Tuesday, July 28, 2009

Pencerita yang Pergi

Walaupun terlambat, aku juga ingin hulurkan ucapan takziah buat keluarga Yasmin Ahmad di atas pemergian beliau pada hari Sabtu nan lalu. Sebenarnya petang Khamis lepas lagi dah dapat sms mengagetkan dari Gaia yang cakap dia terkejut bila ada orang send sms padanya yang Yasmin dah meninggal. Rupa-rupanya masa tu beliau di icu. Namun, sudah tersurat, hayatnya sampai setakat ini saja.

Pernah juga ada sekali dulu, aku ingat lagi Gaia ada sms aku bila Yasmin sms dia bertanyakan siapakah pelakon-pelakon dari Kelantan yang dia boleh suggest untuk berlakon? Aku pun tolonglah bagi list pelakon-pelakon dari Kelantan yang aku tahu. Lepas tu aku sms pada Gaia. Tak tahulah itu untuk projek Yasmin yang mana. Aku juga tidak tahu follow-up tentang sms tu sama ada Gaia ada menerima apa-apa respon daripada Yasmin. Apa-apa saja maklumat tentang Yasmin, semua aku dapat dari Gaia inilah.

Tidak ada pengalaman peribadi aku sendiri dengan beliau.

Cuma pernah sekali terserempak di KLCC masa aku balik kerja dan lalu berdekatan kedai Haagen-Dazs. Dari jauh ternampak kelibat seseorang yang famous. Berbaju kebaya putih dengan kain hitam tak silap aku, sambil mencebet beg. Sedang berjalan sambil bercakap dengan seorang wanita di sebelahnya. Yasmin Ahmad rupanya.

Kami berpapasan sambil mata melihat antara satu sama lain. Beberapa saat mata kami memandang tidak berkelip kerana aku memang kenal beliau jadi memang rasa nak tengok. Manakala aku tak tahulah apa yang beliau fikirkan bila aku tengok macam tu. Lepas tu aku terus sms adik aku di kampung beritahu yang aku nampak Yasmin Ahmad di KLCC. Kecil saja orangnya, aku sms begitu.

Dengan Talentime menjadi filem terakhir penghasilan beliau yang aku tengok di panggung, bermula dengan filem Rabun yang tersiar menerusi slot Cerekarama (yang ada potongan adegan mandi di perigi), sampailah housemate aku beli vcd Rabun semata-mata nak tengok secara penuh cerita Rabun ni dan iklan-iklan menyentuh perasaan, tidak ada lagi karya beliau dapat di tatap selepas ini. Tiba-tiba hati menjadi sayu.

Tuesday, July 21, 2009

The Blossoming of Maximo Oliveros (2005)

Ini merupakan sebuah filem tentang si kanak-kanak lelaki lembut yang cantik dan mempesonakan sekaligus menambat hati. Bukan budak tu saja yang cantik maksud aku tapi ceritanya pun turut memberi kesan. Pemilik nama dalam filem ini yang di panggil Maxi oleh ahli keluarganya, memang di besarkan begitu, di didik dan di terima seadanya dengan perangai hadek-hadek yang tulus sopan walaupun ada terselit gedik-gedik manja. Lebih-lebih lagi setelah ibunya meninggal sewaktu dia masih kecil menjadikannya satu-satunya “perempuan“ yang ada untuk melakukan kerja-kerja rumah yang tidak boleh di harap oleh ahli-ahli lelaki dalam keluarga itu.

Kedua abangnya malah bapa Maxi sendiri merupakan lelaki alfa yang keras, sejati dan penuh kejantanan sekaligus kontras dengan peribadi si bongsu itu. Namun mereka dipotretkan sangat mengambil berat, memahami dan melindungi Maxi selayaknya sebagai adik kecil yang masih hijau dan sentiasa perlu di bawah pengawasan. Ini mungkin sifat biasa bagi abang yang tua untuk bertindak begitu terhadap anggota famili yang masih kecil tetapi keluarga budak lembut itu berlatar-belakangkan semuanya adalah penyangak dengan buat kerja-kerja haram.

Jadi ini nampak luar biasa sikit sebab mereka sangat bertoleransi dengan keletah Maxi yang sotong itu. Malah apabila adik mereka ini mula berkawan dengan seorang polis dewasa yang segak dan tampan, mereka masih boleh terima tanpa sebarang waham untuk mengekang persahabatan tersebut yang boleh di pandang janggal. Cuma apabila leverage yang mereka ada terjejas kerana polis tadi tidak mahu bersubahat dengan penjenayah, barulah mereka membangkangnya.

Aku tak tahu sejauh mana filem ini condong untuk bersandar pada tema gay dengan karektor pusatnya yang memiliki naluri begitu lebih-lebih lagi setelah melihat babak endingnya. Mungkin ia lebih pada kisah seputar golongan setinggan yang hidup dalam kesempitan, penuh bobrok dan kacau namun kaya kasih sayang hanya secara kebetulan ada di kalangan mereka itu terdapat seorang insan yang musykil dengan jantina.

