Wednesday, June 30, 2010

Knight and Day

Meneruskan tradisi blockbuster musim panas menerusi watak hero dan wanita tidak berdaya terjebak dalam situasi yang serba bahaya serta cuba meloloskan diri mereka daripada situ, Knight and Day memenuhi selera anda yang mahu dihiburkan dengan segala elemennya. Tom Cruise mengembalikan alter-ego Mission Impossiblenya dalam sebuah cerita tentang misi yang diperjelaskan kepada kita secara nyata namun tidak mustahil ia mengandungi muslihat disebaliknya. Cameron Diaz adalah perempuan yang hadir pada waktu yang salah, di tempat yang silap cuma kerana dia sasaran yang layak maka dia terpaksa bergelumang dengan dunia penuh aksi si hero.

Tuesday, June 29, 2010

Piala Dunia Kembali

Seorang kawan bertanya kenapa iklan-iklan mempromosikan Piala Dunia FIFA 2010 ini menggunakan tagline “World Cup Return to Africa” seolah-olah memberi maksud Afrika pernah menganjurkan kejohanan berprestij itu sebelum ini. Aku jawab, tak tahu. Sepanjang pengetahuan aku, wilayah tersebut memang tidak pernah menjadi tuan rumah kepada temasya sukan terulung di muka bumi ini. Malah aku pernah terbaca hak itu diberikan kepada Afrika Selatan kali ini sebagai peluang bagi setiap benua secara adil agar dapat juga merasai nikmat mengendalikan acara yang menjadi tumpuan seluruh dunia itu.

“Habis, kenapa ia dikatakan return to Africa?” kawan yang tidak mudah puas itu bertanya lagi.

“Manalah aku tahu. Aku ni - minat bola pun tidak,”

Setelah berfikir-fikir seketika, sekadar untuk menawarkan jawapan juga…

Agaknya, mungkin terma Return itu sepatutnya diterjemahkan kepada “akhirnya”. Dan bukan di rujuk sebagai “kembali”.

Piala Dunia Akhirnya ke Afrika.

Itu lebih memuaskan hati. Cuma “piala” itu sendiri, aku bet akan “kembali” ke benua Amerika Selatan. Hehe...

Monday, June 28, 2010

Frozen

Pada pendapat peribadi aku, senario yang dibayangkan oleh filem ini tentang tiga orang penunggang ski terkandas di atas chairlift di sebuah pergunungan ketika musim salji, agak mudah untuk diselesaikan. (Ok, aku mengaku yang ketika berhadapan dengan situasi yang ekstrem untuk berfikir secara rasional, otak kita mungkin tidak memberi kerjasama yang sewajarnya). Namun sepanjang filem ini berputar, aku asyik menimbangkan penyelesaian yang boleh mereka ambil untuk membebaskan mereka daripada derita. Sudah tentulah solusi yang aku tawarkan itu lahir ketika aku duduk di kerusi panggung empuk yang selesa walau dingin air-cond terasa menyucuk.

Sama juga seperti Black Water mengenai beberapa pelancong terkontang-kanting akibat di tinggalkan bot dalam satu kawasan paya bakau yang di huni buaya ganas. Idea yang membabitkan manusia berhadapan dengan kesukaran alam agak mudah untuk menjana kengerian kerana paranoia di asak secara dua penjuru melalui keterasingan serta bahaya yang menanti. Sesuatu yang tidak pasti akan menimbulkan traumanya tersendiri. Jadi senang untuk meraih simpati penonton dan berseronok dengan ketakutan yang menimpa mereka.

Masuk-masuk saja di panggung, dah start rupa-rupanya. Adegan si gadis bernama Parker sedang tawar-menawar dengan pekerja chairlift ski dalam satu urusniaga sambil diperhatikan dua jejaka sedang ditayangkan. Apa kata kita terus saja ke bahagian yang mendebarkan dalam filem ini apabila ketiga-tiga mereka terawang-awang di atas kerusi kabel itu akibat suatu kekhilafan. Bermulalah proses mereka ingin melepaskan diri dari tersangkut di situ sedang malam semakin larut dan salji semakin mencurah. Ceritanya mungkin akan jadi lebih ringkas jika tidak diselang-selikan dengan dialog-dialog cukup syarat apa kala mereka sepatutnya melebihkan ikhtiar yang munasabah untuk menyelamatkan nyawa masing-masing.

