Wednesday, January 30, 2008

My Louisiana Sky

Masa tertengok filem My Louisiana Sky di saluran Hallmark, terperasan pulak aku kat muka budak lelaki sorang ni. Macam aku pernah tengok. Kat filem apa ya? Tapi dalam filem tu dia dah besar.

Oo… yerr… Superbad.

Michael Cera yang aku tonton dalam Hallmark tu seorang budak lelaki yang tengah gatal. Tiba-tiba dia pergi cium budak perempuan, kawan/jirannya semasa mereka di atas pelantar di tepi tasik. Perempuan itu marah dan tak suka lalu lari. Michael rasa bersalah dan meminta maaf. Kemudian mereka berbaik semula.

Sebuah cerita yang manis. Walaupun My Louisiana Sky bukanlah filem tentang mereka berdua. Ia pasal budak perempuan tersebut, seorang watak bernama Tiger Ann Parker yang tinggal bersama kedua ibubapanya yang o.k.u. tapi masih mampu berdikari. Serta nenek yang dikasihinya.

Sesekali perlu juga rehatkan otak dengan cerita melodrama begini setelah disogokkan lawak-lawak Meet the Spartan atau mendengar nyanyian dendam Johnny Depp dalam Sweeney Todd ataupun kalau dah tak tahan dengar si Jonah dalam Superbad tu asyik mencarut jer (walaupun kelakar).

Wednesday, January 23, 2008

The Lives of Others

Filem ini berkisarkan tentang Jerman Timur beberapa tahun sebelum percantuman dengan saudara baratnya. Lebih tepat lagi ia tentang polis rahsia - Stasi yang berkhidmat untuk kerajaan bagi mengesan sebarang pengkhianat di kalangan rakyatnya. Tetapi ia juga tentang kesunyian dunia seorang lelaki yang ditugaskan melakukan kerja-kerja pengintipan itu. Ia adalah voyeur yang walaupun bahaya tetapi menjadikan kita seakan ingin lebih terlibat dalam dunia mereka yang kita intai itu.

Aku rasa filem ini, The Lives of Others jika dibandingkan dengan Goodbye Lenin adalah dalam tone yang lebih serius, gelap dan menakutkan. Tetapi ia tidak kurang elemen humor contoh yang ketara ketika di kafetaria tatkala seorang kakitangan sebuah jabatan ingin berjenaka dengan rakan sejawat tanpa menyedari seorang menteri berada di situ. Ok, mungkin itu tak ada apa-apa tapi lawak yang ingin dikongsinya itu adalah menghina ketua tertinggi mereka. Bukan itu saja malah sebarang bualan atau anasir yang tidak sehaluan dengan polisi negara mereka, akan menimbulkan nahas.

Plot filem ini yang perlahan pada mulanya, janganlah anggap ia membosankan kerana hidup di Jerman Timur itu lebih membosankan lagi. Tapi lihat apa yang mereka boleh hasilkan dari ideologi politik yang rigid dan tidak makmur menjadi satu proses kreatif atau membuat kita lebih ingin memahami sesama manusia. Itu yang dapat aku rasa dengan watak-watak yang mewakili negara sosialis tersebut yang sebelum ini terlindung dan kebal di belakang tembok Berlin.

Ia mendapat anugerah kategori filem asing terbaik pada Academy Awards tahun lepas mengalahkan Paradise Now yang lebih di sebut-sebut. Keseluruhan filem ini mengandungi jalan cerita yang berkesan untuk sebuah sistem yang menganjurkan polisi kekerasan dan tidak mesra tetapi sebarang unsur itu tidak terlihat secara getir atau menyeksa dalam The Lives of Others ini. Aku suka tetapi sedih dalam masa yang sama dengan pengakhiran filem ini.











r.i.p Heath Ledger

Sunday, January 20, 2008

Cloverfield

Masa gembar-gembur tentang Blair Witch Project dulu, aku tidak terasa langsung keseramannya. Mungkin sebab aku menontonnya melalui vcd. Sebab ia tidak ditayangkan di panggung. Cuma sequelnya saja yang bermain di pawagam dan aku pun bergegas nak tengok tetapi hasilnya hampa. Mungkin ia hilang impak atau tiada lagi hype yang layak.

