Sunday, January 30, 2011

Haq

Semasa mencari maklumat pasal filem ni di internet, aku terjumpa blog ini yang memuatkan sinopsis Haq itu dengan begitu terperinci sekali sampai benda yang tak ada dalam filem pun dimasukkan sekali. Agaknya itu adalah cerita asalnya sebelum ia diringkaskan sebagai produk akhir yang masuk pawagam. Terpaksalah aku mencipta versi sendiri pula dalam kepala menggabungkan plot yang tersiar dengan sisa-sisa naratif lain yang terpadam. Namun, kedua-duanya medium itu tetap tidak menjelaskan tentang bebola berapi dragonball yang nampaknya merupakan watak utama di sini.

Ya, aku begitu musykil dengan fungsi bebuli yang bersaiz lebih kurang bola golf yang begitu menyinar, dan memukau serta selalu dalam genggaman tangan watak Bad lakonan Adi Putra itu. Objek tu ada bersama mereka sejak kecil lagi dan nampaknya ia semacam azimat atau komponen yang ada kena-mengena dengan kuasa atau sesuatu yang magikal. Namun kemunculannya yang kerap lagi misteri itu tidak pula di beri asas atau liputan untuk merasionalkan kewujudan itu. Seolah mereka semua harapkan kita boleh fahami sendiri atau pedulikan benda remeh tu dan tumpukan saja pada sinematografi yang sungguh cantik ini.

Memang Haq bergantung pada teknik gambar yang menarik ala iklan sebagai sajian mata sehingga mengabaikan jalan cerita yang konkrit. Malah unsur kekuasaan atau sifat luarbiasa yang diwar-warkan dimiliki oleh watak-watak utama ini seakan tidak dapat disahkan kerana kurangnya pendedahan daripada segi itu. Ada satu adegan aksi pertarungan itu sebijik macam dalam Transporter. Klimaks pertempuran antara Haq dan Bad aku rasa tidak cukup menggemparkan bagi seseorang yang ada kuasa ajaib. Penamatnya sekadar membiarkan jasad antagonis kita terbujur kaku sebelum kamera beralih ke langit.

Menurut wawancara yang aku tengok di Gala TV, pengarahnya membayangkan ada sekuel untuk Haq jika filem sulung ini mendapat sambutan. Aku suka dengan ideanya, tentang lelaki Melayu dengan kurniaan tenaga dalaman projeksi kepada adiwira yang dibayangkan. Cuma ia tidak di bantu latar cerita efektif yang boleh menimbulkan semangat sepatutnya pada kisah bercorak begini. Satu percubaan yang boleh di puji dalam longgokan filem-filem hantu tempatan yang tak habis-habis.

Friday, January 28, 2011

The Way Back

Aku tak tahu pula syarikat dokumentari tersohor, National Geographic ada divisyen penerbitan filem. Dan sudah pastilah filem yang mereka hasilkan mendokong aspirasi dan piagam organisasi tersebut. Seperti The Way Back yang aku nak perkatakan ini. Mula-mula aku jangkakan ia sedikit sebanyak akan mengikut corak produksi doku-drama yang mereka terbitkan dalam siri-siri kejadian sebenar yang dipaparkan menerusi saluran itu. Cuma bagi sebuah kisah nyata yang dipadankan daripada peristiwa yang pernah berlaku bagi tayangan panggung, ia memang menggaritkan rasa.

Ia berkenaan sekumpulan lelaki di sebuah kem tahanan paksa Russia yang ingin melarikan diri dari situ semasa era perang dunia kedua di mana ideologi komunis semakin meluaskan pengaruhnya di beberapa wilayah. Dipenjarakan di sana atas beberapa kesalahan yang tertakluk di bawah rejim tersebut, mereka ingin keluar sejauh-jauhnya dari kurungan itu supaya tidak tertangkap lagi. Malah ia bukan kerana jenayah pun yang menyebabkan mereka di hukum di Gulag tersebut jadi kebebasan mutlak harus dikecapi. Namun, tiadalah mereka semua sedar. Di depan adalah cabaran, dugaan dan ikhtiar hidup paling azab yang menunggu untuk menguji.

Memang aku terbayangkan program Man Vs Wild with Bear Grylls semasa segala macam kesulitan dan advencer yang terpaksa mereka tempuh dipaparkan. Namakan saja, cuaca sejuk, ribut pasir, panas gurun, tingginya gunung, kekurangan zat dan air yang menyusut. Kalau dalam filem Alive, para atlit yang kemalangan pesawat itu ingin mencari perkampungan yang terhampir untuk survive, manakala bekas tahanan ini pula selain daripada ingin mencari penempatan yang boleh membantu, mereka juga kena pastikan ia bukannya terdiri daripada sekutu Russia. Suatu pelarian yang menjadi epik dan gemilang dalam kemelut dan rumit yang menuntut iltizam muktamad.

