Friday, August 26, 2005

End of August


Sebagai memperingati hari kemerdekaan negara kita yang ke-48 minggu depan, aku ingin menujukan serangkap haiku yang bertajuk “Wake Me Up When August End” kepada anda semua yang sedang membaca sekarang. Begini bunyi haiku yang dimaksudkan,


Sambut
Balik Merdeka
Kampung



Selamat Hari Kebangsaan buat semua!

flag by courtesy of http://www.3dflags.com. thank you.

Thursday, August 25, 2005

Charlie and the Fear Factory


Rasanya filem ini tak sesuai untuk kanak-kanak kerana isi kandungannya agak melampau sikit. Bukan sebab ada adegan lucah tapi sebab bentuk hukuman yang dikenakan untuk kanak-kanak dengan perangai yang macam … (aku nak letak irritate, tapi budak-budak ni irritate tahap nak kena penampor) menyakitkan hati tu agak ekstrem. Ia hanya akan membuatkan kanak-kanak jadi paranoid. Aku bersimpati dengan ibu bapa yang terpaksa bertahan dengan anak-anak sebegini.

Walaupun nampak menakutkan dan kejam tapi Charlie and the Chocolat Factory adalah sangat menghiburkan. Aku tak tahulah versi bukunya macam mana sebab tak pernah baca buku karya Roald Dahl ni. Kenapa watak Johnny Depp di solek putih sepucat itu juga adalah memusykilkan. Willy Wonka juga kelihatan tidak mesra dan penuh misteri dengan cara bercakap seakan berbisik dengan tone yang lemah. Seperti reviu yang aku baca seolah-olah macam Micheal Jackson.

Tawaran memasuki kilang itu juga boleh kita anggap bukan semata-mata sebagai ganjaran tetapi juga boleh menjadi medan ujian appraisal. Siapakah sebenarnya yang mengoperasikan kilang itu sekarang setelah semua pekerjanya diberhentikan? Tidakkah itu menjadi tanda-tanya? Membuatkan semua orang teruja dan takut sekaligus. Mula-mula nak masuk pun dah ngeri dengan puppet terbakar menjadi persembahan alu-aluan. Tapi itu semua membuatkan kita bertambah intrig untuk membongkar rahsia kilang tersebut di samping menyelami plot utama filem ini.

Tidak hanya seram dan kelakar, ia juga ada bibit-bibit sedih tatkala Willy menawarkan kilangnya kepada Charlie kerana dia tiada pewaris. Tapi dengan satu syarat yang tidak boleh di terima akal. Adegan dia terimbas zaman kecilnya juga agak menyayat hati walaupun telah di beri nafas lucu. Filem ini bagi aku adalah antara lakonan Depp yang berkesan selepas Ed Wood, Sleepy Hollow dan Pirates of the Caribbean. Watak-watak lain yang menakjubkan ialah Oompa Loompa yang membuat semua kerja dan tupai pengupas kacang.

Balik rumah selepas menonton filem, aku terus buka peti ais nak cari coklat kalau ada. Yang ada wafer Tim-Tim perisa kopi bersalut coklat. Jadilah.

photo credit: dTheatre.com

Wednesday, August 24, 2005

Rebel Chaotic

Isnin. Balik dari pejabat, makan nasi goreng sambil membaca suratkhabar semalam. Akhbar hari Ahad kan banyak rencana panjang-panjang yang tak sempat aku nak habiskan semua jadi sambung pada hari esoknya. Lepas tu tengok tv. Ada dua siri realiti yang aku saksikan sebagai memenuhi masa lapang pada malam tersebut.


Pertama kali aku menonton The Rebel Billionaire: Branson's Quest for the Best walaupun dah banyak kali terlintas promo siri realiti ini di 8tv. Rasanya rancangan ini beruasaha untuk tampil dengan identiti sendiri walaupun kita boleh sangsikan matlamatnya. Setelah menyaksikan satu episode ni aku boleh rumuskan yang ia ada unsur-unsur The Apprentice, Amazing Race dan Fear Factor. Episod ke-7 yang bertajuk Road to Morocco, 8 orang peserta yang berbaki (daripada 16 orang) telah di bawa ke Maghribi dan Sir Richard membahagikan mereka kepada dua kumpulan.

Kedua kumpulan terbabit kena menghias dua buah suite yang di panggil Kasbah Tamadot. Masing-masing di beri wang tunai $5,000 untuk membeli kelengkapan deko serta mesti siap di hias dalam masa 24 jam. Bilik yang dapat memuaskan Sir Richard di kira pemenang. Ketua kumpulan yang kalah terpaksa memilih salah seorang group member untuk bertanding dengannya dalam satu pusingan elimination. Seperti biasa, yang kalah kenalah disingkirkan. Individu yang disingkirkan itu tidak dapat naik pesawat yang sama dengan peserta lain dan ditinggalkan terkontang-kanting kat landing area airport.


Sebelum aku tengok Rebel Billionaire ni, aku tengok Channel [V] tayangan perdana Britney & Kevin – Chaotic. Tapi aku tengok sikit jer pasal aku dah jangka ia lebih kurang siri Newlyweds Nick & Jessica. Tak best pulak tu sebab kamera dia asyik goyang-goyang, senget-senget sebab di rakam guna handycam. Macam tak ada isi jer rancangan ni, seolah-olah ianya strategi terakhir untuk mengembalikan popularity pop princess ni yang dah suam-suam kuku.

photos credit: 8TV & britneyzone. tq

Monday, August 22, 2005

Rancangan yang Tak Jadi

Segala yang di rancang untuk hujung minggu lepas tidak menjadi. Mari tengok list

*Nak makan nasi dagang kat restoran Sheila Rusly – Tak jadi
*Nak tengok show kat Astro – Tak jadi
*Nak pergi UiTM Shah Alam – Tak jadi
*Nak pergi klinik – Hampir-hampir terjadi...

