Sunday, March 28, 2010

Brothers

Filem ini boleh menjadi antara filem yang agak susah aku nak tengok di panggung. Ada saja halangan atau protes yang merintang dalam pada aku nak pergi tengok tu. Setelah bersusah-payah merancang masa dan kemudahan, aku pun melapangkan diri keluar menonton. Dulu ada pernah sekali pergi situ, ada ke penjual tiket tu cakap, filem tu tidak dapat disiarkan sebab tak ada orang nak tengok. Aku pun pelik kenapa dia cakap macam tu.Padahal aku datang nak beli tiket ni. Mungkin protokol sinema itu yang hanya menayangkan filem jika ada lebih dari seorang penonton, baru dia akan siar.

Setelah aku berjaya menonton Brothers semalam, maka verdictnya?

Aku terlebih dahulu telah mendapat gambaran awal mengenai ceritanya melalui Behind the Scene di kaca tv. Namun dengan maklumat yang begitu minimum, tidak banyak spoiler yang terdedah sebelum aku menontonnya sendiri. Dengan sekian banyak filem yang mengaplikasikan perang di timur tengah itu sebagai subjek, kemunculan Brothers boleh dikatakan membawa sedikit sisi yang berbeza daripada The Hurt Locker atau Body of Lies yang lebih banyak menjurus kepada aksi di tengah medan pertempuran (walaupun tidak semestinya sedang berperang) dengan mengimbangi kepada suasana mereka yang terlibat secara tidak langsung dengan kekacauan tersebut.

Tragedi menimpa keluarga Cahill apabila mereka menerima berita bahawa Captain Sam (Tobey Maguire) dilaporkan terbunuh di Afghanistan apabila helikopter yang dinaiki pasukan beliau di tembak musuh. Semangat mereka semua bagai di rentap terutama Grace (Natalie Portman) isterinya serta dua anak perempuan comelnya yang keletah lebih-lebih lagi si sulung, Isabelle (Bailee Madison) yang memang terasa kehilangan bapa di saat-saat dia memerlukan. Namun mereka mendapat sokongan moral daripada ibu bapa Sam serta adiknya Tommy (Jake Gyllenhaal), yang merupakan bekas banduan tetapi bagai di jentik setelah pemergian abangnya itu bahawa dia perlu berbakti kepada keluarga malang tersebut sebagai menebus hidupnya yang banyak disia-siakan selama ini dengan kegiatan jenayah.

Aspek yang sangat berkesan dalam filem ini adalah dari segi lakonan, Tobey secara khususnya yang cuba lari daripada imej adiwira komik kepada satu watak hero yang lebih nyata dan kacau jiwanya. Cuma naratif Brothers yang terlalu berterus terang dan tidak menyembunyikan suspen agak anti-klimaks. Malah penamatnya juga sealiran filem-filem Hollywood biasa walaupun tidaklah juga happy ending. Mungkin kerana ia meminjam secara jujur versi asalnya daripada filem Denmark, Brødre di dalam adaptasi ini.

Thursday, March 25, 2010

How To Train Your Dragon - 3D

Mula-mula aku macam tak bersetuju apabila seorang kawan mengesyorkan kami menonton filem ini secara 3D. Sebab utama adalah mahal. Dan aku tak pasti sama ada berbaloi untuk menontonnya secara format tersebut untuk setakat cerita yang begini. Lagipun strategi panggung sekarang yang menayangkan versi 3D dahulu sebelum salinan normalnya keluar adalah sedikit menjengkelkan, contohnya Alice in Wonderland. Aku rasa kalau Avatar, mungkin ia wajar dinikmati secara begitu disebabkan matlamatnya yang memfokuskan pada special effects berbanding jalan cerita.

