Sunday, October 31, 2004

Buffet Breaking Fast

Sekian lama asyik berbuka puasa di rumah jer (rumah sendiri dan rumah kawan-kawan) jadi hari Jumaat lepas tibalah masa untuk berbuka di luar pula. Lebih tepat lagi kami berbuka di PJ Hilton. Majlis di buat kecil-kecilan saja dengan beberapa teman sepejabat. Syukurlah aku dah beransur sihat jadi boleh makan banyak dan berselera. Jadi tak rugilah datang berbuka secara buffet dan bayar mahal.

Sesampai sana dalam pukul 6, punyalah ramai orang sedang berpusu-pusu di ruang restoran Paya Serai. Nak bergerak pun tak selesa sebab disesaki dengan meja dan kerusi menjadikan tempat yang tak berapa luas tu agak sempit. Tanpa membuang masa terus mengambil hidangan yang tersaji bersama-sama dengan pengunjung hotel yang lain.

Sebelum makan kenalah tunggu masuk waktu mahghrib dulu kan. Rupa-rupanya siap ada orang azan dalam tu. Mulakan berbuka puasa dengan kurma sebiji. Sedap betul kurma dia, tebal isinya dan lembut. Lepas tu makan sayur dan buah – tembikai, dragon fruit dan belimbing. First time rasa buah dragon fruit tu, ada biji-biji hitam kecil macam buah kiwi cuma warna dia putih lemak. Tak kan nak melantak sayur dengan buah jer kan. Aku ni bukannya vegetarian.

Aku pun ambik sekali ikan dengan ayam. Ikan tu style fillet di goreng dan ayam di potong kecil-kecil masak apa entah. Makanan yang paling aku gemari di sana ialah bubur lambuk. Makan bubur lambuk di sini aku teringat yang macam jiran aku di kampong dulu pun buat style bubur lambuk macam ni. Ada perisa lada hitam yang pedas cuma kat sini tak ada diletakkan daun-daun ulam sekali. Yang ada hanya lobak merah.

Lepas solat maghrib, sambung balik acara makan-makan. Aku ambik sate, nasi himpit, daging panggang, roti jala dan kuah kari. Kemudian rasa macam dah tak larat dah. Jadi kita rest kejap sambil minum sirap, kuih-muih dan teh tarik. Ada seorang model iklan yang turut berbuka puasa di hotel tersebut masa tu, tapi aku tak tahu nama dia siapa. Ada officemate aku cakap, itu Zizan. Tapi bukan dialah rasanya. Tak silap aku dia ni berlakon iklan Maxis dan Cadbury yang scene dia terjatuh dari hammock masa nak ambil coklat tu.

Acara makan-makan itu aku akhiri dengan makan dessert ais krim dan apam balik mini. Punyalah lama nak tunggu kat kaunter tukang masak membakar apam balik. Tapi worth it la sebab sedap dan tak terlalu manis walaupun aku tengok banyak jugak gula pasir yang di campur dekat pastry apam tu. Kenyang sungguh rasanya. Tapi setiap hidangan aku ambil sikit-sikit jer, lebih kurang macam untuk buat merasa. Cuma bubur lambok jer aku ambik banyak.

Tak bolehlah setiap satu sajian tu nak melantak sampai kenyang – nanti tak muat pulak perut nak isi makanan lain. Ada pula tetamu yang hisap cerut lepas tu. Tak tahan bau asap cerut tu menerawang ke segenap sudut. Jadi lepas dah puas makan dan borak-borak kami pun beransur. Aku ingatkan dah tak boleh makan lepas tu sebab dah terlampau kenyang. Tapi dalam pukul 1 pagi tu aku ikut housemate aku makan roti canai kat restoran berhampiran rumah. Tu kira macam sahur lah tu.

Wednesday, October 27, 2004

$\|_ _%0`/\/^.blogsot.com

Officemate aku (dikenali sebagai Ika) tiba-tiba mention perkataan “Blogspot” dekat aku. Adakah I’ve been discovered? Adakah sesiapa di pejabat ini telah membaca online jurnal ini? Masanya untuk panik, no?

