Thursday, March 27, 2008

Akhirat

Kalau anda ingin melihat tanda-tanda akhir zaman dalam filem ni ia ada pada babak permulaannya. Tengok pada tajuknya yang provokotif dan mengundang intrig, memang tidak justify langsung pada isi cerita dan subjeknya secara menyeluruh. Bagi penyakit yang dikatakan masih tiada penawar ini, sesuatu yang sangat dangkal untuk melabelkan hidup pengidapnya sudah menemui kiamat. Ia bagaikan malas berikhtiar, pesimis, terlalu berputus asa, boleh memberi anggapan yang salah dan tiada gambaran positif untuk mereka yang sedang mengalaminya.

Aku tak tahu apakah matlamat filem Akhirat ini. Pada awal-awal adegannya yang menunjukkan pada hidup gelandangan di hotel ayam dan lorong-lorong hanyir, aku bayangkan filem ini sebuah lagi Anak Halal. Tetapi tidak. Suntingan berikutnya membawa kita melihat Vanida Imran di rogol dalam shot kabur sebagai timbulkan tanda-tanya. Apa yang akan filem ni sogokkan pada kalian selepas itu ialah satu produk tahap spektra (slot drama terbitan HVD dulu-dulu) ataupun taraf filem-filem 80-an yang aku ingatkan tak akan jumpa lagi dah di tahun 2000an ni.

Pujian aku boleh bagi untuk Ade Putra dan Nabila Suhaimi serta Bront Palare yang sedap sikit untuk dihayati watak mereka dengan dialog yang selamba. Karektor yang mereka hidupkan itu memang sesuai untuk “akhirat” mengikut apa yang aku bayangkan filem ni sepatutnya jadi. Idea yang ingin di angkat oleh filem ni tentang persoalan moral adalah baik tapi janganlah play safe sampai ia begitu membosankan dan hambar macam menonton drama tv pendidikan. Buatlah ceritanya sebagai morally wrong sehingga over the limit pun tidak mengapa. Sebab dunia sudah benar-benar korup dengan manusia-manusia yang melampau.

Mungkin sebab tulang belakang filem ni dari Bollywood, ia jadi melodrama tak pasal-pasal siap dengan runut lagu dan bunyi efek sebiji mengikut acuan dari sana. Namun ada satu adegan dalam filem ni aku rasa wajar dikembangkan untuk lebihkan impak. Iaitu apabila laki si Vanidah ni masuk ke bilik dan ingatkan yang sedang tidur tu isteri dia. Tapi Nabila ni terjagalah pulak, langsung tak jadi konflik yang aku harapkan. Apa salahnya buat si lelaki itu masuk dalam keadaan mabuk dan Nabila yang mungkin khayal dengan ecstasy tak sedar – ingatkan jantan yang sedang menjamah tubuh dia tu lelaki yang biasa bersamanya, Adi, rupa-rupanya abang ipar sendiri. Rasanya aksi yang aku bayangkan ni lebih sedap untuk dimainkan.


Kredit foto: cinemaonline.com.my tq

Tuesday, March 25, 2008

El Orfanato & Gone Baby Gone

Dua buah filem ini bertemakan kanak-kanak yang hilang. Seakan bertepatan dengan situasi yang berlaku sekarang. Namun aku tak boleh nak relate kedua-dua jalan ceritanya yang begitu imaginatif dengan kes sebenar yang di alami oleh keluarga mangsa di Malaysia ini. Walaupun nasib malang dan gundah gulana perasaan kehilangan orang tersayang adalah sama dasarnya tetapi untuk tujuan hiburan, filem kena melebihi semua itu. Rasanya penyelesaian seperti yang di pakai filem-filem ini memang agak dramatik dalam kehidupan nyata.

Aku bagi markah A untuk isi kandungan kedua-dua filem ni El Orfanato dan Gone Baby Gone kerana cerita yang padat dan kompleks. Bersandarkan genre yang berlainan tapi subjek yang sama dengan mainan emosi yang sama juga di samping beberapa aspek lain yang berbeza. Namun masing-masing mantap dengan olahan dan pendekatan yang membuahkan hasil akhir yang jitu.


El Orfanato menggabungkan elemen supernatural dan psycho-thriller dalam sebuah kisah sepasang suami-isteri yang hilang anaknya secara tiba-tiba. Sebuah filem yang sangat cantik atmosferanya. Boleh meresap apa yang pengkarya ini hendak sampaikan dengan jujur. Tidak perlu unsur kejutan dan special efek murahan bagi meremangkan penonton. Aku tak pasti sama ada filem ini akan sampai ke panggung Malaysia. Jika ingin menengoknya, sila dapatkan di you-know-where. Atau boleh dl saja.


