Tuesday, November 28, 2006

Kebaya Expatriate

Memang diakui bahawa jalan cerita The Red Kebaya ini mudah di jangka. Tapi itu mungkin bukan tujuan asal pembikinnya untuk menimbulkan perasaan suspen pada penonton. Atau barangkali mereka ingin supaya kita dapat menyelami kesepian dan keterasingan dunia seorang jurugambar? Tetapi itu juga seakan tidak sampai perasaan yang cuba di memek dan hayati oleh pemeran. Mungkin sepatutnya filem ini tentang baju kebaya yang misteri yang boleh mencetuskan petaka pada pemiliknya? Sesiapa yang memakai maka mautlah padahnya.

Tidak.

Tidak ada tulah pada baju tersebut malah kebaya berwarna merah itu tidak mendapat coverage yang sewajarnya dalam sebuah kisah yang mengambilnya sebagai judul. Rasanya itulah yang melencongkan niat asal filem ini daripada memberi homage untuk sejenis pakaian tradisi yang membentuk figura, yang molek dan menggiurkan kepada transisi seorang lelaki yang digambarkan syahdu dan berseorangan dalam meneruskan karier sebagai perakam peristiwa. Jika boleh memilih, aku akan stick untuk mengikuti perjalanan hidup sepasang kebaya yang warnanya saja seakan memberi amaran.

Bukan setakat Vanida Imran lebih sedap di tonton daripada Ramli Hassan tetapi zaman 50-an di mana kebanyakan shoot latarnya bermain lebih meninggalkan impak dan sepatutnya di teroka isi dan pengambangan watak agar penonton boleh terkesan dengan jerit payah Azizah mencari rezeki di kelab joget di samping terjebak cinta Mr. Reynolds orang putih expatriate. Unsur komunis itu juga menarik sebagai bahan cerita kerana di sini ia telah di beri plot yang baik bahawa lelaki Azizah yang Melayu itu lari ke hutan untuk berjuang bersama komunis tetapi ia cuma setakat itu saja selain muncul dalam halusinasi Mr. Reynolds.

Selain daripada Divinia, isteri orang putih itu yang sangat sakit hati dengan Azizah, penari-penari joget lain yang juga cemburu masih boleh di beri susulan supaya Azizah di lihat benar-benar wajar dimusuhi. Ini sebagai efek lebih meruntun jiwa penonton. Ataupun penulis skrip boleh memasukkan watak suaminya yang komunis itu tiba-tiba muncul kembali lalu turut berdendam dengan kehidupan yang dimiliki wanita itu sekarang. Tidakkah itu akan lebih menguatkan konflik di samping pandai-pandailah letakkan baju kebaya merah tersebut di mana-mana sebagai signifikasi.

Tidak dinafikan bahawa gerak kerja kamera The Red Kebaya sangat baik malah ia adalah faktor yang membuatkan aku menonton filem ini. Kalau boleh di buat jalan cerita yang kuat dan berkesan maka itu lebih baik lagi. Tetapi Vanida memang berjiwa sebagai ibu tunggal yang cekal dan lembut di samping dialog Bob Mercer sebagai Mr. Reynolds bertutur dalam Bahasa Melayu menjadi humor yang tidak disengajakan.

Monday, November 27, 2006

Jan/Tina

Pagi semalam aku menonton stesyen Channel News Asia, ada sebuah program bertajuk 20/20 sedang ke udara. Topik yang di bawa ketika itu ialah tentang buku bertajuk “Self-Made Man“ serta temuramah dengan pengarangnya Norah Vincent. Beliau bercerita tentang pengalaman yang dilalui untuk menghasilkan buku tersebut.

