Friday, February 24, 2006

The Wolf and the Woodsman

Itulah gunanya bersabar kerana sabar itu buahnya manis. Atau dalam konteks filem ini, buah itu bukannya manis tetapi berbau darah! Banyak pulak tu. Dan tanpa belas kasihan. Aku rasa macam nak buka tingkap dan terjun keluar rumah masa mula-mula filem ni start. Lembab sangat sampai aku rasa baik aku buat aksi sendiri.

Di manakah aksinya? Di manakah aksinya?! Jeritku di dalam hati sambil tangan mula membuka selak tingkap.

Sehinggalah bila adegan tiga sahabat tu terjumpa orang tua yang baik hati tu pun aku tak harapkan apa-apa lagi dah. Tiga sahabat tersebut, Ben, Liz dan Kristy mengembara dari pantai terpencil di barat Australia ke kawasan pedalaman yang bergelar Wolf Creek. Sebenarnya mereka termasuk dalam statistik orang awam yang hilang di negara berkenaan. Masa awal kredit ada ditunjukkan taburan statistik itu. Filem ini adalah berdasarkan dokumen kehilangan mereka.

Kalau ikut teori aku mungkin mereka berbunuhan sesama sendiri? Orang tua itu boleh jadi hanya imaginasi? Inilah antara watak orang jahat yang peramah tetapi sadis pernah aku jumpa. Bila aku fikir-fikir balik adegan-adegan terawal yang melengahkan itu hanya untuk dijadikan bukti bahawa ketiga-tiga orang muda ini benar-benar berkawan baik dan tiada konflik yang berlaku antara mereka. Jadi tidak mungkin mereka saling bunuh membunuh.


Kristy menggelarkan pembunuh itu sebagai Woodsman, semasa dia merintih apabila Liz ingin meninggalkannya keseorangan supaya dia dapat memerangkap pembunuh terbabit.

Tetapi apakah makna sebenarnya? Di dalam filem The Woodsman seorang mata-mata lakonan Mos Def menjelaskan kepada Walter (Kevin Bacon) tentang apakah yang dimaksudkan dengan Woodsman. Sebelum itu beliau bertanya dulu kalau-kalau Walter tahu jawapannya. Plot filem ini yang menggangu emosi kerana kita tidak mahu bersimpati dengan Walter tetapi dalam masa yang sama kita juga berharap dapat memaafkan kesalahannya. Sejauh mana kita dapat bertindak dengan rasional apabila di ketemukan dengan situasi begini adalah sangat mencabar.

Perhatikan reaksi kawan-kawan sekerjanya dan teman wanita itu bila mengetahui bahawa dia adalah seorang pedophilia. Walaupun adik iparnya lakonan Benjamin Bratt digambarkan dapat menerimanya semula tetapi dia tetap menaruh was-was pada abang iparnya itu. Saat yang paling tidak tenteram dalam filem ini ialah apabila Walter berdua-duaan di dalam hutan bersama seorang budak perempuan tengah melihat burung. Tetapi gadis kecil tersebut nampak tidak selesa juga bila berhadapan dengannya seolah ada naluri yang menyuruh dia pergi dari situ.

Sebab itulah aku fikir The Woodsman kurang terasa impaknya. Dia memang nampak jahat malah Kevin Bacon pernah menjadi child molester dalam Sleepers. Patutnya pilihlah pelakon lain yang ada penampilan tidak ketara atau pilih Benjamin Bratt itu untuk melakonkan watak Walter kerana dia nampaknya berpotensi juga. Yang ironik dalam filem ini apabila seorang bekas pesalah pencabul kanak-kanak dibiarkan tinggal di sebuah flat berhadapan sekolah.

Monday, February 20, 2006

Saw (11) and Saved

Kalau anda ingat dalam filem Saw pertama ada watak seorang mangsa perempuan yang terlepas dari permainan maut Jigsaw, dia ada kembali dalam Saw 11. Dia adalah Amanda seorang penagih dadah. Dan sekali lagi dia terjebak dalam situasi merbahaya ini kerana nampaknya dia masih belum serik. Dia masih tidak menghargai peluang kedua yang diperolehinya dulu maka sebagai pembalasan dia harus di beri “peluang kedua“ untuk mencuba lagi permainan ngeri ini supaya dia benar-benar bertaubat.

Aku teramat-amat suka Saw 1 sehingga aku malas nak menonton Saw 11 sebab takut gambar tak clear ia tidak mencapai piawai seperti yang pertama. Memang dalam filem pertama lagi telah di beritahu akan ada sambungannya. Secara rumusnya cerita ini menyuruh kita menghargai tiap detik nyawa yang dikurniakan kepada kita dan jangan memusnahkan diri kita sendiri dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Apabila ada seseorang (Jigsaw gelarannya) telah mengambil langkah lebih ekstrem akan makna memusnahkan diri sendiri ini, maka mangsa-mangsa tersebut, tahu pula khuatir bahawa mereka akan menemui maut dalam beberapa jam @ minit lagi lantas mula “minta nyawa“.