Bukanlah bermaksud How To Train Your Dragon ni ada kisah yang terlalu bagus dan tidak pernah kita temui sebelum ini. Ceritanya masih baik malah ia turut menyentuh hati apabila seorang anak muda daripada keturunan Viking yang terkenal ganas, kental dan gasar sifatnya tiba-tiba tidak mampu untuk mencederakan seekor naga yang menyerang kampung mereka di atas karektornya yang sangat berbeza. Namun dia turut berusaha dan gigih melawan kerapuhan naluri sendiri untuk membuktikan kemachoan serta kemampuannya untuk memusnahkan raksasa mulut berapi tersebut terutamanya demi meyakinkan bapanya yang sangat lelaki alfa serta supaya dia tidak lagi di pandang pelik oleh komunitinya.

Sebagai seorang yang virgin daripada segi tontonan secara 3D ini, aku boleh sebut wow! selepas menyaksikannya. Memang menakjubkan dan luar biasa sungguh pengalaman kali pertama melihat skrin kelihatan hidup dan kita seakan bersama-sama mengalami peristiwa penduduk desa itu di serang naga serta mengendali haiwan itu terbang buat pertama kalinya. Maaflah aku kurang sikit dari segi perbendaharaan kata untuk aspek-aspek teknikal ni, tapi aku boleh gerenti yang ia masih dapat mengagumi anda walaupun sebelum ini juga anda pernah menyaksikan filem-filem lain dalam format tiga dimensi ini.

Beberapa tips yang aku boleh kongsi sebelum anda putuskan untuk menghabiskan duit menengok filem 3D:

1. Pilih filem animasi atau cerita yang durasinya tidak begitu panjang jika anda first timer dan anda tidak pasti bagaimana tahap penerimaan anda untuk menonton filem berbentuk 3D ini.

2. Jika anda bercermin mata, pakai kanta lekap untuk mengelakkan penggunaan dua bingkai yang sangat mengganggu di atas hidung.

3. Tapi, kalau masih juga nak pakai kaca mata, sediakan klip kertas untuk mengepit tangkainya sebab cermin mata 3D tu kadang-kadang grip dia tak kuat untuk di sangkut depan spek mata biasa.

4. Sediakan minyak angin, manalah tahu anda sakit kepala masa menonton tu. Ada kawan aku cerita dia pening kepala tengok movie 3D ni.

5. Seperti biasa pilih tempat duduk yang aras belakang atau tengah. Aku tak tahulah kalau filem biasa pun aku boleh sakit tengkuk duduk baris depan, ini kan pulak movie 3D. Bukan setakat leher saja sakit nanti, dengan visual yang sampai terkeluar daripada skrin, ia dikhuatiri tambah merengsakan badan.

Friday, March 19, 2010

Nine

Rasanya, untuk aku menghargai filem muzikal yang baik, lagu-lagunya kena meninggalkan impak. Atau boleh terngiang-ngiang buat beberapa ketika sebelum perlina di serap bunyi-bunyian lain yang lebih berkuasa. Untuk Nine, lagu Cinema Italiano oleh Kate Hudson dan Be Italian oleh Fergie agak mesra telinga dengan kareografi yang setanding dan menghiburkan maka aku dapat menghayatinya. Kebanyakan dalam tempoh tayangan kita akan dipuaskan oleh aksi dan gaya beberapa selebriti wanita ternama ini yang meliuk manja serta menawarkan lengguk berahi yang rakus menakluk pancaindera lelaki.

Secara kasarnya memang itu yang berlaku sepanjang filem yang mengambil era 60-an di Itali mengenai seorang pengarah ternama, Guido Contini (Daniel Day-Lewis) yang nampaknya dengan mudah boleh menawan hati ramai jelitawan. Jadi ia agak tidak selesa apabila filem dengan rating PG13 ini menonjolkan terlalu banyak adegan sensual atau tone yang senada dengannya serta pertimbangan moral yang tidak masuk akal contohnya apabila suami Carla (Penelope Cruz) kelihatan boleh bertoleransi dengan Guido yang terang-terang ada jalinkan hubungan sulit dengan isterinya itu. Tetapi mungkin itu tiada masalah besar kerana budak-budak pasti boring dengan filem genre ini, sedangkan kawan sepejabat aku pun boleh keluar panggung tengok separuh jalan saja.