“Blogspot apa?” aku buat-buat tak tahu

“Nama website tu $\|_ _%0`/\/^.blogsot.com,” officemate aku menjelaskan

Alhamdulillah, lega rasanya. Aku ingatkan dia nak nak sebut nama blog aku ni. Kalau tak terpaksalah aku menipu di bulan puasa ni mengatakan aku tak tahu apa-apa pasal tu. Aku rasa dia mungkin tak kan tahu pasal setakat ni aku tak ada lagi menulis apa-apa aktiviti yang melibatkan kami berdua di alam diari cyber nih. Jadi tak adalah sebarang alasan atau bukti untuk mengukuhkannya.

Kemudian dia suruh aku surf blog berkenaan di atas sesuatu sebab yang tidak dapat aku nak kongsi bersama kalian. Bila aku layari laman blog yang dimaksudkan, menarik juga sampai kepada archive sekali aku bukak. Nasib baik baru start tahun ni jadi archive yang ada cuma beberapa bulan saja – sekejap jer nak habiskan menelaah arkib-arkib tu semua.

Isi kandungannya – tak payahlah aku beritahu apa dia, si pengarang blog ni tak banyak bercerita kisah-kisah peribadi tapi ada banyak juga gambar dalam tu. Salah satu gambar yang tertera ialah seseorang yang ku kenali.

“Eh, ni bukan N ke?” aku bertanya

“A’aah… N lah tu,”

“Patutlah macam familiar jer,”

“Akulah yang ambik gambar tu masa kitorang duduk kat tangga,”

Tapi aku dengan N ni memang tak pernah bertegur sapa. Lagi pun dia bukan satu department dan kitorang kalau saling ternampak, senyum pun tidak, apatah lagi nak say hi, hi, bye, bye. Tak kisahlah, agaknya kalau berpeluang bercakap dengan N tentu aku boleh mention pasal aku nampak gambar dia kat internet.

Tentu dia tanya pulak – kat website mana you jumpa gambar tu?

Terpaksalah aku cakap nama address $\|_ _%0`/\/^.blogsot.com.

Macam mana you boleh jumpa website tu?

Alamak! Terpaksalah aku cakap yang Ika yang introduce to me!

Alamak!Alamak! Macam mana nak buat ni?! Dahlah Ika kata jangan bagitahu sesiapa. Nampaknya terpaksalah aku diamkan jer hasrat nak berborak dengan N. ataupun, boleh nak beramah-tamah dengan N tapi jangan cakap pasal ternampak gambar dia kat website tu. Aku tanya pasal benda lain lah seperti makan apa untuk berbuka nanti? Dah beli baju raya ke? Banyak buat kuih tahun ni? Kampung kat mana? Banyak dapat kad raya? dan seumpamanya.

Sebab apa Ika tak bagi aku bagi tahu N yang dia telah memperkenalkan website tersebut pada orang lain? Ahh… sebabnya N banyak mengumpat pasal tuan punya website tu. Tak pasal-pasal kurang markah puasa sebab mengumpat - perut jer puasa, mulut tak puasa. Kalau korang ingat yang Ika bawak mulut pasal N, silap yer. Gambar N hanya tumpang menempel kat website tu tapi dia bukan orang yang tukang create blogspot berkenaan.

Adakah aku perlu panik sekarang sebab ada officemate aku yang telah discovered pasal online jurnal bergelar blogspot ini? Tahu-tahu sajalah benda ni berangkai-rangkai, masing-masing ada link ke sana-sini. Tak pasal-pasal si Ika tu boleh tersampai pulak ke halaman ini setelah menjelajah ke segenap ceruk diari. Tentu dia boleh agak siapa gerangannnya ini kerana dia sorang jer boleh faham apa benda yang aku tengah menceceh sekarang. Lari…..!!

Sunday, October 24, 2004

Tembikai Demam

Sakit tekak dan batuk-batuk semakin berkurangan. Kadang-kadang terasa macam nak demam juga. Walaupun tak sihat tapi aku masih mampu berpuasa. Nak makan pun rasa tak begitu berselera juga, lebih baiklah puasa. Nanti tak perlu nak ganti. Alhamdulillah dengan cuaca yang redup nyaman selesa menyenangkan untuk menghadapi hari siang tanpa makanan. Cuma tekak ini yang pedih perit, perlu lebihkan minum air kosong waktu berbuka nanti.

