Monday, February 28, 2005

Pergilah Melancong

Ke mana agaknya nak pergi melancong jika melawat Travel Fair? Ya, aku tahu, dah seminggu Travel Fair ni berlalu dan tak kan aku baru nak ceritakannya hari ni? Apa benda yang aku nak tulis dalam blog ni adalah tertakluk pada aku sendiri so bear with me people. Sejak bila orang ramai mula berminat hendak bercuti secara diskaun ini? Begitu ramai sekali umat yang membanjiri ekspo pelancongan yang baru berlalu termasuklah aku sendiri tidak ketinggalan.

Nak masuk kena bayar RM2 sekaligus sebagai derma untuk mangsa tsunami. Petugas di kaunter memberi tag untuk di lilit pada pergelangan tangan sebagai tanda kita telah di caj. Masuk-masuk saja ke ruang pameran, terdapat begitu banyak booth agensi pelancongan sedang mempromosi pakej masing-masing. Manusia melaut ramainya ke hulu ke hilir menyinggah setiap gerai seolah-olah begitu berminat untuk makan angin. Aku pun tak tahu apa yang aku cari di sini sedangkan di hati sendiri masih berbelah bahagi sama ada betul-betul aku ingin keluar melancong atau saja nak mengecap suasana.

Aku memang tidak berduit nak melancong ke luar negara waima dengan sebegitu menggoda tawaran yang diberikan ia masih di luar kemampuanku. Jadi aku hanya berjalan iseng membontoti kawan-kawan yang nampak genuine ingin keluar berwisata dengan bersungguh-sungguh meninjau setiap booth di pameran. Tapi aku tetap juga mengambil apa-apa flyers atau pamphlet yang di unjuk petugas-petugas mana-mana agensi yang tidak jemu membahagikannya kepada orang ramai. Aku teliti juga risalah yang di beri manalah tahu ada yang berkenan di hati (dan di akaun) maka bolehlah aku join sekaki.

Kalau melancong sekitar Malaysia bolehlah aku join, ikut sekadar mana yang termampu. Selain dari booth travel agency, ada terselit satu booth TMNet sedang mempromosikan streamyx. Melihat dari gerai-gerai travel agency itu, kita tidak akan menyangka betapa banyaknya kewujudan agensi pelancongan yang terdapat di Malaysia. Dulu aku ada seorang kawan yang kerja di agensi begini tapi sekarang dah resign dan agensi tempat dia bekerja dulu pun dah bungkus. Memang dia selalu keluar outstation membawa pelanggan-pelanggan di agensinya itu makan angin di destinasi yang ditawarkan.

Tempat yang paling selalu dia pergi ialah selatan Thai. Tak tahulah secara spesifik di bahagian mana selatan negara Siam itu. Sekarang ni nak pergi ke sana pun agak was-was ekoran kejadian pengeboman yang selalu sangat kita dengar. Kalau tak kena bom pun kena tembak, memang bahaya betul. Akhir tahun lepas pula berlaku dua kejadian yang tidak selesa buat para pelancong iaitu pembunuhan di Tak Bai dan tsunami di Phuket yang kedua-duanya bertempat di selatan Thai. Tapi semasa kawan aku pergi ke sana dulu menguruskan pelancong-pelancong dari Malaysia, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Maaflah, aku tak sempat nak korek cerita lebih-lebih dari dia pasal pengalaman dia membawa pelancong ke sana, kalau tak sahih aku akan paparkan di sini. Walaupun tidak dapat pergi sendiri dengar cerita dari orang yang pergi tu pun, okey juga. Entahlah, tak terfikir pulak masa tu.

Wednesday, February 23, 2005

Candle-Lite Breakfast

Pagi Ahad(1) sampai saja di rumah, tekan suis lampu dan suis kipas, ke dua-duanya tidak berfungsi. Sahlah tak ada elektrik. Patutlah tadi di kedai-kedai makan yang aku lalu semuanya memasang lilin seolah-olah sedang memuja sesuatu. Aku suspek mesti rumah aku juga gelita gelita petanda keputusan bekalan elektrik. Memang betul pun. Tak tahu apa masalah TNB kali ni, harap-harap ia tidak memakan masa terlalu lama.

Aku buka tingkap supaya angin dapat masuk sebab pagi ni terasa panas pula. Tapi ruang tamu masih tidak begitu cerah kerana baru pukul 7 lebih, matahari belum naik lagi sehasta. Macam mana nak makan roti canai(2) dalam keadaan tiada cahaya ni? Astro pun tak dapat tengoklah jawabnya. Aku pun cari lilin nak bagi terang sikit rumah aku yang dah macam dalam gua tu.