Aku pernah melihat Marion Cotillard dalam Le Vie En Rose walaupun agak azab nak menghabiskan dvd tu dulu. Kali ini persembahan beliau lebih mudah di terima dan bergaul cantik dalam aspek penceritaannya sebagai isteri yang murni cintanya dikhianati oleh si suami yang hidung belang. Malah ia meluahkan itu semua secara sepenuh jiwa menerusi lagu dengan lirik yang tidak puitis langsung bertajuk “My Husband Makes Movies”. Ya, bersesuaian dengan bidangnya membikin filem, Guido kali ini sedang dalam proses untuk menghasilkan filem terbaru tetapi malangnya dia mengalami writer’s block. Satu muka surat skrip pun dia belum dapat mulakan. Berbaur dengan pertaliannya bersama sekian banyak wanita sama ada berunsur asmara atau platonik serta kebuntuannya dalam proses kreatif, itulah yang Nine sajikan kepada kita dalam bentuk muzikal.

Aku tidak menyaksikan Chicago yang turut diarahkan oleh Rob Marshall yang sangat menakjubkan sehingga merangkul Oskar filem terbaik. Cuma filem ini yang didasarkan daripada versi broadwaynya pernah mendapat anugerah teater terbaik. Tidak tahulah apa kurangnya untuk produksinya ini sehingga di kritik kurang memberangsangkan oleh peminat.

Wednesday, March 17, 2010

Sri Mersing - Teater

Aku dah ingat-ingat lupa jalan cerita Sri Mersing ni. Cuma yang paling berbekas di kepala ini, tentulah ungkapan keramat yang dituturkan Damak tatkala pemuda itu ingin membawa diri keluar dari Mersing setelah berlaku pergeseran di tempat tersebut. Malah sebelum persembahan dimulakan lagi para penonton sudah di giat oleh rangkapan kata yang paling diingati dalam dunia perfileman Melayu itu apabila dipancarkan pada layar. Maka bersedialah untuk kembali mengimbas nostalgia menyaksikan sebuah drama tragedi secara nyata di depan mata melalui pementasan di Istana Budaya.

Setelah beberapa ketika para pelakon itu memainkan karektor mereka, baru aku perasan yang teater Sri Mersing ini menggabungkan antara versi filemnya dan sambungannya menerusi siri drama Tragedi Sri Mersing. Aku pernah tengok masa kecil-kecil dahulu. Tetapi menurut artikel yang aku baca selepas pulang dari sana, ia telah diubahsuai serba-sedikit untuk membuatkan ia lebih kemas dan menambahkan kesegarannya tanpa memusnahkan jiwa asal ceritanya yang telah sedia sebati dalam epistemologi masyarakat. Bagi yang tidak pernah tahu atau sudah terlupus ingatan tentang kisah tragis yang berlatarkan sebuah daerah di negeri Johor itu, bolehlah mendapatkan tiket untuk menghayati nashkah yang sungguh dramatik ini.

Dibarisi pemeran-pemeran handalan yang biasa di lihat aksi mereka di tv seperti Adi Putra, Elly Mazlein, Azizah Mahzan, Rushdi Ramli, Abu Bakar Juah, A. Galak, Leez Rosli, Melissa Saila, kumpulan Sepah dan ramai lagi, bagiku mereka semua telah menampilkan gerak gaya lakonan bersesuaian dan setimpal dalam sebuah teater yang bernuansa purbawara. Begitu juga dengan rekaan set, tatacahaya dan skor muzik iringan yang klasik begitu melengkapi dengan jayanya akan cerita yang ingin diketengahkan. Ia bukan setakat mempertaruhkan episod filem yang pernah di sanjung ramai setakat untuk memancing peminat, malah ia dipersembahkan dengan penuh perasaan, terselia, berhati-hati dan di garap dengan berkesan untuk mengawal penonton supaya terus terpempan dengannya.

