Tuesday, February 22, 2011

The Rite

Sebuah lagi filem dengan subjek menghalau hantu menemui kita. Sebenarnya memang boleh agak sendiri struktur dan perjalanan filem jika ia melibatkan tema exorcism ini. Sudah tentu penonton berharap untuk ditakutkan kerana apabila sudah di rasuk setan, mestilah seram dibuatnya. Ok, kalau anda mengimpikan begitu, ia tidak banyak dihidangkan dalam The Rite. Namun jika anda ingin menambahkan pengetahuan bahawa wujudnya pengajian yang mengkhusus dalam bidang exorcist, satu maklumat baru telah dapat diperolehi.

Itulah kursus yang Michael Kovak lakonan Colin O' Donoghue ceburi setelah disarankan oleh seorang paderi apabila dia ingin berhenti daripada teruskan jurusan sekarang kerana dia semakin hilang pegangan pada anutannya. Ditambah dengan latar belakangnya yang berasal daripada keluarga pengurus jenazah, ia suatu padanan yang tepat. Tetapi beliau nampaknya masih di serang konflik dalaman yang skeptikal dengan semua ini tatkala mengikuti kuliah di Itali yang membawanya bertemu seorang pengamal ritual itu Lucas Trevant (Anthony Hopkins) yang tidak berceramah sebaliknya menunjukkan kejadian sebenar.

Filem ini memang berdasarkan peristiwa sebenar pun yang diadaptasi secara bebas berdasarkan buku karya Matt Baglio dan di arahkan oleh Mikael Håfström. Daripada segi panorama yang gotic dan kelam suram, memang ia berjaya menimbulkan matlamat lahiriahnya untuk cuba menyeramkan. Selebihnya filem ini lebih banyak menyelami situasi Kovak dan mentornya itu yang saling kontras dalam aspek ilmu begini. Namun beberapa imejan serta babak imbas kembali yang kerap terpapar seperti gelang misteri dan keldai bermata merah macam tidak ada penjelasan yang sebati. Sekadar untuk menambahkan unsur suspen yang sememangnya kurang. Malah babak pesakit meracau tidak terlalu ekstrem, sehingga Lucas sendiri menempelak secara sinikal kepada Kovak yang sudah sediakala tidak terkesan itu.

Mereka memang suka mendokumentasikan segala subjek termasuklah alam ghaib ini yang diasaskan pada kepercayaan dan seputar tafsiran yang melingkungi. Begitu gigih nampaknya mereka terapkan konsep pembasmian kuasa jahat yang menjadi popular apabila di dedah meluas dengan bantuan aneka medium. Dalam agama kita pun ada konsep rawatan perubatan Islam juga kan untuk aspek gangguan makhluk halus atau di sampuk ilmu hitam. Malah filem-filem seram kita turut menyelesaikan masalah kepuakaan yang terkandung dalam plot dengan merujuk pada alim ulama. Cuma ia habis setakat itu saja. Filem kita tidak ada pula dijadikan medan menyalur info mengusir hantu setakat ikhtiar termampu oleh insan biasa dengan bantuan pak imam.

Monday, February 21, 2011

American Pickers



Kata peribahasa orang putih, one man’s trash is another man’s treasure. Itulah yang menjadi slogan Mike Wolfe dan Frank Fritz, dalam projek mencari barang-barang yang tidak diperlukan lagi di kediaman dan premis rakyat Amerika dalam American Pickers. Jadi daripada dibiarkan mereput dan tersisih, eloklah ada yang menghargai benda-benda yang difikirkan sudah tiada manafaatnya lagi. Mari sertai mereka berdua mengembara ke serata pelusuk ceruk dalam misi mendapatkan dan memberi hidup baru kepada khazanah usang di History Channel.

Mereka bukanlah mengutip saja-saja barangan tu semua. Sebaliknya mereka memang memiliki syarikat yang berorientasikan urusniaga begitu, Antique Archaeology yang bertapak di Le Claire, Iowa serta diuruskan oleh Danielle Colby-Cushman sementara mereka keluar daerah memburu perkakas atau artifak yang ingin di lupus orang. Apabila berjaya mengenalpasti lokasi yang terdapatnya objek berharga tersebut, maka tawar-menawar pun berlaku dengan tuan empunya. Apabila harga yang disepakati tercapai, barang itu pun bertukar tangan. Tapi ada satu episod aku tengok, diorang dapat percuma saja sejenis barang tu. Tak silap aku kepingan papan tanda.

Padahal kalau ikut pada nilai yang mereka taksirkan, mahal juga papan billboard itu jika di jual semula. Pada skrin tv, penonton di rumah dapat melihat kira-kira berapa keuntungan yang Mike dan Frank perolehi daripada transaksi yang dijalankan. Memang banyaklah benda-benda lapuk dan kuno yang mereka jumpa dan terokai sepanjang mengendalikan bisnes ini. Sampai ada yang tidak dapat dikenalpasti apakah jenis produknya itu. Masing-masing terkesima apabila terpapas barangan yang aneh atau kelakar fungsinya hingga tak terkata.