Gone Baby Gone mendapat pujian melambung pengkritik untuk produk sulung arahan Ben Affleck ini. Sepasang suami-isteri tua mengupah dua detektif persendirian menyiasat kehilangan anak saudara mereka. Dari permulaan ini saja sudah cukup untuk membentuk naratif yang kuat bagi sebuah cerita yang getir. Selain Ben yang berjaya kemudikannya dengan baik, pelakon-pelakon lain terutama Amy Ryan dan Ed Harris sangat cemerlang di sini. Ia sedang ditayangkan di Malaysia tetapi dengan potongan yang dahsyat. Untuk elakkan sakit hati, sila dapatkan versi un-cut di you-know-where. Atau boleh dl saja.

Sunday, March 23, 2008

Water Horse

Filem yang menyeronokkan, aku kira. Terpulanglah kepada anda sama ada ingin percaya atau pun sangsi. Tetapi mereka telah menggunakan sepenuhnya lesen kreatif itu demi menzahirkan sebuah legenda. Ia pasti membuatkan lebih ramai mengalih destinasi percutian ke tasik berkenaan nanti. Kewujudannya memanglah tidak dapat dibuktikan lagi. Foto yang sedia ada pun entah kan sahih, entah kan palsu. Malah satu adegan dalam filem ini turut memperolokkannya begitu.

Raksasa Loch Ness atau kuda laut gergasi atau naga air atau apa pun panggilan anda kepadanya adalah metos yang telah lama kita dengar. Ada beberapa filem lain yang telah di bikin mengambilnya sebagai subjek tetapi aku tak pernah tengok pula. Jadi bila Water Horse Legend of the Deep ini keluar panggung aku pun bergegas pergi menonton. Ia mungkin sebuah filem dalam tempo yang perlahan tetapi tidak membosankan. Lebih-lebih lagi untuk anda yang berjiwa penyayang kepada haiwan ia sedikit sebanyak akan tercuit juga di hati.

Filem ini mengambil latar-belakang zaman tatkala perang dunia ke-dua. Di mana watak-wataknya hidup dikelilingi berita kurang menyenangkan, risaukan anggota keluarga di perbatasan, hilang orang tersayang, masa depan yang tidak dapat di jangka bentuknya. Apabila timbulnya makhluk ganjil mirip iguana versi dinasor mini tetapi masih belum dipastikan spesisnya ini, ia merebakkan kekecohan yang berbeza dari huru-hara perang yang sedang dihadapi mereka.

Walaupun Scotland sendiri agak jauh dari pusat pertempuran sebenar, ia tetap merungsingkan. Tiada siapa yang pernah bahagia akibat perang tidak kira di mana ia berlaku. Justeru wujudnya hidupan mistikal tadi langsung tidak dapat merasionalkannya.

Ceritanya memang agak Free Willy tetapi jika masih boleh memikat, tiada salahnya. Menyaksikan filem ini membuatkan aku teringat pada legenda naga tasik tempatan iaitu Chini yang pernah ada ura-ura mahu di angkat ke layar lebar. Tolong, kalau memang ia jadi difilemkan, buatlah satu jalan cerita sekurang-kurangnya macam ni. Bukan sekadar ingin mengambil satu makhluk metos contohnya seperti ikan duyung tetapi ia hanyalah tentang wanita di dalam suit ikan tanpa motif tertentu.

Thursday, March 20, 2008

Chapter 27

Kalau tidak kerana namanya ada pada inlay dvd dan kredit pembukaan, tentu aku tidak dapat meneka bahawa lelaki gemuk itu ialah Jared Leto. Transformasi yang berjaya. Kagetnya, filem lakonan beliau ini tidak pula aku pernah dengar. Jared yang aku mula-mula kenal menerusi siri remaja tv, My So-Called Life yang disiarkan dalam Metrovision dulu hinggalah hari ni beliau menganggotai band 30 Seconds to Mars, adalah antara underrated artis yang sepatutnya sudah lebih diiktiraf. Atau beliau tiada bakat sebenarnya?

Chapter 27 aku kira boleh menjadi kayu ukur untuk menilai kebolehannya dari segi lakonan untuk mengelak dari bergantung hanya pada pretty face. (Aku belum lagi menonton Requiem for a Dream, filem hebat yang turut melibatkannya). Walaupun cara bercakapnya dan saiz besar itu mengingatkan aku pada Phillip Seymor Hoffman dalam Capote, setidak-tidaknya cubaan Jared menaikkan berat badannya untuk watak ini harus di puji. Kredit cuma di beri setakat itu kerana rentak filem yang perlahan untuk sebuah subjek yang menarik perhatian nampaknya ia tidak memuaskan pengkritik. Namun aku menyukai filem ni.

