Friday, May 25, 2007

Kembali Bersiaran

Tak ada idea nak tulis apa dan aku yang tengah sakit-sakit sekarang ni lalu sesetengah agenda tergendala. Alhamdulillah sekarang ini beransur pulih. Tapi ubatnya harus masih perlu di ambil juga. Bukan aku seorang yang tak sihat, rakan rumah dan teman tempat kerja juga ada di landa wabak.

Paling akhir menonton wayang ialah cerita Spiderman 3. Bagi aku, ia layak dengan biaya yang melampaui kos biasa untuk terbitkan filem kerana hasilnya dari aspek aksi komputer memang nampak hidup. Sandman dan Venom itu meyakinkanku bahawa kewujudan mereka tidak kelihatan kartun walau Goblin Jr lebih ketara seperti manusia watak jahat yang menunggang mobil udara. Dengan gajet senjata dan segalanya, tentu ia seteru lelaki labah-labah paling ampuh.



Manakala bagi sesi menonton sinema di kaca tv pula, aku terpapas dengan sebuah filem Iran di Kirana dua atau tiga minggu lepas. Oleh kerana aku tidak tengok daripada awal maka aku terpaksa surf internet untuk dapatkan maklumat tentangnya. Tajuknya ialah Beautiful City atau Shah-re Ziba yang aku fikir ia sebuah filem tema cinta yang sangat menyentuh hati dari negara ini. Tapi tentulah cara cinta dan perasaan sayang itu tidak didedahkan cliche seperti filem barat malah filem tempatan sendiri.

Kisahnya seorang perempuan yang hidup bersama anak kecilnya dan bekerja di kilang kain dengan adik lelakinya sedang merengkok dalam penjara menanti hukuman mati. Seorang rakan sepenjara adiknya yang baru dibebaskan bersimpati dengan nasib wanita itu lalu dia memberi harapan bahawa dia boleh mencari jalan supaya adiknya dapat dibebaskan. Adiknya di hukum kerana kesalahan membunuh anak perempuan kepada sepasang suami-isteri di kawasan berhampiran.

Caranya mengikut undang-undang dia mesti memohon pengampunan daripada pihak keluarga tersebut serta melunaskan sejumlah bayaran kepada mereka di atas kesalahan yang adik wanita itu disabitkan. Dalam proses inilah terbitnya perasaan cinta tidak terluah di samping timbul konflik dengan keluarga si mangsa serta dilema yang masing-masing hadapi ekoran masalah yang melanda. Tapi mereka tempuhi itu semua dengan tenang walaupun ada kecoh sikit-sikit tapi kelihatannya mereka tidak terlihat penasaran yang terlalu.

Apa yang seronoknya, penamat itu dibiarkan tergantung tanpa kita diberi penjelasan atau harapan pada siapa masa depan yang lebih baik memihak. Tidak dapat tidak, semasa menonton itu hati turut merasa ghalau dengan rencana hidup yang melingkungi. Kalau berpeluang, aku kepingin untuk menonton filem ini daripada awal supaya ia lebih menjelaskan lagi apa yang terjadi sebermula. Pokoknya, filem Iran ini memang bisa membekas.

Friday, May 11, 2007

Tontonlah Sumolah

Filem ini mengandungi nuansa Asia yang bercita-cita untuk menjana minat antarabangsa. Inilah yang di panggil glokal agaknya. Afdlin ada matlamatnya dan kita ada pilihan masing-masing jika tidak mahu mengikut laluan yang dirintisnya. Tetapi berilah peluang kepada filem ini jika berkesempatan kerana pengkaryanya sudah melakukan sehabis daya mempromosikan walaupun tentu kita berharap ia berbaloi dengan hype yang tersebar. Namun ia tidaklah mengecewakan juga.

Aku ada mention perkataan “promosi” dalam perenggan di atas bukan?

Strategi dalam memakai pelakon terkenal Thailand dan Singapura untuk filem ini jelasnya bagi memancing penonton dari negara asal mereka. Sekadar cadangan, kenapa tidak bentukkan supaya karektor itu benar-benar dari sana supaya tidak kelihatan terlalu kekok lebih-lebih lagi Inthira Chareonpura yang nampak tidak sebati dalam persekitaran. Sepanjang adegan yang melibatkan beliau, aku asyik berfikir tentang masalah bahasa itu, orang Siam yang kena cakap Melayu, English, Jepun dengan wataknya sendiri satu dimensi dan tidak dikembangkan sebaiknya. Boleh ambil pelakon tempatan saja kalau begitu.

Bagi yang lain seperti Awie, Radhi Khalid, Patrick Teoh, Kartina Aziz dan Afdlin sendiri memainkan peranan yang sederhana tetapi berkesan untuk menghidupkan cerita. Ianya masih ada lawak seperti Baik Punya Cilok atau Buli namun mesejnya mungkin tidak sekuat seperti filem-filem terdahulu. Aku suka dengan naratif yang seakan menjadi trademark untuk filem-filem Afdlin kerana kurang produksi tanahair yang ingin gunakan pendekatan suara latar begini.