Sekarang kita ada Cloverfield. Menggunakan idea seperti Blair Witch dan disiarkan di panggung jadi aku kena pergi. Hasilnya, aku boleh faham kenapa kita akan rasa seram dengan filem itu dahulu. Pengalaman dari mata sendiri yang memandang memang lebih menakutkan. Ia adalah faktor psikologi yang tak boleh di elak. Berbanding dengan penggambaran filem lazim yang mana jurukamera bertindak sebagai orang ke-tiga, dalam Cloverfield "dinding ke-empat" telah runtuh.

Mereka bercakap sendiri depan kita, depan kamera, dari suasana parti yang riang dengan sedikit konflik kecil antara tetamu majlis kepada tragedi hidup dalam skala yang lebih besar. Dan ia memang tersangat besar. Mencetuskan huru-hara dan cemas. Semuanya seolah kita sendiri mengalaminya. Tiada perasaan begini pernah aku alami selama menonton wayang. (Mungkin kalau Blair Witch pertama dulu aku dapat tonton di layar lebar, ia akan berbeza). Ia menggerunkan dan seronok sekaligus.

Kerja-kerja promosi yang dijalankan sebelum ini untuk menimbulkan rasa ingin tahu dan keghairahan membongkar misteri tentang Cloverfield, aku fikir masih aspek pemasaran yang bijak. Dengan generasi youtube sekarang ia pasti boleh mencapai matlamatnya untuk menarik perhatian. Jika seram dan monster sudah, mereka mungkin sedang memikirkan genre yang lain pula untuk menimbulkan efek serupa.

Monday, January 14, 2008

10 Filem Untuk 2007

Ada banyak filem yang di tonton pada tahun 2007. Jadi aku pilih 10 filem yang aku belum mention dalam ni sebagai tanda yang ia patut di sebut. Namun filem tersebut tidak semestinya terbit pada tahun 2007 juga.

1. Noviembre (2003)

Sepanyol, apa yang mereka lakukan dalam filem ini, memang selalu aku fikirkan untuk membuat benda yang sama. Ia bagai deja-vu. Filem yg aku tengok sempena 2007 European Union Film Festival (Euff).


2. Goodbye Lenin (2003)

Tengok pada bulan Februari tahun lepas di Universiti Malaya. Sebab aku dah lama mencari filem ini. Tetapi tak jumpa-jumpa. Lalu bila dengar ia akan dimainkan di UM sempena German Film Festival (?) aku pun follow Gaia ke sana.


3. The New Country (2000)

Satu lagi filem yang aku saksikan di Euff.


4. Transformers (2007)

Aku tengok dua kali.


5. Novel Tanpa Huruf R (2004)

Aku tengok filem Indonesia ni melalui vcd. Tapi sayangnya disk pertama sangkut-sangkut. Quite disturbing ceritanya. Aku nak explain lelebih pun tak pandai.


6. Anak Halal (2007)

Osman Ali yang aku memang tidak akan lepaskan karya-karyanya.


7. The Iron Giant (1999)

Memang sepatutnya aku tengok filem ni dulu. Tak adalah sampai nak tengok Transformers sampai dua kali.


8. The Grave of the Fireflies (1998)

Menyentuh hati dan menakjubkan. Aku dah lama dengar mengenai filem ni tapi baru sempat tengok tahun lepas. Hati aku bagai disiat-siat. Sebuah filem yang akan diingati untuk selama-lamanya sebab aku tak sanggup untuk menontonnya lagi.


9. Zodiac (2007)

David Fincher, seorang lagi pengarah yang memang aku tidak lepaskan peluang untuk saksikan hasilnya.


10. Eternal Sunshine of the Spotless Mind (2004)

Aku tak ingat aku tengok filem ni tahun 2006 atau tahun lepas. Tapi yang pastinya aku tak habiskan lagi menontonnya kerana yang aku ada dalam bentyk vcd! Sangat leceh kerana gambar tak clear. Kena cari dvd dia.