Monday, August 31, 2009

Merdeka Berbuka Bufet

Rasanya inilah kali pertama aku alami sambut merdeka semasa bulan puasa tatkala dewasa ini. Mungkin masa aku kecil dahulu pun ada terjatuh merdeka ketika Ramadan cuma aku tak ingat. Sempena menghormati bulan yang mulia ini tidak adalah majlis berhibur-hibur seperti tahun-tahun lepas bagi meraikan malam 31 Ogos. Aku pun tak tahu apa acara yang dianjurkan atau berlangsung untuk memperingati hari bersejarah tersebut sebab aku sibuk dengan hal lain.

Hari Ahad semalam pada malam merdeka, akhirnya berjaya juga aku makan bufet Ikea. Padahal hari Sabtu tu pun pergi jugak tapi malas nak beratur panjang, aku dan kawan pun blah. Lepas tu ingat nak berbuka di Waroeng Penyet, penuh juga. Semua meja penuh. Tapi aku tapau juga set ayam penyet untuk makan kat rumah. Sudahnya kami putuskan untuk berbuka di Station Kopitiam di Cineleisure atau sekarang di kenali dengan nama e@the Curve.

Esoknya pergi lagi ke Ikea dengan kawan yang lain sebab nak juga makan kat situ. Tapi nampaknya semua tempat duduk dah diduduki orang dan barisan yang beratur pun panjang. Nak tak nak kenalah beralah dan makan dulu yang ringan-ringan dan solat maghrib. Bukannya mengidam sangat nak berbuka di Ikea tapi lebih untuk meninjau apa yang best sangat bufet buka puasa kat situ serta menikmati kemeriahan suasana.

Selesai maghrib di surau Ikano, barulah kami melangkah balik ke pusat perabot Sweden itu.

Thursday, August 20, 2009

Rumah Kecil Belon Seribu

Disney dan Pixar mencetuskan keseronokan lagi untuk kita semua kali ini melibatkan sebuah rumah yang boleh terbang! Err … bukan ia boleh mengibarkan kepak sebaliknya ia melibatkan beribu-ribu belon untuk membolehkan ia melayang di udara. Juga terdapat seorang kanak-kanak lelaki sihat yang bersemangat tinggi serta berfikiran positif dan berhati mulia. Walau sedikit mengganggu kadang-kadang tu.

Dan orang tua.

Menggarap sebuah filem kartun yang mengandungi golongan lanjut usia sebagai watak utama agak mencabar kerana kumpulan disasarkan itu mestilah boleh terasa ada berhubungan. Biasanya kanak-kanak susah sikit nak tertarik dengan sesuatu yang mereka tidak boleh relate walaupun filem animasi Disney biasanya melangkaui jurang umur. Agaknya itulah sebab mereka ambil belon-belon itu sebagai teaser kerana ia lebih menyerlah dan memberangsangkan.

Aku suka sangat dengan idea filem ini yang kita tidak pernah terlewat pun untuk memulakan sesuatu walau nampak mustahil dan walau hayat umur macam tidak mengizinkan. Selagi ada kudrat, peluang dan cara untuk melunaskan impian yang sekian lama teringin ditunaikan, jadikanlah ia kenyataan. Tidak ada gunung yang tinggi untuk di daki dan tidak ada lurah yang dalam untuk di turuni. Atau dalam kes filem ni tak ada air terjun yang tinggi yang tidak boleh diletakkan rumah di atasnya.

Emosi terusik sejak awal-awal filem berputar lagi dengan montaj tanpa suara hanya iringan lagu latar menghela kita menyusur perjalanan hidup Carl Fredricksen bersama isteri tercinta dari selepas menginjak dewasa, bercinta, berkahwin dan sampai isteri itu pergi. Syahdu sangat. Ia berubah rentak menjadi lebih serius dan kelakar selepas itu dalam durasi cerita yang sarat advencer dan inspirasi

Monday, August 17, 2009

Kaki Blue

Semalam aku berpeluang menyaksikan teater muzikal Kaki Blue di Klpac dengan kawan-kawan. Mula-mula agak was-was juga dengar tajuknya begitu, boleh membuat kita fikir benda kuning. Sebenarnya tak ada warna yang menyumbeleweng dalam teater ni. Walaupun aku pada awalnya tak dapat fikir apa makna biru yang diwakili oleh judul tersebut, tapi setelah menontonnya, aku tahu itu adalah warna uniform PLKN.

Pementasan yang baru saja berakhir petang semalam secara kasarnya nampak mengambil tema dan konsep dari High School Musical. Walaupun mendapat inspirasi dari HSM, tak adalah pulak watak lelaki utama dia tu macam Zac Efron! Sebaliknya dia adalah seorang budak lelaki lembut yang berkawan dengan dua budak perempuan. Mereka bertiga yang baru saja tamat SPM di sebuah sekolah di Pulau Pinang sedang bersukaria berborak merancang bagaimana untuk menghabiskan cuti sementara menanti keputusan keluar.