Yang jadinya ialah shopping mopping habiskan duit. Oh, dan juga pergi majlis perkahwinan teman sepejabat. Percaya atau tidak, bertahun-tahun bekerja di sini, itulah pertama kali aku menghadiri majlis kahwin rakan satu office. Bukannya sebelum ini officemate aku tak ada yang kahwin atau aku tidak di jemput, tapi aku saja yang tidak berpeluang untuk memenuhi undangan. Selain shopping untuk diri sendiri ianya bersekali dengan beli hadiah kahwin untuk officemate aku tu.

Perihal klinik yang aku mention di atas .... err... memang begitulah keadaannya. Bukan aku tak jadi pergi, tapi cancel nak jumpa doktor. Lepas cancel tu, meronda kat Great Eastern Mall untuk lunch dan beli hadiah. Kalau anda serabut dengan kesibukan di KLCC atau Ampang Point, tempat ini adalah satu lagi pilihan untuk anda keluar makan-makan dan membeli-belah di suasana yang lebih selesa dan menyenangkan sebab tak ramai orang. Cuma pilihan tempat makan tidak begitu meluas dan terhad kepada restoran yang agak eksklusif. Kedai-kedai lain macam biasalah ada pasaraya, kedai hiasan rumah, MPH, barangan sukan, kedai haiwan kesayangan dan lain-lain.

Tak jadi pergi makan di restoran Nasi Dagang House yang dimiliki oleh pelakon popular tersebut, aku pergi ke Kampung Baru. Tapi bukannya makan nasi dagang, makan nasi putih dengan lauk-pauk pantai timur. Di susuli dengan kuih-muih seperti seri muka, cek mek dan akok. Begitu menyelerakan. Sembang-sembang dan bergelak-tawa di kedai makan selepas itu dalam suasana malam dengan khalayak yang datang semuanya dalam keadaan lapar perut dan lapar duit. Pasal dalam dua jam berada di sana ada dalam dua tiga pengemis (muda dan tua) meminta derma.

Thursday, August 18, 2005

Z Bukan Huruf Sebenar

Masa aku tengah mengadap komputer, tiba-tiba officemate aku Kak N yang tengah memfotostat sesuatu bertanya,

“You tahu tak apa-apa perfume yang bermula dengan huruf Z?”

“Huruf Z?”

“A’aaah, tahu tak?”

“Err…. entahlah, I tak pernah dengar pulak perfume start dengan huruf Z” aku membalas.

“Ala... dulu I ada beli satu perfume tu, tapi dah lupa brand dia,“

“Oo,”

“Tapi I ingat yang brand tu start dengan huruf z…. apa entah…. lupa lah,”

“Zaitun kot?” aku menelah.

“I takder lah nak pakai brand Zaitun ni – Kak N dengan belagaknya menafikan. Bukan Zaitunlah, brand omputih,”

“Err… Zara?”

Itu brand bajulah – Ika tiba-tiba menyampuk.

”Oh...Zara tak ada produce perfume?” aku bertanya.

Ika dan Kak N menggelengkan kepala.

“Z.O.O? Zoo? Ada tak?“

“Hanggok kau!” Kak N memaki.

“Zimbabwe?” Ika pula menambah sambil terkekeh-kekeh.

Kak N diam jer. Agaknya tahu yang kitorang main-mainkan dia.

Lepas tu aku pun cakap – Ala... apa susah, kita surf kat internet jer lah.

Aku pun google kat internet dan terjumpa dengan website ini. Bila aku teliti senarai pewangi yang telah di list down kat situ, tak ada pun haruman yang bermula dengan huruf Z.

“Mana ada perfume dengan huruf Z? Sampai huruf Y jer ni hah,“

“Ye ke.. mana...mana??“ Kak N terkocoh-kocoh meninggalkan fotostatnya untuk tumpang tengok website yang aku buka.

“Huruf Y untuk Yves Saint Laurent – lepas tu dah tak ada huruf lain”

“A’aaahlah, tak ada,”

“Entah-entah you reka jer tak?” aku bertanya.

“Memang betul ada. Cuba you scroll up,” arah Kak N.

Matanya meliar memerhatikan bait-bait tulisan dan imej pada skrin apabila tak semena-mena dia separuh terjerit,

“Hah…ni lah dia,”

“Mana…mana, yang mana?” aku tertanya

“Ni haa… Tressor!”

“Tressor…? Eh, Z ke T ni?”

“Jauh perginya huruf Z dengan T,“ balas Ika.

“I ingatkan Z.... bila tengok kat sini, baru ingat balik rupanya T....hehhe...“ Kak N gelak-gelak.

Z hanggok lu...

Wednesday, August 17, 2005

Once in a Bright Mars

Jika anda suka merenung bulan atau bintang di langit, tidak lama lagi anda bukan saja berpeluang untuk menyaksikan ke dua objek itu, anda juga boleh melihat planet Marikh! Tanpa teleskop atau tanpa pergi ke balai cerap, anda boleh melihat planet tersebut dengan mata telanjang anda. Khabarnya ia akan begitu jelas kelihatan dari sini bak bulan baru mendapat kembar. Maklumat ini aku perolehi dari e-mail yang aku dapat seperti yang tertera di bawah.
Subject: Miracle of the universe! Once in every 282 years!!
"Planet Mars will be the brightest in the night sky starting August. It
will look as large as the full moon to the naked eye. This will cultimate
on Aug. 27 when Mars comes within 34.65M miles of earth. Be sure to watch
the sky on Aug. 27 12:30 am. It will look like the earth has 2 moons. The
next time Mars may come this close is in 2287. Share this with ur friends
as NO ONE ALIVE TODAY will ever see it again...^^"


Gambar yang aku sertakan ni tak tahulah tahun bila punya planet Marikh entah. Biasanya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar memang agak sukar untuk menyaksikan pemandangan langit yang indah disebabkan oleh gangguan lampu neon yang terlalu banyak.Kalau cuaca cerah atau pun tak hujan aku yakin fenonema Marikh menjelma di Bumi sejelas bulan purnama akan lebih mempesona. Sesiapa yang ada kamera tu, sila ambil gambar, tolong.

