Wednesday, August 25, 2004

Rejab, Syaaban ... Lepas tu Puasa.

Minggu lepas aku terima e-mail di bawah berkenaan dengan bulan Rejab dan amalan-amalan di dalamnya. Kemudian pada minggu ni ada e-mail lain pulak yang aku terima seakan memperjelaskan lebih lanjut tentang amalan tersebut. Dah bulan Rejab rupanya kita ….. dah dekat nak puasa balik.

E-Mail 1

Fw: Jgn lupa tahun ni 17 Ogos 2004 = 1 Rejab 1425

KELEBIHAN BULAN REJAB

Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya
Allah
muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat. Sabda Nabi
s.a.w.: Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya'aban bulanku & bulan
Ramadhan
bulan umatku.

Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya,
Sya'aban dengan malam NISFUnya
Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.

Malam awal Rejab mustajab do'anya.(Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

* Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus).

* Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

* Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang
menghalangkan dia keneraka (panjangnya setahun perjalanan).

* Puasa empat hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan
daripada penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajal di hari
kiamat.

*Puasa lima hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur.

* Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar kubur bercahaya muka.

* Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu
neraka.

* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu
syurga.

* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu,
MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH tidak ditolak dia masuk syurga.

* Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan
perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu di hari
kiamat.

* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah
di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam
syurga.

* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai
di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.

* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah
lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya
(pembaharuan umur). Berkata Saidina Ali:

* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Qur'an atas
segala Qalam. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh
tahun dan diberi minum air dari Syurga. Puasa 10 hari pada bulan Rejab
dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi
Sirotalmustaqim
di hari kiamat. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan
ibadat
seumurnya. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti
puasa sebulan pahalanya.

Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang
meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib
baginya:

* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah
tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada
bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap
sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat,
dihapus seribu kejahatan.

Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab
seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan
seribu bidadari, lebih cantik daripada atahari seribu kali.

Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah
daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah.Allah
jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan
Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta
ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad. Allah menjawap: Telah aku
ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah
pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan
tubuhnya daripada api neraka.

Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
"Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi
ketinggian Ku dankebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau
adalah
jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu,
engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu
dan antarakau".(dari kitabRaudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya.
Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana
kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada
bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam
syurga Firdaus.

Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya
berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun.Diampunkan baginya 70
dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar
nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat
ketika terbang suhuf (ketika Qur'an dinaik ketika berlalu di Titi
Sirotalmustaqim.

Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat,
pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan
Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap
hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan
berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya. Demikianlah peri
keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN
ALLAH.

REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.

semoga kita sama2 m'dpt manfaat....
wassalam

E-mail 2

Fwd: Kekeliruan di Bulan Rejab

Assalamu'alaikum frens,

i sekadar ingin menyampaikan pesanan ustazah fatma az-zahra yg telah
memberi
ceramah pada 18.8.2004 baru2 ni di petronas twin towers.ceramah ini
dihadiri
oleh lebih 60 orang.ramai yang menjadi saksi.ianya dianjurkan oleh
petronita, persatuan kebajikan wanita petronas.

ustazah berpesan bahawa e mail kelebihan2 rejab ini merupakan dakyah puak
syiah yang membesar2kan bulan rejab berbanding bulan ramadhan. rasulullah
saw tidak berpuasa sepanjang bulan rejab. baginda hanya berpuasa isnin dan
khamis, seperti amalan baginda yang biasa.

rasulullah saw mengatakan bahawa sunat membanyakkan puasa pada awal bulan
syaaban, sebelum 15 syaaban.saidatina aisyah r.a. bertanya "mengapa ya
rasulullah ? "baginda bersabda bahawa amalan kita naik ke langit pada bulan
syaaban & aku ingin amalanku diangkat ketika aku berpuasa.
sebagai umat nabi muhammad s.a.w., kita hendaklah membesarkan ramadhan.

