Wednesday, November 26, 2008

Wayang Piper


Ada ke Piper Perabo berlakon dalam filem Wayang ni? Masa aku tengok dulu tak perasan pulak. Dah kena sensor ke? Kekkeke....Macam mana boleh tersilap letak nama minah ni. Piper Perabo ni famous berlakon dalam Coyote Ugly, Cheaper By the Dozen, The Cave dan The Prestige.

Filem terbaru beliau yang sedang meletup di Hollywood sekarang ialah Beverly Hills Chihuahua. Tapi belum start tayang di Malaysia lagi walaupun posternya sudah lama terpampang. Filem berkaitan anjing yang mula bermain di pawagam Malaysia ialah Bolt. Gambar di atas aku ambil dari website tgv.


Bila aku check kat imdb, teruk gila user rating Beverly Hills Chihuahua ni dapat, 2.3/10... memang hanjeng lah filem ni

Tuesday, November 25, 2008

Tiga Filem Hujung Minggu

Hujung minggu yang lepas aku telah berkesempatan menyaksikan tiga buah filem. Dua cerita Eropah dan satu remake Eropah.

Mozart in China


Ya, mungkin filem Wayang tu patut guna strategi ni untuk menarik kembali minat khalayak mainstream kepada wayang kulit. Modus operandinya dengan menggunakan kanak-kanak dan cipta satu persekitaran advancer sebagai elemen cuak, sedih dan seronok. Kerana dalam filem ini fokusnya ialah dua seni tradisional dari dua negara berbeza digabungkan menjadi satu kerangka cerita yang bertunjangkan kanak-kanak. Puppet dari Salzburg dan shadow theatre dari Hainan adalah fokus kepada produksi dari Austria ini yang melibatkan persahabatan di samping budaya silam nenek moyang mereka.

Terdapat persamaan evolusi juga seperti wayang kulit Kelantan yang hampir lenyap, teater patung dari China itu juga turut alami nasib serupa kerana persaingan daripada panggung wayang moden yang lebih popular. Namun filem Mozart in China ini menggunakan pendekatan sejarah (Mozart), dongeng (ikan berlian), mistik (puppet bernyawa), geografi (Eropah – Asia), gangster (along) serta budaya itu sendiri dalam kronologi plotnya. Semuanya di susun menarik walau dari segi teknikalnya nampak murah atau sesetengah pelakon ciliknya kaku semacam tetapi cerita yang ditawarkan sangat meriangkan hati.

Quarantine


Aku masih tidak berpeluang menonton •Rec yang heboh diperkatakan itu. Bila keluar saja Quarantine aku teruslah bergegas ke panggung. Dua orang kawan yang telah tengok semua tidak suka pada ending. Masalah aku pulak, aku bukan tidak suka kat ending dia tapi sebab masa trailer lagi dah tunjuk semua itu. Apa lagi yang tinggal? Kalau trailer tu setakat paparkan footage mereka yang kena gigit atau di terjah oleh mangsa virus itu pun sudah cukup efektif.

Corak filem ini yang guna handheld camera memang berkesan sangat bagi aku kerana masa tengok tu aku sedang pening kepala. Jangan tengok jika sedang di landa sakit kepala yang kronik kerana ianya lebih thrill dan horror daripada …err… Cloverfield? Puas hati sangat dengan filem ini malah penonton semua sporting siap menjerit sekali dalam panggung.

The Ride


Bila diingatkan balik, filem Jizda atau dalam Inggeris judulnya ialah The Ride ada persamaan karektor dengan Y’ tu Mama Tambien kerana ada dua lelaki dan seorang wanita dalam sebuah kereta. Cuma tujuan perjalanan itu saja yang tak sama. Filem Mexico tu mereka ingin mencari pantai. Cuma yang Republik Czech ni apa entah arah tujuan mereka langsung tak tahu. Tapi bab-bab karektor yang horny memang tak boleh tinggal. Tetap ada dalam kedua-dua cerita.

Aku suka The Ride ni walaupun tiada destinasi yang jelas diterangkan ia ada paparkan semangat road movie yang kuat. Perempuan yang mereka ajak tumpang itu serta kereta lelaki yang tenggelam timbul mengekor mereka memberi nilaian kepada genre sebegini yang kelihatan mudah. Malah aku semakin hargai perjalanan yang filem ini beri sebab pengkarya mereka benar-benar tahu menikmatinya kerana dari trivia yang aku baca mereka semua bertaruh sama ada sebuah filem dengan nilai sejuta crown mampu di bikin.