Analogi ini adalah sangat bertepatan dengan orang yang menagih dadah Memang macam tak sayangkan tubuh badan dan nyawa sendiri. Sampai kita dah tak tahu bagaimana lagi kita ingin sedarkan mereka betapa kejinya dalam segenap aspek penyalahgunaan dadah ini. Tak ada kebaikan langsung. Sampai kita terpaksa guna terminologi najis untuk memberi efek lebih dominan. Tapi macam tak jijik juga walaupun dengar perkataan najis tu sebab bilangan penagih khabarnya masih terus meningkat. Bukan setakat orang biasa malah personaliti terkenal juga mengambil dadah.

Aku masih ingat satu animasi keluaran Filem Negara Malaysia tahun 80-an dulu yang memomokkan penagihan dadah ini seumpama jerangkung. Lelaki kusut masai macam jerangkung itu merangkak dan mengerekot akibat sengsara kerana dadah. Dengan bunyi suara latar menyeramkan dan gambar kartun yang menakutkan menyebabkan sebahagian dari kita dapat menerima objektifnya bahawa dadah itu memang hantu. Selalunya kanak-kanak menerima gambaran imej kartun sebagai ceria dan berwarni-warni tapi bila tiba-tiba dihadapkan dengan kartun seram itu membuatkan ia menjadi medium yang berkesan. Tapi tidak juga ia membantu mengurangkan gejala ini.

Atau kita kena ada ekstremist seperti Jigsaw baru golongan penagih ini akan benar-benar berubah? Tapi apalah maknanya, jika mereka hendak dapatkan clue supaya dapat melepaskan diri dari perangkap maut itu pun tidak berdaya. Belum pun sempat nak insaf tiba-tiba dah jadi arwah. Itulah mesejnya. Kita tidak mahu mereka menjadi mayat sia-sia dengan melakukan pelbagai kempen dan strategi supaya mereka dapat kembali ke pangkal jalan. Jadi hidup mereka adalah bakti atau ertinya atau menjadi positif dulu sebelum mereka pergi selama-lamanya.

Masalahnya asyik kita saja nak tolong mereka supaya melorongkan hidup dengan nilai-nilai mulia, mereka ini – para penagih jahanam ini – adakah mereka juga ada iltizam ingin menolong diri mereka sendiri (sebelum kita bagi mereka masuk permainan brutal Jigsaw)?

Friday, February 17, 2006

Icy Games

Curling originated in the 16th century in Scotland, where games were played during winter on frozen ponds, lochs and marshes. The earliest-known curling stones came from the Scottish regions of Stirling and Perth and date back to 1511. The earliest reports of curling came from Paisley Abbey, Scotland, in 1541. In the early days of the sport, stones were taken from river bottoms. In the 1600s, stones with handles were introduced, allowing a delivery style similar to what is used today.

The key developments in the sport in the 20th century have been the standardisation of the stone and the use of indoor, refrigerated ice facilities. Curling for men was included in the programme in 1924.

Di atas adalah petikan dari laman web rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk Torino 2006 yang aku cari sebab aku curious nak tahu apakah nama permainan yang pelik ni. Housemate aku yang tengah tengok acara ni masa tu pun tak tahu apa dia. Lagi satu yang membuatkan kami tertanya-tanya ialah fungsi dua pemain yang memegang kayu* itu sedang mengosok-gosok lantai licin yang menjadi gelanggang mereka tatkala bola itu sedang meluncur. Bukan main gigih nampaknya mereka tengah menggosok. Untuk makluman, gambar sebagai hiasan yang aku sertakan ini bukan dari acara curling di Torino, tapi dari www2.raisport.rai.it dan wikipedia.



*Kayu itu namanya penyapu di panggil broom atau brushes dalam bahasa Inggeris. Memang itulah fungsinya. Untuk menyapu atau menggosok lantai di mana batu granit bulat leper (tetapi lebar) itu meluncur laju menuju ke hujung. Hujung? Ya, hujung – I don’t know how this game was played so just click on this link if you interested to know more. Pada hujung gelanggang (di panggil curling sheet) terdapat bulatan bullseye seperti papan pemanah. Skor permarkahan pun aku tak tahu macam mana mereka nilaikan tapi aku tengok sebab housemate aku yang conquer tv masa tu. Tonton sajalah apa yang dia buka lagipun acara Winter Olimpics ni baru pertama kali tv kita anjurkan.

