Wednesday, August 29, 2007

Sila Beri Tunjuk Ajar Menari Hula

Berita pasal kemungkinan pada masa depan kaum lelaki yang akan menjadi surirumah manakala perempuan pula yang akan menggalas tanggungjawab mencari rezeki mengingatkan aku tentang filem Hula Girls yang aku tengok kat Picturehouse Cathay baru-baru ini. Bukanlah ada persamaan sangat antara kedua-dua kisah tersebut tetapi ia menegaskan bahawa kaum wanita memang pandai berusaha dan sentiasa ada wawasan memajukan diri tidak kira sama ada mereka masih di bawah tanggungan lelaki atau pun tatkala itu mereka memang terpaksa menyara hidup sendiri. Lelaki akan tercabar, tak kira di dalam filem atau pun di luar.

Hula Girls bermula dengan sebuah lombong arang batu yang semakin merosot keupayaannya dan ura-ura operasinya akan dikecilkan. Sebagai menyelamatkan bandar itu dari terkubur tanpa sumber ekonomi yang mantap, pihak atasan ingin membuka sebuah pusat peranginan dengan konsep Hawaii di sana, di Iwaki sebuah kawasan yang beriklim sejuk. Jika majoriti penduduk yang kebanyakannya pekerja lombong menganggap idea itu tidak masuk akal, mereka semakin tidak boleh menerima apabila kaum perempuan di situ ingin di latih menjadi Penari Hula sebagai sebahagian daya tarikan taman tropika itu nanti. Setuju atau tidak atau terpaksa, seorang guru sudah pun di panggil dari Tokyo untuk datang mengajar menari.

Tentulah pada mulanya wanita-wanita itu sendiri was-was untuk mengikuti kelas tersebut dengan fikiran cetek bahawa ia seolah menjual maruah. Ia tidak mendapat sambutan, cuma ada empat saja pelajar yang berminat. Lama-kelamaan apabila prospek lombong itu semakin terancam, penduduk tersebut makin terdesak terutama kaum wanitanya yang lebih praktikal, mereka beramai-ramai ingin belajar Hula supaya dapat diterima bekerja nanti di pusat pelancongan itu. Kaum lelaki seperti biasa ingin mempertahankan ego atau sentimental tidak berasas dengan tempat kerja turun-temurun sedang dunia ingin berevolusi. Hampir keseluruhan filem ini memfokuskan emansipasi gender berkenaan di Jepun pada dekad 60-an dalam produksi yang berdasarkan kisar benar ini.

Hula Girls adalah watak-watak perempuan naif, tertib dan tertutup yang mewakili penduduk asal di situ yang perlahan-lahan mula ingin merasai kebebasan serta mengubah perspektif tentang hidup. Seperti gerak tari itu sendiri yang memerlukan mereka bergelek tanpa rasa malu dan curiga memakai sepersalinan skirt jerami yang menyerlahkan apa yang terlindung selama ini. Manakala karektor cikgu mereka yang liberal, tegas dan bernyawa dengan imej kotaraya Tokyo sebagai wanita yang sudah mengalami transisi dari nilai-nilai tradisional kepada yang lebih moden. Sedangkan tarian Hula itu sendiri merupakan hasil budaya tradisi masyarakat Hawaii yang eksotik. Perkara-perkara yang kontras itu memberi simbolik pada jalan cerita yang sebenarnya mudah di agak.

Tentu tidak asing bagi penonton Malaysia dengan subjek wanita Jepun yang gigih berusaha dan kental semangatnya lewat drama televisyen seperti Oshin, Rin Hanekoma atau Chiaki yang semua subjeknya berkaitan wanita. Menonton sebuah lagi kisah sebegitu di layar lebar seakan meluaskan lagi variasi tentang mereka, sama ada anda suka menari atau pun tidak.

Friday, August 24, 2007

Ratatikus

Kenapa perlu ada sebuah lagi filem mengenai tikus? Selepas tahun lepas kita telah di simbah dengan Flushed Away, yang memang aku tidak terlintas pun ingin menontonnya (walaupun melalui dvd), kali ini kita dapat Ratatouille. Bukan aku ada tragedi silam dengan tikus malah aku menyukai Willard, atau pun Mickey Mouse tetapi membenarkan haiwan perosak ini menjadi tema utama adalah semacam berlebih-lebih. Jadi tukang masak pulak tu.

