Thursday, September 25, 2003

Cik Misery Pagi

Kalau anda biasa mendengar siaran radio THR.fm pagi-pagi, mungkin anda pernah mengikuti rancangan yang di-dj-kan (ada ke perkataan ni?) oleh Abby Fana bertajuk Cik Seri Pagi. Tak silap aku dari hari Rabu hingga Sabtu dia akan ke udara menemani anda yang sedang terperangkap dalam kesesakan trafik atau baru bangun tidur. Cara dj yang seorang ni mengendalikan rancangan tersebut pada pendapat aku macam Fauziah Ahmad Daud menghostkan program Melodi dulu. Dengan intonasi dan gaya bahasa yang digunakan serta slanga yang kelakar menjadikan ia asyik di dengar. Langsung tak reti nak control ayu dia ni dengan ketawa mengilai-ngilai, sekaligus kita akan anggap dia ni seorang weirdos. Tapi itulah identiti Cik Seri Pagi.

Seperti biasa dalam program radio sebegini perkara wajib yang ada ialah menjawab panggilan telefon dari pendengar, baca sms ucapan-ucapan yang dikirimkan, memutarkan lagu-lagu selain mendengar dj berceloteh and of course iklan-iklan pesanan penaja tidak ketinggalan menyelit. Selain itu untuk memeriahkan lagi program pagi kita ni, Abby Fana selalu come-out dengan idea-idea yang pelik-pelik untuk menguji minda orang ramai selalunya dengan mengajukan teka-teki. Pagi tadi seperti biasa dia pun bagilah soalan teka-teki yang berbunyi “Apakah makanan yang orang Negeri Sembilan takut nak makan kerana ia akan membawa musibah?“.Suspen jugak ni, apa eeek jawapannya? Pemanggil pertama jawab lempeng.

“Habis, orang nogori panggil lempeng apa?“ tanya cik Abby.

“Err.. lempeng jugak,“ jawab si pemanggil. Apa ke musibahnya makan lempeng? Actually cik Abby dah bagi clue kat situ dengan bertanya apakah panggilan orang nogori terhadap sesuatu nama makanan mengikut dialek mereka sendiri. Pemanggil kedua pulak bernama Mus menelefon nak jawab teka-teki tu. Tapi si Mus ni kan, bukan dia nak jawab teka-teki tapi dia sibuk cakap mana ada makanan yang bawa musibah kat orang Negeri Sembilan – mana ada… mana ada. Dalam nada berlawak Abby pun mengulang soalan tadi dengan harapan Mus sudi untuk memberikan nama makanannya yang dimaksudkan.

”Mana ada – Tak ada’aahh. Sebab saya pun orang Negeri Sembilan, tak ada pun makanan bawa musibah,” tegas si Mus.

“Kalau saya kata ada, macam mana – jawapan dia Keropok Lekor. Orang Negeri Sembilan panggil lekor apa? Legho kan? Yang bermaksud Leka. Sama jugak kalau saya bagi soalan Haiwan apakah yang membawa musibah kepada orang Negeri Sembilan. Donkey – Keldai, sebab bunyinya macam dongki (dengki),“ jawab cik Abby dalam intonasi yang annoying, geram berbaur tension. Lepas ucap bye bye, Abby terus matikan panggilan dan pasang lagu Pria Kesepian nyanyian Sheila on 7. Huh, Pria Kesepian? Tak sesuailah lagu tu untuk saat-saat emosi dan geram nak marah macam ni, patutnya mainkanlah lagu St Anger by Metallica atau lagu Pak Pung Pak MUStape nyanyian 2 By 2 sebagai tribute kepada pemanggil bernama Mus itu yang berjaya membuatkan pagi kita jadi miserable.

