Tuesday, September 11, 2007

Bilik Puaka

Selepas meresahkan penonton menerusi sebuah hotel terpencil dalam The Shining, kali ini Stephen King memilih hotel yang terletak dalam hiruk-pikuk kota New York pula sebagai bahan momokkan. 1408 ialah nombor sebuah bilik di rumah tumpangan yang kononnya membawa malapetaka kepada penginapnya. Tiada yang pernah dapat bertahan di situ malah kebanyakkan mereka di timpa maut tatkala cuba bermalam. Anehnya, tidak pula bilik terbabit di sita walaupun kejadian malang telah berlanjutan sekian lama.

Mike Enstil ialah seorang pengarang novel fiksyen yang mula kehilangan momentum dalam hidup setelah kematian anaknya dan hubungannya dengan isteri juga semakin menjauh selepas tragedi itu. Sebagai mengalih tumpuannya, dia mula mengkhusus dalam penulisan cerita seram terutama membongkar metos atau kisah mistik yang menyelubungi sesebuah premis. Pada permulaan filem dia check-in di sebuah motel yang di dakwa berhantu dan dia ingin membuktikan sebaliknya. Proses pertama ialah masuk ke bilik, kemudian mula meneliti persekitaran di situ lalu merekodkannya di dalam pita rakaman.

Selalunya, memang misteri bangunan itu sekadar omong kosong masyarakat setempat dan dia berjaya mengesahkan tiada entiti ghaib di tempat tersebut. Tiba-tiba muncul sekeping poskad asing yang ditujukan kepadanya melarang dia daripada mendaftar masuk ke bilik bernombor 1408 di Hotel Dolphin. Kerana sesuatu yang azab dan menakutkan bakal menimpanya. Adakah dia mahu percaya? Seseorang seperti Mike Enstil yang sinikal dan pragmatik tentu tidak mudah diperdayakan.

Dari sini bersedialah untuk anda bersama-sama John Cusack yang memerankan karektor Mike hampir sepanjang filem bergelumang di dalam bilik hotel berkenaan. Watak Samuel L. Jackson sebagai pengurus hotel juga menarik terutama apabila dia cuba mempsiko penulis itu daripada meneruskan niatnya untuk membuat eksperimen berisiko tinggi ini hanya kerana dia malas nak mengemas bilik tersebut keesokkan harinya. Walaupun pada mulanya rasa macam lawak, anda akan menyedari bahawa dia bukan berkelakar sebenarnya.

Filem 1408 ini memiliki unsur-unsur seram yang tidaklah membuatkan kita sampai mengigau. Ia datang dengan pakej untuk menyemarakkan penggunaan cgi pada adegannya serta membuatkan kita sedikit pening kepala. Mungkin ada penjelasan yang lebih kritikal, itu pun kalau anda sanggup bangkit lagi sekali daripada koma.

Sunday, September 09, 2007

Pecah dan Tidak Masuk

Jarang sekali nampak pengarah yang satu ini membuat filem berlatarkan zaman sekarang. Menerusi Breaking and Entering, Anthony Minghella menghela kita ke King Cross, London sebuah kawasan terkenal dengan aktiviti tidak sihat seperti samun, pelacuran, dadah dan sebagainya. Seorang perompak tangkas dan licik memecah masuk berulang-kali ke sebuah pejabat arkitek di situ. Pemilik pejabat yang bengang dengan kejadian tersebut berhadapan lebih daripada sekadar si pencuri apabila dia terjerumus lebih dalam susulan dari nalurinya untuk menyiasat.

Boleh aku rumuskan filem ini berkenaan dua buah keluarga, Will Francis (lakonan Jude Law), keturunan British yang hidup senang bersama kekasihnya Liv (Robin Wright-Penn) dan memiliki syarikat sendiri. Tetapi di landa masalah sejak membuka pejabat baru di penempatan black area itu. Manakala pencuri tersebut ialah Miro dari Bosnia yang berhijrah ke London dengan ibunya untuk melarikan diri dari kemelut perang di negara asal. Macam tajuknya juga mereka memecah peluang yang ada untuk cuba memasuki dimensi baru supaya lari dari kebiasaan dan rutin supaya boleh menemui hasil yang lebih baik. Walaupun ia tidak semestinya berbaloi dengan usaha yang dilakukan.

Ia bercorak drama menyusur psikologi manusia namun temponya agak lembap untuk di hadam menjadikan filem ini seolah tiada matlamat. Beberapa subplot yang tidak kukuh juga seakan mematikan cerita ini daripada jadi meyakinkan. Selain Miro (di pegang oleh pendatang baru Rafi Gavron), watak anak kekasih Will, Bea (Poppy Rogers) yang mengalami sindrom tingkah laku tidak dapat dijangka seakan autisme sangat berkesan di sini. Malahan Will juga tidak dapat bersabar dengannya sehingga mewujudkan konflik dengan Liv yang aku fikir inilah plot utama ingin disampaikan pengarah. Namun ia seakan tidak di rinci problema itu memberatkan kita untuk merasa simpati terhadap mereka.

Tetapi bila dia berkenalan dengan Amira (Juliette Binoche) ibu kepada Miro memang kita boleh menjangka dia akan menjebakkan diri dalam masalah baru. Paparan Binoche sebagai wanita muslim Bosnia mungkin agak kurang selesa tetapi rasa seperti yang pernah kita dengar berita tentang kehidupan muslim di sana jadi ia mungkin ada rujukannya. Elemen yang menyeronokkan di sini ialah gerak akrobat yang pantas dan lincah oleh Miro semasa hendak mencuri atau melarikan diri itu semacam aktiviti parkor.