Lilin yang biasa warna putih dan bersaiz panjang tu tak ada, yang ada ialah lilin aromaterapi. Jadi ler… dari tak ada lilin langsung. Sekarang masa untuk mencari lighter. Kat manalah housemate aku ni letak lighter dia. Biasanya ada banyak benda ni bersepah-sepah depan mata, tapi time orang nak guna dia, tak ada pulak. Aku pun guna api dapur gas(3) jer lah. Tapi cahaya yang terbit dari lilin tu terlalu romantik, kecil sangat apinya dengan bau wanginya lagi. Bolehlah tu, asalkan boleh terang sikit-sikit, bukannya aku tak nampak langsung dan bukannya aku nak sumbat roti canai tu ke hidung(4). Kat luar pun matahari dah makin meninggi di ketika ini.

Barulah boleh makan roti canai dengan selesa sebab dah ada api lilin. Tengah-tengah aku sedap mengunyah tiba-tiba elektrik muncul. Yay!! Dah boleh tengok tv! Masa tu lebih kurang pukul 8 lebih dan aku pun padamkan lilin sambil menikmati sarapan dengan lebih menyelerakan. Lupa pulak nak cakap. Aku sebenarnya baru sampai ke rumah subuh Ahad tu dari bercuti wisata. Penat-penat sampai kat rumah, tengok-tengok letrik pulak tak ada. Nasib baik kejap jer.

___________________________
(1). Ahad 13 Feb 2005 yang lepas, dah lama punya cerita ni tapi sebab benda ni asyik berpusing-pusing di kepala, baik aku tulis.
(2). Sebelum sampai rumah tadi aku tapau roti canai dulu di satu restoran. Tapi restoran yang aku singgah ni ada pulak api letrik. Mungkin dari pencawang yang lain.
(3). Nak pasang lilin aromaterapi guna api gas ni agak payah sikit pasal bentuk lilin tu yang macam pasu bunga kecik. Kalau lilin kaler putih yang panjang tu memang senang pasal bentuk dia panjang. Kita boleh terus hulur sumbu dia dekat api tu. Kalau lilin bentuk macam pasu ni, kita kena ambik kertas suratkhabar, bakar kertas tu dulu kemudian baru cucuh dekat lilin aromaterapi tu.
(4). Walau segelap mana pun tempat yang kita nak makan, memang mustahil yang makanan tu kita akan suapkan ke anggota badan yang lain. Mesti suap ke dalam mulut jugak. Kalau tak, kebuluranlah jawabnya bagi golongan cacat penglihatan sebab gelap tak nampak, tak tahu nak sumbat makanan tu kat mana?!

Monday, February 07, 2005

Tua Setahun Lagi

Sms yang kawan aku hantar semalam untuk membatalkan janji temu sarapan kami diakhiri dengan ungkapan

“jangan marah, nanti cepat tua”

Aku tak marah pun, sebaliknya aku lega sebab tak jadi. Dan aku tak kisah juga kalau cepat tua. Sejak bila marah diasosiasikan dengan tua, aku tak tahu. Tapi ia seakan amaran supaya kita jangan cepat marah-marah jika tidak mahu menjadi tua yang seakan sangat ditakuti itu. Mari kita imbas kembali beberapa frasa melibatkan “tua” yang sangat popular.

a/+ Seorang Tua di Kaki Gunung

Sebuah novel karya Azizi Haji Abdullah yang pernah menjadi teks sastera wajib untuk pelajar tingkatan 4 (atau 5 kot?) pada tahun-tahun 80-an dulu. Betapa berkesannya novel ini sehingga ia didramakan dengan pelakon utama ialah Taman Idris. Aku pernah baca masa budak-budak dulu walaupun agak lambat nak habiskannya.

b/+ Tua-tua Keladi

Sejenis peribahasa yang sambungannya berbunyi “Makin Tua Makin Menjadi”. Maksudnya lebih kurang makin lama hidup, semakin gatal pulak jadinya. Contohnya orang tua yang syok dengan perempuan muda dan ingin berkahwin dengannya atau lebih teruk sekadar nak berseronok-seronok sahaja. Kita boleh juga panggil dia, “Tua Kutuk”.

c/+ Rumah Orang-orang Tua

Sebuah pusat penjagaan orang-orang tua yang biasanya di panggil dengan nama lain misalnya “Rumah Seri Kenangan”. Walaupun penghuni yang duduk di situ tidak berharap mereka hanya di kenang sebaliknya pergilah juga menziarahi mereka. Bukannya mereka dah meninggal nak di kenang-kenang. Patutnya pusat tu kita panggil “Rumah Seri Kena Ziarah”.

d/+ Tua Sebelum Waktunya/Tua Mengejar Kita

Dua buah lagu yang pernah ngetop nyanyian dua penyanyi wanita yang berlainan. Lagu berunsur nasihat ini secara ringkasnya mewajarkan kita mempergunakan masa terluang dengan sepenuh manafaat sebelum tanpa kita sedari kita telah terlalu tua di samping mengingatkan kita bahawa hari tua pasti menjelma.

e+ Le Tour de Langkawi

Tak ada kena-mengena dengan terminologi tua walaupun sebutan “Tour” tu lebih kurang sama dengan “Tua”… hahhaha…


Setahun sudah berlalu… bukan hari ni lah maksud aku hari Khamis nanti bermakna satu lagi tahun baru menjengah tiba. Maka semakin tua juga usia kita setahun lagi. Selamat menyambut Tahun Baru Islam 1426 H.