Memang menariklah kerjaya diorang ni. Menggeledah stor, bangunan atau hartanah individu yang mengizinkan mereka menyelongkar dan menyiasat setiap sudut dan rongga di premis itu untuk mengecam dan mengutip beberapa objek yang mereka andaikan memiliki nilai dan prospek tertentu yang boleh mendatangkan pulangan berbaloi. Masa kecil dahulu aku pernah juga menyelinap ke rumah lama tinggalan arwah datuk yang tidak lagi diduduki. Ternampak beberapa perabot lama yang terbiar begitu saja walhal masih elok membuatkan aku rasa ingin membawanya pulang. Tapi bapa pula tak bagi. Maka terbantutlah potensi aku menjadi “picker” ni.

Thursday, February 17, 2011

Majalah Lama di Buang Jangan

Kitar semula amatlah digalakkan. Rumah aku memang banyak suratkhabar lama. Terlampau banyak sampai bila di susun dah nak kena siling. Nak kena tunggu apek old newspaper berkunjung ke kawasan flet ni untuk di jual. Selalunya dia datang hujung minggu saja. Kali ni awal pula dia datang.

Housemate aku yang kebetulan dah balik dan ternampak apek itu, terus memulakan operasi menjual akhbar-akhbar lama tu. Bukan setakat suratkhabar yang dia jual. Sampai majalah lama pun dia jual sekali.

Adoi.

Majalah yang aku suka macam First dan Sentiasa Manja, yang sudah tidak ada di pasaran lagi sekarang, habis dilelongnya pada apek tua. Sayang juga rasanya. Tapi duit hasil jualan dia bagi kat aku. Walaupun berbulu rasa di hati, aku terima saja duit berbaur ralat dan rengsa.

Tapi aku tak adalah marah dekat housemate aku tu. Dia tidak tahu yang majalah-majalah lama begitu masih bernilai dan aku suka mengulang baca jika buntu idea dan ingin mendapatkan maklumat tertentu, terutama bagi tujuan catatan dalam blog ini. Ya, aku tahu internet ada tapi menatap bahan bacaan berbentuk glossy ini estetikanya terasa lain.

Masih ada beberapa lagi naskhah yang dia belum buang. Jadi aku selamatkan khazanah berharga itu dan kumpulkan dalam bilik. Kalau anda terlihat di mana-mana orang menjual majalah terpakai bertajuk First atau Sentiasa Manja, itu mungkin yang didapati daripada koleksi aku.


My precious...

Monday, February 14, 2011

Perkara Termanis

Aku tak tahu sejak bila Astro Ria dan Prima mulakan polisi menayangkan filem-filem popular barat di saluran itu. Macam sudah tidak cukup bekalan program tempatan atau berbahasa Melayu untuk memenuhi slot di sana. Lagipun sejak mereka tubuhkan pakej Mustika ini, maka bertambah banyaklah produk dan rancangan yang diperlukan untuk penuhkan jadual semua stesyen itu. Jadi jalan penyelesaiannya, mungkin mereka terpaksa pasang filem Hollywood yang boleh diperolehi secara murah dan pukal.

Hey, oleh kerana ini untuk siaran saluran BM, apa kata kita alihsuarakan filem-filem tu ke dalam bahasa Melayu?! Barulah kena kan?

Err… tak jugak.

Contohnya filem The Sweetest Thing yang Ria tayangkan semalam. Sudah di jangka ia akan di cincang teruk, keluar pula Cameron Diaz cakap Melayu, haha… tak boleh blah. Aku asyik ketawa je. Ok, memang itu cerita kelakar pun. Tapi aku gelak lebih kerana dengar dialog-dialog terjemahan yang sungguh skima dan tertib. Adakalanya langsung suara pelakon terpaksa disenyapkan sebab skrip asal yang lucah dan celupar. Agaknya para pengalih bahasa tu pun tak tahu nak ganti dengan ayat sesuai apa?

Padahal bahasa Melayu juga tidak kurang kaya dengan perkataan dan frasa-frasa mencarut dan menyumpah yang boleh digunapakai. Tak pun guna saja ayat-ayat simbolik atau kod-kod rahsia bagi menyampaikan maksudnya. Jadi tak adalah kita terpinga-pinga apabila Cameron dan Christina Applegate tiba-tiba bisu sedangkan gerak mulut dan aksi tangan mereka sedang melakukan sesuatu! Haha…


Muahhhahaha.... lawak sangat, sampai I nak tercirit!

