Friday, April 27, 2007

Utusan Angker

Sekawanan burung gagak terbang dan hinggap di luar pada hari keluarga itu berpindah ke rumah baru mereka di sebuah tanah terpencil di Dakota Utara. Seakan haiwan itu bertindak sebagai usherer mengalu-alukan serta menghela mereka ke dimensi lebih gelap seperti warna bulu-bulu pelepah yang membalut tubuh burung itu sendiri. Ibarat mata keluarga itu juga kelam gelap untuk menyedari mesej yang gagak itu cuba beritahu apa yang bakal menunggu mereka di sebuah penempatan sunyi yang lama ditinggalkan.

Serba-serbi adalah cliche dan stereotype untuk The Messengers. Tetapi aku suka dengan metafora menggunakan gagak itu bagi memberi maksud malapetaka. Tak silap aku ia di ambil daripada mitos Greek yang mengaitkan burung terbabit sebagai pembawa berita musibah. Juga aku pernah terbaca (dalam Mastika agaknya) yang haiwan ini adalah makhluk pendendam. Jika ia pernah disakiti atau dianiaya, seseorang yang membuat angkara terhadap kelompoknya maka bersedialah untuk terima pembalasan. Dalam satu adegan semasa Roy (Dylan McDermott) ingin menghalau burung itu secara tak sengaja dia telah mencederakannya, tidak lama kemudian gagak-gagak itu kembali untuk menyerangnya.

Tapi The Messengers tidak boleh semata-mata merujuk pada burung gagak kerana nanti ia menjadi filem salinan Alfred Hithcock’s The Bird bulat-bulat. Masalahnya walaupun ia tidak bermaksud untuk muncul semula sebagai filem berkenaan, ia tetap ada saduran The Shining, Cold Creek Manor, Dark Water serta imejan hantu yang semacam re-cycle daripada The Grudge. Malah hantu yang muncul di siang hari itu membuatkan aku teringat pada Puaka Tebing Biru. Mungkin mereka ingat dengan menggabungkan sekian banyak anasir seram produksi lain akan mencetuskan impak yang baru untuk filem ini.

Selain elemen gagak itu, aku juga tertarik dengan konsep membolehkan bayi atau kanak-kanak berupaya melihat objek atau semangat halus yang orang dewasa tidak dapat memperolehinya. Di sini watak bayi lelaki itu, Ben (dilakonkan secara berganti oleh kembar Evan & Theodore Turner) yang mula-mula sedar kehadiran unsur lain dalam rumah tersebut serta memperlakukannya seperti ahli-ahli lain seperti keluarganya juga. Tetapi kakaknya Jess (Kristen Stewart) turut di rasuk oleh entiti terbabit bagaimana pun tentu saja memberi respon lebih agresif apabila di ganggu. Seperti biasa juga orang tua mereka Roy dan Denise (Penelope Ann Miller) tidak percaya dengan anak-anak mereka apabila mereka mengadu perihal aktiviti mistik ini.

The Messenger memang tiada plot dan cerita yang kuat untuk menyokong pembabitan pertama Danny dan Oxide Pang ke dunia Hollywood. Mungkin mereka terbatas atau terikat dengan olahan kisah yang bukan idea sendiri. Tetapi meminjam terlalu banyak emosi filem seram tersohor lain adalah lebih mengecewakan lagi.

Wednesday, April 25, 2007

Tontonan Segera

Apabila aku sentuh mengenai filem ni ramai kawan-kawan aku akan mengaitkannya dengan Super Size Me. Bukan mereka saja yang terkeliru dengan filem dokumentari tersebut, aku sendiri pun tidak pasti sama ada ini adalah filem yang serupa tetapi memakai judul lain atau memang ianya berbeza sama sekali. Namun premisnya tetap mengangkat restoran makanan segera menjadi rencah utama dalam menghidangkan sebuah masakan yang boleh di hadam itu pun jika kita mahu menikmatinya.

Fast Food Nation adalah filem yang berdasarkan buku karya Eric Schlosser serta diarahkan oleh Richard Linklator. Kebanyakan reviu yang aku baca menyatakan bahawa filem ini tidak begitu bagus malah kita sepatutnya membaca dari bukunya saja. Aku tak baca buku itu tetapi aku fikir yang filem ini tetap menarik.

