Wednesday, May 28, 2008

Budak-budak Sekolah Suka Berembun

Dua tiga hari ini hujan sudah melanda setiap petang di Kuala Lumpur. Bagus. Panas terik berminggu-minggu yang lalu menakutkan. Cuti sekolah sudah bermula. Tapi aku bukan cikgu atau murid sekolah jadi ia tidak ada kena-mengena. Cuma yang buat ia ada kena-mengena dengan aku kalau budak-budak yang sedang cuti sekolah ni duduk memekak kat bawah rumah pagi-pagi buta.

Orang nak tidur pun tak boleh. Mana perginya mak bapak bebudak ni? Tak risau ke anak-anak masih tak balik rumah sedangkan jam dah pukul 2, 3 pagi? Iyelah walaupun ada yang cakap budak-budak jantan ni tak payah nak control sangat tapi diorang tu masih di bawah umur. Duduk saja-saja melepak buat bising dan mencarut kat tepi rumah orang tak mendatangkan hasil apa-apa. Kalau dah dari kecil lagi terbiasa berembun macam tu, sampai ke besar lah jawabnya bawak perangai sebegitu rupa.

Kenapa agaknya ada remaja suka melepak kat luar dinihari macam tu? Apa yang di cari? Atau apa yang membuatkan mereka tak betah duduk di rumah sendiri? Aku tetap nak salahkan ibu bapa sebab tak tegas menegur anak-anak. (Tapi dapat mak bapak yang tegas pun, ada juga kes budak perempuan curi-curi keluar rumah dengan turun pakai cadar ke tingkat bawah, macam kes kat Putrajaya dulu). Rasanya lebih ramai lagi kes ibu bapa yang sukarela atau berlembut dengan anak-anak membiarkan mereka ke hulu- ke hilir pagi-pagi buta tanpa tujuan.

Diorang berlatih nak jadi pak guard agaknya? Dari kecil dah di ajar supaya tahan berjaga malam sampai ke subuh. Eloklah tu. Tak payahlah kita nak mengupah pak guard dari Myanmar atau Nepal lagi. Selain daripada jadi pengawal keselamatan, aku tak pasti bidang tugas apa lagi yang memerlukan kita berjaga malam. Terutama untuk mereka yang dah praktik dari kecil lagi tak reti nak tidur walaupun dah malam buta. (Sebenarnya memang banyak pun kerja-kerja yang melibatkan shift malam – kupu-kupu malam tak termasuk, ok!)

Jadi, kepada adik-adik bawah umur yang sedang membaca blog ini, tolonglah jangan melepak pagi-pagi buta masa orang tengah nak tidur ni. Lebih-lebih lagi masa malam hari kerja (Kalau malam weekend, maybe tak adalah sakit hati sangat). Dan jangan buat bising kalau nak melepak pun. Dan mulut kena jaga. Jangan guna ayat tak senonoh. Nanti kesian dengan ayah dan ibu dapat anak suka bercakap lucah.

Wednesday, May 21, 2008

Once

Mengetahui filem ini melalui beberapa blog yang memperkatakannya, aku terasa jengkel dengan mereka yang menjulangnya terlalu. Bagus sangatkah? Aku pula memang tidak berapa gemar genre muzikal. Malah bila kawan aku beli dvdnya tidak lama dulu aku tidak juga ada mojo nak tengok. Tanpa di duga, ia ditayangkan di International Screen di GSC. Aku tonton Once di situ. Sebuah muzikal yang realistik dan tidak mudah aku lupakan begitu saja.

Mungkin pengalamannya akan berbeza kalau aku tengok melalui kaca tv. Apatah lagi untuk sejenis filem yang bukan dalam kategori pilihanku. Namun dalam layar besar ia begitu menambat. Tiada satu ruang pun tersisa dari bersipongang dengan lagu yang senang menangkap, cerita yang ringkas dan bersahaja namun meninggalkan kesan yang mendalam. Segalanya serba menjadi. Semuanya di bawah kawalan, untuk produksi ini membuahkan karya yang jujur.

Pemuzik slash pelakon utamanya ada kimia tertentu pada mereka yang dirembaskan menerusi lagu. Dan juga dialog yang minimal, tidak melebih-lebih. Hanya yang patut dan penonton akan tafsirkan yang lain. (Kecuali anda tahu bahasa Czech, jawapan perempuan itu apakah ertinya?) Pemerannya tidak ada tarikan rupa-paras bintang terkenal yang lazim. Ia pada aku bersandar kuat pada muzik yang di bawa. Selebihnya pada jiwa filem itu sendiri, mengajak kita bersama kerana ia berpijak di alam nyata. Kalau kita tak pasal-pasal pernah humming lagu takala iseng berjalan, itulah dia.

