Tuesday, October 30, 2012

Bunohan Penari Barfi

Membaca blog Anak Wayang bahawa Bunohan menjadi antara calon terawal yang di pertimbangkan untuk nominasi Filem Asing Terbaik di Anugerah Oskar tahun hadapan membuatkan terbit rasa berharap dan teruja terhadapnya. Tetapi apabila membaca lebih lanjut artikel oleh penulis blog tersebut, pihak wartawan mungkin telah tersalah tafsir konteks berita asalnya yang sepatutnya berbunyi Finas telah memilih Bunohan untuk mewakili Malaysia pada majlis berprestij itu. Bukannya terus mendakwa yang filem ini sudah pun terjamin sebagai calon yang paling terkedepan bagi disenarai pendek. Ada banyak peringkat dan saringan yang harus Bunohan tempuhi sebelum boleh menempah sebagai lima calon akhir. Namun kita berharap yang terbaik untuk Dain Said dan krew.

Dalam laporan oleh malaysiandigest.com itu juga turut menyebut penyertaan lain yang bakal memberi saingan untuk filem Malaysia ini ialah The Dancer dari Indonesia dan Barfi! dari India.



Aku tahu mengenai filem ini apabila diperkenalkan oleh Gaia yang menghadiahkan novelnya tatkala dia pulang dari bercuti di Indonesia. Lama dah dapat buku Ronggeng Dukuh Paruk itu tapi aku belum sempat baca. Sebenarnya buku tersebut ada trilogi dan sebuah filem ini adalah berdasarkan ketiga-tiga novel berkenaan dan diberi judul Sang Penari. Sebelum ini ia telah mendapat pujian pengkritik dan ini adalah filem terbaik untuk anugerah Festival Filem Indonesia 2011.



Manakala filem Barfi ini aku dapat tahu setelah baca blog anutshellreview dan aku memang tertarik nak tengok. Ingatkan tak ditayangkan di Malaysia. Tiba-tiba suatu hari terima sms daripada Gaia yang bagitahu dia baru saja tengok cerita ni di CapSquare dan dia beri pujian melambung. Macam-macamlah benda bagus yang dia cakap tentang filem tersebut, lebih kurang seperti reviu oleh blog dinyatakan. Kita tengoklah nanti ada tidak wakil Asia yang tersenarai sebagai calon akhir Academy Awards tahun hadapan lebih-lebih lagi tiga filem yang aku sebut di atas.

Sunday, October 28, 2012

Doomsday Preppers

1. Sekarang, rancangan tv yang menarik perhatianku ialah Doomsday Preppers di saluran National Geographic. Sudah banyak episod ia dimainkan cuma aku tidak mengikutinya dengan tekun.

2. Ianya tentang sebilangan penduduk Amerika yang membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi bala bencana atau keadaan malapetaka mengikut tafsiran masing-masing. Terdapat variasi teori yang mereka cadangkan mengenai prospek kemusnahan secara total yang mereka takut sangat itu.

3. Antaranya ialah letupan super volcano, ancaman nuclear, kejatuhan mata wang, wabak penyakit, gempa bumi dan bermacam-macam lagi.

4. Setiap individu atau unit keluarga akan ditampilkan untuk mereka menerangkan serta menunjukcara tentang prosedur survival mereka jika bencana yang mereka andaikan itu benar-benar terjadi.

5. Pada akhir setiap demonstrasi, pakar penilai akan memberi markah berdasarkan faktor persedian yang mereka buat itu sama ada ianya membantu untuk menyelamatkan nyawa atau ia patut diperbaiki lagi serta dalam masa yang sama cadangan tertentu turut disyorkan supaya rancangan mereka bergerak dengan jayanya.

6. Rasanya sumber makanan dan air adalah elemen yang paling di titik beratkan oleh para preppers kita.

7. Kebanyakan persiapan yang mereka lakukan itu hanya tertumpu pada famili itu sendiri atau satu dua anggota kecil kelompok jiran atau rakan yang tidak melibatkan sebuah komuniti yang meluas. Pakar selalu menyarankan agar preppers dapat mengerah lebih ramai anggota masyarakat di sesebuah lokasi supaya apabila petaka betul-betul menimpa maka tiada individu atau pihak yang tidak bersedia yang menyasarkan untuk menceroboh puak preppers yang cukup bekalan sara hidup.

8. Aku rasa siri-siri tv seperti Walking Dead, Falling Sky atau Revolution turut memuatkan tema serupa contohnya kalau zombie membiak, makhluk asing menyerang atau bekalan elektrik tiada, itu juga merupakan senario doomsday yang menuntut supaya kita bersedia.

9. Dalam laman web Military Malaysia ada menyenaraikan beberapa item yang kita boleh ambil kira untuk membuat persiapan sekiranya malapetaka maha atau darurat menimpa di tanahair kita ini.

Friday, September 28, 2012

Teh Tarik yang Lazat

Semasa musim Syawal yang lalu, tempat kerja baru aku ini mengadakan majlis rumah terbuka dan pihak katering yang di panggil ialah D’Saji. Terus aku terbayangkan teh tarik mereka yang enak itu. Walaupun baharu saja aku menikmati juadah mereka sempena majlis buffet buka puasa dahulu, termasuk teh tarik, itu masih menjadi tumpuan utamaku, tapi makanan lain macam nasi briyani atau nasi impit dan kuah kacang dan sate tetap tak nak tolak.

Sekarang pihak Lipton ingin mengisytiharkan air yang menjadi kegemaran ramai ini sebagai minuman rasmi Malaysia. Aku memang tiada masalah dengan itu dan hari ini mereka memberi sepaket percuma dengan setiap naskhah The Sun. Cuma aku belum sempat bancuh lagi serbuk itu untuk menilai rasanya. Tapi apabila aku singgah sarapan di foodcourt The Intermark, aku tetap pesan segelas teh tarik. Sedap jugalah yang mamak ni buat.

Hanya sekarang aku lebih gemar yang kurang manis. Mungkin sebab dah makin berusia jadi aku tak betah lagi minum yang keterlaluan manisnya. Tapi yang pasti, warna teh tarik tersebut mesti seimbang. Tidak terlalu gelap atau cair walaupun gulanya dikurangkan. Sekali pandang dari warna yang terserlah daripada kaca gelas terbabit, kita sudah boleh suspek rasanya bagaimana.

Aku sendiri tidak pernah berjaya bancuh teh tarik yang sedap seperti piawaian yang aku tetapkan. Rasa lemak dan warna air teh susu serta buih yang menggoda hasilan tangan sendiri tidak pernah sesedap yang mamak atau pembuat air berkaliber seperti yang biasa di minum. Apatah lagi nak menyamai teh tarik D’Saji yang paling memuaskan. Apa rahsia bancuhan mereka agaknya?

Sunday, September 23, 2012

Perpustakaan Adalah Heterotopia

Di dalam novel Cekik karya Ridhwan Saidi, aku diketemukan dengan terma “heterotopia”. Antara contoh yang boleh dikaitkan dengan heterotopia ini ialah tanah perkuburan, rumah sakit jiwa, ruang berbulan madu, taman bunga, perpustakaan, muzium dan sebagainya. Terdapat keterangan bagi setiap satu misal di atas oleh penulis tentang hubungkaitnya dengan terma tersebut. Aku cuma ingin sentuh mengenai contoh perpustakaan yang turut di sebut pengarangnya dalam buku itu.

Mungkin kamu tidak berapa faham kerana aku tidak jelaskan langsung definisinya. Tetapi ketahuilah perpustakaan adalah sejenis heterotopia kerana ia menghimpunkan sejumlah buku-buku dari variasi pelusuk tempat ke dalam satu ruang mereka sendiri. Ruang ini akhirnya membentuk alam heterotopia mengikut maksud selayaknya. Perpustakaan seperti muzium perlu sebuah binaan dengan kondisi bukaan udara terkawal, hampir tertutup, agak terasing dari hegemoni dunia luar kerana sifat fizikal kertas dan material itu yang sensitif.

Dengan situasi yang terkurung dan terpisah seolah terputus hubungan dari persekitaran luar itu, buku-buku dan bahan bacaan lain akan menguasai ruang berkenaan. Buku-buku yang ditelaah di situ mewujudkan interaksi yang hanya boleh dialami dan dirasakan didalamnya. Seolah-olah berada di sini kamu dalam dimensi tersendiri yang ideal. Tidak perlu berkompromi dengan anasir atau unsur lain yang mahu berkongsi. Ia adalah ruang mutlak kamu yang sempurna. Ia adalah sebuah utopia.

Wednesday, August 29, 2012

The River

Mula-mula mendengar yang pencetus filem Paranormal Activity mencipta siri The River ini aku sudah teruja. Tapi tidak berapa lama kemudian, terbaca berita yang ia bakal dibatalkan oleh stesyen ABC. Merudum jadinya semangat untuk menonton. Mereka yang rajin download pasti sudah mengikutinya sampai habis tapi aku harapkan pada mana-mana rangkaian tv untuk menayangkan. Malas nak suruh adik download. Baru-baru ini Fox menyiarkan premiere siri tersebut dan aku dalam macam malas tu tengok juga.

Sayang Amazon sungainya sempit...

Thursday, August 23, 2012

My Neighbour Totoro



Tak sabar nak beraya kat rumah kau Totoro!
(Bebudak sakarang tak takut langsung dengan makhluk ganjil nampaknya)

Seperti biasa filem-filem Hayao Miyazaki tidak pernah gagal menambat hati. Di kesempatan yang ada, aku luangkan masa menonton My Neighbour Totoro yang adik aku muatturun dan dia galakkan aku tengok. Perkara pertama yang aku kesan tentang filem pembikin tersohor ini ialah lukisan yang hidup dan begitu cantik terhasil. Ia berjiwa dan mengimbal jalan ceritanya yang murni dan menyentuh sanubari. Sebuah cerita tentang kanak-kanak yang polos dan penuh inspirasi.

