Monday, October 30, 2006

Terima Kasih yang Dikaburi Asap


Setiap perkara selalunya ada pro dan kotra. Tetapi dalam benda alah rokok ni aku rasa memang tak ada pro-nya langsung. Even kepada petani yang menanam tembakau sekalipun. Tapi kalau dah namanya penghisap rokok, tetap ada saja excuse yang mereka bagi untuk membolehkan mereka melepaskan kecanduan mereka. Itu bagi yang merokok, bagaimana pula dengan mereka yang bekerja dengan syarikat rokok? Bagaimana untuk menimbulkan perasaan “Nak!” kepada syarikat yang mengeluarkan sebuah produk yang diberi kempen “Tak Nak!” oleh kerajaan?

Di sinilah Nick Naylor (Aaron Eckhart) akan mengambil alih. Tugas beliau ialah melobi bagi pihak syarikat tembakau kepada orang ramai, kerajaan dan badan NGO supaya menerima tembakau dan hasil-hasil tembakau sebagai satu komoditi serta menjelaskan, mempromosi dan mendidik masyarakat umumnya tentang rokok. Tugas yang sangat susah dan mencabar bagi Encik Naylor kita tetapi beliau tidak berseorangan dalam hal ini. Beliau berkongsi gejala ini bersama dua lagi gengnya, Polly Bailey (Maria Bello) yang menjadi jurucakap pengusaha minuman keras dan Bobby Jay Bliss (David Koechner) seorang pelobi senjata api.

Berbanding dengan dua “dagangan maut” (melalui dialog yang smart dan kelakar dituturkan karektor) tadi, rokok adalah penyumbang kematian yang utama. Jadi asasnya tentulah kerja Naylor yang paling menekan dan mendesak untuk dia memberikan justifikasinya kenapa semua orang perlu merokok atau memberi peluang untuk berkenalan dengan rokok manalah tahu mereka tertarik. Malah tambah membebankannya lagi apabila dia perlu menjadi role-model kepada anaknya Joey (Cameron Bright) sedangkan bidang kerjanya tidak menampakkan begitu.

Ini adalah satira terbaik yang seboleh mungkin cuba untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi sebagai insan biasa aku akan pro kepada Senator Ortolan K. Finistirre (William H. Macy) yang memang anti merokok. Beliau cuba mendapatkan petisyen supaya syarikat rokok membubuh grafik tengkorak pada produknya agar mesej lebih jelas dapat disampaikan bahawa merokok adalah membunuh. Tetapi Naylor ada saja hujah dan alasannya yang masuk akal untuk menolak saranan tersebut. Begitu juga ketika dalam rancangan talk show malah dalam kelas anaknya sendiri, beliau memang bijak berkata-kata.

Bak kata pepatah orang putih, action speaks louder than word. Ada berlaku insiden yang menjadi turning point dalam hidupnya. Eckhart memang sangat bersahaja dan selamba dalam mempamerkan eksperesi muka “tidak bersalahnya” sebagai pelobi tembakau sedangkan kita tahu ada banyak yang salah pada rokok. Kadang-kadang dengan memek muka begitu rasa kasihan pun ada kerana beliau terpaksa menepis serangan kiri dan kanan dalam menegakkan keadilan bagi pengusaha rokok. Malah dengan karenah orang atasan syarikatnya sendiri serta keluarganya, Naylor atau pun Eckhart adalah sangat cemerlang di sini.

Menonton Thank You For Smoking tidak akan membuat anda bersegera ke kedai dan membeli satu pek hari ini. Setidak-tidaknya kita tahu setiap kerja yang seseorang itu buat ada alasan atau matlamat yang mereka ingin capai. Sama ada anda dapat menerimanya atau anda tetap ingin menyebelahi sesiapa, ia adalah hak anda sebagai manusia.

Trivia: Apabila anda tekan butang play, keluar asap hitam menyelubungi seluruh screen seolah asap rokok. Clever!