Tuesday, August 16, 2005

Catatan-Catatan Kecil

Hari Ahad cuaca sangat baik – dalam kontek ini baik ditafsirkan sebagai tiada jerebu. Yay! Lepas tu dalam pukul 2 lebih tu, hujan pula turun! 2x yay! Setelah sekian lama langit Kuala Lumpur kusam berhabuk dan berjerebu, kini segala-galanya menjadi cerah kembali. Hari Sabtu pun cuaca telah menunjukkan perubahan apabila warna biru mula menyerlah pada wajah langit. Suatu hari yang indah.
_______________________________

Masa aku tengah in-between surfing the channel malam Isnin lalu, terbukalah TV1. Oh, ada siaran langsung Tilawah Al-Quran.

*Eh…eh… macam kenal….*

Asyik tengok rancangan realiti duniawi saja, apa kata kita tengok pula rancangan realiti untuk “dunia satu lagi” pula. Bila tiba musim Tilawah ni, bersiap-sedia juga semakin hampir bulan puasa. Kawan-kawan perempuan aku semua sibuk nak ganti puasa.
____________________________


Macam mana nak makan muffin tanpa cebisan-cebisan isi muffin itu jatuh bersepah atas seluar kita? Kadang-kadang jatuh atas karpet. Atas meja pun jatuh juga – berselerak dengan sisa-sisa muffin. Aku tak pandai memakannya dengan berhati-hati. Tapi aku suka dengan muffin yang gebu menggelembung perisa coklat yang cukup mengenyangkan buat sarapan pagi.
____________________________

Pagi Sabtu. Ada kawan call ajak keluar tapi aku malas nak keluar lalu aku cakap ada kawan aku nak datang. Memang ada kawan nak datang rumah tapi bukan hari Sabtu sebaliknya hari Ahad.

Pagi Ahad pulak ada kawan lain call ajak keluar. Aku pun bagi alasan yang sama. Oleh kerana kawan yang nak datang tu, petang – kawan lain cakap sebelum petang kitaorang baliklah. Sempatlah nak sambut kawan kat rumah. Aku masih rasa keberatan. Last-last kawan yang kata nak datang rumah aku petang Ahad tu tak jadi datang. Dia datang hari Isnin pulak.

Sorrylah pada kawan-kawan yang ajak keluar tu.

Friday, August 12, 2005

Masked and Anonymous

Boleh dikatakan sepanjang aku hidup di Kuala Lumpur ni, semalam merupakan hari berjerebu yang paling teruk pernah aku alami. Bangun pagi saja, jenguk keluar tingkap – dah tak nampak KLCC dan bangunan-bangunan di sekitarnya. Jarak penglihatan dah jadi semakin terbatas. Zarah-zarah habuk yang pada mulanya agak putih dah jadi kuning kelabu semacam warna tembaga. Tanda situasi menjadi semakin mengancam. Semalam juga kelihatan semakin ramai warga kota dan pelancong asing memakai topeng.

Tapi aku masih berdegil tak mahu pakai mask ni. Padahal bila keluar jer masa nak bernafas, udara berbau macam terbakar. Hangit dan menyakitkan hidung. Mata pun dah rasa pedih-pedih. Aku cover dengan tangan jer mulut dan hidung. Di samping tu terasa juga simptom pening kepala dan kerongkong rasa di curah pasir. Rasa kesat semacam. Agaknya habuk jerebu dah masuk rongga-rongga badan aku sampai rasa nak pitam pun ada juga. Kat office ni, budak-budak despatch dapat free mask sebab diorang memang berisiko tinggi terdedah pada bahaya jerebu pasal selalu keluar.

Kita tinggalkan dulu cakap pasal jerebu. Hari Selasa baru-baru ni, aku telah menolong officemate aku membuat satu kerja gila. Dia suruh aku send e-mail dekat Mawi! [Insert horror expression here]. Yes, Mawi yang baru dinobatkan sebagai juara AF3 Sabtu lepas. Kenapa pula aku yang menjadi mangsa membuat kerja-kerja “stalker” begini? Apa yang dia nak dari Mawi tu? Dan ada masa ke budak tu nak check e-mail dengan schedule dia yang begitu tight sekarang. Nak balik jumpa tunang pun tak sempat…hehee…

“Pasal tunang tu lah aku nak suruh kau send e-mail dekat dia,” arah Ms. Zn

????? [Insert blank expression here]

“Kau baca tak suratkhabar semalam? Front page pulak tu kisah tunang dia yang seolah-olah lebih diutamakan dari karier dia yang baru nak berputik tu.... “ Ms Zn terus membebel.

Untuk menyenangkan anda semua memahami isi hati officemate aku ni, di sini aku sertakan sedikit petikan e-mail yang dia suruh aku hantar tu.

Assalamualaikum Mawi...

Saya di sini bkn utk menjatuhkan nama Mawi sebaliknya saya adalah salah
seorg dr beribu2 peminat Mawi di luar sana. Seperti yang kite sudah
ketahui, mawi sudah menjadi tunangan orang...iainya sudah menjadi
perbincangan hangat baik di majalah mahupun media massa...wartawan juga
telah menjalankan tugas mereka dgn baik sekali dlm menaikkan nama Mawi.
Syabas! Akan tetapi kisah tunangan mawi ini telah membuatkan kami merasa
agak keterlaluan.....bukan sebab mengapa Mawi tunang awal atau
sebagainye...tetapi mengapa kisah Nordiana ini menjd topik utama? Satu
Malaya dah tahu kisah Diana n Mawi ni...pada hemat saya soalan tunangan ini
sudah terjawab oleh mawi dlm Imbasan AF tempoh hari. Saya rasa itu sudah
cukup baik. Akan tetapi mereka masih tidak berpuas hati...mereka ingin tahu
dan ingin tahu.