Okey, aku pernah berbuka sebab tak sihat – demam masa aku darjah 6 dulu. Demamnya taklah seteruk mana tapi lebih kepada malas nak berpuasa hari tu. Hari tu juga aku tak ke sekolah walaupun sakitnya tak seberapa. Malas nak pergi sekolah + dengan malas nak puasa = duduk melepak kat rumah. Mak bapak aku tak ada masa tu sebab diorang keluar ada urusan masing-masing.

Zaman aku sekolah dulu walaupun seseorang tak sihat, tak ada pulak mereka kena pergi klinik atau hospital ambil MC dan tunjukkan pada cikgu keesokan harinya. Kalau cikgu kelas tanya cakap jer demam – senang cerita. Mungkin aku bernasib baik dapat cikgu yang tak cerewet, jadi tak perlu tunjuk sijil sakit. Tapi memang kalau aku tak datang sekolah sebab sakit, aku memang betul-betul sakit, demam atau pening kepala, bukannya aku sengaja menyakitkan diri alasan malas ke sekolah. Aku tak tipu bab tu – sakit teruk tak teruk tu belakang kira…hehe…

Sebelum kita terbukak puasa, kita kena make sure dulu ada tak makanan dalam fridge yang masih berbaki. Yalah, tak kan nak terbukak puasa dengan sengaja mengorek hidung kan? Tak berbaloi langsung. Jadi masa aku periksa isi kandungan fridge tu aku ternampak sepotong tembikai yang berwarna merah merona kelihatan sejuk dan segar menanti masa untuk di ngap. Bertitisan air liur keluar kerana penangan tembikai yang kelihatan sungguh menyelerakan.

Masa tu lebih kurang pukul 11 pagi dan tak ada sesiapa pun kat rumah. Apa lagi aku pun slurp..! slurp…! melantak tembikai yang begitu menggoda itu dengan sepenuh nafsu. Lagi pun sesuailah aku makan tembikai masa ni sebab banyak vitamin jadi cepatlah demam aku kebah. Cuma apa yang aku rasa pelik terasa ada sesuatu yang kureng di sini. Isi tembikai yang di kunyah tidak terasa nikmat. Macam ada yang tidak lengkap dengan buah itu. Mungkin sebab aku demam kot sebab tu apa yang aku makan tidak begitu berperisa.

Rugi pulak rasanya satu hari puasa terkorban kerana tidak tahan untuk melahap tembikai. Padahal mulut aku ni kalau tak sihat bukannya dia boleh menikmati makanan yang di sumbat didalamnya. Tapi disebabkan consider aku masih kecik lagi masa tu jadi tak adalah nak dikesalkan sangat. Cuba sekarang ni dah tua bangka macam ni tak dapat nak melawan rasa sakit sikit terus nak berbuka, yang tu kira boleh angkut naik van jabatan agama lah jawabnya.

Bila parents aku balik rumah petang tu aku cakaplah kat diorang yang aku dah terbuka puasa. Aku tak ada nak senyap buat-buat bodoh pulak – nanti diorang find out siapa makan tembikai tu, aku jugak yang kena pasal aku seorang jer yang ada kat rumah masa tu. Diorang cuma cakap nanti jangan lupa ganti pulak. Ganti puasa ya…. bukan ganti buah tembikai tu… hehe… tembikai tu tak payah gantilah.

Friday, October 15, 2004

Masih Cerita Weekend

Lepas balik dari MAHA punya ekspo Sabtu lepas aku rasa penat sangat, nak duduk rehat jer kat rumah lepas tu kalau boleh. Hari Ahad tak nak keluar dah. Tapi aku kena keluar juga hari Ahad tu (Oktober 3, 2004) kerana dah buat appointment dengan kawan aku nak tengok wayang.

Pagi tu awal-awal lagi dah keluar sebab aku nak breakfast di KLCC. Makan roti canai kat food court jer, murah dan mengenyangkan. Sesambil tu main sms dengan kawan aku pasal dia estimate akan sampai sedikit lewat ekoran balik lambat dari kerja. Kalau aku tahu yang dia mungkin terlambat tadi baik kansel jer. Aku pun tengah tak begitu bersemangat nih.

Dia terlambat pasal ada kerja kat office sampai pukul 3.30 pagi. Sampai rumah jer dah pukul 4 pagi. Then tidur kejap lepas tu kena keluar balik pasal kitorang dah janji nak tengok wayang. Tapi sebab dia tak kisah nak keluar jugak, aku okey jer. Kalau tak jadi pun tak apa, boleh aku balik rumah sambung tidur. Lagipun filem yang kami nak tengok ni bukannya genre kegemaranku.

