Wednesday, December 27, 2006

Anda-lah, Person of the Year


Kali ni, anda semualah yang di pilih sebagai “Person of the Year“ oleh Time sebagai satu tradisi tahunan yang di pakai oleh majalah tersebut. Biasanya ada seorang (atau beberapa) tokoh atau insan tertentu yang signifikan untuk dinobatkan dengan gelaran terbabit tetapi kali ini tiada sebarang manusia secara spesifik yang di pilih. Ini boleh di panggil gimik atau publisiti stunt supaya masyarakat melabur untuk memilikinya, tetapi Time ada alasan mereka.

Siapakah anda?

Menurut majalah tersebut “Anda“ merupakan kita semua – anda, Ya, anda yang sedang membaca benda yang aku taip ini – internet user secara amnya – janganlah hipokrit dengan tidak mahu mengakuinya pula. Kalau bukan guna internet, macam mana korang, eh.. korang pulak ... anda... nak baca blog aku ni.

Ya, itulah “Anda” secara lebih terperinci yang dimaksudkan oleh Time. Mereka yang berkecimpung dalam arena weblog, penulisnya dan pembaca online jurnal yang berkarya sama ada memaparkan isu-isu tertentu atau sekadar berkongsi maklumat harian. Selain itu mereka yang bergiat dalam myspace atau friendster untuk menambah sahabat atau cuma mempromosi diri sendiri atau mereka yang hanya melayarinya juga sama-sama menyandang gelaran ini.

Jadi inilah masanya untuk kita merasa dihargai dan dipedulikan oleh sebuah media cetak berpengaruh dan bertaraf antarabangsa bahawa peranan media kecil-kecilan seperti blog dan lain-lain itu turut mendatangkan impak. Sekarang bukan lagi zaman yang maklumat cuma terhad dalam bentuk naskhah tertentu dan hanya orang tertentu yang boleh menyampaikannya. Kita pun boleh buat juga – kita semua – anda dan saya.

Selamat Hari Raya Haji dan Selamat Tahun Baru 2007.

Wednesday, December 20, 2006

Sinema Sembilan

Inilah dia sembilan buah filem yang aku suka seperti yang dijanjikan semalam. Serta ada penerangan sikit tentang filem tu dalam satu dua ayat atau pun kurang.

Tajuk: Frailty
Tahun: 2001
Pengarah: Bill Paxton
Pelakon: Bill Paxton, Matthew McConaughey, Matt O’Leary
Nota: Bapa anda bukanlah seperti apa yang anda sangkakan – dia rupa-rupanya adalah pesuruh tuhan dengan implikasi yang menyebabkan konflik dan memusnahkan jiwa.


Stranger Than Fiction
2006
Marc Forster
Will Ferrell, Maggie Gylenhaal, Dustin Hoffman
Kalau anda rasa suara narrator dalam sesebuah filem itu hanyalah mengganggu, inilah filemnya. Mungkin bukan setakat anda yang rasa macam tu, tetapi watak utamanya sekali!


Adaptation
2002
Spike Jonze
Nicolas Cage, Meryl Streep, Chris Cooper
Kisah yang berbaur antara benar dan rekaan yang sangat mengujakan tentang seorang karyawan Hollywood dalam proses untuk mengangkat isi kandungan dalam sebuah buku bagi difilemkan.


Limbo
1999
John Sayles
David Strathairn, Mary Elizabeth Mastrantonio, Kris Kristofferson
Berlokasi di Alaska, dengan tiga watak utama – seorang lelaki bersama pasangan ibu dan anak perempuan yang secara tidak sengaja terjebak dalam satu sindiket jenayah.


A History of Violence
2005
David Cronenberg
Viggo Mortensen, Maria Bello, Ed Harris
Sebuah keluarga tampak sempurna di sebuah sub-bandar rupa-rupanya ketua keluarga itu ada sejarah silam yang patut digeruni ekoran liputan media yang meluas apabila dia bertindak sebagai hero menyelamatkan kedainya tatkala di ancam penjahat pada suatu malam.