Aku tak pandai untuk membandingkan filem Miyazaki terdahulu bagi merumuskan kehebatan masing-masing namun adik aku menganggap Spirited Away sebagai yang terbaik. Bagi aku pula My Neighbour Totoro ini ada magisnya tersendiri menerusi tukangan beliau yang sentiasa tampil dengan idea eksentrik tapi masih berfungsi menyampaikan cerita yang mampu difahami. Latar-belakangnya yang seperti dunia di landa malapetaka memerlukan sejenis fantasi untuk lupakan musibah yang menimpa sedikit menuntut rincian dan tafsiran. Cuma jika anda selesa menontonnya di permukaan tiada masalah.

Kisah yang comel ini berkenaan sebuah keluarga kecil yang terdiri daripada seorang bapa dan dua anak dara ciliknya yang berpindah ke sebuah rumah di pinggir desa supaya dekat dengan si ibu yang sedang di rawat di hospital berhampiran. Mula-mula pindah ke situ pun sudah terdapat elemen di luar alam nyata apabila sejenis semangat rumah yang bulat hitam dan merumbu keluar melata di siling dan merayap di dinding mencuit hati kanak-kanak tersebut. Tunggu saja apabila mereka bertembung dengan makhluk Totoro yang seperti kacukan kucing dan arnab, berbulu empuk, bagak dan selalu beraut wajah tercengang namun tidak membahayakan.

Tempo filem ini sungguh menyenangkan cuma ada detik-detiknya ia menggigit emosi apabila melibatkan dua beradik itu dan ibu mereka. Unsur fantasi itu Miyazaki cantum secara bersahaja sebagai iringan kepada plot utama yang begitu meninggalkan kesan. Ia melengkapi asas ceritanya yang mengajak kanak-kanak berhadapan dengan proses kehidupan antara yang sihat dan sakit, antara harapan dan kenyataan serta alam mereka yang penuh ciptaan dan bayangan yang tidak bertepi.

Monday, August 20, 2012

Jakarta Maghrib



Pecel lele ada pak?
Ada, tapi bapak mau solat magrib dulu

Filem ini sudah agak lama aku tonton. Malah kalau ada sesiapa yang berkesempatan, ia pernah disiarkan menerusi Indo Pek. Tapi aku tengok melalui dvd yang Gaia belikan semasa dia melancong ke Jakarta dulu. Aku suka dengan pakej dvd yang mereka hasilkan ini. Ia sangat bermakna bagi sesiapa yang kepingin menyimpan filem itu dalam sebuah salinan, maka ini mencakupinya. Lebih bererti lagi bahawa filem itu sendiri memang tidak malu untuk kita milikinya. Cuma aku pulak yang malu dengan negara jiran kita itu jika bandingkan hasil yang kita keluarkan setakat ini masih jauh ketinggalan.

Terdapat lima buah cerita dalam Jakarta Maghrib yang mengambil latar belakang suasana menjelang sore di kotaraya itu. Pelbagai telatah masyarakat yang berbilang ragamnya di rangkum untuk menggambarkan suasana pertukaran daripada waktu siang ke malam menjadi titik tolak kepada perubahan dalam sesuatu situasi. Dalam sesetengah hal, ia mencerap tata budaya yang sama seperti Malaysia apabila menjelang Maghrib, tidak elok tidur ataupun masa senja adalah waktunya hantu momok berkeliaran. Pengkarya tangkas mengisi fenomena itu sebagai aspek penceritaan yang padat dan bernas serta mencuit.

Dua buah kisah yang termuat di sini yang aku ingati ialah Adzan. Ia tentang seorang tua penjaga musolla yang kurang dikunjungi jemaah di samping berniaga warung di tepiannya. Suatu lewat petang, seorang pemuda yang mabuk, singgah di gerainya dan mereka berborak mengenai hal-hal kerja sehinggalah bab kematian. Tiba-tiba orang tua itu betul-betul di jemput ajal lalu lelaki yang masih berbau arak itu terjentik dengan kejadian ini sedangkan maghrib semakin hampir dan surau tiada yang ingin alunkan azan.

Sebuah lagi cerita ialah Menunggu Aki. Tentang sekumpulan kejiranan di kawasan kelas menengah urban Jakarta yang menanti penjaja nasi goreng tiba di kawasan mereka. Aku macam boleh terbau-bau enaknya nasi goreng yang pakcik itu jual. Semasa mereka sedang menunggu itu, pelbagai topik keluar, aneka perancangan di buat namun bila Aki di nanti tidak kunjung tiba, cakap hanya jadi berdegar-degar. Anda perlu tunggu hingga penamat untuk mengetahui apakah yang berlaku kepada penjaja tua tersebut.

Tapi memang semua kisah yang diutarakan dalam Jakarta Maghrib, bercantum dalam babak akhir ini. Sebuah potret kehidupan yang biasa didepani dan ditelusuri seharian namun kadang-kadang tidak tersedar. Waktu maghrib yang singkat dan suatu transisi alam yang pantas menyebabkan ia berlalu saja tanpa dikenangi. Penduduk Jakarta mencoretnya menerusi sebuah filem yang signifikan bagi kita juga di sini.

Tuesday, July 24, 2012

Awal Bufet

Awal-awal puasa lagi sudah pergi ke majlis bufet Ramadan. Ahad lepas bersama isteri, aku berkunjung ke suatu tempat yang sangat menjadi tumpuan berita akhir-akhir ini berkaitan saham dan peneroka, ya, aku ke bangunan Felda di Jalan Semarak. Kami menikmati bufet Ramadan di Dewan Perdana di sana yang menawarkan sajian yang banyaknya sampai tak termakan. Aku rasa macam baru saja aku cakap pasal bufet buka puasa dalam blog ni, tup-tup dah sembang topik yang sama lagi.

Masa cepat sangat beredar sampai kita telah berjumpa lagi dengan Ramadan tahun ini. Ini kali kedua sebenarnya aku berbuka di sini setelah beberapa tahun dulu pernah sekali di ajak kawan untuk ke dewan tersebut. Tapi aku sudah pernah makan katering yang D’Saji Felda ni sediakan. Tidak dinafikan menu yang mereka hidangkan untuk para tetamu sesuai dengan citarasaku. Aku nak senaraikan setiap jenis juadah pun rasa seakan itu terlalu klise, jadi kita biarkan anda pergi sendiri ke sana untuk jamah sendiri.

Tapi suka aku nak kongsi dengan anda, jika daging kambing panggang adalah kegemaran, sila ambil yang itu dulu kerana barisan yang menunggu agak panjang. Kambing biri-biri di gril secukup rasa dan di cicah dengan pilihan sos (aku ambil lada hitam) adalah menjilat jari. Nasi mandi ala Arab pun lazat yang amat. Aku rasa sebab aku lahap nasi tu banyak sangat sampai sendat perut. Nak makan sajian lain pun dah tak larat. Teh tarik di sana adalah terbaik. Ia adalah bancuhan teh dengan susu yang paling tepat pernah aku nikmati.

Semasa majlis berbuka berlangsung, tetamu dihiburkan dengan acara muzik tradisional yang dimainkan di atas pentas. Pengunjung boleh menunaikan terawikh sekali di surau disediakan. Harga boleh rujuk pada laman sesawang kerana ada pelbagai lokasi diadakan majlis bufet itu di dalam kawasan pentadbiran Felda berkenaan. Ia bukan setakat dalam Dewan Perdana itu saja. Para peneroka yang sudah mendapat durian runtuh baru-baru ini mungkin kepingin ke sini untuk menikmati variasi hidangan yang disediakan oleh sebuah syarikat yang wujud hasil daripada penat lelah mereka mengusahakan ladang kelapa sawit.

Friday, July 20, 2012

Tempat Kerja Lama Lagi di Kenang


Kalau anda masih ingat entry aku pada November 17, 2009 dulu yang aku kena berpindah tempat kerja, sekarang aku ingin berkongsi bahawa aku sudah tidak ada di sana. Tiba-tiba aku dimaklumkan yang aku dikehendaki lapor diri di tempat baru. Tiba-tiba aku mendapati yang aku sudah menghantar notis kepada majikan. Tiba-tiba segala-galanya bagaikan mimpi. Adakah ini berlaku terlalu cepat? Atau aku yang sudah terlalu lama di situ? Sampai aku sudah tidak tahu bagaimana untuk memulakan semula sebuah langkah baru sekali lagi. Aku yang selalu teragak-agak dan tidak pasti dalam tindak-tanduk sendiri.

Tetapi itulah kenyataannya. Aku yang rasa macam sudah tidak mampu untuk berharap kepada apa-apa peluang lagi untuk keluar dari sana, namun jika telah ditetapkan bahawa itu akan menjadi rezeki, ia tak lari ke mana. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi. Terlalu payah untuk aku lahirkan kata-kata bahawa aku amat menghargainya. Ia rahmat yang besar dan sungguh terharu aku kerana di beri kesempatan ini.

Sememangnya aku tetap tinggalkan tempat tersebut dengan hati yang berat. Kawan-kawan sepejabat yang akrab dan rutin yang telah berbelas tahun dijalani. Memang sukar untuk dilupakan begitu saja. Sayu dan remuk juga hati aku untuk menandakan detik perpisahan. Tapi hidup ini berjalan dalam rencana yang tiada pastinya. Cuma kali ini giliran aku untuk pergi dari situ.

Seminggu di tempat baru, aku masih terkenang-kenang ofis lama. Terbayang-bayang apa yang mereka semua buat. Lepas tu aku bandingkan pula dengan apa yang aku kena lakukan sekarang. Memang jauh sangat bezanya dan tidak banyak persamaan yang boleh aku kaitkan. Tapi aku kuatkan diri menghadapi segala cabaran yang dihamburkan pada aku yang polos ini. Aku yang pernah selesa dengan suatu rutin yang sama. Aku yang jarang mahu berubah. Aku yang selalu tidak kisah.

Jadi aku tidak boleh selalu-selalu kemaskini buat masa ini. Di tempat kerja baru ini aku tidak bebas macam dulu. Sebetulnya, dahulu pun aku tidak sepatutnya menulis blog seolah itu tugas utama. Namun aku tidak akan abaikan minat yang satu ini. Doakan aku berjaya di tempat baru. Aku akan telusuri makna bebas yang patuh pada pilihan yang aku kecapi sekarang.  