Buat pertama kalinya (kalau anda langgan tv satellite dan anda minat menonton acara sukan) kita di negara tropika ni boleh mengikuti keterujaan Torino 2006 secara langsung di sini. Walaupun mungkin kita tidak berpeluang untuk mempraktikkan acara-acara tersebut di belakang rumah, tapi sekurang-kurangnya kita boleh mendapat inspirasi dari mereka. Macam pasukan bobsleigh dari Jamaica yang sangat terkenal itu sampai kisah mereka ini dijadikan filem bertajuk Cool Running.

Kalau acara ice-skating mungkin boleh Malaysia nak hantar penyertaan (sebab ada Sunway Ice – boleh berlatih di situ). Tapi ice-hockey walaupun kita ada pasukan di sini lebih baiklah jangan. US dan Kanada adalah terlalu gagah untuk ice-hockey. Lebih baik tumpukan dengan hoki padang biasa yang kadang-kadang prestasinya boleh di harap. Ataupun cuba permainan aneh tadi, curling. Nampak macam boling padang jugak kan? Kita kan memang jaguh dalam arena ni di peringkat komanwel, jadi apa salahnya cuba. Cuma pastikan bakal pemainnya nanti tidak alah cuaca sejuk. Lepas ni, tak boleh lagi kita di kerling sebelah mata kalau berjaya dalam sukan ni. Winter Olimpics pulak tu, siapa sangka.

Olimpik Musim Dingin Torino 2006 disiarkan di Astro Supersports.

Wednesday, February 15, 2006

The Force of Midnight on Cowboys

Kalau anda masih ingat dengan lagu “Where Have All the Cowboys Gone” nyanyian Paula Cole, ketahuilah anda lagu itu mengeluh tentang susahnya untuk mencari spesis lelaki sejati sekarang seakan mereka semakin pupus. Tak tahu ke mana pergi nya “koboi-koboi” tu semua. Rupa-rupanya mereka pergi ke Brokeback Mountain! (well… at least two of them). Walaupun sepasang koboi tersebut secara kasarnya nampak seperti lelaki yang di cari Paula tetapi berhati-hatilah dengan apa yang anda lihat dengan mata kasar.

Malah Paula juga menyanyikan lagu tema Dawson’s Creek, sebuah siri remaja yang dibintangi oleh Michelle Williams yang di dalam filem ini memegang watak sebagai Alma, isteri kepada Ennis (lakonan Heath Ledger) salah seorang koboi tadi. Manakala Ledger bukanlah kali pertama memerankan watak songsang begini kerana dia memulakan kariernya sebagai gay cyclist dalam drama tentang sekolah sukan di Australia. Kebetulan aku pernah tengok satu episod drama Sweat ini semasa disiarkan di TV2 bertahun-tahun dahulu. Pasangannya (ini yang sejenis pula) adalah Jake Gyllenhaal yang pernah aku tulis tahun lepas tentang Spider-Man (hahaha… macam bodoh pulak bila aku ingat balik).

Ianya dari bait-bait prosa pendek Annie Proulx sehingga divisualkan secara berkesan oleh Ang Lee maka terhasillah sebuah ikatan yang luar biasa. Dua orang lelaki yang bertugas mengembala biri-biri di lembah terpencil lama-lama menjadi semakin “girang” sesama sendiri. Perasaan antara Ennis dan Jack yang di pupuk semasa di sana akhirnya semakin kompleks dan menderakan. Kita mungkin menganggap ia adalah sebuah cerita yang pernah di buat sebelum ini. Perhubungan yang tidak sepatutnya terjadi yang disebabkan oleh dasar tertentu. Seperti juga Titanic antara Rose dan Jack (Jack jugak!). Malah poster mereka juga seakan sama. Dua insan yang sedang menundukkan kepala mereka. Entah kerana apa. Kerana akur dengan struktur sosial yang menghukum atau kerana tidak sanggup berdepan dengan pilihan yang mereka buat.


Ini adalah filem Ang Lee kedua yang aku tengok selepas Ride with the Devils lakonan Tobey Maguire dan Jewel. Mungkin Lee suka mengarahkan Maguire agaknya kerana ini adalah filem kedua yang dia berlakon di bawah arahannya selepas The Ice Storm. Manakala Gyllenhaal pula ada iras-iras Maguire sikit. Go, figure. Tapi bukankah itu semacam offensive pula kepada Maguire sebagai Spiderman jika dia di label sebagai gay (walaupun melalui sebuah filem lain) sedangkan superhero itu juga tidaklah “super” sebenarnya kerana tidak berani mengakui identiti rahsia mereka.