Kami tengok filem The Princess Diaries 2 – Royal Engagement. Masa filem pertamanya dulu aku cuma tengok vcd jer. Untuk menyedapkan hati aku rasa aku “patut tahu” apakah yang berlaku pada Puteri Mia seterusnya. Ceritanya jenis feel-good movie, yang serba-serbinya indah dan banyak membuai perasaan. Penonton pagi tu pun ramai terdiri dari budak-budak perempuan dan remaja yang berusia manis. Pada pendapat aku filem pertamanya adalah lebih exciting dengan jalan cerita lebih kuat dari sekuelnya ini.

Selesai menonton kami lunch di Asian Flavours. Lepas tu dia nak singgah ke jalan TAR tapi aku tak dapat ikut sebab penat sesangat – aku nak balik dah masa tu. Lagi pun aku takut dah sampai sana nanti aku tershopping pulak, maklumlah nak masuk bulan puasa lah katakan. Baju raya belum beli lagi ni. Tapi sebelum balik tu sempat lagi masuk Avenue K yang kat seberang KLCC tu. Bahagian yang bersambung dengan stesyen lrt tu rupa-rupanya telah ada satu dua kedai di buka. Ada kedai muzik, butik, kedai Secret Recipe dan lain-lain. Bertambahlah pilihan untuk shopping dan bersantai apabila Avenue K di buka sepenuhnya nanti.

Sampai di rumah lega sangat rasanya, aku tidur sampai pukul 6. Gila punya mengantuk. Bangun, mandi dan barulah terasa fresh. Lepas maghrib aku bersiap-siap nak keluar makan dengan housemates kat Bukit Bintang. We decide to have dinner at Fish & Co dekat Lot 10. Antara hidangan yang kami order ialah Seafood Platter, Salmon Grilled dan Chilli Crab ala Portugis. Memang sedap makanan kat sini, berbaloi dengan wang anda.

Tuesday, October 12, 2004

Sky Captain and the World of Agriculture

Sabtu lepas aku sungguh gila sekali sampai aku telah merayau di tiga buah shopping kompleks. Merayau jer, bukan beli apa-apa pun. Aku pergi Sungai Wang Plaza, Times Square dan Mines Shopping Fair. Alang-alang dah sampai Mines tu aku pergi pameran di gelar MAHA 2004.

Tapi sebelum aku bercakap pasal Maha, aku ceritakan pasal filem Sky Captain and the World of Tomorrow yang aku tonton di kompleks Mines tu. Perbezaan ketara filem ini dibandingkan dengan filem-filem lain yang dikeluarkan sekarang ialah teknik penggambarannya. Seolah-olah ia dari jenis filem lama yang baru menemui kamera warna jadi ia hanya dapat menyerap warna yang terhad.

Bukan sekadar kaler yang terbatas itu menjadi daya tarikan Sky Captain tetapi dari segi cara lakonan watak-wataknya seperti Jude Law, Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie dan Giovanni Ribisi juga sampai terbawa-bawa dengan cara pelakon zaman dulu berlakon. Please refer to the filem-filem klasik untuk mendapatkan lebih kepastian tentang statement ini. Dari segi jalan ceritanya setakat okey saja – kisah pilot yang ingin menyelamatkan dunia dari seorang saintis lunatic.

Daripada World of Tomorrow kita beralih kepada World of Maha pulak. Bagi yang tak tahu Maha ialah ianya berkaitan dengan pertanian. Kat sni kita boleh jumpa beberapa inovasi dalam dunia pertanian di Malaysia seperti jus herba (apa ntah – lupa nak take note), ikan air tawar yang di buat fillet (nama ikan, sorry lupalah), ice blended guna kopi kampung, keropok lekor yang besar sikit dari saiz guli – buat snek makan sambil jenjalan dan banyak lagilah.

Itu baru pasal makanan, sebab aku banyak menjenguk kawasan makan-makan ni jer. Tapi lepas habis ekspo Maha ni aku tak pasti lak kat mana para potential customer ni boleh mendapatkan atau boleh beli lagi benda-benda yang diorang pamerkan tu. Agaknya kena tunggu ada pengedar atau orang perseorangan yang sanggup jadi pembekal atau franchiser barang-barang tu semua.