Aku harap Ms. Zn tak akan marah e-mail peribadi tersebut aku paparkan buat bacaan umum. Sorry Zn! Panjang lagi sebenarnya isi kandungan e-mail tu. Korang pun tak kuasa nak baca agaknya. Macam tak amanah pulak aku ni. Aku dalam keadaan serba tak kena macam tu akhirnya bersetujulah nak hantar walaupun alamat e-mail Mawi pun kami tak pasti. Main agak-agak jer, yang penting – hantar.

“Tapi kau jangan hantar guna e-mail office, nanti dia tahulah saper hantar,” ujar Ms. Zn.

“Oh, tak nak bagi dia tahu siapa hantar? Nak jadi anonymouslah ni. Nanti aku pakai personal e-mail,”

Aku pun send guna one of the personal e-mail yang aku ada. Sebelum aku hantar tu, aku tanya dia lagi, serious ke nak hantar e-mail macam tu. Manalah tahu dia nak ubah fikiran pulak.

“Err… kau letaklah nama aku sekali kat bawah e-mail tu,” pesan Ms. Zn.

“Hah, nak letak nama pulak, dah tak jadi anonymouslah macam tu. Baik pakai e-mail office jer,” aku membantah.

“Ahh… tak apalah. Bukan pakai nama kau pun,“

%#!@*%#!! [Insert bengang expression here]

“Lepas tu kau letak nombor telefon aku sekali kat bawah nama tu,“

%#!@*%#!! [Insert 2nd bengang expression here]

“Siap bagi contact number lagi, poyo jer,” balas Ms Zn sambil gelak-gelak.

Memang poyo pun.

Wednesday, August 10, 2005

Jerebu Sepanjang Jalan

Sudah pukul 7 malam lebih dan aku tak boleh balik lagi masa ni.

Kenapa? Adakah sebab jerebu?

Bukan.

Boss aku suruh stay back sebab dia ada nak suruh aku photostat something. Tapi okey juga duduk saja-saja dalam office ni sementara menunggunya balik dari meeting di luar. Boleh aku dengar mp3, meluncur internet dan mengisi blog. Balik awal pun terperangkap dalam zarah-zarah jerebu yang sangat membahayakan kesihatan, baik tak payah. Walaupun sebelum itu aku telah berjanji dengan kawan untuk menemuinya di Bukit Bintang, nak buat macam mana, boss lebih penting. Sorry friend.

Rasanya aku belum pernah bercakap tentang jerebu di sini. Kali pertama terkena fenomena haze di Kuala Lumpur ialah sekitar tahun 1997 yang lalu. Itulah pengalaman yang amat tidak selesa untuk kulalui. Kabur dan berhabuk di mana-mana. Nak berjalan keluar pun aku paling elakkan kecuali nak pergi kerja. Kawan-kawan aku ada juga yang pakai topeng seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan. Tapi aku tak pakai. Tak tahulah kali ni aku kena pakai pasal indeks kualiti udara semakin hari semakin melampaui batas.


Tadi Ika, officemate aku baru forward sesuatu berkaitan dengan haze. Aku telah terjemahkan dan sesuaikan mengikut fahaman aku yang terhad ini tentang cara-cara bagaimana anda boleh meminimumkan risiko kesihatan akibat gelaja jerebu yang kian membimbangkan kita semua.

1. Tutup semua pintu dan tingkap rumah anda selalu. Atau kalau anda memang jenis suka rumah terdedah, kurangkan jangka masa membuka pintu atau tingkap rumah anda. Biarkan udara berjerebu itu kekal di luar saja, jangan di bawa masuk.

2. Hadkan tempoh waktu anda berada di luar rumah sama ada bersukan, berkebun atau apa juga aktiviti luar pintu. Tengok tv dan membuta jer lah jawabnya kalau dah berkurung dalam rumah macam tu.

3. Bersegeralah mencuci atau mandi apabila anda sampai saja ke rumah daripada kawasan luar. Ini akan mengurangkan kerengsangan kulit atau sakit mata disebabkan oleh hablur jerebu tadi. Titiklah eye-mo bagi menyegarkan mata anda yang pedih terkena jerebu berkenaan.

4. Sila naiki kenderaan yang ada pendingin hawa dan memasangnya sepanjang perjalanan.

5. Penutup hidung dan mulut hendaklah di pakai oleh pekerja yang bertugas di luar bangunan, semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di persekitaran berhabuk dan mereka yang berpenyakit yang perlu keluar dari rumah.

6. Mereka yang menderita penyakit selesema, bronchitis, lelah, conjunctivitis, heart diseases atau radang paru-paru yang kronik, teruslah berjumpa doktor jika prestasi pesakit semakin meruncing.

7. Mereka yang merokok, baiklah berhenti menghisap sekarang. Kita tidak memerlukan lebih banyak asap lagi untuk menambahkan situasi yang telah sedia “berasap“ ini.

8. Minumlah lebih banyak air untuk menyegarkan badan anda yang lesu akibat jerebu.

9. Walaupun berada di rumah, udara dalam kediaman anda itu juga tidak semestinya tidak di cemari. Sebagai cara untuk menjernihkan udara dalam rumah anda, jerang secerek air. Biarkan mendidih sehingga wap air memenuhi ruang lingkup rumah anda.

Biarkan selama 10 – 15 minit untuk wap tersebut berkepul di udara kerana pada masa ini ia akan bertindak untuk mengumpul partikel atau zarah tercemar yang terkandung di udara rumah anda lalu membasmikannya. Sekarang sedutlah udara kediaman anda yang lebih segar dan selamat itu tanpa was-was lagi.