Walau ada yang tidak kena dan terdapat lubang di sana-sini, Sumolah ada iltizam yang ingin di sahut. Satu yang aku boleh lihat tentang filem ini ialah ingin mengajak kita mencontohi orang Jepun yang sentiasa berbangga dengan budaya mereka, makanan dan sukan mereka. Kita sendiri, masyarakat nusantara ada identiti dan kelebihan juga. Mungkin Afdlin boleh menggali dan mencetuskan idea dari situ untuk mengembangnya menjadi sebuah kisah tentang jati diri bangsa serumpun pula.


Terima kasih kepada Gaia dan AyuG di atas tiket menonton preview Sumolah di KLCC, Rabu lepas.

Wednesday, May 09, 2007

Kudaku Lari Gagah Berani

Filem tentang binatang kadang-kadang sedap juga di tonton. Aku rasa dalam banyak-banyak haiwan yang wujud di muka bumi ni, antara yang selalu enterframe ialah anjing, ikan, kucing, tikus, khinzir, naga dan lain-lain. Baru-baru ni aku menonton sebuah dvd yang menampilkan kuda sebagai temanya. Subplotnya pula ialah tentang kekeluargaan. Sebuah filem sesuai untuk petang hujung minggu yang damai.

Ia berdasarkan novel bertajuk “My Friend Flicka” tetapi untuk versi filem ini ia menjadi Flicka saja. Seekor kuda liar yang di lihat ada potensi untuk dijinakkan – itulah yang bermain di benak Katy (lakonan Alison Lohman) setelah dia terselamat dari serangan seekor “singa” disebabkan oleh bantuan Flicka yang menghalau binatang buas itu. (Aku tak tahu kenapa ia di panggil lion/singa. Haiwan itu nampak macam harimau kumbang atau puma). Namun bapanya Rob (Tim McGraw) tidak bersetuju lalu memutuskan untuk menjual kuda itu kepada pihak lain.

Kita menyedari Flicka dan Katy ada persamaan yang cuba dilampiaskan menerusi tindakan agresif mereka melalui naluri masing-masing. Seperti kuda itu yang tidak mahu di kawal, Katy juga ada pemikirannya sendiri dan dia boleh bertanggungjawab di atas apa saja keputusan yang di ambil. Walaupun ada kalanya dia nampak seperti teragak-agak dan tidak pasti. Namun dalam masa yang sama dia masih memerlukan sokongan tetapi tidak mahu dikuasai. Ia adalah emansipasi jantina itu terutama dalam satu bidang yang zahirnya di beri gambaran dunia penuh lasak, mencabar dan menuntut keperkasaan.

Sebaliknya abang dia sendiri Howard (Ryan Kwanten) yang di harap bapa mereka untuk meneruskan tradisi kerja-kerja gembala kuda tidak berminat untuk mengembangkan legasi tersebut. Justeru dia menganjurkan pula kepada orang tua mereka bahawa Katy yang lebih layak malah lebih bersemangat koboi daripadanya untuk bekerja di situ. Ada satu adegan yang mengukuhkan kenyataan ini apabila adiknya sanggup menyamar jadi lelaki semata-mata untuk menyertai acara menunggang kuda liar. Sebagai ibu bapa yang konservatif tentu ini bukan satu benda mudah.

Filem ini tentang coming of age yang menyentuh pertalian antara manusia dan haiwan. Antara generasi muda dan orang tua. Antara menurut laluan sedia ada atau mencipta haluan sendiri. Antara mengikut tradisi atau memecahkannya supaya menjadi lebih konkrit dan berdaya maju lalu dalam masa yang sama warisan tidak terkubur cuma ia beralih konsep. Ia seperti pola yang terjadi dalam mana-mana demografik di dunia hari ini yang beranjak dan mengalami perubahan kerana tuntutan zaman. Seperti dalam bait-bait esei yang Katy cuba siapkan untuk kerja sekolahnya mengenai tafsirannya tentang “How the west was won...”. Atau barat itu sebenarnya tidak pernah menang.

Satu hal yang pelik dalam filem ini ialah dua beradik tersebut hubungan mereka ditampilkan seperti terlalu mesra untuk adik perempuan dan abang sendiri. Ia terlebih ekspresi. Manakala Tim McGraw aku rasa tidak sesuai berlakon sebab sifat bapa yang tegas seakan tidak nampak terzahir pada wajahnya. Mungkin dia patut biarkan muka dia dengan goatee supaya kelihatan lebih keras. Maria Bello yang menjadi emak walaupun biasa saja tetapi ok lah, dengan watak ibu penyayang dan memahami. Dan, Flicka sebagai kuda .... err.... memang menjadi watak kudanya itu.....hehhehehe.....