Saturday, February 12, 2011

Layar Perak Sinar - The Green Hornet

Di stesyen Sinarfm ada segmen Layar Perak Sinar yang didjkan oleh Jamal Jamaluddin. Filem terbaru yang aku dengar semasa mengikutinya, beliau mengulas The Green Hornet. Mula-mula beliau bacakan sinopsisnya, disusuli dengan pandangan peribadinya tentang filem tersebut dan beliau turut menyentuh tentang goof – kesilapan atau sesuatu yang tidak kena boleh di kesan berlaku dalam perjalanan filem terbabit. Untuk ratingnya pula, Jamal memberi 3 popcorn kepada filem ini yang padaku agak baik sebab beliau dengarnya macam tak berapa impress dengannya terutama watak hero itu yang lebih ringan dan lawak serta aksi-aksi lasak yang biasa.

Jamal juga menyelitkan pengalamannya menonton siri tv The Green Hornet semasa beliau kecil dulu yang dilakonkan oleh Van Williams dan Bruce Lee. Aku pula memang tak tahu langsung wujudnya watak superhero yang pada mulanya berasal daripada siri drama radio ini. Cuma aku terkeliru dengan sebuah lagi filem bercorak wira penyelamat juga dengan tajuk hijau iaitu Green Lantern yang turut keluar pada tahun ini.

Aku suka dengan filem ini sebab ia tidak menawarkan lelaki maskulin penuh sasa dan tertampal “adiwira” di dadanya, tetapi ia dijelmakan secara kekok, lucu namun munasabah oleh Seth Rogen. Satu lagi sebab aku teringin melihat debut Jay Chou di Hollywood. Memang dia perlu bebahasa Inggeris dengan lebih meyakinkan lagi. Sudah tentu alasan terakhir aku sukakan superhero tebuan hijau ini kerana ia diarahkan oleh Michel Gondry. Siapa sangka kan?

Jika Layar Perak Sinar memberi goof, aku akan mengemukakan trivia filem ini, sumber imdb. Tahukah anda, watak penjahat Chudnofsky yang dilakonkan oleh Christoph Waltz, sebenarnya mula-mula ingin dijayakan oleh Nicholas Cage. Tetapi beliau nak bawakan karektor itu dengan dialek Jamaica yang kurang disenangi oleh Gondry. Jay Chou pula mendapat tempat dalam filem ini setelah mengadakan sidang video dengan Rogen. Studio di sana langsung tiada idea bahawa Chou adalah satu nama besar di Asia sehinggalah saat-saat dia mendapat projek itu.

Thursday, February 03, 2011

Dhobi Ghat

“Sebijik lagu pun tak ada,” komplen seorang penonton perempuan tatkala usai filem. Aku yang kebetulan tengah turun tangga terdengar dia berkata begitu apabila lalu di sebelahnya.

Tak ada lagu, bukan satu masalah buatku. Asalkan aku suka ceritanya. Lagipun jarang sangat filem Hindi atau mana-mana filem dari India yang mahu melanggar tradisi mereka menyuguhkan tarian dan muzik ibarat fiesta sebagai elemen wajib. Tapi aku tahu bahawa studio besar di sana memang perlu memenuhi selera masyarakat sendiri yang inginkan sumber berfantasi dalam seluloid. Sudah pastilah Dhobi Ghat tidak dapat menawarkan eskapism seperti penonton tipikal harapkan kerana ia lebih berpijak di alam nyata.

Sebenarnya aku lebih tertarik dengan tajuk filem ini yang seakan-akan berbunyi Dhoby Ghaut, sebuah stesyen mrt di Singapura yang sepatutnya aku turun untuk ke pawagam Picturehouse. Ia seolah-olah menepati pula kerana Picturehouse yang menjadi pusat tayangan filem-filem seni, asing dan kecil namun sarat pengertian, terdapatnya sebuah judul sempena stesyen yang kebetulan merupakan lokasi bagi produksi sedemikian. Seperti mana perkataan dobi yang anda sedia maklum maknanya, itulah inti cerita ini mengenai seorang pemuda pembasuh kain yang memautkan potongan-potongan cerita yang terpisah antara empat karektor pusat yang memiliki kisah tersendiri. Hanya wanita dalam kamera video yang menjadi bahan obsesi lelaki pelukis itu saja yang tiada kaitan terus dengannya.

Malah rakaman video itu juga yang menjadi awalan filem ini namun ia tidak bersegera dijelaskan seolah-olah kita dibiarkan menikmati suasana Mumbai dan warganya perlahan-lahan sebelum di pacu arus kota yang tidak pernah kasihan. Menabalkan bandar itu sebagai nadi dan inspirasi kepada kehidupan variasi kelompok yang menyedut udaranya dan bernafas dalam aneka relung emosi, menjadikan Dhobi Ghat sangat menyentuh garisah. Filem yang meneroka realisme sosial dalam serabut kumal tapi artistik sebuah bandaraya yang cuba di beri perspektif sejujur mungkin.