Jaga kesihatan anda semua dengan baik, ok?

Monday, August 08, 2005

Final AF3 Live Dari Malawati

Sudah ada Astro di rumah, tapi tak jugak tengok konsert final di rumah. Habis, aku tengok di mana? Di Stadium Malawati, Shah Alam! Walaupun aku tidak beria-ia sangat nak pergi ke sini tapi sebab dah ada kemudahan dan bukan aku yang kena bersusah-payah nak handle urusan membeli tiket, jadi aku on aje. Terpaksalah aku melupakan soal keselesaan menonton di rumah dengan berasak-asak bersama ribuan yang lain menuju ke stadium petang Sabtu yang lampau.

Kami sampai dalam pukul 5. Perkara pertama yang menyambut kami ialah gerai dan penjaja yang mengeksploitasi sepanjang aspal di luar stadium menjual pelbagai jenis barangan. Kebanyakannya memorabilia dan cenderamata yang melambangkan para finalist konsert akhir dengan nama Mawi mendominasi hampir setiap produk. Kelakarnya ada abang yang jual jam tangan tu siap cakap yang jam tu di buat di Kulai! Tetap jugak nak ada associate with Mawi. Parah betol.

Barangan lain seperti t-shirt, mafla, cap, bandana, kain tudung, tag dan banyak lagi memang tiada nama lain yang terpampang kecuali Mawi semata-mata. Tapi yang pastinya ini bukan produk official dari kelab peminat atau pihak Astro. Selain barang-barang yang tak boleh di makan, ada juga gerai dan van jual makanan dan minuman. Lebih kurang macam pasar malam lak tempat tu. Ternampak bapa Amylea yang macam Lionel Ritchie tu dengan kumpulan penyokong anaknya semuanya berbaju kuning di sebuah gerai. Tengah menyusun strategi agaknya.

Naik ke atas barulah ternampak Karnival Akademi Fantasia sedang berlangsung. Ada banyak booth di sini antaranya Astro, Hotlink, Maybank, apa ntah nama produk pencuci faraj tu pun ada booth dia (yang Nora Danish jadi model tu), Vanilla Coke (boleh dapat coke percuma di sini) dan booth untuk kelab peminat bintang-bintang AF3. Masa sedang jalan-jalan kat sini krew Trek Selebriti sedang buat penggambaran bersama Jimmy Shanley. Ramai betul orang berkerumun semasa rakaman nak ambil peluang masuk tv. Aku tak ada kamera jadi tak boleh nak buat photo session, jadi aku cerita secara point-point saja ok.

1. Masa tengah beli air kat satu gerai ni, tiba-tiba ada seorang mamat ni yang tengah beli air jugak cakap dengan akak penjual tu,

“Saya ni abang Aidil”.

“Oh, ye ke,” sahut si akak penjual air.

Tak tahulah pulak kalau-kalau kakak tu bagi diskaun ke atau bagi free air tu kat abang Aidil. Manalah tahu dapat apa-apa priviledge kalau dia mention nama adik dia yang tengah popular sekarang. Bila berlalu dari situ, ternampak pulak emak Aidil bersama lelaki yang muncul sebagai tetamu Imbasan AF selepas Aidil terkeluar dulu. Agaknya mereka tengah tunggu abang Aidil kita siap beli air kot?

2. Terdengar seorang budak bercerita yang dia dah jual tiket AF tu dekat seorang budak Sabah dengan harga RM70 rasanya. Sebab tak berapa jelas. Tak kisahlah RM70 ke, RM50 ke, kira dah untung besar dah tu kalau dia beli tiket harga RM20. Alasannya, budak tu malas nak beratur nak masuk dalam. Rimas dengan ramai sangat orang.

3. Masih soal tiket, terdengar pula seorang mak cik tu cakap yang masa dia tengah beratur nak beli tiket dulu, ada orang beritahu dia yang tiket dah sold-out. Tapi mak cik tu tak peduli, dia beratur jugak – apa-apahal pun kena dengar dari mulut orang jual tiket kat kaunter tu sendiri. Nasib baik ada.

4. Lambat betul nak tunggu petugas-petugas stadium bukak pintu pagar nak masuk. Berasak-asak manusia kat luar tu sampai ada yang memekik melaung complain apa ke halnya yang payah sangat nak bukak gate tu? Padahal cakap bukak pukul 7. Dekat pukul 7.30 baru gate di buka, maka kami pun menyerbu masuk, nak merebut seat.

5. Memang tengok kat rumah lebih puas hati. Tak dapat konsentrate dengar nyanyian dan komen juri. Terganggu dengan ramai yang melaung, memekik, bersorak dan buat kecoh terutama laungan “Mawi Worrrld!!!!!!“ Kesian para finalist lain, tak ketara sangat sorakan untuk mereka. Yang kelakarnya, ada mamat mana entah asyik sibuk menjerit “Praaaap!“ memanjang. Banyak kali pulak tu. Apa-apa entah. Penonton lain pulak pakat gelak jer setiap kali dia menyebut “Praaap! kuat-kuat. Besok paginya confirm budak tu hilang suara.

6. Setiap kali habis persembahan Amylea, mesti pentas terpaksa di sapu sebab bersepah dengan confetti. Masa lagu pertama, aku terperasan yang confetti turun bertabur atas stage sebagai effect tapi masa lagu ke-dua yang rancak, Sweet Child O’Mine – tak perasan pulak, alih-alih jer kena sapu.

7. Lupa nak cakap, masa aku sampai kat karnival Astro tu di area booth Mawi, begitu ramai orang membanjiri booth tersebut. Tak silap aku nama gerai tu “Salam World“. Tapi gerai untuk pelajar-pelajar lain agak lengang. Mungkin sebab dah lewat petang, awal-awal tadi mesti ramai punya... hehe... Ada satu patung cardboard Mawi di pintu masuk sebagai daya penarik gerai. Tak dapat bergambar dengan orangnya, bergambar dengan patungnya pun jadilah. Ramai jugak peminat yang ambik gambar.