Wednesday, July 11, 2012

Ice Age 4: Continental Drift


Ketam suci!

Bermula dengan pengembaraan menyelamatkan seorang bayi manusia, tiga sekawan zaman ais ini telah menempuh aneka cabaran dan advencer di dalam francais yang semakin gagah ini. Kembali melalui filem ke-empat, Ice Age 4: Continental Drift terus meneroka iklim dan geografi era lampau mengembangkan sisi hidup trio tersebut di samping seekor tupai yang sama menyelit yang tidak sudah-sudah bergadai nyawa demi butir kacangnya. Jika di fikir daripada sudut entry aku sebelum ini, filem ini turut mengemukakan tema bala bencana yang mempunyai kaitan dengan teori malapetaka tahun ini. Akur dengan konsepnya mengambil sekumpulan makhluk menentang unsur alam semulajadi berselit pengajaran, ia menuntut penonton cilik belajar serba-sedikit hakikat kejadian planet ini dan isu-isu seputarnya.

Kita mungkin akan membandingkan sekuel ini dengan cerita dalam siri-siri terawalnya yang pada pendapat aku telah meletakkan penanda aras yang agak cemerlang untuk di atasi. Namun tenaga kerja di belakangnya telah memerah otak untuk meneroka kejadian plat tektonik bumi terpisah lalu membentuk benua sebagai latar kali ini bersekali perkembangan karektor kegemaran ramai itu. Cuma aku tidak berapa yakin dengan gerombolan haiwan lanun sebagai antagonis yang sangat Pirates of the Carribean untuk mencetuskan konflik. Aku hanya boleh andaikan ia sebagai stategi pihak studio untuk terus hidupkan para lanun itu jika animasi ini masih bersambung untuk instalasi ke lima. Pujian untuk Peter Dinklage yang menyerlah sebagai ungka musibat ulung.

Aku ingin menghargai watak Sid, suara dipinjamkan oleh John Leguizamo yang paling menambat hati dan berkesan antara mereka semua. Ia tidak pernah gagal untuk membuat aku ketawa kuat tatkala adegan lawak yang melibatkannya keluar. Aku mengaku yang Ice Age ini jenakanya tidak konsisten serta janggal jika ia membabitkan karektor lain. Sebaliknya Sid di beri peluang untuk bukan sekadar menjemput gelak tetapi ada adegan tersayat apabila Manny menyelarnya dengan kata-kata pedas tatkala dia lalai untuk melakukan satu tugas mudah apabila termakan flora beracun semasa rancangan merampas kapal musuh. Gajah purba itu pula kali ini sudah dikurniakan zuriat dan berhadapan dengan karenah anak gadisnya. Manakala Diego berkembang membayangkan ia menemui pasangan hidup.

Siri ini masih menerima sambutan hangat dan tidak mustahil ia terus di bikin bagi mengeksploitasi fenomena alam yang lain pula. Daripada segi sudut teknik animasi dan grafik yang mantap, itu semestinya hasil kerja yang memuaskan. Aku menyaksikan dalam format 2D dan tiada komplen untuk gambar yang sungguh jelas dan padu cuma font sarikata yang terpampang besar sedikit kacau. Penulisnya kena fikirkan untuk kuatkan aspek skrip dan plot bagi sekuel akan datang dan cipta unsur-unsur lawak yang lebih menggiat serta cuba masukkan tupai itu sekali dalam kawanan Manny, Diego dan Sid sebagai pembaharuan.

Wednesday, July 04, 2012

Filem Tentang Tragedi

Separuh tahun sudah berlalu bagi 2012 ini. Maka tinggal lagi setengah tahun sebelum malapetaka 2012 akan muncul membuat kemusnahan secara besar-besaran
>
>
>
>
>
larrriikkk..!

Hehehe... sebenarnya aku nak tulis pasal filem yang ada kena-mengena dengan kejadian tragedi atau kecelakaan yang pernah aku saksikan.

Tapi filem yang aku nak ceritakan ini bukanlah malapetaka dalam skala yang terlalu gempar dan menyeluruh meliput segenap atmosfera. Ia tentang kapal terbang yang terhempas dalam lautan dan menunggu masa untuk tenggelam. Sebab aku tengok filem tu masa kecil dulu jadi ia masih terbayang sehingga hari ini.

Tajuknya ialah Airport ’77. Keluaran tahun 1977 dan tahun bila yang disiarkan kat RTM tu aku tak ingat pulak. Aku menonton slot tayangan gambar Inggeris ketika itu bersama ibu bapa yang agak lewat juga siarannya. Aku tidak berapa ingat jalan ceritanya cuma yang masih terpahat di kepala ini ialah adegan dalam kabin pesawat yang dibanjiri air laut serta ruang bernafas yang makin merosot.

Ramai anak kapal dan penumpang yang terselamat cemas dan resah menanti bantuan tiba. Ringkas kata, di akhir filem ramai juga yang berjaya keluar dari bangkai kapal terbang dengan sejahtera. Ok, itu mungkin tragedi yang tidak menepati piawaian seperti dakwaan apokalips 2012 yang kontroversi itu. Namun bagi kenangan waktu kecil aku berhadapan dengan peristiwa pesawat yang terjunam ke dalam samudera turut merupakan malapetaka yang tidak kurang gerunnya.

Wednesday, June 27, 2012

Abraham Lincoln Vampire Hunter


Abe weehh... nok wak gapo gak dengan kapok tu?
Bukan Abe lah! "Ebb.."

Aku paling ingat dengan sejarah presiden Amerika yang ini kerana pernah membaca buku kisah hidup beliau semasa sekolah rendah dahulu. Memang respek dengan beliau yang hidup susah di zaman kecilnya yang masih gigih berusaha untuk belajar di atas galakan ibunya. Manakala kempennya untuk menentang perhambaan sangat membuka mata ku yang tidak tahu suatu ketika dahulu orang kulit hitam Afrika merupakan abdi di sana. Peristiwa yang menyedihkan apabila sampai ke bab yang beliau mati di tembak ketika menyaksikan pementasan teater oleh seorang pemberontak. Nampaknya aku kena tambah satu profail baru buat tuan presiden ini bahawa di sebalik latar biografi yang pernah aku ketahui tentangnya, beliau juga adalah seorang pemburu vampire.

Silang-genre antara fiksyen dan nyata ini agak menjadi kerana aku macam boleh percaya apabila terbaca tajuk buku ini dulu. Itu lah sebab sudah terlalu banyak di sogok dengan subjek vampire sampai garisan yang sepatutnya memisahkan antara fantasi dan realiti semakin kabur. Tetapi bagaimana jika Abraham Lincoln itu benar-benar seorang pemburu puntianak yang aktif di waktu malamnya? Siapakah yang mampu tampil mengesahkan teori tersebut? Apatah lagi pada era tersebut penghijrahan besar-besaran para imigran dari Eropah ke dunia baru memungkinkan spesis mistikal berkenaan turut menumpang untuk berpindah sekali. Penulis Seth Grahame-Smith telah bermain dengan teori kreatifnya untuk mengarang sebuah karya yang sarat imaginasi berbaur fakta yang mengambil seorang ikon yang terkenal sebagai pejuang hak asasi manusia. Oleh kerana puntianak bukan manusia, jadi asahlah kapak itu dan bersedia untuk membasmikan makhluk penghisap darah ini.

Jika anda arif dengan gaya pengarahan Timur Bekmambetov serta subjek yang diketengahkan ini, sila berharap pada kareograf aksi lasak gerak perlahan penuh stail dan mengagumkan seperti babak bertarung sedang ribuan kawanan kuda deras meluru dan serbuan perangkap di rumah agam ketika majlis tari-menari. Adegan kemuncak ketika gerabak keretapi di serang vampire terasa macam biasa di lihat walaupun difahamkan ia memang mengambil inspirasi daripada kejadian sebenar. Cuma aku akui yang CGI di terap agak kartun sekali pandang namun ia tidak menghampakan sangat. Penulisnya bijak mengadunkan peristiwa yang betul-betul berlaku untuk dijalinkan dengan kewujudan puntianak seperti mana filem X-Men First Class yang gabungkan antara manusia mutasi dengan perang dingin. Namun naskhah ini berdepan risiko yang ia bakal mencemarkan imej tokoh tersebut apabila dicaca-marbakan dengan khayalan membabitkan dunia hantu dan pembunuhan. Bercakap daripada segi khayalan aku rasa beliau sudah berlaku adil untuk presiden Amerika yang ke-16 ini.

Memilih Benjamin Walker sebagai personafikasi untuk negarawan tersebut, aku memang tidak kenal langsung siapakah dia ni. Tapi nampaknya beliau sangat berjaya memikul peranan itu kerana tampangnya yang terserlah air muka prihatin dan berkarisma namun masih meyakinkan sebagai pahlawan yang mampu memikul senjata. Beliau tidak nampak terlalu gagah atau begitu menonjol tetapi beliau muncul seadanya sebagai acuan bagi pemimpin yang kita boleh rasa selamat bernaung di bawahnya. Abraham Lincoln Vampire Hunter buat kesekian kalinya tampil untuk memberi variasi kepada genre ini yang nampaknya masih belum cukup bahannya untuk dilambakkan. Entahlah berapa banyak lagi kisah tentang puntianak ini yang perlu di selongkar dan di teroka kerana lama-kelamaan ia terasa sudah tiada yang baru atau plot yang belum di bongkar. Mungkin sebab itulah puntianak dalam filem ini sudah tidak hairan dengan matahari sebab ciri-ciri itu telah menjadi klise.

Sunday, June 24, 2012

Jiwa Taiko


Sudahlah tu Nisa, kembali lah ke pangkal jalan
Kalau begitu, sudikah kiranya tuan kahwini saya?
Diana kat belakang: (Feeling-feeling Ombak Rindu pulak...)

