Tuesday, April 27, 2010

The Searchers (Tv)

Sudah lama tidak menonton sebuah filem klasik lebih-lebih lagi dalam genre western. Terakhir sekali aku tengok filem western tetapi daripada terbitan moden ialah The Assassination of Jesse James. Petang Ahad lepas, aku tertengok TV2 yang ketika itu menayangkan filem jenis ini, cuma aku terlepas beberapa minit pembukaan. Namun itu semua tidak menyukarkan untuk mengikuti jalan ceritanya kerana ia di buat sangat bergaya menurut konsep sekelasnya.

Hanya yang bermain di fikiranku, siapakah nama pelakon yang membawa watak penting sebagai Mr Ethan Edwards itu? Aku tahu yang ada seorang ikon koboi yang begitu prolifik dan sinonim dalam filem-filem Hollywood sebagai pembawa karektor tersebut. Tentulah aku kena google sendiri setelah tak dapat recall siapakah beliau. Rupa-rupanya John Wayne. Seperti kebiasaannya, beliau turut memegang teraju utama dalam filem ini yang mengisahkan seorang lelaki sedang menempuh cabaran dalam pencarian anak saudaranya yang hilang dilarikan puak Red Indians.

Monday, April 19, 2010

Kick-Ass

Dahulu perkataan Ass ini bagaikan taboo untuk di sebut sehinggakan tema Kick Ass Monday di 8tv langsung tidak dibunyikan Ass tu. Seperti biasa aku memang ketinggalan dalam hal-hal komik antarabangsa ni sehinggalah versi filemnya keluar. Secara seriusnya, aku boleh merasa takut melihat filem ni. Aku tidak boleh proses situasi yang melibatkan kanak-kanak di dalam sebarang bentuk keganasan atau bahasa kesat. Walaupun begitu, untuk tujuan berhibur secara matang dan memuaskan, filem ini ada ramuan yang muktamad.

Filem begini boleh dirisaukan kesannya apabila ia di ambil serius oleh budak tak cukup akal yang ingin berlagak seperti adiwira yang memiliki kuasa sakti sehingga mengakibatkan fatal. Namun aku mengaku ia tetap mengesyorkan dorongan secara pra-sedar bahawa kita seolah-olah ada kebolehan ajaib tersendiri yang belum dimanipulasi untuk selamatkan dunia. Alangkah seronoknya dapat menerajang penjahat, bertumbuk, membelasah dan membela nasib si malang sehingga mendapat perhatian si gadis pada penghabisan hari di dalam satu persalinan kostum yang pelik (ok, mungkin tidak dengan kostum itu).

Segala apa yang dalam kepala kita tadi diwakilkan kepada Dave Lizewski (Aaron Johnson) wira mat jenin kita yang meriwayatkan segala-galanya apa yang berkelintar di minda serta memvisualkan dengan keyakinan goyah namun dia tetap tegar dengan impiannya bagi bergelar superhero. Aku paling suka dengan babak permulaan detik-detik bagaimana manusia biasa seperti Dave yang berdegil untuk menegakkan keadilan dengan caranya yang unik ini seperti dalam filem Spider-Man dulu (cuma yang hilang, kesan radioaktif labah-labah). Hanya ia lebih real, menyengat dan menyakitkan. Itu lah yang terhidang kepada penonton sepanjang filem ini yang penuh aksi-aksi ganas yang berdesup laju, ngeri dan segar.

Filem yang berlandaskan fantasi ini sedaya mungkin cuba berpijak nyata di bumi melalui justifikasi watak Dave yang mengenakan pakaian beragam berlagak sebagai seorang penguasa keselamatan dan sepasang karektor lain yang muncul kemudian, turut memakai kustom yang komikal juga tetapi dengan tujuan lebih spesifik dan niat yang lebih merbahaya. Malah, idea pemakaian uniform superhero ini menjadi paradoks apabila munculnya watak seorang lagi di kalangan mereka cuma dalam versi seteru (mungkin akan lebih menonjol dalam sekuel nanti) tatkala pakaian samaran tersebut menjadi personifikasi dalam kultus mereka yang biasanya wujud hanya dalam buku komik.