Monday, October 16, 2006

Kontang Daripada Kopi

Bila aku menyentuh pasal aku ingin mengurangkan pengambilan kafeina semasa berbuka, aku cuma tidak minum nescafe atau kopi saja. Sebaliknya aku masih minum teh. Aku memang tak mampu untuk langsung menolak minuman yang mengandungi kafeina ini kerana aku mudah terasa lesu dan mengantuk pada siang hari. Di tambah dengan air-cond yang dingin membeku ni, lagilah buat aku rasa nak tertidur.

Cara yang mudah untuk mendapat juga bahan kafeina ini dalam kuantiti yang sederhana ialah apabila berbuka, minum juga secawan (atau segelas) teh buat merangsang saraf yang letih dan tidak bermaya.

Semalam dalam sisipan Kesihatan Mingguan Malaysia ada artikel bertajuk “Elakkan Kontang di Bulan Ramadan“. Secara asasnya rencana itu mengajar umat Islam yang berpuasa tentang cara-cara menggantikan air dalam tubuh serta mengekalkan kelembapan setelah seharian menahan dahaga. Selain itu ia juga memberi panduan cara-cara pemakanan sihat dan berkualiti bagi memberi rasa kenyang dari masa berbuka sehingga waktu bersahur.

Apa yang menarik dalam artikel tersebut ialah risiko kepada orang yang berpuasa jika mengambil minuman berkafeina terlalu banyak tatkala berbuka.

Pakar runding diet itu menegah kita daripada mengambil minuman yang mengandungi kafeina seperti kola, kopi atau teh kerana ia bersifat diuretik (menambahkan volum air kencing) dan boleh menyebabkan penyahhidratan. Ini memang biasa berlaku pada aku sendiri apabila banyak minum nescafe selalu rasa nak buang air jer. Beliau juga mengesyorkan supaya kita kurangkan pengambilannya secara beransur-ansur, tiga hingga lima hari sebelum Ramadan.

Oh, aku pulak berhenti minum kopi secara on the spot masa first day of Ramadan. Pengurangan kafeina secara tiba-tiba boleh menyebabkan seseorang diserang sakit kepala, perubahan mood mendadak dan bengkeng, menurut beliau. Aku pulak terasa diri aku terlebih letih dan lesu semasa berpuasa ni. Yang lain-lain tak ada kecuali kadang-kala ada macam sakit kepala sikit-sikit.

Adalah penting bagi seseorang itu untuk mengekalkan tahap kelembapan tubuhnya dengan meminum pelbagai jenis cecair dari saat berbuka puasa sehinggalah bersahur. Minumlah pelbagai jenis cecair seperti air, jus buah-buahan, minuman isotonik dan susu bagi mengelakkan kebosanan atau mengalami ‘fatig tunas rasa’ disebabkan oleh jenis cecair yang sama sepanjang masa, tambah beliau lagi.

Pertama kali aku dengar terma “fatig tunas rasa” ni. Aku pula banyakkan minum air mineral dan jus buah-buahan semasa berbuka. Namun masih tidak dapat menandingi air nescafe atau kopi yang dicampur susu dengan perisa yang manis dan segar seperti hari-hari biasa yang aku menikmatinya.

Thursday, October 12, 2006

Meme - About Me, Me and Only Me!

Masa tengah blog hopping tadi ternampak pula meme seperti di bawah. Dalam pada malas nak mengup-date tu aku buat meme saja.

I am thinking about :buka puasa karang nak beli lauk apa, kuih apa, atau berbuka kat luar ke.

I said :kurangkan bercakap perkara sia-sia di bulan puasa ini

I want to :watch anime Fullmetal Alchemist (pinjam dari kawan, thanks GAIA!) tapi belum ada masa terluang

I wish :dapat berada di tempat yang hangat sikit, sejuk sangat dalam office ni.

I regret :tidak ada apa yang perlu dikesalkan lagi

I hear :bunyi kontraktor tengah renovate office

I am :a procrastinating person

I dance :last year masa annual dinner

I sing :bukan sing, just humming lagu-lagu raya.