Seperti juga Ennis yang tidak berani mengambil risiko di atas cadangan Jack untuk hidup berdua mengusahakan ranch dan mungkin tua bersama. Konflik inilah yang sangat menjadi dibawakan Ledger metah meyakinkan sehingga kita merasa sakit melihatnya. Cuma aku tidak pasti dengan Jack – adakah dia benar-benar mendedahkan dirinya atau itu hanyalah tanggapan orang-orang di sekelilingnya. Kita juga rasa hairan bagaimana Jack seorang penunggang rodeo, koboi malah berkahwin (dia juga berkahwin dengan Lureen – lakonan Anne Hathaway) boleh di beri analisis begitu? Lainlah jika dia berimejkan salah seorang Priscilla (of Queen of the Desert). Manalah tahu mungkin dengan cara demikian persekitaran country & western itu akan lebih merestui mereka?!

Sebagai sebuah filem yang mendokong genre begini, Brokeback Mountain adalah rumit dalam temanya tapi tidak begitu susah untuk menghadam isinya. Kita masing-masing ada persepsi dan prejudis apabila dibentangkan dengan perhubungan jenis ini. Ennis dan Jack ada garisah dan pegangan mereka sendiri juga. Walaupun tidak dijelaskan secara nyata dan di tambah dengan pre-conception oleh masyarakat sekitar, tarikan yang cuba dihindar pada mulanya namun mereka nampaknya tunduk dipengaruhi oleh kuasa lain. Pada suatu malam yang berkuasa, yang sunyi, terasing, dingin dan terhimpit, mereka akhirnya mengalah pada keadaan. Tidak tahulah dengan fitrah yang mereka langgar itu akan mengurangkan konsep kemaskulinan mereka.

Waima ada Paula Cole yang berlagu hiba sekalipun, secara teori tiada siapa yang dapat menahan atau mempertikaikan apa-apa. Termasuklah juga kepada koboi-koboi yang anda dambakan sebagai selayaknya lelaki selama ini.

Tuesday, February 14, 2006

Must Love Dogs

Ahh… 14 Februari. Rasanya aku tak pernah tulis apa-apa lagi mengenai Valentine. Oleh kerana ini adalah hari kasih sayang jadi aku pun nak tulis pasal satu filem tentang berkasih sayang sesama makhluk. Tentunya aku tak akan tulis pasal cinta yang konvensional, tentang sepasang kekasih, teruna dara asyik mahsyuk bercinta, tidak, tidak aku tidak mahu menulis tentang mereka.

Tahun ini juga mengikut zodiak Cina adalah Tahun Anjing. Jadi tahun anjing dan valentine kita gabungkan ia menjadi satu tema maka filem apa yang sesuai? Aku pilih filem “My Life as a Dog“ sebagai filem paling romantik untuk valentine ini.


Tapi filem ni dah agak lama, tahun 1985 tapi aku baru berkesempatan tengok tahun lepas. Cuma aku tak review masa tu sebab tak ada kesempatan. Filemnya simple tapi penuh jiwa. Kita dapat menyelami naluri seorang kanak-kanak lelaki yang di dalam perjalanan menuju remaja sedang secara nyata memang dia “sedang berjalan”. Dia di hantar ke rumah saudaranya untuk di pelihara sementara ibunya sakit terlantar lesu tidak berdaya untuk menjaga dia serta abangnya yang semakin nakal. Dalam penghijrahan itulah dia seolah menjalani proses untuk mengenali diri, hidup, alam sekitar serta isu semasa secara amnya.

Aku tak tahu nak simpulkan sama ada filem ini menyedihkan atau meriangkan hati sebab keseluruhannya ia tidak di acu berlebih-lebihan. Misalnya bila kedua beradik itu di hantar ke desa untuk di jaga, mereka seakan tidak dihargai dan dipulaukan ibu sendiri. Ibunya tu kita nampak bukan macam sakit sangat, asyik terbaring atas katil. Tapi ada satu kes di dapur rumah mereka sampai ibu mereka naik angin, kita rasa geram juga dengan perangai budak-budak ni. Sebenarnya apabila dia di hantar ke rumah saudaranya itu ia tidaklah sebagai hukuman sebaliknya menjadi rahmat kepadanya dan juga penonton.

Pemandangan di Sweden adalah teramat indah! (aku lupa nak cakap ini adalah filem dari negara tersebut. Judul asalnya ialah Mitt liv som hund) dari musim salji yang memutih sampailah ke musim panas dengan hutan fir mereka dan kawasan desa yang permai bagaikan poskad wisata. Penduduk desa itu juga ada pelbagai karektor. Ibu dan bapa saudaranya yang hidup harmoni (dan horny!), kawan-kawan barunya yang bervariasi, orang tua uzur yang asyik nak suruh dia membelek katalog pakaian dalam, serta kilang gelas tempat punca rezeki orang-orang kampung.