Berbanding dengan doku-drama yang satu lagi aku tonton, Thank You for Smoking, filem ini agak didaktik. TYfS tidak bertindak untuk mengajar atau berceramah pada kita tentang moraliti di sebalik rokok. Tetapi FFN dialognya memang terang-terang sedang menyuap kita dengan segala maklumat tentang kepincangan industri makanan segera, pihak-pihak berkuasa di belakang tabir industri itu, kaedah memproses bahan mentahnya dan lain-lain. Aku rasa macam nak ambil buku nota dan salin butir-butir penting apa yang mereka bincangkan.

Secara kasarnya terdapat dua aspek yang menjadi fokus dalam filem ni. Selain makanan segera, kita juga dapat menyorot masalah pendatang dari Mexico yang di bawa masuk secara haram untuk bekerja dalam sektor kolar biru di Amerika. Senario begini berlaku di mana-mana juga di dunia terhadap negara yang di anggap lebih superior dari jirannya. Justeru ia masih boleh menginsafkan melihat gambaran yang di beri menerusi FFN apabila ada yang sanggup menggadai maruah diri, diabaikan perlindungan kesihatan serta situasi tempat kerja yang merbahaya semata-mata mencari kehidupan lebih baik di tempat orang.

Tempo keseluruhan filem ini adalah perlahan dan tenang walaupun ada unsur-unsur dramatik seperti kemalangan di kilang atau di kejar peronda sempadan tetapi ia kelihatan bersahaja. Mungkin ia untuk disesuaikan dengan situasi penggemar makanan segera itu sendiri yang selalu sangat mengambil burger atau kentang goreng yang penuh bahan kimia dan garam berlebihan serta minuman berkarbonat yang mengandungi gula melampau lambat-bangat ia tetap mendatangkan risiko penyakit dan memusnahkan tubuh pelahapnya. Kita mungkin tidak peduli dengan kesannya pada hari ni tetapi sesuatu yang perlahan dan lambat lama-lama akan sampai juga kepada kita dan ketika itu mungkin telah terlewat untuk kita bertindak.

Ada adegan di akhir filem ini yang membuat aku tersengih sebab ia semacam sama seperti yang pernah aku alami. Makanan segera ini boleh disimbolkan sebagai kemajuan yang kita kejar-kejar. Seperti juga aku yang sebelum dapat kerja di KL teringin sangat nak makan MacDonalds. Memang nampak naif masa tu. Mungkin itu juga yang menjadi umpan pada sesetengah orang untuk berhijrah ke tempat lain yang lebih makmur dan makanan segera menjadi standard kepada kemakmuran yang mereka cari.

Monday, April 23, 2007

Nombor Psiko

Mengapa seseorang perlu obses dengan nombor? Mungkin filem The Number 23 dapat memberikan jawapannya. Itu saja yang aku dapat rumuskan tentang manusia yang taksub dengan sesuatu nombor dan filem mengenainya, ia tidak begitu memberi kesan. Tapi opening credit agak mengujakan dengan cara menggabungkan nama pelakon dan krew beserta angka dengan peristiwa dan teori yang boleh disabitkan dengan 23. Selepas itu anda boleh tinggalkan panggung kalau tidak mahu bertahan melihat Jim Carrey berlagak serius.

Memang masih timbul nak ketawa melihat beliau walaupun filem ini tidak memerlukannya menggelinjang atau buat memek-memek muka lawaknya itu. Kombinasi dengan pelakon-pelakon lain seperti Virginia Madsen, Logan Lerman dan Rhona Mitra dapat mengimbangi unsur drama misteri yang cuba dibawakannya daripada penonton yang gelak tak pasal-pasal. Begitu juga dengan elemen “noir” yang diterapkan pada sesetengah babak filem itu untuk membezakan yang mana gambaran daripada buku/khayalan dan ketika di alam nyata.