sesiapa yg berpuasa rejab,syaaban & ramadhan 3 bulan berturut2, ianya
adalah
amalan khurafat kerana ianya bukan amalan rasulullah saw & sahabat2
baginda.na'uzubillahi minzalik! kita hendaklah menyimpan tenaga untuk
beribadat bersungguh2 di bulan ramadhan, lebih2 lagi 10 hari terakhir
ramadhan. jika kita telah berpuasa 3 bulan berturut2, kita dikhuatiri
keletihan untuk beribadat. jika berpuasa 3 bulan berturut2 juga, nikmat
ramadhan akan hilang..tiada lagi keistimewaan ramadhan kerana pada ramadhan
kita wajib berpuasa sebulan.

wAllahu'alam bissawab..silalah sampaikan maklumat ini kepada teman2 yang
lain..dikhuatiri kita beribadat tetapi ianya tidak diterima kerana
khurafat.

Sunday, August 22, 2004

Entry Sepatutnya Minggu Lepas

Nota : Artikel di bawah sepatutnya dimasukkan dalam entry minggu lepas. Tapi cpu aku ni kena di hantar ke MIS department untuk satu proses tertentu maka tak dapeklah aku nak surfing secara bebas. Oleh kerana aku malas nak delete entry yang aku dah taip awal-awal ni, aku post kan jerlah walaupun terlambat seminggu.


Malasnya nak keluar petang hari Sabtu, cuaca pulak macam nak hujan, tidur sedap ni. Aku pun tidur jer lah. Sebenarnya ex-officemate aku ajak pergi rumah dia petang tu sebab dia baru pindah rumah. Lain kali lah aku pergi. Aku pun cancel pergi rumah dia dengan alasan aku ada program lain. Padahal program lain tu lambat lagi pukul 8 malam baru boleh pergi. Program apa? Nak tengok Akademi Fantasia konsert akhir! Haha…

Aku tengok kat rumah kawan jer. Tak macam tahun lepas yang aku tengok kat PWTC sempena dengan Karnival Astro, tahun ni Astro tak buat macam tu lagi. Jadi petang ni aku malas nak merayap ke mana-mana. Aku kena cover tidur sebab malam tadi dah tidur lambat tengok opening ceremony Olympic.

Bercakap pasal majlis pembukaan sukan yang bersejarah ini, ianya sungguh menakjubkan. Kita tak terfikir yang padang di tengah stadium akan dibanjiri bergelen-gelen air yang sehingga sebuah “kapal” pun boleh belayar melaluinya. Para sukarelawan yang membuat persembahan itu semua telah di solek sehingga nampak macam patung. Pakaian mereka pula ada yang agak jarang dan sekali imbas kelihatan tidak memakai apa-apa. Agak seksi untuk sebuah rancangan dengan rating “U”. Unsur-unsur dongeng dan mitos Greek kuno mendominasi persembahan mereka.

Part paling mengantuk ialah masa perbarisan masuk atlit-atlit dari negara-negara yang mengambil bahagian. Beberapa kali aku terlena kejap. Banyak pulak tu sampai 202 negara nak kena habiskan semua tu. Nasib baik aku tak terlepas masa Malaysia masuk. Cantik-cantik nampaknya atlit berbilang bangsa pakai baju kebangsaan. Pemegang bendera ialah si cilik atlit terjun Bryan Nickson yang mencatat rekod olimpik kerana ahli sukan lelaki termuda, teringan dan terendah dalam temasya kali ini. Kalau anda ingat ada penambahan 2 negara dari Sydney 2000 kerana dimasukkan Timor Leste dan Palestine.

Aku tahankan juga mata kerana tak ingin terlepas peluang menyaksikan saat-saat obor ingin di pasang. Tetapi sebelum itu bila seorang sukarelawan melakukan aksi berlari melintasi tali regang untuk menandakan setiap kotaraya yang pernah menjadi tuan rumah, tiba-tiba beliau jatuh tersungkur agak dramatik. Rupa-rupanya itu menandakan Perang Dunia Pertama sedang meletus. Cara nyalaan obor menarik cuma tidak excited seperti di Barcelona dulu yang menggunakan pemanah.