I cry :masa baca novel The Kite Runner

I am not :too enthusiastic to update this blog dalam bulan puasa

I am :trying to reduce caffeine intake

I write :an entry tapi tak siapkan

I confuse :sekarang ni rasa nak makan macam-macam, tapi bila dekat nak berbuka tak terasa nak makan, rasa macam nak tidur pulak

I need :to be more focus in everything

I tag :sesiapa saja yang sudi buat

Monday, October 09, 2006

Berbuka Dalam Jerebu

Alhamdulillah petang ni hujan. Boleh memansuhkan sikit debu-debu jerebu yang mengaburi pandangan mata. Aku ingatkan dah berakhir musim jerebu. Tahun ini rupa-rupanya ia datang lambat dan bertepatan dalam bulan puasa. Tahun lepas sekitar dalam bulan Ogos (aku ada mencatatnya) ia melanda KL dan kebanyakan wilayah di semenanjung dan Malaysia Timur.

Tapi syukurlah tahun ni nampaknya tidak seteruk tahun lepas. Yang aku pulak dah tahu suasana sedang berjerebu masa tu, sanggup lagi buka puasa di ruang terbuka. Aku buka puasa di Manhattan Fish Market minggu lepas cawangannya di Ampang Park. Sudahlah di tepi jalan raya campur dengan jerebu lagi bertambah berdebu gamaknya ikan grill aku masa tu.

Nasib baik kali ni ia telah memasang bidai jadi terhalanglah sikit kesibukan jalan Ampang yang tetap macet walaupun telah masuk waktu berbuka. Dulu masa first time datang sini bahagian luar restoran ni di biarkan terbuka begitu saja. Kalau ada kereta atau motor yang tengah berhenti sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau, bolehlah menjeling ke arah pelanggan yang tengah asyik menjamu selera.

Manhattan Fish Market menawarkan set berbuka puasa yang terdiri dari satu hidangan utama, soup of the day (sup tomato berempah), air sirap bandung selasih, kurma dan kalau nak order dessert dia bagi half price. Aku ambik ikan dory grill dengan nasi. Sedap. Malah sup tomato yang masam tu pun boleh jadi sedap kalau makan waktu berbuka.

Ruang makan terbuka atau alfresco yang terdapat pada sesebuah restoran atau cafe sebenarnya dikhaskan untuk golongan yang merokok. Kenapa seseorang yang tidak menghisap rokok macam aku sanggup juga duduk di bahagian tersebut? Dan kenapa pada musim jerebu begini golongan perokok masih juga ingin menambahkan asap dalam atmosfera kita? Masih tidak cukup berdebu atau berhabukkah ruang udara kita sekarang?

Harap-harapnya musim jerebu kali ini tidak akan berpanjangan dan ia tidak bertukar menjadi lebih mudarat.

Monday, October 02, 2006

Perjalanan; Yang di Cari Atau di Tuju

Inilah filem yang sangat memberi inspirasi. Dua anak muda yang bosan, seorang kerja di bengkel manakala lagi seorang cuma tahu bercita-cita walaupun nampak mustahil tapi jika kena caranya dia boleh mencapainya juga. Mereka tidak mahu terus terperangkap dalam dunia kekampungan mereka. Mereka ingin keluar dari situ dan ada satu destinasi yang ingin mereka tujui. Dengan sebuah volvo vintage mereka memulakan perjalanan dari Jemapoh ke Manchestee.

Yadi yang memujuk Mafiz, pekerja bengkel itu supaya “meminjam“ kereta tersebut barang dalam dua tiga minggu untuk ke Manchester (tapi di sebut sebagai Manchestee – malah agak annoying mendengar sebutan Manchestee itu di ulang-ulang sampai aku terfikir tak ada sesiapa ke yang nak membetulkan sebutan Yadi ni? Nasib baik ada. Perempuan yang dia selamatkan semasa di bar itu. Walaupun Mafiz sendiri menyebut Manchestee, kadang-kadang terdengar macam dia sebut Manchester, ada R kat hujung) ... err... kat mana kita tadi?!