Ed Wood
1994
Tim Burton
Johnny Depp, Sarah Jessica Parker, Martin Landau
Filem ni walaupun bukan bertema sedih, tapi aku rasa sayu menontonnya. Walau pun begitu aku salute dengan si Ed Wood ini yang tetap optimistik dan gigih berusaha walaupun hasilnya tetap macam s*al!...haha…


Can’t Hardly Wait
1998
Harry Elfont and Deborah Kaplan
Seth Green, Jennifer Love Hewitt, Ethan Embry
Cerita budak-budak dah habis sekolah pergi ber-party dengan agenda masing-masing. Teen flick dengan problem, karektor, misi dan klik mereka sendiri di samping lagu-lagu yang memberi kesan.


The Talented Mr. Ripley
1999
Anthony Minghella
Matt Damon, Gwyneth Paltrow, Jude Law
Kerana sehelai jaket telah menimbulkan salah-sangka dan ia tidak pula diperbetulkan awal-awal. Lalu segalanya menjadi bobrok kerana dia tidak mahu menjadi dirinya lagi kerana dia memang berbakat dari segi itu.


Babel
2006
Alejandro González Iñárritu
Brad Pitt, Cate Blancett,
Selepas Amores Perros dan 21 Grams, pengarahnya masih memisahkan kepingan-kepingan cerita yang kita ingatkan tiada sangkaut-paut dan pertalian kini melangkau jarak semakin jauh dari benua ke benua seolah semua tempat tiada batas geografi, seolah segala estetika dapat di kongsi menjadi satu.

Tuesday, December 19, 2006

Filem Di 9

Kalau kat MTV ada MTV Screen dan Channel [V] ada The Ticket, di tv9 pula kita ada Filem di 9! Yeaaa…! (walaupun aku tak faham konsep rancangan ini, dia main campur-campur – ada filem lama, ada filem baru. Kalau dua rancangan terawal aku sebut tadi ia lebih nak promosikan filem-filem baru di panggung tetapi Filem di 9 tidak berorientasikan begitu.) Baru kali kedua aku tengok program ni malam tadi.

Pengacaranya bernama Tazneem dan seperti biasa ia di isi dengan segmen-segmen. Antaranya seperti – Aura, ia lebih untuk recap filem-filem yang pernah bermain di pawagam. Contohnya malam ni dengan Sikit Punya Gila (most memorable scene yang Yusni Jaafar tegur Hamid Gurkha malam-malam masa tengkuknya pakai neck brace tu keluar suara jantan). Satu lagi filem animasi Polar Express (mungkin pasal Krismas dah dekat).

Aku dah tengok kedua-dua filem terbabit. Sikit Punya Gila memang gila punya kelakar dengan kritikan sosial terhadap hidup bujang dara dan teruna di kota besar seperti Kuala Lumpur. Polar Express memang “membawa” penganut ciliknya secara fizikal meneroka fantasi kutub seperti yang perayaan mereka dogmakan.

Segmen lain seperti Sinema 9 dengan selebriti jemputan memilih 5 filem yang mereka gemari, interview bersama pelakon dengan artis yang ditemubual malam tadi ialah Maya Karin manakala minggu lepas ialah Eman Manan. Akhir sekali penonton di bawa ke segmen Akan Datang untuk previu filem yang bakal berputar di bioskop menerusi dua trailer iaitu Tentang Bulan dan Sinking of Japan.

Aku tertarik dengan ruangan Sinema 9 yang semalam menampilkan Raja Farah untuk memilih lima buah wayang kesukaan beliau. Setiap minggu seorang artis akan berkongsi dengan penonton berkenaan filem-filem yang mendapat tempat di hati mereka. Filem yang Raja gemari ialah Harry Potter, Pontianak Harum Sundal Malam, Ali Setan, Little Man dan LoTR.

