Wednesday, March 30, 2011

The Ward

Sebenarnya aku nak menonton The Resident tapi tayangannya di KLCC tidak kena dengan masa yang aku ada. Oleh kerana dalam mood untuk tengok sesuatu yang horror, aku pun pilih karya terbaru John Carpenter ini. Setelah kali terakhir mengarahkan filem Ghost of Mars sepuluh tahun lalu, terkini, beliau membawakan hantu di sebuah hospital sakit jiwa pula menerusi The Ward. Aku tidak cuba masuk campur untuk membayangkan isi ceritanya berkenaan apa walaupun subjek seperti ini memang pernah bermain di panggung kita tahun lepas.

Sebenarnya The Ward juga adalah bikinan tahun 2010 seperti filem Shutter Island cuma ia baru mendapat slot bulan ini. Dengan latar belakang zaman 50 dan 60-an serta berlokasi di sebuah pusat rawatan mental, kedua-dua filem ini terasa mirip daripada aspek itu sehingga tergerak bahawa kedua-dua penulis mereka mendapat ilham serentak dan masing-masing saling menyumpah apabila hasil keluar bagaikan assignment yang telah di tiru. Memang susah untuk kemukakan idea yang asli sekarang ini. Cuma gaya persembahan yang mana lebih mantap membezakannya.

Daripada tajuk The Ward itu sendiri kita sudah mengerti bahawa wad hospital itu adalah ruang di mana aksi seram dan misteri berlingkar menimbulkan suspen. Selain imej hantu yang kerap muncul, prop tipikal untuk tempat begini seperti perkakasan klinikal yang tajam dan ngilu, para petugas medik yang serba tegas dan masam dan penghuni lain yang nampak sihat sebenarnya sewel, serta dialog klise “Aku tak gila tau, aku waras,” melengkapkan intisari sebuah tema yang begini. Filemnya dimulakan dengan seorang gadis dalam pelarian sehingga dia membakar sebuah rumah ladang yang membuatkannya berjaya di kesan polis lalu memberkasnya untuk di bawa ke rumah sakit jiwa.

Carpenter menyerap unsur era 60-an itu dengan berkesan bagaikan filem ini memang lahir pada waktu tersebut. Mungkin kerana tekniknya yang kelihatan murah, shot-shot lazim yang di ambil untuk wujudkan nuansa takut dan aspek kejutan hantunya yang cheesy walaupun tersentak juga, menjadikan seolah-olah ia homage untuk filem seram zaman terbabit. Rasai pengalaman merentas masa dengan pengarah yang handal dengan genrenya dalam buah tangan yang sungguh lama dinantikan ini.

Saturday, March 26, 2011

The Adjustment Bureau

Pengatur dan pelaras untung nasib manusia nampaknya bergantung pada satu organisasi yang anggotanya juga kelihatan macam manusia biasa. Atau mungkin bukan. Sebab mereka boleh keluar masuk melalui mana-mana pintu untuk melepasi atau menyusup ke bahagian lain sesuatu kawasan dengan sekelip mata. Maka dapat menceroboh privasi sesiapa pun dengan sungguh mudah. Cuma mereka ada kelemahan dengan air. Namun semua itu tidak dapat menghalang mereka daripada mengawasi hidup manusia sejagat supaya tidak menyimpang dari litar takdir.

Karya terbaru Philip K. Dick yang diadaptasi Hollywood ini menggabungkan si-fi dengan romantik dengan pseudo-agama yang membentangkan persoalan untung nasib umat manusia di muka bumi ini yang pastinya di tafsir berbeza bergantung kepada individu yang di tanya. Namun pihak The Adjustment Bureau tentu sepakat menjawab bahawa kuasa mereka yang akan menentukan semua itu lantas berusaha sedaya upaya untuk membetulkan perimeter kehidupan insan supaya teratur lurus menyongsong perancangan. Ia sangat mengujakan sekaligus meresahkan kerana kita memang tidak tahu apa yang akan berlaku sekejap lagi namun apabila konsep sekumpulan ejen di beri hak untuk mengawal semua itu menyebabkan ia seakan menggugat hak asasi manusia. Di manakah aktivis Human Rights di saat anda diperlukan?