8. Masa on the way ke surau untuk solat maghrib, ternampak ada juga orang yang sembahyang kat bahagian luar dari tempat duduk stadium. Ada satu area lapang di situ. Surau agak jauh di bawah sana sebelah parking dan surau dalam stadium pulak tak boleh guna untuk orang awam.

Tersimpul Melalui Lagu

Aku tertengok dalam diary masa Felix try menyanyikan lagu Warkah Berlagu Pilu di depan Adnan Abu Hasan, kemudian Adnan menjelaskan yang lagu ini adalah sambungan dari lagu Ku Berserah yang juga diciptanya tetapi dinyanyikan oleh Amylea. Maknanya ke-dua-dua lagu baru tersebut ada kaitannya antara satu sama lain.

Aku rasa selain ke-dua buah lagu itu, lagu Seroja nyanyian Mawi pula ada kaitannya dengan lagu Manusia nyanyian Marsha. Seroja yang dipopularkan oleh S. Effendi dan di cipta oleh Husein Bawafie adalah lagu Indonesia yang juga terkenal di Malaysia. Manakala Manusia dihasilkan oleh P. Ramlee dan disampaikan oleh Saloma. Apa kaitannya? Aku pernah terdengar yang lagu-lagu tersebut di cipta tatkala sama ada ketika zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia atau ketika kedua-dua negara di landa ancaman komunis. Ia sebagai lagu yang memberi semangat atau perangsang untuk penduduk kedua-dua buah negara ketika itu.

Aku cuba mencari dalam internet tentang fakta kedua-dua lagu ini tetapi tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi. Kalau kita perhatikan semasa diari minggu terakhir mereka di akademi, Cikgu Marlia telah mempasangkan mereka berempat. Jadi aku rasa sebagai conclusion, lagu-lagu yang ada kait-mengait ini amatlah sesuai untuk merumuskan setiap perlakuan dan persembahan yang dipertontonkan selama ini.

Itu teori aku semata-mata. Tak tahulah pulak tindakan Astro memberikan dua lagu lama tersebut memang ada maksud tertentu atau saja-saja di beri.

Friday, August 05, 2005

Seroja Masih di Banglo

Kita dah sampai ke minggu terakhir rancangan realiti tv yang semakin menjadi-jadi kegilaannya – Akademi Fantasia. Aku pun telah mengubah tradisi tahun ni apabila awal-awal lagi telah menyentuh perihalnya semasa Idayu terkeluar dulu. Macam tahun-tahun lepas aku hanya komen pasal pengalaman aku menonton konsert akhir saja. First, tonton di skrin besar kat PWTC. Second year menumpang kasih, tengok kat rumah kawan.

Third? Nanti dulu. Akan di beritahu kemudian.

Sementara budak berempat itu masih di banglo, apa kata kita imbas kembali persembahan mereka dan rakan-rakan yang telah terkeluar lebih awal semasa konsert mingguan terdahulu. Teringin juga aku nak kongsi pendapat aku berkenaan pelajar-pelajar AF3 ni. Anggaplah ia sebagai sekadar memeriahkan suasana dan meraikan pertama kali menonton AF tanpa perlu pergi rumah kawan atau kedai makan...hehe...

ELLIZA

Apa sangatlah lagu yang dapat di dengar dari minah ni disebabkan beliau ialah pelajar pertama keluar. Jadi aku memilih lagu Aku Kau dan Dia sebagai persembahan Elliza yang paling berkesan. Paling di ingati kerana aksi menendang kerusi.

FUAD

Fuad pun sama. Pelajar kedua yang tersingkir ini pun tidak banyak pilihan lagu untuk di analisis. Jadi aku rasa Gerimis di Lautan adalah persembahan beliau yang paling aku suka. Tiada bunyi macam Sudirman dan kelainnya apabila diselitkan dialog sikit-sikit semasa beliau menyanyikannya.

IDAYU

Tiada Lagi Tangisan. Aku tidak pernah mendengar versi Misha atau Aishah untuk lagu ini jadi aku boleh mendengarnya tanpa prejudis. Bahagian paling efektif dalam lagu tersebut ialah apabila Idayu mengalunkan whistling ala Mariah Carey sebagai mengakhiri persembahannya. Aku tidak memilih lagu-lagu lain yang dinyanyikannya sebelum itu kerana ia terlalu “trade-mark” untuk penyanyi asal walaupun Curiga misalnya telah di beri nafas baru.

REZA

Anehnya, aku paling mengingati persembahan Reza ini kerana gimik majlis kahwin yang dipentaskan sebelum itu. Ala Emak Kahwinkan Aku adalah nampak hidup kerana back-up dari rakan-rakan pelajar dan ad-lib yang membuatkan ia jadi seronok.

AMY

Rasanya aku tidak pernah memberi perhatian betul-betul pada Amy kerana tiada perasaan untuk melihatnya di atas pentas. Dalam banyak-banyak lagu yang dipersembahkannya, Bilang Saja adalah dendangan beliau yang terbaik. Peliknya itu bukanlah lagu yang aku suka tetapi Amy berjaya membawakan tanpa banyak kesalahan. Sepatutnya aku pilih Fallin atau Asmaradana tapi maaflah, macam ada yang tak kena apabila lagu tersebut Amy nyanyikan.

AIDIL

Aku suka Matahari versi Amuk dan bila Aidil boleh membawa lagu ini dengan gaya tersendiri maka aku memilih Matahari sebagai persembahan terbaik darinya. Walaupun sebelum itu lagu Nak Dara Rindu pun tidak kurang sedapnya tapi cara ia dilagukan tersangatlah slownya. Matahari nampak lebih bertenaga dan ada attitude.