Tak tahu ler pulak apasal dia hadkan pada lima jer padahal tajuk segmen tu Sinema 9. Patutnya biarlah selebriti tu pilih sampai 9 filem, tapi takut tak cukup masa agaknya sebab rancangan ni setengah jam saja.

Apa kata aku pun buat macam tu? So, inilah dia 5 buah filem yang aku suka (secara tidak teratur, tak kira baru atau lama, tak kira aku pernah mention dalam blog ni atau pun tidak) berdasarkan tahun, sutradara, pelakon-pelakon utama serta sedikit sinopsis.

Ermmm... tak jadilah pilih 5. Aku pilih 9 filem. Esok aku buat.

Filem di 9 disiarkan setiap Isnin, 10.30 malam di tv9.

Friday, December 15, 2006

Pergilah Daftar, Nanti Terputus Talian

Lupakan untuk menjadi anonimositi kerana selepas ini mereka boleh mengenal siapa kamu apabila semua nombor-nombor pra-bayar telah di daftar. Untuk memiliki telefon mudah alih ini pun saya sebenarnya agak keberatan, ini, mereka suruh daftarkan nombornya pula. Saya buat tak tahu saja.

Untuk makluman kamu semua, saya telah mendapat mesej di bawah pada akhir bulan November yang lalu daripada pembekal telco saya. Sebelum saya memadamkannya saya telah sempat menyalin kerana saya tahu ia mungkin berguna suatu hari nanti.

Hotlink
Terima kasih krn tlh mendaftar no prabayar anda.Jgn lupa mengingatkan keluarga & rakan2 anda utk daftar no mereka sblm 15 Dis 06 utk elak no mereka disekat
Sender:
Hotlink
Sent:
Akhir-Nov-2006
00:00:00

Sebenarnya saya tidak pernah mendaftarkan nombor telefon pra-bayar saya dan saya tidak bercadang pun untuk membuat demikian. Mungkin keluarga saya di kampung yang tolong daftarkan. Walaupun ikut peraturan kena tunjukkan kad pengenalan semasa melakukan proses tersebut tapi saya rasa tak perlu tunjuk IC pun boleh daftar juga (macam yang housemate saya buat). Tapi saya belum tanya dengan keluarga saya untuk memastikan hal ini.

Bagi memuaskan hati sendiri saya telah menaip mesej REG dan hantar ke 22555 untuk betul-betul jelas bahawa nombor selular saya telah didaftarkan.

Memang benar!

Ia telah didaftarkan.

Lalu saya tidak lagi hidup dalam ketakutan dan trauma apabila menerima panggilan daripada nombor-nombor yang tidak saya kenali kerana saya tahu nombor-nombor itu juga telah pun dapat dipastikan siapakah pemiliknya. Maka saya boleh meneruskan hidup saya dengan puas dan selesa.

Thursday, December 14, 2006

Gembirakah Penguin


Kalau anda sudah menyaksikan Happy Feet, anda tentu tahu ceritanya bagaimana. Dalam The Star Selasa lepas menyiarkan rencana yang di petik daripada National Geographic, setakat mana Happy Feet menepati fakta di dalam memilemkan kisah burung penguin tersebut. Aku cuba buat terjemahan sikit atas apa yang aku faham menurut artikel itu.

1) Petualang yang membuat onar dalam Happy Feet ialah kita semua, manusia. Ancaman seperti penangkapan ikan secara berlebihan, tumpahan minyak, pencerobohan wilayah, global warming turut menjejaskan system kehidupan penguin di kutub selatan.

2) Penguin baka Emperor membiak/mengeram ketika musim sejuk yang melampau seperti digambarkan dalam filem kartun itu. Malah dalam dokumentari March of the Penguin juga merakamkan fenomena ini.