Walaupun bagi aku Frozen ini tak cukup horror, tapi penerimaan penonton ketika itu sungguh responsif. Mereka turut sama mengaduh kesakitan tatkala adegan terjun tiruk dan ketika serigala datang mengancam tiba-tiba, ramai yang menjerit. Membuatkan filem yang agak lembab dengan pelakon minimum ini menjadi begitu mengujakan juga.

Monday, June 21, 2010

Feel the Wind

Hujung minggu lalu menonton dua buah filem Jepun sempena Japan Film Festival yang diadakan di pawagam gsc. Sebelum masuk ke panggung itu, petugas di depan pintu memberi booklet dan borang soalselidik kepada setiap penonton untuk di isi. Tapi masuk-masuk je dah gelap dalam tu. Nak baca soalan pun tak berapa nampak. Gambar yang disertakan ini pun aku ambil daripada risalah yang mereka hulur. Sebenarnya, aku tak ada membuat apa-apa persediaan berkenaan jenis filem yang bakal aku saksikan. Ikut pada kelapangan dan kesesuaian masa yang ada. Jadi, filem pada malam Ahad lalu yang aku tengok berjudul Feel the Wind.

Mengisahkan tentang seorang remaja lelaki yang di rekrut secara muslihat oleh seorang pelajar senior untuk menyertainya dalam satu acara marathon berprestij dalam kelompok institusi pengajian tinggi di Jepun. Dia di bawa tinggal dalam sebuah asrama sorority yang di huni oleh sekumpulan anak muda pelajar universiti yang berbilang ragam dan personaliti. Variasi perangai dan gaya mereka semua inilah mewarnai hari-hari kehidupan mereka sehinggalah si senior tadi mengumumkan hasratnya untuk menarik mereka menyertai lumba lari marathon berganti-ganti.

Selain remaja tadi yang memang seorang yang lincah di balapan serta senior itu sendiri yang merupakan jaguh lumba lari, seorang lagi geng mereka yang merupakan pelajar asing berkulit hitam turut dilabelkan stereotype sebagai seorang pelari handalan. Jadi ia tiada masalah sepatutnya untuk pasukan mereka sekurang-kurangnya melayakkan diri dalam 10 posisi teratas. Cuma yang menimbulkan drama di sini ialah rakan-rakan lain yang tidak begitu menyerlah dalam berlari selain rupa-rupanya si senior itu juga menghidapi penyakit yang mungkin boleh menggugat peluang mereka.

Sebagai sebuah filem dalam genre sukan, Feel the Wind bagi aku mengisi plotnya dengan baik dan menyampaikannya secara memuaskan. Lagipun jarang dapat tengok filem yang menggambarkan arena lumba lari sebagai tema. Sedikit konflik dan masalah yang di selit dalam ruang cerita mengenai kegigihan para pelajar ini ingin menamatkan perlumbaan marathon turut terbias pada sanubari untuk menerapkan kecekalan yang sama.

Wednesday, June 09, 2010

Pekan Frinjan Edisi ke-12

Malam Ahad yang lalu pergi ke Shah Alam untuk meninjau Pekan Frinjan. Selalu juga ternampak promosi mengenainya dalam blog-blog di sana sini tetapi tidak pernah lagi berkunjung. Oleh kerana terasa lapar pula masa pusing-pusing nak cari Dataran Shah Alam tu, kami pun singgah di kopitiam yang ada wifi. Aku minum ice Malay white coffee. dan makan roti bakar. Rasa kopi putih Melayu tu sungguh sedap. Tidak manis sangat.

Selesai saja bersantai di kopitiam itu, kami pun blah. Masih meneruskan pencarian ke destinasi yang sepatutnya di tuju. Masa ni pun dah pukul sepuluh lebih. Tiba-tiba di kejauhan ternampak kanopi dan perhimpunan manusia di suatu lokasi terbuka. Kami terus yakin di hati bahawa itulah dia Pekan Frinjan yang menjadi sebutan ramai selama ini. Sampai-sampai saja di sana, ada sebuah band sedang buat persembahan.