Pelakon utamanya itu menjadi Mark David Chapman yang pada 8 Disember 1980 telah menembak mati John Lennon. Siapakah yang tahu apa yang ada dalam kepala seorang pembunuh sebelum dia melunaskan kekejaman itu? Sepanjang filem ini, benda itulah menjadi naratif kepada penonton untuk meninjau dan berkongsi visi, rahsia dan ketidakstabilan lelaki ini yang sesekali nampak boleh dimesrai manakala pada sisi yang lain kelihatan menakutkan. Rasanya Jared berjaya menimbulkan karisma begitu kepada orang-orang disekelilingnya. Tetapi mereka tidak dapat mengesyaki apa-apa yang buruk akan berlaku.

Filem ini ada reference yang berat kepada buku Catcher in the Rye kerana Chapman obses dengan kandungannya, serta kitab Bible. Dia sangat poetic atau rohaniah mungkin dan meminati muzik kumpulan Beatles, jadi kita simpulkan dia sebagai articulately artistic yang berjiwa kacau. Tiada siapa yang tahu kenapa dia melakukan pembunuhan itu. Ramai yang mencemuhnya kerana pencinta keamanan seperti Lennon akhirnya mati angkara keganasan.

Tuesday, March 18, 2008

The Deaths of Ian Stone

Sedangkan Premonition lakonan Sandra Bullock itu ada cerita yang lebih baik berbanding filem yang ini. Walaupun bukan dalam genre yang sama tetapi pengulangan hari yang karektor utamanya alami lebih kurang macam tu. Serupa Groundhog Day dari segi temanya juga tetapi bezanya elemen seram menjadi pemangkin. Thrill yang filem ini cuba serapkan ialah dia kena mati dan mati lagi sampai kita tak tahu bagaimana penyudahnya.

Mike Vogel yang baru saja berdepan dengan monster dalam Cloverfield kali ni berdepan dengan beberapa “monster” lain pula dikenali sebagai harvester dalam The Deaths of Ian Stone. Dialah pemakai nama tersebut yang menjadi tunjang masalah kepada lembaga-lembaga misteri berkenaan di samping ingatan yang tersimpan dalam kepalanya sendiri yang rupa-rupanya boleh menjadi penyelamat nyawa. Sepatutnya menarik kisah begini kerana aku tengok dari trailer saja sudah ingin menonton.

Kalau anda tak pedulikan sangat jalinan cerita yang tiada penjelasan dan konsep seram dalam level sederhana, ia sesuai untuk anda. Satu lagi, ia ada special effect yang cool juga. Cuma aku rasa adegan cara-cara kematian itu agak generic dan tidak kreatif.

Thursday, March 13, 2008

10,000 B.C.

Mereka-mereka yang buat cerita ni tak tengok Apocalypto ke? Atau pun dah tengok tapi tak sabar-sabar nak buat “remake”? Kot ye pun tunggu ler 10 tahun lagi atau pun 10,000 tahun lagi. Nampak macam nak sama tapi tidak adil pula untuk membandingkan filem arahan Mel Gibson tadi dengan klonnya yang hampas ni.

Kerana 10,000 B.C. hanya sekadar ingin membawa haiwan pra-sejarah ke dunia bermulanya tamadun. Setakat ingin glorify makhluk mammoth itu di layar lebar. Itu saja. Malah Pathfinder yang kelas-b itu ada jalan cerita yang lebih gagah. Walaupun masih dalam nuansa filem yang serupa tapi executionnya padu berbanding ini.

Salute untuk binatang-binatang gergasi yang membintanginya kerana merekalah pelakon sebenar dan paling berdaya penarik untuk ke panggung.

Tuesday, March 04, 2008

Anak

Lama sangat nak tunggu Susuk keluar, aku pun tengok Anak dulu. Aku rasa tema kedua buah filem ni lebih kurang sama saja. Kisah wanita yang sanggup menggunakan ilmu hitam demi kecantikan rupa-paras. Dan sudah tentulah apabila bersubahat dengan anasir begini, ia tidak datang tanpa cagaran. Mudah sangat ceritanya. Sudah biasa di dengar dan telah banyak di bikin perihal manusia yang takut di mamah usia lalu ingin kekal nampak muda walau apa kaedah sekalipun.

Sebab filem ini dalam kategori seram, maka perempuan di dalam Anak ini akan menggunakan unsur supernatural untuk mencapai hajatnya yang keji itu. Lakonan kedua-dua mereka, Ida Nerina dan Erra Fazira kelihatan serasi dan berganding bahu dengan cocok tanpa nampak mereka cuba ingin menguasai antara satu sama lain. Azizah Mahzan juga berkesan dalam filem tersebut dengan karektor yang tidak kurang pentingnya walaupun terkadang tak keluar loghat Melayu Siam dia tu. Sepatutnya lebih kan sikit adegannya kerana itu lebih seram bagiku.