Mahu atau tidak kita akan kaitkan Jiwa Taiko dengan Anak Halal yang juga arahan Osman Ali, sebuah filem yang sedikit lebih kurang sama temanya tentang sekumpulan anak muda kota di suatu lokasi yang mempunyai latar-belakang yang relatif liar, bobrok dan bebas. Kuala Lumpur yang biasanya dipotretkan gemilang dan indah dalam kebanyakan produksi lain bertukar wajah menjadi kusam, comot dan usang di sini. Kebanyakan syot yang melakar kedua-dua filem terbabit diwakili oleh rumah pangsa dan bawah fly-over serta kali ini dengan bangunan terbengkalai dan tebing sungai Kelang/Gombak yang dipenuhi grafiti sebagai latar belakang. Sekadar berpandukan kepada poster dan nama pengarah kegemaran aku ni membawa aku ingin meninjau garapan terbaru beliau.

Ya, selalunya Osman memang pandai bercerita. Tetapi untuk buah tangan yang ini terasa macam ada yang tak kena. Tajuk asal yang lebih puitis Barajiwa di tukar kerana mungkin ia lebih mesra slang jalanan yang bakal mengumpan penonton kalangan rempit. Namun plot yang terhidang aku tidak fikir akan membuatkan mereka dapat menonton dengan sabar. Lebih-lebih lagi bab bergasak dan aksi lasak yang sepatutnya jadi nadi filem ini yang tidak mencapai tahap brutal yang selayaknya bagi klasifikasi 18 yang di label. Paling sengal semasa Diana Danielle bawak lari pasu bila Remy dan Fiz bertumbuk. Biar je lah pasu tu berkecai kena hempuk dengan mamat-mamat tu. Barulah gempak sikit.

Sebenarnya cerita belakang tabir filem ini sendiri lebih sensasi kerana ketika penggambaran, berlaku kemalangan di set yang mengakibatkan tenaga kerja tercedera. Adegan kebakaran yang tersilap teknik itu terhasil agak baik dan nampaknya tidak sia-sia sampai ada stuntman yang luka parah. Aku fikir bahan seranta begini sudah cukup hangat sebab sedikit sebanyak memang orang akan musykil dengan kontroversi yang keluar untuk jenguk sendiri jalan ceritanya nanti. Cuma Jiwa Taiko ini digemparkan pula pasal isu babak intim melampau para pelakonnya yang aku rasa itulah punca ia di bagi penarafan 18 kerana elemen asyik-mahsyuk dan subjek moral yang korup.

Remy yang baru keluar penjara ingin memulakan kehidupan baru dengan mendaftar masuk di sebuah rumah aktivis khidmat sosial yang dikendali oleh Mislina Mustafa. Sebelum daripada itu kita di bawa ke adegan yang Mislina ini ada melawat banduan di sana untuk menawarkan sokongan. Terlebih awal daripada itu Remy yang bersekongkol melakukan jenayah dengan Bront berjaya di berkas dan Bront terlepas. Aku rasa Osman patut tumpukan pada kegiatan rumah amal itu sebagai sisi taiko insaf Remy dan dunia keparat Bront untuk sudut taiko jahanam sebagai menepati tajuknya. Kalau setakat taiko-taiko itu duduk sibuk nak merebut awek, maka ia lebih sesuai jadi Barajiwa sahaja.

Monday, June 18, 2012

Madagascar 3: Erope's Most Wanted


Hippo: Zebra ada wig afro, singa memang dah ada rambut, mana rambut palsu you?

Francais ini makin lama semakin menjadi-jadi meledak di pawagam. Sekuel ketiga yang tidak kurang sumber lawaknya dan jalan cerita yang bertaring. Jika anda masih ingat bahawa ketika filem ini keluar dahulu tahun 2005 yang ia terpaksa bersaing dengan sebuah lagi animasi bertema lebih kurang serupa berjudul The Wild. Namun The Wild tidak memberangsangkan berbanding Madagascar dengan memakai tajuk nama sebuah negara pulau yang eksotik lebih memaut tumpuan. Dan aku tidak berdaya untuk melepaskan haiwan-haiwan ini begitu saja.

Masih menjadikan empat sekawan itu sebagai fokus yang tetap bercita-cita untuk kembali ke habitat asal mereka di Zoo New York walaupun secara fitrahnya lebih elok mereka duduk saja di Afrika itu. Penguin yang segak lagi licik menjadi harapan supaya dapat membawa mereka balik termasuklah raja lemur yang kelakar beserta dua pengikutnya yang comel. Penguin yang bersekongkol dengan monyet asyik berjudi secara menyamar sebagai manusia di Monte Carlo sehingga terlupa bahawa kawan-kawan mereka tertinggal di sana masih menunggu rancangan untuk pulang ke Amerika. Syak bahawa burung itu mungkin lupa diri di kasino, Alex dan geng bergerak sendiri ke wilayah Eropah itu dalam usaha menyertai penguin tersebut dan mengingatkan perihal komplot asal mereka.

Aku rasa yang paling menarik dan berkesan dalam Madagascar ialah karektor sampingan seperti kawanan penguin itu dan raja kongkang yang lebih banyak buat hal masing-masing. Walaupun mereka terlibat secara langsung dengan Alex serta tiga rakan karibnya tadi tetapi terasa ada bahagian plot yang berbeza yang keluar dari kerangka utama. Contohnya ketika di sarkas apabila King Julien mabuk kepayang dengan beruang betina, aksi mereka berdua seolah tiada siapa yang prihatin. Keempat-empat penguin itu pula jangan cakaplah. Mereka memang handal mencuri perhatian dengan lagak cool dan bijak mengendalikan situasi. Contohnya ketika adegan kejar-kejar dengan kereta dan pesawat. Jenaka boleh terbit secara spontan daripada situ saja.

Antagonis dalam filem susulan kali ini mengambil penguasa jabatan haiwan, dengan suara di pinjam oleh Frances McDormand yang gigih over-the-top untuk menangkap binatang terbabit ekoran kejadian kasino di ceroboh. Madagascar telah menyongsong batas sempadan untuk menghantar pulang Alex serta sahabatnya yang mendapat idea dengan menjadi anggota sarkas sebagai tiket kembali ke tanahair. Mengekori rapat di belakang ialah pegawai melampau sebagai rencah advencer untuk sekawanan aneh ini. Dreamworks mungkin tidak akan berpuas hati setakat ini. Entah ke benua mana pula akan haru-biru apabila singa, zirafah, badak air dan kuda belang serta gerombolan mereka bertandang seterusnya.

Thursday, June 14, 2012

Coach


Walaupun lebih selesa duduk dalam bilik ni, tapi bola sepak kena main di padang ya anak-anak.

Jenis: Astro Citra
Bahasa: Inggeris
Genre: Komedi/Romantik

Oleh kerana tak tengok Euro 2012, apa kata menonton filem-filem yang bertemakan bola sepak seperti dimainkan oleh Astro Citra sempena musim perlawanan itu. Ada beberapa tayangan yang disenaraikan untuk sama-sama meraikan sukan tersebut terutama bagi kaki bangku macam aku ni yang tidak ambil kisah. Antara filem yang disiarkan seperti malam tadi yang sempat aku tengok ialah Coach. Tajuk yang telah menjelaskan segala-galanya ini membawa sebuah cerita motivasi tentang seorang lelaki yang mencari matlamat hidup dan seorang kanak-kanak yang meminati sukan itu.

Sosok yang dikenali menerusi filem terbabit ialah Hugh Dancy yang membawa watak sebagai jurulatih bola sepak secara bidan terjun kerana ingin membuktikan kepada bekas aweknya bahawa dia bukanlah seorang dewasa yang lorat dan tiada hala tuju. Punca Hugh ingin melatih pasukan itu sebenarnya kerana dia tertarik dengan corak permainan seorang pelajar latin yang ditemui berseorangan berlatih bola. Dalam pada itu, pelajar tersebut, Hector tidak dipedulikan bapanya dan dia juga tiada ramai kawan. Beberapa kitaran biasa yang pernah di lihat dalam filem lain seperti akhirnya budak berkenaan mula di sokong keluarganya serta watak utamanya berjaya menemui cinta baru terpampang dalam kisah ini.

Filem ini memang sangat ringan dan mudah di layan. Jalan ceritanya bergerak lancar dan plotnya berkesudahan dengan senang. Aku suka dengan karektor kawan-kawan jurulatih yang ngam dan saling menyokong itu. Jika anda ingin sebuah topik pasal bola sepak yang santai, inilah filemnya. Aku tidak pernah tahu budak-budak menengah rendah di Amerika itu yang grup bola mereka bercampur lelaki dan perempuan. Mesti mereka kena lebih berhati-hati ketika beraksi di dalam permainan. Filem ini diarahkan oleh Will Frears yang merupakan anak kepada Stephen Frears seorang sutradara pernah dicalonkan Oskar menerusi The Queen.

Sunday, June 10, 2012

Snow White and the Huntsman


Kau nak bawa aku pergi mana ni wahai puntianak?
Kau ingat kau dalam Twilight ke ni?!

Mungkin aku telah tersampuk jampi permaisuri durjana tersebut kerana aku masih lagi ingin menonton filem yang di ceduk daripada dongeng klasik itu setelah beberapa bulan lepas baru saja menyaksikan Mirror, Mirror. Apa lagi yang kita tidak tahu tentang kisah seorang puteri yang paling cantik daripada kalangan semua rupawan yang ada pada suatu zaman di negeri antah-berantah. Tragedi dia di hukum kerana lebih ayu daripada yang lain. Persahabatannya dengan tujuh orang kerdil dan epal beracun yang mengancam nyawa. Cuma aku tidak tahu tentang adanya seorang lelaki yang di upah untuk memburu puteri terbabit. Juga apa khabarnya dengan mana-mana putera yang berjaya menawan hati Snow White yang paling putih pernah dilahirkan ini?