Ok, kereta volvo tadi. Mafiz sepatutnya menghantar balik kepada tuan Haji Ramli kerana dah siap baiki. Tapi terpengaruh dengan plan yang baik punya dari Yadi maka dia singgah ke rumah, kemas kain baju lalu memulakan pengembaran mereka. Memanglah nampak tak logik macam tu naik kereta jer nak ke Manchester, diorang ni tak belajar geografi ke? (macam tu jugak soalan dari minah yang mereka selamatkan tadi – Mila namanya. Mila ni ada rasionalitinya dalam menangani dua mamat blur-blur yang berlagak pandai ni. Seorang lagi si Singaporean Lini, pun lebih bijak walaupun dialognya kiasu sikit asyik menyebut “cool” tak habis-habis).

Alamak, penuh dengan ayat in-bracket pulak.

Dari mana datangnya “penumpang tambahan” Mila dan Lini itu? Untuk memberikan point yang realistik dalam road movie ini serta menyedarkan penonton bahawa kisah ini adalah bukan fantasy, (serta menyedarkan dua mamat macam pandai itu supaya berpijak di bumi nyata) sebagai pemberi tunjuk ajar bahawa bercita-cita lalu berusaha itu semua akan menjadi sia-sia jika tidak mengikut birokrasi/undang-undang/protokol/logik akal dan segalanya. Walaupun kewujudan Mila dan Lini yang seakan tiba-tiba serta macam tidak dijelaskan bagaimana mereka ke situ (bar di mana Mila mula-mula discovered serta gig underground tempat Lini perform tetapi menjadi huru-hara lalu Lini menyorok dalam bonet volvo) agaknya akan melambatkan lagi perjalanan filem.

Rasanya filem ini adalah personal account pembikinnya Hishamuddin Rais yang kontroversi dalam arus politik tanahair. Paling akhir aku baca kisah beliau dalam majalah ialah tentang cerita keluar masuk penjara beliau dalam Chrome. Ya, cerita tentang penjara ini saja sudah cukup sebagai bahan yang menarik untuk difilemkan. Bukanlah aku maksudkan Dari Jemapoh ke Manchestee tidak cukup menarik tetapi keseluruhan filem agak slow jadi kita kena betul-betul memasang minat untuk mengikuti sehingga habis. Walaupun ini vcd original tetapi kualiti gambarnya terutama adegan di waktu malam amatlah gelap...err... maksud aku amatlah tidak memuaskan.

Satu aspek yang penting dalam filem ini ialah muzik latarnya yang mengingatkan kita bahawa latarbelakang dan situasi yang mereka alami bukanlah pada zaman sekarang sebaliknya pada tahun 70-an. Dengan lagu Harapan Hampa, lagu-lagu The Beatles, Hari ini dan Semalam (nyanyian J. Mizan), Dendang Remaja (A. Romzie), radio transistor, kereta antik meyakinkan sebagai props untuk menggambarkan dekad tersebut. Jadi kita boleh terima kenaifan dua sahabat tadi yang berasal dari kampung serta tidak terdedah dengan dunia luar. Tetapi dalam masa yang sama ada lagu-lagu alternatif dari kumpulan underground seperti Koffin Kanser, The Republic of Brickfields dan lain-lain sebagai kontras.

Cuma aku rasa seronok dengan idea filem ini, merantau ke tempat orang. Yadi ingin ke Manchester untuk bertemu pasukan bola kegemarannya manakala Mafiz kerana ingin mencari ayahnya seorang kelasi yang telah lama menghilang di Liverpool. Malah seorang anggota polis yang mereka temui di tengah jalan juga turut merestui perjalanan tersebut. Sebenarnya cerita ini bukanlah menitik-beratkan sangat destinasi yang mereka ingin tuju itu tetapi perca-perca pengalaman yang mereka tempuhi sepanjang perjalanan itu yang lebih penting. (Ini ayat untuk menyedapkan diri sebab aku rasa macam nak lempang diri sendiri bila melihat endingnya yang simbolik sangat...haha....)