Tuesday, November 24, 2009

Am Ende kommen Touristen



Salah sebuah filem yang aku tengok sempena European Union Film Festival yang baru saja berakhir Ahad lepas. Atau tajuknya dalam bahasa Inggeris And Along Come the Tourists ia memaparkan satu ironi hidup yang mencengkam. Berkisarkan tentang seorang pemuda Jerman yang menjalankan kerja khidmat sosial di pusat tahanan Yahudi semasa perang dunia ke dua di Auschwitz, Poland.

Aku tak berapa pasti kenapa Sven, pemuda itu kena pergi ke sana untuk melakukan tugas-tugas macam tu. Mungkin ia seperti program Khidmat Negara yang kita gunapakai untuk remaja lepasan sekolah di sini dengan tujuan untuk membentuk sahsiah diri. Cuma ia dalam konteks lebih mengujakan apabila para belia itu boleh keluar negara untuk melaksanakan tanggungjawab patriotik mereka. Walaupun pilihan awalnya adalah untuk ke Belanda, tetapi Sven bukannya terlalu cerewet apabila dia tiba-tiba di hantar ke Poland. Malah dia bersedia serta menunjukkan minat untuk belajar dan menawarkan bakti sepanjang di sana.

Filem ini sedikit sebanyak menyentuh sensitiviti politik dan sejarah silam yang pernah menjadi duri dalam daging akibat tindakan rakus pemimpin lampau. Ia dipaparkan dengan jelas menerusi watak Stanislaw Krzeminski, seorang bekas tahanan Nazi yang masih menyimpan parut dan getir kesan peperangan. Apabila munculnya pemuda Jerman tadi dalam hidupnya, ia ibarat luka lama berdarah kembali. Tapi Sven tidak tercuit pun dengan reaksi dingin orang tua tersebut malah dia ikhlas menyalurkan bantuannya.

Pada masa yang sama dia turut berkawan dengan Ania, yang dalam pencarian menentukan arah tuju hidupnya yang masih samar-samar. Dia adalah watak mewakili generasi muda Poland yang terbelenggu dalam suatu tempat yang dihantui tragedi lalu tetapi beransur-ansur ingin melepaskan diri daripada terus diselubungi kesuraman. Mereka turut ekspresikan diri dengan cara lazim anak-anak muda sebaya yang inginkan pembaharuan serta advencer dalam hidup. Pertembungan ini sangat menarik untuk kita selami kerana latar-belakang individu yang berbeza memungkinkan cara mereka memproses serta memandang kehidupan adalah dengan cara yang berlainan juga.

Monday, November 23, 2009

Diperkotak-katikkan

Jika teringin untuk merasa keliru serta pening kepala bolehlah menonton The Box. Terus-terang aku kepingin nak tengok filem ni kerana tajuknya yang ringkas dan menyimpan sesuatu. Kemudian apabila terlintas pada trailernya terpampang ayat “From the director of Donnie Darko” lagi membuatkan keterujaan meningkat. Mengikut tagline pada poster, You are the Experiment, kesabaran menonton filem ini memang menguji.

Aku ingatkan dalam banyak-banyak plot dan aspek yang aneh diketengahkan dalam jalan cerita akan di buat penjelasan atau hubungkait yang dapat dijustifikasi pada penamat tetapi ia dibiarkan macam tu saja. Tapi pasal seorang isteri di bunuh dan seorang suami melarikan diri serta seorang budak ketakutan ditemui dalam bilik air adalah alasan yang memuaskan. Mungkin itu saja yang perlu anda tahu di dalam panjang durasi filem yang di putar. Selebihnya untuk mendapatkan maklumat lanjut, mungkin boleh baca ulasan tambahan kalau anda rasa perlu.