Seperti juga Mirror, Mirror – filem di buka dengan suara periwayat yang menglipur-lara tentang sebuah kerajaan yang di kepalai oleh seorang raja dan ratu yang menunggu kelahiran anak kemudian dikurniakan bayi perempuan yang comel mulus dinamakan Snow White. Selepas itu si isteri meninggal dan raja berkahwin dengan seorang wanita yang tidak diketahuinya merupakan ahli sihir yang kejam namun jelitawan. Rasanya kebanyakan tahu apa yang berlaku seterusnya pasal si ibu tiri yang cemburukan kecantikan anak raja itu lalu diperintahkan supaya puteri itu dibasmikan. Ini semua terjadi setelah dia menewaskan raja yang malang itu. Sesiapa pun yang paling terkesan dengan versi asli hikayat ini sudah maklum akan sinopsis asas seperti di atas.

Namun pengarahnya Rupert Sanders cuba membawa tafsiran baharu kepada sebuah kisah pari-pari yang terlalu dikenali. Ia langkah yang bijak sementara dunia televisyen sedang hangat dengan siri Merlin dan Game of Throne, seluloid pula turut mengambil bahagian menawarkan filem bergenre serupa walau ia cuma adaptasi berdasarkan cerita klasik sebelum tidur kanak-kanak. Keseluruhan nada dan aura Snow White seperti di sogok Disney itu telah di rombak dan di struktur semula supaya ia kelihatan lebih getir, kasar dan ganas. Wujud pula Huntsman yang di kerah memburu puteri tersebut dan kemudian bertindak sebagai pelindungnya. Bagi aku ini adalah garapan terkini yang menarik dan aku tiada masalah untuk menerima intepretasi semula yang di buat terhadap naskhah ini.

Cuma aku bersetuju dengan pendapat ramai bahawa Kristen Stewart ini tidak terlalu putih berseri untuk menyebabkan ia didengkikan oleh sesiapa. Cermin Sakti itu memang pembohong besar. Tapi bila cermin itu boleh muncul sebagai sekujur tubuh keemasan itu terasa seram juga. Charlize Theron memang berhabisan untuk wujud sebagai ratu berhati kejam yang mutlak kerana dia sangat meyakinkan. Terima kasih juga kerana menyiarkan sisi silam permaisuri ini kerana aku rasa tidak pernah sebelum ini kita diberitahu asal-usulnya. Chris Hemsworth seperti biasa adalah Thor hanya kali ini tanpa tukul. Menurut maklumat imdb, kemungkinan ada sekuel bagi filem ini dan kita boleh berharap untuk banyak lagi kupasan baharu yang mereka boleh teroka buat dongeng kegemaran ramai ini.

Tuesday, May 29, 2012

A Cat In Paris


Kucing aku dok kat Paris... kau ada??

Filem ini yang entah dari mana datangnya, tiba-tiba terselit sekali sebagai calon dalam kategori Filem Animasi Terbaik untuk Anugerah Oskar tahun ini. Sekarang ia sedang ditayangkan sempena dengan French Film Festival di beberapa pawagam gsc terpilih. Jika anda jenis yang suka dengan apa saja cerita animasi, mungkin akan menggemari A Cat In Paris. Walaupun agak asing mengikuti kartun yang bercakap bahasa Perancis, lama-lama kita tidak akan perasan tentang itu apabila asyik menghayati perjalanan plotnya. Subjek yang di bentang di sini agak dewasa untuk kanak-kanak tentang jenayah dan kucing yang bersubahat! Tentulah ia bukan perkara yang mudah untuk mengadili si comel yang memiliki dua personaliti berbeza.

Jangan berharap untuk dihidangkan dengan animasi di jana imejan grafik terkini seperti yang biasa dihamburkan kepada kita. Sebaliknya filem ini akur dengan lukisan gaya tradisional yang menyerlahkan kehalusan seni dan kreativiti karyawan yang artistik. Sesetengah berpendapat karektor figura yang tampil di sini seperti ilham catan Picasso pada era cubism. Aku tertarik dengan suasana dan lakaran sepanjang filem tersebut kerana ia sungguh inovatif. Rasanya atmosfera yang diketengahkan memang menjurus kepada setiap sudut dan ruang-lingkup yang sebati Paris. Para pembikinnya telah memberi homaj kepada kota ini dalam estetika yang setaraf dengannya.

Ada tiga plot yang berselisih dalam filem ini tentang seorang budak perempuan yang sengaja tidak becakap (mula-mula ingatkan dia bisu) berkawan dengan seekor kucing yang cuma datang pada waktu siang. Ibunya adalah pegawai polis yang juga balu kerana kematian suami akibat di tembak anggota samseng. Kucing tadi pada waktu malam menemani seorang pencuri merompak rumah orang. Manakala sekumpulan samseng itu pula sedang berkomplot memusnahkan hidup polis wanita tersebut. Agak mengganggu menyaksikan budak perempuan itu melarikan diri daripada penjahat dan di culik ekoran beberapa insiden di tanahair yang melibatkan penculikan kanak-kanak. Tambah kompleks lagi apabila budak itu terpaksa meminta tolong daripada pencuri untuk melepaskan diri. Ya, begitulah mereka di Eropah ini merangka sebuah cerita bagi kanak-kanak.

Mungkin apa yang lebih penting adalah untuk mendidik anak-anak supaya lebih pandai menjaga diri apabila terasa nyawa di ancam bahaya. Mereka harus tahu menggunakan intuisi sendiri untuk mengesan sebarang bencana. Beberapa aksi kejar-mengejar dan di tangkap terasa mencemaskan walaupun ia sekadar kartun semata-mata. Si cilik kita nampaknya sudah mula perlu untuk kenal pasti dan awasi risiko jenayah yang bakal menimpa. Hanya alangkah elok jika ada kucing seperti watak si comel hitam itu menjadi side-kick yang boleh membantu tatkala mara-bahaya menimpa.

Friday, May 25, 2012

Hoore! Hoore!


Ok, cuba nyanyi lagu Rayuanku sikit
Tapi tu bukan lagu Sudirman bang.

Farah Nazirah adalah Nicky Blonsky dalam Hairspray? Kalau nak diikutkan saiz badan adalah sama. Namun tubuh besar dan berat yang di anggap tidak menarik itu, bukanlah menjadi halangan untuk mereka menceburi suatu bidang yang pastinya golongan seperti ini akan di pangkah siang-siang. Tak ada daya penarik langsung. Nicky bercita-cita ingin menari dalam sebuah program tv kegemarannya. Manakala watak lakonan Farah bernama Nurul Aiman cuba memenuhi impian neneknya dengan menyertai pertandingan ratu cantik remaja. Kedua-dua Hairspray dan Hoore! Hoore! ini bercorak muzikal selain karektor utama mereka berkisarkan anak-anak muda. Jika filem Hollywood itu mengambil tema muzikal era 60-an sebagai latar-belakangnya, Hoore! Hoore! pula mengangkat lagu-lagu Allahyarham Sudirman yang popular sekitar 80-an dan awal 90-an menjadi inspirasinya. Tapi lagu-lagu alunan Sudirman yang penuh syahdu dan meresap jauh di sudut hati bagai tidak ditimbal sebaiknya melalui persembahan filem ini.

Saw Teong Hin mengarahkan skrip tulisannya dan Shariman Wahab yang menurut beliau diilhamkan dari Mamma Mia! serta mungkin dengan pengaruh High School Musical dan Glee untuk menawarkan wajah tempatan kepada produk muzikal ini. Sekumpulan pelajar sekolah yang baru tamat peperiksaan dan mereka menghabiskan masa dengan menjadi peserta pertandingan remaja idola (dua orang daripada mereka iaitu Aiman dan musuhnya Rita) manakala kelompok yang lain sama ada bertindak sebagai penyokong kepada rakan yang masuk atau sekadar wujud untuk menjadi pendengki atau batu api. Keluarga Aiman turut merupakan sistem sokongan yang penting dalam filem ini sebagai faktor input dari golongan dewasa manakala Johari, kawan sekolah yang berminat dengannya berselit watak bapanya yang juga seorang guru sebagai bahan untuk menambahkan sedikit konflik. Isu yang filem ini bawakan nampak berat secara teorinya tentang remaja bertubuh besar dan bertudung pula seperti Aiman untuk tercebur dalam suatu aktiviti yang cenderung dikaitkan dengan maksiat serta harus di provok lantaran bentuk badan yang terlebih kilo itu.

Tetapi ia telah di garap menjadi sangat ringan dan bersahaja sebagai label filem untuk tontonan remaja sembari mendekati lagu-lagu Allahyarham yang mereka mungkin sudah lama tidak dengar. Sebagai menepati genre yang di angkat, beberapa adegan yang berlangsung disisipkan lagu dan muzik yang popular dendangan penghibur terbabit dengan pelakon itu sendiri yang menyanyikannya. Rasanya agak tepat situasi dan lagu yang di pilih untuk mengungkap peristiwa yang karektor itu alami seperti Anak Gembala, Basikal Tua, Milik Siapakah Gadis Ini, Salam Terakhir, Ayah dan Ibu, Merisik Khabar, Bercanda di Pasiran Pantai, Balik Kampung dan Hoore! Hoore! yang menjadi pelengkap kepada babak-babaknya. Cuma pengarangnya mungkin terlupa untuk meneroka lagi konflik sekejap berkawan, sekejap benci antara Aiman dan dua sahabat karibnya itu. Begitu juga bapa kepada Johari yang tidak di beri poin yang kukuh untuk dia protes anaknya berkawan dengan budak perempuan comel ini. Setakat ditangkap bergaduh manja dengan Rita masa sekolah dan lepas tu masuk pertandingan ratu, macam enteng sangat itu semua.