EKIN

Bukannya mudah untuk ligat menari dan menyanyi dengan suara yang kuat nyaring, Ekin boleh melakukannya melalui Lets Get Loud. Masa mula-mula mendapat tahu yang Ekin akan bawa lagu berkenaan, memang tiada sesiapa pun yakin yang lagu rancak ini akan “menjadi” di tangan Ekin. Dalam suasana ruang terbuka di Putrajaya dengan ribuan hadirin, J-Labuan memang tidak menghampakan.

KEFLI

Keindahan Pantai – Aku suka tengok persembahan penuh hyper dari Kefli supaya aku boleh melupakan vokalnya yang “unik” itu. Terima kasih kepada rakan-rakan pelajar lain kerana membuatkan showmanship beliau ada kordinasi dan terasa ingin bergoyang sama. Aku tak boleh pilih lagu Berhenti Berharap kerana seperti mana tajuknya juga, aku kena berhenti berharap untuk menerima Kefli sebagai penyanyi yang baik sejak dari konsert pertama lagi. Pergilah buat benda lain dengan wajah anda yang comel itu Kefli, bukan dengan suara anda.

YAZER

Surprisingly untuk Yazer walaupun di label sebagai rocker, lagu di bawa beliau yang paling menarik perhatianku ialah Takdir Penentu Segala. Memang betul lagu rock ialah forte pelajar ini tetapi aku tidak sanggup menengok dia mengaktifkan badannya yang “nampak besar” itu di atas stage. Lagu terhampir yang boleh membuatkan aku terima dia sebagai penyanyi rock sejati ialah Nazaraku dan Ready for Love.

MARSHA

Destiny – obvious choice. Dengan piano pulak tu, apa lagi yang kita mahu dari seorang pelajar berbakat selain suara yang merdu? Marsha tidak nampak berkebolehan sangat untuk menari jadi dia patut stick dengan menyanyi dan main muzik. Kita boleh tunggu show untuk beliau selepas ini dengan lebih banyak lagu-lagu di iring piano sebagai trade-mark. Bukan “Pokok Kelapak” please…

MAWI

Gadis Melayu. Pada masa inilah beliau telah membuktikan kepada para fanatik atau pengkritik bahawa beliau menepati hype dan bukannya sia-sia. Bertambah manis bila ia telah mempopularkan kembali lagu ini di corong radio. Walaupun aku suka juga lagu Pupus yang di bawa tapi sebab Gadis Melayu yang terlebih dahulu mencetus kelegaan maka ia tentulah pilihan tepat. Intifada tak termasuk sebab ia dalam konsert Prelude. Kalau ia dalam konsert mingguan, aku akan consider.

Ada tiga pelajar yang aku tak pasti nak memilih mereka based on persembahan solo atau persembahan yang ada featuring. Dan ke-dua-dua persembahan itu pula menampilkan Felix sebagai penyanyi jemputan.

AMYLEA.

Jika berdasarkan nyanyian solo beliau, aku akan memilih Dua Insan Bercinta. Kalau dengan Felix aku akan memilih Hati Ini Telah diLukai. Amylea adalah amazing kerana konsisten dan selalu menjadi lebih baik dari yang original. Mungkin sebab penyanyi asalnya pun bukannya bagus sangat seperti lagu Hak Milik Kekal? Tapi ada juga kes yang tak berapa sedap seperti lagu Gemilang. Cuma bezanya Amylea cuba menyanyikan Gemilang mengikut kemampuannya sendiri. Satu lagi distinctive feature beliau ialah rambut kerinting kembang yang sangat senang untuk orang identify dengannya.

AKMA

Terlalu menyentuh rasa rendition Akma yang disertai Felix untuk lagu Bertakhta di Hati. Malas nak komen pasal cerita kononnya mereka memang ada menyimpan perasaan tapi tengoklah pada persembahan tersebut yang ada jiwa dan kekuatannya. Aku tak boleh pilih lagu tu sebab macam berduet juga jadi nyanyian solo terbaik Akma ialah Cahaya. Kita boleh tahu suara Akma melalui lagu ini walaupun aku dah banyak kali dengar versi Kris Dayanti sebelum itu. Akma membuatkan Cahaya seolah miliknya sendiri.

FELIX

Tak ada rasanya persembahan beliau yang betul-betul aku suka selain penampilan dengan Akma dan Amylea tadi. Ok, aku kena berlaku adil dengan Felix yang memang pelajar berkarektor musim ini. Aku memilih Tiada Lagi Kidungmu sebagai persembahan beliau yang aku gemari. Padahal aku mendengar lagu ni sambil baca suratkhabar dan aku tak tengok pun masa Felix menyanyi. Jika beliau ingin membuat album, pilihlah genre begini kerana ia adalah kelayakkannya.

All the best to all of them!

Wednesday, August 03, 2005

Pizza California

Dah lama tak makan piza. Jadi baru-baru ini aku bersama rakan telah makan piza di California Pizza Kitchen, KLCC. Ini adalah kali kedua aku merasai keenakan sajian di sana dan menurut kawan aku harganya telah naik sikit. Sebab dia yang selalu makan di sini jadi dia sedar akan konflik harga yang berlaku. Makanannya memang sedap dan dinasihatkan anda kosongkan perut sebelum datang kerana portion untuk setiap sajian adalah teramat besar. Anda harus ada perut yang lapang untuk mengisinya.

Kami telah memesan beberapa makanan (seperti biasa – makan banyak macam nak jamu satu kampung) berdasarkan menu. Mula-mula minum air dulu. Ice lemon tea di sini memang sedap, di isi dalam gelas besar. Jangan risau nak habiskannya cepat-cepat kerana ianya boleh refill.

