Tuesday, March 27, 2012

Bridesmaids


Gila-gila pengapit pengantin

Jenis: DVD
Bahasa: Inggeris
Genre: Komedi/Romantik

chorus:
Ooh some day somebody's gonna make you want to
Turn around and say goodbye
Until then baby are you gonna let them
Hold you down and make you cry
Don't you know?
Don't you know things can change
Things'll go your way
If you hold on for one more day
Can you hold on for one more day
Things'll go your way
Hold on for one more day (one more day)

Terngiang-ngiang lagi lagu Hold On oleh Wilson Phillips ini walau telah habis menonton Bridesmaids. Mula-mulanya tertunggu-tunggu juga kalau filem ini akan masuk ke panggung sini tapi sampai ke sudah tak ada. Padahal jalan ceritanya lebih kurang Sex and the City versi wanita kelas kebanyakan atau Hangover versi perempuan. Aku tertarik pun pasal salah seorang pengapit lakonan Melissa McCarthy yang mendapat banyak nominasi untuk kategori pelakon pembantu wanita terbaik bagi filem ini.

Karektor beliau memang agak menyerlah jika dibandingkan antara kalangan para pengapit lain kerana saiz tubuh besar dan perangai berani mati serta bersikap ada aku kisah. Adegan semasa beliau memberi sesi gerak-gempur motivasi kepada Annie lakonan Kristen Wiig setelah dia terasa dipulaukan oleh pengantin itu sangat memberi impak. Sebenarnya isi ceritanya lebih kepada Annie yang di landa berbagai krisis peribadi seperti bisnes kek yang kandas, di buang kerja, dipergunakan lelaki kasanova, tiada suami sedangkan teman baiknya Lilian (Maya Rudolph) sudah di lamar dan bakal berkahwin tidak lama lagi. Tambah buat hatinya bengkak lagi apabila Helen (Rose Byrne) seorang kawan Lilian yang baru diperkenalkan padanya dan turut jadi pengapit, seolah-olah menjadi pesaing atau ingin merampas Lilian yang sudah dia bff sejak kecil.

Komedinya jika anda biasa dengan buah tangan Judd Apatow akan boleh agak jenis jenaka yang mereka bawakan semestinya cabul, jelek dan galak. Tapi dalam pada segala yang memualkan itu, Bridesmaids mengupas hubungan persahabatan para wanita yang lebih mendekati penonton marhaein berbanding SATC yang terlalu glamor dan stylo. Walaupun Lilian itu bakal menjadi isteri orang hartawan dan berkawan pula dengan Helen yang sofistikated, mereka tonjolkan Annie, perempuan malang yang paranoid dengan perkembangan yang berlaku disekelilingnya menjelang hari bahagia seorang rakan. Walaupun isu tersebut terpapar berselit lawak yang kurang sopan namun efektif kerana kita boleh memahami bentuk tekanan dalaman yang Annie lalui berdasarkan lakonan Wiig yang spontan dan menggeletek. Sesetengah kawan perlu tunjukkan bahawa dia memang dengki secara depan-depan!

Filem yang dalam kategori menggabungkan ramai pelakon ini berisiko meminggirkan mereka yang turut muncul membantu tetapi tidak diketengahkan sangat. Contohnya ibu Annie lakonan terakhir Jill Clayburgh yang nampak menarik juga kalau diperhati. Dengar khabar mungkin ada sekuel untuk filem ini tetapi watak itu terpaksa dibawakan orang lain kerana beliau sudah meninggal. Wiig dan Annie Mumolo terpaksa memerah otak lebih giat bagi menulis sambungan supaya menyamai pencalonan mereka dalam Oskar bagi filem ini. Atau lupakan saja kerana nanti jadi macam Hangover 2 yang sekadar mengitar benda sama tanpa input baru yang baik.

Thursday, March 22, 2012

Kahaani


Polis: Betul ke husband you hilang ni?
Wanita: Betullah. Motip tak percaya?

