba setiap satu menu yang tersedia di sana dan syukurlah banyak juga yang di ambil berjaya di habiskan. Nampaknya mereka memang menghargai jemputan yang di terima dan menghargai rezeki Ramadan yang dikurnia menerusi teman yang bermurah hati berkongsi secebis nikmat.

Monday, August 22, 2011

Terlaris dan Bakal di Sambung

Dalam entry yang lepas aku ketengahkan perihal beberapa filem yang mungkin akan di sambung. Info yang aku dapat itu bukanlah aku reka sendiri sebaliknya didapati setelah melakukan carian di internet. Agak tidak mengejutkan jika penerbit mereka masih ingin mengaut laba berpanjangan dengan meneruskan cerita yang sudah pasti ada pengikutnya. Aku rasa filem-filem lain bukan tidak terliur untuk mengeksploitasi wang penonton melalui strategi menerbitkan filem susulan cuma mungkin ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Contohnya Harry Potter yang sudah sedia maklum bukunya sudahpun tamat. Jadi kalau nak keluarkan filem terbaru, kenalah tunggu JK Rowling mendapat ilham tiba-tiba menulis balik dengan plot melibatkan anak kepada Harry pula.

Sambungan Toy Story 3

Menurut Tom Hanks yang mewakili suara Woody berkata, disebabkan filem ketiga itu yang tersangat laku, siri ke-empatnya boleh saja sempat di bikin menjelang tayangan perdana pada akhir 2013 nanti. Studio Pixar yang menerbitkannya pula mengulas bahawa kemungkinan ia disiarkan pada tahun tersebut memang ada cuma mereka tidak boleh memastikan sama ada ia akan berbentuk sekuel atau satu olahan cerita lain akan di rangka. Mereka dah siap pilih tarikh lagi tu iaitu pada 27 Nov, 2013 akan menemui penonton.

Sekuel Avatar

Sebelum Avatar keluar, pengarahnya James Cameron telah bercakap kepada MTV bahawa beliau sudah ada inspirasi terhadap senario yang ingin dicetuskannya menerusi filem terbabit terutama perkembangan watak Jake dan Neytiri yang dibayangkan akan berlaku trilogi cuma ia belum di lakar serius dalam bentuk penulisan skrip. Dalam satu sesi S&J sempena promosi Avatar tidak lama dahulu, beliau dilaporkan berkata “Ya, akan ada yang lain,”. Jadi, yakinlah anda sekalian bahawa setelah melabur begitu banyak wang dan masa mencipta teknologi mengubah Sam Worthington dan Zoe Saldana menjadi Na'vi, sebuah sekuel tentu lebih daripada berbaloi.

Instalasi Seterusnya Transformers

Walaupun tidak ada sebarang maklumat lagi berkenaan prospek Transfomers untuk di sambung, penganalisis hiburan meramalkan studio Paramount akan terus menerbitkan sekuelnya nanti jika berdasarkan prestasi box-officenya yang mengutip USD97.5j sekaligus mencatatkan rekod pembukaan cuti hujung minggu terbesar setakat tahun ini. Persetankan dengan Bay dan LaBeouf yang berura-ura ingin bersara daripada francais itu kerana lebih ramai lagi sutradara dan aktor yang sedang melobi untuk terbabit dalam cerita bertahap spektakular ini. Walaupun tidak di puji pengkritik dan jalan cerita agak lemau, namun dengan sambutan yang tidak pernah surut, potensi robot-robot boleh bertukar menjadi jentera untuk terus dihasilkan adalah terjamin.

Kronologi Pirates of the Caribbean

Aku tidak jumpa sumber berita yang konkrit tentang sekuel Pirates of the Caribbean yang akan di buat ini hanya merujuk kepada imdb yang menyiarkan senarai sambungan filem tersebut dari lima ke enam bahagian. Jadi kalau imdb sudah menyenaraikannya begitu, bersedialah untuk menjarah harta karun bersama lanun-lanun selanjutnya di dalam dua buah lagi filem yang bakal menyusul.