Berbanding dengan kemunculan budak mata berdarah berkenaan, yang kerap sangat menjelma sampai dah tak rasa apa-apa, Azizah ada lebih banyak alasan untuk menakutkan penonton. Manakala Philip Jusof sebagai doktor pula memberi perisa yang berbeza untuk filem ini dari segi variasi pemilihan pelakon walaupun karektornya tidak sangat menjanjikan yang konkrit. Aku kena memuji visual rumah pangsa yang sunyi, terperosok dengan pencahayaan misteri yang beberapa kali keluar sebagai latar kerana ia memang terasa meremang. Malah seluruh kerja cinematography filem ini sangat menarik dan membuatkan aku lupakan saja jalan cerita yang klise tersebut.

Aku tak kisah dengan filem yang mengitar semula apa yang pernah di buat oleh filem lain. Cuma sayang sekali kerja kamera dan shot-shot cantik sebuah penerbitan tempatan dibazirkan untuk plot yang sangat sederhana begini. Aku dapat bandingkan dengan The Skeleton Key yang turut memainkan subjek serupa tapi ada olahan cerita dan skrip yang lebih kuat. Harap-harap ada penghasilan lain pada masa akan datang yang memberangsangkan daripada karyawan filem Anak ini.

Monday, March 03, 2008

Dancer in the Dark

Pada kredit pembukaan, warna merah terang menyilau sampai sakit mata melihatnya menjadi tatapan sebelum anda terpaksa menonton filem ini. Lama jugalah nak tunggu montaj ni habis. Sebenarnya tiada sesiapa yang memaksa pun tetapi sebab aku curious sangat nak tahu mengenainya, maka aku tengok jugak. But not in one shot. Makan masa juga nak menghabiskan filem yang menderakan ini.

Rasanya dalam sebulan aku asyik play-stop-play again-stop again semata-mata kerana hilang daya tumpuan. Dancer in the Dark mungkin akan lebih menambat hati jika anda mengikutinya secara sekali harung. Ia mengisahkan tentang Selma Jescova seorang imigran dari Czech yang datang ke Amerika bersama anaknya. Dia menghidap penyakit mata yang boleh mengakibatkan dia menjadi buta. Oleh kerana jangkitan ini adalah genetik, anak lelakinya juga berkemungkinan besar akan mengalaminya nanti. Jadi dia bekerja keras di sebuah kilang keluli untuk menyimpan wang membiayai pembedahan anaknya bila dah cukup umur.

Di samping itu dia juga minat seni persembahan dan mengambil bahagian dalam pementasan di pekannya pada sebelah malam. Baru aku sedar masa ni bahawa watak Selma ini memang untuk Björk kerana profesion sebenarnya adalah penyanyi. Ok, walaupun nyanyian Björk sendiri bukan menjadi pilihan halwa telinga untuk semua orang kerana uniknya dan ganjil serta susah digambarkan betapa eksentriknya citarasa muzik insan ini. Tapi filem ini membuat kita rasa senang sikit untuk mendalami Björk dalam dunia hiburan kerana lakonannya memang hidup sebagai wanita lurus bendul di zaman 60-an namun tabah dan cekal menghadapi dugaan.

Sesuai dengan kepelikan tadi, Dancer in the Dark juga disulami dengan elemen muzikal yang mungkin tak terjangkaukan. Malah lagu-lagunya tidak akan membuat kita rasa nak nyanyi sekali. Jika dalam Sweeney Todd atau Across the Universe yang kita rasa seimbang dengan nisbah lagu dan dialog tetapi filem ini tidak mempedulikan semua itu. Genre muzikal yang lazim biasanya pemeran akan menyanyi sesuka hati secara tiba-tiba tanpa seorang pun ingat dia ni sewel atau berasa tidak sesuai atau memandang aneh. Malah mereka semua akan turut berdendang dan menari. Tetapi dalam filem ini, imej-imej wirama itu hanya wujud berkelintar dalam kepala si Selma ni. Ia lebih logik jika difikirkan.

Satu aspek lain yang mungkin membuatkan penonton naik menyampah ialah shot yang menggunakan digital kamera dengan close-up ke muka pelakon dan lepas tu bergoyang-goyang pula. Tapi ada juga adegan dengan gambar yang cantik dan tidak menjengkelkan contohnya di tepi tasik, atau di tengah salji dan juga semasa babak muzikal. Secara peribadi, Dogville yang dipentaskan atas sound stage dengan latar belakang ksosong dan hambar lebih mudah aku terima berbanding ini. Namun Lars von Trier sendiri sebagai pengarah dan pencerita yang unik dan daring dari segi tekniknya memerlukan kita mengupas lebih dari sekadar menonton secara harfiah.