Sudirman mungkin berlakon sebuah filem saja sepanjang hayatnya tetapi aku rasa filemnya yang satu itu sangat mencengkam, kritis, menyayat dan berkuasa dalam naskhahnya. Walaupun bukan jenis muzikal, tetapi runut bunyi yang mengiringi begitu jauh lebih meresapi dan jujur sepanjang perjalanan Kami. Aku fikir sepatutnya sebuah filem yang mahu mengambil lagu-lagu Allahyarham sebagai pengisi relung cerita, harus cuba mengimbanginya dengan naratif yang lebih kuat dan matang daripada ini. Aku bayangkan mungkin pengkarya boleh menceduk sedikit ilham daripada Kami, ubahsuai karektor Tookoo setelah berhijrah dari kampung bukan mencari botol dan tin kosong sebaliknya bekerja sebelah siang mengumpul wang dan melanjutkan pelajaran seperti Sudirman sendiri yang berjaya meraih ijazah. Itu semua boleh menjadi inspirasi kepada lebih ramai khalayak daripada segelintir golongan yang berbadan sihat, bertudung dan ingin menjadi ratu.

Monday, May 21, 2012

Astro Movie Package Putra Brand Awards

Walaupun aku penggemar filem, tapi aku tidak melanggan Pakej Movie Astro. Akhir bulan lepas apabila Astro dinobatkan sebagai jenama kegemaran Malaysia, stesyen itu berbesar hati untuk menghadiahkan para pelanggan mereka menonton ke semua rangkaian yang ada. Bagi mereka yang melanggan pakej paling minimum tentu rasa beruntung. Rumah aku memang ambil yang tak mahal sangat caj bulanannya. Jadi di kesempatan yang berharga itu, aku pun tekun memasang Movie Package. Kebanyakan yang di siar pada tempoh tersebut memang aku dah tengok. Ok, beberapa filem yang aku ingin sentuh di sini ialah yang belum aku tontoni semasa ditayangkan menerusi tiga saluran wayang itu.



Gara-gara selalu ternampak trailernya yang sangat berteka-teki, aku rasa tak puas hati kalau tak tahu siapakah Dr Martin Harris sebenarnya? Tapi tak ada masa pulak nak ke panggung tatkala itu. Akhirnya dapat juga jawapannya setelah HBO siarkan (padahal boleh je baca spoiler kat mana-mana). Malangnya aku cuma sempat tengok separuh kedua saja durasi sebab tak teringat nak buka tv. Rasanya tak penting sangat kot bahagian awal-awal itu sebab sudah didedahkan dalam trailer. Liam Neeson memang meyakinkan sebagai seorang lelaki menentang dunia seperti watak dibawanya menerusi Taken dan The Grey. Plot yang suspen dan bergerak pantas berupaya memaku supaya terus menonton walaupun penamatnya hanya bagi Dr Harris itu sedangkan lelaki yang klaim nama tersebut tegar meneruskan hidupnya.



Rupa-rupanya ini juga di angkat daripada novel John le Carré, penulis sama bagi Tinker Tailor Soldier Spy (TTSS) yang baru saja aku tonton melalui dvd. Kedua-duanya ada kaitan dengan dunia perisikan dan tipu muslihat. Memang ada tukang jahit dalam Tailor of Panama ni tetapi TTSS tiada pula sebarang aktiviti menjahit baju atau seumpamanya walaupun tajuknya mengandungi tailor. Filem ini berpusatkan terusan Panama yang masyhur sebagai laluan kapal yang penting yang menghubungkan dua lautan terbesar dunia. Lalu timbul implikasi apabila terusan tadi dimanipulasi oleh beberapa individu tertentu sebagai jalan memenuhi agenda masing-masing. Jika ingin melihat Daniel Radcliffe semasa kecil, inilah filem pertama beliau.



Aku suka dengan idea di upah oleh seseorang untuk menulis bahan tertentu dengan di bawa tinggal di suatu lokasi terpencil supaya dapat habiskan karya itu dengan tenang. Alangkah bahagia bersunyi-sunyi di sebuah kotej tersorok jauh dari hiruk-pikuk kota dengan hanya bunyi ombak atau unggas rimba menemani. Asalkan ia tidak sampai mengancam nyawa, sudahlah. Pengarah Roman Polanski mengadunkan thriller politik ini dengan isu panas melibatkan mantan Perdana Menteri Britain semasa perang Iraq tatkala bersekutu dengan Amerika. Aku turut terpesona dengan atmosfera filem ini yang membuatkan segala-gala yang biasa boleh jadi sangat bahaya dan suspen. Aku rasa Penulis Upahan lebih sesuai sebagai terjemahannya daripada Penulis Hantu seperti sarikata yang disertakan.



Ok, bercakap tentang biasa, filem Woody Allen ini memang mengambil idea sesuatu yang kelihatan normal atau biasa pada luarannya apabila di cerakin, ia mungkin tersembunyi muslihat yang besar. Dan membinasakan! Itulah yang sepasang suami-isteri lakonan Allen sendiri dan Diane Keaton terjerumus apabila menyiasat lebih dalam bahawa kematian isteri jiran mereka bukanlah kerana semulajadi sebaliknya dia telah di bunuh. Pelakunya ialah suami mangsa itu juga! Memang lucu dan sasau dibuatnya kerana Allen tidak mahu melibatkan diri dengan obsesi Keaton yang tak pasal-pasal ingin jadi penyiasat tidak bertauliah tetapi terpaksa menawarkan diri kerana tiba-tiba cemburu apabila ada seorang kawan lelaki yang berminat nak membantu isterinya itu. Sebuah filem yang terasa acuan Woody Allen dengan mencuit hati dalam sela-sela misteri yang ingin di bina.

Monday, May 14, 2012

3 Filem di FPS

Semalam dalam program The Fabulous Picture Show (FPS) di saluran Al Jazeera, mereka mengadakan previu bagi filem Mama Africa. Pengarahnya, Mika Kaurismäki turut hadir ke studio untuk berkongsi pengalamannya menggarap dokumentari tentang Miriam Makeba seorang penyanyi legenda dari Afrika Selatan yang juga ikon muzik paling dihormati di samping cergas sebagai aktivis politik. Menerusi lagu-lagu beliau menyampaikan mesej kemanusiaan yang mengecam perkauman serta mengatasi kemelaratan. Selama lebih dari 50 tahun diva ini mengabdikan dirinya sebagai penghibur luar biasa yang bukan sekadar pelantun lagu malah menjadi lambang suara dan inspirasi benua tersebut.

Malangnya Miriam telah meninggal dunia sebelum sempat penggambarannya dimulakan. Jadi mereka terpaksa menggunakan arkib futej yang sedia ada sebagai bahan. Bila aku periksa trivia tentang beliau, nama asalnya sungguh teramat panjang!* Rupa-rupanya beliau ialah ibu kepada Sal Masekela yang pernah menjadi hos E! News. Beliau juga merupakan wanita Afrika pertama yang memenangi anugerah Grammy iaitu pada tahun 1965 dalam kategori Best Traditional Folk Recording.



Selain itu FPS juga menyiarkan sedutan filem The Dictator, lakonan terbaru pelakon gila Sacha Baron Cohen. Sacha sekali lagi dengan lesen kreatif teragung yang dimilikinya memparodikan tokoh sebuah negara yang tengok sebelah mata pun kita tahu ia adalah Gadaffi. Dengan janggut panjang, pakai sunglasses, ada adegan pengawal peribadi wanita yang menunjukkan kekuatan masing-masing dalam acara karate. Siap karate guna payu dara yang tak tahan tu. Ben Kingsley pula saling tak tumpah macam Hamid Karzai. Jangan bimbang, ia tidak akan disiarkan di Malaysia.



Sebuah lagi filem yang FPS promosikan ialah ParaNorman sejenis animasi stop-motion seperti Coraline dan Corpse Bride yang turut diterbitkan oleh Laika Entertainment. Ia menceritakan tentang seorang budak lelaki penyendiri, Norman Babcock yang tinggal di sebuah pekan kecil bernama Blithe Hollow yang memiliki kurniaan ajaib apabila boleh berkomunikasi dengan orang mati. Apabila kampungnya di ancam oleh serangan zombi, makhluk halus dan jembalang akibat suatu sumpahan ahli sihir, dia harus menggembleng bakat mistiknya itu untuk menyelamatkan seluruh penduduk. Tetapi tanpa disedarinya, aktiviti di luar normal itu mendatangkan akibat bukan kepalang kepada budak bertuah ini.



*Nama sebenar Miriam Makeba kalau ikut i.c ialah Zensile Makeba Qgwashu Nguvama Yiketheli Nxgowa Bantana Balomzi Xa Ufnu Ubajabulisa Ubaphekeli Mbiza Yotshwala Sithi Xa Saku Qgiba Ukutja Sithathe Izitsha Sizi Khabe Singama Lawu Singama Qgwashu Singama Nqamla Nqgithi. Kau mampu ada nama panjang macam tu?!

Tuesday, May 08, 2012

A Better Life


Lori kontena belakang tu abah tak nak beli ke?
Ok jugak. Ramai kaum kerabat boleh muat tu.

Filem yang pernah aku utarakan dalam entry terdahulu, kini masih ditayangkan di International Screens. Seperti beberapa filem yang menceritakan tentang para imigran yang pernah aku bentangkan dalam blog ini seperti Dirty Pretty Things dan Crossing Over, ia sedikit-sebanyak menyorot risiko hidup secara haram di negara yang ditumpangi. Kita memang boleh memahami dilema itu kerana situasi yang sama berlaku di negara kita apabila saban waktu ada saja berita pendatang di berkas kerana duduk tanpa dokumen yang sah.

A Better Life turut memuatkan senario serupa kerana Carlos si bapa tunggal lakonan Damien Bichir yang tampangnya sungguh sayu dan getir, pendatang dari Mexico yang bekerja sebagai tukang kebun di samping membesarkan Luis, anak lelakinya yang meningkat remaja. Anak yang tidak sedar di untung itu cuma tahu menunjuk lagak dan mahu menjadi gangster sedangkan bapanya gigih bekerja menyelenggara taman orang kaya dan merancang ingin membeli sebuah trak pikap sebagai langkah meninggikan taraf hidup.

Babak-babak terawal memang menunjukkan yang Carlos berusaha keras mengubah nasib mereka di sana. Balik ke rumah sekadar untuk tidur di atas kerusi panjang, sedangkan anaknya tidur sedap dalam bilik. Pagi esok keluar balik mengerah tulang empat kerat. Luis pula masih berjiwa memberontak anak muda yang tiada motif sekadar protes dangkal terhadap bapa yang prihatin. Suatu hari trak yang baru di beli di curi rakan sekerja dan barulah tercetus kembali hubungan mereka berdua sepatutnya dan Luis mula menyedari susah-payah bapanya bergelut mencari rezeki dalam masa tiada pengenalan diri yang sah.