Aku rasa mungkin ada lubang-lubang plot yang sepatutnya mudah di kesan tetapi sebab aku sedikit cuai untuk betul-betul teliti maka ia terlepas begitu saja. Lagipun pada pertengahan filem ini temponya agak perlahan dan aku macam tidak sabar menunggu ia selesai. Di tambah dengan elemen biasa yang wujud dalam filem Hindustan yang gerak-geri pelakonnya agak berlebihan serta ada saja aksi melampau dramatik, satu dua tetap membuat aku jengkel. Tetapi aku tidak rasa ini persembahan tipikal mereka seperti yang selalu kita tengok. Kahaani ada kesungguhan untuk menonjolkan potret sebuah kota yang tersembunyi sejarah thriller.

Mengambil Kolkata sebagai lokasi bagi Vidya Bagchi lakonan Vidya Balan seorang wanita mengandung yang transit di situ bagi mencari suaminya yang hilang bernama Arnab. Aku tergelak dengar nama tu. Kemudian nak ketawa lagi bila baca terjemahan sarikata bagi firewall ialah perisai api! Hahaha… Suami Vidya seorang jurutera perisian komputer sudah dua minggu hilang di bandaraya itu lalu dia membuat keputusan untuk mencari ke manakah gerangannya. Seorang polis tempatan di sebuah balai bermurah hati menawarkan pertolongan kepadanya kerana perempuan hamil dan suami yang lesap adalah kombinasi yang pasti memancing simpati.

Aku suka dengan cara penulis dan pengarahnya Sujoy Ghosh yang mengambil isu terorisme sebagai latar belakang ketika India tatkala ini masih di hantui tragedi keganasan Mumbai. Kita sudah ditunjukkan gambaran pada awal filem bahawa tema ini yang akan menjadi kerangka cerita sehingga kita terlupa sekejap apabila kes Vidya yang begitu kalut dan trauma mendominasi naratif. Strategi itu nampaknya menjadi kerana hampir penamat saja kita akan tersentak dengan pengakhiran yang tidak di sangka. Kemudian barulah kita dapat cantum kembali beberapa klu yang pernah disediakan di depan mata.

Selain mengaitkan dengan krisis pengganas yang pernah menimpa, Kahaani juga ingin kita mengambil iktibar nasib sebuah kota yang di huni jutaan nyawa yang tidak berdosa bakal menjadi korban sekiranya di ancam malapetaka tersebut. Banyak syot spontan dan pantas denyut nadi aktiviti pelusuk bandar itu yang di rakam berpadu indah dalam filem ini. Ia benar-benar asli dan nyata seperti penjual minuman teh di lorong belakang, hotel kumal dan blok-blok penempatan yang usang tetapi ada karektor. Juga pesta Durga Pooja pada klimaks sangat berwarna-warni dan meriah lantas memberi markah bonus pada seluruh persembahan.

Tuesday, March 20, 2012

Beginners


Bapa: Anakku, ayah sebenarnya gay
Anak: Bagus. Ayah akan di beri Oskar nanti kerana mengaku

Jenis: DVD
Bahasa: Inggeris
Genre: Drama

Mike Mills adalah seorang anak yang baik. Dia menjaga dan mengambil berat akan bapanya yang tua dan uzur dan dalam waktu yang sama telah mengebomnya dengan suatu pengakuan yang tidak terjangkau lalu dia terima seadanya tanpa banyak karenah. Penasarannya bertambah apabila keuzuran bapanya itu mungkin semakin kritikal akibat barah yang dihidapi memaksanya memproses dua situasi galau tersebut dalam masa serentak. Lalu sebagai anak yang baik Mills mendokumentasikan semua itu melalui sebuah filem yang melakarkan warna, cuaca dan grafik perasaannya.