Ah Shan mengira-ngira duduk lepak di rumah bangun lambat dan marathon tengok Astro manakala Ah Nee berangan-angan mahu menyertai pertandingan realiti kerana ingin menjadi bintang dan Azlina yang paling rasional antara mereka tiada matlamat yang jelas. Namun impian yang indah demi menikmati hidup bebas tanpa tekanan belajar yang mereka impikan habis musnah apabila mereka di panggil untuk menyertai khidmat negara.

Bermula dari mereka habis SPM sampailah mereka berada dalam kem tersebut, dalam sela-sela dialog yang mereka lontarkan semuanya diiringi dengan lagu-lagu serta muzik yang mengikut konsep. Ada juga satu-dua lagu yang aku pernah dengar. Ianya menggambarkan pelbagai baju seragam yang muda-mudi kita hari ini kena pakai sejak dari bangku sekolah sehingga mereka di seru masuk PLKN pula. Terasa juga macam mereka menyindir dan memperolok-olokkan polisi begini serta hakikat menjadi belia di negara kita.

Namun memang menghiburkan cara mereka mempersembahkan teater ni. Langsung tak terasa bosan lebih-lebih aku tengok petang Ahad yang biasa time aku mengantuk giler. Kalau tak best, mahu je aku bantai tidur. Si Komander PLKN yang di panggil Major Sabar tu sangat kelakar dan berjaya menampilkan ciri-ciri pegawai kerajaan yang berdedikasi. Pelakon-pelakon lain yang kebanyakannya masih muda remaja menunjukkan bakat yang cemerlang.

Friday, August 14, 2009

Kembali Kepada Rabb

Tersentak mendengar berita pemergian Ustaz Asri Ibrahim menerusi internet semalam. Terus sms kawan mengkhabarkan peristiwa sedih itu. Walaupun tidak pernah bersua secara live setakat melalui tv atau suratkhabar, tetapi kehilangan Allahyarham amat di rasai. Dah-lah aku lately selalu bukak channel Astro Oasis memang kebetulan pulak Ustaz Asri yang sedang ke udara masa tu.

Dahulu semasa awal-awal kemunculan Rabbani aku sangka yang kumpulan ini sekadar hadir untuk memberi saingan kepada Raihan di atas penerimaan yang luar biasa kepada Raihan ketika itu oleh penggemar seni Malaysia. Rupa-rupanya anggota kumpulan ini terutama Ustaz Asri sudah terlebih dahulu bergiat dalam nasyid melalui Nada Murni. Memang biasa dengar nama Nada Murni ni cuma tak pasti pula siapa anggota-anggota dan penyanyinya.

Apabila mendengar saja suara vokalis Rabbani mula-mula dulu, terdetik juga dalam hati sebab macam pernah dengar suara lunak, gemersik dan memukau ini. Bagi aku ini memang satu langkah yang mulia kumpulan ini untuk menceburkan diri secara mainstream dalam memberikan banyak pilihan lagu-lagu nasyid yang boleh diketengahkan. Selepas itu, kita boleh lihat semakin mendadak muncul kumpulan-kumpulan nasyid lain di sini menyusur jalan yang di rintis oleh Raihan serta Rabbani.

Satu pendekatan ekstrem yang di ambil oleh Rabbani di dalam penglibatan seni mereka ialah apabila berkoloborasi dengan KRU untuk menerbitkan beberapa lagu nasyid mereka. Wow, ini sangat di luar jangkaan. Tak silap aku agak kontroversi juga masa tu apabila sebuah kumpulan nasyid berwibawa ingin mengambil lagu ciptaan anggota pop hip-hop. Macam mana agaknya hasilnya?

Tetapi gandingan mereka itu memang menjadi. Terutama lagu Pergi Tak Kembali yang turut dihasilkan oleh KRU merupakan antara lagu yang menyebabkan kumpulan Rabbani semakin meraih perhatian. Walaupun agak rancak dan drastik untuk menganggap itu sebagai lagu nasyid tetapi dengan alunan mengasyikkan oleh suara Ustaz Asri, kita boleh terima itu adalah lagu nasyid. Meneliti bait-bait liriknya kini membuatkan kita terpempan kerana pelontar suara itu sekarang sudah pun pergi ke alam barzakh.

Al-Fatihah.