Diarahkan oleh Peter Weir, ia mengambil inspirasi daripada sebuah buku kontroversi yang didakwa tidak dialami sendiri oleh penulisnya waima pernah berpengalaman ditahan di sana. Namun begitu, aku kagum dengan hasil kerja Weir dalam mengungkap satu catatan perjalanan penuh susah payah manusia memerdekakan diri. Jim Sturgess, Collin Farell, Ed Harris dan beberapa pelakon Russia memberikan lakonan yang efektif di samping Saoirse Ronan yang muncul di pertengahan filem yang tidak pernah menghampakan dalam mencetuskan karektor penuh emosi mendalam dan mengharukan.

Wednesday, January 26, 2011

The Walking Dead di Fox



Sekarang The Walking Dead sudah ditayangkan di Fox. Dulu hanya disiarkan di saluran FXhd. Tapi aku sempat tengok episod pertama tahun lepas masa mereka sibuk buat tayangan perdana sempena pilot siri tersebut di beberapa rangkaian. Kemudian ia dimainkan secara tetap di FX. Oleh kerana itu untuk b.yond saja, macam mana nak tengok. Aku pun bukannya ada internet yang laju di rumah sewa ni nak mendonlod. Tiba-tiba terlihat iklannya di Fox.

Sekarang boleh menonton aksi-aksi zombie ini secara tetap. Semasa episod rintisnya dulu, kita tidak di beritahu punca wabak ini melanda. Apabila Rick Grimes (Andrew Lincoln) terjaga daripada koma – setelah mengalami konkusi akibat satu kejadian tembak-menembak – dia tersedar di sebuah hospital ala Cillian Murphy dalam 28 Days Later, cuma dia nampaknya lebih menjaga aib. Dalam masa yang sama di suatu lokasi lain sekumpulan manusia yang masih belum berjangkit, berkumpul di pinggir hutan mengharapkan bantuan daripada malapetaka maha ini. Rick yang seolah-olah menjadi insan terakhir di muka bumi berusaha untuk menyelamatkan diri sambil cuba memproses dunianya yang sudah jadi tunggang langgang itu.

Kalau anda sudah baca komik asalnya mungkin dapat gambaran jelas mengenai Walking Dead ini. Seperti juga zombie yang dihasilkan untuk filem, kita akan menemui unsur yang sama diterapkan dalam penerbitan siri tv melibatkan makhluk zombie terbabit. Sudah pasti ia akan memakan tempoh yang lama dan mencabar untuk mengasaskan plot dan mengembangkan watak dan cerita di samping elemen suspen dan ngeri yang pasti akan menjadi daya penarik. Di US, siri ini sedang dalam peringkat untuk memasuki musim kedua.

Tuesday, January 18, 2011

Paranormal Activity 2 - 2D

Seorang kawan bersetuju untuk menonton filem ini setelah aku menyenaraikan beberapa judul yang sedang berputar ketika berada di KLCC hujung minggu lepas. Memang aku nak tengok pun filem ni. Cuma dia belum menyaksikan yang pertama dan aku agak risau dia tidak faham dan akan tertanya-tanya. Dan tgv di situ menyiarkannya dengan selitan 2D pada tajuk dan aku tak tahu maksud 2D apakah itu? Menurut jawapan ringkas si penjaga kaunter, itu maknanya ia dalam format digital. Adakah kami perlu memakai apa-apa gogal untuk menikmati filem ini? Nampaknya tidak.

Gambarnya kali ini lebih cantik dan jelas bagi sebuah filem yang bergantung pada rakaman amatur kononnya dengan cctv dan tangkapan kamera handycam sebagai pencerita kepada penonton. Sebab itulah ada label pada tajuknya sebagai tarikan ekstra bahawa drama realiti yang mereka bawakan sudah maju setapak lagi dari segi visual. Mungkin imej entiti itu juga akan terlihat di mana-mana ruang skop jika kita berhati-hati mencerakin. Tapi aku mengaku yang beberapa dialog yang mereka lontarkan tidak dapat aku cerna sebab tiada bantuan sarikata. Secara kasar aku boleh rumuskan sendiri bersandarkan imbasan filem pertama dan beberapa gambaran awal.

Paranormal Activity 2 bergerak selari dengan kejadian yang berlaku dalam filem induknya yang mencatatkan keuntungan besar dalam sejarah. Jadi rugilah kalau tiada tindakan susulan untuk mengaut laba berterusan menerusi hasil yang berikutnya. Walaupun sudah tahu ianya sekadar lakonan, tetapi masih terasa untuk menontonnya kerana sebahagian dari diri terkesan dengan kreativiti mereka manakala separuh lagi berharap untuk jalan cerita yang segar. Namun ia tidaklah setulen versi asalnya sebaliknya aku rasa ia seperti siri realiti keluarga selebriti di saluran E! cuma di tambah elemen paranormal.

