Thursday, January 22, 2009

Mereka Menanti

Walaupun filem ni tak semenggah mana, tetaplah aku ni nak isikan di sini. Lagi pula sempena menjelangnya Tahun Baru Cina yang ceria nanti, sesuai juga kalau pergi menontonnya. Penuh dengan pelakon berketurunan Cina yang seorang pun aku tak kenal kecuali Jaime King (eh, itu orang putih). Masa permulaan kredit ternampak nama Owe Boll yang menjadi penerbit eksekutif. Teringat pula dengan seseorang pernah mengomen guna nama ni pada blog tontonfilem dulu. Aku yang tidak pernah dengar langsung tentang Owe Boll sebelum ni menganggap yang nama itu hanya di reka.

Pada anugerah Razzie tahun ni Owe Boll akan di beri penghargaan Worst Career Achievement Awards. Memanglah sesuai sangat. Walaupun bukan maksud entry ni ingin bercakap tentang beliau, sebaliknya nak cerita mengenai filem They Wait yang aku tengok baru-baru ni. Dalam pada menyampah tu, rasa terkejut juga masa babak dalam kedai sengseh/farmasi. Semua penonton menjerit @ tersentak.

Ia berlaku pada Hungry Ghost Festival yang di raikan oleh masyarakat Tionghua tak kira sama ada di Shanghai atau di Chinatown. (Baru-baru ni aku tengok dvd Chinatown, satu cerita klasik yang sangat menarik). Sebuah keluarga kahwin campur melawat seorang saudara yang baru meninggal dunia. Anak mereka pula mengalami sindrom "I See Dead People" ala Haley Joel Osment sehingga boleh membawa petaka. Rupa-rupanya ada rahsia silam yang tersembunyi di bawah rumah tersebut.

Wednesday, January 21, 2009

Warna Baru Seorang Presiden

Perlantikan Obama mungkin hanya bersejarah daripada aspek ras dan latar belakang beliau. Untuk sebuah negara yang sebelum ini di pimpin oleh bangsa berkulit putih sahaja dan memperlakukan kaum kulit hitam sebagai hamba abdi, apabila muncul salah-seorang keturunan itu mengepelai kerajaan mereka, ia adalah satu pencapaian hampir mustahil. Malah aku sendiri rasa perkara ini tidak benar-benar berlaku. Macam ada sandiwara di sebaliknya. Seolah ini strategi untuk melindungi konspirasi yang lagi besar.

Ketepikan fikiran aku yang berbau plot siri 24 itu. Manakala di lihat daripada segi polisi dan pendekatan negara tersebut terhadap dasar luarnya terutama berkenaan timur tengah adalah tidak berubah malah semakin buruk boleh jadi. Setakat ini pelan Obama berkaitan dengan rantau itu hanya melibatkan penarikkan balik tentera mereka di Iraq dan Afghanistan. Serta menghentikan perbicaraan terhadap tahanan Guantanamo yang kebanyakan mereka di dakwa pengganas atau pelampau beragama Islam. Tiada langsung bunyi berkenaan isu-isu keselamatan di Gaza atau serangan Israel terhadap Palestine.

Oleh itu kita memang tidak mengharapkan berlaku perubahan dasar yang drastik daripada pentadbiran Obama ini kepada konflik di Palestine sana. Kalau kita cerakin senario yang melibatkan Israel selama ini pun, tidak akan ada kecaman apatah lagi tindakan keras dari negara kuasa besar itu apabila ia ada kena-mengena dengan keganasan rejim Zionis tersebut. Segalanya akan di buat terlepas pandang. Atau mereka akan memutar-belitkan fakta melalui teori yang berat sebelah untuk mewajarkan perilaku terkutuk itu. Perlantikan presiden baru yang mempunyai susur-galur Islam sendiri tidak menjamin mereka akan berbuat sesuatu yang konkrit bagi membuahkan hasil positif untuk sebuah penempatan yang selalu bergolak.

Sekarang adalah harinya rakyat A.S. bergembira menyambut seorang ketua negara yang di label sebagai lambang demokrasi sebenar yang berketrampilan dan lebih diyakini. Legasi pimpinan presiden sebelumnya yang memburukkan nama A.S di persada antarabangsa di jangka dapat dimansuhkan serta-merta. Bagi mereka yang pesimis perlantikan tersebut belum pasti boleh memberi impak yang besar. Malah dalam krisis ekonomi yang melanda negara itu kini, ia terbeban di bahu Obama untuk mengendalikannya dengan efisien. Bagi penduduk dunia yang lain kita berharap beliau akan lebih prihatin dan memberi tindak balas yang saksama untuk isu-isu di Asia Barat terutamanya untuk Palestine.

Monday, January 19, 2009

Hari-hari yang Lalu

Jumaat

Rasanya macam ternampak seorang blogger masa monorel berhenti di stesyen Medan Tuanku. Blogger yang dulu rajin mengulas filem di samping berselang-seli dengan kisah peribadi tetapi tidak lama kemudian menutup blognya. Kemudian beliau create pula satu blog lain. Selepas satu entry langsung tidak berupdate. Aku agak saja itu adalah beliau.

Sabtu

Malam tu aku makan pecel lele di satu restoran ni yang dah lama aku teringin nak rasa. Sebelum ni aku pernah try yang di jual di medan selera dekat rumah aku. Setelah di bandingkan, yang restoran ni punya sambal lagi sedap. Ikan keli tu sama saja. Cuma harga di kedai makan ni lagi mahal. Aku tak ambil gambar tapi di internet ada banyak gambar pecel lele.