Wednesday, July 15, 2009

Hari Tanpa Membeli Apa-apa

Atau Hari Tanpa Belanja dan dalam Inggeris di panggil Buy Nothing Day hanya aku tahu setelah baca Malay Mail semalam. Ianya akan berlangsung esok di Malaysia jadi tahanlah nafsu membeli-belah anda untuk sehari demi menjayakan kempen yang murni ini. Hari ini, luangkan masa ke kedai atau restoran atau pasaraya untuk memenuhi tuntutan berbelanja anda yang membuak-buak itu. Jadi akan ada bekal atau stok untuk digunakan pada 16 Julai itu apabila anda tidak dapat beli apa-apa.

Tuesday, July 14, 2009

Departures (2008)

Filem ini yang tidak di beri perhatian kerana buzz lebih menjurus pada Waltz with Bashir, tiba-tiba menjadi buah mulut setelah memenangi kategori Filem Asing Terbaik dalam Oscar yang lalu. Kalau watak utama filem ini Daigo Kobayashi tidak tahu pun makna “Departures“ yang disiarkan dalam iklan kerja kosong itu, aku juga tidak tahu filem ini berkenaan tentang apa. *Dalam imdb menyatakan, tajuk filem ini dalam bahasa Jepun ialah Okuribito yang bermaksud menghantar seseorang pergi tetapi ia satu perkataan yang jarang digunapakai dalam kehidupan seharian mereka*. Lantas si Kobayashi tadi menganggap yang jawatan yang ingin di pohonnya itu ada kena-mengena dengan travel agency.

Walaupun dia mendapat tahu kemudiannya bahawa sangkaan awal itu meleset sama sekali, tapi difikir-fikir, memang ia ada kena-mengena dengan travel juga. Cuma ia perjalanan yang menuju ke alam barzakh. Secara tepatnya dia akan bertugas menyiapkan jenazah sebelum ia disemadikan. Pekerjaan ini adalah sesuatu yang taboo dalam masyarakat di sana sehingga dia sendiri tidak memberitahu dengan jelas kepada isterinya apabila di tanya. Malah kawan lamanya juga mencemuh dan menghindarinya setelah mendapat tahu.

Kematian menjadi titik mula kepada lelaki ini untuk membangkitkan semula hidupnya yang telah berakhir. Sebelum ini dia dengan kerjaya yang bagus sebagai pemain cello terpaksa berpindah ke kampung tanpa sebarang perancangan tertentu setelah orkestra yang disertainya bubar. Aku rasa idea untuk menggabungkan maut dengan alat muzik cello sangat berkesan di dalam pergerakkan filem ini. Landskap kawasan luar bandar Jepun dengan iklim yang berubah-ubah menjadi pencerita secara tidak langsung sepanjang proses Kobayashi mengadaptasi kepada takdir baru hidupnya.

Ini sebuah filem yang walaupun kita rasa ia perlahan dan longlai, kita boleh belajar sesuatu dari sikap dan perilaku Kobayashi yang serius, tertib dan penuh etika setiap kali mengendalikan pengkebumian yang diamanahkan. Memang kagum sangat dengan apa yang dia dedikasikan untuk satu bidang yang di lihat jelik oleh orang sekitar. Kita boleh belajar sesuatu dari situ kerana sampai di liang lahat sekalipun masih ada sesuatu yang boleh dijadikan pengajaran dan maklumat berguna.

Saturday, July 11, 2009

Adegan Ketawa

Kalau anda ada baca satu majalah baru di pasaran sekarang, Infiniti (macam Mastika - cuma lebih santifik - macam Dewan Kosmik - cuma lebih pop) ada satu artikel menyentuh tntang seorang gadis yang tidak boleh berhenti ketawa.

Eh, aku pernah alami macam tu - masa tengok wayang kalau ada adegan yang memang menggelikan hati, tak boleh berhenti ketawa jadinya). Tapi gadis tu bukan sedang tonton wayang. Dan dia memang akan tergelak walaupun bukan pada keadaan yang memerlukan dia ketawa sekali pun. Berasal dari China, Xu Pinghui, telah mengalami masalah ini sejak dia pulih daripada demam panas pada usia 8 bulan sampai dia berumur 13 tahun sekarang.

Tapi bukanlah dia ketawa non-stop 24-7!

Menurut seorang doktor yang ditemuramah berkenaan hal ini memberitahu pesakit biasanya akan tertawa berhenti-henti, iaitu mereka akan tergelak selama beberapa minit, kemudian berhenti dan selepas itu hanya tersenyum. Perbuatan ini tidak dilakukan secara terus-menerus tetapi kerap berlaku setiap hari. Sekiranya ketawa dilakukan tanpa berhenti, perlakuan itu agak berbahaya kerana boleh membawa maut lantaran penat terkekeh.

