Thursday, September 22, 2011

Your Friends

Filem ketiga yang aku tengok sempena JFF ini ialah Your Friends. Kami masuk agak lambat dan rasanya ia sudah bermain dalam sepuluh minit. Mungkin kerana kelewatan itu membuatkan ia agak sukar difahami buat beberapa ketika. Ceritanya tidak di bina secara terus sebaliknya ada imbas kembali dan babak masa kini yang tidak dibezakan secara ketara. Hanya setelah agak lama menontonnya barulah aku dapat tangkap plot yang sedikit merengsakan ini. Jenis filem begini memang sesuai untuk menyertai festival mengikut tafsiran aku yang tidak ada ilmu ini, ia bercirikan naratif yang tidak mengikut urutan, sorot lensa jarak jauh, dialog yang sedikit, banyak termenung, muzik latar yang minimum serta mengandungi simbol atau falsafah tersirat yang minta di gali.

(Untuk menulis reviu ini pun terasa putus-putus ilhamnya. Beberapa imejan yang terlintas di kepala berkenaan filem itu pun sudah tidak berapa jelas lagi. Kena periksa beberapa sumber lain untuk menokok idea. Tapi dah ada satu perenggan di atas, mungkin boleh tambah beberapa poin lagi supaya puas hati baca. Perkara yang perlu aku highlight tentang filem ini ialah berkenaan Puffy Cloud yang banyak kali keluar sebagai dialog dan shot-shot awan yang pelbagai.)

Puffy Cloud itu diterjemahkan sebagai awan gembung. Menurut Gaia, ia mungkin merujuk kepada karekter manusia yangg berubah-ubah. Manusia kebanyakannya disamakan dengan awan yang bentuknya sentiasa bertukar corak dan biasanya tak dipedulikan. Manakala individu yang popular pula semacam matahari yang bersinar terang selalu mendapat perhatian dan di ambil tahu. Pasal tu si gadis tempang tanyakan pada budak perempuan sekolah tinggi, adakah dia tak suka pada awan dan sebaliknya lebih menyukai sang suria? Ini kerana budak kaki pengkar itu hanyalah awanan biasa yang mencuba sedaya upaya untuk bersinar macam matahari jugak...

Memang begitulah inti cerita Your Friends ini. Kisah seorang yang kelainan upaya bersahabat dengan seorang yang sempurna fizikalnya ekoran dari satu peristiwa yang menimbulkan rasa bersalah, dendam, dilema, prihatin dan kesetiaan. Diakui filem ini memang lembab dan perlahan untuk menjelaskan sesuatu yang terjadi. Jadi aku pun turut melengah-lengahkan diri menyiapkan ulasan tak seberapa ini sebagai melambangkan mood aku sendiri yang bagaikan awan berarak lesu seperti semantik filem itu juga.

Tuesday, September 20, 2011

Double Trouble

Bunyinya macam filem yang melibatkan aksi ganas, pertempuran, pergaduhan dan sepak terajang atau seumpamanya. Tetapi bukan. Ia adalah kerana masalah “double-booking” yang tersilap oleh kekeliruan nama persatuan yang membuat reservasi itu lebih kurang sama. Jadi ia menimbulkan problema berganda kepada si pengurus jabatan yang terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk memuaskan semua pihak. Malah kita juga akhirnya berpuas hati dengan filem yang manis seperti ini.

Ceritanya sangat mudah dan ringkas, hanya berkitar sekeliling hidup seorang pekerja pejabat dan sekumpulan perempuan yang ingin mengadakan pertunjukan koir di malam menjelang tahun baru. Konflik yang tercipta disebabkan sikap cuai dan sambil lewa pengurus itu yang terkhilaf tatkala menerima tempahan penggunaan dewan sehingga membuatkan keadaan menjadi huru-hara. Di samping itu penonton juga di sorot meninjau aspek dua jenis golongan wanita yang meminati jalur muzik yang sama cuma terpisah oleh batasan status. Agak menarik untuk di teliti bahawa mereka yang ditonjolkan sebagai tiada kelas itu turut meminati lagu klasik dan irama barat yang nampaknya begitu senang di cerna oleh wanita Jepun itu.

Menurut Gaia, mungkin itu ialah pengaruh manga yang banyak menyerap unsur Eropah dan asing ke dalam karya mereka maka sasaran peminat di sana yang tidak mengira golongan usia dan latar-belakang akan mudah berasimilasi dengan elemen tersebut. Jadi dari situ, makcik dan kakak Jepun ini apabila menelaah manga begini akan lebih mudah untuk mencuba dan mendalami budaya luar serta mengaplikasikannya sebagai hobi atau bidang rekreasi. Itu teori dia sendirilah tanpa ada sebarang rujukan tertentu.