Punjut gergasi yang digerakkan secara hidraulik perlahan-lahan merebahkan muncungnya ke arah pemegang obor lalu beliau menghalakan api obor ke muncung lalu punjut dengan slow motion naik semula ke atas. Itu saja. Lupa nak cakap ada persembahan nyanyian Björk sebelum itu dengan lagu Oceania. Memang padanlah tajuk lagu tu dengan konsep pembukaan Olimpik yang ibarat kolam gergasi serta kain yang membalut tubuh si penyanyi yang melaut lebarnya. Entah berapa kodi agaknya kain yang di guna tu.

Friday, August 13, 2004

Citius, Altius, Fortius



Hari Rabu lepas, aku telah menonton bahagian kedua sebuah filem tentang Olimpik di TV2. Bahagian pertama aku tak dapat nak tengok pasal masa tu aku tengah tengok wayang kat 1-Utama. Filem yang bertajuk The First Olympics: Athens 1896 ini diterbitkan pada tahun 1984 sebagai sebuah telefilem. Kalau tahun 1984 maknanya ia sempena Los Angeles yang menjadi tuan rumah pada tahun berkenaan. Tapi kali ni bila TV2 siarkan ia jadi lebih relevan kerana Olimpik kembali ke tempat kelahirannya di Greece.

Tahukah korang bahawa jika tidak kerana sumbangan kewangan dari seorang bisnesman Greek bernama George Averoff, sukan ini mungkin terpaksa dipindahkan ke Budapest, Hungary? Negara itu miskin sangat sampai tak berupaya nak membaikpulih stadium Panathenean yang telah di bina sejak 330 B.C.E. Setelah dana mencukupi, bukan setakat stadium itu yang mampu dibaiki, mereka juga dapat membina jeti untuk acara renang dan lapang sasar untuk acara menembak.

Namun Olimpik Moden harus berterima kasih kepada Baron Pierre de Coubertin seorang pendidik dan pemikir berbangsa Perancis yang telah berkelana ke seluruh dunia untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama demi merealisasikan impiannya menyatukan insan melalui sukan. Semasa bahagian kedua filem ini dipaparkan banyak acara padang dan olahraga yang dimenangi oleh pasukan Amerika yang tiba di Greece pada saat-saat upacara pembukaan mahu dimulakan.

Mereka banyak menfokuskan kepada dua acara itu di samping ada ditunjukkan sukan menembak dan renang. Berdasarkan maklumat internet yang aku cari antara sukan lain yang turut dipertandingkan pada masa itu ialah lawan pedang, angkat berat, tennis, basikal, gymnastics dan wrestling. Agak kelakar menengok seorang peserta renang ini dikesejukan bila mencecah air kerana mereka bukan berenang di kolam sebaliknya di laut sebenar. Ia diadakan di Bay of Zea di Laut Aegean dan pingat emas pertama dimenangi oleh Alfred Hajos Guttman dari Hungary.

Saat-saat paling menyentuh perasaan dalam filem ini ialah semangat seorang askar Greek bernama Spiridon Louis yang miskin dan buta huruf berusaha untuk mengharumkan nama tempatnya serta membolehkan dia menikmati kehidupan yang lebih baik jika berjaya memperolehi pingat emas. Seluruh kampung menghantar dan memberi semangat sebelum dia masuk bertanding. Mengikut sejarahnya acara marathon ini dicadangkan oleh kawan kepada de Coubertin sebagai memperingati Sukan Olimpik Purba untuk menandakan kemuncak pertandingan ketika itu yang telah pun berlangsung selama 11 hari.

Perlumbaan bermula dari Marathon ke Athens (dianggarkan sejauh 22-26 batu), disaksikan lebih dari 100,000 orang dan pemenangnya sudah tentulah askar Greek tadi, Spiridon Louis. Bermula dari detik beliau menjejak langkah ke stadium untuk pusingan terakhir, penonton tuan rumah bersorak dengan penuh bangga dan bersyukur. Kegirangan dan keterujaan bersemarak sekaligus menjadikan upacara finale itu sebagai simbol semangat kebangsaan.