Oleh kerana agak melampau untuk memuatkan kisah semua orang, filem ini hanya memusatkan pada David Norris (Matt Damon) seorang ahli kongres yang bercita-cita tinggi dalam politik berkenalan secara tidak sengaja dengan penari keletah bernama Elise (Emily Blunt) lalu mereka tertarik serta-merta. Plot menjadi thrill selepas itu apabila kemunculan watak-watak lelaki bertopi fedora yang bersungguh-sungguh ingin menghalang percintaan suci itu seolah-olah mereka semua cemburu yang amat sangat. (Eh, taklah!) Damon lantas menjadi Bourne semula dengan aksi berlari cemas yang biasa di lihat cuma kali ini ia tidak di landa isu getir bahaya seperti perisik amnesia itu.

The Adjustment Bureau mengupas senario takdir itu kepada kepada sesuatu yang muktamad dan ia bukan pilihan yang boleh diputuskan sendiri. Idea itu menjadi pincang apabila ia di cabar oleh seorang manusia yang ingin mengubah haluan menurut kata hatinya. Dan itu juga yang membuatkan filem ini sedikit anti-klimaks kerana setelah kita disogokkan dengan betapa tegar dan keras tindakan organisasi tersebut menjalankan tugas, tiba-tiba di akhir cerita ia menjadi sangat lemah dan pasrah. Kita mahu anggota biro lain yang lebih tegas menggunakan segala kuasa yang ada untuk brainwash ejen-ejen yang telah lembut hati tadi untuk kembali melaksanakan tugas mereka menurut litar seperti yang “Chairman” arahkan.

Wednesday, March 23, 2011

Selamat Jalan Lost

Semalam, berakhirlah satu siri televisyen yang begitu kultus, Lost apabila episod penamatnya ditayangkan di AXN. Aku agak tidak konsisten menonton musim finalenya ini sehingga terpaksa menyuruh adikku dl untuk di saksi kemudian. Jadi apabila tengok episod penghabisannya itu malam tadi, memang “lost” juga dibuatnya kerana masih tidak begitu jelas. Melainkan aku betul-betul mencari maklumat lanjut di sumber maya ini, aku hanya bersandarkan pada teori sendiri yang mereka sebenarnya sudah terkubur di dasar lautan pasifik itu. Gilligan’s Island abad ke-21 yang sungguh rumit, misterius, penuh teka-teki, intrig dan tidak kelakar.

Thursday, March 10, 2011

Black Swan

Rasanya filem-filem Darren Aronofsky tidak pernah ditayangkan kepada umum di sini. Aku pernah mendengar kehebatan filem arahan beliau seperti Requeim for a Dream, Pi, The Fountain tetapi belum berpeluang untuk menontonnya. Mungkin pengedar tidak mahu membawa masuk atau bimbang tidak mendapat sambutan walaupun nama-nama besar selalu membintangi arahannya itu. Sehingga datangnya Black Swan yang masih segar dengan kemenangan Natalie Portman sebagai pelakon terbaik dalam kebanyakan majlis anugerah utama, barulah khalayak di sini dapat mengikuti hasil kerja beliau menerusi layar lebar.

Aku ingat mula-mula terkesan dengan Portman adalah sebagai gadis bawah umur yang mempesonakan lelaki dewasa jiran sebelah rumahnya dalam Beautiful Girls. Menerusi wataknya itu dia melakonkan seorang budak perempuan yang membantu lelaki tadi menilai semula kehidupan dan masalah seputarnya melalui sorot pandang dan fikiran remaja itu yang terlihat matang namun masih keanakan. Satu kombinasi yang cute, hampir kepada rapuh namun memikat. Dunia lebih mengingati Portman sebagai Amidala dalam episod filem-filem Star Wars. Cuma aku tidak menghayatinya di situ. Setelah kali ke-dua dicalonkan, akhirnya dia menggenggam trofi Oskar apabila menjadi sangat efektif sebagai penari balet yang alami tekanan ekstrem dalam Black Swan.