Filem ini sepenuhnya mengetengahkan Bichir yang tidak begitu dikenali sehingga kita boleh anggap dia memang pendatang haram yang di pilih secara rawak untuk melakonkan watak ini. Terasa macam tengok dokumentari pun ada kerana pelakon pembantu agak kaku dan tiada jiwa. Bentuk gambarnya juga nampak seperti program realiti yang tidak di jana khas. Plotnya mungkin kita sudah biasa temui dalam aneka penceritaan lain namun butiran tentang manusia yang ingin mengubah hidupnya menjadi lebih baik terus menjadi bahan yang cukup mengesankan.

Sunday, April 29, 2012

Berani Punya Budak


Muka pompuan, suara macam jantan... nah! Amik kau!!
Aww... tu bukan suara aku lah. Tu suara Afdlin Shauki! Sial sangat!

Setelah menonton sedikit promo tentang filem ini dalam Jom Ke Panggung minggu lepas, aku memang terasa nak tengok. Ada seorang penonton yang di temubual ketika itu memberi komen “Mana ada dah orang yang buat stail alih suara macam ni, kan?“. Siap bagi 5 bintang lagi tu untuk filem ni. Nampaknya dia memang terhibur dan berwajah ceria masa itu. Aku tak ingat pula bab alih suara tatkala aku pergi menonton Berani Punya Budak Sabtu yang lalu. Walaupun mula-mula agak terpinga-pinga kerana tak dapat tangkap motif sebenar apa benda yang aku tengok ni, tapi lama-lama apabila sudah tersedar, barulah aku berjaya menikmatinya. Sungguh tidak masuk akal, merepek dan menggamatkan.

Rupa-rupanya ia versi Malaysia bagi Brave yang pernah Afdlin Shauki buat di Thailand dahulu. Aku tidak pasti sama ada jalan ceritanya masih dikekalkan atau tidak. Ok, ketepikan jalan cerita itu dulu. Aku hendak tahu skrip sebenar yang sepatutnya di sebut oleh pelakon-pelakon Siam itu memang sebijik ke sama seperti yang telah dialihsuarakan oleh si Afdlin ini? Tapi kalau diikutkan gerak mulut pelakon itu nampak macam sesuai je dialog merapu yang mereka lontarkan itu. Cuma kadang-kala ia terlalu laju serta bunyi suara pula lebih kurang sama saja (mana taknya, dah si chief Kodok ni yang conquer semua) membuatkan ia susah nak faham. Namun tahniah ya, kerana lenggok suara yang beraneka ragam itu sangat lawak dan berjaya menggeletek diriku.

Ada pula tiba-tiba suara latar yang muncul entah dari mana dok promote kedai karpet Jarvis sempena lambang pada jaket yang seorang penjahat tu pakai. Sekali dua keluar rasa kelakar juga tetapi kalau dah banyak kali terasa sakit hati tau. Itu pun di tambah lagi dengan lagu-lagu dengan lirik sengal yang tak boleh blah. Afdlin memang berhempas pulas ingin mencetuskan segala yang mengarut darjah tertinggi untuk filem ini. Namun di sebalik semua itu, plotnya memang ada isi yang munasabah. Perihal dua lelaki dari Thailand yang di soal-siasat oleh Interpol tentang penglibatan mereka dengan kongsi gelap dan ceritanya mengimbas kembali kejadian yang membawa kepada tangkapan itu.

Peminat aksi lasak dan pertarungan rasanya akan berpuas hati dengan kareograf adegan bergasak yang terlalu banyak dalam filem ini. Walaupun babak berlawan di bangunan separuh siap tu macam sama seperti Bangkok Knockout, tetapi ia tetap kelihatan mantap dan efektif. Cuma mungkin terasa agak panjang setiap kali mereka tumbuk-menumbuk, tendang-terajang sampai boleh terkeliru. Di tambah dengan suara-suara latar yang mencelah dan dialog-dialog pelik yang tak sesuai untuk babak berlawan memang akan membuatkan penonton terkesima. Tetapi anda terpaksa bertenang semasa mengikuti filem ini. Afdlin berani mengambil risiko mengeluarkan filem yang jenaka alih suaranya sangat berleluasa dan sesuka hati dibuatnya. Terpulanglah kepada anda untuk menyahut keberaniannya itu.

Monday, April 23, 2012

Dua Untuk Hari Buku Sedunia

Sempena dengan Hari Buku Sedunia hari ini, mari tinjau dua buah buku yang aku tengah baca sekarang. Sudah agak lama aku mula membaca kedua-dua novel ini tapi belum juga selesai. Aku memang jenis mengadap dua tiga biji buku dalam satu masa walaupun yang pertama tu belum habis pun. Tapi aku ceritalah sedikit sebanyak peristiwa berkenaan dengan kedua-dua bahan bacaan yang aku sedang hadam ini.

1) Winter's Bone



Buku ni aku beli di jualan Big Bad Wolf tahun lepas. Hajat sebenar nak tengok filemnya saja tetapi tak sempat pula nak ke panggung. Bila dah jumpa dalam bentuk bercetak ini, aku pun beli saja. Dalam bab-bab awal ni kita sudah di giat dengan kisah misteri kehilangan bapa kepada watak utama novel ini. Ree, heroin kita itu yang berhati kental terus menjejaki si ayah walaupun seluruh pekan itu seakan menentang usaha sucinya.

Senang saja nak faham ceritanya cuma dialog mereka banyak menggunakan ejaan bahasa Inggeris slang koboi atau pertuturan orang kampung di Amerika yang tidak biasa kita pakai. Memang menarik untuk kita ketahui sampai penyudah akan ke manakah gerangan bapa Ree pergi dan barjayakah dia mengharungi hidup bersama keluarganya semenjak lelaki itu tiada.

2) Seri Tertangguh



Aku telah lama mula membaca Seri Tertangguh ini semasa masih bujang lagi tapi belum habis-habis. Sejak ia masih dipaparkan secara bersiri dalam blog penulisnya sehinggalah ia sudah dibukukan. Tapi apabila dah jumpa novelnya pun tidak selesai juga. Jalan ceritanya memang menarik pasal budak sekolah perempuan bernama Seri yang berperwatakan biasa serta mempunyai blog.

Idea tentang suatu karektor yang menulis blog adalah metah mengujakan sebagai bahan tulisan. Kisahnya tentang hidup seharian Seri dikelilingi keluarga dan rakan yang tidak terkeluar sangat dari landasan realiti. Aku cuba habiskan novel ini sebelum minat itu pudar.

Tuesday, April 17, 2012

Freakonomics



Aku pergi menonton filem ini kerana tertarik dengan tajuknya. Sudah agak lama aku tahu mengenai bukunya apabila terbaca dalam sebuah blog dulu. Tapi sebab malas nak capai buku itu jadi bila tahu yang ia disiarkan di gsc, aku pun pastikan yang aku mesti pergi tengok. Petang itu aku seorang saja dalam panggung. Lagipun filem ni dah lama juga dimainkan. Tambahan pula ia bukan filem yang jenis akan menarik penonton kebanyakan. Aku memuji langkah gsc yang tergerak juga ingin menayangkan dokumentari di pawagamnya.

Perkataan ekonomi bukanlah suatu benda yang diminati. Bunyinya macam bosan dan serius. Lalu seorang ahli ekonomi Steven D. Levitt dan wartawan Stephen J. Dubner bekerjasama menulis buku ini yang membentangkan setiap subjek yang boleh difikirkan mereka untuk dianalisis daripada segi teori ekonomi. Aku pun bukan pandai sangat masa ambil kursus ini dulu. Lekuk penawaran dan permintaan? Tapi mereka berdua tidak membincangkan topik relevan segmen warta niaga yang penuh data syarikat korporat atau dunia dagangan semasa.

Namun hanya beberapa bab saja yang di ambil daripada buku tersebut untuk dijadikan rakaman. Aku tertarik dengan kajiselidik yang di buat pasal trend memberi nama kepada anak di Amerika yang berpotensi menjadi kayu ukur kepada masa depan mereka. Contohnya kaum kulit hitam biasanya terlebih kreatif dalam membubuh nama yang langka atau sengaja perkataan itu diubahsuai supaya menjadi unik. Manakala orang kaukasian memilih jalan selamat dengan letak nama-nama yang tipikal dan biasa. Masalahnya bila budak-budak itu besar nanti nak mohon kerja, syarikat-syarikat memang tidak pandang pada resume yang namanya berbunyi Temptress atau Uneeque!

Isi dokumentari ini secara keseluruhan memang menyentuh kepada isu-isu di Amerika sendiri. Jadi ia memerlukan budi bicara kita untuk mengaitkan dengan senario tempatan. Cuma kisah pendedahan sukan sumo di Jepun yang dinobatkan suci dan terhormat rupa-rupanya tersembunyi skandal penipuan yang keji. Itu agak menarik untuk diketahui. Aku ada terjumpa versi pdf buku ini yang anda boleh muatturun saja secara percuma.

Wednesday, April 11, 2012

Martha Marcy May Marlene


Hah, tembak tu biar tepat. Kalau tak, macam mana nak menang Hunger Games!

Jenis: DVD
Bahasa: Inggeris
Genre: Drama/Thriller

Kalau anda sudah tahu lebih awal yang filem ini ada melibatkan unsur-unsur kultus ajaran sesat, harap anda buang pra-tanggapan yang ia akan dipenuhi dengan adegan ritual atau ratib atau bersawai atau apa-apa amalan di luar normal yang boleh kita tunding bahawa itu memang sesuai dikaitkan dengan mereka. Martha Marcy May Marlene (jenuh nak menyebut) sebaliknya cuba meneroka aspek psikologi seorang bekas pengikutnya yang telah lari dari komuniti itu lantas cuba menyesuaikan diri ke dunia masyarakat umum. Memang pening beberapa ketika nak asingkan sama ada babak ini adalah dia yang sekarang atau dia tatkala masih terpukau dalam fahaman itu.