De Coubertin sangat berpuas hati dengan sukan moden pertama itu. Beliau menekankan kepada para penganjur betapa signifikan kalau sukan itu dapat bergerak ke negara-negara lain pula. Ini amat menepati aspirasi sukan itu sendiri yang berhasrat mewujudkan keamanan dan persefahaman manusia sejagat melalui bersukan. Bagaimanapun Athens merasa kecewa mulanya yang berhajat untuk menjadi tuan rumah secara kekal namun akur dengan matlamat Olimpik supaya ia menjadi entiti antarabangsa. Itulah menjadi apa yang kita kenal sekarang sebagai Sukan Olimpik.

Malam ini (pagi sebenarnya) bermulalah detik bersejarah kembalinya sebuah perayaan dan mercu tanda yang begitu lama berpusing ke seluruh dunia ke lokasi di mana ia dilahirkan. Berilah ucapan selamat berjaya kepada semua atlit dan berharap supaya mereka bertanding dengan semangat kesukanan yang faster, higher and stronger!

Wednesday, August 11, 2004

Kampung yang Melampau

Apa yang kita harapkan dari filem garapan M. Night Shyamalan? Unsur seram, suspen dan pengakhiran yang tidak di sangka-sangka. Ia telah menjadi trademark pengarah berketurunan India ini sejak dari The Sixth Sense. Atau sepatutnya beliau mula bersedia untuk menukar selera kepada genre yang lain? Adakah kita masih belum puas ditakutkan oleh Shyamalan? Atau kita sudah rasa sinikal dengan twist endingnya?

Jika kita asyik berandaian itu ini berteka-teki akan apa sebenarnya penamat filem “The Village” maka keghairahan menikmati babak demi babak yang bermain di kelir akan terabai. Itulah yang asyik bermain di fikiranku untuk menelah apa benda sebenarnya “Kampung” ini yang pada firasatku bukanlah sebuah kampung yang biasa. Jadi dalam pada mata tidak berkelip menatap filem yang sedang di tayang ketika itu, fikiran pula sibuk melayang.

Jadi aku telah membuat beberapa kesimpulan sendiri tentang bagaimana Shyamalan mahu menamatkan filem tersebut. Dan salah satu dari tekaanku itu mengena! Rats. Sudah tiada yang special lagi tentang filem ini setelah aku berjaya meneka dengan tepat. Habislah sakti Shyamalan yang sepatutnya berupaya memukau melalui penamat di luar dugaan apabila penonton yang marhaein sepertiku telah dapat mengagak ending yang sepatutnya unexpected itu.

Apakah yang berupaya menakutkan kita di dalam hidup ini? Sesuatu yang kita tidak nampak, halimunan, misteri dan selalu dimomokkan. Apabila sesuatu perkara itu selalu diasak dalam kepala setiap hari walaupun ianya samar-samar atau tidak berasas hujung pangkalnya lama-lama ia akan di sangka betul. Contohnya metos penunggu laut kepada nelayan yang perlu di jamu supaya tidak di kacau dan memurahkan rezeki adalah kiasan kepadanya.

Siapa yang pernah melihat penunggu laut? Sejauh mana orang-orang yang mendengar dongeng penunggu ini sanggup terpedaya dengannya? Mungkin sampai mereka dapat “melihat“ sendiri dengan mata kepala walaupun tidak dapat dipastikan sama ada ketika itu mereka sedang berhalusinasi atau pun ia betul-betul menjelma. Apabila telah ada seorang yang mula mendakwa bahawa penunggu laut benar-benar wujud maka mereka tidak boleh skeptikal lagi. Ianya adalah suatu yang serius dan mereka harus berpegang dengan ritual yang berlangsung selama ini demi keharmonian hidup.