Mula-mula kami makan “Lettuce Wrap” sejenis hidangan pembuka selera. Anda kena order “kobis berbungkus“ ni kerana rasa dia sedap sangat! Dulu masa first time datang aku makan salad “Fields Green“. Boleh tahanlah rasanya. Manakala kobis ni antara bahan yang terkandung di dalam ialah udang yang di cincang, cendawan Shiitake, water chestnuts, green onions dalam kicap soya halia. Disajikan bersekali dengan rice noodles bersalut spicy chilli-ginger sauce. Selain udang boleh juga di ganti dengan ayam. Maklumat pasal menu ni aku dapat dari website restoran tu.

Kemudian kami makan pasta Broccoli/Sun-dried Tomato Fusilli. Aku tak berapa suka sangat pasta bersimpul macam siput ni jadi komen aku rasanya sedang-sedang saja. Bahan-bahan yang terisi dalam hidangan ini ialah baby broccoli yang segar, sun-dried, thyme, tomato dan keju Parmesan. Benda alah ni di makan bersama kepingan daging ayam yang di panggang bersama daun rosemary. Kalau ada ingredients yang aku tak terjemahkan tu maknanya aku tak tahu dalam BM di panggil apa.






Broccoli/Sun-dried Tomato Fusilli



Lepas tu baru makan piza. Tapi aku tak ingat apa ke nama piza ni. Kalau ikut website tu aku rasa Sweet & Spicy Italian Sausage sebab ada banyak sosej yang di potong-potong dalam piza yang kami makan tu. Selain itu macam biasa bahan-bahan topping piza yang normal macam keju, bawang dan lada benggala. Kalau nak extra pedas anda boleh minta chef taruk cili padi. Serius, sebab kami buat macam tu. Makanan Itali dalam citarasa Melayu pulak jadinya.

Dah makan dua main course tu pun dah rasa nak tersandar. Kalau sanggup, anda boleh order dessert pulak. Ada banyak pencuci mulut yang enak di sini dan pastikan perut anda tidak terseksa untuk di sumbat dengan dessert lepas tu.

photo credit: www.cpk.com

Tuesday, August 02, 2005

Cerita Dalam Berita

Kadang-kadang bila kita membaca atau menonton berita di mana-mana, ada kalanya bukan inti pati berita itu yang menjadi tumpuan kita. Sebaliknya fikiran kita menerawang memikirkan benda lain di sebalik point penting dalam berita tadi. Padahal perkara pokok itulah sepatutnya yang kita berikan perhatian. Tetapi ada unsur tersirat yang lebih membuatkan kita berminat nak tahu, bukannya isi utamanya.

1

Misalnya seperti berita lelaki yang di simbah asid oleh isterinya hari ini. Memang kesian tengok lelaki tersebut yang melecur hampir 50% dari keseluruhan fizikalnya, tapi yang membuatkan kita tertanya-tanya, macam mana dia boleh berkahwin dengan perempuan yang berumur dalam lingkungan 50-an itu?

Padahal lelaki tu baru saja umur 30 tahun. Tidak di cakap pula perempuan separuh umur tersebut adalah selebrity ker atau hartawan kerana err….. sepatutnya begitulah. Ramai yang suspek mesti lelaki tu dah kena “manderem” masa beliau kahwin dengan warga emas sebegitu. Macam manalah mereka boleh bercinta sampai mendirikan rumahtangga agaknya. Kalau cantik jelita atau kaya raya, okey – tak apa. Called me shallow if you want, tapi tidak berbaloi kalau kahwin dengan wanita usia lanjut begini jika sekadar cinta semata-mata, tambah-tambah lagi kena simbah asid pulak lepas tu.

2.

Ada satu berita yang aku tengok dua tiga minggu lepas di Buletin Utama tapi aku tiada idea untuk mengulas mengenainya semasa itu. Tapi ianya masih revelen sampai sekarang kerana di suratkhabar selalu keluar beritanya. Ia adalah berkenaan AP. Apabila terlihat saja yang Datuk Seri Rafidah menangis sewaktu sidang akhbar di tv aku terus sms kawan aku untuk bagi dia suspen. Kawan aku respond dengan bertanya kenapa sampai menangis?

Aku mungkin tak tau sangat pasal AP tapi ketika itu aku bayangkan scene menangis ni seolah-olah aku sedang menonton AF pulak. Biasalah AF kan penuh dengan drama airmata. Dalam diary atau konsert mingguan mesti ada pelajar-pelajar tersebut yang teresak-esak berlinangan airmata. Aha! Tiba-tiba otak aku yang sewel ini membandingkan antara AF dan AP, kedua-duanya memerlukan tangisan. Sorry, lepas tu aku tak pay attention pun pasal berita AP ni.

3.

Selain AP yang bermaksud Approved Permit, AP juga boleh bermaksud Ayah Pin! Oleh kerana kejadian ini berlaku di Besut jadi secara tak langsung aku rasa seakan terlibat sama. Eh, bukannya aku jadi pengikut Ayah Pin tapi aku pernah belajar di Besut dulu. Risau pulak kalau-kalau ada sesiapa yang aku kenali di sana terjerumus dalam kegiatan yang menyeleweng ini. Daerah Besut yang selama ini sunyi-sepi dan aman dari tumpuan pemberita kini telah menjadi hot-spot untuk suratkhabar. Tambahan pulak pemimpin mereka yang masih ghaib tidak dapat di kesan sampai sekarang.

Tapi untuk berita Ayah Pin ni memang aku ikuti sepenuhnya. Agak hairan bagaimana mereka semua boleh terpengaruh dengan ajaran yang memang jelas menyimpang dan penuh kontroversi ini. Rasa terpilu pula kerana Besut menjadi popular disebabkan oleh tapak untuk penganut fahaman yang terpesong. Bukannya oleh nilai-nilai berita yang lebih positif atau pencapaian tamadun manusiawi atau setidak-tidaknya berita kecemerlangan pusat dakwah di sana misalnya. Tapi orang kata, kontroversi juga merupakan satu publisiti bukan?