Norah cuba menjalani hidup sebagai seorang lelaki selama 18 bulan sebagai eksperimen untuk memahami dan mengkaji gender yang berlawanan sebagai bahan bukunya. Tapi tidaklah sampai kena buat surgeri tukar jantina atau ambil ubat-ubatan mengubah hormon secara melampau. Proses itu dilakukannya melalui penyamaran berbentuk fizikal dengan kosmetik dan gesture. Macam filem She’s the Man. Atau Transamerica. (Tapi Transamerica lagi kompleks sebab itu dari perempuan tulen kena berlakon jadi mak nyah yang dalam proses nak jadi wanita sejati).


Transformasi ini bukanlah menjadi rumit buat Norah kerana beliau sendiri adalah seorang lesbian. Cuba lihat cover buku berkenaan. Norah setelah make-over menjadi lelaki adalah mirip dengan Robert Downey Jr.! Mungkin mereka ada related di mana-mana.


Robert Downey Jr. pula pernah berlakon sebagai gay dalam filem A Wonder Boy walaupun tak perlu disguise sebagai wanita. Tapi kita tahu sekarang kalau beliau teringin untuk berpenampilan feminine, macam mana rupanya. Atau mungkin tidak. Kerana Norah sendiri walaupun memang dirinya adalah wanita namun tidak begitu jelas berketrampilan sebagai wanita kerana beliau adalah tomboy. Terlebih testosterone agaknya.

Bercakap tentang Robert lagi, kalau beliau ingin menjadi perempuan, namanya tentulah bertukar sebagai Roberta. Dalam satu aksi prank rancangan “When A Hidden Camera Attack”, terdapat sketsa yang ingin mengenakan dua orang lelaki kononnya mereka telah memenangi hadiah sebuah kereta sport daripada satu company. Tetapi staff di situ memberitahu bahawa director company terbabit inginkan seorang wanita yang memenangi kereta itu.

Namun itu semua boleh di urus kerana menurut staff tadi, lelaki berkenaan boleh menyamar sebagai perempuan kerana boss dia tu blur sikit. Mesti dia tak dapat bezakan antara perempuan yang tulen atau yang palsu. Pokoknya, sanggupkah kedua-dua lelaki tersebut mengubah penampilan mereka jadi perempuan demi untuk memenangi kereta sport? Sejauh mana mereka boleh bertahan sebelum terjerumus ke dalam godaan ini?

Tentu saja mereka lemah untuk menahan nafsu daripada terjebak dalam memenuhi tuntutan materialistik. Salah seorang lelaki yang terpedaya tadi bernama Robert semasa aksi penyamaran berlaku telah menukar namanya jadi Roberta. Kelakar juga melihat aksi “Roberta” itu yang bersungguh-sungguh ketika berlagak sebagai wanita.

Tuesday, November 21, 2006

Perjudian Bond


Ini reviu dari bukan peminat filem-filem James Bond. Pertama sekali sebab aku tak suka dengan imej perisik yang terlalu kemas dan suave sepanjang masa. Aku juga tak suka dengan gajet-gajet dan perkakasan yang tak masuk akal yang Mr. Bond ni guna untuk membantu siasatannya. Satu lagi ialah, dia mesti akan berjaya dalam misinya pada akhir cerita, spoiler or not. Jadi baik aku tak payah tengok.

(Walaupun tak tengok aku tahu jugak sikit-sikit filem Bond ni macam mana. Tak adalah ignorance sangat. Aku tahu trademark nama yang dia sebutkan tu and the theme song)

Tapi aku telah menonton Casino Royale. Pujian untuk karyawan James Bond kali ini kerana memberi pendekatan realistik untuk persona seorang hero yang sebelum ini terlalu menjaga penampilan dan tidak berpijak di bumi nyata. Ok, dalam Casino Royale ada satu adegan yang tidak berpijak di bumi nyata, apabila Bond mengejar penjahat di atas kren. Permulaan filem ini memang hebat dan aku harap momentum begini akan berterusan sehingga penamat.

