Friday, December 19, 2014

Si Penggunting Rambut

Minggu lepas

Aku pergi ke kedai gunting rambut yang biasa aku kunjungi, selepas kerja Jumaat yang lalu. Bila tiba giliranku selepas bertanya itu ini soalan lazim jenis potongan yang aku kehendaki, aku serahkan kepalaku kepada yang pakar dan dia menjalankan tugasnya dengan tekun.

Habis menggunting disusuli pula dengan urutan leher dan kepala supaya aku terlihat lebih bermaya. Dia cakap aku nampak macam letih sangat.

“Tadi abang duduk saja di kerusi dan saya mahu start gunting terus tertidur,“ komen tukang gunting itu. Aku bukannya tidur betul, saja pejamkan mata dan buat-buat lelap. Tapi aku mengaku yang aku penat.

“Ni kalau abang tak cukup istirehat ini, minggu depan abang boleh jatuh sakit,“ tegasnya lagi.

“Ya ke?“ balasku dengan nada tak percaya.

“Ya, betul,“

Aku balas dengan tersenyum sambil hulurkan bayaran.

Minggu ini

Sebenarnya aku terfikir juga dengan kata-kata si penggunting rambut itu dalam dua tiga hari kemudiannya, aku cuba jaga kesihatan dengan baik supaya tidak demam atau sebagainya tetapi lepas itu aku tak ambil peduli.

Tiba-tiba kaki aku mengalami kecederaan akibat terpijak sesuatu semasa balik kerja. Sesuatu yang tajam. Malam hari terkena itu, aku rasa macam tak perlu pergi klinik, hanya tekap luka dengan tisu dan tampal plaster. Tetapi keesokan paginya kaki masih berdarah.

Kena juga pergi klinik. Mula-mula dapat mc dua hari. Lepas buat rawatan susulan, dapat lagi dua hari.

Tiba-tiba aku teringat balik kata-kata tukang gunting itu.

Friday, August 15, 2014

Jangan Takut Dengan Kapal Terbang

Nota: Selepas aku menyiapkan artikel di bawah, tiba-tiba terdapat satu lagi kejadian melibatkan kemalangan kapal terbang, kali ini di Iran dan Brazil seakan terus mengesahkan kerisauan mereka semua.

Seorang rakan sepejabat yang sepatutnya pergi becuti ke Korea hujung tahun ini sekarang sedang berbelah bahagi disebabkan ayah beliau melarangnya ke sana.

Puncanya?

Kejadian banyak kapal terbang terhempas membuatkan ayah beliau trauma.

Manakala lagi seorang kawan setugas juga telah membatalkan percutian ke Langkawi menaiki kapal terbang disebabkan alasan yang sama, takut terjadi nahas pesawat. (Aku macam nak syorkan dia kalau takut sangat naik kapal terbang, apa kata awak naik bas? Sampai kat jeti Kuala Perlis nanti, sambung naik feri ke Langkawi)

Memanglah kebelakangan ini banyak betul pesawat yang ditimpa malang sama ada disebabkan oleh cuaca buruk, di tembak oleh peluru berpandu atau hilang begitu saja, tetapi kita janganlah terlalu paranoid. Macam aku sendiri lepas dua bulan berlakunya tragedi MH370 aku, isteri dan beberapa kawan menaiki kapal terbang ke Bali. Sudahlah no penerbangan Air Asia kami ketika itu memakai angka 370 juga! Apakah ….? Sudahlah sepanjang perjalanan lewat petang itu cuaca agak kurang menyenangkan, tapi syukurlah kami selamat mendarat.

Kalau disuratkan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ketika itu, ianya di luar kuasa kita. Menaiki atau tidak menaiki sebarang pengangkutan, jika terjadi juga musibah atau tetap juga kecelakaan menimpa, itu adalah takdir kita. Hidup ini akan menjadi teramat susah jika terlalu memikirkan sangat risiko yang buruk-buruk. Kita cuma boleh berikhtiar dan berwaspada dan berdoa supaya dipermudahkan dan selamat menjalaninya. Selebih dari itu bertawakkallah.

Friday, January 24, 2014

Update Kerana Mensch

Semalam baca dalam paper The Sun, ada satu artikel pasal seorang pengarang yang baru menerbitkan buku terkininya bertajuk “Beauty”. Nama beliau ialah Louise Mensch. Mensch? Eh, macam pernah dengar nama tu? Kat mana ya? Hahaha… Ya, betul. Lebih kurang sama macam nama pena empunya blog ini. Yang blognya dah bersawang dan berkurun lama tiada perkembangan.

Berbalik kepada penulis tadi, nama asal beliau bukanlah diakhiri dengan Mensch sebaliknya ialah Bagshawe. Penukaran nama di buat setelah beliau berkahwin baru. Rupa-rupanya beliau agak popular dalam arena penulisan ini dengan banyak menghasilkan karya chicklit. Tak pernah dengar pula aku nama beliau ini. Namun ulasan oleh penulis rancana tersebut tentang tulisan terbarunya itu agak kurang memberangsangkan.

Sedang aku godek-godek nak isi entry baru blog ni, sebab dah lama tak buka account blogger, mungkin sebab aku dah lupa password atau username atau apa membuatkan ia tidak dijumpai. Adakah riwayat blog ini bakal berakhir di sini? (Aku malas nak create blog baharu kalau betul ia sudah tidak boleh dijumpai lagi).

Tapi setelah aku gigih berusaha memikir-mikir apa agaknya password atau username segala itu, akhirnya ia dapat dikesan balik! Yay! Masih ada harapan untuk blog ini bernyawa. Aku akan cuba mengisi entry dengan lebih kerap tahun ini. Tapi tak janji. (Tolonglah doakan sama aku akan dapat kerja baru yang tak stress seperti sekarang)