Sampai kita yang mendengar ni pun rasa geram jugak dengan pemanggil tadi. Merosakkan keceriaan mood pagi orang jer. Dah namanya pun teka-teki, tentulah di sebalik simbolik soalan berkenaan ada tersirat jawapan tertentu. Soalan pulak mana boleh bagi straigh forward, mesti ada unsur-unsur duga akal atau kias ibarat untuk menguji tahap kepintaran kita. Yang cik Abby pulak, dah dengar pemanggil tu jawab tak ada, tak ada tu berulang kali, say goodbye ajelah dekat dia. Ambil caller lain pulak yang lebih interested dan lebih appreciate to her silly antics. Tak perlulah seseorang pendengar terlalu take it seriously dengan teka-teki jenaka begini. Si dj pastinya tidak bermaksud untuk bersikap merendah-rendahkan atau mengaibkan sesiapa melalui permainan tersebut. Steadylah sikit. Yang Abby pulak tak tahu macam mana pagi tadi boleh bengang sampai lost control, biasanya dia ni cool aje.

Apa yang touching tu after that masa segmen membaca sms kiriman pendengar, ramai yang back-up cik Abby kita dengan meminta beliau supaya bertenang, jangan emosi, cool down, chill out dan sebagainya. Nampaknya kebanyakan dari pendengar tidak boleh terima dengan sikap pemanggil tadi yang kurang sporting. Salah satu sms yang di hantar berbunyi “Agaknya si MUS tu yang MUSibah!”. Wakakaka…. kelakar.

Tuesday, September 23, 2003

Identiti Seorang Penonton

Last weekend, aku dengan tidak sabarnya telah pergi ke pawagam untuk menonton filem ini, gara-gara terpengaruh dengan tagline yang berbunyi “Twist Guaranteed to Shock!”. Aku pulak memang mudah terpesona dengan filem-filem yang menjanjikan penyudah yang tidak disangka-sangka. Kalau boleh aku tidak mahu menonton filem yang jalan ceritanya macam kacang. Lakonan bermula, konfliks, klimaks dan akhirnya tamat begitu saja tanpa ada apa-apa kejutan menanti penonton.

Masih ingat dengan The Sixth Sense? Bila di fikir-fikir sampai sekarang aku masih geram pasal filem ni kerana aku tidak dapat merasa thrill yang mutlak tatkala menontonnya dulu. Memang aku telah mengambil langkah berhati-hati sebelum itu dengan TIDAK SEKALI-KALI membaca review, artikel, gossip, kritikan, anekdot atau apa-apa ajelah yang berkaitan dengan filem ni pasal takut ia mengandungi spoiler. Kawan aku dah siap pesan awal-awal katanya, filem ni ada twist pada endingnya menyebabkan ramai penonton rasa tertipu. The Sixth Sense sebuah filem yang tidak di harap mencatat box-office oleh penerbitnya bagaimanapun telah mencapai kutipan beratus juta dollar di US kerana ramai penonton telah datang balik ke pawagam untuk tengok sekali lagi dengan teliti supaya dapat memperinci apakah adegan yang telah mempedayakan mereka pada tontonan pertama dulu.

Aku pula tidak bersegera pergi menonton apabila tayangan The Sixth Sense telah dimulakan kerana dah berjanji dengan kawan aku tu nak tengok bersama pada satu hujung minggu. Dalam duduk menunggu weekend yang dimaksudkan tiba, aku pula dengan secara lalainya telah TERBACA ulasan filem ini dalam Utusan Malaysia! Ulasan itu pula secara kejam telah membocorkan plot filem yang sepatutnya menjadi twist pada ending yang sangat mengejutkan itu. Twist yang sepatutnya menjadi rahsia bagi semua peminat filem dan pengkritik filem tersebut telah berdosa kerana membongkarnya! (Ekstreme sikit …. ) Arghhhhh….. geram betul aku. Aku sendiri tak tahu macam mana aku pulak dengan secara tidak sengaja boleh membaca rencana berkenaan. Agaknya sebab dah memang rutin aku akan membaca kolum ulasan filem ini yang pada waktu itu ianya terbit setiap Jumaat. Tambah buat aku marah tu, si penulis dalam perenggan-perenggan terawal lagi dah siap maklumkan apa benda yang twist sangat tu dalam filem ni. Kalau macam tu, baik aku makan Twisties jer, lagi baik. Dah tak guna rasa anxious nak tengok filem ni lagi.