Bagi mereka yang suka menternak ada pelbagai haiwan yang bleh di pilih seperti lembu, burung unta, arnab, kambing dan macam-macam lagi. Kuda pun ada tapi lebih sebagai bahan untuk buat show – tak tahulah kalau ada pihak yang berkenan nak ternak kuda-kuda tu. Tapi kat kawasan haiwan-haiwan ni baunya agak kureng sikit, maklum jer lah. Makanan binatang ternakan pun ada di jual. Diorang pun perlukan lauk-pauk yang berkhasiat jugak.

Selain haiwan, tumbuh-tumbuhan pun ada di jual. Tapi aku tak begitu meneliti sangat kerana dah lewat petang. Banyak pokok dan herba yang kalau kita berminat nak tanam, memang berbaloi lah beli – murah kot. Buah-buahan tempatan adalah yang paling mendapat tumpuan pengunjung sebab ramai memborong langsat, duku dan sebagainya. Buah-buah lain aku tak perasan sebab paling banyak ialah buah langsat. Penuh dengan buah langsat jer.

Sebelum balik aku kena beli something untuk makan-makan. Aku masuk ke khemah besar yang memuatkan beberapa gerai makanan. Aku pilih untuk tapau nasi minyak lauk gulai kawah. Sedapnya, bukan selalu jumpa lauk macam ni kat KL. Selain tu aku beli air tebu yang dibotolkan style mineral water.

Friday, October 08, 2004

Penjual dan Perantis

Bila difikirkan balik aku banyak membazir membeli dvd dan baju. Beli banyak-banyak tapi bukannya tengok pun. Begitu juga dengan baju, beli banyak-banyak tapi pakai sekali dua jer. Lepas tu simpan dalam gerobok buat kenangan. Tak tahulah sejak bila habit ni mula melanda diri ini. Aku rasa sejak aku duduk KL ni lah.

Terfikir jugak nak dermakan baju yang masih elok ke charity atau yang buruk-buruk tu buang saja dalam tong sampah. Cuma kadang-kadang timbul rasa sayang pulak. Mungkin dvd atau vcd yang bertimbun tu tak beranilah aku nak jual balik sebab banyak yang pirate, takut pulak kena serbu oleh skuad 999 nanti – menjual barangan cetak rompak.

Sebenarnya aku banyak kali terfikir nak jual baju-baju lama tu. (Malu pulak nak cakap). Tapi rasanya kuantiti untuk di jual tu yang belum cukup. Aku kena tambah dengan baju-baju housemate aku sekali. Baru nampak berbaloi kalau aku nak sewa tapak di flea market atau pasar malam ke jual benda-benda ngok-ngek macam ni.

Bak kata Donald Trump kepada pelatih-pelatih dalam The Apprentice untuk menjadi usahawan yang berjaya kenalah mulakan dengan menjual jus lemon dulu. Sanggupkah aku menjual jus lemon di tepi jalan atau dalam kes ni ialah menjual baju lama? Entahlah. Aku memang lemah skill dalam memujuk atau mempromote sesuatu barang. Biasanya aku akan mengambil prinsip – Nak beli, beli – tak nak beli, boleh berambus!

Tapi kalau aku jadi pelatih dalam siri The Apprentice tu tak bolehlah nak pakai prinsip membunuh macam tu. Memang sah kena fired dengan Encik Trump tu nanti. Begitu juga masa aku ambil subjek Selling kat ITM dulu kena buat praktikal sessi menjual produk. Terpaksalah aku berusaha keras untuk meyakinkan budak-budak ITM tu supaya membeli barang yang kami jual. Kami jual toiletries yang memang pun menjadi basic necessities semua orang, kacang jer nak jual.

Kami ingat senanglah nak jual toiletries tu rupanya payah jugak. Maybe sebab brand dia mahal sikit jadi students tu semua terpaksa fikir dua tiga kali sebelum keluarkan duit mereka. Letih jugaklah nak promosikan barang-barang tu semua, nasib baik banyak jugak yang laku. Jadi dapatlah markah yang tinggi sikit. Tapi aku mengaku yang menjadi jurujual memang perlukan semangat yang tinggi dan kena banyak bersabar. Satu lagi jangan malu nak menjual barang ni.

