Saturday, July 13, 2013

Tidak Berpuasa & Alasannya

Ada beberapa perkara mengenai tidak berpuasa di bulan Ramadan yang pernah diceritakan kepadaku oleh kawan, sesuatu yang pernah mereka dengari atau mereka sendiri yang tidak berpuasa. Aku tak mahu menghakimi mereka yang tidak berpuasa ini yang begitu terbuka bercerita tentangnya. Masing-masing ada alasan sendiri. Masing-masing telah tahu hukum-hakam.

1. Seorang kawan yang baru selesai menunaikan umrah, sekarang menghabiskan masa bercuti di Mesir. Dia mengaku tidak berpuasa kerana waktu siang yang panjang di sana. Lagipun dia sedang bermusafir. Lagipun buat masa ini Mesir sedang bergolak (lagi)

2. Seorang lagi rakan tidak berpuasa kerana setiap pagi ketika ingin melabur, dia mesti ingin merokok. Kalau tak menghisap rokok masa buang air besar tak ada feel, katanya. Aku selalu nasihatkan dia supaya belajar tahankan diri kemaruk nak merokok masa sedang buang air tu. Sambil bila nak ponteng puasa? Umur pun bukan muda lagi.

3. Ada kenalan kepada kawan, seorang Muslim yang tinggal di wilayah Kashmir, India, setiap tahun jarang puasa penuh. Alasannya? Contohnya macam tahun lepas, dia puasa cuma 28 hari. Kenapa tak cukupkan terus sebulan? Sebab hari lain tu dia ada exam. Kerana exam tak dapat puasa? Ya. Sebab untuk exam dia perlu makan. Err.....

4. Ada pula kawan lain bercerita, ada sekali tu setelah penat shopping di bulan puasa dengan kakaknya, dengan selamba mereka masuk restoran makanan segera dan order makan. Sebab dia nampak macam Cina, jadi tiada sesiapa yang akan suspek. Untuk melengkapkan lagi penyamaran, dia speaking London dengan kakaknya sepanjang berada dalam restoran.

5. Nampaknya di tempat kerja sekarang pun ada pekerja perempuan yang semasa tidak boleh berpuasa dengan senangnya makan di pejabat. Di syarikat lama dulu, kerana kakitangan wanita Islam di jabatan lama aku tak ramai, jadi mereka mungkin tak segan makan minum depan staff-staff non-Muslim lain. Atau ia patut jadi sebaliknya? Tapi syarikat sekarang yang hampir semuanya Islam, ada seorang saja di jabatanku buat masa ni yang aku lihat makan pada waktu berpuasa. Mungkin sebab sesama Islam, jadi lebih senang untuk makan ketika siang Ramadan itu sebab kita lebih memahami.

Thursday, July 04, 2013

Siri Bercakap Dengan Orang Asing

1. Terbaca satu artikel dalam The Sun dua hari lepas terdapat interviu bersama seorang pengembara bernama Zhang Su Li merangkap penulis yang membicarakan tentang buku terbarunya berjudul A Backpack and a Bit of Luck mengenai pengalaman kembara dan perkara seputarnya. Dalam rencana tersebut beliau menyentuh tentang tabiatnya yang boleh begitu mudah untuk bersembang dengan orang asing.

2. Menurutnya lagi, ia bukan perkara yang senang bagi orang sekarang untuk berhenti sekejap dengan bercakap bersama orang asing yang kita jumpa di tengah jalan atas alasan kita masing-masing sentiasa mengejar masa. “Because they are always in a hurry to get somewhere. I am not. I am not in a hurry to get anywhere,” ujarnya.

3. Dikaitkan dengan kenyataan itu, bidang kerja aku sekarang memang memerlukan aku sentiasa bercakap dengan orang asing. Padahal kalau boleh aku mahu selalu mengejar masa. Sedangkan aku kerap kali rasa yang aku ingin pergi ke suatu tempat lain. Jauh di sudut hati, aku memang berkeinginan hendak bercakap dengan orang asing tetapi dalam masa yang sama aku hendak menikmati pengembaraan seperti yang beliau kecapi.

4. Bulan ini sudah setahun aku di sini, bercakap dengan orang asing.

5. Nampaknya, buat masa sekarang, inilah kembara yang harus aku jalani, bermodalkan suara bercakap, berinteraksi dengan sesiapa saja, walaupun aku tidak berhenti sekejap untuk menyapa mereka. Walaupun aku harap ini untuk sekejap saja.