Sunday, February 06, 2005

Makan, Tidur, TV

Pagi

Selepas aku selesai mandi, tiba-tiba saja mendapat call dari kawan yang nak ajak breakfast bersama. Teragak-agak pula aku nak pergi ke tidak pasal kalau aku keluar pagi ni mesti terlepas kartun Spiderman : ) kat ntv7 nanti. Keluar makan dengan dia ni selalunya lama dan aku malas nak cakap aku kena balik cepat semata-mata nak tengok kartun. Aku pun setuju jer lah nak ikut dia keluar breakfast.

Lepas aku bersiap-siap, tiba-tiba dapat pulak sms dengan katanya tak jadi nak keluar pasal dia ada hal mengejut. Lega sikit dengar, aku pun terus pergi masak air nak buat air teh dan masak Indomie goreng. Lama tak masak mee segera, sedap betul rasanya. Sambil tengok kartun di pagi Ahad yang ceria.

Tengahari

Lepas habis Spiderman aku bukak dvd filem bertajuk Cruel Intentions 3. Tak sampai setengah jam tengok tiba-tiba rasa mengantuk pulak lalu aku terus zzzzz….. Sedar-sedar dah pukul 2 lebih dan aku terus keluar cari nasi. Makan nasi lauk ikan pari masak asam pedas, sayur masak air dan hati goreng. Tengah makan lauk hati tu tiba-tiba aku teringat pulak pasal rancangan kat channel Travel & Living semalam yang bertajuk “Eating in Guangzhou” yang menceritakan masyarakat Cina kat sana yang makan ular! Semua bahagian ular diorang makan. Loya pulak tekak aku.

Habis lunch, aku balik rumah dan bukak tv. Bukak-bukak jer terus keluar channel Hallmark yang jarang aku tengok tu. Ada filem bertajuk “When We were Grownups” lakonan Peter Fonda dan Faye Dunaway. Filem yang sesuai untuk petang Ahad yang bertemakan kekeluargaan mengisahkan seorang perempuan berkahwin dengan duda anak tiga. Ada juga babak-babak yang menyentuh perasaan terutama semasa adegan rakaman video di parti hari jadi datuk mereka yang ke-100. Habis tengok filem tu aku tidur balik.

Petang

Sedar-sedar dah pukul 6.30 petang. Masak air lagi sebab air pagi tadi dah sejuk (rumah aku tu takder thermos). Aku membancuh semug vico 3 in 1 sambil menunggu The Simpsons start pukul 7. Tapi rupa-rupanya dah tak ada kartun tu, digantikan dengan Malcolm in the Middle. Cuaca kat luar masa ni guruh berdentam-dentum memaksa aku off kan tv.

Sambil minum vico aku makan karipap mini yang dah berhari-hari aku nampak ada berbungkus atas meja. Sedap jugak karipap ni makan time-time lapar dengan hujan kat luar yang sedang melebat. Sekejap jer hujan turun sebab dalam pukul 7.30 lebih tu cuaca dah kembali cerah. Aku pun kembali membuka tv tanpa was-was lagi.

Malam

Aku terus pasang channel StarWorld sebab ada Oprah Winfrey dengan tetamu jemputan beliau malam ini ialah pelakon-pelakon siri komedi “Seinfeld”. Bagi aku siri “Seinfeld” ni adalah antara rancangan paling kelakar yang pernah aku tengok dan memang menyedihkan apabila Jerry secara tiba-tiba membuat keputusan untuk menghentikan siri tersebut. Alasannya, dia takut penonton akan menjadi muak. Ibarat kita makan sejenis makanan yang sedap, apabila terlebih satu dua suapan, sajian itu tidak akan lagi sesedap seperti yang mula-mula. Penonton di studio Oprah malam tadi sangat bertuah apabila mereka semua dihadiahkan dvd 3 musim pertama sitcom “Seinfeld”.