Habis, di manakah anjingnya?

Anjing itu tidak ada di situ. Ia telah di hantar ke angkasa oleh negara Russia sebagai bahan ujikaji. Tetapi budak ini dan anjing itu bagaikan ada pertalian. Namun dia tidaklah menghabiskan masanya mengelamun mengenangkan nasib haiwan tersebut (cuma kadang-kadang tak pasal-pasal dia akan meniru gaya anjing menyalak). Dia juga aktif dengan pelbagai aktiviti seperti bermain bola dan bertinju. Malah dia bertinju dengan seorang budak perempuan yang disangkanya lelaki. Tapi babak ini sangat fragile kerana ia boleh diinterpretasi secara menyimpang tetapi perlu. Kita tahu yang dia semakin curious dengan jantina lawannya, dengan katalog “picis“nya lagi dan ada seorang perempuan yang menjadi ahem, model lukisan itu.

Sebuah alam kanak-kanak yang sangat mencabar dan berwarna-warni. Ia adalah satu fasa yang semua orang akan laluinya (lainlah kalau dah meninggal masa baby). Semua orang ada kenangan masing-masing pada zaman itu. Tentang bagaimana kita dibesarkan, tentang persekitaran kita, tentang pandangan kita terhadap hidup, manusia, objek hatta terhadap seekor anjing. Semuanya dari mata hati yang tulus, suci, mentah, murni dan tidak berpura-pura.

Monday, February 13, 2006

Soundtrack Meme

Dapat daripada blog Zack. Aku letak gambar cover album soundtrack sebagai hiasan. Nak sertakan lagunya sekali payah pulak nak cari samplenya. Lagu yang di ambil adalah berdasarkan filem-filem yang pernah aku tengok. Rasanya memang ada signifikan lagu-lagu yang aku pilih ni termasuklah yang instrumental. Sesiapa saja teringin nak buat Meme ni, dialu-alukan.

Answer the questions using only song titles from movie soundtracks.

Are you male or female? : Amphibian by Björk from Being John Malkovich


Describe yourself : The Lonely Shepherd (Zamfir) from Kill Bill Vol. 1


How do some people feel about you? : Draining Faces by Skinny Puppy from The Blair Witch Project


How do you feel about yourself? : Hillary’s Theme (Kenny G.) from Dying Young


Describe what you want to be : Dream Weaver by Gary Wright from The People Vs. Larry Flynt


Describe your current mood : Coffee & TV by Blur from Cruel Intentions


Describe your friends : We Are Not Enemies from American History X


Share a few words of wisdom : (What's So Funny 'Bout) Peace, Love and Understanding? by Elvis Costello from 200 Cigarettes


As I walk through
This wicked world
Searchin' for light in the darkness of insanity.
I ask myself
Is all hope lost?
Is there only pain and hatred, and misery?

And each time I feel like this inside
There's one thing I wanna know
What's so funny 'bout peace love & understanding?
What's so funny 'bout peace love & understanding?

And as I walk on
Through troubled times
My spirit gets so downhearted sometimes
So where are the strong
And who are the trusted?
And where is the harmony?
Sweet harmony

'Cause each time I feel it slippin' away, just makes me wanna cry
What's so funny 'bout peace love & understanding?
What's so funny 'bout peace love & understanding?

So where are the strong?
And who are the trusted?
And where is the harmony?
Sweet harmony

'Cause each time I feel it slippin' away, just makes me wanna cry
What's so funny 'bout peace love & understanding?
What's so funny 'bout peace love & understanding?
What's so funny 'bout peace love & understanding?

Thursday, February 09, 2006

Pancutkan Satu Peluru

Hujung minggu lepas aku menonton rancangan Mythbusters yang cuba meleraikan misteri satu kejadian luar biasa yang sudah berlarutan sejak 150 tahun lamanya. Misterinya ialah, bolehkah sebutir peluru menyebabkan seorang wanita menjadi hamil?

Peluru?!

Ya, peluru.

Bukan sperma ke yang membuatkan perempuan hamil?


Ok, sebelum kita menyelak lebih jauh lagi punca-punca seseorang wanita itu boleh mengandung, eloklah kita intro dulu apakah bendanya Mythbusters ini. Kalau ada yang tak tahu Mythbusters ialah rancangan tv di mana dua orang pakar special effects, Adam Savage dan Jamie Hyneman cuba memisahkan stigma di antara mana yang fakta dan mana yang mitos di dalam kehidupan sehari-hari. Atau pun urban legends of popular culture yang melingkari kehidupan masyarakat yang selalu menerima bulat-bulat sesuatu fahaman atau kepercayaan tanpa ada usaha untuk mempertikaikan kredibilitinya. Jadi, itulah kerja mereka.