Ada beberapa ketika aku kena terangkan pada kawan aku yang tidak menonton Paranormal Activity satu. Walaupun tidak menyeluruh tapi nampaknya dia boleh enjoy dengan konsep begini dan dapat faham serba-sedikit walaupun aku rasa filem kedua ini tidak mampu berdiri sendiri. Lebih baik tonton yang pertama untuk lebih menghayati dakwaan mereka bahawa itu semua memang benar-benar berlaku yang berjaya di rakam dalam sebuah kamera yang melihat segala-galanya.

Monday, January 17, 2011

Season of the Witch

Keinginan menjenguk filem ini di pawagam disebabkan terlalu banyak terlihat trailer promosinya. Kita di beri sedikit gambaran bahawa ia berkenaan seorang gadis yang disyaki sebagai ahli sihir akan diadili kerana melakukan ilmu hitam itu yang berlatar-belakangkan zaman medieval di mana perang meletus dan wabak melanda. Nicholas Cage dan Ron Perlman kelihatan gasar dan keras mengisi babak demi babak untuk menimbulkan impak bagi sebuah plot yang melibatkan pedang dan perisai. Masukkan unsur alam mistik sebagai pelengkap rencah bagi menyeronokkan lagi. Tapi kalau anda hidup pada era tersebut dan praktis amalan sihir, lupakan hasrat untuk bergembira.

Keseluruhan filem ini bersandarkan teka-teki sama ada gadis manis tersebut benar-benar melakukan ritual terlarang itu atau kedua kesatria kita beserta ahli rombongan mereka sekadar serkap jarang dan hanya mampu menurut perintah pihak gereja untuk memuaskan karenah birokrasi pergi ke sebuah biara lalu menjatuhkan hukuman terhadap orang kena tuduh. Sepanjang perjalanan yang memakan masa berhari-hari itu beberapa episod cemas, aneh dan di luar mantik menimpa gerombolan menguatkan lagi spekulasi bahawa si gadis memang bersekutu dengan kejahatan. Kemuncak segala persoalan menanti mereka di kota ibadat itu yang penawarnya terkandung dalam sebuah buku mengandungi mantera dan jampi bagi memulihkan semula jangkitan dan huru-hara.

Sebenarnya jalan cerita filem ini lebih kurang sama saja dengan beberapa filem tempatan yang melibatkan plot bersekongkol dengan kuasa mistikal yang akhirnya memerlukan campur tangan agama bagi pembasmian. Cuma latar-belakangnya saja yang melibatkan zaman pertengahan di mana ia lebih tersohor dengan gejala sihir ini dan disesuaikan dengan sedikit sejarah yang pernah diketahui. Pop-corn awal tahun yang biasa-biasa saja.

Sunday, January 16, 2011

The Tourist

Meletakkan dua pelakon pujaan ramai ini saja sudah cukup untuk melariskan tiket. Cuma adakah muncul keserasian itu apabila mereka digandingkan? Atau memang tujuan sebenar kerana kejanggalan itu yang diharapkan? Apatah lagi dalam konteks cerita ini yang berbaur misteri, ia perlu kerana pasangan yang di damba itu sudah pergi menjauhkan diri lantas tinggallah si dara mengharapkan jejaka kembali kerana ada urusan sulit yang perlu di langsai justeru bakal menawarkan jawapan kepada hubungan yang masih buram statusnya.

Jika anda tidak penat melihat Angelina Jolie berlagak persis model tanpa berusaha untuk berlakon atau teringin menonton Johnny Depp dalam wajah sebenar, maka The Tourist adalah produk tersebut. Sehingga Paul Bettany sendiri nampak malas nak bersungguh-sungguh mengejar subjek yang menjadi skop penyiasatannya. Cukuplah panorama Paris dan Venice menjadi sajian mata kepada sebuah cerita yang mengangkat darmawisata sebagai isi kandungan. Well … tentulah ia tidak menjadi percutian rutin, bosan dan mengikut agenda seperti anda yang mendaftar dengan agensi pelancongan itu.

Seorang lelaki yang bersendirian dan ulat buku dalam keretapi telah menjadi sasaran oleh seorang wanita jelita untuk mengaburi mata pihak berkuasa yang ingin memerangkap teman lelakinya. Mana-mana lelaki pun tidak akan melepaskan peluang itu untuk dipedayakan jika wanita yang dimaksudkan ialah Angelina Jolie. Tidak payah tunggu penghujung filem, kita akan tahu penamat secara Hollywood yang boleh di jangka.