Friday, March 20, 2009

Filem-filem Menarik 2009

Ada beberapa filem yang bakal ditayangkan tahun ni (kalau tidak ada apa-apa halangan) yang aku berminat untuk menontonnya. Dan mungkin kamu juga - Entry ini diinspirasikan daripada blog Maverick. Aku cuba cari gambar-gambarnya minggu depan. Keterangan mengenai filem-filem tersebut mungkin aku akan edit.

1) Dorian Gray

Aku cuma tahu mengenai figura ini melalui filem A League of Extraordinary Gentlemen. Masa tu aku sangat intrig untuk tahu lebih lanjut mengenai karektor ini. Rupa-rupanya ia dari novel Oscar Wilde dan bakal dilakonkan oleh Ben Barnes (Prince Caspian).


2)The Road

Masa tengok temuramah Cormac McCarthy dengsn Oprah Winfrey yang jarang-jarang bersetuju untuk di interviu, aku sudah tertarik untuk membaca novelnya (tak baca-baca pun sampai sekarang). Tunggu sajalah filemnya keluar.


3) 2012

Pengarah yang obsess dengan segala yang melampaui saiz dan fenomena, Roland Emerich memfilemkan metos berkenaan dunia akan berakhir pada tahun tersebut menurut kalender kaum Maya.

4) Extraordinary Garbage

Aku yang jenis sayang sangat nak buang barang-barang ni sampai dah bersepah kat rumah tu memang nak sangat tengok dokumentari ni. Boleh juga dapatkan idea sampah-sarap yang bertimbun tu untuk dijadikan hasil seni ….kehkehkeh… Fernando Meirelles menjadi penerbit eksekutif untuk dokumentari ini.

5) Amelia

Daripada pengarah Mira Nair dengan dua kali pemenang Oskar pelakon wanita utama, Hillary Swank berdasarkan kisah sejarah yang masih tidak terungkai misterinya, harus tonton.


6) The Last House on the Left

Tengah aku sibuk-sibuk nak cari versi tahun 1970annya, tiba-tiba keluar pula versi remake tahun ini. Kena tengoklah.


7) Where the Wild Things Are

Sebab aku suka tengok cerita seperti Bridge to Terabithia dan Spiderwick Chronicles, aku akan nantikan kemunculan filem ni.

8) Fame

Kalau tahun lepas kita ada Mama Mia, tahun ni ada Fame yang dulu pernah ada filemnya tahun 1980-an.


9) Crude

Filem dokumentari ni bertanding dalam Festival Filem Sundance 2009 mengenai buangan minyak di Amazon.


10) Taking Woodstock

Filem arahan Ang Lee mengenai seorang lelaki yang tiba-tiba menjadi penggerak kepada sebuah aliran fiesta konsert musim panas tahun 1969.

Thursday, March 19, 2009

City of Ember (2008)

Kalau kita di sini sedang sibuk dengan agenda untuk memadamkan lampu, rakyat jelata di sebuah koloni bawah tanah ini pula sedang kecoh berikhtiar untuk memastikan lampu di penempatan mereka tetap kekal menyala. Sudah tentulah aku bercakap tentang City of Ember. Sepatutnya akhir tahun lepas filem ni bermain di Malaysia tapi baru sekarang disiarkan. Pada masa tu aku sedang baca novel Tunnel jadi aku memang tertunggu-tunggu filem ni datang ke pawagam sebab temanya sedikit mirip ada kena-mengena dengan penduduk bawah tanah.

City of Ember juga berasal dari buku, tulisan Jeanne Duprau serta diarahkan oleh Gil Kenan (Monster House). Plot permulaan di buka dengan suara periwayat menceritakan bagaimana boleh tercetusnya manusia di hantar untuk hidup di perut bumi di sebuah bandaraya dinamakan Ember. Pengasas kota tersebut yang di panggil “Builders” turut mewasiatkan kepada datuk bandar yang di lantik untuk menjaga sebuah peti yang akan menentukan masa depan mereka selama 200 tahun akan datang. Malangnya pada giliran datuk bandar yang ke-berapa entahlah, beliau dengan cuainya telah mengabaikan kotak tersebut sehinggalah ia dilupakan untuk beberapa generasi seterusnya.