Mungkin ada yang telah mengetahuinya, kejar-mengejar di antara Bond dengan mangsanya pada awal filem ini di panggil “parkour“ semasa mereka berada di Madagascar. Kalau kita perhatikan penjahat yang dikejar tu berlari, melantun dan memanjat dengan kemas dan lincah sambil mengelak sebarang halangan di tengah jalan. Cuba tengok Bond yang mengejar di belakang pula. Habis tunggang-langgang, berterabur segala benda yang mengganggu masa dia nak berlari tu. Semacam ia adalah amaran bahawa apa-apa perkara yang bikin kacau akan dimusnahkannya.

Filem ini jadi bosan sikit semasa aktiviti poker berlangsung sebab aku tak faham cara-cara main daun terup ni. Tapi kesunyian permainan menjadi hidup semasa time break. Tetapi “hidup“ menjadi understatement untuk orang-orang di sekeliling Bond apabila nyawa mereka bila-bila masa boleh melayang sehingga di saat penamat filem. Nak tunggu “The End“ itu pun terasa lama kerana filem ini durasinya adalah filem James Bond yang terpanjang pernah dihasilkan.

Walaupun lama, aku rasa watak Solange tidak diberi screen time yang sewajarnya kerana mungkin telah dipendekkan oleh lembaga penapis kita. Aku fikir sebab mereka ingin memberi taraf U maka perkara tersebut tidak dapat dielakkan walaupun aku terpinga dengan beberapa adegan ganas seperti torture scene itu boleh lepas dengan selesa. Bukannya aku tak boleh terima tetapi untuk certain peringkat umur ia mungkin menjadi keterlaluan.

Casino Royale setaraf dengan filem-filem aksi lasak yang lazimnya. Tapi kerana ia filem tentang perisik yang di bawah satu franchise yang sama dengannya maka kita cenderung untuk membandingkannya sesama sendiri saja. Cuma kali ini ia muncul dengan garapan yang lebih mantap dan lebih berjiwa generasi baru. Barulah yang bukan peminat pun akan bersetuju supaya James Bond masih mampu berfungsi secara relevan.

Untuk review lebih komprehensif, sila baca eddvedder.

Friday, November 17, 2006

Riang Ria di Hari Raya

Dia tak ingat pula hari itu ialah hari raya ke dua atau ke tiga. Apa yang dia pasti musim itu ialah hari raya. Pada hari raya yang dimaksudkan, pagi-pagi lagi dia telah ke pantai. Dia tidak tahu kenapa dia ke situ. Sebelum ini dia tidak pernah turun ke pantai semasa hari raya. Pagi-pagi buta pula tu.

Hanya dia seorang saja ketika itu. Tiada manusia lain.

Berlari-lari di pesisiran pantai.

Dari hujung ke hujung.

Bermain air laut.

Dari gigi air ke tengah.

Biar basah.

Biar basah semuanya.

Dia belum mandi pagi itu. Pagi hari raya. Dia bangun dan belum mandi dan pergi ke pantai. Air laut menyimbah ke seluruh badan. Badan basah. Baru dia ingat kenapa dia turun ke laut semasa pagi hari raya. Kerana tidak ada orang. Kerana dia boleh mandi laut seorang diri.

Tidak ada sesiapa di situ.

Kerana tidak ada sesiapa yang akan pergi ke pantai tatkala hari raya. Sekurang-kurangnya pada pagi raya ke dua atau ke tiga.

Tidak ada orang akan memandang.

Jadi dia tidak perlu rasa aib.

Rasa rikuh.

Terasa malu-malu.

Kerana berseorangan di pantai adalah perkara asing.

Terasa dipulaukan.

Tiba-tiba dia ternampak ada orang datang. Dia ingin lari menyorok tapi tak sempat. Dia membiarkan orang itu menghala. Walau hati rasa kecewa.

Rupa-rupanya itu bapanya. Bapa datang dengan dua orang adik-beradiknya.

Walaupun dia rasa kebersendiriannya telah tergugat tetapi dia tak boleh buat apa-apa. Kerana pantai ini bukan miliknya. Sesiapa saja boleh datang bermain air. Mandi laut. Berlari-lari atas pasir yang berdesir.