Kali ini untuk filem Identity pula, aku telah mengambil extra-extra precaution supaya jangan sesekali cuai lagi. Nampak aje artikel tentang Identity dalam newspaper, cepat-cepat selak ke halaman lain. Jangan baca langsung berita tentangnya walaupun ia sebenarnya cerita mengenai orang hilang identity card. Maka, pada weekend yang lepas aku dengan penuh iltizam pergilah menonton filem ini di pawagam, kalau tidak – kau akan menyesal. (Yalah, mana tahu dibuatnya aku cuai lagi dengan terbaca spoiler filem ni, mesti menyesal punyalah). Selepas membeli tiket aku merayau-rayau kejap kerana panggung masih belum di buka. Apabila waktu tayangn bermula aku pun meluru ke cineplex mengikut nombor seperti yang tertera pada tiket. Aku pun pergi ke cineplex nombor 11 yang pintunya masih rapat tertutup. Bila aku menyelak daun pintu, suasana di dalam kelam dan sunyi – cuma ada seorang saja perempuan sedang duduk menanti. Aku pun tercari-cari tempat duduk seperti yang telah dinyatakan pada tiket. Tetapi barisan untuk huruf H tak ada padahal kat tiket tu tulis H11. Tambah memelikkan lagi dua barisan kerusi yang mengapit baris kerusi tidak bertanda itu ialah G dan J. Jadi aku pun tak pasti sama ada barisan ini untuk H atau I.

Aku pun tanpa berlengah lagi duduk ajelah kat barisan tidak berhuruf apa-apa itu consider that was seat for alphabet H and huruf I memang tidak wujud dalam Cineplex 11 ini.

Sedang duduk-duduk, tiba-tiba terdengar minah kat belakang aku tu borak-borak dalam handphone dia cakap Cina. Adalah dalam seminit aku dengar dia berborak tu kemudian senyap. Pukul berapa entah wayang nak start padahal kata mula pukul 11.15. Orang lain pun tak ada lagi masa ni –tak akan tak ada orang interested nak tengok filem ni kot? Aku berdua jer ke dengan minah Cina ni? Aku tertanya-tanya dalam hati. Tunggu ajelah. Mungkin pagi ni memang tak ramai orang nak tengok cerita ni agaknya. Dalam sepuluh minat aku duduk menggelisar punggung menantikan filem yang tak start-start, aku pun check balik tiket tu. Laa….. aku tersilap masuk panggung rupanya. Filem Identity ditayangkan di Cineplex nombor 5. Macam mana aku boleh tak perasan nombor 5 yang besar menebeng kat tiket tersebut. Apa yang aku nampak ialah nombor 11 jer, padahal itu nombor kerusi aku. Cepat-cepat aku bergegas meninggalkan minah Cina tu seorang diri duduk terkulat-kulat dalam panggung yang kosong dan sepi itu.

Bila aku sampai di cineplex yang betul, tengok-tengok orang dah ramai pun. Tapi filem masih belum start, masa ni iklan sedang bermain di layar. Terus aku cari tempat duduk dan duduk diam-diam.

Friday, September 19, 2003

The Pianist in Africa

Dalam The Pianist watak utama filem ini seorang Yahudi bernama Wladyslaw Szpilman telah menyorok di sebuah banglo usang untuk mengelakkan dirinya dari terperangkap dengan kekejaman askar Nazi. Manakala dalam Nowhere in Africa pula, orang-orang Yahudi ini telah menyorok lebih jauh lagi dengan membawa diri mereka ke benua Afrika. Aku baru saja menyaksikan Nowhere baru-baru ini sebelum tayangannya berakhir di TGV KLCC. Filem ini secara kasarnya mengisahkan satu keluarga Yahudi dari Jerman berpindah ke Kenya sejurus sebelum perang dunia ke-dua meletus. Tentu anda semua tahu macam mana nasib kaum Yahudi di Eropah semasa perang dunia itu, bukan? Ya, mereka semua akan dibasmikan melalui arahan Hitler supaya menghantar mereka ke kem maut di Poland.