Betapa jijiknya!

Kalau anda tidak dapat membayangkan idea gila bagaimana lagi Pixar nak buat, akhirnya mereka gabungkan dua efek ini menjadi bahan. Satu anti-thesis yang para genius di studio itu memang terpaksa pecah kepala hasilkan cerita yang boleh mengujakan. Namun, sesuatu yang aku suka dari trailer atau posternya, kita tidak di beri imej yang menyenangkan tentang tikus ini. Ia tetap di pandang geli, di baling pinggan, di lempar dengan periuk belanga, di tikam dengan pisau atau garfu. Haiwan ini masih harus dibasmikan!

Di dalam plot yang tidak masuk akal tetapi unsur munasabah turut diterapkan seperti tikus berkenaan tidak dapat bercakap lisan dengan manusia dan bila Gusteau, kawan imaginasi Remy, sang tikus chef itu yang sentiasa ada bersembang dengannya, ia memang muncul sebagai khayalan saja. Selain tikus pandai memasak, bandaraya Paris yang menjadi latar filem ini turut kontras daripada imejnya sebagai kota kasih sayang kepada tempat dikerumuni haiwan yang tidak disayangi. Ok, mungkin cuma Remy saja yang berkecuali.

Watak suara yang sangat hidup adalah milik Peter O’Toole beraksi sebagai pengkritik makanan, Anton Ego, bagai jerangkung yang mahu memusnahkan periuk nasi orang. Suara Remy pula dipinjamkan oleh Patton Oswalt yang begitu menghiburkan seperti melihat dia sendiri di dalam sitcom King of Queen. Sekali lagi Pixar telah meletakkan piawai yang tinggi kepada sebuah animasi yang boleh berharap untuk anugerah.

Wednesday, August 22, 2007

Aku, Diriku dan Kamu Semua

Lelaki yang berpakaian wanita akan menghasilkan sebuah cerita menggelikan hati dan sepatutnya membuatkan kita tertawa girang. Sejak dulu seperti dalam Some Like it Hot atau Birdcage atau Priscilla, ataupun setidak-tidaknya Waris Jari Hantu (tak tahulah contoh ni sesuai ke tak, tapi penonton asyik gelak je bila nampak si Rusdi dengan Rashid Salleh tu draq), ia ibarat formula mujarab ingin memanggil orang ketawa.

Walaupun Me... Myself tentang penari draq, ia tidak menggeletekkan – mungkin kerana Tan tidak tampil berskirt atau berdandan cantik sepanjang tayangan. Tetapi dia nampak lembut, gerak-gerinya serta pandai melakukan kerja-kerja rumah dan tidak tahu membuat tugas yang kasar hatta menukar bulb lampu pun dia tak reti. Namun itu tidak bermakna dia bukan lelaki waima dia sendiri tidak pasti tentang identiti dirinya, dia bukan juga seorang wanita. Sedangkan dalam masa yang sama, dia lama-lama semakin menaruh perasaan aneh kepada perempuan muda yang menjumpainya. Walau apapun maksudnya itu, dia tidak tahu. Kerana dia amnesia.

Filem ini menyelongkar emosi manusia dari aspek cuba menghapuskan metos selama ini yang berprasangka tentang naluri seseorang. Ia agak menarik lebih-lebih kerana ia berkait dengan otak yang apabila kita “kehilangannya” (hilang ingatan) masihkah dapat berfungsi seperti kelakuan kita yang biasa? Bagaimanakah jiwa yang di bentuk sekian lama cuba mengadaptasi perubahan yang terjadi kerana tiba-tiba saraf tidak dapat menerima maklumat yang lazimnya. Tidakkah semua ini menjadi celaru atau kekeliruan ini sebaliknya adalah satu hikmah? Atau ia hanya lebih menyulitkan proses ini kerana kali ini ada lebih banyak lagi pihak yang terlibat.