3) Ikan-ikan di perairan Antartika yang menjadi sumber makanan penguin terutama gen Emperor memang sudah berkurangan kerana faktor tangkapan komersil. Tetapi bagi penguin jenis King yang makan ikan lantern, mereka tidak tergugat kerana ikan lantern atau myctophids bukan hasil perikanan ekonomikal yang menjadi buruan nelayan.

4) Dalam Happy Feet, burung yang tidak boleh terbang ini digambarkan takut pada manusia. Sedangkan in real life, penguin tidak ambil pusing pun dengan kehadiran kita dalam kelompok mereka. Tetapi itu bukan bermakna yang mereka mengalu-alukan kita sepenuhnya kerana mereka juga boleh menjadi stress dan monyok dengan kita beramai-ramai datang untuk menengok mereka di habitat semulajadi.


Untuk membaca rencana berkenaan selengkapnya sila klik sini.

Wednesday, December 13, 2006

Apocalypswich

Ramai wanita di kawasan Ipswich di sini merasa ketakutan dengan kejadian pembunuhan bersiri terhadap pekerja seks yang bergiat di tempat mereka. Ramai yang merasakan bahawa walaupun setakat ini ia hanya melibatkan wanita yang berkecimpung dalam lapangan itu, tetapi impaknya turut dirasai oleh mereka yang lain. Bukanlah bermakna kerjaya ini direstui ramai tetapi apa yang menimpa pelacur itu lebih menyayat hati dan patut di bela.

Mungkin pihak media yang agak berat sebelah kerana menonjolkan tajuk “Pelacur“ itu daripada menggunakan terminologi lebih umum seperti “Beberapa Wanita Di Bunuh“ menjadi umpanan mata kerana ia kelihatan lebih sensasi dan menarik minat.

Sedangkan penampilan wanita yang menyandang gelaran ini di layar lebar juga menjadi kontroversi, macam tak ada pilihan karier lain – apatah lagi dalam dunia nyata, ia memang menjadi polemik dalam masyarakat. Hentikan dulu persoalan mengapa mereka menjalani hidup begitu, yang penting bagaimana kita ingin timbulkan simpati terhadap mangsa tanpa mengeluarkan kata-kata “Padan muka?“ Lihat, wanita juga yang menjadi sasaran sedangkan pembunuh yang masih berkeliaran tidak dipersalahkan atas jenayahnya. Sekurang-kurangnya belum lagi.

Sama ada ia berlaku di Ipswich atau Amsterdam atau Rio de Jeneiro atau Jalan Alor ia masih satu aktiviti yang diklasifikasikan sebagai jenayah. Oleh kerana mangsanya itu adalah seorang pekerja seks, ia menimbulkan dilema pada sesetengah anggota masyarakat bagaimana untuk memberi justifikasi mereka. Kalau mengikut dasar perikemanusian ramai yang dengan mudah akan menyebelahi nasib malang pelacur-pelacur itu yang di bunuh dan dijumpai dalam keadaan tanpa seurat benang.

Sebab itulah juga satu berita terbaru yang di terima, mana-mana pekerja seks yang belum menjadi mangsa telah menerima sumbangan wang dari pihak polis dan pengedar dadah supaya berehat dari menjual diri buat sementara. Pada saat-saat yang pembunuh berkenaan masih belum dapat di berkas adalah lebih baik ke semua pelacur di Ipswich duduk di rumah atau mencari kerja lain yang lebih selamat jika bantuan kewangan itu tidak mencukupi. Tetapi ia menerbitkan pula persoalan lain di benak penulis.

Benarkah modus-operandi pembunuh tersebut hanya melibatkan pelacur? Bagaimana kalau mangsa selepas ini adalah wanita yang berkerjaya lain daripada pelacur atau bukan wanita sama sekali tetapi lelaki?

Sama-sama kita tunggu.
;
;
;
Err... maksud penulis, sama-samalah kita menunggu pembunuh terbabit di tangkap oleh pihak berkuasa.