Filem ini secara drastiknya merombak segala metos yang pernah kita dengar selama ini tentang manusia yang cuba menjadi wira penyelamat dunia. Daripada cetusan ilham yang begitu provokatif dan pemilihan watak yang tidak konvensional serta ragam cerita yang bijak menyajikan sebuah plot berkenaan adiwira yang paling diyakini setakat ini. Cuma yang boleh di sangkal ialah, mungkin tidak akan ada sesiapa yang begitu ekstrem untuk bertindak sejauh ini menyarung jersi ganjil menyandang gelaran hero penyelamat. Dan kenyataan paling pahit pula ialah aktiviti jenayah dan gangsterisme adalah perkara yang memang benar-benar wujud.

Thursday, April 15, 2010

The King (Dvd)

Ketika menonton temuramah Oprah dengan isteri seorang bekas paderi (kemudian suaminya menyertai mereka) beberapa malam yang lalu, berkenaan kes salah-laku lelaki terbabit, tiba-tiba aku teringat kat filem ni. Kisah seorang pemimpin agama yang terlibat dengan skandal seks sehingga memberi impak pada hidup orang-orang di sekeliling mereka amat bernilai sebagai bahan sensasi dan berbaloi jika dipentaskan. Walaupun tidak ada kaitan yang langsung antara kedua-duanya itu, tetapi senario tersebut tetap mencetuskan dilema dan konflik lewat peristiwa itu terdedah kepada khalayak.

Filem terbitan tahun 2005 ini mengisahkan Elvis (lakonan Gael Garcia Bernal) seorang tentera yang baru saja menamatkan perkhidmatannya di dalam navy, sedang menyusur peringkat untuk memulakan hidup baru sebagai orang awam. Dia melanggani pelacur, membeli sebuah kereta terpakai dan mengintai sebuah keluarga paderi dari jauh. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan dirinya kepada ketua keluarga tersebut, David Sandow (lakonan William Hurt) bahawa dia adalah anak kepada lelaki berkenaan yang terhasil akibat aktiviti nakalnya di masa silam. Sudah pastilah maklumat sebegini tidak dapat di terima oleh seseorang yang diasosiasikan dengan keagamaan dan di harap memiliki sahsiah diri yang terpuji.

Untuk meringkaskan cerita, akhirnya Sandow dapat menerima hakikat itu walaupun sebilangan ahli kariahnya terasa jelik dengan berita ini. Hanya ia menjadi lebih kompleks buat keluarga itu apabila anak gadis Sandow sudah terlebih awal terjerumus bergelumang nafsu bersama Elvis malah ia menjadi semakin sumbang pula waima sudah di beritahu status pertalian mereka tetapi ia tetap diteruskan juga. Cuma reunion antara mereka ini yang di harap membawa sinar tetapi menyimpang kepada sesuatu yang tidak dapat di tebak pada penghujung hari.

Filem ini sekali pandang memang seakan mahu menyelar institusi ketuhanan terutama wakilnya yang di beri persepsi memiliki moral yang terpelihara semenjak awal lagi supaya apa yang mereka khutbahkan itu dilihat serupa bikin. Namun setiap orang semestinya mempunyai sejarah masa lalu masing-masing. Cuma, plotnya di garap menjadi lebih getir lagi apabila dosa yang anggap sudah di tebus tetapi tetap ada takdir yang perlu dibalas dengan melampau.

Tuesday, April 13, 2010

The Tao Fighter: Woochi

Mula-mula aku cuba perah daya ingatan aku, ada tak filem-filem Korea yang aku tengok di panggung sebelum ini? Mustahil tak ada. Mesti ada satu dua cerita Korea yang aku merelakan diri menontonnya di pawagam. Setahu aku cuma filem Tamil aje yang aku tak pernah lagi sanggup meluangkan waktu menghabiskan wang bersama tayangan Thangathirai di panggung wayang. Setelah puas memikirkan itu, tiba-tiba aku teringat.

Oh, aku pernah tengok cerita The Guard Post di Pavilion dulu. Tapi aku asyik tertangguh-tangguh saja nak menulis pasal filem tu sampai langsung terlupa. Kisah sepasukan askar bertugas di pos kawalan kemudian di timpa wabak misteri sehingga mereka bertukar menjadi zombie sangat mengujakan dan seram. Baru-baru ini aku menonton The Tao Fighter: Whoochi yang aku ikut Gaia tanpa ada sebarang pengetahuan apa kisahnya terlebih dahulu.