Ia mengisahkan sepasang suami-isteri yang di landa dilema moral apabila menerima sebuah kotak di depan pintu rumah mereka yang boleh membuatkan mereka jadi jutawan namun ia hadir dengan syarat-syarat tertentu. Apabila butang kotak di tekan, mereka akan kaya sekelip mata tapi akibatnya seorang insan yang mereka tidak kenali mesti mati. Siapakah yang tidak tergoda untuk menekannya demi wang lumayan? Pedulikanlah dengan orang lain yang tiada kena-mengena bakal di ragut nyawa. Tapi di luar jangkaan mereka, kotak yang kelihatan tidak membahayakan itu, melorongkan hidup mereka ke arah bencana yang pelik dan menyusahkan.

Richard Kelly, pengarahnya mengadaptasi cerpen Button, Button sebagai produk terbaru setelah Southland Tales. Seperti dalam karya-karya sebelum ini, beliau mahu kita interpret sendiri apakah bendanya yang sedang kita saksikan itu. The Box menawarkan keunikan yang berbeza daripada filem-filem straight forward yang berlambak dan biasa di tayang. Walaupun menontonnya mungkin membuatkan kita ingin menekan kepala.

Friday, November 20, 2009

Krathong Berkepala Naga

Semalam seorang kawan memberitahu yang berita tentang adiknya masuk suratkhabar hari ni. Oleh kerana masa tu dia pun belum tahu lagi berita mengenai apa, maka masa kami tengah berjalan tu dia pun beli Harian Metro senaskhah. Rupa-rupanya adiknya itu memenangi pertandingan menulis skrip anjuran Finas. Tahniah diucapkan.

Agak menarik juga apabila aku baca ringkasan cerita yang beliau tulis seperti tertera dalam akhbar. Mengambil latar kehidupan masyarakat Siam yang menetap di Tumpat, beliau yang merupakan pemenang utama kateogori filem pendek mengangkat skrip ni daripada cerpen bertajuk Eh Deng Eh Chik. Tambah menarik lagi bila beliau mendedahkan bahawa penulis cerpen itu merupakan kawan ibunya sendiri. Lebih kurang dua bulan jugalah skrip tu nak disiapkan setelah mendapat kebenaran penulis asalnya.

Tak dinyatakan pula kat mana mula-mula cerpen tu diterbitkan. Cerita ini mengisahkan watak utama, Bumina iaitu anak yatim piatu yang tinggal dengan neneknya yang taik hidung masin. Apabila tiba perayaan Loy Krathong (Pesta Cahaya), dia juga mempunyai keinginan membeli tanglung untuk meraikan perayaan itu. Atas kesempitan wang, dia hanya mengutip tanglung yang dihanyutkan di sungai. Aku rasa jarang ada kisah-kisah berkenaan masyarakat Siam di Malaysia ni.

Terdapat proposal untuk menerbitkan skrip tersebut dalam bentuk drama cuma masih dalam sesi perbincangan. Memang bertuah kawan aku ni memiliki adik yang telah menunjukkan bakat dalam aktiviti yang aku faham sangat menjadi obsesi dirinya. Barulah betemu buku dengan ruas. Nanti boleh dia menggalakkan si adik supaya bergiat lebih mendalam lagi untuk memberi variasi kepada dunia wayang dan drama tanahair.

Wednesday, November 18, 2009

Kejadian Hari Pertama

Hari pertama memulakan tugas di sini sudah berlaku tragedi. Sehingga meragut nyawa pula tu. Walaupun tidak melibatkan sesiapa di company ini tetapi ia masih berlaku di bangunan ini. Sungguh creepy bila memikirkannya. Bukan alu-aluan yang kami semua harapkan sebagai kenangan first day. Tapi ketentuan takdir siapalah yang dapat menghalangnnya.

Driver sebuah syarikat yang sedang lepak di lobby tiba-tiba di serang sakit jantung. Aku sudah naik ke level aku masa tu, lepas lunch apabila seorang officemate datang membawa khabar buruk tersebut. Tapi aku tidak pula turun ke bawah ingin menjengah tanya. Lagipun banyak lagi kerja-kerja unpack kotak yang masih belum selesai. Walaupun hati aku nak tahu juga lebih lanjut asal kejadian peristiwa malang yang berlaku.

