
Filem ni aku dapat tahu masa baca reviewnya dalam majalah Entertainment Weekly. Memang tertarik nak tengok berdasarkan artikel tu. Peliknya ia hanya ditayangkan di KLCC saja. Ia di label sebagai bukan filem romantik komedi yang biasa. Walaupun ada premise yang biasa, lelaki dan wanita bertemu, tertarik antara satu sama lain lalu memungkinkan cinta. Cuma di sini, pihak lelaki saja nampaknya yang di rasuk asmara.
Terdapat disclaimer yang kelakar pada kredit pembukaan. Juga suara periwayat yang awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada penonton bahawa apa yang bakal kita saksikan bukannya kisah cinta. Sekurang-kurangnya kisah cinta yang lazim dihidangkan kepada kita selama ini. (Tapi bagi pendapat peribadi aku ia sama saja macam cerita romance barat yang lain)
Mungkin kerana penamatnya yang bukan tipikal Hollywood membuatkan ia nampak lain? Tapi aku suka dengan jalan ceritanya yang walaupun menggunakan tajuk bilangan hari tetapi susunan peristiwa yang melibatkan dua sejoli ini di selerakkan bersilih hari tanpa aturan tertentu. Paparan sesetengah adegan yang di buat kreatif seperti dalam babak si lelaki menerima undangan wanita ke satu majlis di apartmennya, pada layar terdapat dua visual yang menunjukkan mana satu realiti dan yang mana cuma angan-angan pihak lelaki tadi. Memang memberi kesan. Babak muzikal tari-menari itu juga sangat menarik hati.
Teraju utama filem ini, Joseph Gordon-Levitt dan Zooey Deschanel memang berjaya mewujudkan watak sebagai pasangan yang dimahukan oleh skrip. Lebih-lebih lagi Zooey yang memang buat aku naik geram dengannya sehingga simpati dengan nasib si hero. Tapi itu bukan salahnya kerana dia memang sudah berterus-terang daripada mula bahawa dia ingin berkawan saja. Walaupun kita sendiri mengimpikan supaya hubungan mereka berdua adalah lebih daripada sekadar itu.