Beginners menggarap perspektif hidup dan perhubungan melalui kacamata si anak yang membesar dalam sebuah rumahtangga yang pasif di alami Oliver Fields lakonan Ewan McGregor. Struktur filem yang berlangsung secara berselang-seli antara sisi waktu kecilnya bersama ibu, ketika dia menjaga bapa yang sedang memulakan fasa baru dan di kala sakit serta detik-detik dia bertemu dan ingin menjalinkan ikatan bersama seorang gadis yang ditemuinya di sebuah parti. Pada masa yang sama dia juga sedang dalam proses untuk menyiapkan tugasan merekabentuk inlay cakera padat album sebuah kumpulan muzik. Oliver adalah personafikasi Mills yang cuba menghimbau memori membesar dan dewasa menelusuri berbilang jurus era dan sistem, aneka gaya hidup dan suasana serta ideologi.

McGregor tampak berjaya sebagai anak yang cuba menerima hakikat yang dihamburkan ke atas pundaknya secara matang dan polos. Menerusi raut wajah dan ekspresi yang lahir apabila hidupnya berputar 360 darjah setelah mengetahui beberapa rahsia dan perlu beradaptasi dengannya. Lakonannya memberi tindakbalas yang seimbang kepada aksi cemerlang di bawa Christopher Plummer sebagai bapa yang ingin menjadi dirinya sebenar sedang pada peringkat itu juga hayatnya di ramal berakhir. Karektor McGregor yang perlu tampil kuat sembari bersahaja itu berterusan apabila seorang perempuan Perancis yang bernafsu bebas hadir dalam hidupnya semacam menawarkan sesuatu yang lebih daripada sekadar satu perkenalan.

Beginners secara rumusnya adalah interaksi yang berlaku antara lelaki berjiwa seni, sensitif namun rasional ini kepada peristiwa dan partikel yang berlaku di sekelilingnya. Bukan setakat terhadap manusia, malah terhadap anjing pun dia melahirkan pekerti yang jujur dan murni sehingga sarikata diwujudkan pada layar untuk memudahkan kita memahami isihati haiwan kesayangannya itu. Segalanya di bentuk cantik dan kemas susunan ceritanya yang ragam tempoh masanya berselirat namun leka dihayati. Mills bagiku telah menyuguhkan rakaman yang paling dekat dengan hidupnya itu secara paling berhemah untuk mengenangi insan-insan yang begitu bermakna bagi dirinya.

Sunday, March 18, 2012

Bunohan


Desa tercinta...


Kenapa kampung itu di panggil Bunohan? Mungkin itu yang bermain di benak sebahagian besar daripada kita. Apakah asal-usulnya yang membuatkan ia dinamakan begitu?

“Mungkin orang selalu di bunuh di sini. Lalu mayat jadi bertambun,“ ujar seorang rakan yang lahir di Kampung Laut menceritakan kembali kisah ‘pelawok‘ yang di beritahu padanya oleh kawan lain. Ketika itu mereka sedang lalu di Bunohan ketika tempat tersebut belum mahsyur seperti sekarang. “Daripada situ ia mendapat namanya,“.

Ya, sekadar cakap kosong tak berasas. Dain Said juga tidak menawarkan jawapan itu kepada kita. Tapi beliau ambil nama yang prejudis itu sebagai latar sebuah cerita yang kompleks tapi masih boleh di hadam.

Ada variasi tafsiran sudah diberikan pengulas dan pengkritik berkenaan adikarya ini yang tidak dapat kita tengok secara verbatim. Ia kaya dengan bahasa filem yang kena di teliti, di rinci dan di kupas kalau kita mahu kepuasan yang maksimum pasca tontonan. Malah lebih daripada sekali sepatutnya kita cerna hasil yang sebaik ini kerana peluang untuk mengkayakan minda dan pancaindera menerusi seluloid tempatan adalah nadir. Dain tidak melakar kisah yang terlalu rumit jika itu yang kita takutkan kerana naratif perbalahan keluarga dan penduduk desa yang membuat onar adalah lazim. Cuma gaya beliau eksekusikan semua itu melalui plot yang bertindan dengan metos, mimpi dan kenyataan sebenar serta kausaliti yang di luar jangka seakan menghela kita larut sebentar dalam atmosfera ciptaannya. Beliau gigih menyusun kerangka cerita yang memberi peluang kepada kita bermain dengan imaginasi sendiri.