Apabila Oom, wanita muda yang terlanggar Tan itu yang kasihan kerana pemuda itu tak ingat apa-apa, membawanya pulang tinggal bersamanya dan anak saudara, Ohm. Dia sebenarnya turut membawa satu masalah perasaan yang rumit dan dilema yang payah dirungkaikan. Bagi aku memang pandai penulis filem ini menggarap semua itu dalam nada yang perlahan tetapi tidak membosankan. Cuma aku jengkel sedikit dengan suara naratif mak nyah di akhir filem yang tiba-tiba bersyarah pasal siapa yang kita ingin jadi sebenarnya (macam tu kot dia sebut). Ini ada kaitan dengan perbualan Oom dan rakan-rakan tentang cita-cita mereka semasa kecil dahulu, bila dah besar nanti nak jadi apa. Tan yang turut serta dalam kelompok mereka tiba-tiba terpempan dengan soalan tersebut.

Bagi aku, Me… Myself adalah cerita yang sangat baik mengangkat persoalan golongan musykil. Ia tidak perlu menjadi loud dan meriah tak tentu pasal dengan golongan ini keluar ke skrin dengan gaya perempuan melebihi wanita sebenar. Adakalanya ia perlu lebih senyap dan perlahan serta tampil tidak ketara kerana naluri ciptaan Tuhan bukan untuk diketawakan.

Monday, August 20, 2007

Chak! India Mari

Seingat aku la, aku tak pernah lagi tengok filem Hindi di panggung wayang. Antara sebab utamanya ialah, durasi yang terlampau panjang sampai tiga-empat jam dalam panggung. Tak kuasa aku. Baik aku encore marathon Heroes kat StarWorld ◦

Tetapi di atas perkara yang tidak dapat dielakkan, Sabtu lepas aku pergi menonton Chakde! India di TGV. Melihat daripada posternya yang mengandungi sederet perempuan dengan kayu hoki dan Shahrukh Khan sebagai crowd puller, aku bayangkan mereka semua akan menari-nari di tengah padang sambil menjulang kayu hoki tersebut. Kemudian penonton di stadium turut menari bersama sambil buat mexican wave atau apa-apa kareografi yang sepadan lalu petir guruh menyambar dan hujan turun membasahi bumi. Itulah gambaran tipikal filem dari India (tak kira Hindi/Tamil/Malayalam/apa-apa jer lah) yang bermain dalam kepala otak aku.

Nasib baiklah Chekde! India ini cuba lari dari imej cliche tersebut. Malah genre tentang sukan adalah amat jarang diterbitkan oleh mereka. Mungkin kita akan membandingkan ia dengan Bend it Like Beckham, pasal gadis Punjabi yang ingin bermain bola sepak. Tetapi dalam filem ini, perempuan itu bukan saja dari Punjab, malah datang dari segenap pelusuk India, dari kawasan pergunungan dan dari hutan rimba ke New Delhi untuk bermain dalam Kejohanan Hoki Wanita Dunia mewakili negara mereka. Tidak seperti Bend it yang mendapat halangan, gadis-gadis dalam Chekde! tidak menghadapi masalah itu. Walaupun dibenarkan bermain, mereka tetap diperkecilkan, di persenda, tidak diberikan harapan dan tetap masih di bawah telunjuk lelaki.

Wajah paling tersohor di sini ialah Shahrukh sebagai jurulatih mereka bernama Kabir Khan yang pada awal filem mencetuskan kontroversi akan kesetiaannya kepada tanahair sendiri. Lalu dia ingin menebus persoalan tentang jati dirinya dengan berazam ingin melatih pasukan hoki berkenaan supaya boleh menjulang nama negara. Ia bagaikan serampang dua mata, di samping ingin membersihkan maruah yang tercalar, dapat juga mewujudkan skuad hoki wanita yang disegani dan tidak lagi di perkotak-katikkan. Bagi aku, lakonan Shahrukh agak bersahaja dan tidaklah dramatik melampau-lampau macam aksi biasa filem Hindustan.

Malah keseluruhan aspek lakonan dalam filem ini semuanya nampak realistik dan senang di terima. Dialog yang mereka tuturkan juga kedengaran natural siap berselit unsur jenaka yang selamba (walaupun ada satu dua lawak yang aku tak dapat tangkap. Tapi penonton lain semua ketawa terbahak-bahak). Bercakap tentang real tadi, Chakde! India ialah berdasarkan kisah benar jadi ia memang menepati ciri-ciri sepatutnya realiti kehidupan kepada sebuah produksi yang datang dari India, negara yang selalu membiarkan rakyatnya melarikan diri daripada kenyataan hidup supaya terpesona dengan realiti seluloid.