Filem ini berasaskan kepada sebuah buku. Begitu juga dengan filem Secret Window yang pernah aku minati dulu. Satu persamaan yang aku tak dapat sangkal ialah nama pengarang buku yang turut menjadi subjek dalam kedua-dua garapan ini iaitu Topsy Kretts dan John Shooter. Nama itu seakan kriptik yang merahsiakan sesuatu. Nampaknya selain nombor, ada perkara lain yang terpaksa watak-watak ini pecahkan kodnya. Walaupun ada mereka berikan penjelasan, tapi tak payah dengar betul-betul kerana ia mungkin tak masuk akal atau anda akan pertikaikan nanti.

Satu lagi karektor yang aku tak berapa faham ialah Ned, anjing yang menimbulkan masalah buat Jim selain daripada buku tersebut. Anjing itu ada signifikan dengan kerja Jim di Animal Control tetapi nampaknya haiwan itu terus mengganggu sehingga kita tidak pasti sama ada ia benar-benar perlu wujud sekadar untuk menambah suspen pada plot? Lebih baik penulis skripnya, Fernley Phillips cuba untuk menjustifikasikan nombor 23 itu supaya ia benar-benar memberi impak kepada hidup Jim daripada sekadar dia sasau untuk menyelidik kenapa buku tersebut seolah-olah berdasarkan kisah hidupnya.

Begitulah permulaan ceritanya apabila watak yang di pegang Jim bernama Walter Sparrow dihadiahkan buku oleh isterinya bertajuk The Number 23 ketika harijadi yang jatuh pada 23 haribulan 2. Makin lama dia baca semakin paranoid jadinya kerana catatan dalam buku tersebut benar-benar mirip dengan apa yang pernah dia alami. Cuma kita sebagai penonton perlu alasan yang lebih konkrit untuk turut menyelami ketakutan yang sama.

Friday, April 20, 2007

Mengejar Matahari

Semasa melihat poster dan membaca sinopsis filem ni, aku terus teringat pada The Core. Sejenis lagi filem dengan konsep yang sama cuma satu menuju ke matahari manakala yang sebuah lagi menjunam ke dasar pusat bumi. Kedua-duanya bertindak atas prinsip ingin membaiki atau memulihkan suatu sistem yang kian lemah dan rosak supaya dapat kembali berfungsi demi kesejahteraan umat sejagat.

Oleh kerana aku tak pernah tengok filem-filem lakonan Michelle Yeoh di panggung wayang sebelum ni, maka aku pun melapangkan masa untuk menontonnya. Sudah pastilah ini bukan medan selayaknya mengukur kekuatan aksi lakonan beliau kerana terdapat tujuh lagi watak lain yang berkongsi ruang dengannya secara saksama. Lapan angkasawan dan saintis di hantar ke angkasa dalam satu misi di panggil Icarus 11 untuk menjana semua kuasa matahari yang semakin malap dengan menggunakan bom nuklear. Michelle menjadi pakar biologi bernama Carazon yang bertugas memelihara kebun tanaman bagi bekalan oksigen serta sebagai sumber makanan dalam kapal angkasa tersebut.

Aku nasihatkan anda berbanyak bersabar apabila menonton filem ini kerana ia bergerak sangat perlahan sehingga kalau seseorang angkasawan itu berada terlalu lama di angkasa dia boleh di rasuk “space madness”, anda yang di pawagam pula boleh terkena “cinema madness” masa tengok Sunshine ni. Seakan ia mahu kita benar-benar ambil sedikit masa untuk hargai dan nikmati matahari yang seringkali kita abaikan kerana menganggap ia akan tetap menyinar untuk selama-lamanya. Apatah lagi hampir keseluruhan fokus filem ini terkepung di atas kapal itu serta dunia kosmik di luarnya.

Jadi untuk elakkan daripada kegilaan ini berlaku, cuba tumpukan pada proses yang para angkasawan itu jalani untuk menjayakan misi berkenaan di samping menyelami setiap detik yang resah, sulit dan indah tatkala masing-masing berada dalam stesyen angkasa terbabit. Penulisnya Alex Garland melakukan tugas sukar dalam naskhah Sunshine ini kerana jika ia berseni sangat mungkin penonton mudah bosan. Special effect terutama percik-letus matahari itu memang menakjubkan namun itu bukan umpan bagi filem ini bertaraf blockbuster kerana aku tidak fikir ia di beri label demikian.