Tiga beranak itu terpaksa survive untuk memulakan hidup baru mereka di satu penempatan gersang dan mencabar di Afrika. Sebenarnya tak adalah mencabar mana sebab si suami Walter, telah pun berada di Kenya lebih awal dan di samping itu beberapa warga kulit putih lain juga telah lama bermaustatin di kawasan berhampiran untuk membantu mereka. Apabila isterinya Jettel dan anak perempuan bernama Regina tiba di situ, semuanya telah tersedia. Rumah dah ada dan siap ada tukang masak lagi seorang bangsa Afrika bernama Owuor.

Apa yang membezakan antara The Pianist dan Nowhere ialah filem yang pertama itu lebih menampakkan cuba meraih simpati penonton terhadap derita bangsa Yahudi akibat dizalimi Nazi tetapi filem ke-dua adalah sebaliknya. Sekurang-kurangnya sepanjang tayangan berlangsung kita tidaklah rasa macam nak menyumpah aje dek memikirkan apa yang kaum itu buat pada bangsa Palestin sekarang. Nowhere secara asasnya mengajar kita untuk membendung prejudis terhadap sesama insan dan kita sepatutnya mengambil peluang untuk mengenali dan memahami antara satu sama lain dengan lebih mendalam lagi.

Ada beberapa perkara menarik yang boleh kita ketahui menerusi filem ini seperti

1. Tugas mengangkat air dari kolam/lopak adalah kerja orang perempuan. Apabila Jettel merengek meminta bantuan Owour supaya membantunya menjinjing tong air yang berat itu, wanita-wanita Afrika di sekeliling lopak air tersebut tergelak-gelak mempersendakan Owour lalu mereka secara mengejek turut meminta bantuan yang sama.

2. Semasa adegan kanak-kanak Afrika itu bermain berlakon-berlakon dengan Regina mengenai Demon dan Angel, kanak-kanak yang bercakap Swahili itu menyebut perkataan “Mala’ika“ tatkala watak Angel tersebut muncul manakala sarikata di layar menterjemahkannya sebagai “Angel“. Seperti bahasa kita juga memanggil Malaikat untuk Angel.

3. Orang tua Afrika apabila mereka telah uzur dan tidak berdaya akan secara sukarela membawa diri supaya mereka dapat mati terbiar dengan di makan dubuk atau haiwan liar lain. Apabila Jettel secara tidak sengaja melalui satu kawasan semak dia ternampak ada seorang wanita tua sedang terbaring mengerekot di bawah sepohon kayu dalam keadaan yang lemah dan azab. Hatinya sungguh tersayat melihat wanita itu lalu dia menawarkan untuk mengubatinya tapi wanita itu menolak dengan alasan dia lebih rela mati dengan cara begitu dari menyusahkan kaum kerabat kerana kepercayaan turun-temurun mereka yang mendakwa ia memudahkan mereka ke syurga.

Persamaan antara The Pianist dan Nowhere in Africa ialah kedua-duanya hasil adaptasi dari buku.

Tuesday, September 16, 2003

Hari Jadi Malaysia

Semasa membaca jurnal Rasanubari, barulah aku tahu wujudnya suatu hari yang bernama Hari Malaysia. Apakah hari Malaysia itu? Hari pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963. Negara ini belum mempunyai nama Malaysia semasa mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana pada masa itu ia dikenali dengan panggilan Persekutuan Tanah Melayu. Pada tarikh 16 September itulah semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk sebuah negara bergelar Malaysia.