Bagaimana pula jika lembaga itu memang wujud tetapi bukan dari horizon yang lain sebaliknya terdiri dari kalangan mereka sendiri juga? Seperti dalam siri kartun Scooby-Do dengan misi memburu hantu dan makhluk ganjil sedangkan apa yang ingin mereka tangkap itu bukannya jembalang tetapi menyerupai jembalang. Jadi hantu atau makhluk misteri adalah prinsip yang sangat berkesan untuk menakutkan orang atau untuk menegah seseorang dari membuat sesuatu.

Memberi alasan yang logik adakalanya memenatkan. Apabila seseorang kanak-kanak di larang dari membuat satu-satu perkara, misalnya bermain dalam belukar pada waktu maghrib mereka biasanya akan bertanya “Kenapa?“.

“Nanti kena sorok dek hantu!“ orang dewasa akan mengancamnya begitu. Mencipta alasan begini bukan saja kreatif malah menyeronokkan sehingga Shyamalan boleh membuat satu filem mengenainya! The Village bukan semata-mata berkenaan orang di sorok atau di baham lembaga misteri sebaliknya ialah keupayaan manusia berikhtiar untuk terus hidup dalam suasana yang mereka fikirkan ideal walaupun terpaksa berdepan dengan metos yang melampau.

Terima kasih kepada majalah Hype! yang memberikan tiket percuma untuk menonton filem ini semalam.




Monday, August 09, 2004

Bukak Jendela

Semasa seorang kenalan, M mengambil seorang bayi menjadi anak angkatnya, semua kawan-kawan merasa curious teringin hendak tahu asal-usul budak itu, siapa ibu bapa sebenarnya dan mengapa M perlu mengangkatnya sebagai anak. Bukan kami saja bahkan mak cik warung tempat M membeli sarapan juga turut tertanya-tanya anak siapakah yang sedang dikendongnya itu, tiba-tiba saja ada anak?

Tetapi soalan itu tidak ada diberikan jawapan yang memuaskan seolah-olah benda itu tidak penting. Mereka yang rapat dengan M seringkali beralih topik setiap kali soalan itu diajukan. Aku pun termasuklah golongan yang kepoh bertanya, tetapi tidak pernah mendapat jawapan yang setimpal. Cuma aku was-was hendak bertanya sendiri kepada M, entahlah mungkin aku nak menjaga tata-susila atau pun aku kena menerima situasi itu as it is tanpa perlu menyelidikinya.

Apabila aku merisik dari Khai yang lebih rapat dengan M, dia meminta supaya aku tidak bertanya apa-apa lagi tentang anak yang di bela M. Dia mengharap pengertianku supaya “faham-faham sendiri” tentang budak itu mengapa dia perlu diserahkan kepada orang dan M yang begitu mulia hatinya sanggup untuk memelihara. Kita harus memberi sokongan kepada M yang bersusah-payah menjaga di samping mengorbankan zaman mudanya yang bebas untuk berulit dengan anak kecil.

Fine. Kalau mereka merasakan benda ini merupakan skandal yang perlu dilindungi maka aku pun tidak berhak untuk menyingkapnya. Biarlah bayi comel dan M sama-sama membentuk ikatan kasih sayang sesama mereka tanpa ada orang lain mempertikaikan kesahihan hubungan itu. Masyarakat mungkin boleh prejudis tetapi anak itu masih perlu hidup dan perempuan yang melahirkannya juga perlu cari makan tetapi pandangan serong dan diskriminasi hanya akan menyulitkan proses ini.

Osman Ali mungkin tidak memelihara anak sesiapa tetapi beliau telah melahirkan Malaikat di Jendela dan Bukak Api. Secara harafiahnya filem ini mengandungi dua tema yang sama, penyakit Aids dan mengandung luar nikah. Walaupun Bukak Api telah menyampaikan mesejnya secara berterus-terang menerusi dialog watak-wataknya manakala Malaikat lebih simbolik dengan naratif dan gerak emosi Ning Baizura serta latar belakang lokasi yang indah adalah pencerita keseluruhan filem.