Kalau kita familiar dengan kerja-kerja pengarahnya Danny Boyle sebelum ini seperti The Beach, Trainspotting dan 28 Days Later, kita boleh rumuskan bahawa idea yang nampak biasa seperti remaja yang ingin mencari pantai atau zombie tiba-tiba kelihatan segar dan tidak lagi menjadi tontonan santai. Kisah angkasaraya seperti ini boleh menjadi falsafah dan semangat seperti juga ada di kalangan kita yang suka merenung bulan di langit lepas dengan tujuan kerohanian atau sebagai sumber inspirasi.

Wednesday, April 18, 2007

The Fabulous Picture Show

Petang Sabtu lepas di saluran Aljazeera, aku sempat tertengok rancangan bertajuk The Fabulous Picture Show (FPS). Tapi aku tertinggal beberapa minit terawal jadi aku kena surf internet untuk mendapatkan info selanjutnya tentang program ini. Ianya tentang acara-acara filem dan perkara seputarnya dihostkan oleh Amanda Palmer. Pada hari yang aku tengok itu mereka sedang mengadakan diskusi tentang filem yang datang dari Israel berjudul Beaufort.

Rancangan ini di rakam secara langsung di sebuah pawagam yang menayangkan satu-satu filem tertentu penghasilan karyawan dari seluruh dunia justeru penonton yang hadir di situ boleh memberi pendapat mereka lantas pengarah serta penerbitnya boleh menerima maklum balas secara bersemuka dari khalayak yang mengikutinya. Verdik yang dapat di cerna daripada itu, terserahlah pada publik untuk menilainya sendiri.

Beaufort diarahkan oleh Joseph Cedar seorang bekas tentera Israel (aku rasa semua rakyat Israel ni memang dikerahkan jadi askar) yang mengisahkan pada tahun 2000 dulu bagaimana satu ketumbukan pasukan muda tentera di arah untuk mengawasi sebuah penempatan terakhir Israel di Labenon yang terletak di Beaufort Castle, tatkala mereka dalam proses berundur dari situ. Pelakon Oshri Cohen memegang watak Liraz Liberti seorang komander yang berusia 22 tahun mengepelai sebuah kumpulan anak muda yang di paksa berperang dalam satu perjuangan sia-sia. Namun ironi pahit yang terpaksa di telan, sebulan setelah tamat penggambaran filem ini, konflik meletus semua antara Israel dan Labenon pada 2006.


Penonton yang hadir ketika itu terdiri dari warga Labenon dan kaum Yahudi masing-masing menyokong filem ini dan kesal dengan tragedi yang berlanjutan. Ia dapat menyentuh hati mereka kerana peristiwa yang dipaparkan adalah dekat dengan persekitaran yang di alami serta menimbulkan keharuan. Siap ada yang bercucuran air mata kerana terkesan dengan cerita berkenaan.

Selain daripada filem Beaufort tersebut, satu lagu preview yang sempat aku tengok ialah Goodbye Bafana. Ianya menyingkap memoir seorang warden penjara kulit putih yang bersikap apartheid lakonan Joseph Fiennes yang tiba-tiba berubah apabila beliau ditugaskan untuk mengawal seorang banduan, pejuang hak asasi manusia, Nelson Mandela lakonan Dennis Haysbert. Berapa banyak lagi filem tentang tokoh dari Afrika yang hendak ditonjolkan tidak dapat kita jangka. Apa yang sedikit pincang ialah apabila karektor itu bukan dimainkan oleh wakil benua itu sendiri tetapi orang luar.


Selain itu program FPS ini juga menemuramah Sydney Pollack, seorang pengarah veteran Hollywood yang popular dengan filem seperti Tootsie, Out of Africa dan The Interpreter. Filem terbaru yang sedang ditayangkan kini, Sunshine turut dipromosikan dalam rancangan ini. Aku dah tengok Sunshine minggu lepas, nanti aku cuba bagi pendapat aku tentangnya.