Dekat blog ironboard telah mengulas pasal filem ni dengan padatnya. Dan aku sangat setuju dengan pendapatnya mengatakan yang Bill Murray nampak macam Pak Lah sekali imbas. Menakutkan. Masa tengok tu aku tak terfikir pulak macam tu. Memanglah ada unsur satira politik dalam filem ni selain mesej utamanya supaya jangan membazir api elektrik (secara literal)! Walaupun sebagai rakyat Ember, penggunaan elektrik secara skala yang besar memang tak dapat dielakkan lagi sebab mereka dan memang hidup bawah tanah. Blackout sekejap pun dah traumatized giler.

Filem ini memang sesuai untuk kanak-kanak yang dahagakan advencer yang tidak sia-sia, sangat merangsang fikiran untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup. Mereka tahu menggunakan segenap peluang dan berikhtiar serta meraih kepercayaan daripada orang lain. Kita campaklah mereka ke hujung dunia pun dan tahu mereka boleh survive

Wednesday, March 18, 2009

Berkhemah dan Padam Lampu

Tiba-tiba saja malam tadi housemate aku ajak aku pergi berkhemah. Berkhemah? Atau camping dalam bahasa orang putihnya. Apa motifnya ni tak semena-mena nak berkhemah. Rancangannya nak pergi bulan depan. Tak tahulah aku nak setuju ke tak ni.

Tapi rasanya masa yang paling sesuai untuk anda berkhemah ialah 28 Mac nanti sebagai menyahut kempen memadamkan lampu selama sejam mulai pukul 8.30 sehingga 9.30 malam. Sebab kalau dah duduk dalam khemah mestilah tak pasang lampu elektrik kan. Pasang unggun api jer.

Thursday, March 12, 2009

Vicky Cristina Barcelona (2008)


Inilah filem ke-tiga Woody Allen yang menggunakan Scarlett Johansson sebagai teraju utama yang aku tengok selepas Match Point dan Scoop. Dia berlakon sebagai Cristina yang melawat Barcelona atas pelawaan Vicky (Rebecca Hall) untuk bersama-sama habiskan cuti musim panas mereka di sana. Mereka menumpang di rumah saudara Vicky. Pengarahnya kembali dengan tema komedi romantik, sesuatu yang pernah menjadi kegemaran beliau.

Tetapi untuk mengangkat filem ini adalah tergolong dalam genre itu secara yang lazim mungkin tidak boleh di terima. Ia adalah bertentangan dari itu. Sebagai pengkarya yang sukar difahami, Woody membentuk filem ni supaya kisah cinta dengan formula yang biasa menjadi cantik menurut acuannya walau tidak semestinya dalam lingkungan sahsiah. Terdapat empat karektor yang difokuskan di sini berkenaan pandangan mereka tentang perasaan dan perhubungan dalam struktur yang di luar normal, gila, melebih-lebih tetapi intim.

Selain mendasari hubungan antara sesama manusia itu, filem ini juga meninjau aspek manusia dengan persekitaran yang mereka alami ketika itu. Tentu saja berkenaan dengan bandaraya Barcelona itu yang menjadi “watak utama” di sini untuk menampilkan bagaimana perangai orang luar (diwakili oleh tunang Vicky dan sahabat bisnesnya dari Amerika) yang tidak ambil peduli mengenai budaya, seni, sejarah serta identiti kota itu yang tertonjol di mana-mana. Namun kita di pujuk oleh Vicky sendiri sebagai orang Amerika yang menafikan stigma itu sebagai pelajar yang mengkhusus bidang Catalan serta Cristina yang mencintai fotografi dan lukisan.

Sudah tentulah Javier Bardem dan Penelope Cruz adalah pasangan penggiat seni sewel yang paling anda ingin jauhkan walau sukar untuk menidakkan aura yang mereka pancar. Mereka berempat saling melengkapi untuk segala yang tidak selesa dalam ikatan yang terjalin. Risikonya anda tanggung di pundak sendiri.

Wednesday, March 11, 2009

The Page Turner (2006)

Tahun bila entah, filem ni ada disiarkan semasa French Film Festival di GSC. Aku tak sempat pula nak tengok. Bila nampak dvd ni kat satu kedai, aku pun beli. Walaupun tidak juga aku beria-ia nak tengok sangat. Setelah lama dvd ini terbiar, pada suatu hari yang sepi aku pun pasang.