Misalnya, betulkah air coca-cola berkesan digunakan sebagai bahan pencuci (seperti dalam chain e-mail yang pernah aku dapat – tapi aku tak try pulak). Adakah kita akan terkena kejutan elektrik jika mandi di bilik air ketika ribut petir melanda? Benarkah jika kita meletakkan berus gigi berdekatan tandas, ia akan dipenuhi bakteria apabila tandas di pam? Adakah benar apabila kita berbual melalui handphone ketika mengisi petrol boleh menyebabkan letupan? Benarkah silikon yang di tanam dalam payu dara akan meletup tatkala berada di altitud tinggi? Bolehkah seorang penyanyi bernada tinggi mengalunkan suara sehingga memecahkan gelas? Bolehkah kita melepaskan diri dari terkena tembakan dengan menyelam ke dalam air?

Itu adalah antara beberapa mitos atau urban legend yang cuba dirasionalkan oleh Jamie dan Adam melalui demonstrasi yang ditunjukkan mereka. Berbalik kepada soal kehamilan tadi, bolehkah seseorang perempuan itu mengandung dengan hanya ditembusi sebutir peluru? Sebenarnya begini. Terdapat legenda semasa perang sivil melanda di Amerika, seorang askar telah di tembak di celah kelangkangnya lalu peluru tersebut meluncur laju terus tertanam di dalam rahim seorang wanita yang kebetulan berada berhampirannya! Macam kelakar pun ada.

Tetapi skuad Mythbusters telah mengambil serius perkara ini lalu mereka bertindak untuk mengujinya. Tapi mereka bukan uji guna manusia hidup, of course. Ada sejenis patung bersaiz lelaki dewasa yang di panggil Buster telah menjadi kambing hitam setiap kali mereka ingin melakukan sebarang demonstasi. Termasuklah untuk ujikaji pada kali ini.

Jamie, Adam dan dummy Buster mereka


Cuma mereka taklah sampai tahap buat eksperimen sampai kena ada perempuan betul-betul jadi bunting semata-mata untuk memecahkan misterinya. Mereka hanya ingin membuktikan bahawa sebutir peluru yang di tembak laju memang beupaya menembusi jisim manusia sehingga kebarangkalian tadi mungkin berlaku. Memang benar. Peha Buster yang dilapisi daging tiruan hancur berkecai. Tapi aku tak pasti ke mana peluru itu mendarat/terlekat setelah eksperimen selesai.

Habis, di mana penjelasan untuk membuktikan yang perempuan itu boleh hamil kerana di tusuk peluru yang melalui anggota sulit askar tadi?

Sebenarnya mitos itu adalah tidak berasas. Kisah ini asalnya bermula daripada artikel yang diterbitkan dalam The American Medical Weekly, sejenis jurnal perubatan pada 7 Nov. 1874 yang di tulis sebagai bahan humor. Tetapi ia telah di salah anggap sebagai fakta dalam beberapa terbitan berbentuk buku dan artikel pada tahun-tahun berikutnya tanpa ada sesiapa pun ingin mempersoalkan kesahihannya.

Rakaman untuk demonstrasi ini di buat ketika upacara reenactment perang sivil Amerika dijalankan lalu skuad Mythbusters turut mengambil peluang untuk menemuramah beberapa petugas berkenaan mitos tadi. Salah seorang dari mereka ialah seorang mak cik yang memberi pandangannya bahawa perempuan itu dan askar tadi memang ada affair. Habis mereka dah buat projek lepas tu termengandung, macam tu lah jadinya. Ada ke pulak nak salahkan peluru.

Mythbusters disiarkan di Discovery Channel

Tuesday, February 07, 2006

Looking for Parody in the Muslim World

Berapa ramai antara kita yang tergerak untuk surf di internet mencari karikatur yang kontroversi itu? Tentu boleh kan? [aku tak pasti pula kalau-kalau ada apa-apa peranti untuk menyekat atau sensor kita dari access laman-laman tertentu seperti negara China yang cuba menyekat kebebasan enjin carian Google di wilayahnya]. Atau tidak sanggup? Mungkin mereka di Sarawak terutama yang membaca akhbar Sarawak Tribune lebih selesa untuk menjawabnya. [Yang tak selesa tentulah editornya yang telah meletakkan jawatan]

Kalau kita tidak sanggup untuk mencarinya di internet, apakah alasan anda? Kerana rasa gambar itu akan menyinggung anda, bukan? Jadi lebih baik anda tidak melihatnya sama sekali. Baik anda terus saja membakar bendera Denmark atau tidak membeli biskut (apa ke nama entah biskut mentega dari Denmark yang sedap tu? Yang dalam tin bulat tu) buatan mereka sebagai tanda protes.