Tetapi di atas beberapa perbezaan politik yang timbul, Singapura akhirnya keluar dari persekutuan pada 9 Ogos 1965 lalu mengisytiharkan kemerdekaannya sendiri pada tarikh tersebut. Sebenarnya tatkala pembentukan Malaysia ingin digagaskan, Brunei turut di pelawa untuk menyertainya namun oleh kerana terdapat beberapa terma-terma pakatan yang tidak dipersetujui, maka Brunei enggan untuk bergabung sebagai negara Malaysia. Maklumat lebih mendalam tentang penubuhan Malaysia ini boleh diperolehi melalui laman web ini.

Selamat Hari Jadi Malaysia!

Monday, September 15, 2003

Hujan Tengahari

Hari ni makan tengahari di suatu kawasan berpaya atau pun baruh yang sekali pandang nampak macam kolam kumbahan pulak. Tak pasti ianya kolam atau daratan sebab permukaannya yang hijau berlumut dan nampak ada pepohon keladi di sana sini membuatkannya kelihatan macam paya. Lalang-lalang dan semak samun turut tumbuh meliar di sekelilingnya. Nama tempat ni pun aku tak sure, tapi gerai yang aku makan ni berdepan dengan satu sekolah. Dari Ampang Park kita lalu ikut jalan Ampang dan kita belok ke kiri sebelah kedutaan Perancis. Kita nampak ada landasan LRT Putra yang hendak masuk ke terowong di sebelah kiri dan kemudian nampak flet warna pink dan sekolah Cina. Gerai tepi baruh ni melepasi sekolah Cina itu. Bersebelahan dengan sekolah Cina ada sebuah sekolah lagi. Kalau sesiapa tahu di manakah Kelab Aman, ia juga berdekatan dengan kelab tersebut.

Lauk pauk yang di jual di sini biasa saja, masakan Melayu. Ada asam pedas, masak lemak, sambal belacan, ulam-ulam, kari, ikan goreng dan seumpamanya. Selain itu ada pisang, ubi dan cempedak goreng untuk di buat makan petang. Cuma persekitaran makan di bawah gerai yang macam di kampung-kampung membuatkan ia jadi menarik. Gerai papan beratap zink di bawah rimbunan pokok dan di sebelahnya pula ada paya dengan pokok keladi dan lumut berselirat di tebing bukanlah tempat makan yang biasa di pusat bandaraya ini.

Tengah sedap menjamu selera tiba-tiba angin menderu dengan kuat seakan ribut akan melanda. Daun-daun melayang-layang dan ada dahan pokok patah menimpa bumi. Rintik-rintik hujan mulai turun dan mana-mana pelanggan yang makan di bawah pokok tadi meluru masuk ke dalam gerai termasuk aku. Tempias hujan lebat menerpa masuk ke gerai kerana gerai itu tidak berdinding cuma ada tiang-tiang saja. Pelanggan yang usai makan duduk sekejap di situ menanti hujan teduh. Sesetengah ada yang merokok dan menghabiskan sisa minuman. Tapi dalam cuaca begitu masih ada lagi orang yang meredah hujan untuk makan di sini. Makan tengahari di gerai bersuasana desa di dalam hujan bagaikan mengimbas kenangan yang aku ingin ulanginya selalu.

Thursday, September 11, 2003

Rangkaian Sukaramai

Sebenarnya aku masih tak begitu sihat, sebab itulah aku tak berdaya nak menulis jurnal ni sekerap mungkin. Malam tadi aku tengok filem remake dari satu filem hit Jepun bertajuk The Ring.Mula-mula aku nak habiskan filem The Transporter yang aku tengok separuh jalan dua hari lepas dulu, tapi aku tak tahu macam mana kita nak setkan masa pada dvd player tu supaya ia dapat jump to the last scene yang aku tengok. Tak payahlah aku habiskan masa aku dengan picit butang forward tu. Kalau filem tu dalam format dvd senang sebab ada menu scene selection, tapi untuk vcd, macam mana? Aku pun decide to watch The Ring instead. Rupa-rupanya “Ring” yang dimaksudkan di sini bukannya cincin tetapi adalah gegelung cahaya yang terhasil apabila permukaan perigi di katup. Hari ni pula, di office ada officemate aku send e-mail to me yang mengandungi still picture petikan adegan dari filem The Ring. Aik, macam diorang ni tahu-tahu pulak aku baru saja tengok filem ni malam tadi.