Tambahan pula itu ialah bapanya. Dan adik-beradiknya. Dia tak boleh marah ahli keluarga sendiri. Kerana dia baru saja minta ampun dan maaf daripada mereka pada pagi 1 Syawal. Mereka pun ingin mandi laut juga. Walaupun pada pagi hari raya. Walaupun itu bukan perkara wirit yang mereka lakukan sebelum ini.

Bapa, dia dan adik-beradiknya menyerbu ke arah air. Mereka berenang. Meluru ke tengah, ke laut luas yang tidak di duga. Melihat ombak berlumba-lumba menuju ke pantai secara dinamik. Badan di lambung tetapi mereka cuba mengelak. Namun lencun juga.

Menjerit gembira dengan cara yang sebenar. Kerana itulah tujuan bapa dan adik-beradiknya ke sini. Dia pergi ke hujung sebelah sana. Batu-batu besar tercokol tegap kukuh seakan perisai. Kakinya memanjat hati-hati batu berlumut, licin dan sejuk tetapi selamat untuk sampai ke puncak.

Bapanya tidak memanjat sama. Sebaliknya berenang lambat-lambat menyusur tebing sembari mengawas. Adik-beradiknya mengikut dari belakang mengira batu-batu tersergam. Dia melangkah teliti kerana rentan tergelincir. Dia ingin melihat apa yang ada di sebalik pantai sana.

Pantai di sebalik batu-batu bagak.

Batu yang menyembunyikan.

Sesuatu yang dilindungi akan menjadi syak.

Sebenarnya mereka mungkin bukan ingin mandi laut. Atau bermain ombak. Atau memanjat batu. Mungkin bapa dan adik-beradiknya datang ke sini mencarinya. Dia tak ingat sama ada dia ada memberitahu mereka sebelum keluar tadi.

Apabila langit semakin meninggi, mereka sekeluarga meninggalkan pantai. Kerana cuaca tidak mengizinkan. Kerana hari itu masih hari raya. Mereka sepatutnya berada di rumah menyambut tetamu. Atau pergi berziarah ke rumah saudara atau tetangga.

Bukannya mandi-manda di pantai. Jejak-jejak pantai mereka tinggalkan. Matahari semakin terik memancar. Mereka tidak mahu di selar ultra lembayung.

Wednesday, November 15, 2006

Inspektor Posto

Oleh kerana aku belum tidur lagi pada dinihari Ahad yang lepas, aku pun membelek beberapa stesyen yang banyak di Astro. Tiba-tiba tanganku tertekan saluran Hallmark dan terpampang sebuah filem bertajuk The Inspectors 2 pada ketika itu. Aku ingatkan ia kisah Inspektor Polis tetapi bukan. Ianya tentang penyiasatan yang di buat oleh sepasukan Inspektor Pos.

Postal inspector.

Aku tak pernah dengar pekerjaan yang di panggil inspektor pos. Kalau inspektor polis atau inspektor kesihatan itu pernahlah dengar. Atau Inspector Gadget. Tetapi jawatan inspektor untuk organisasi pos adalah asing pada pengetahuanku. Secara tidak sengaja aku terpapas sebuah filem mengenainya. Mari dengar sedikit sinopsis apakah yang terkandung dalam filem mengenai inspektor pos.

Terlebih dahulu, menurut wikipedia Postal Inspector ialah satu jawatan di bawah agensi United States Postal Inspection Service (USPIS). Ia diasaskan oleh Benjamin Franklin, satu nama yang masyhur dalam permainan layang-layang semasa ribut petir melanda. Misi USPIS ini ialah untuk melindungi kepentingan sistem pos Amerika, kakitangan serta para pelanggannya daripada serangan jenayah dan menjaga keseluruhan organisasi pos negara daripada sebarang anasir jahat.