Friday, November 21, 2008

Joshua

Filem Joshua ini bagi aku berjaya menjadi psychological thriller yang baik untuk era moden ini. Berlatarkan suasana kosmopolitan New York dan penduduknya yang elite serta berbudaya terpendam sebuah kejahatan yang tidak dapat disahihkan namun ia berlaku kepada sebuah keluarga. Bagai déjà vu kerana peristiwa ini seakan pernah terjadi dahulu sebab premisnya juga masih dalam sebuah apartmen dan turut melibatkan seorang suami dengan seorang isteri yang baru lepas bersalin. Hanya kali ini ada seorang budak lelaki sebagai tambahan.

Jika anda terus teringat pada Rosemary’s Baby, tak salah untuk berfikir macam tu, macam bayi kepada puak kultus pemuja setan itu kini sudah membesar. Namun tidak ada yang supernatural pada budak ini. Dia bukan The Omen. Namun dia kelihatan aneh dan sesuatu dengan pandangan dingin serta energy seram yang dirembaskannya. Diperankan oleh Jacob Kogan dengan sungguh berkesan sampai kita naik geram. Wataknya digambarkan sebagai manipulatif dan sadis walaupun penonton tidak disajikan semua itu di depan mata. Beberapa babak yang sepatutnya membuktikan kelakuan psycho si Joshua ni macam nak acah-acah kita pula.

Selebihnya kita kena fikir atau analisa sendiri tentang apa sebenarnya yang menimpa keluarga tersebut. Seorang ibu yang gila meroyan dan bapa yang terpaksa mengimbangi tuntutan kerja dan rumahtangga yang seolah semakin berantakan namun punca dan penyelesaiannya masih samar-samar. Kemelut ini bermula apabila si ibu membawa pulang bayi yang baru dilahirkan ke rumah dan budak lelaki itu rasa terancam dan disisihkan. Mungkin faktor pergaduhan adik-beradik yang merumuskan kekacauan ini tercetus. Walaupun aku lebih berat untuk menuduh Joshua mengalami gangguan jiwa yang kronik. Teori yang aku boleh cakap mungkin dia adalah mangsa paedofilia daripada seorang ahli keluarga terdekat.

Waima tidak ditunjukkan secara nyata dalam filem namun beberapa subtle yang dipaparkan dalam sesetangah babak membuatkan kita boleh buat andaian sendiri. Sebuah drama sosial yang memperdaya penonton denagn dipakejkan sebagai sebuah filem horror tipikal. Namun Joshua menawarkan sesuatu yang lebih menggerunkan daripada itu.

Wednesday, November 19, 2008

Paris

Apabila aku cakap yang aku nak menonton Paris, terus si Gaia bagi komen “Paris agak lembab. Banyak cerita yang tak berapa dimengerti apa kaitan antara satu sama lain. Kalo French (kawan dia) konfem tak suka pasal dia selalu cakap filem Perancis ni slow and bad music”.

Ok, noted.

Tapi aku pergi juga ke gsc dengan fikiran terbuka. Dalam booklet Euff 2008 telah memberikan sinopsisnya secara ringkas mengenai Pierre seorang penari yang mengidap penyakit jantung. Sementara menanti hari-hari di bedah, dia menghabiskan waktu dengan bersidai di balkoni, menyorot kehidupan marga Paris secara rambang yang bergelut dengan indah dan ghalaunya perjalanan mereka sendiri di sebuah kota cinta. Tapi bukanlah dia berteleku di situ sehari suntuk sampai tak ada buat aktiviti lain. Kakaknya Elise seorang ibu tunggal yang bila mendapat tahu adiknya sakit pantas memberi sokongan moral dengan berpindah sementara di situ beserta anak-anak.

Asasnya filem ini mengenai kasih sayang mereka dua beradik dengan Paris menjadi lambang. Di samping itu watak-watak lain yang di skodeng oleh Pierre tadi turut terkandung sebagai plot. Memang sudah cliche kota ini sebagai metafora kepada cinta seperti filem Paris, je T’aime yang aku saksikan dulu. Namun masih tak jemu. Walaupun aku rasa kedua-dua filem ini seakan-akan sama cuma dalam Paris naratifnya di bina dalam bentuk ala filem Love Actually atau Crash. Hanya unsur kebetulan itu tidak terlalu di paksa.

Paris tak adalah lembab sangat. Ia seakan kita di suruh ambillah sebanyak mana masa yang kita mahu untuk menghayati bandaraya ini. Seperti filemnya juga yang turut di isi dengan ajnas karektor dan suasana untuk di telaah. Kalau tengok Le vie en Rose lagilah azab lembabnya dengan muzik dan lagu yang aku tak begitu masuk. Namun muzik dalam Paris is not bad.

Tuesday, November 18, 2008

The Coffin

Tak serik-serik aku tengok filem Thailand. Hujung minggu lepas aku pergi menonton The Coffin. Hasil terbaru daripada pengarah Ekachai Uekrongtham yang sebelum ni memberikan kita Beautiful Boxer. Itu sebuah kisah benar mengenai seorang peninju yang ingin membuat pembedahan jantina. Manakala filem ini pula turut bersandarkan sesuatu yang benar iaitu satu amalan pelik masyarakat Siam yang melibatkan keranda. Dengar je dah seram.

