Ya, aku begitu musykil dengan fungsi bebuli yang bersaiz lebih kurang bola golf yang begitu menyinar, dan memukau serta selalu dalam genggaman tangan watak Bad lakonan Adi Putra itu. Objek tu ada bersama mereka sejak kecil lagi dan nampaknya ia semacam azimat atau komponen yang ada kena-mengena dengan kuasa atau sesuatu yang magikal. Namun kemunculannya yang kerap lagi misteri itu tidak pula di beri asas atau liputan untuk merasionalkan kewujudan itu. Seolah mereka semua harapkan kita boleh fahami sendiri atau pedulikan benda remeh tu dan tumpukan saja pada sinematografi yang sungguh cantik ini.
Memang Haq bergantung pada teknik gambar yang menarik ala iklan sebagai sajian mata sehingga mengabaikan jalan cerita yang konkrit. Malah unsur kekuasaan atau sifat luarbiasa yang diwar-warkan dimiliki oleh watak-watak utama ini seakan tidak dapat disahkan kerana kurangnya pendedahan daripada segi itu. Ada satu adegan aksi pertarungan itu sebijik macam dalam Transporter. Klimaks pertempuran antara Haq dan Bad aku rasa tidak cukup menggemparkan bagi seseorang yang ada kuasa ajaib. Penamatnya sekadar membiarkan jasad antagonis kita terbujur kaku sebelum kamera beralih ke langit.
Menurut wawancara yang aku tengok di Gala TV, pengarahnya membayangkan ada sekuel untuk Haq jika filem sulung ini mendapat sambutan. Aku suka dengan ideanya, tentang lelaki Melayu dengan kurniaan tenaga dalaman projeksi kepada adiwira yang dibayangkan. Cuma ia tidak di bantu latar cerita efektif yang boleh menimbulkan semangat sepatutnya pada kisah bercorak begini. Satu percubaan yang boleh di puji dalam longgokan filem-filem hantu tempatan yang tak habis-habis.