Ada satu rangkaian televisyen baru sedang memulakan operasinya. Minggu lepas ia dah start buat trial transmission di Lembah Klang dan masa tu aku pun mula menekan remote untuk mencari siaran. Dapat pun akhirnya, most of the time ia dipenuhi dengan petikan video klip saja. Sepatutnya dari bulan lepas lagi dah start siaran percubaan tersebut, tapi disebabkan ada technical glitches menyebabkan ia tertunda hingga minggu lepas. Tapi gambarnya tak jelas, berbintik-bintik – puas aku adjust ariel tu namun gambarnya masih tak clear. Setelah siaran sepenuhnya bermula pada 9 haribulan 9, 2003 pun reception masih tidak begitu memuaskan. Perhatikan signifikan tarikh yang stesyen ini pilih untuk memulakan siarannya dengan nama stesyen mereka. Begitu juga semasa ntv7 ingin memulakan operasi dulu mereka memilih tarikh yang ada kena-mengena dengan company mereka juga iaitu 7 haribulan 7, 1997.

Kalau umur Metrovivion masih panjang dulu, tentu sekarang kita sudah ada empat stesyen tv swasta percuma. Aku masih ingat hari terakhir tengok siaran Metrovision, hari Ahad malam Isnin (tarikh tak ingat) yang masa tu ia sedang menyiarkan tayangan filem Inggeris, tajuk pun tak ingat tapi filem ni berlatar belakangkan zaman Rome atau Greek lebih kurang macam filem Samson and Delilah. Aku tak concentrate pun tengok filem tu pasal tengah sibuk iron baju. Keesokan harinya bila aku try nak tengok siaran Metrovision lagi, dah tak ada dah stesyen tersebut. Bila picit butang remote tu dari nombor ke nombor, memang saluran Metrovision sudah tidak dapat di terima lagi. Khabarnya stesyen ini akan membuat comeback dengan nama baru iaitu Channel 8. Tapi yang keluar dulu ialah Channel 9 pulak.

Sekarang kita sudah tidak rasa excited bila mendengar ada rangkaian televisyen baru akan memulakan oprasinya. Bukan macam semasa TV3 mula-mula hendak keluar dulu. Semua rasa tak sabar dan ternanti-nanti bila agaknya TV3 ingin meluaskan siarannya ke tempat mereka pula. Macam mana agaknya rupa stesyen tv swasta? Sebelum ni asyik menonton tv RTM saja yang mendakwa merekalah teman setia kita. It’s about time kita mewujudkan rival supaya stesyen kerajaan itu ada persaingan sikit. Tapi ada persaingan dengan dua-tiga stesyen tv pun masih tak berubah juga. Kita ibarat masih berada pada zaman 70-an atau 80-apabila menonton saluran RTM ini. Tambahan pula dengan adanya Astro yang mampu di langgan oleh kebanyakan kita mengurangkan lagi rasa teruja terhadap pembukaan saluran tv yang terbaru. Tak silap aku Astro juga salah satu faktor yang membuatkan stesyen tv kabel Mega TV tidak dapat bertahan lama. Banyak sangat saluran menjadikan kita spoilt for choice. Tapi kalau sikit sangat pula rasa macam tak berguna pula remote tv ada banyak nombor tapi stesyen tv tak banyak mana.