Memang ada peruntukan undang-undang di sana bagi memelihara operasi surat-menyurat. Inspektor Pos pula dikerahkan untuk melaksanakan tanggungjawab bagi menyiasat atau menyelidik sebarang salah laku atau aktiviti yang mengancam sistem pos Amerika atau sebarang jenayah melibatkan mel yang boleh mengakibatkan implikasi undang-undang.

Berbalik pada filem di saluran Hallmark tadi. Tajuk penuhnya ialah The Inspectors 2: A Shred of Evidence. Beberapa minit pertama yang membuatkan aku tertarik untuk mengikutinya ialah bila seorang wanita didatangi polis ke rumah untuk memaklumkan bahawa suaminya meninggal dalam kemalangan. Si isteri tadi terus menangis hiba mendapat berita tersebut. Tiba-tiba masuk sebuah kereta ke perkarangan dan seorang lelaki menyerbu ke dalam rumah setelah melihat kereta peronda di luar.

Wanita tadi terkejut dengan kehadiran lelaki berkenaan kerana itulah suaminya yang dikatakan meninggal oleh polis tadi. Mereka berpelukan gembira sambil polis pula kehairanan dengan identiti lelaki yang dijumpai maut kemalangan malam tersebut kerana memiliki kad pengenalan yang sama dengan suami kepada wanita di rumah ini. Siapa yang telah memakai identiti siapa? Tapi muka pada IC itu tak serupa langsung dengan muka si suami.

Adakah ini kisah isteri yang berkahwin dengan lelaki yang menipu identitinya? Macam yang berlaku di tanahair kita baru-baru ini. Tapi dalam adegan terawal filem ini menunjukkan seseorang telah menyelongkar peti surat di sebuah apartment dan mencuri beberapa pucuk surat. Apakah kaitannya dengan lelaki yang mengenakan pengenalan palsu itu? Maka khidmat dua orang postal inspectors (lakonan Louis Gossett Jr dan Jonathan Silverman) diperlukan di sini untuk menyiasat kes kecurian mel.

Surat yang disonglap itu ialah surat tawaran kad kredit dan pencuri akan memalsukan identiti pada kad tersebut dan berbelanja sampai had maksimum. Selain lelaki yang mati dalam accident terbabit, ada seorang lagi rakan seperjuangannya yang terlibat dengan jenayah ini yang masih bebas, iaitu Joe (Michael Madsen). Jadi Madsen yang terkenal dalam filem Reservoir Dogs, Kill Bill, dan Sin City ini telah di buru oleh dua orang postal inspector. Haahaha… Michael Madsen di kejar oleh inspektor pos…. tak mengancam langsung bunyinya.

Filem ni di buat based on a true events. Seperti biasa walaupun Madsen hanya perlu handle pihak berkuasa yang tak mencabar macam inspektor pos, dia tetap ada intensity dan grip dalam memainkan karektor. Cukuplah itu sebagai daya tarikan filem ini di samping mengambil tahu wujudnya satu position sebagai postal inspector.

Monday, November 13, 2006

Bilik Untuk di Kongsi

Gulp! Dia duduk sebilik dengan adiknya yang perempuan itu! (Dia ini tentulah seorang lelaki – kalau perempuan tidak perlulah aku terkejut beruk). Pertama kali aku mendengar hal sebegini. Atau pun dia jenis lelaki yang tidak bernafsu pada perempuan? Tapi memang tidak ada excuse untuk dia berkongsi bilik dengan muhrim bukan sejantina. Apatah lagi yang telah akil-baligh dengan hormon memuncak.

Aku tidak patut menyentuh tepi kain mereka, tetapi aku terasa rusuh mengetahui perkara ini semalam. Kalaulah aku tidak ikut Khai pergi ke rumah kawannya di Gombak itu malam tadi, tentu kepalaku tidak bersipongang memikirkan hal ini. Aku cuma ingin ikut dia keluar makan nasi lemak di sebelah Ampang Point apabila dia tiba-tiba melencong ke Gombak kerana mahu berjumpa kawan itu atas sedikit urusan kerja. Kebetulan masih suasana raya, kebetulan kami tidak perlu bergegas untuk makan nasi lemak, kebetulan ada kuih raya, maka kami rasa senang untuk masuk memanas punggung.