Friday, April 13, 2007

Main Tembak-Tembak

Apabila melihat letupan disusuli api marak menyambar dari belakang dengan si hero melangkah gagah dibayangi api tersebut, kita terasa ingin melaung “Rambo..!!” Mark Wahlberg dengan lagak macho penuh intensiti dan stamina berperanan sebagai Bob Lee Swagger seorang askar marine yang telah bersara tetapi di panggil balik untuk membantu satu misi rahsia kerajaan. Kemahirannya sebagai penembak curi jarak jauh yang tepat sangat diperlukan bagi membanteras satu cubaan membunuh presiden U.S.

Melihat filem ini daripada perspektif yang lebih luas ia nampak idealistik yang keterlaluan sehingga kita terasa jengkel. Dalam pada negara polis dunia itu masih berkeras dengan Iran yang terus dengan prinsipnya untuk memiliki kuasa nuklearnya sendiri, kita idamkan ada manusia macam Bob Lee ini yang muncul di Amerika secara realiti. Supaya dia sanggup memikul tanggungjawab di atas setiap tindakan kotor pemimpinnya waima dalam masa yang sama dia tetap bersemangat patriotik. Ia sesuatu yang nampak bertentangan.

Itulah juga yang bermain di fikiranku tatkala ditemukan dengan The Shooter ini seolah-olah perwira berkenaan ingin menentang seluruh sistem Amerika. Mungkin bercampur sedikit dengan konflik peribadi apabila semasa pembukaan cerita, rakan karibnya yang juga bertindak sebagai scout sniper terbunuh lalu mereka berdua ditinggalkan terkontang-kontang oleh rakan sepasukan di Ethiopia semasa satu serangan. Kemudian, tiga tahun selepas itu dia di aniyai pula oleh beberapa pegawai berkuasa yang menyebabkan dia menjadi buruan.

Pengarah Antoine Fuqua yang memang sinonim dengan action flicks begini seperti Training Day dan Tears of the Sun sekali lagi tidak menghampakan peminat aksi thriller. Tapi tindakan menembak mangsa dari jauh dan tersembunyi kita rasa macam perbuatan mengelat dan tidak gentleman. Namun aku rasa ada sesetengah adegan dalam filem ni semacam memberi homage untuk siri tv MacGyver, lelaki yang pintar menggunakan perkakas, unsur dan benda-benda di sekelilingnya sebagai survival untuk hidup. Tetapi MacGyver anti senjata api jadi ada sedikit perbezaan di sini dengan Bob Lee.

Paling melecehkan tentang The Shooter ialah plotnya yang tidak kemas dan dangkal terutama melibatkan alasan untuk seorang tentera yang telah berhenti khidmat bagi membalas dendam dan bertindak menuntut bela bagi warga Ethiopia. Perempuan yang jadi balu kepada rakan karibnya itu juga tidak muncul meyakinkan malah tak perlu pun tak apa. Sekadar untuk menjadi damsel in distress adalah cliche. Tetapi anda sekadar tengok untuk berseronok apa salahnya.

Tuesday, April 10, 2007

Kisah Seram Daripada Kitab

Melihat dari trailer saja aku sudah dapat rasakan Jangan Pandang Belakang adalah sangat menyeramkan. Terus meremang bulu roma masa tu. Lantas aku teringatkan sebuah drama bertajuk “Kembali” lakonan Zami Ismail yang pernah aku saksikan masa kecil-kecil dahulu yang turut menjalarkan rasa seram yang sama. Memang sebuah cerita yang akan menghantui anda buat jangka masa yang lama sehingga tak boleh tidur. Jadi aku skip filem ni dan memilih untuk menonton The Reaping.

Sebelum itu memang aku ada tertengok promo dan posternya yang kelihatan fantastik. Ia nampak misteri cuma tak timbul rasa seram sejuk bagi apa-apa bulu berdiri. Aku memang susah nak selami unsur ketakutan yang cuba diterapkan oleh filem barat. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh ambil tahu perkara-perkara yang menjadi faktor seram buat mereka. Dan ia ada persamaan juga dengan kita sendiri yang selalu berwasapada dan prihatin bila mendengar perkara-perkara pelik dan berita-berita yang menimbulkan intrig. Tambahan pula apabila ia ada kaitannya dengan kitab suci yang menjadi pegangan sesuatu penganut.