Aku tidak tahu sama ada kisah cinta seorang gadis di Mersing kepada pemuda perantau dari Pahang itu adalah berdasarkan mana-mana legenda atau hikayat setempat. Aku cuba juga cari maklumat tambahan tentang itu tapi setakat yang terjumpa ia merupakan karya Salleh Ghani, seorang artis dan pengarah yang terkenal pada tahun-tahun 50 dan 60-an. Namun cerita cinta lara dan tidak kesampaian begini memang berlaku setiap masa pun dan tetap akan menjadi buah mulut orang biar zaman beredar atau tempat bertukar.

Untuk reviu lebih komprehensif, sila lawati blog ajami.

Monday, March 15, 2010

Solomon Kane

James Purefoy bukanlah satu nama besar yang senang kita dapat kaitkan sesuatu dengannya atau boleh menjadi trade-mark kepada produk tertentu. Malah kemunculan beliau selama ini lebih kepada sampingan atau watak pembantu saja. Aku pun rasanya baru terpapas lakonan beliau lewat Resident Evil pertama dan tv siri Rome. Kali ini beliau berpeluang meluaskan portfolio kepada khalayak dengan memegang tampuk utama sebagai anak terbuang menerusi filem berkonsepkan puritan horror fantasi dalam Solomon Kane.

Di angkat daripada komik karya pencipta karektor Conan, filem ini bermula dengan segerombolan lanun menyerang sebuah kapal untuk menjarah harta karun. Namun di sana mereka di perangkap pula oleh suatu kuasa jahat terutama ketua mereka Solomon Kane yang di seru supaya mengorbankan jiwa kejamnya kepada lembaga misterius itu agar bersekutu dengannya. Tetapi walaupun dia sendiri seorang yang zalim, tidak pula dia mahu bersekongkol dengan syaitan tersebut, sebaliknya dia insaf dan tekad untuk meninggalkan aktiviti kejinya dengan kembali ke tanah besar England dan menyucikan diri di biara.

Ada beberapa adegan imbas kembali di tunjukkan dalam relung cerita supaya kita mengenal serba-sedikit hikayat masa kecilnya yang berbalah dengan bapa sendiri yang melebihkan abangnya sehingga dia meninggalkan rumah dan jauh berkelana. Oleh kerana filem era medieval ini yang kaya tahyul dan sihir, plot yang melibatkan adegan itu agak menarik juga apabila bapanya membuat perjanjian angker demi untuk memulihkan satu keadaan getir yang melibatkan abang Solomon dan ianya hadir dengan syarat-syarat tertentu of course. Dan pada penghujung harinya, mereka semua mesti berharap pada anti-hero ini untuk mengawal suasana dan memulihkan kesadisan bertukar menjadi sejahtera.

Jika kamu berminat dengan Merlin (cuma dalam versi lebih ganas dan merbahaya) mungkin boleh beralih selera dengan ini. Well, tak adalah serupa mana pun, hanya setakat muncul dalam era yang lebih kurang sama dan berkongsi persekitarannya.

Friday, March 12, 2010

Up In the Air

Ada persamaan tema antara cerita ini dengan filem yang aku ulas di bawah. Ya, kedua-duanya melibatkan bepergian dan singgah di tempat orang. Walaupun tujuan transit di satu-satu lokasi itu berbeza antara kedua senario ini, ia masih melibatkan konsep dan struktur yang serupa. Cuma Up in the Air menggunakan perkhidmatan udara secara lebih ekstensif dengan tujuan yang bukan main-main serta itenerari yang menjurus dan spesifik. Hidup rupa-rupanya tidak indah apabila perlu terlalu kerap di udara.