Khai perlu berbasa-basi dan berborak dengan kawannya sebagai tanda hangat bertemu dan aku lebih senang tersenyum sambil cakap satu dua perkataan sambil membelek majalah komik sambil menonton TV3 sambil mengunyah biskut raya. Mereka duduk bujang di rumah itu yang di isi empat penghuni. Salah seorang daripada mereka adalah perempuan yang mula-mula kami jumpa di lawang yang menyambut kami tadi, adik kepada kawan Khai.

Ada dua bilik tidur dalam flat berkenaan. Sebenarnya kawan Khai ada dua orang adik duduk bersamanya, seorang adik lagi adalah lelaki. Adik lelakinya itu pula membawa masuk seorang lagi lelaki sebagai ahli baru rumah mereka, menjadikan ada tiga lelaki dan seorang wanita hidup di situ. Tiga lelaki itu akan duduk sebilik dan bilik lagi satu di isi untuk adik perempuan.

Salah!

Dia berkongsi bilik dengan adik perempuannya manakala adik lelakinya duduk berdua dengan kawan lagi satu. (Aku tahu pasal pembahagian bilik tidur ni pun sebab Khai yang beritahu.)

Untuk menyedapkan hati, aku assume yang setiap malam si abang akan tidur di ruang tamu manakala bilik tidur yang dia kongsi dengan adik perempuannya itu cuma di buat untuk menumpangkan kain bajunya saja. Mungkin bilik-bilik di flat tersebut terlalu sempit dan lemas jika di isi dengan begitu banyak barang, apatah lagi orang.

Mungkin mereka terlalu naif dan dangkal untuk mencari tempat tinggal lain atau mencuba agihan lain bagaimana untuk menyusun ahli-ahli rumah mereka supaya tidak menimbulkan wasangka. Bukan aku bermaksud si abang dan adik perempuan tadi akan mencetuskan kontroversi dengan bertindak duduk sebilik tetapi naluri kita memang akan berdetik juga walaupun seboleh mungkin kita enggan berwaham buruk.

Suruh lelaki yang tiada ikatan muhrim itu keluar dari situ. Bukannya dia tidak boleh cari rumah lain. Jadi si abang boleh berkongsi bilik dengan adik lelakinya kerana memang sepatutnya adik perempuan itu menguruskan dunia wanitanya sendiri tanpa campur tangan sesiapa. Duduk dengan tiga penghuni saja di flat pengap adalah lebih munasabah.

Hairan memikirkan ada ibubapa yang boleh bertoleransi dengan anak-anak begini. Walaupun tinggal berjauhan, masih perlu juga di jenguk dan di tunjuk ajar apa yang patut. Mereka harus disedarkan kembali dengan hadis nabi yang menyuruh ibubapa memisah-misahkan bilik tidur anak-anak mengikut jantina pada sekian usia. Lelaki dan wanita tidak boleh berkongsi bilik, sama ada mereka muhrim atau tidak, sama ada mereka sukarela atau tidak. Hanya suami isteri yang ada waran sah saja boleh tidur sebilik, sekatil, seselimut, senafas dan sejasad.

Mereka perlu belajar semula subjek biologi, tentang perbezaan lekuk-lekuk di sana sini anatomi dua gender. Tentang aspek-aspek reproduktif manusia. Mereka perlu tahu cas-cas tubuh manusia yang boleh menjadi tarikan listrik kalau tersentuh. Boleh membawa mereka menjadi birah, menjadi begitu bernafsu kepada jantina lawan. Apatah lagi jika jantina lawan itu pula berada terlalu hampir. Kerana dia ada di sebelah katil sana saja.