Friday, December 08, 2006

Pencari Cinta

Ketika Pierre Andre membuka tingkap pejabatnya (yang mula-mula aku ingat itu adalah rumahnya) tiba-tiba setompok najis burung terpalit atas papan billboard Mingguan Sensasi di luar daun tingkap. Mingguan Sensasi adalah nama akhbar tempat di mana dia bekerja. Kebetulan pula aku di dalam mood bercakap tentang suratkhabar tabloid. Selepas Buletin Rakyat, kali ini aku membaca Warta Mingguan Perdana.

Pengisiannya jauh berbeza daripada Buletin Rakyat tadi. Ia penuh dengan berita yang digempar-gemparkan berbaur kontroversi. Contohnya pada muka hadapan keluaran yang sedang aku tatap ini. Ia tentang seorang penyanyi lelaki popular yang sedang mencari ketenangan di sebuah pulau yang nama pulau peranginan tersebut bermula dengan huruf M (ok, ini akhbar tabloid – tentulah ini menjadi isu buat mereka). Manakala seorang perempuan lain yang pernah mempunyai kaitan hidup dengannya pergi bercuti di pulau lain yang namanya bermula dengan huruf B.

Satu blurb kecil pada muka hadapan itu juga memuatkan pengakuan seorang artis wanita yang kini hangat digosipkan dengan penyanyi yang bercuti di Pulau M tadi bahawa dia bersedia untuk berlakikan penyanyi itu. Ok lah tu, berita-berita macam tu untuk menambahkan input berborak kosong.

Di Mingguan Sensasi pula, selain Pierre ada dua pekerja lain yang bertugas mengejar scoop sebagai sumber tulisan mereka. Suatu hari mereka terserempak dengan Eizlan Yusof seorang eligible bachelor berjalan berpimpin tangan dengan seorang awek cun Fasha Sandha. Ini memang sensasi (sesuai dengan nama company) untuk front-page. Jadi peluang begini mereka tidak lepaskan untuk merakam. Tentulah jadi tajuk utama akhbar mereka itu dan ia mendapat liputan susulan ketika pemberita tadi mewawancara Eizlan dalam satu sidang media yang lain.

Jika tadi adalah akhbar olok-olok untuk prop dalam filem Cinta, tabloid yang betul aku baca ini memang penuh dengan cerita ringan santai sensasi begitu. Tidak lupa juga ia padat dengan rencana tentang seks! Penuh dengan kisah dalam kelambu dan iklan-iklan berkaitan alat kelamin. Tak adalah aku nak komplen apa, cuma too much sex is …err.. too much? Selain berita dan info yang trivial tadi adalah iklan-iklan personal yang kecil tetapi praktikal yang memuatkan berbagai produk dan perkhidmatan untuk dipasarkan. Tapi aku tak perasan pula ada ke tidak iklan orang mencari orang.

Kerana Sharifah Amani telah berjumpa dengan Pierre untuk mengiklankan dalam suratkhabar itu bahawa dia sedang mencari orang bernama Khalif. Walaupun secara peribadi aku skeptikal dengan tindakan mencari orang secara iklaneka begini tetapi ia berhasil. Ada banyak respon dan maklum balas yang mereka terima ekoran ramai yang prihatin di atas iklan yang tersiar dalam akhbar terbabit. Salah seorang Khalif yang ada prospek sebagai Khalif seperti yang di cari Sharifah ialah seorang pekerja kontrak (mungkin Bangla) yang sedang bekerja di satu construction site.

Imej yang timbul dari pertemuan itu adalah sillouette yang cantik pada kelir dengan percikan api dan batu-bata dan keluli yang masih dalam kerangka seolah selain dari ingin membina bangunan ada satu struktur lain yang mereka ingin bina di situ. Ada satu lagi mercu tanda yang tidak siap dalam filem Cinta apabila Rita Rudaini mengambil keputusan untuk berpisah dengan Rashidi Ishak kerana cintanya bubar lalu Rashidi tidak sanggup menyiapkan mahligai itu kerana ia tidak melambangkan apa-apa lagi.