Tetapi bagi seseorang yang telah hilang kepercayaan kepada fahaman rohaninya, dia akan sedaya upaya membongkar kejadian misteri itu dengan huraian saintifik dan logik akal. Di sinilah karektor Katherine lakonan Hilary Swank muncul di sebuah daerah bernama Haven setelah penduduk di situ gempar apabila air sungai mereka tiba-tiba menjadi merah ibarat darah. Mereka mengaitkannya dengan seorang budak perempuan Loren (AnnaSophia Robb) yang disyaki jelmaan syaitan lalu membangkitkan kembali peristiwa ngeri seperti digambarkan dalam kitab Zabur.

Agak menarik mendengar hujah Katherine bagaimana dia menafsirkan kejadian 10 Biblical Plagues di Mesir dulu mengikut huraian bersandarkan fakta-fakta yang boleh di terima akal. Jadi apabila simptom yang serupa melanda Haven, mereka perlu mencari kambing hitam untuk melupuskan sumpahan wabak itu daripada terus menimbulkan bencana. Dari sini kalau kita cerakin dengan teliti, dah boleh agak twist yang bagaimana pengarah mahu tampilkan. Namun The Reaping bermula dengan baik pada adegan awal Katherine bersama krew dalam sebuah gereja di Chile untuk menyiasat satu kes mukjizat di situ yang ingin dibongkarnya.

Kebanyakan ulasan dan kritikan memberi penarafan yang buruk buat filem ini. Bagi aku sendiri yang tak begitu tahu kisah yang bersangkutan dalam kitab agama mereka rasa menarik juga maklumat begini sebagai pengetahuan am. Tentang aspek lakonan, dialog, kesan khas atau jalan cerita aku bagi rating sebagai sederhana saja. Memang kita ingin mengaitkan ia dengan Rosemary’s Baby atau Signs tetapi sudah tentu filem berdua itu lebih kuat lagi dari segi permainan ceritanya.

Sunday, April 08, 2007

Suku-Sakat Robinsons

Baru saja aku sentuh pasal inovasi, reka cipta dan apa-apa lagi tentang cetusan idea untuk membentuk benda atau produk terbaru bagi memudahkan hidup serta menjana pertumbuhan minda (dah bunyi ala-ala iklan susu tepung pulak ..hehe...) dalam dua entry terdahulu, tiba-tiba keluar filem Meet the Robinsons. Memang bernas tema yang di bawa oleh filem ini untuk memupuk minat kanak-kanak kepada dunia sains dan teknologi. Serta kesan yang boleh di bawa oleh seorang saintis kepada hidupnya sendiri pada masa depan serta alam sekelilingnya.

Tetapi baik aku cakap awal-awal bahawa filem ini bertaraf sederhana saja. Animasi Disney sebelum ini, Cars lebih baik lagi walaupun aku susah nak absorb kisah kereta boleh bercakap dan alat-alat pengangkutan berjiwa macam manusia itu. Tapi seluruh penceritaan Cars adalah bersungguh-sungguh dan perincian yang di buat memang menarik minat. Tapi bukanlah keluarga Robinson ni mengecewakan sangat dan tidak ada pengisian cuma menontonnya tak ada rasa teruja. Mungkin dah banyak sangat filem kartun malah syarikat filem lain juga menghasilkan filem animasi dengan olahan cerita lebih padu jadi kita expect bila muncul yang terkini ia akan lebih gempak.

Secara asasnya Meet the Robinsons ini mendasari persahabatan antara Lewis dan Goob, dua anak terbuang yang membesar di rumah anak yatim. Mereka mempunyai kegemaran yang berbeza iaitu Lewis seorang yang berminat dalam bidang sains dan mereka-cipta manakala Goob yang suka dengan permainan baseball tetapi tak begitu berbakat. Malah Goob yang lebih banyak berkompromi dengan hobi rakannya itu apabila dalam segenap aspek terpaksa menjadi pembantu Lewis serta bertindak sebagai bahan eksperimen. Kaedahnya, dialah yang paling banyak berkorban supaya Lewis dapat memajukan lagi ciptaan sainsnya seolah-olah dia dan sukan baseballnya tidak penting.