Friday, August 10, 2007

Remaja Berbisik

Satu kisah yang kelihatan biasa, tentang budak perempuan yang menuntut di sekolah menengah, hari demi hari yang dilaluinya – di rumah serta di dalam kelas dan persekitaran yang melingkarinya. Dengan kawan-kawan, keluarga dan juga kucing (atau apa-apa haiwan berkaitan) yang memberi erti dalam satu fasa kehidupan pra-dewasa. Mungkin di sinilah kita mula mengenal cinta atau dari sinilah kita mula ingin mencorakkan masa depan dengan serius.

Aku tak pernah tahu pun pasal filem anime ini “Whisper of the Heart” walaupun pernah dengar nama Hayao Miyazaki yang mengarangnya serta Studio Ghibli. Percayalah walaupun intro yang aku tulis itu mungkin tidak mampu menerujakan kamu semua serta merta tetapi bila dah start tengok kita akan terpesona. Malah dengar saja lagu tema yang bertajuk Country Road itu pun dah rasa terbuai-buai.

Aku tak tahu kenapa pilih lagu tersebut kalau ikut lirik asalnya seperti tidak ada kena-mengena dengan jalan cerita atau kehidupan di pinggir Tokyo. Ia membawa kita menyelami hidup Shizuku Tsukishima dalam tahun terakhir persekolahan yang sibuk menelah matapelajaran di samping bergembira dengan kawa-kawan. Walaupun dia nampaknya lebih suka tenggelam dalam dunia buku-bukunya. Ya, kerana buku jugalah dia menjejaki seorang pelajar lelaki bernama Seiji Amasawa sehingga membawanya bertemu datuk kepada lelaki itu yang memiliki kedai antik.

Dengan seekor kucing aneh yang cute menjadi pembuka jalan kepada petemuan itu serta patung kucing bernama “Baron’ yang di pamer di sana ia turut merintis haluan kepada perhubungan yang tulus murni. Agak hairan kerana mereka masih baru sangat berkenalan tetapi kimia yang merembas cepat meresapi diri masing-masing sehingga mereka akur tuntutan hati seakan tidak dapat dipisahkan lagi. Memang ia terlalu fantasi budak sekolah.

Setiap perincian lukisannya yang mendalam dan kemas serta betul-betul menjiwai suasana memang akan terbit rasa kagum dengan ketelitian para karyawannya. Selain naluri ingin bercinta, satu lagi dilema yang melanda pelajar-pelajar yang hendak tamat sekolah ini ialah mengenai hala-tuju yang ingin mereka capai dalam hidup selepas itu turut dimainkan secara berkesan dalam susunan plot. Aku lebih menyenangi cerita yang realistik begini daripada anime yang melampau sangat imaginasinya.

Wednesday, August 08, 2007

Hilang

The Invisible

Saya rasa saya dah tahu macam mana cara pihak polis merungkai misteri kehilangannya itu sebab berdasarkan dari trailernya saja macam dah tahu a whole story. Tapi jemputan awak ni akan saya pertimbangkan.<--- petikan dari isi entry yang lepas.

Ya, aku telah menimbangnya dan bersetuju untuk mengikut kawan aku tengok filem ni Selasa lepas. Jangkaan awal aku mengenainya agak tepat setelah menonton trailer. Terutama tentang Nick Powell lakonan Justin Chatwin yang dibelasah sampai nyawa-nyawa ikan kemudian ditinggalkan dalam sebuah lubang. Selepas tu dia akan dijumpai akhirnya. Filem ini bukan semata-mata tentang hilang dan jumpa. Ia lebih kepada tentang apa-apa yang berlaku di antaranya.

Di bikin semula daripada sebuah filem Sweden walaupun plot tentang dadah dalam filem asal di buang kita rasa hairan pula dengan garis panduan mereka tentang apa yang difikirkan ekstrem untuk khalayak sendiri. Secara kasarnya, Nick di timpa nasib malang itu kerana kawannya Pete yang berusaha mengelak daripada di buli sekumpulan gangster yang kepalanya adalah seorang awek yang saling tak tumpah macam muka Angelina Jolie versi muda. Angelina ni digambarkan sangat keras dan brutal sampai mamat-mamat lain gerun habis dengan dia.