Jarak katil pula boleh di capai tangan. Selain perlu menganjakkan sedikit badan dan kemudian hanya perlu menguis apa-apa kain yang melindungi. Disusuli dengan desah-desah nafas yang mengancam lalu fikiran menjadi keliru sama ada ini adalah normal atau ini melanggar norma? Mereka harus cepat-cepat sedar bahawa selain mereka berdua ada “makhluk ketiga” turut bersekongkol supaya malam yang panjang terus dilayari berarus dosa.

Selepas beberapa ketika kita boleh mendengar satu lagi kes sumbang mahram. Walaupun perkara begini sepatutnya dapat dielakkan awal-awal lagi. Kerana masing-masing telah dewasa dan mempunyai pilihan. Tapi memilih untuk sebilik dengan abang kandung sendiri bukanlah salah satu daripadanya.

Nota: Ini kisah beberapa tahun yang lalu. Adik-beradik itu pun dah pindah dari situ. Aku tulis pasal ni pun dah lama cuma baru nak kongsi dalam blog ni.

Friday, November 03, 2006

Lagu Raya Cinta Buat Bobby

Bobby Long: We cannot tear out a single page of our lives, but we can throw the whole book in the fire.

Filem ini memakai judul namanya lakonan John Travolta. Namun jalan cerita lebih berkisarkan dia dan protegenya Lawson Pine (Gabriel Macht) mengenangi Lorraine yang pengebumiannya mereka hadiri di pembukaan filem. Malah nama Lorraine terus mendominasi keseluruhan kisah walaupun wataknya tidak diwakili sesiapa namun kewujudan Pursy Will (Scarlett Johansson) menghubungkan mendiang dengan dua lelaki tadi seakan penyambung legasi.

Kemasyghulan dan kemurungan adalah perasaan yang di bawa oleh filem ini. Mereka seakan mati bersama-sama Lorraine tetapi dalam masa yang sama cuba untuk meneruskan hidup. Lawson cuba menulis biografi Bobby seorang bekas profesor Bahasa Inggeris tetapi belum siap-siap. Manakala Pursy terjebak dengan dua orang makhluk ini semasa berpindah ke rumah ibunya Lorraine tapi tidak sangka pula telah ada dua penghuni lain yang mendiaminya. Namun dia sanggup berkongsi duduk di sana sementelah dia waris yang berhak walaupun Pursy tidak sempat hadir semasa ibunya meninggal.

Subjek yang di bawa ialah tentang kehidupan insan-insan biasa di New Orleans yang cuba bertahan dengan masalah masing-masing di samping tidak mahu membebankan otak serta tahu untuk berseronok. Cuaca dan persekitaran alam tropika memberi impak kepada jalinan cerita juga keadaan New Orleans yang berbeza dari mana-mana bandar lain di Amerika adalah kelebihan. Jika anda tidak pedulikan pada karektor yang beraksi dalam filem ini maka cinematography yang menawan adalah sandaran terakhir.

Selain dari sekadar bersembang, melepak, minum arak, merokok dan menyanyi mereka tidak ada hala yang serius dalam hidup. Tapi bunyi percakapan sangat berfalsafah dan penuh simbolik malah ada unsur jenaka walaupun adakala rasa jengkel tetapi sedap di dengar. Ini menjuruskan ia kepada stage-play, yang kita boleh rasa bosan jika tak concentrate.

John Travolta berlakon sebagai bekas profesor yang pemabuk serta kesepian sekadar tahap sederhana walaupun dia cuba disguise dengan rambut putih serta badan flabby. Gabriel dengan Scarlett ada chemistry yang wujud sehingga kita fikir mereka patut halau John dari situ.

Memang Bobby dan Lawson kelihatan seperti tak tentu arah, tapi mereka mengambil berat tentang Pursy. Tambahan lagi gadis muda itu memang tidak berapa mengenali ibunya. Lorraine merupakan seorang penyanyi di sebuah pub di situ semasa hayatnya dan dikenali ramai. Malah nyanyian akhirnya menyingkap sesuatu yang menjadi rahsia walaupun dapat dijangka tetapi tidaklah terlalu dramatik.