Setengah jam pertama adalah sangat menggelisahkan. Rumit betul nak faham apa yang filem ini ingin sampaikan. Mula-mula adegan berlaku di sebuah klinik masa kini dan kemudian pantas meluncur ke zaman dahulukala dengan dialog yang sarat dan aksi-aksi pertarungan penuh magikal sayangnya tidak di bantu dengan sarikata secara sistematik. Aku betul-betul dapat berseronok dengan jalan ceritanya apabila watak-watak era purba itu sampai ke dunia moden lalu terjadilah momen-momen macam rusa masuk kampung. Sangat lawak masa ni.

Lebih baik anda bersedia lebih awal dengan sinopsis atau latar belakang filem ni sebelum membeli tiket daripada duduk ternganga tak faham. Masalah bahasa satu hal, terjemahan di bawah pula, laju metah. Tak sempat nak baca dah hilang. Melainkan plotnya di buat ringkas dan tidak berbelit, lebih mudah untuk anda menghayatinya. Ataupun beli saja dvd bagi senang untuk kita pause kalau-kalau terlepas sesuatu.

Monday, April 12, 2010

Date Night

Kombinasi dua pelakon ini memang menjanjikan sesuatu yang lebih dari setakat gelak ketawa tidak tertahan. Masing-masing dengan kuasa sebagai pelakon komedi handalan bagi siri tv tersendiri buat pertama kalinya berganding dalam sebuah produk. Aku memang ikuti sitkom 30 Rock dan walaupun aku minat Steve Carell tapi aku tak berapa sangat menonton The Office. Daripada trailernya saja dah boleh jangka yang cerita ni akan menghamburkan lawak tak hengat.

Jalan cerita berkenaan satu malam yang dilanda pelbagai peristiwa begini memang sudah biasa di bikin. Malah beberapa reviu yang aku baca mengaitkannya dengan filem Out of Towners atau Bird on a Wire. Selain itu, akhir tahun lepas pun, Did You Hear About the Morgans ada sedikit persamaan dengan filem ini. Namun aspek pengulangan dan konsep cerita yang seakan-akan serupa, memang tidak dapat dielakkan lagi. Paling mustahak, bagaimana untuk mengolahnya supaya menjadi lebih segar dan mantap melalui genre jenaka yang diwar-warkan menerusi dua teraju utama yang tidak payah dipertikaikan lagi itu.

Bagi aku skripnya memang dapat menjentik ketawa bukan sedikit. Seperti biasa ia bersulam nada dewasa yang 18SX yang adakalanya bila di tekan sangat sudah hilang punch linenya. Cuma ada beberapa babak lawak fizikal sangat mencuit seperti menyelamatkan diri dalam sampan, kereta bercantum dan tarian tiang di kelab. Carell sekali lagi berjaya membuat aksi dansa yang tak kering gusi setelah menari tango yang begitu berat dalam Get Smart. Gabungannya dengan Fey walaupun diharap-harapkan memberi sesuatu yang betul-betul unggul, tapi dalam sesetengah keadaan mereka seolah-olah tidak boleh menjelmakan keserasian itu.

Pasangan ini di bantu oleh banyak nama-nama hebat sebagai cameo atau muncul dalam tiga empat adegan untuk menguatkan lagi jalan cerita. Kalau terasa letih ketawa, boleh juga cuba menajamkan otak dengan berteka-teki nama pelakon yang tiba-tiba keluar di skrin. Sila tunggu sehingga kredit penamat kerana beberapa bloopers yang disiarkan selepas itu memang sangat kelakar.

Wednesday, April 07, 2010

At the End of Daybreak

Aku tak tahu pula hari ni adalah hari terakhir At the End of Daybreak akan berputar di pawagam. Sempat juga aku menjengah filem ni setelah membaca sepintas lalu beberapa ulasan mengenainya. Oleh kerana bacaan yang tidak teliti itu, sampai aku boleh tergambar di fikiran bahawa cerita ini mengisahkan seorang wanita matang bercinta dengan budak lelaki remaja. Lain kali baik jangan tahu apa-apa daripada aku menyumbatkan maklumat yang menyeleweng dalam kepala.