Tuesday, August 11, 2009

Harry Potter and the Half-Blood Prince (2009)

Sudah agak lama juga aku habiskan menelaah buku Harry Potter and the Half Blood Prince ni. Tapi aku melengah-lengahkan masa untuk pergi menonton versi filemnya di panggung kerana ramai sangat yang cakap ia membosankan. Tidak ada klimaks yang padu serta jalinan cerita yang tidak teruja. Mengapa begitu pula jadinya? Padahal aku yang pernah baca bukunya mendapati ia sangat gelap, kejam, seronok dan membongkar misteri. Juga menyayat hati apabila pengetua yang disayangi itu meninggal dunia.

Tapi aku mengalah juga, pergi menonton sendiri untuk memuaskan hati sebagai tanda peminat siri filem ini yang aku belum lagi tertinggal. Mula-mula di buka adegan pertama itu memang kagum dengan visual cantik dan tertanya-tanya apakah wasap hitam bergelung-gelung melingkar atmosfera muggle London dengan cuaca mendung seakan membawa berita buruk? Imej janaan khas jambatan milenium bergegar dan musnah semakin menerbitkan semangat untuk tersihir sama dalam instalasi terbaru Harry Potter ini.

Namun, ia menjadi mendatar dan sedikit merampas minat untuk terus terpaku pada layar. Malah ada penonton yang keluar panggung, kecil hati pulak aku di buatnya sebab mereka tak tengok sampai habis. Boring sangat agaknya. Memanglah ia agak buruk filem ni tapi kalau baca bukunya, kamu tidak akan percaya begini sepatutnya ia akan terbentuk secara fizikal. Kenapa banyak sangat David Yates ingin memasukkan unsur budak-budak itu sedang di lamun cinta atau di rasuk asmara, tak tahulah.

Padahal yang paling penting plot dalam buku menceritakan bagaimana asal-usul Voldemort seperti yang tertayang pada teaser filem ini yang bermain sejak tahun lepas lagi. Babak Tom Riddle semasa kecil dan perincian tentang horcruxes yang merupakan antara elemen penting serta adegan akhir patut lebih diutamakan. Nanti bila edisi filem seterusnya keluar kenalah penonton buat assumption sendirilah tentang semua itu.

Sunday, August 02, 2009

Mencuri Ilmu

Minat membaca memang digalakkan. Tapi tak perlulah sampai mencuri! Rasa tertanya-tanya juga apakah buku-buku yang di cilok oleh pelakon Gerak Khas itu dari kedai tersebut. Khamis lepas dalam suratkhabar ada di beritahu tajuknya – The Sistine Secrets dan Decoding the Heaven. Tak tahulah apa istimewanya dua buah buku berkenaan sampai kena di songlap. Padahal bukannya tak mampu.

Setelah aku masuk Amazon, baru aku tahu secara ringkas kandungannya bila baca reviu yang diberikan oleh pengulas.

The Sistine Secrets sebenarnya ada sambungan judulnya berbunyi Michelangelo's Forbidden Messages in the Heart of the Vatican adalah digambarkan oleh kebanyakan sebagai Michelangelo's high Renaissance artworks in the Vatican City, Florence and elsewhere and claims Michelangelo was directly influenced by Jewish religious teachings of the Talmud, Midrash and Kabbalah in his subject matter as well as deeper symbolic messages of Christian religious art, particularly in the Sistine Chapel

Manakala Decoding the Heaven pula ada dua siri tajuk kecil yang lain jadi aku tak tahu dia curi yang mana satu?! Tapi ianya berkaitan dengan komputer yang di dakwa telah wujud sejak zaman purba dan berusia dua ribu tahun yang cuba di bongkar misteri kewujudannya. Macam menarik saja buku ini.

Jika bahan bacaan yang di jual di kedai buku besar ini terlalu mahal, kini ada kedai lain yang menawarkan buku lebihan yang di jual dengan harga lebih murah tanpa perlu nak mencuri. Aku baca dalam Kosmo! pada Jumaat lalu ada sebuah kedai beroperasi di AmCorp Mall mejalankan urusniaga ini.

Mungkin pelakon itu tak adalah sampai kena dakwa serta menjatuhkan reputasinya jika dia mengetahui kewujudan kedai yang di panggil BookXcess itu yang menjual buku-buku terlebih cetak atau yang telah lama diterbitkan maka kedai ini berfungsi membantu melariskannya menerusi tanda harga yang lebih rendah.

Kebanyakan bahan bacaan yang di jual di sini ialah terbitan asli dan masih baru serta berlambak jumlahnya. Tapi ia bergantung juga sama ada tajuk yang anda cari ada dalam simpanan mereka atau tidak. Namun sekurang-kurang ada juga alternatif lain kepada penggemar buku yang ingin membeli banyak tapi bajet terhad

BookXcess sekarang menawarkan potongan harga 20% untuk sebuah buku sehingga 7 Ogos ini dengan memotong kupon yang terdapat dalam Kosmo! keluaran 31 Julai lepas.