Monday, September 08, 2003

Cars and Clowns

Aku tak sihat. Baru saja dalam peringkat pra-sembuh dari demam. Tapi dalam demam-demam tu aku pergi juga tengok pameran KL International Motorshow kat PWTC last weekend. Kena bayar RM20 untuk harga tiket hujung minggu. Bagi aku kereta yang paling canggih ialah Citroen Pluriel yang boleh transform bentuknya menjadi macam-macam seperti menurut websitenya itu. Tapi tak adalah sampai dia boleh tukar bentuk jadi peti ais ke, vacuum cleaner ker, kihkihkih…

Ada satu kereta keluaran Perodua dipamerkan, aku tak ingat model apa – nampak macam Kenari – tapi lebih menarik dari model Kenari yang ada di pasaran. Tapi kereta yang nampak macam Kenari tu masih dalam proses ....apa ya istilah dia pakai, bukan prototype, entah ler aku tak ingat padahal ada di tulis kat situ. Kalau anda semua teringin nak tengok Kenari model terbaru ni, pergilah berkunjung ke pameran tersebut. Entah-entah bukan model Kenari tak, maybe Kancil? Tak pun Kelisa? Tapi yang pasti bukan Rusa, sebab kenderaan tu tak nampak macam van pun.

Oleh kerana aku masih dalam demam dan pening-pening, aku tak begitu menikmati pameran ini. Rasa nak lekas-lekas keluar pasal tak tahan sejuk. Booth yang paling merepek sekali ialah Ford, siap dengan clowns dan Blue Man Group lagi sebagai penyeri. Ok, maybe they are not the real Blue Man namun ia masih membawa imej yang sama. Fizikal yang serba biru. Ada seorang badut perempuan kat situ yang sangat lawak. Dia boleh buat aksi-aksi dramatik (slapstick) seorang diri seolah-olah tiada seorang pun yang memerhatikannya. Bayangkan anda menonton The Three Stooges yang biasa membuat lawak-lawak kurang cerdik dan bayangkan pula tiga orang Stooges itu tinggal menjadi SEORANG saja. Apa yang akan anda dapat? Ya, badut perempuan Ford tersebut. Ada juga pengunjung yang tergelak besar melihat telatah badut wanita solo itu melakonkan lawak-lawak individualistiknya itu. Namun kita rasa respek dengannya sebab sanggup menebal muka (sepatutnya aku tak tulis menebal muka pasal solekan muka dia pun dah cukup tebal) bekerja sebagai badut demi untuk mencari sesuap nasi.

Eh, ini kan pameran kereta apasal aku melalut sampai masuk bab-bab badut pulak. Selain kereta ada juga kenderaan lain dipamerkan seperti skuter, lori dan err..... Brabus! Tapi Brabus bukannya bas sebaliknya ia adalah jenama sebuah kereta yang di jual oleh Naza Motor Sekali tengok ejaannya macam bunyi BRAMBUS pulak! Maka kita boleh suggest kepada Naza Motor supaya menggunakan slogan berikut untuk mengiklankan kereta ini

“Jika anda ingin BRAMBUS, naiklah BRABUS!“

Untuk pengetahuan anda jenama Brabus ni ada kena-mengena dengan kereta Mercedes, manalah tahu anda tiba-tiba rasa deja-vu apabila melihat design kedua buah kereta ini yang mirip antara satu sama lain. Lebih kurang macam konsep Perodua Kancil yang di ambil dari Daihatsu Mira jugalah. Jika ada lebihan stok, anda berpeluang untuk mendapatkan paper bag Hyundai yang sungguh besar dengan mengisi borang kajiselidik mereka. That’s the most gigantic paper bag that I’ve ever seen sehinggakan sebuah kereta Kelisa pun boleh di isi di dalamnya! (exegerate) Tapi aku tak sempat nak ambil sebab dah habis, biasalah benda yang besar-besar ni selalu menjadi rebutan ramai. Pameran akan berlangsung hingga 14 September ini