“Above Us Only Sky” berbunyi slogan pada t-shirt yang seorang atheist pakai seperti yang pernah diceritakan oleh kawanku. Begitu juga dengan Ryan Bingham yang menghabiskan sebahagian besar masanya dengan berada di “langit” kerana dia perlu terbang ke sana ke mari memecat orang di merata syarikat di pelusuk Amerika. Aku mengaku yang kerier seperti peranan dimainkan oleh George Clooney ini tidak pernah aku tahu kewujudannya. Dia kelihatan seperti begitu berkuasa sekaligus menggerunkan kerana apabila dia turun ke bumi bertemu hamba sahaya, dia mengutuskan berita yang perit bagi mereka. Namun dia juga masih ada perikemanusiaannya apabila turut menawarkan alternatif kepada individu yang di buang kerja tersebut untuk merancang masa depan selepas dilepaskan jawatan melalui risalah yang disertakannya.

Tetapi nasib Ryan yang bagaikan dewa itu seakan tergugat dengan kemunculan Natalie (Anna Kendrick) yang mengesyorkan idea lebih praktikal dan canggih di dalam zaman ekonomi meleset serta capaian IT lebih efisien, jadi bos mana yang tidak tertarik untuk menjimatkan kos? Menebak risiko kerjayanya sendiri mungkin dalam bahaya, Ryan menangkis keberkesanan proposal Natalie dengan membayangkan beberapa potensi yang merisaukan daripada cadangan tersebut kerana skop kerja seperti itu sangat memerlukan hubungan dua hala insani. Lagipun ia melibatkan kehilangan sumber mata pencarian yang tentunya menyentap emosi manusia yang halus dan kompleks.

Up In the Air meraih 3 pencalonan Oskar untuk aspek lakonan termasuklah Vera Farmiga yang memainkan karektor Alex Goran, seorang yang inteletual dan berdaya seksual lagi manipulatif yang merobek jiwa keras Ryan supaya menyedari perasaan untuk dijinakkan bukan bersifat superfisial dan sementara, atau hanya atas kepentingan peribadi. Filem ini mungkin menghambur kita dengan tema dan moral yang secara kuasi-falsafah menyalurkan pandangan ideal bagaimana seharusnya seseorang itu menjalani hidup seperti menurut masyarakat normal. Tapi jika selalu terbang dan bebas dari komitmen adalah tafsiran normal bagi satu-satu pihak itu, biarlah dia melayang mengikut definisi sendiri.

Wednesday, March 10, 2010

Dear Galileo

Siapalah yang tidak teringin menjadi seperti mereka? Terbang bebas ke negara orang untuk meluaskan pengalaman hidup, menempuh cabaran, mencuba sesuatu yang baru, berdikari di bumi asing, menggalas beban menempuh apa saja rintangan demi bergelar perantau. Semangat mengembara yang ada dalam diri ini rasa meronta-ronta ingin keluar ikut bersama mereka. Tidak perlu tetapkan matlamat tertentu apabila tiba ke destinasi, susuri saja denai yang telah dirintis, atau melencong ke laluan baru yang belum diterokai sambil berdoa dan berharap, jalan yang di telusuri tidak menjurus ke lembah duka. Apatah lagi berada di luar tanahair sendiri, segala risiko lebih sulit dan berganda akibat mahu di tanggung.

Cerita dua orang gadis di Thailand, Cherry dan Noon yang di selubungi dengan masalah peribadi masing-masing, akhirnya membuat keputusan untuk berkelana secara backpack ke Eropah. Mereka yang ketika itu sedang ingin terjun bungee, secara mendadak mendapat idea yang sungguh gila tetapi menarik ini. Mungkin ia seperti wake-up call bagi sesetengah orang apabila di landa problema, mereka cuba melupakan sekejap derita yang menimpa dengan aktiviti ekstrem begitu. Manakala bagi dua sekawan ini pula, bukan setakat bergadai nyawa untuk menbuat terjunan lasak tersebut, mereka ingin membawa langkah lebih jauh, bukan lagi hanya sekadar kaki terikat dan terayun tidak menjejak bumi.