Menurut Julian Jayaseela yang berucap selepas habis tayangan, mereka mendapat inspirasi untuk mengeluarkan Malaikat apabila berkunjung ke satu kampung di pantai timur. Mereka sedang duduk di sebuah warung tatkala lalu satu rombongan mengusung jenazah. Mereka bertanya pada seorang mak cik, siapa yang meninggal? Seorang lelaki di kampung itu, jawab mak cik tersebut.

Apa sakitnya? Mereka bertanya lagi. Tetapi si mak cik mengelak dan tidak selesa untuk terus melayan. Mereka pun tidak tergamak untuk melanjutkan bicara lantas membuat andaian sendiri. Mungkin andaian yang bermain di kepala masing-masing bukanlah sesuatu yang enak untuk diketahui tambahan pula yang mengiringi jenazah itu hanyalah empat orang sahaja. Manakala orang-orang kampung lain cuma memandang sepi dari jauh.

Kejadian yang mereka saksikan di kampung itu terlalu berkesan di hati mereka lalu dalam satu adegan semasa kematian watak suami Ning, jenazah dan jumlah penduduk kampung yang kecil telah dilakarkan dalam Malaikat. Mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa undang-undang Malaysia tidak membenarkan bidan pembawa HIV menguruskan bayi. Ini dijelaskan oleh Jayaseela semasa adegan Ning ingin menyambut bayi dalam buaian ketika dia sedang berkunjung ke sebuah rumah penduduk tetapi seorang wanita telah menepis tangannya lalu membawa bayi itu pergi.

Cuma aku tak pasti sama ada watak Ning juga ada mengidap HIV kerana berjangkit dari suaminya sebab aku tak perasan kalau-kalau ada dinyatakan dalam filem. Bukak Api lebih senang difahami kerana pelakon-pelakonnya memang sound direct bercampur dengan mencarut dan lingo mak nyah. Walaupun ramai penonton ketawa kerana isi percakapan mereka tetapi mesej yang tersembunyi adalah tidak kelakar.

Apabila hatiku ralat kenapa mereka perlu tercebur ke kancah perniagaan seks ini seakan terjawab dengan seruan seorang mak nyah veteran yang mengesyorkan seorang mak nyah muda ini supaya belajar menjahit daripada terus bergelumang dengan pelacuran. Walau pun seks bebas dan melacur adalah salah satu gejala penularan penyakit Aids, Malaikat adalah sindiran dengan watak suami Ning dan Ning sendiri yang menerima polemik akibat penyakit itu.

Kedua-dua filem ini bukannya di buat dengan style berkhutbah atau pun untuk memberi didikan moral tetapi mendidik mereka yang telah terjebak supaya tidak terlalu terjerumus atau tergelincir dari norma-norma tidak tertulis yang mereka sendiri boleh menafsirnya. Kita yang hanya memandang dari luar akan payah untuk mengerti atau tidak boleh membuat justifikasi terhadap krisis yang mereka hadapi. Selebihnya kita cuma boleh faham-faham sendiri.

Friday, August 06, 2004

1, 2, 3, 4

1~ Rasanya aku kena berhenti dari meminjam kaset orang pasal dah ada dua kawan tanya pasal kaset yang aku pinjam dulu. Aku rasa dah pulangkan. Dah lama dah. Tapi mengapa mereka masih mengungkit yang aku belum kembalikannya lagi? Mungkin aku kena cari lagi di rumah atau pejabat sama ada aku masih menyimpannya di mana-mana.

Nasib baik itu cuma kaset dan bukannya cakera padat. Kalau pun aku telah terhilangkannya, untuk di ganti tiada masalah sebab harganya murah. Bandingkan kalau yang aku hilangkan itu ialah cd. Murah atau mahal aku sepatutnya berhati-hati bila meminjam barang sesiapa.

2~ Aku sedang menyikat rambut di dapur (pasal kat dapur ada cermin, dalam bilik aku tak ada) bila tiba-tiba aku terpandang ada lipan besar sedang menjalar di sinki. Eh, macam mana lipan boleh naik ke sini? Siapa yang membawanya? Biasanya cuma burung atau kumbang yang tersesat di tingkat teratas ini, sekarang lipan pun boleh sampai.