Rasanya, Sean Durkin pengarah dan penulisnya menggunakan teknik itu sebagai sengaja membiarkan penonton mengalami sendiri dunia delusi Martha (lakonan berkesan Elizabeth Olsen) yang menetap bersama kakak, Lucy (Sarah Paulson) dan abang iparnya Ted (Hugh Dancy) setelah melepaskan diri daripada belenggu koloni terbabit. Di sana dia cuba berasimilasi kembali dengan masyarakat biasa yang telah dua tahun dia tinggalkan. Namun dia mengalami krisis kejiwaan yang agak merungsingkan walaupun kakaknya cuba untuk mengorek rahsia silam sepanjang kehilangannya itu sedangkan Martha terus kelihatan linglung bersama arus masa. Dia sudah tidak dapat lagi membezakan antara dua jenis kehidupan yang pernah dia lalui, mana satu yang normal dan yang mana pula adalah melampaui batas.

Menarik juga untuk kita kaji akan tafsiran yang ingin di bawa Durkin tentang tatacara hidup yang dijalani seseorang apabila suatu sistem atau ideologi tiba-tiba dimaktubkan ke atas mereka. Contohnya apabila Ted naik angin kepada Martha lalu membidasnya yang dia hanya tahu menumpang percuma dan tidur makan saja tanpa memikirkan masa depannya. Sedangkan semasa dia menjadi anggota kultus itu, mereka menanam hasil makanan sendiri dan mencuri dari rumah orang kaya! Ok, itu mungkin bukan kaedah yang betul mencari rezeki tetapi oleh kerana mereka kumpulan ajaran sesat ... well... Kita akan bersetuju dengan Ted selaku ahli masyarakat yang bertanggungjawab bahawa Martha kena keluar mencari kerja. Cuma adik iparnya itu sudah di basuh dengan doktrin yang tidak sebati dengan prinsip kehidupan orang ramai maka mindanya masih celaru begitu.

Sepanjang adegan imbas kembali dan suasana waktu sekarang kita dapat rasakan tekanan mental yang Martha alami secara senyap seperti keseluruhan nada filem ini yang sunyi ibarat penyakit yang makan dalam. Martha Marcy May Marlene tidak mengadili mereka yang menubuhkan aliran menyeleweng itu sebaliknya ia seolah-olah testimoni tentang seseorang individu apabila terjerumus ke kancah tersebut. Kehidupan moden mungkin tidak sesuai bagi semua orang, tetapi ada beberapa faktor lain yang harus dipertimbangkan dengan serius sebelum kita ingin komited kepada suatu pertubuhan yang menawarkan gaya hidup alternatif yang cenderung di label songsang atau subversif.

Monday, April 09, 2012

Islamophobia Theatre



Atau judul penuhnya ialah Islamophobia Theatre – A Non-Muslim Point of View berlangsung di Pusat Islam malam Ahad yang lalu. Aku yang tidak pernah ke sana, lantas mengambil peluang itu, di samping kepingin menonton satu persembahan yang aku suspek akan dipenuhi isu-isu kontroversi dan mencetuskan gempar. Mungkin lain kali aku kena tetapkan dalam fikiran kalau dah sesebuah majlis itu diadakan dalam sebuah premis kerajaan, mustahil ia akan berani untuk provok pihak berkuasa dengan sebuah acara yang menyinggung ketenteraman awam. Aku tidak rasa yang draf asalnya akan menjadi sejinak ini.

Aku cuba juga cari maklumat di internet pasal persembahan teater ini yang diadakan tahun lalu, tapi tak ada pula. Sebenarnya ia pernah dipentaskan di KLPAC bulan April tahun lepas dan kita tahu kumpulan fokus yang tertumpu ke situ kebanyakannya jenis multi-kaum yang urban dan liberal. Jadi apa-apa bahan yang di anggap sensitif mungkin tiada masalah untuk dipaparkan dan mereka selalunya terbuka untuk menerima variasi hasil seni. Jadi aku agak skeptikal dengan corak penceritaan yang dibawakan oleh Serious Comedy Studio pada malam tersebut yang sungguh klise dan amatur. Oklah, pelakon-pelakon mereka bukan daripada golongan pro tetapi skrip dia sangat drama tv. Kalau anda pernah tengok dulu-dulu drama yang Janet Khoo berlakon masuk Islam tu, lebih kurang macam tu lah teater ini.

Ada dua cerita yang tiada kaitan secara langsung dijalankan secara berselang-seli tentang sepasang kekasih berlainan agama yang sedang dalam peringkat serius si lelaki Cina itu menimbang untuk memeluk Islam sebelum kahwin. Manakala satu lagi kisah lelaki India yang selalu rasa hairan dan sangsi dengan aspek Muslim Melayu di sekelilingnya dan dia meluahkan itu kepada seorang kawan Melayunya dan mualaf. Namun cara mereka lakonkan itu tidak nampak sangat yang mereka fobia tetapi lebih kepada musykil terhadap Islam. Contohnya kenapa bertudung tidak sempurna, adakah tidak boleh sambut tahun baru Cina selepas menjadi Islam, kenapa boleh ada berbeza-beza fahaman dalam agama ini dan sebagainya. Memang ada banyak persoalan yang diutarakan sepanjang persembahan berlangsung dan jawapan di beri secara dialog santai dan selamat.

Mungkin aku beri harapan tinggi terhadap teater ini memandangkan tajuknya Islamophobia yang sangat luas isi yang dapat diteroka. Aku masih tidak rasa bahawa ini naskhah asal yang ingin dipentaskan, mungkin setelah dinasihat pihak tertentu supaya merombak atau tone-down beberapa unsur yang boleh membuat sesetengah kelompok gelisah. Tapi ini spekulasi aku saja. Cuma kalau orang bukan Islam fobia dengan agama ini semata-mata sebelum dapat bernikah dengan gadis Melayu atau sebelum dapat berpacaran dengan orang Islam, apa mesej sebenar yang ingin dikongsikan di sini? Aku tidak tahu respon penonton bukan Islam (mereka masuk percuma) yang hadir pada malam itu kerana tidak tunggu sesi soal-jawab. Segalanya kelihatan mudah dan manis menerusi teater ini dalam menanggapi suatu isu yang rumit dan sensasi seperti Islamophobia.

Thursday, April 05, 2012

Jom Ke Panggung

Dua hari lepas semasa isteri mengalih-alih saluran tv, dia terbuka tv2. Eh, rupa-rupanya ada sebuah program berkenaan hal-hal filem macam Wayang Kita di Astro Kirana dulu sedang ditayangkan. Bagus juga ni. Aku tak tahu sudah berapa minggu rancangan ini ke udara, (tapi bila check di internet, ia mula bersiaran pada 21 Feb lalu) langsung buat aku melekat. Tapi dah separuh jalan aku tengok dengan temuramah bersama Ruminah Sidek berkenaan pencapaian beliau sepanjang bergelar anak seni diketengahkan.

Dihoskan oleh Naz Habibur Rahman, bagi aku pengisian program ini lebih kurang macam rancangan berbentuk majalah hiburan lain juga cuma ia menjurus ke arah filem. Difahamkan ia hanya ada 13 episod dan krew mereka kena konsisten membuat rakaman supaya ia terkini dengan maklumat perfileman semasa. Apa yang aku ingin highlight ialah segmen “Akan ke Panggung“. Ada empat filem menarik yang mereka petik dan sebuah daripadanya sudah memulakan tayangan hari ini.

1. Battleship



Sudah banyak kali tertengok trailer filem ni. Tidak silap lagi jika anda memekik “Transformers!“ sepantas itu kerana ia memang diadaptasi daripada produk keluaran Hasbro, pihak sama yang mengeluarkan robot-robot Transformers. Sekumpulan tentera laut yang sedang mengadakan latihan perang bertembung dengan sebuah objek gergasi di tengah samudera. Nampaknya dunia bakal di timpa malapetaka kerana benda tersebut sebenarnya ialah sejenis kapal makhluk asing yang sungguh mengancam. Saksikan ini jika anda ingin melihat lakonan pertama Rihanna.

2. A Better Life



Mungkin ada yang ingin menonton A Better Life kerana pencalonan yang diperolehi oleh Demian Bichir dalam Oscar baru-baru ini. Aku fikir filem ini mungkin akan diedarkan di International Screen di gsc. Berdasarkan sinopsis, ia berkenaan konflik seorang bapa imigran dengan anak lelakinya di LA dengan isu-isu seputar kehidupan pendatang. Filem ini mendapat banyak reviu positif daripada pengkritik. Mungkin kalau berpeluang aku akan pergi tengok.

3. We Not Naughty



Merupakan produksi seberang tambak, tentu yang biasa dengan nama Jack Neo boleh agak acuan filem yang beliau akan hasilkan. We Not Naughty nampak seperti mirip I Not Stupid (walaupun aku cuma tengok versi remake) berdasarkan komen yang aku baca. Malah tajuknya pun dah macam sama. Ia mengisahkan masalah yang para ibu bapa hadapi untuk menangani budak remaja masakini yang suka memberontak. Sama ada anak-anak muda itu betul-betul nakal atau mereka telah disalah-anggap, sila-lah ke panggung dan tengok sendiri.

4. The Cabin in the Woods



Aku rasa dah lama sangat filem ini berada dalam peringkat pasca-penerbitan, akhirnya baru dapat ditayangkan tahun ini. Aku masih ragu-ragu sama ada ia betul-betul dapat disiarkan di tanahair kita. Di tulis oleh Joss Whedon, ia mengisahkan sekumpulan muda-mudi memecah masuk ke sebuah kabin misteri di tengah hutan lalu di landa pelbagai azab. Tapi bila baca komen-komen awal di imdb, ramai yang hentam. Tak kisahlah tu.

Jom Ke Panggung disiarkan setiap Selasa, 9.30 malam, TV2