Cinta sudah memulakan tapaknya, mendirikan tiang-tiang, menyusun batu-bata untuk menyiapkan sebuah kisah yang dekat dan boleh di terima oleh kita semua. Seperti Sharifah yang mencari Khalif, walau siapa pun dia – walau ada Pierre di depan mata, kita masih akan terus mencari sebuah cerita yang boleh membuat kita merasa puas dengannya. Mungkin ia telah pun ada atau mungkin kita tak jumpa atau kita tidak sedar bahawa selama ini sesuatu yang ringan, yang santai dan yang sensasi itu jugalah yang menjadi sumber pelepas rasa bersalah kita.

Nampaknya kita tidak perlu mencari jauh kerana persekitaran ini, manusianya serta imej-imej yang bernyawa mahu pun yang kaku adalah pencerita yang tulen dan mampu membuahkan ilham. Kita semua pencari cinta dan kita akan berusaha mendapatnya. Kerana kalau kita nak, mesti ada cara kan...?

Tuesday, December 05, 2006

Arus Tabloid

Selain paper arus perdana aku suka juga baca akhbar tabloid. Last week aku baca Buletin Rakyat keluaran 18 Nov 2006. Konsep suratkhabar sama macam Watan, Siasah dan lain-lain, penuh dengan berita politik dan analisis isu semasa. Ruangan lain seperti pojok, wawancara, rencana dan penulis tamu yang kebanyakannya memberi input seputar hal-ehwal tanahair.

Salah seorang penulis jemputan untuk akhbar ini ialah S.H. Alattas atau lebih dikenali dengan Pak Syeikh mengisi kolum di beri nama Macam-Macam Ada (macam tagline Astro). Tak silap aku, ada banyak juga suratkhabar tabloid yang mengambil Pak Syeikh untuk menulis di dalam paper mereka. Untuk Buletin Rakyat ini, pada keluaran tersebut beliau menulis artikel bertajuk Irama dan Lagu, Melayu dan Sungai, Laut dan Pantai. Bunyi macam sebahagian lirik lagu P. Ramlee.

Mula-mula aku baca rasa macam tak nak habiskan, tiba-tiba sampai pada satu perenggan yang berbunyi,

Jangan berhenti baca setakat ini saja. Nabi suruh sampaikan hatta sepotong ayat. Kebenaran itu pahit. Baca pakai akal, jangan ikut emosi. Belajar dari cerita Singapura di langgar todak. Jangan bunuh orang Melayu yang cerdik, pandai dan berani. Janganlah pula kita simpan yang pandai tapi jenis yang hanya mementingkan perut dan tembolok sendiri sahaja.

Baca mesti habis, jangan separuh-separuh. Kalau baca separuh-separuh maka yang dapat pun separuh-separuh juga. ’Half truth’ boleh mengakibatkan fitnah. Bila dapat separuh nanti budak-budak cakap: “Dia tu separuh. Tapi kalau tiga suku lagilah teruk. Jadi mestilah bacanya habis. Lainlah pula kalau kita pergi Negeri Sembilan. Ada kawan-kawan di sana bercerita masuk suku. Ini pun kurang seronok juga. Masuk Islam tidak bolehlah masuk separuh-separuh, suku-suku atau tiga suku dan sebagainya. Dah masuk tak boleh keluar, kalau keluar maknanya murtad”.


Panjang juga rencana tersebut. Keseluruhan artikel yang dibentangkan oleh Pak Syeikh ialah tentang senario politik tempatan yang turut berkait dengan dunia Islam antarabangsa. Cara beliau menulis juga menarik, ada eloquent yang tersendiri.

Ada satu hal yang aku tak tahu bahawa Ghandi seorang negarawan India ulung, akan mengulang baca sejarah Nabi Muhammad (S.A.W) walaupun telah tamat membacanya selain daripada membaca kitab Baghavad Gita dan al-Quran.