Hal-hal begini seolah berjangkit. Kita tidak mahu apabila peha kiri saudara Islam kita di cubit dan kita sebagai peha kanan yang bersaudara dengan mereka tidak membuat respond apa-apa. Semacam kita kebah, tidak terjentik sedikit pun oleh cubitan tadi. Walaupun dalam konteks ini kita tidak boleh lagi anggap yang mereka telah menyentuh sensitiviti sesetengah umat Islam saja kerana isu yang mereka terbitkan itu adalah menyeluruh. Mereka telah memperolokkan junjungan besar kita Nabi Muhammad (S.A.W).

Sedangkan kalau kita melihat mereka melakukan satira terhadap pemimpin atau tokoh Islam serantau pun kita sudah merasa terhina apatah lagi terhadap seorang Rasul yang maksum, yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan perintah-Nya terhadap seluruh umat manusia. Termaksuklah mereka di Denmark tadi – seandainya mereka semua di beri taufik dan hidayah dan mereka berusaha pula untuk mencari kebenaran. Tetapi apa yang mereka buat hanyalah terus mencetus provokasi atas alasan ia sekadar lakaran untuk bergurau senda.

Jika mereka mahu untuk bergurau senda atau berlawak dalam dunia Islam, karikatur tersebut bukanlah caranya. Mereka harus berusaha lagi. Sebelum itu belajar dulu prinsip-prinsip ajaran penganut agama lain. Tidak semua perkara boleh di biar bebas untuk diperlakukan apa saja. Mereka sepatutnya tahu ada batasan dalam sesetengah perkara dan bukannya mengikut kepala sendiri kononnya atas dasar hak asasi manusia.

Monday, February 06, 2006

Selling on Empty

Baru-baru ini bapaku memberitahu yang dia tak jadi nak menyewa kedai di shoplots yang baru siap di bina di bandar kediaman kami. Puncanya ialah sebab dia tak tahu nak jual apa.

“Tak kan kita nak bukak kedai tapi tak ada benda nak jual?”

Aku hampir nak ketawa bila mendengar bapaku berkata macam tu. “Boleh ayah, kita boleh buka kedai tapi kedai tu tak jual satu barang apa pun. Sebab ada orang yang pernah buat macam tu“.

“Ya? Sapa?“

“Dharma. Dari siri komedi Dharma & Greg. Dalam salah satu episod rancangan tu, Dharma telah membuka sebuah kedai tapi tak ada jual apa-apa barang. Yang peliknya kedai dia tu tetap dapat sambutan!“

Lepas tu terus aku kena pelangkung dengan bapak aku.

“Kau ingat aku main-main yer. Kau ingat aku nak bukak kedai ni macam berlakon rancangan tv ke?”

Semua dialog adalah rekaan semata-mata. Aku tak boleh bayangkan kalau aku betul-betul suggest macam tu dekat bapak aku seolah-olah membuka kedai adalah perkara jenaka. Padahal bapa aku serius ingin membuka sebuah kedai dan menjalankan perniagaan sendiri. Manakala sitkom Dharma & Greg yang aku mention di atas pun memang betul ada episod yang Dharma telah menyewa satu kedai yang tidak mengandungi apa-apa barang untuk di jual.

Jadi apabila orang masuk kedai dia tu semua tertanya-tanya dan kehairanan – apakah fungsi kedai macam ni? Satu hapah barang pun tak ada. Apa jenis bisnes ni? Maka Dharma, perempuan new age itu menjelaskan yang memang kedai tu tak jual apa-apa. Tapi jemputlah juga masuk. Tengok-tengok.

Pengunjung yang sedia ada itu pun, sebab tak ada urusniaga nak di buat duduk melepak dalam tu – baca suratkhabar dan bersembang. Makin hari makin ramai pulak orang masuk ke situ sekadar untuk bersantai dan berborak-borak. Tapi sudah tentulah Greg, suaminya bengang dengan “perniagaan” Dharma yang tak masuk akal tu. Ada kedai tapi tak ada barang.

Ataupun kita boleh letak barang dalam kedai kita tu tapi kita tidak menjualnya secara langsung di situ. Sebaliknya kena beli melalui online. Macam watak Trish lakonan Catherine Keener dalam filem The 40 Year-Old Virgin yang membuka sebuah kedai yang menjual barangan melalui ebay. Sebenarnya alasan dia membuka kedai itu cuma dia mahu nampak lebih professional.