Bagi aku filem ini agak seimbang daripada segi pembinaan karektornya serta plot yang di jalin untuk mengembangkan cerita kedua perempuan ini di dalam mencari diri mereka di tempat orang. Kita di bawa menyelami perasaan serta karenah mereka mendepani persoalan hidup, dengan seorang mengalami krisis cinta serta lagi seorang pula sedang bercuti belajar setelah di gantung pengajian akibat salah laku. Kalau sudah namanya filem bertemakan melancong, jadi para penonton di bawa sekali menjengah ke lokasi-lokasi tumpuan di sana yang lazim seperti, ahhh... tengok mercu tanda pada poster pun boleh tahu kan?

Aku yang memang suka idea begini, jadi aku cadangkan kepada mereka yang masih muda dan tiada tanggungan di luar sana untuk keluar merantau walaupun tak mampu untuk ke seberang laut, sekurang-kurangnya pergi dalam negara dulu. Dalam suratkhabar Kosmo! baru-baru ni juga ada artikel pasal seorang remaja lelaki yang memiliki keghairahan back packing macam ni. Tentu banyak lagi kisah menarik yang dia dapat kongsi dalam ekpedisinya keluar mengembara itu sehingga mana tahu ia berbaloi difilemkan.

Thursday, March 04, 2010

Fantastic Mr Fox

Kalau dalam peribahasa Melayu ada yang berbunyi “musang berbulu ayam“ bermakna orang jahat yang menyamar menjadi orang baik-baik, tetapi dalam Fantastic Mr Fox kita akan merasa untuk menyebelahi orang (atau dalam kes ini, musang) yang jahat itu. Memang haiwan tesebut tidak perlu menyamar lagi sebaliknya cuma dikehendaki lebih licik, tangkas serta mampu menumpaskan satu penempatan kampung namun dalam masa yang sama boleh kelihatan cute. Err... mungkin tidak secomel kucing yang boleh dielus-elus, tetapi stop motion animation yang menjadi format kartun ini membuatkan mereka kelihatan demikian.

Kali ini bermain dengan animasi sebagai struktur terbarunya, Wes Anderson tidak mempersiakan peluang imaginasinya untuk keluar ke dimensi lebih jauh dan tidak terbatas. Kita disajikan dengan corak lukisan berwarna terang benderang seperti berada dalam hasil lakaran Van Gogh dengan teknik penggambaran unik penuh teruja serta dialog dan aksi yang mencuit hati. Beliau mengadaptasi buku cerita karya Roald Dahl yang tidak pun aku membacanya jadi aku boleh menonton filem ini tanpa ada sebarang pra-tanggapan. Produk akhir yang tercipta di sini sangat cemerlang sehinggakan aku boleh ubah fikiranku supaya filem ini di beri Oscar daripada Up.

Cuma mungkin corak filem begini susah untuk mendekati khalayak kanak-kanak kerana subjeknya yang matang dan jenis animasinya yang tidak mesra pada mata mereka. Kisah sebuah famili musang yang disertai oleh suku-sakat makhluk yang hidup di bawah tanah cuba dengan segala kudrat yang ada untuk mengalahkan tiga orang peladang dan pengusaha yang menjadi sumber pencurian mereka apabila keadaan semakin mendesak dan tidak terkawal. Ok, mungkin rumusan satu ayat tersebut tidak dapat menggambarkan situasi sebenar secara adilnya namun musang & and the gang vs. manusia adalah frasa lebih tepat untuk menjelaskannya.

Tak tahulah filem garapan Wes Anderson ini boleh di terima oleh semua orang atau tidak. Memang agak pelik style dan kreativiti beliau yang walaupun tidak susah langsung untuk dinikmati tetapi ia seakan tidak menyeluruh sambutannya. Segelintir peminat yang menghargai usaha gigih beliau dalam berkarya akan sentiasa mengharapkan kemunculan filem-filem yang lebih berkualiti dan menyegarkan daripadanya.