Sebenarnya ritual tersebut mengkehendaki seseorang berada dalam keranda selama beberapa hari sebagai syarat untuk menjauhi nasib malang dan anasir puaka. Premise begini memang sudah boleh di telah akan sampai impak takutnya. Tapi bagi mereka yang menaruh ekspektasi lebih tinggi mungkin akan kecewa sikit. Aku pula tak adalah harap seram yang melampau-lampau. Bagi aku filem ni lebih ok daripada dua cerita Siam yang aku tengok sebelum ni. Ada aku mention dalam beberapa entry terdahulu.

Satu lagi aku nak cakap, jangan nak expect dua selebriti tersohor yang menerajui filem The Coffin ini akan bergandingan di sepanjang filem. Rupa-rupanya karektor mereka wujud tidak parallel dalam timeline yang sama. Cuma masa nak dekat penamat barulah mereka berkongsi skrin. Walaupun aura seram lebih berjaya semasa kisah Ananda, tetapi tidak begitu difahami kaitannya dengan ritual tersebut. Manakala bahagian cerita Karen Mok senang difahami kesan dan akibat yang melandanya dek melaksanakan penyucian terbabit.

Selain gabungan dua plot yang agak baik itu tadi aku juga tertarik dengan aspek tangkapan kamera yang cantik dan membentuk mood. Kita boleh merasa ngeri dan gentar kematian melalui shot-shot yang difokuskan. Namun itu semua tidak banyak di bantu oleh pelakon-pelakon yang bagi aku tidak memberi sepenuh jiwa. Seolah separuh lagi mereka sudah masukkan ke dalam keranda.

Sunday, November 16, 2008

Wayang

Subjek yang di bawa oleh filem ini ialah sejenis hiburan tradisional orang Melayu yang di panggil wayang kulit. Rasanya sebelum ni tidak ada lagi sebuah cerita tentang unsur ini di angkat ke layar lebar. Mungkin sebab belum ada cerita yang kuat untuk diketengahkan. Atau dikhuatiri khalayak umum tidak berminat untuk menjengah panggung menonton sebuah kisah mengenainya. Aku sendiri tak pernah tengok persembahan wayang kulit secara “live” depan mata. Tapi, tegasnya aku tak akan buat perangai sengal macam segelintir budak-budak student Uitm dalam satu babak dalam filem ni.

Ada ke patut masa Awang Lah lakonan Eman Manan suruh Awi dan Melor demokan wayang kulit depan mereka, diorang semua jadi tak tentu arah dengan ekspresi memek muka curious gila. Masing-masing jadi tak karuan dan tercangak-cangak hilang punca. Lepas tu ada seorang dua menjenguk belakang kelir nak tahu macam mana seorang buta dan seorang lagi sengau boleh memainkan patung-patung tu semua. Tak perlu sangat nak tunjuk muka dan aksi kelam-kabut tu! Sampai nampak pathetic. Terpaksalah aku highlight benda ni dulu walaupun aku tahu remeh-temeh jer perkara ini.

Ya, gambaran kasar yang kita dapat proses dari hiburan ini ialah seorang tok dalang mestilah berupaya melihat dan bersuara dengan normal untuk mementaskan hasilnya. Tetapi naskhah garapan Hatta Azad Khan ini memberi ironi daripada apa yang kita tahu mungkin sebagai simbolik kepada semakin hilangnya seni tersebut dari pandangan orang ramai. Dan jika ada pun suara yang ingin menyokong kelangsungan hayatnya, ia hanyalah bunyi-bunyi sumbang dan tiada siapa yang sudi membela nasibnya. Satu lagi aspek yang di beri perhatian oleh Hatta apabila produk ini di label un-Islamic seperti adegan pada awal cerita yang bagi aku patut di bagi lebih pendedahan.

Watak antagonis, Jusoh sepupu Awang Lah sendiri yang anti wayang kulit dengan imej Islami tidak dibangunkan karektornya secara kukuh untuk kita memegang fahamannya. Sepatutnya biar Jusoh dan Mamat, anak Awang Lah itu berkongsi idealogi mereka sendiri untuk berpakat memusuhi seni tradisional ini. Jadi Wayang tidak akan bergerak terlalu hambar dan lesu jika sekadar untuk menerapkan pergolakan jiwa seni Awang Lah serta tugasnya untuk mendidik dua OKU itu tadi mendalami bidang ini. Cuma unsur romantis dua anak murid (juga anak angkat kepada beliau) memang boleh difahami dalam teks ini hanya ia terasa meleret.