Kakak yang duduk kubikel sebelah turut berkeluh-kesah “Hari pertama kita kerja sini pun dah di timpa perkara macam ni,” sambil dia membayangkan benda itu sebagai sesuatu yang minta dijauhkan.

Aku pulak tak ada komen apa-apa. Dalam tergamam dan terpinga-pinga mendengar berita macam tu, tidak ada respon lain dapat aku berikan selain terus melangsaikan kerja bertimbun-timbun yang menanti untuk disudahkan. Sudah tersurat hayat si pemandu tadi berakhir di sini.

p/s: Tiba-tiba bila aku pulang membuka internet di rumah (kat office tak sempat nak surf) salah-satu blog yang selalu aku baca turut bercerita tentang kejadian sedih itu. Tak sangka. (Tak tahulah kalau di bangunan lain di KL ni pun ada peristiwa yang serupa pada masa itu). Nampaknya aku satu kawasan tempat kerja dengannya.

Tuesday, November 17, 2009

Tempat Kerja Perlu Dilepaskan

Setelah lama tidak mengemaskini (hidup yang semakin sibuk) tetapi untuk meninggalkan blog ini adalah sayang pula. Lebih baik lapangkan sedikit waktu tersisa untuk tahun yang kian ke penghujung. Akhir minggu lepas penat sangat rasanya tenaga dan kudrat tercurah. Apa nak buat. Sekadar pekerja biasa kenalah akur dengan keputusan pihak atasan. Walaupun dalam hati berharap benar-benar ia tidak menjadi nyata, tetapi perkara tidak diingini berlaku juga.

Meninggalkan bangunan lama yang sudah sebati terasa payah. Kalau masih juga ingin terus di situ kenalah berusaha mendapatkan kerja yang berdekatan dengannya. Aku pun ikhtiarkan mana yang terlintas bila menatap iklan jawatan kosong memohon kerja yang bersesuaian di persekitaran yang aku fikirkan munasabah. Banyak juga yang aku hantar. Terutama secara online.

Dalam sela-sela serabut mengemas dan mengosongkan pejabat yang bakal menjadi sejarah, aku berusaha mengunjungi tempat berdekatan di situ yang aku sukai. Terutama kedai makan tengahari dan tempat-tempat yang aku biasa luangkan masa seusai waktu kerja. Nanti terkenang-kenang pula. Walaupun masih di dalam KL, tetapi jarak yang menyakitkan hati jauhnya – perlu juga aku telusuri semula jalan-jalan yang entah bila dapat aku lalui sekali lagi.

Sebagai seorang yang bukan mudah untuk beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan suasana baru, aku memang hargai nostalgia dan kenangan yang pasti akan gugur bagai dedaun layu. Apabila terkepung dan serasi dalam lingkungan yang di ulang-ulang ibaratnya itulah hakikat hayat yang perlu aku tempuhi untuk proses kerjaya ini, aku jadi terlalu selamat berada di situ. Namun tatkala kapal perlu berlabuh di limbungan lain, tak kan aku masih boleh berada di pelabuhan yang sama? Jika tak suka, cari saja jong, perahu atau bahtera yang masih bersidai di pelabuhan dambaan jiwa agar aku dapat berlama-lama di sana.

Peristiwa silam akan diarkibkan. Melihat kubikel yang pernah mengisi perasaan gembira duduk membuat kerja, termenung, tidur, mengelamun, merenung kosong, bersembang, menjamu selera, menjeruk rasa serta aneka kelakuan dan fikiran membuatkanku bertambah sayu. Tidak ada yang abadi dalam hidup. Namun aku boleh berusaha supaya mendapat sesuatu yang boleh memberi kebahagiaan dalam diri. Kalaupun tidak ada yang abadi, aku masih perlukan gembira.