Tuesday, October 10, 2017

Masih Tentang Kawan

Biar aku sambung cerita pasal kawan aku yang menganggur tu (lama tertangguh baru sambung... huhu...). Sebenarnya beliau bukan lagi seorang tuna karya. Malah beliau sudahpun mendapat pekerjaan agak lama juga.

Cuma bidang karier yang diceburi kini bukan lagi dalam lapangan minyak dan gas. Sekarang beliau bekerja di sebuah syarikat rekabentuk dan percetakan sebagai pereka grafik. Mujurlah beliau memang berbakat dan minat dari segi senireka dan grafik komputer.

Lupakan imbuhan yang mungkin tidak selumayan tatkala bertugas sebagai ahli geologi di firma carigali. Lebih penting untuk mendapat gaji dan mampu membayar bil serta hutang piutang. Sekecil manapun pendapatan diperolehi adalah rezeki yang harus disyukuri dan dimanafaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup.

Aku ada menonton video Jack Ma yang menegaskan di masa akan datang terjadinya lebih banyak tugas-tugas konvensional yang akan di ambil alih oleh teknologi robotik dan mesin. Tetapi ia tidak boleh menggantikan manusia dalam arena kreatif dan penciptaan.

Oleh kerana robot tiada perasaan, maka ia tidak mampu untuk menghasilkan sesuatu yang perlu cetusan minda, fikiran kritis dan sentuhan peribadi. Jiwa puitis, yang intrig, sarat emosi dan bertenaga bagai menyeru untuk melakar, menzahirkan dan berkongsi sesuatu.

Jangan rungsing dengan masa hadapan. Ekonomi sekarang yang muram dan tidak memihak adalah cabaran. Seperti kawan tadi yang ada minat dan kebolehan dalam bidang kreatif, ia adalah kelebihan dan peluang untuk dimanafaatkan sebaik mungkin kerana mesin pun tidak dapat merampasnya.