Mengambil inspirasi dari tempat asal Dain membesar yang tidak jauh dari sempadan Siam dan berhampiran Bunohan, mereka di sana ada persepsi yang dangkal berkenaan penduduk sejiran berlainan negara itu bahawa segalanya di situ lebih gasar dan memusnahkan. Manakala tanah pusaka dan modenisasi berkongsi sentimen sulit hubungan bapa dan anak lelaki yang silang emosi. Kalau di buat secara langsung, tentu ia senang saja, tapi kita ada wanita jelmaan buaya, budak lelaki misteri serta burung dan buaya lagi yang mencelah. Komponen begini unik dan pelik di sulam memprovok fikiran kita supaya jangan melihat segala apa yang di depan mata secara linear begitu.

Sesungguhnya aku kebuntuan kata pujian yang tepat untuk sebuah Bunohan ini. Pengarahnya telah melabur seluruh ilham dan tenaga untuk menukilkan subjek yang amat intim dengan masyarakat dan nuansa kita serta aspek-aspek kehidupan tradisi seputar yang pernah sebati namun kian pupus dewasa ini. Paling dikesalkan semua itu di bunuh oleh bangsa kita sendiri.

Sunday, March 11, 2012

This Means War


Syabas bro... penat-penat berlakon, nama Reese dan auntie Chelsea je yang di sebut

Dua orang lelaki jatuh cinta kepada seorang perempuan yang sama. Macam kisah tipikal remaja belasan tahun yang masih di kolej, berperangai gila-gila dan seperti biasa ada gadis mencuri tumpuan. Padankan persekitaran tadi kepada lelaki dewasa yang sudah punya kerjaya (ejen Fbi pula) yang sepatutnya matang dan bertertib, tapi mereka masih hanya mahu terlihat berseronok. Serius atau main-main, aku kesampingkan motif mereka kerana komedi bromance yang ini memang buat aku tergelak banyak. Malah aku rasa penonton di belakang aku masa tu sudah berapa kali tengok entah sebab acap kali mereka sibuk bercakap, lepas ni macam tu, kemudian lepas tu macam ni, bising betul.

Walau agak jengkel mendengar ulasan selari mereka itu tapi aku tidak boleh membiarkan lawak yang berlangsung dilepaskan tanpa dihadiahkan ketawa sepam dua. (Mungkin aku juga sejenis yang satu selera dengan penonton Melayu kebanyakan, yang automatik akan terkekeh gelak apabila menyaksikan Adnan Sempit 1 atau 2). This Means War ini pun sekategori dengan filem itu menawarkan babak-babak lucu situasi. Cuma ia lebih lucah dan terbuka jadi menontonnya ada timbul rasa aib. Mujur penapis masih berfungsi menyaring detik mana yang perlu.

Aku selalu nampak Chelsea Handler ini tatkala ditemuramah dalam rancangan di saluran E! berkenaan artis-artis dan selalunya komen yang keluar dari mulut beliau memang cabul tetapi lawak. Masih mengekalkan trade-mark bermulut azab itu apabila di sini beliau menjadi kawan baik Reese Witherspoon yang di salah anggap sebagai emak oleh para penjahat. Beliau ada mengendalikan rancangan bual bicaranya sendiri di stesyen itu, Chelsea Lately tetapi tidak disiarkan di sini. Walaupun digambarkan begitu, watak beliaulah yang menjadi penggerak kepada cerita berpacaran Reese dengan ejen Fbi terbabit. Kadang-kala kita perlukan rakan baik berperangai daring begini sebagai faktor sokongan kita walaupun sedikit sengal.