Mula-mula dengar tajuk ni aku ingatkan ianya simbolik tentang sesuatu atau apa-apa yang bukan literal. Tapi memang ianya berkenaan seorang gadis yang bertugas sebagai penyelak mukasurat. Helaian nota muzik yang terletak atas piano itulah menjadi tanggungjawab Mélanie Prouvost untuk menyelak tatkala majikannya Ariane Fouchécourt seorang pemain piano tersohor sedang beraksi. Kerana memang agak sukar bagi wanita itu untuk fokus pada persembahannya jika dalam masa yang sama dia kena mengalihkan halaman nota tersebut.

Mujurlah ada Mélanie, seorang pelatih yang di bawa pulang oleh suami Ariane dari firma guamannya untuk bekerja sementara sebagai pengasuh anak lelaki mereka di rumah. Apabila mengetahui yang gadis itu mahir dengan piano, dia dengan ikhlas terus menawarkannya untuk berkhidmat sebagai seorang The Page Turner. Padahal Mélanie hadir kerana sekelumit dendam kerana pada sepuluh tahun yang lampau suatu detik yang menyakitkan hatinya telah berlaku semasa peperiksaan piano recitalnya yang melibatkan Ariane.

Apakah itu? Walaupun penulis cerita memberi kebetulan yang disengajakan dengan mudah untuk membenarkan situasi itu terjadi, tetapi filem ini merupakan psychological thriller yang mencengkam.

Dua wanita utama ini hanya di beri dialog yang minimum serta shot-shot kamera yang intim pada muka untuk menzahirkan segala-galanya. Muzik latar terutamanya piano menjadi penanda kepada susunan babak yang tenang tetapi merbahaya. Walaupun daripada awal kita sudah di beri clue tentang apakah motifnya, tetapi susah sikit nak agak bagaimana ia akan turn out akhirnya. Mungkin elok kita menyelak kembali pada helaian hidup untuk merenung jika kita pernah melukakan sesiapa secara tidak sengaja.

Tuesday, March 10, 2009

Tujuh Kati

Seorang kawan sms aku yang dia terdorong untuk menulis blog balik. Aku pun dah tak ingat nama blog dia sebab selalu sangat buka dan tutup atau dibiarkan laman itu bersawang. Lama-lama aku pun terlupa untuk klik ke situ. Sekarang dia tiba-tiba ingin mula menulis kembali, apakah puncanya?

Dia ingin menulis tentang rancangan realiti paling popular di tanahair kita ini yang sekarang dah masuk tahun ke tujuh. Aku setuju aje dia nak buat macam tu. Menurut dia lagi, suara peserta-peserta pada musim ini lebih mantap dan itu sesuatu yang boleh diperkatakan. Tapi aku tak dengar sangat lagi tahap vokal mereka ni semua. Malah tak sempat nak kenal pun lagi siapakah yang bertanding kali ini.

Aku sendiri masa mula-mula berminat dengan rancangan ini adalah di saat-saat ia menerima gembar-gembur seranta yang sangat kecoh perihal seorang pesertanya yang terpaksa di buang walhal membuat persembahan yang bagus. Manakala lagi seorang yang menyanyi dengan sangat teruk masih bertahan. Tapi ketika itu macam mana aku nak menontonnya kerana belum melanggan Astro. Sempat tengok final saja ketika ada karnival Astro di PWTC.

Selebihnya menjadi sejarah.

Ada jugaklah satu dua entry aku buat berkenaan dengan reality show ini pada tahun-tahun berikutnya sehinggalah aku hilang minat. Kalau dulu ada teman sepejabat, Ika yang memang minat habis dengan rancangan ni terutama juara musim ke-duanya. Selalu sangatlah aku dengar dia cerita itu ini pasal gathering yang dia sertai dengan mamat tu serta mereka yang sekepala dengannya. Kini Ika pun dah tak kerja sini aku pun sudah lost contact. Kalau tidak, ada saja benda yang dia nak beritahu.

Lama-lama ia jadi pudar. Ketiadaan kawan yang obses dengan program tersebut serta selalu berkongsi cerita tentangnya. Dan rancangan itu sendiri yang telah menimbulkan banyak saingan lain menyebabkan ia seakan satu lambakan komoditi yang tidak perlu. Aku menolak untuk mengambil tahu lagi. Tetapi kawan tadi yang ingin menulis mengenainya membuatkan aku akan kembali klik ke sana.