Lakonan yang cemerlang di sini ialah Marcia Gay Harden sebagai ibu kepada Nick. Pada saat dia meraung hiba kerana anaknya yang sudah beberapa hari belum dijumpai itu kita merasa belas dengannya walaupun hakikatnya dia ingin tampil tabah menghadapi dugaan hidup. Agak melodrama juga malah sehingga penamat pun filem ini di penuhi moment menyayat hati. Bukan cerita yang teruk tetapi sekadar boleh saja.

Wednesday, August 01, 2007

Kelabu Haru Biru

Mungkin ada ramai lagi penerbit tempatan yang mengeluarkan produksi begini tetapi hanya di simpan, menunggu masa yang sesuai untuk dihebahkan. Bila agaknya, itu memerlukan strategi pemasaran yang jitu. Filem Haru Biru ini juga telah di push supaya mencuba nasib di layar lebar. Malah secara peribadi, jika ini telemovie untuk siaran tv pada awal perancangannya dulu, ia tidak sesuai langsung. Kalau straight to video cd, ya, boleh di terima.

Selain Bukak Api atau Gedebe yang di bikin kemudian hanya di buka kepada tontonan terhad, Haru Biru adalah anjakan lebih berpotensi, ia di tayang pada pawagam mainstream. Kemudian timbul nama Raja Azmi. Yang tidak banyak rekod menyenangkan dalam portfolio seninya. Ia bukan satu kombinasi yang selesa buat kebanyakan orang. Sepatutnya kita ketepikan semua itu, bagi peluang kepada filem ini dan nilaikan sendiri. Kalau lepas tu masih nak mencarut kepada penerbitnya (yang fungsi paling besarnya adalah keluarkan duit nak biayai filem dan paling tak ada kena-mengena dalam pembinaan plot cerita atau kreativiti ke apa) terpulanglah.

Ini filem yang aku tak peduli dengan kutukan tidak berasas yang pernah aku dengar sebelum ni. Kerana aku memang berminat walaupun agak skeptikal mulanya (siapa yang tidak) untuk menonton.

Tanggapan pertama aku, ini berdasarkan pengalaman penulis skripnya sendiri, mungkin. Sebab itu ia jadi sebati dengan persekitaran, dialog, latar dan konsep yang berpadu secara total. Kita tidak terasa jengkel dengan premise macam ni yang jika kita kenal (secara façade saja meskipun) si penulis tersebut, kita akan merestui beliau. Watak-watak yang ditonjolkannya seolah mengambil semangat beliau selain pengarah, Shadan Hashim yang membentuknya supaya terlihat kecamuk, nanar dan amarah anak-anak muda di kotaraya.

Filem ini berasas kepada bersahabatan Kid, Dani dan Ariyana. Sebelum itu ada Suzie yang terlebih dahulu “bercinta” dengan Kid yang mungkin hanya melibatkan hubungan fizikal. Dani pula ingin kepada Ariyana tapi dia terlalu pasif sedangkan dalam masa yang sama Ariyana telah pun ada bunga-bunga asmara dengan Kid. Itu tidak ada hal, tetapi kerana bahasa, dadah dan seks yang dipaparkan agak ekstrem dalam standard filem tempatan sebagai elemen maka ia menjadi sesuatu yang lain. Dulu dalam filem Panas lakonan Aleeza Kassim dan Eizlan Yusof hanya adegan ranjangnya saja yang agak sensasi. Itu pun filemnya dapat rating 18SX. Ini yang lebih banyak aksi melampau agak bermurah hati pula dengan menjadi terbuka kepada semua golongan penonton.

Aku mengaku yang jalan ceritanya tidak ada pengajaran moral boleh di kutip, malah karektor mewakili hitam atau putih seperti kabur saja. Seperti juga jenis format filem ni yang kadang-kala gambarnya berbintik-bintik macam tak cukup dimensi warna. Eman Manan sebagai bapak gangster mungkin ada memberi nasihat kalau itu yang penonton harapkan tetapi dia sendiri kepala penjahat. Seperti menempelak kepada realiti dunia yang kita diami sekarang. Anak-anak muda yang berperangai bangsat seperti ini adakah memerlukan tunjuk ajar atau nasihat daripada orang tua yang perangai sendiri pun macam penyangak?