Dan apabila seorang lelaki gemuk datang untuk membeli sepasang kasut yang dipamerkan di kedainya, Trish mengalami sedikit kesulitan untuk menerangkan konsep kedainya itu kepada lelaki tersebut. Memanglah barang-barang tu ada di dalamnya tapi dia tak jual barang tu secara langsung kepada pelanggan. Lelaki tu pun bengang dengan dia. Apa pulak masalahnya, bukankah dia sudah berada di situ sekarang dan tidakkah itu lebih mudah bagi Trish untuk terus menjualnya pada tika dan saat itu juga. Tak payah nak ber-ebay-ebay.

Jawab Trish : Yeah, I know. I wish it could be that easy, but...

Kalaulah kita tahu yang pasaran kerja untuk graduan Pentadbiran Perniagaan dan ICT adalah tidak menggalakan sekarang, tentu kita tidak akan mengambil jurusan itu dulu kan? Tentu kita akan mengambil jurusan kejuruteraan elektrik atau jurusan hiburan di satu akademi realiti tv atau pengkhususan dalam industri asas getah (getah dah naik harga oii..!). Dan mudah pula nampaknya bagi mereka untuk mengesyorkan kita supaya membuka perniagaan atau menjadi usahawan disebabkan oleh pengangguran tadi.

We wish it could be that easy.

Saturday, February 04, 2006

Melawat Sebuah Syriana

Di manakah letaknya tempat bernama Syriana itu? Tajuknya macam bunyi sebuah negara Arab malah filem ini dimulakan dengan baris pertama seruan azan. Memang benar ia ada berlatarkan negara-negara di rantau tersebut serta Amerika Syarikat, Switzerland dan lain-lain. Kisahnya mengambil situasi perkembangan dunia hari ini, ekonomi, sosio-politik dan ideologi. Jika anda pernah mengikuti berita percantuman dua syarikat petrol gergasi Esso dan Mobil, ia sepatutnya adalah tema utama filem ini.

Tapi ia sebenarnya menjadi lebih rumit daripada apa yang dapat kita bayangkan. Berbaur dengan konspirasi golongan emir, percaturan politik oleh kuasa besar dan kuasa syarikat industri minyak menjadikannya berselirat tapi sangat berkaitan. Adalah malang sekali kerana aku menonton filem ini di tayangan mid-night membuatkan daya tumpuku tidak seratus peratus. Antara kantuk dan kepenatan seharian siang membawa ke malam membuatkan aku rasa sepatutnya aku berada di rumah - tidur - dan bukannya memaksa otak dan mata menganalisis setiap bait inci cerita garapan pemenang Oskar untuk Traffic, Stephen Gaghan ini.

Tetapi kerana adegan terawalnya, ada George Clooney berunding dengan seorang Arab tentang "tugas" mereka dan orang Arab itu ingin solat dahulu sebelum melaksanakan "tugas" tersebut dan disusuli dengan satu letupan. Kita memang ingin menunggu babak-babak seterusnya kerana terdapat misteri missile yang hilang. Selepas itu ada Matt Damon di Switzerland, Chris Cooper di A.S., orang-orang aristokrat Arab, pekerja-pekerja immigran dan di sana-sini filem ini bergerak pantas. Pangkat dan minyak adalah dua subjek yang menjadi isu di dalam Syriana.

Selain itu secara tidak sedar ia turut menerapkan unsur kekeluargaan yang jelas di dalam premisenya. Bahawa ahli politik dan pemain ekonomi ini ada kehidupan lain di belakang mereka yang sama pentingnya tatkala mereka sedang mencorakkan dunia. Contohnya Clooney dengan dilema anak dan isterinya, Damon dengan tragedi yang menimpa keluarganya, hubungan peguam kulit hitam itu (lakonan Jeffrey Wright) dengan bapanya, keluarga emir yang di dalam "perang saudara" serta pekerja pendatang Muslim itu yang begitu naif dan amat mengasihi bapanya.

Kalau kita membaca laporan muka depan The Star bertarikh 2 Feb. bertajuk "School of Terror" kita seakan mendapat the other side of story melalui Syriana. Berdasarkan reference kepada adegan lelaki berwajah bersih, beriman dan memakai jubah cuba menyampaikan doktrinnya secara halus kepada lelaki imigran berkenaan apabila hidupnya menjadi kesasar akibat penggabungan dua konglomerat petroleum tadi. Filem ini walaupun di dakwa sebagai fiksyen namun kerana dekatnya ia dengan realiti hari ini maka apabila layar digelapkan tanda penghabisan cerita, kita tahu yang hidup di dunia nyata tidak dapat "digelapkan" begitu saja walaupun ada juga orang yang ingin mengambil jalan semudah itu.