Namun satu unsur yang tidak dieksploit sepenuhnya ialah keunikan keluarga Robinson tersebut yang patut di beri sceen time lebih lama kerana tajuknya sendiri tentang mereka. Tetapi ia boleh jadi juga berkenaan famili yang diimpikan oleh Lewis kerana sejak lahir tidak pernah merasai kasih sayang keluarga kandung kerana dibiarkan ke tangan rumah kebajikan. Natijahnya, semoden atau seadvance mana kehidupan manusia ini akan tempuhi kelak, nilai serta ikatan sebagai saudara sedarah sedaging jugalah yang akan menjadi teras insani.

Perhatikan pada sejuring kata-kata hikmat oleh Walt Disney dipaparkan sebelum kredit penutup buat motivasi.

Wednesday, April 04, 2007

Nampak Saja Macam "Kacang"

Kalau anda pernah terasa macam nak lempang jer bila nampak Mr. Bean, hajat anda akan ditunaikan dalam filem ni. Dan ia bukan sekali. Karektor yang paling menjengkelkan, menyakitkan hati, menyusahkan hidup dan tidak bermakna tetapi boleh jadi kelakar kini kembali mengganggu kita dalam filem keduanya bertajuk, Mr. Bean’s Holiday. Jika dalam filem pertama dulu anda di bawa ke Amerika, kali ini destinasi yang bakal ditimpa malapetaka ialah Perancis atau lebih tepat lagi, bahagian selatan negara ini atau Cannes.

Menyebut Cannes kita akan teringatkan festival filem yang termasyhur itu malah ironinya filem Mr. Bean ini sendiri hanya boleh bermimpi untuk bertanding didalamnya. Tetapi beliau ada muslihat lain bagaimana cara membolehkan watak seperti Mr. Bean untuk menyertai pertandingan yang berprestij seperti di Cannes tersebut. Ia di buat dalam bentuk satira sebagai filem artsy yang macam syok sendiri dibintangi kebanyakkannya oleh Willem Dafoe cuma ia lebih serius tetapi masih narsisistik seperti Mr. Bean itu sendiri. Kalau diperhatikan inilah unsur paling lucu sepanjang filem ini bermain. Dan bijak.

Dalam hidup seharian kita pun, kita memang tidak boleh bertoleransi dengan mereka yang mementingkan diri sendiri. Mengapa kita boleh bertahan untuk menonton aksi begini di dalam sebuah filem adakalanya ia di luar capaian akal. (aku sendiri tengok pun pasal kawan aku belanja ....hehe...) Nak tengok sitkom dia yang setengah jam kat tv itu juga aku rasa macam kena torture. Tapi disebabkan ia dapat sambutan hangat maka versi filemnya wajib di bikin. Tetapi menurut sumber imdb, ini adalah filem Mr. Bean yang terakhir. Mungkin Rowan Atkinson sudah penat untuk buat-buat tak boleh bercakap dan bergaya macam manusia paling ignorance di muka bumi.

Bagi mereka yang tidak berminat dengan gaya lawak ala Mr. Bean ini mungkin akan skeptikal cara penulis cerita akan mengarang filem ini supaya jenaka dan perjalanannya konsisten sehingga akhir. Aku memang memuji garapan mereka kerana dari saat watak utama kita ini menang cabutan bertuah itu sehinggalah beliau tiba di Cannes ia penuh dengan misadventure acuan Mr. Bean yang kita tidak terasa keterlaluan atau dimualkan sehingga penonton boleh hilang minat. Mungkin ia aksi biasa bagi mereka yang kerap menyaksikan semua itu melalui siri tvnya tetapi aku percaya bila menonton versi filem ini, ia tidak hilang niche yang di bawa.

Ini sebuah road movie yang kita rasa di samping dapat mengekalkan populariti Mr. Bean, turut jadi serampang dua mata untuk memperkenalkan pelakon-pelakon Perancis yang membintangi filem ini. Dan juga ia lebih mudah bagi orang asing yang ingin berkenalan dengan Mr. Bean untuk bertanya khabar dengannya kerana masalah bahasa itu bukan lagi satu masalah (sebab dia kan ada problem pertuturan).