Nak biarkan saja atau aku kena bunuh lipan ini? Bunuh jer lah nanti kalau dibiarkan tak tahu sampai ke mana pula ia merayap. Jangan sampai ke bilik aku dah ler. Aku pun mencari-cari tukul, tapi tak berjumpa pula. Ahah, nasib baik ada knife holder, aku pun guna benda ni untuk di hempap pada lipan yang berbisa. Lipan nampaknya licik dan pintar melarikan diri. Aku kena jadi lebih pantas memukul pada sasaran.

Kena! Lipan jadi leper tidak bergerak-gerak. Aku biarkan saja bangkai lipan itu dalam sinki tanpa berniat untuk membersihkannya. Nanti bila housemates aku nampak, baru mereka tahu yang dalam rumah ni ada lipan.

3~ Seorang lelaki masuk ke restoran semasa aku sedang minum petang di situ. Dia meminta duit dari pekerja restoran kerana dia tak ada duit ingin balik kampung. Aku hanya memerhati keadaannya yang macam rupa mat pit itu. Pekerja restoran tidak kasihan dan enggan memberinya wang malah separuh menghalau. Lelaki pun pergi.

Mak cik tukang masak restoran itu ramah bercerita dulu pernah sekali ada seorang lelaki tua yang ingin meminta sedekah mendakwa anaknya sakit dan dia ingin menghantar anaknya ke hospital tetapi tiada wang. Lantas si mak cik membalas, kalau dah sakit hantar saja ke hospital itu – kalau tiada duit untuk membayar hospital akan memahami malah mungkin kosnya di tanggung hospital sendiri. Tak perlu meminta merayu duit di tepi-tepi jalan. Hantar saja anaknya ke hospital dulu – demikian mak cik jelabas berkata-kata. Lelaki tua cepat-cepat berlalu setelah menyedari taktiknya tidak menjadi.

4~ Pada pendapat aku filem I,Robot ada sedikit sebanyak persamaan dengan Resident Evil. Tetapi sudah tentu robot-robot itu nampak lebih bersih dan selesa berbanding zombie yang kelihatan menjijikan. Jika anda ingin mendapat sedikit visual tentang gambaran bentuk kehidupan yang lebih futuristik maka anda boleh menikmatinya menerusi filem ini.

Sama dengan filem Bicentennial Man yang memberi idea bahawa robot sangat berguna sebagai domestik helper menjadikan bukti bahawa tujuan robot di cipta adalah supaya manusia boleh bergelar “tuan”. Sejauh mana konsep tuan dan hamba boleh di pakai dalam kontek manusia dan mesin ini dibezakan oleh faktor emosi dan akal yang sepatutnya lebih mudah ditangani berbanding dalam kontek manusia sesama manusia.

Tuesday, August 03, 2004

Bebas Berlari, Berjalan, Bergerak dan Apa Saja

Dah bulan Ogos. Satu-satunya perkara yang sangat releven bulan ini ialah Hari Kemerdekaan negara kita yang terkasih. Masa masih sekolah dulu apa yang aku tahu tentang merdeka ialah menonton siaran langsung perbarisan di televisyen setiap pagi 31 Ogos. Itu saja. Betapa dangkalnya pengertian.

Kita tinggal dulu bercakap pasal hari Kebangsaan. Nanti dah sampai hujung bulan kalau aku ada mood kita sentuh balik tentangnya. Lebih baik kita imbas kembali apa yang aku buat minggu lepas... macamlah penting.....hehhe.... Masa pergi rumah kawan aku last weekend, cemas sikit aku di buatnya bila aku check-check wallet aku tak ada! Hilang kah? Atau aku lupa nak bawak? Macam mana kalau hilang? Seingat aku dalam wallet tu duit ada lebih kurang seratus ringgit. Kena report kat bank pasal kad atm hilang, kena report polis pasal IC hilang lagi – banyak kerja nanti tu.