Sebenarnya aku nak cakap beberapa adegan dalam filem yang telah membuatkan aku ketawa bagai nak gila sampai orang tengok pun akan memandang serong. Antaranya

1) Rat Race

Adegan masa Whoopie Goldberg dengan anak perempuannya tu yang naik kenderaan “World Fastest Indian“ supaya mereka cepat sampai. Turun-turun je masing-masing dah pening lalat dan terhuyung-hayang sebab laju yang amat benda tu melunjur.

Kebetulan pulak tempat mereka berhenti tu dekat dengan sekumpulan pesakit mental sedang outing. Habis, dengan-dengan mereka berdua sekali kena angkut naik bas hospital gila tu sebab aksi diorang yang macam tengah tingtong masa tu.



2) Meet Dave

Babak dalam filem tu semasa Dave tu nak bersalam dengan jiran Elizabeth Banks ketika mereka baru jumpa. Kelakar sangat.

3) Ice Age: Dawn of the Dinosaurs

Masa diorang kena gas ketawa tu sampai terkeluar suara chipmunks. Diego yang macho tu macam tersipu-sipu pulak bila bercakap pun keluar suara kepit. Memang gamat punya kelakar sampai aku terlupa yang filem ni start dengan agak boring.

4) Bowfinger

Banyak jugak yang lawak tak hengat dalam filem ni. Paling aku suka masa Eddie Murphy kena buat stunt dengan melintas di tengah lebuh raya yang busy nak mampos.

5) Filem Melayu (Judul: Unknown)

Satu filem Melayu lakonan Salih Yaccob dengan adegan masa dia nak potong ayam sambil dengar panduan macam mana nak potong ayam tu dari tv. Dia pulak tak tengok tv masa tu just dengar je dari dapur. Tup-tup siapa entah pegi alih channel bukak rancangan senamrobik pulak. Dah lah suara instructor aerobik tu sebijik macam suara tukang masak tadi, jadi si Salih ni pun habis di-aerobik-kan ayamnya tu sebab dia ingatkan tukang masak tu ajar macam tu.

Nota: Beberapa bulan selepas tu aku tertengok satu filem Hong Kong di tv, ada satu secene tu sebijik macam yang Salih Yaccob buat ni. Aku tak tahu siapa tiru siapa, sebab nak check tajuk kedua-dua filem Melayu dan Cina tu, langsung aku tak ingat. Tapi bila tengok filem Cina tu, dah tak rasa lawak dah sebab dah pernah tengok kan.

Tuesday, July 07, 2009

Forever Enthralled (2008)

Filem tersohor pernah dihasilkan oleh Chen Kaige ialah Farewell to My Concubine. Ia berjaya merangkul Palme d’Or di Cannes serta tersenarai dalam nominasi di Anugerah Academy serta mengaut banyak penghargaan lain. Ia juga melonjakkan nama Leslie Cheung, pelakon utama filem tersebut menjadi sebutan. Berkisarkan dunia opera Cina, tetapi aku masih belum berpeluang menyaksikan filem berkenaan.

Tetapi terbaru daripada pengarah ini, juga menelusuri seni persembahan pentas opera berjudul Forever Enthralled, sebuah biopic penyanyi opera terkenal pada zamannya Mei Lanfang yang dibintangi oleh Zhang Ziyi, Leon Lai dan Masanobu Ando. Bezanya dengan filem yang menang tadi, itu adalah fiksyen cuma subjeknya saja yang sama perihal satu bentuk hiburan yang sudah lama berbudaya dalam masyarakat mereka.

Paling dekat aku boleh mengaku pernah menyaksikan sendiri acara ini ialah semasa Hungry Ghost Festival, dengan pentas didirikan dan kemudian para pemain watak akan menyanyi serta berlakon di atasnya dengan penonton terpesona. Aku pula bukan betul-betul tengok sekadar lalu di tepi. Tapi kebanyakan yang melalui kawasan pementasan itu memang akan tertoleh juga ke situ kerana pemeran yang bersolek tebal dengan mekap bersinar serta suara nyaring kuat bergema, memang akan menarik perhatian.

Filem ini juga akan menarik minat dan tumpuan khalayak untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang opera Cina melalui perjalanan hidup tokoh paling diraikan dalam sejarah mereka. Walaupun memang sampai apa yang ingin pengarahnya ketengahkan cuma ia tidak cukup dramatik atau tidak rasa ada apa-apa tragedi untuk menimbulkan lebih efek pada penceritaannya. Mungkin ada sisi hidup Mei Lanfang yang getir atau lebih mencengkam tetapi tidak dirincikan. Sebuah filem biografi yang macam di paksa untuk menjadi epik.