Kemudian beralih pula kepada channel Discovery yang menyiarkan dokumentari bertajuk 1421: The Year China Discovered America. Ia sesungguhnya satu dokumentari yang sangat menarik! Pergilah tengok kerana ia mencetuskan perdebatan siapakah orang sebenarnya menemui Amerika, Columbus atau siapa? Episod malam tadi menceritakan bagaimana laksamana Zhang He (ataupun Cheng Ho) ingin memulakan pelayarannya dari China ke Melaka, India sampailah ke Afrika.

Friday, February 04, 2005

Menjadi Blogger

Banyaknya jurnal atau blog yang aku discovered sekarang sampai dah tak terbaca. Tapi kebanyakannya baru wujud dalam tahun lepas. Bukan main rajin pulak mereka semua untuk update, boleh dikatakan setiap hari. Maklumlah masih baru, tentulah semangat masih berkobar-kobar untuk memenuhi entry supaya nampak penuh berisi.

Tak macam aku ni, makin lama makin malas pulak. Dah tahap seniorlah katakan. Senior dari segi bab membaca dan discover blog orang lain. Tapi bab mula create blog dan mengemaskini tu kira amatur lagilah. Sedar tak sedar dah masuk 5 tahun aku menggemari aktiviti membaca jurnal di dunia cyber ini. Dah bermacam-macam gaya, beraneka bentuk, bervariasi jenis jurnal, diari atau blog yang aku jumpa di sini. Antaranya;

1<< Ada sesetengah blogger yang terpaksa menukar site contohnya dari diaryland ke blogspot ke livejournal dan sebagainya. Adalah sebab-sebab yang tak dapat mereka elakkan tu sehingga mereka terpaksa "berpindah rumah".

2<< Sesetengah blogger pula telah menukar isi kandungan blog mereka secara ekstensif dari berbicara soal peribadi beralih kepada soal-soal umum. Sebab-sebab mereka bertindak untuk menukar tu, ada alasan-alasan tertentulah tu.

3<< Ada juga penulis yang berehat dulu sekejap dari menulis blog mereka malah terus menutupnya. Apabila mereka kembali, baru mereka menukar isi kandungannya.

4<< Ada jugak yang apabila tutup blog, langsung tak buka-buka

5<< Setiap pencipta blog memang tidak suka dengan design blog yang standard dan huduh itu malah mereka sangat dengki pula dengan penulis blog lain yang ada laman blog yang sangat sofistikated (termasuk akulah tu …) Tak apa, berusahalah untuk create design blog yang lebih gempak dengan belajar sendiri atau tanya orang.

6<< Sesetengah penulis online jurnal ini tanpa rasa segan silu terus mendedahkan apa-apa saja aktiviti mereka seharian tanpa ada self censorship atau tanpa memikirkan sensitiviti agama atau adat-budaya. Kadang-kadang siap kena condemn lagi dengan pembaca sama ada melalui Haloscan comment, tagboard message atau guestbook.

Membaca mesej-mesej berbentuk provokasi beginilah yang agak mencabar pemikiran dan kesabaran tapi memandangkan ia adalah hak individu, terpulanglah. Sekurang-kurangnya ada respond dan bermakna ada yang prihatin.

7<< Jangan sangka semua blog yang anda baca sekarang akan kekal mudah tertera setiap kali anda ingin mengkliknya. Suatu masa nanti tak semena-mena anda akan di minta password pulak untuk membacanya. Sedihh… Tapi sebab anda adalah silent reader, tak ada masa pula anda nak bertanya si penulis jurnal untuk memberi anda kuasa membuka jurnalnya itu. Lantaklah. Baca saja mana-mana jurnal lain yang tak banyak songeh.

8<< Akan ada rakan blogger atau pembaca blog anda yang ingin berjumpa dengan anda! Macam selebriti pulak rasanya. Tapi terserahlah pada anda sendiri sama ada nak jumpa atau kekal sebagai anonymous.

9<< Seseorang yang anda kenali akan terjumpa blog anda! Tapi aku sendiri … alhamdulillah, belum ada lagi kawan-kawan lama aku yang terjumpa dengan blog ni. Tapi hari tu nyaris kantoi dengan Ika, officemate aku, nasib baik sempat cover baik punya.

10<< Dengan menulis blog, anda boleh dapat anugerah tau! Bukan artis atau ahli sukan jer yang dapat anugerah, blogger pun boleh.

Itulah antara beberapa aspek dalam menulis online jurnal yang sempat aku perhatikan. Kalau anda yang membaca ini tiba-tiba tergerak untuk mencipta jurnal sendiri, selamat berjaya diucapkan. Harap-harap ianya tidak berhenti sekerat jalan. Semoga apa yang anda tulis itu dapat memberi manafaat dan ilmu kepada mereka yang membacanya di samping mendapat keberkatan untuk anda menjalani hidup di dunia ini serta di akhirat kelak.