Friday, December 19, 2014

Si Penggunting Rambut

Minggu lepas

Aku pergi ke kedai gunting rambut yang biasa aku kunjungi, selepas kerja Jumaat yang lalu. Bila tiba giliranku selepas bertanya itu ini soalan lazim jenis potongan yang aku kehendaki, aku serahkan kepalaku kepada yang pakar dan dia menjalankan tugasnya dengan tekun.

Habis menggunting disusuli pula dengan urutan leher dan kepala supaya aku terlihat lebih bermaya. Dia cakap aku nampak macam letih sangat.

“Tadi abang duduk saja di kerusi dan saya mahu start gunting terus tertidur,“ komen tukang gunting itu. Aku bukannya tidur betul, saja pejamkan mata dan buat-buat lelap. Tapi aku mengaku yang aku penat.

“Ni kalau abang tak cukup istirehat ini, minggu depan abang boleh jatuh sakit,“ tegasnya lagi.

“Ya ke?“ balasku dengan nada tak percaya.

“Ya, betul,“

Aku balas dengan tersenyum sambil hulurkan bayaran.

Minggu ini

Sebenarnya aku terfikir juga dengan kata-kata si penggunting rambut itu dalam dua tiga hari kemudiannya, aku cuba jaga kesihatan dengan baik supaya tidak demam atau sebagainya tetapi lepas itu aku tak ambil peduli.

Tiba-tiba kaki aku mengalami kecederaan akibat terpijak sesuatu semasa balik kerja. Sesuatu yang tajam. Malam hari terkena itu, aku rasa macam tak perlu pergi klinik, hanya tekap luka dengan tisu dan tampal plaster. Tetapi keesokan paginya kaki masih berdarah.

Kena juga pergi klinik. Mula-mula dapat mc dua hari. Lepas buat rawatan susulan, dapat lagi dua hari.

Tiba-tiba aku teringat balik kata-kata tukang gunting itu.