Alamak, tak boleh malu ke? Habis macam mana aku nak bukak gerai baju nanti? Dahlah aku ni pemalu orangnya. Masa praktikal dulu bolehlah aku hapuskan kejap rasa malu tersebut demi mendapat markah yang bagus – kali ni apa yang boleh motivate kan aku supaya aku tak malu? Untung yang banyak of course. Aku ni baru dalam initial plan jer ni, tak tahulah jadi jual ke tak.

The Apprentice disiarkan di TV3 setiap Ahad pukul 10.30 malam.

Thursday, October 07, 2004

Oink-Oink

Kisah 1

Tadi masa aku tengah berjalan di Sungai Wang, aku terpapas dengan seorang artis cantik di pintu lif. Sempatlah terdengar perbualan dia dengan kawan-kawan dia masa tu. Oh, dia tengah bercakap pasal binatang oink-oink rupanya. Tak senonoh pulak dengar perempuan cantik macam dia tu bercakap pasal benda tu. Kuat pulak suara minah ni. Dulu artis ni taklah berapa lawa tapi sejak dia buat come back dalam dunia hiburan ni bertambah-tambah lawalah pulak.

Sebenarnya itu hak dia nak cakap hal apa sekalipun atau dia nak bergurau guna nama binatang apa sekali pun. Tapi janganlah sound direct di khalayak ramai macam tu. Mulut tu cover lah sikit tambah-tambah kalau nak cakap pasal najis mughallazah ni. Orang yang mendengarnya tentu akan memandang serong dan akan mudah mengandaikan itu ini. Orang popular ni kenalah lebih menjaga tatasusila dan tutur kata supaya orang lain tak mengata.

Mensh: Nasib baik tak popular, jadi tak kisahlah nak cakap apa pun…kihkihkih….

Kisah 2

Sorang kawan bercerita yang bapanya baru menang lucky draw anjuran tempat dia bekerja. Seronoklah menang lucky draw harap-harap dapat hadiah best, barang letrik ke, tiket melancong ke. Tapi bapa dia menang hadiah patung oink-oink dengan patung anjing! Hanjing betullah… Tak sensitif betul company bapak dia ni. Main belasah jer nak taruh hadiah apa.

Walau pun orang Melayu ialah minoriti di tempat kerja tersebut tapi janganlah sampai tergamak mempermainkan agama dan budaya bangsa lain. Patung pulak yang jenis binatang najis pulak tu. Lainlah patung arnab ker, beruang ker – walaupun objek berbentuk benda hidup ni sendiri haram di simpan sebagai hiasan di rumah orang Islam. Tapi perasaan kita pasti tak terhina sangat apabila menerima patung arnab berbanding jika menerima patung oink-oink.

Mensh: Agaknya kita nak buat apa ya kalau dapat patung macam tu? Bagi kat kawan-kawan atau jiran-jiran yang non-muslim boleh kot?

Kisah 3

Kisah ke tiga ni aku rasa semua orang yang membaca Harian Metro minggu lepas pasti dah tahu pasal gambar di muka depan akhbar ni. Cantik jer terbaring ayam yang dah di sembelih bersebelahan dengan seekor… gulp…! apa tu? Sekali pandang macam oink-oink! Alamak, memang betul oink-oink rupanya!! Macam mana boleh letak sebelah-menyebelah pulak? Begitu liberal sekali nampaknya.

Kalau pihak suratkhabar tak mengetengahkan perkara ni agaknya pihak berwajib masih buat donno jer akan isu tersebut. Padahal kejadian ni berlaku di dalam tempat penguasaan mereka. Mesti diorang tak buat follow-up atau tak buat pemeriksaan secara konsisten sampai peniaga ayam di sana boleh sesuka hati jer di samping menjual ayam, turut berniaga daging non-halal. Ayam tu pun yang asalnya halal boleh jadi non-halal jugak kalau dah sembelih tak ikut syariat.

Mensh: Banyakkan makan sayur jer lah, sayur tak payah kena sembelih.

Kisah 4

Err… tak der kisah empat pun. Tu jer yang sempat di compile kan buat masa ni berkenaan dengan peristiwa semasa. Tapi mostly banyak melibatkan oink-oink kan? Jangan korang rasa loya sudah – kalau loya cepat tadah mulut tu dengan plastik.