Kami menjengah ke khemah yang didirikan untuk tengok buku-buku yang ada di jual. Kalau anda biasa pergi Annexe di Pasar Seni, lebih kurang begitulah jenis buku dan bahan bacaan yang diniagakan di sini. Kebanyakannya terbitan sendiri atau buku underground oleh penulis blog atau penulis mapan dengan hasil garapan yang pelbagai daripada politik, agama, sosial, budaya, dan lain-lain lagi. Tapi sebiji buku pun kami tak beli sebab tak ada bajet.

Kemudian ada sebuah lagi kumpulan muzik mengambil giliran membuat persembahan. Band yang menggelarkan diri mereka sebagai Kyoto Protocol itu adalah sangat menepati tema Pekan Frinjan edisi ini iaitu Efek Rumah Hijau. Selepas meluangkan sedikit masa menikmati show mereka, kami pun beredar. Oleh kerana makan roti bakar tidak begitu mengenyangkan, kami singgah makan nasi dengan lauk kambing di satu restoran di Seksyen 7. Pengambilan kalori yang sungguh banyak di malam-malam buta begitu.

Tuesday, June 08, 2010

Awan Mavi

Akhir-akhir ini semakin rancak pula berita berkenaan negara Israel tersebar di dada-dada akhbar tanahair. Paling menarik apabila ia melibatkan Malaysia yang memang tiada hubungan diplomatik dengan negara tersebut. Namun dalam beberapa perkembangan terkini, ia secara tidak langsung turut mengheret kita ke dalam situasi yang tidak mampu untuk di elak lagi itu. Sudah tentulah kita kalau boleh ingin mendapat maklum balas yang lebih konkrit dan jitu daripada sumber-sumber yang dapat diyakini. Tapi apakan daya kalau info yang dihidangkan kebanyakannya ada agenda tersendiri lagi tersembunyi.

- Mula-mula 1Malaysia dikatakan sama dengan 1Israel. Seseorang telah menuduh kerajaan mengaplikasikan konsep 1Malaysia yang digembar-gemburkan sekarang ini sebagai peniruan daripada format 1Israel yang telah terlebih dulu muncul.

- Kemudian dakwaan oleh orang yang sama juga bahawa kerajaan Malaysia melantik Apco Worldwide sebuah firma perhubungan awam antarabangsa bagi tujuan perkhidmatan seranta. Apco dikatakan mempunyai hubungkait dengan negara Israel. Kita boleh mengetahui susulan kes ini apabila orang yang sama itu akan dibicarakan dalam jangkamasa terdekat ini berhubung dakwaan tersebut.

- Paling terbaru dan terhangat ialah apabila sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di tawan dan di soalselidik ibarat pengganas ekoran serbuan komando negara Zionis itu terhadap kapal Mavi Marmara di peraiaran antarabangsa. Seramai sembilan orang aktivis terkorban dalam serangan yang keji lagi terkutuk pada 31 Mei lalu.

- Manakala menurut akhbar The Sun semalam, kapal dagang Israel rupa-rupanya sudah berlabuh dan berurusniaga dengan Malaysia sejak dari tahun 1998 lagi. Kapal kepunyaan Gold Star Lines, sebuah subsidiari daripada syarikat milik negara itu, Zim Lines, telah secara berleluasa menggunakan khidmat pelabuhan di tanahair kita termasuklah di Port Klang.

Namun untuk menyejukkan sikit emosi masyarakat Islam di negara ini yang memang tidak sanggup berkompromi dengan sebarang anasir yang melibatkan regim Zionis itu apabila kerajaan kita turut mengecam serangan tidak berperikemanusiaan itu dengan menghantar nota bantahan antarabangsa kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terhadap serbuan ganas Israel ke atas kapal Mavi Marmara sehingga membawa korban dan mencederakan puluhan aktivis pro-Palestin yang lain.

Malah ada juga rakyat Malaysia yang mengambil langkah untuk membakar bendera Israel di depan bangunan UN di Damansara untuk menunjukkan protes mereka. Selain itu ada sebuah pertubuhan turut bertindak lebih ekstrem dengan membakar patung perdana menteri negara itu kerana terlalu marah dan geram dengan apa yang telah terjadi di atas kapal terbabit.

Untuk itu kita boleh mengucapkan Alhamdulillah dan syabas kepada kerajaan kita di atas keprihatinan mereka kepada saudara-saudara seIslam kita di Palestin sana.