Tapi, pada permulaan filem mula bergerak, nampaknya macam si ibu tunggal yang kesepian dan masih cantik itu hidup berdua di rumah mereka dengan cara melayan anak bujangnya seakan boleh melorongkan mereka ke arah hubungan yang melangkaui batas keintiman normal. Cuma apabila dipaparkan budak lelaki tadi menggelinjang atas katil dengan seorang remaja perempuan bawah umur di hotel, barulah jelas sebenarnya aku tersilap faham dengan sinopsis ringkas yang aku baca sebelum ini. Kisah seorang pemuda bercinta dengan gadis belum cukup umur walaupun atas suka sama suka adalah gejolak asmara yang merungsingkan.

Filem ini di arahkan oleh Ho Yuhang dengan atmosfera yang terasa seakan filem-filem Yasmin Ahmad. Bila saja Allahyarham tiba-tiba muncul sebagai cameo dalam satu babak, terus aku terkesima dan memacu dalam hati bahawa ini bukan buah tangan beliau. Namun kita boleh selami perkongsian kreatif dan emosi yang bersama-sama terjalin di dalam proses ia berlangsung terutama beberapa wajah yang dikenali sebagai tenaga sokongan di sebalik jalan cerita yang mudah tetapi penuh pengisisan yang simbolik. Aku paling suka dengan penamatnya yang tidak di sangka langsung juga tidak di beri jawapan yang pasti akan apakah sebenarnya tersurat nasib mereka yang terlibat.

Filem ni cuba memenuhkan sisi kosong hidup sebilangan insan yang menjalani rutin dan resam di dalam tema cinta dan kasih sayangnya yang meledakkan. Ralatnya cuma hayat filem ini yang tidak lama bermain di panggung. Diakui filem ni sedikit perlahan bagi penonton mainstream untuk hayatinya tetapi menurut Fadz, ini filem Yuhang yang lebih gesit daripada penghasilan sebelumnya. Sebuah tontonan yang cukup bermakna bagiku.

Monday, April 05, 2010

The Haunting in Connecticut

Filem ini tidak di buka di banyak panggung. Tapi mujurlah dekat rumah ada. Walaupun dulu aku pernah tengok filem yang berjudul The Haunting dan aku tak suka, kali ni aku teringin pula untuk menonton cerita yang tajuknya ada tambahan in Connecticut di belakangnya ini. Aku pernah tengok dokumentari pasalnya dalam Discovery Channel di mana filem ini disandarkan.

Itu salah satu sebab aku memilih untuk menonton filem ni kerana taktik ia mengambil sebuah kisah yang benar-benar berlaku memang strategi yang licik. Seingat aku masa tengok dokumentarinya dulu, ia cukup berkesan untuk menimbulkan impak seram. Walaupun sekadar dipenuhi dengan temubual dengan mangsa dan suara latar berkumandang di belakang serta aksi lakonan semula untuk menggambarkan peristiwa tersebut seperti yang sepatutnya, kita boleh menyelami ketakutan yang melanda penghuni rumah berkenaan. Lagipun, mangsa itu bercerita daripada jiwa, pengalamannya first hand di timpa episod mistik terbabit.

Tapi The Haunting in Connecticut hanya mengadaptasi secara longgar sedutan kejadian itu. Keluarga Campbell berpindah ke sebuah rumah agam di Connecticut apabila anak lelaki mereka, Matt perlu menjalani ujikaji perubatannya di sebuah hospital terdekat di sana untuk merawat barah. Salah satu kesan daripada ubatan eksperimen ini ialah dia mungkin akan mengalami halusinasi dan mendapat bayangan-bayangan tertentu yang pelik dan tidak masuk akal. Semua ini menambahkan lagi elemen misteri pada pola cerita yang menggunakan medium sebuah rumah yang di beri idea sebagai berpuaka.

Memang tak adalah unsur seram yang baru atau terlalu menakutkan dalam filem ni. Cuma aku tertarik dalam adegan semasa acara ritual dilakukan, muncul sesuatu yang di panggil “ectoplasm” keluar dari muka seorang pelakon tu. Agak kaget melihatnya. Menambah ngeri lagi bila hanya ada aku dan seorang penonton lain dalam panggung tengok filem ni.