Bagi aku sendiri filem ini memang terasa humor dan santai serta senang untuk di hadam. Betapa agenda sehari-hari dan rutin itu oleh saja diterjemahkan menjadi bahan yang efektif untuk dipentaskan. Malah pelakon-pelakonnya juga walau sesetengah itu agak over-acting tetapi secara keseluruhannya Double-Trouble langsung tidak menimbulkan masalah untuk buatku terhibur.

Sunday, September 18, 2011

About Her Brother

Sempena Festival Filem Jepun tahun ni di GSC, cerita pertama di pilih ialah About Her Brother. Diarahkan oleh Yoji Yamada, seorang sutradara yang namanya tak putus-putus dipromosikan oleh kawan aku Gaia. Jadi, malam cuti Hari Malaysia yang lepas, aku pun sertai dia bersama dua kawannya menonton. Seorang rakannya itu pula ialah warganegara Jepun (tetapi aku tak berborak banyak dengannya) manakala lagi seorang ialah rakyat Perancis. Kedua-dua mereka bekerja di Kuala Lumpur dan merupakan pasangan kekasih. Menurut awek Jepun tu, filem yang bakal kami saksikan nanti memang mudah di jangka jalan ceritanya dan senang diikuti.

Yoji Yamada terkenal dengan filem-filem bercorak drama kekeluargaan dan beliau paling diingati dengan kisah Tora-san yang dinobatkan sebagai siri tayangan filem yang merangkumi berpuluh episod paling panjang di dunia. Pada tahun 2004, filem arahan beliau The Twilight Samurai telah dicalonkan untuk kategori Filem Asing Terbaik di dalam Oskar. Jadi aku pun cuba menyelami penghasilan karyawan veteran itu yang sebelum ini aku belum pernah saksikan. Untuk About Her Brother ini bagi aku ia seperti drama rantaian Asia yang biasa dimainkan di kaca tv kita pada petang hari. Sebuah cerita tentang hati dan ikatan persaudaraan yang kental murni.

Abang dalam filem ini ialah Tetsuro, yang banyak menyusahkan hidup keluarganya lebih-lebih lagi buat si adik perempuan dan anaknya, tinggal di sebuah pekan mengusahakan farmasi kecil serta dalam persediaan untuk mengahwinkan anak itu dengan doktor dari kalangan terhormat. Ceritanya bertitik-tolak ekoran kekecohan ditimbulkan Tetsuro pada majlis tersebut dan apa yang menyusul memberi kesan pada perhubungan mereka bertiga dalam satu olahan plot yang kemas dan meninggalkan kesan. Walaupun si abang itu memang dimaklumi tidak berguna, namun terdapat detik yang begitu menjentik tatkala si anak didedahkan bahawa namanya yang di pilih oleh bapa saudara tersebut sebagai tanda bahawa sekurang-kurangnya itu bagi membantu menaikkan harga diri Tetsuro yang tiada sebarang pencapaian yang boleh di ketengahkan sepanjang hidupnya ini.

Malah ia menjadi satu ironi pula apabila penjaga orang sakit itu dengan penuh semangat mengucapkan syabas pada Tetsuro yang sudah menjalani hidup sepenuhnya ketika babak dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Mungkin bagi sesetengah orang, sekadar dapat hidup di muka bumi ini pun sudah merupakan satu kejayaan yang besar. Bagi aku cerita ini memang tradisional dan melankolik. Adegan mereka menjalani kehidupan di Osaka dengan komuniti saling bertoleransi dan tinggi pekerti amat seronok untuk di telusuri. Filem yang sarat moral dan berhemah begini sesuatu yang jarang lagi kita keluarkan.

Monday, September 12, 2011

Filem-filem 11 September

Dalam akhbar NST Jumaat lepas, disenaraikan beberapa filem yang memuatkan peristiwa runtuhnya World Trade Center sebagai plot utama atau hal-hal seputar 11 September sebagai kerangka cerita. Tragedi yang mengejutkan dunia itu banyak diterjemahkan ke layar menurut pelbagai dimensi untuk menafsirkannya. Sepuluh filem di pilih dipaparkan menerusi artikel tersebut melambangkan genap sedekad kejadian itu berlaku. Namun cuma ada satu dua saja yang aku pernah tengok. Tak kira apa saja teori atau isu yang diketengahkan berkaitan malapetaka terbabit, kesan yang ditinggalkan membawa impak bukan kepalang kepada dunia hari ini.

1. World Trade Center (2006)

2. Fahrenheit 9/11 (2004)

3. United 93 (2006)

4. My Name is Khan (2010)

5. Yasmin (2004)

6. Reign Over Me (2007)

7. Brick Lane (2007)

8. Tiger Cruise (2004)

9. Remember Me (2010)

10. New York (2009)