Dan kalau kita ada cerita cinta ataupun kisah hidup seharian yang normal dan biasa pada sorotan orang, namun bagi kita ada puitis yang tersendiri. Semua ini berpadu cantik dalam Once, terluah dalam penggambaran gaya dokumentari. Tapi emosi yang di bawanya, pada aku melangkaui daripada filem ini jadi projek indie yang tidak di fahami. Dari apa yang aku baca, latar-belakang ceritanya turut ada sangkut paut dengan kisah peribadi pembikinnya.

Bagi sesiapa yang obses dengan realiti show tentang pertandingan nyanyian, ini ada satu alternatif untuk mereka lebih menghargai satu medium drama dalam himpunan lagu-lagu. Cuma ia lebih efektif dan tulen. Pemuzik yang membintanginya lebih ikhlas dalam menawarkan persembahan mereka tanpa anda perlu sms supaya mereka bertahan. Biarpun Once muncul hanya sekali, namun kesan yang mereka bawa akan berpanjangan.

Thursday, May 15, 2008

Ma vie en l'air

Kalau anda meminati filem romantik komedi bukan dalam bahasa Inggeris, mungkin anda boleh melapangkan masa untuk Ma vie en l'air. Ia salah satu filem sempena French Film Festival 2008 yang berlangsung di KL dan Penang. Aku rasa tarikan utama tontonan ini tentulah Marion Cotillard yang baru memenangi pelakon wanita terbaik Academy Awards menerusi filem La Vie en Rose. Aku baru tengok separuh saja dvdnya sebab tak ada mood. Nantilah sambung.

Judul terjemahannya ialah Love is in the Air atau (My Life in the Air? Nanti edit sebab tak pasti) menggambarkan kisah cinta yang berlaku di udara secara literal kerana si lelaki narrator itu tidak bertemu pasangannya dalam penerbangan ke mana-mana destinasi pun. Malah dia tidak mungkin akan naik kapal terbang kerana dia takut menggunakan pengangkutan udara. Lebih ironis lagi bahawa kerjanya adalah penguji juruterbang dalam simulator. Dan dia sendiri lahir dalam kapal terbang tetapi dia sangat gerun dengan pesawat. Mungkinkah terjadi cinta buatnya di udara?

Watak utamanya itu bernama Yann dan kawan baiknya Ludo sangat serasi dan kelakar. Manakala Marion muncul sebagai Alice, watak yang berperanan antara cinta dan tidak kepada Yann walaupun kita dah boleh agak sendiri akhirnya. Menontonnya di sini berbanding dengan karektor pencabar jadi penyanyi Edith Piaf, memang dia kelihatan biasa saja. Penampilan Marion ini ada iras-iras pelakon Hollywood popular Brittany Murphy.

Cuma ada beberapa bahagian yang sepatutnya lawak tapi sebab aku tak dapat tangkap apa yang kelakarnya, maka ia sedikit tidak puas hati. Itulah rasa jengkel sangat dengar penonton lain ketawa bagai nak rak, kita pulak tak faham satu hape. Patutnya filem ini dapat rating 18SX bukannya U.

Sunday, May 11, 2008

Rumah Tanpa Elektrik

Dalam pada itu, pengalaman serupa turut dilalui isteri Mamat ketika ini, Midah Hitam, 60, yang hanya mampu bertahan tinggal di rumah berkenaan selama dua malam.

“Kalau awak sendiri macam mana, sanggup ke tinggal di rumah itu?” katanya menyoal kembali wartawan Kosmo!

Bagaimanapun, beliau yang menetap bersama anaknya di Maras, Batu Rakit memberitahu sedia kembali ke rumah itu sekiranya ada bekalan elektrik.

Aku boleh tergelak masa baca part yang dia menyoal kembali wartawan tu. Sorry Mak Cik Midah. Bukannya tak sensitif dengan isu rumah mak cik yang tak ada elektrik itu tetapi ianya seakan mencuit hati. Sebelum kahwin dengan encik Mamat tu, tak kan mak cik Midah tak tahu reputasi lelaki ini yang gagal meyediakan tempat tinggal dilengkapi bekalan elektrik kepada isterinya yang lepas?

Bagi wartawan tu pula, tentu bos dia dapat idea nak bagi assignment suruh bermalam di rumah gelap tu barang sehari dua. Ini sebagai follow-up kepada cerita isteri-isteri Mamat yang ketakutan duduk di kawasan tersebut di malam hari. Bagi aku, situasi begini boleh menjadi asas kepada kisah seram. Tak payah nak guna elemen congkak, kita pakai unsur rumah terpencil tanpa elektrik sebagai bahan thriller.

Di petik daripada berita perceraian dua wanita kepada seorang lelaki Mamat Abdullah yang rumahnya tak ada karan sebab mereka dah tak sanggup lagi bergelap di kediaman yang terletak jauh dari jiran-jiran di Kampung Banggol Nyamuk, KT.