Helikopter: Eh, manusia tak perlukan kita lagi untuk terbang!Filem yang di dakwa rakaman sendiri yang semakin kerap memenuhi pasaran wayang akhir-akhir ini terasa naik menyampah pula. Kita sangka mereka tidak puas untuk mendera deria mata dan mental kita dengan gaya kamera bergerak-gerak mengikut watak dan turutan aksi yang berlaku memberikan pencerita sudut pandang pertama. Tapi aku yang tidak serik kena torture dengan stail begitu masih meluap-luap semangat nak tengok Chronicle ni setelah menyaksikan trailernya. Ini kelihatan menjanjikan sesuatu, dengan budak-budak lelaki ada kuasa ajaib tanpa motif tertentu, mesti di tonton - detik hatiku.
Setelah menyaksikannya, aku mendapati yang cerita ini lebih sesuai dijalankan secara format biasa. Agak menyusahkan untuk enjoy jika fikiran kita asyik mempertikaikan beberapa adegan yang kelihatan tiada kamera di kawal atau posisi di mana gambar di rakam. Tetapi dengan fenomena youtube dan videoblog yang semacam wajib generasi sekarang untuk mengusung kamera di hulu hilir ia sekadar mengikut arus semasa bagi mereka semua merekodkan apa saja peristiwa dan maklumat peribadi. Filem ini menyertai sekian banyak produksi yang serupa dengannya seperti Rec, Paranormal Activity dan Cloverfield dengan mencetuskan elemen manusia ala adiwira sebagai subjek. Paling menarik apabila kuasa yang diperolehi tidak dibebankan dengan tanggungjawab spesifik. Menyelamatkan dunia, misalnya.
Aku pun pernah memikirkan perkara sebegitu jika tiba-tiba dikurniakan bakat luar biasa, perlukah di galas sekali tugasan tidak bergaji membantu umat manusia semesta alam? Tidak bolehkah jika anugerah di beri sekadar dilunaskan untuk kepuasan sendiri saja? Asalkan ia tidak memudaratkan sesiapa, kuasa yang ada dimanafaatkan mengikut citarasa individu. Begitulah yang mula-mula tiga remaja itu lakukan apabila mereka tidak semena-mena terserap adikuasa selepas meneroka sebuah lubang misteri di padang dalam gelap malam. Pelbagai aksi dan gaya yang mereka eksploitasi penangan magisnya elemen yang meresap dalam tubuh mereka sehingga variasi aktiviti di luar jangkauan akal dapat mereka kecapi. Betapa seronok tengok mereka bermain melayang-layang di atas awan begitu.
Namun hidup salah-seorang daripada remaja tadi yang selalu di rundung malang dan mempunyai masalah psikologi mendatangkan musibah akhirnya. Beserta kuasa yang terlalu perkasa dan konflik dalaman yang kronik, ia meledakkan ancaman yang memusnahkan sehingga seluruh bandaraya Seattle terlibat. Aku memuji filem ini dengan jalan cerita yang smart dan pelakon-pelakon tidak terkenal sebagai menguatkan konotasi found footage yang di label, kita percaya dengan penemuan kameranya. Bagai boleh di jangka bahawa filem susulan akan diteruskan selepas ini.