Ahad

Dah tamat dua rangkaian percuma Astro sempena ucapan terima kasih semalam. Aku jangka mungkin dua-dua saluran itu akan di serap jadi rangkaian tetap nanti dalam mana-mana pakej. Aku banyak tengok saluran AXN Beyond. Lagi satu Astro Fiesta tu aku malas nak tengok sangat. Banyak sangatlah masa aku nak tunggu satu konsert atau filem Sanggam tu sampai habis.

Friday, January 16, 2009

Hati Termanggu

Lama tak mengemaskini. Banyak kerja di pejabat. Kalau tidak kerana menjadi back-up untuk seorang staff yang cuti bersalin, mungkin masih lapang. Tidak merungut pun sebenarnya. Kerja bertimbun menjadikan masa seakan-akan memecut lebih. Tak sempat termenung. Tiada ruang untuk mengenang untung nasib.

Dalam tak ada ruang itu pun, bila membuka e-mail yang melayangkan kisah-kisah dan gambar-gambar perang oleh Israel terhadap Palestine, termanggu juga seketika dibuatnya di depan pc. Kalau baca suratkhabar, lagilah tersayat hati dan fikiran jadinya kerana paparan muka depan dengan gambar kanak-kanak terkorban jadi tajuk utama. Kalau sudah melibatkan kanak-kanak, serta-merta emosi manusia mudah tersentuh. Kecuali rejim zionis. Diorang mungkin tidak merasa apa-apa melihat itu semua.

Memang hati batu. Terlalu keras dan hitamnya hati mereka terhadap rakyat Palestine. Langsung tidak ada rasa perikemanusiaan. Bangga sangat dengan ideologi zionis yang di dokong pemimpin mereka. Tak ada pula terdengar puak-puak pembangkang di sana mengadakan tunjuk perasaan atau apa-apa demonstrasi membantah serangan kerajaan mereka yang tak berhati perut itu. Semuanya penyokong totok pemerintah agaknya.

Kita sangat bersimpati dengan umat Palestine yang sejak akhir Disember lepas telah diperangi dengan sadis oleh rejim berkenaan. Memang tidak dapat di terima langsung oleh peradaban manusia. Degilnya sebuah bangsa bernama Yahudi bertunjangkan prinsip zionis. Manakala pada satu sisi lain, nampak pula lemahnya Palestine dan umat Islam sehingga tahun demi tahun diganyang sesuka hati oleh makhluk berkenaan. Macam tak terbela langsung nasib mereka. Seolah tiada berpenghujung.

Aku nak menulis berdasarkan fakta-fakta dan info terkini nanti jenuh pulak nak kena korek dan periksa di internet. Dah-lah tengah busy ni. Tapi beberapa tahun dulu aku pernah buat posting pasal Israel berperang dengan Hamas dan mengebom selatan Lubnan ni. Kali ni aku setakat membuat luahan rasa untuk melahirkan rasa kesal dan sedih di atas apa yang berlaku di Gaza sekarang. Pergi menderma atau berdoa atau boikot atau apa-apa usaha yang anda fikirkan perlu.

Friday, January 02, 2009

KM 31

Malam tahun baru sebab aku penat sangat dan mengantuk gile, aku pun tidur dalam panggung wayang. Sesuatu yang tak pernah aku buat sebelum ni. Tidur dalam panggung. Memang tidur siap baring mengiring segala. Puas hati sangat dapat melelapkan mata barang dalam sejam macam tu. Bunyi audio kuat dan bising bum, bam, bum, bam pun tak jadi hal.

Boleh ke tidur baring dalam panggung? Ye, boleh kalau kamu duduk kat seat couple tu. Pilih seat couple yang kosong (of coz lah yang kosong kan) dan landing kan badanmu di situ dan start zzzzz…. Ianya lebih selesa kalau kamu bersaiz petite. Kalau saiz tinggi lonjong atau macam blue hippo, err… baik balik tidur kat rumah je lah. (p/s: yang menulis ni juga bukan bersaiz yang sesuai)

Masa tu aku tengah tengok filem Mexico yang bajet seram tu, KM 31. Tapi untuk tayangan kat Malaysia ni tajuknya di tambah jadi Hell's Highway. Ada jer idea diorang nak bagi nampak lebih menakutkan. Bukannya start-start je cerita tu aku terus bantai tidur. Sempat lah juga tengok intro dia dan rasa seram-sejuk sikit sebanyak. Dekat tengah-tengah tu masa watak yang kakak kembar kepada mangsa kemalangan dengan kawan lelakinya melawat perempuan tua yang duduk dalam hutan tu, mata haku pun dah tak tahan sangat ni. Baik tidur jer.

Filem ni mengisahkan seorang perempuan yang mengalami nahas jalan raya akibat menyangka dia terlanggar seorang budak. Ketika turun daripada kereta untuk memeriksa keadaan budak yang di langgarnya tu, tiba-tiba dia pula kena rodok oleh kenderaan lain. Sebelum itu dia sempat menelefon kekasihnya Omar, untuk memaklumkan kejadian kemalangan tersebut. Tetapi apabila sampai di lokasi berkenaan, mereka dapati si perempuan sudah cedera parah di langgar lari. Ada pula kisah sampingan yang melibatkan cinta tiga segi. Lebih kurang telenovela Amerika Latin yang di siar kat tv tu.

Bila aku sedar dari tidur je dah nak dekat closing credit. Jadi tak faham sebutir habuk lah apa kesah sebenarnya. Filem ni mungkin akan menarik minat sebab ada label berdasarkan kejadian sebenar pada posternya.