Aku suka ingin kaitkan filem ini dengan Budak Kelantan yang turut masih bermain di panggung. Atas dasar yang kedua-duanya guna dialek yang sama, aku andaikan jika Awi ingin main gitar semasa persembahkan wayang kulit, hasilnya adalah Budak Kelantan. Wayang kulit seperti yang Awang Lah ingin pertahankan yang kekal dalam ciri-ciri tulennya mungkin akan terus lestari. Tapi hanya sebagai bahan pameran atau rujukan ilmiah. Manakala wayang kulit yang pop akan di pilih dan di sukai oleh kebanyakan orang.

Thursday, November 13, 2008

The Last House in the Woods

Aku beli dvd ni pasal keliru dengan satu lagi tajuk filem yang aku dah lama cari. Beberapa blogger selalu mewar-warkan filem The Last House on the Left dan buat aku teringin nak tengok. Masa kat Jb, tengah aku belek-belek cover beberapa dvd, nampak je tajuk ni aku pun rembat. Rupa-rupanya tiga perkataan depan saja yang sama. Tersalah beli pulak.

Ok, tak mengapa. Bukannya teruk benar filem ni. Walaupun gambarnya macam style movie 70-an. Tapi sebab ada handphone tu sedarlah kita bahawa ni filem moden. Walaupun telefon mudahalih tersebut tetap tak boleh di harap apabila tiba saat-saat cemas dan kritikal. Lagipun ini filem horror slasher thriller yang memang penuh dengan adegan begitu.

Produk Itali ni meneruskan kelangsungan tradisi yang wajib ada dalam genrenya. Dari segi naratifnya kita terpaksa tunggu juga sampai ke akhir durasi kalau ingin tahu apa yang terjadi pada budak di awal cerita. Itu mungkin umpan pengarahnya jika penonton dah muak di simbah dengan darah yang bergelen-gelen dan anatomi yang di lapah serta di mamah juga jerit pekik. Fikiran aku langsung tak boleh nak agak apa yang famili aneh tu buat pada budak malang tersebut. Sampaikan ada seorang penjahat itu siap muntah selambak.

Dalam filem ni ada tiga penjahat mula-mulanya. Mereka nak rogol seorang awek ni selepas membelasah balak awek tu dan sumbat dalam but kereta. Kejadian berlaku di sebatang jalan sunyi di tepi hutan belukar. Pendek cerita, si gadis dan pasangannya tu diselamatkan oleh keluarga tadi yang melalui jalan tersebut dan membawa mereka pulang ke rumah terakhir di dalam hutan. Siapakah orang jahat sebenar itulah persoalannya.

Wednesday, November 12, 2008

The Art of Travel

Filem ni macam korang tengok episod dalam Globe Trekker. Atau Not Your Average Traveller di saluran Travel and Living. Cuma ia bukan dalam dokumentari tetapi didramakan. Hujung-hujung tahun begini kalau bajet tak ada nak pergi bercuti, tontonlah filem ni. Ia ada premise yang menjanjikan. Puas hati juga dapat habiskan tengok. Seolah baru melepasi perjalanan yang tak tahu di mana akan berakhir.

Tak silap aku si Gaia pernah beritahu dulu yang budak-budak remaja di US sebelum mereka sambung belajar di kolej/universiti biasanya akan ambil cuti mungkin dalam setahun untuk mengembara. Itu lah hero filem ni Connor Layne buat yang terbang ke Amerika Sentral sebelum dia mulakan kelas. Namun tujuan itu sebenarnya terlencong sebab pada mulanya dia nak berjalan-jalan sambil berbulan madu tapi di atas altar dia membatalkan perkahwinannya. Kemudian dia terus ambil keputusan untuk keluar ke mana-mana saja destinasi luar negara yang pertama pesawat akan tujui.

Tatkala di Nicaragua, dia bertembung dengan sepasang suami-isteri yang sedang merangka satu advencer untuk merentas Darien Gap menerusi hutan tebal dan bahaya dengan menggunakan jip tetapi mereka tersangkak seorang kru. Lantas Connor yang berat hati awalnya bersetuju sertai mereka berdua yang turut di sokong sekumpulan ahli lain yang berkepala sengal. Terasa macam tengok Amazing Race pun ada juga cuma tak ada perlumbaan dengan mana-mana group atau proses penyingkiran je. Sebab task-task semasa dalam hutan tu agak mencabar juga.

The Art of Travel ni memang bukan macam filem kembara seperti Turistas atau The Beach atau The Ruins yang lazimnya di beri plot lebih dramatik dan ada thrill. Setakat nak tengok pelakon beraksi sambil berwisata di negara-negara tertentu mungkin boleh dijadikan tarikan. Tapi dalam satu adegan ada sejenis jenaka yang suami-isteri itu kenakan pada watak utama ini yang boleh menjadi inspirasi. Atau dalam kes Connor, ianya adalah pendorong secara paksa. Kelakar jugak.