Seperti mana ia dimulakan, filem ini di tutup dengan satu kematian lain. Tetapi tidak semuanya mati apabila sesuatu itu ada dokumentasi. Kalau ada secebis hidup yang kita catatkan pada senaskhah buku tidak kita gemari, sehelai daripadanya kita boleh carik keluar.

Thursday, November 02, 2006

Beraya di Laut Lepas

Kalau naik helikopter, perjalanan memakan masa antara 45 minit ke 1 jam. Kalau naik bot pula, ia akan mengambil masa selama 8 jam! Lebih baik naik helikopter, cepat pun cepat walaupun bontot kematu duduk atas seat yang keras. Pernah sekali dia cuba naik bot. Betapa bosannya sepanjang perjalanan terkurung dalam bot yang sempit untuk satu jangkamasa yang lama. Semacam tak ada akhirnya perjalanan itu.

Hari raya tahun ini buat pertama kalinya dia akan beraya di pelantar minyak.

Jauh di tengah samudera. Hanya lautan luas semata-mata. Langsung tak nampak daratan apa pun. Kalau waktu malam terlihat juga kelip-kelip cahaya lampu daripada telaga-telaga minyak lain yang berceracak di sekitarnya. Anehnya di kala siang tidak pula ternampak pelantar yang berjiran dengannya itu pada mata kasar. Jarak yang teramat jauh antara satu dengan lain.

Laut tidak selalunya tenang. Adakalanya ribut melanda dan ombak menjadi ganas. Tak putus-putus doa dipanjatkan di dalam hati agar segalanya selamat.

“Rilekslah, tak ada apa-apa. Biasa jer semua tu,” ujar rakan sekerja yang dah bertahun-tahun hidup di offshore tatkala terpandangnya pucat sewaktu ribut.

Kalau dah namanya lautan, mestilah ada hidupan marin kan? Paling seronok baginya ialah melihat ikan lumba-lumba berenang bebas di sekitar sambil meloncatkan badan mereka yang lincah dan gebu. Dia tak sangka sama sekali pengalaman berharga ini dapat disaksikannya secara langsung tanpa berharap pada Animal Planet atau Aquaria. Ikan yu pun dia pernah nampak.

Pada malam raya dia di beri peluang untuk menelefon keluarga. Family dia pun tak expect dia akan call sebab handphone memang tidak dibenarkan bawa ke sana tiba-tiba malam raya semua ahli keluarga terkejut namun gembira tatkala mendapat panggilan darinya. Suaranya kedengaran macam biasa, tak ada bunyi sedih sayu hiba pun waima terpaksa berhari raya di tengah laut.

Menurutnya tak ramai Melayu ketika itu. Yang ramai ialah kaum bumiputra dari Sarawak. Hidangan raya juga akan disediakan macam orang sambut raya di darat juga. Ada ketupat, lemang, rendang dan segala bagai jenis makanan tipikal raya.

Selain daripada pekerja-pekerja cari gali yang sepelantar dengannya, golongan lain yang dia jumpa ialah kaum nelayan. Kadang-kadang mereka akan singgah di kaki telaga minyak untuk menukar barang-barang. Macam sistem barter pulak. Sebab dapur di oil rig tu mewah dengan barangan dapur maka mereka tukar biskut, gula, kopi dan benda-benda lain dengan ikan yang mereka tangkap.


Disclaimer; Aku tulis ni berdasarkan pengalaman yang aku dengar dari seorang anggota keluarga yang bekerja di telaga minyak dan first time raya di atasnya. Cerita di beri sedikit pengubahsuaian untuk sedap di baca. Untuk ketahui keadaan sebenarnya berhari raya di pelantar sila baca di sini.
Gambar di ambil dari The Star