Friday, August 19, 2011

Buffet Ramadan 1432H

“Ni kalau orang Somalia tengok ni, boleh menangis ni,” seloroh seorang rakan pejabat melihat timbunan sajian di depan mata.

Berbuka secara buffet memang menjadi gaya hidup dewasa ini. Tetapi ambil terlalu banyak makanan untuk dilambakkan di atas meja semata-mata kita dibenarkan untuk kaut semua hidangan tanpa batasan adalah tidak boleh di terima. Penuh sehingga melimpah ruah sampai dah tahap pinggan berada di pinggiran meja dah. Melampau sangat.

Orang keliling yang lalu-lalang mesti akan menjeling ke arah meja kami. Harus diorang ingat yang kami ni buruk lantak. Macam dah sepuluh hari tak makan. Kebulur sangat ke? Ambil lauk-pauk, kuih-muih, seolah-olah tak pernah jumpa itu semua. Seolah-olah memang lapar amat. Seolah-olah mampu untuk menghabiskannya dalam sekali hadap.

(Aku bercakap pasal majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh jabatan aku ni di SDCC baru-baru ini. Itulah pertama kali aku ke sana. Pilihan makanan memang pelbagai dan banyak. Semua sedap-sedap belaka)

Bagai di jangka, memang tak habis pun makanan yang di ambil tak ingat dunia tu. Aku ni setakat tengok je pun rasa dah kenyang. Sebelum berbuka nafsu bermaharajela melihat beraneka santapan yang membuka selera. Memang terasa membazir. Alangkah elok kalau semua itu dapat disedekahkan kepada orang Somalia.

Tuesday, August 16, 2011

10 Filem Terlaris

Mari kita lihat senarai sepuluh filem yang meraih kutipan terbanyak di seluruh dunia sehingga sekarang seperti menurut artikel yang keluar dalam The Star hari ini. Kelakar juga baca rencana itu yang secara sarkastik mengutuk pencapaian Harry Potter terbaru yang hanya mampu mengaut satu bilion dollar di sebalik ramalan pihak studionya bahawa ia berupaya mencecah 10 bilion sekurang-kurangnya. Malah penulis tersebut juga berbangga kerana masih bertahan dengan tidak terpengaruh sama untuk menyertai sekian banyak peminat yang sudah pun menonton filem terakhir Harry Potter itu.

Inilah dia senarai ke sepuluh buah filem terlaris yang dimaksudkan.

1) Avatar (2009)

2) Titanic (1997)

3) The Lord of the Rings: Return of the King (2003)

4) Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest (2006)

5) Toy Story 3 (2010)

6) Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2 (2011)

7) Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides (2011)

8) Alice in Wonderland (2010)

9) Transformers: Dark of the Moon (2011)

10) The Dark Knight (2008)

Ada tiga buah filem yang aku tidak pernah tengok (dari awal hinggal habis) iaitu Titanic dan kedua-dua Pirates of the Caribbean. Kebetulan latar-belakang masing-masing pula melibatkan kapal dan lautan.

Enam di antaranya ialah sekuel (tujuh jika anda masukkan sekali The Dark Knight).

Aku menonton Dark Knight dua kali di panggung, yang lain-lain tengok sekali aje.

Dua daripadanya adalah genre animasi (dua kerana satu untuk Toy Story manakala Avatar dan Alice in Wonderland berkongsi setengah poin masing-masing)

Tiga merupakan produk yang pernah difilemkan sebelum ini iaitu Titanic, Dark Knight dan Alice in Wonderland

Johnny Depp membintangi tiga filem daripada senarai box-office ini.

Kedua tempat teratas didominasi oleh filem arahan James Cameron.

Ada empat buah filem yang masing-masing sedang dalam pertimbangan untuk di sambung iaitu Pirates of the Caribbean, Avatar, Toy Story dan Transformers manakala satu sekuel Dark Knight menanti tayangan bertajuk Dark Knight Rises.