Menonton filem ini dengan info setakat ia berkenaan seni tarian balet serta ada unsur lesbian, jalan ceritanya memang berjaya membuat aku fokus dan mencengkam masuk ke urat nadi bahana adegan-adegan sadis ngilu dan menyiat yang sungguh nyata dipaparkan. Syot-syot kebanyakannya memang di rakam dekat dengan gerak laku dan memek wajak pemeran sehingga terasa kita ingin di bawa masuk terus mengganti mereka. Ruang aksi yang gelap pudar suram dan medium sempit padat bagai sengaja mahu membuat kita klastrofobik supaya lebih mudah menyelami sisi kecamuk Nina Sayers yang dijayakan Portman itu. Alam balet yang indah jernih bersih yang selama ini disyorkan pada khalayak adalah tidak seputih seperti yang pernah kita ketahui.

Dia memang layak dinobatkan dengan gelaran itu kali ini. Regim latihan berbulan-bulan memahirkan diri dengan skil tarian itu sampai sakit-sakit badan semestinya berbaloi. Mila Kunis, gadis sengal Thats’ 70s Show yang kian melonjakkan nama dalam arena filem turut menyerlah sebagai saingan Portman menuntutnya menghasilkan yang lebih baik lagi. Sudah pasti aku akan mencari filem-filem Aronofsky yang lain sebagai bahan untuk masuk ke dunianya.

Monday, March 07, 2011

The King's Speech

Dua buah filem yang dalam posisi paling terkedepan untuk merangkul filem terbaik Oskar tahun ni, kedua-duanya bertemakan komunikasi. The Social Network dengan cetusan idea genius, licik dan menggerunkan mengubah cara kita bergaul dan berinteraksi melalui medium yang begitu mempesonakan sekaligus berbisa pada abad ke-21 ini. Manakala The King’s Speech menerusi kaedah berhubung sesama manusia paling asas dan amali, mengesahkan pertuturan lisan juga yang paling di damba untuk menyalurkan maklumat, kenyataan, amarah, jenaka serta isi hati paling dalam supaya maksudnya tertuju terus kepada sasaran. Nampaknya pihak akademi menyenangi gaya tradisional untuk berkomunikasi dengan memihak kepada The King’s Speech.

Kawan aku berpendapat filem tentang seorang raja berceramah sudah pastinya boring kerana tentu ia akan dipenuhi dengan dialog berjela-jela dan ucaptama yang tidak berkesudahan. Apatah lagi filem ini tidak disertakan dengan sarikata jadi ia tidak begitu membantu bagi mereka yang sangat berharap pada terjemahan itu agar lebih memahami apa yang para pelakon lontarkan. Menambahkan masalah lagi kalau watak utama itu pula adalah seorang raja yang gagap. Sudahlah cakap loghat British, dengan tergagap-gagap lagi, jenuh juga nak faham. Jadinya konteks hubungan dua hala antara aktor dan penonton tidak begitu berkesan di sini.

Namun tidaklah tontonan aku terbazir begitu saja disebabkan kekangan kecil itu. Filem ini bersandar kuat pada Colin Firth sebagai King George VI yang mengalami masalah bertutur itu serta pertaliannya dengan juruterapi percakapan Lionel Logue (Geoffrey Rush) bagi membantunya mengatasi trauma tersebut. Seorang bangsawan dan rakyat biasa yang membentuk ikatan yang unik dalam satu interaksi yang memang tidak boleh dimulakan pun kerana ego, dilema dan prejudis menyusahkan proses itu. Tapi kita boleh menyelami moral tersebut bahawa komunikasi yang berkesan sangat perlu dan penting dalam apa juga situasi dan ia lebih-lebih lagi genting bagi seorang negarawan untuk menyampaikan titahnya dengan bersemangat, lancar dan berkarisma.

Aku sendiri yang pernah ada kawan sepejabat yang gagap, memang terjentik pada emosi menonton betapa susah-payahnya si raja ini nak bercakap. Simpati aku melimpah untuk mereka yang ada masalah begini. Kalau tahu ada pakar dalam bidang ini yang boleh merawat dan memulihkan gaya pertuturannya, sudah pasti aku cadangkan dia mencuba. Tapi kawan tadi telah pun berhenti kerja. (Bukanlah dia resign sebab dia gagap pulak).