Wednesday, October 06, 2004

Dayang Senandung Kamu

Sabtu lepas aku dan beberapa officemates dan kawan-kawan lain pergi lunch di Planet. (Padahal nak tengok showcase Dayang). Okey, memang tak plan nak makan pun mula-mula sebab kitorang just nak bersenandung dengan Dayang Nurfaizah tapi dah termakan pulak. Kawan aku sorang ni Aida yang bagi idea supaya kami melantak kat sana sebab dia pun belum lunch lagi.

Aku makan pasta seafood yang sedapnya…. rasa macam nak tambah lagi sepinggan. Aida makan sandwich, Brad makan daging dan Azah dengan boyfriend dia pun makan sandwich. Masa ni keadaan dalam PH dah penuh sesak dengan orang ramai yang semuanya nampak macam remaja jer. Kami jer ke yang tua dalam tu? Oh, kemudian nampak Chef Wan pula masuk – yes, ada lagi yang lebih tua dari kami…kahkahkah. Dia datang dengan seorang pemuda yang macam pernah ku tengok mukanya dalam paper. Aku ingatkan pemuda tu kawan anak dia.

Rasa tak selesa nak makan-makan sebab ramai yang berdiri masa tu tengok kami makan. Kalau nak pelawa makan sekali pun tak boleh jugak pasal diorang nak duduk kat mana disebabkan oleh kerusi tak cukup. Tetiba nampak Chef Wan menuju ke arah stage bersalaman dengan Acis yang jadi one of the musicians petang tu. Agaknya dia nak ucapkan congrats dekat Acis pasal Sheila Majid kan baru lepas deliver baby girl. Celebrity lain yang turut hadir beri sokongan ialah Afdlin Shauki, Azlan Abu Hassan, KC Ismail dan adalah lagi yang lain maybe aku tak kenal diorang.

Bila Dayang ingin memulakan persembahan saja semua orang start menjerit. Aku takderlah nak menjerit sama pasal tengah sibuk mengunyah. Seksi baju Dayang hari tu nampak macam fesyen baju dalam. (Aku tak tahu nama fesyen baju tu). Dia pakai dengan skirt yang labuh sikit, tak senteng macam skirt dia masa Anugerah Era dua minggu lepas. Lepas tu dia terus start menyanyi dengan suara yang gemersik dan badan yang meliuk lentuk. Aku fokuskan pada tangannya yang sangat bergaya itu.

Beberapa waktu kemudian terdengar sorak-sorai orang ramai dari arah tangga. Siapa gerangan yang menjadi tumpuan itu? Anuar Zain rupa-rupanya yang tengah enterframe. Sebelum dia dapat sampai ke tempat duduk, dia telah diserbu dulu oleh peminat-peminat yang ghairah ingin bersalaman dengannya. Dayang pula nampaknya boleh meneruskan persembahan macam biasa seolah-olah tidak terganggu sedikit pun oleh bunyi sorakan dan jeritan orang ramai yang macam hilang akal bila nampak Anuar Zain masuk.

Lagu-lagu baru Dayang banyak yang sedap seperti Erti Hidup ciptaan Afdlin yang juga lagu rasmi Khidmat Negara, Dayang Sayang Kamu, Andai Ku Tahu (ciptaan Acis), Kau Pergi Jua (nyanyian asal Adam Ahmad), Coretan Cinta (di cipta Hazami) dan dia juga nyanyikan lagu-lagu lamanya. Tidak ketinggalan dia turut mempelawa Lah dari kumpulan VE berduet bersamanya lagu Aku Rindu Aku Jemu manakala untuk lagu Dayang Sayang Kamu dia berduet dengan Cat ahli kumpulan Ruffedge. Pengunjung ada kedengaran suggest dia berduet dengan Anuar Zain tapi tidak dipenuhi. Mungkin lain kali lah.

Selain lagu sendiri Dayang turut menyanyi beberapa lagu Beyonce secara medley walaupun vocalnya tidak jelas semasa menyanyikannya cuma muzik latar jer kuat. Bila habis persembahan tibalah sessi autopgraph dan sessi ambik gambar. Kami nak keluar cepat-cepat dari PH tak boleh pasal hujan lebat sedang melanda masa tu walaupun langit agak cerah. Kami pun tersekat kejap dan sempatlah tengok Dayang melayan peminatnya yang sedang berasak-asak mintak tandatangan. Overall persembahan petang ni adalah sangat menghiburkan di samping mengenyangkan jugak.