Sebab aku ni jenis selamba jer, aku tak kisahlah wallet tak ada pun. Aku pinjam duit kawan aku untuk buat belanja makan. Lagi pun aku yakin yang aku tertinggal dompet tu di rumah. Bukannya aku tercicir di mana-mana. Namun jika ditakdirkan yang dompet aku tu benar-benar terjatuh hilang atau telah di copet orang, pasrah sajalah. Cuma aku tak boleh meronda jauh-jauh dari rumah kawan aku tu. Manalah tahu ada polis gila kuasa tiba-tiba tahan aku nak check IC, tak ke naya nanti.

Tengah aku berjalan dengan kawan aku tu, tak semena-mena ternampak dua orang pak polisi sedang interrogate dua orang minah Indon. Alamak, kena lari macam ni! Walaupun not likely yang polis tu akan panggil dan minta IC aku, namun baiklah kita berjaga-jaga. Aku cepat-cepat cari tempat untuk berhirap lalu aku masuk dalam kedai jual binatang peliharaan yang kebetulan terletak tidak jauh dari situ. Tak mahulah aku bertembung dengan mana-mana polis di saat aku tak bawa IC macam ni. Banyak pulak cengkadaknya nanti.

Aku pun pura-pura lah berminat tengok haiwan-haiwan yang kedai tu jual. Kawan aku tu pun tengok sekali masa ni pasal dia memang minat bela ikan. Selain ikan, binatang lain yang ada di situ ialah kucing, kura-kura, burung dan hamster. Kesian pulak aku tengok kucing yang kena kurung dalam sangkar tu. Monyok jer mukanya. Agaknya dia tak happy pasal tak dapat bergerak bebas. Hari-hari hanya duduk baring dan terseksa dalam dawai kurungan yang sempit dan melemaskan.

Sudahlah sempit dan kecik, environment dalam kedai tu juga memang tidak selesa. Terkurung berhimpit-himpit berkongsi ruang yang terhad hanya menganiayai fizikal haiwan berkenaan yang tidak dapat bergerak cergas. Dengan sangkar burung, sangkar hamster, akuarium kura-kura dengan bau binatang dan bau sisa-sisa najis berbaur menambahkan perasaan malan pada haiwan dan manusia yang memandang. Siapalah yang sanggup hidup setiap hari hanya dapat memandang jaring-jaring besi saja dengan tubuh badan terkurung di dalam. Duduk setengah hari terperuk di cubicle di pejabat ni pun dah menjemukan, tak sabar-sabar nak keluar waktu lunch. Ini kan pula memang kena duduk dalam sangkar.

Memang fitrah manusia suka bebas, merdeka. Bukan saja manusia, benda hidup lain macam kucing atau ikan juga ada garisah yang sama sukakan kebebasan dan tidak suka di kongkong. Mereka semua harus di beri peluang menikmati hidup merdeka dalam dunia mereka sendiri. Sebagaimana binatang-binatang dalam kedai itu yang sengsara terkurung dalam sangkar begitulah yang aku bayangkan pada orang yang kena tangkap dan masuk penjara, Nauzubillah. Jika haiwan tadi di kurung sementara menunggu orang membeli mereka manakala manusia dalam bui pula di penjara sementara menunggu hukuman dijatuhkan ke atas mereka.

Aku kena cepat-cepat balik rumah ni nak ambil IC. Apa agaknya hukuman untuk mereka yang berkeliaran tanpa IC? Tapi aku tidak mahu jadi naïf dengan membiarkan diri mengambil risiko yang bahaya. Berurusan dengan pihak berkuasa bukanlah satu agenda yang diingini dalam hidup ini. Apabila keluar dari kedai tu aku tengok kedua-dua polis tersebut masih ada di sana dan perempuan Indonesia itu pun masih ada juga. Tapi aku tidak menghiraukan mereka lalu terus menuju ke kereta dan kami beredar dari situ.