Breaking and Entering seperti tidak cukup rencahnya di sana-sini. Tetapi ia masih boleh menjadi tontonan yang bernilai. Lebih-lebih lagi jika anda ialah peminat tegar sutradaranya.

Friday, September 07, 2007

Invasi Tanpa Emosi

Plot yang sudah biasa bermain dalam filem atau siri tv. Malah ini remake yang ke berapa di bikin daripada filem asalnya The Invasion of Body Snatchers pun sudah tidak terbilang. Ia perlu lebih mantap dan berkesan daripada apa yang penonton pernah lihat dulu. Jadi apabila keluar berita yang versi awal pengarahnya telah di edit semula dan di beri sentuhan oleh adik-beradik Wachowski, kerana produser tidak berpuas hati, tentu hasilnya akan konkrit. Maka, produk akhirnya bagaimana?

Ia bukanlah mengecewakan. Sebagai peminat filem makhluk asing (yang bukan berimejkan Star Trek atau perang galaksi) ini masih boleh diterima. Pada awal filem ditunjukkan kapal angkasa shuttle jatuh terhempas ke bumi. Di buat ala rakaman berita supaya feel realiti terasa di situ. Namun tiada susulan daripada kejadian tersebut cuma kita di bayangkan sejenis virus kosmik yang aneh membiak ekorannya lalu mencetuskan panik kepada masyarakat setempat. Dan hampir keseluruhan cerita kemudian adalah berkisarkan Nicole Kidman ingin menyelamatkan diri dan anaknya.

Oleh sebab aku tak tengok filem terdahulunya macam mana, berdasarkan maklumat yang aku baca ia telah banyak di ubahsuai. Unsur makhluk asing itu telah di kurangkan sebaliknya The Invasion terbaru ini menekankan rasa humanisme yang kaya dengan emosi dan perasaan. Manusia yang telah berjangkit dengan bakteria terbabit digambarkan bertukar menjadi kaku dan dingin cuma menjadi agresif jika mereka dapat mengesan mana-mana manusia lain yang masih belum tersampuk dengan kuman tersebut. Supaya mereka sama-sama jadi beku dan seragam dalam utopia yang mereka alami sekarang.

Ia lebih kurang macam zombie atau kultus yang mahu mempengaruhi sesiapa saja dengan memaksa atau bertindak keras agar menyertai mereka. Sebenarnya filem ini lebih bersandarkan kepada nama-nama besar yang membintanginya selain Nicole, dengan Daniel Craig (yang naik selepas kemunculan Bond’s Casino Royale), Jeffrey Wright (Syriana) dan lain-lain. Serta pengarahnya sendiri Oliver Hirschbiegel yang membawakan Downfall penuh integriti cuba tembus ke Hollywood menerusi filem buatan semula ini. Cubaan yang boleh tahan.

Mungkin temanya tidak segetir beberapa filem dengan genre serupa yang pernah dihasilkan dulu. Tapi ia tidak kurang aksi dan suspen jika itu yang penonton harapkan. Sebuah lagi tayangan summer sebelum saki-baki musim ini berakhir.

Thursday, September 06, 2007

Berita: Baca, Dengar, Tonton

Mulai minggu ini anda akan di beri secara percuma senaskhah suratkhabar bertajuk Sinar Harian. Tapi bukan untuk selama-lamanya macam The Sun tu, ia hanya sampai 10 September, lepas tu kena bayar. Kalau mereka yang ke pantai timur tentu pernah jumpa atau beli sendiri. Mereka yang lain mungkin sekadar terpapas iklannya di mana-mana terutama iklan kecil di skrin TV3.


Tidak ada yang menarik sangat dengan akhbar ni. Dulu sebab segmen pasarannya di pantai timur, tentu saja berita-berita dari wilayah itu yang menjadi daya tumpuan. Nampaknya suratkhabar harian Melayu semakin banyak bersaing dan pembaca ada lebih banyak pilihan. Memang kalau kita perhatikan inti berita yang tampil tersiar adalah sama saja antara satu dengan lain. Cuma yang berbeza mungkin pendekatan untuk menganalisis atau mampu memberi perspektif berbeza. Namun media arus perdana agak dibatasi oleh faktor-faktor tertentu.

Selain melalui medium bercetak, berita-berita terbaru serta maklumat terkini secara meluas dan berterusan boleh juga diperolehi menerusi radio dan televisyen. Jadi, jika anda tak ada begitu banyak masa untuk membaca, tadahkan saja telinga anda itu ke frekuensi 93.9fm untuk di sumbat dengan sebegitu banyak laporan dan informasi. Kalau bosan dengar lagu, iklan atau celoteh dj yang entah apa-apa di stesyen radio lain, maka anda ada alternatif untuk tidak terus dijemukan.


Jika mendengar saja manakala mata anda tak tahu nak memandang apa, eloklah buka saluran terbaru Astro yang di panggil Astro Awani kerana ia menyajikan 24 jam berita dalam Bahasa Melayu. Bukankah itu satu cara lagi menambah ilmu kerana maklumat bukan hanya boleh didapati dalam bahasa Inggeris saja. Rasanya format stesyen televisyen yang khusus untuk sampaikan berita dan informasi ada lebih prospek untuk jadikan bahan-bahan itu di garap dengan lebih kreatif dan berkesan. Berbanding radio yang daya penyampaian mereka terhad kepada bunyi audio semata-mata.

Sekarang tidak ada alasan lagi untuk menyalahkan pihak-pihak tertentu hanya kerana anda malas berusaha mendapatkan maklumat. Bukan juga masalah medium atau bahasa, kerana pilihan untuk menambahkan ilmu pengetahuan, semasa dan terkini ada di sekeliling kita.