Friday, February 29, 2008

The Mist

Walaupun filem ni bunyinya macam “miss”, lepaskan saja, tak tengok pun tak apa – kalau boleh pergilah juga tengok. Sedangkan The Mist maksudnya lebih kurang sama dengan The Fog dan anda ada bad experience menonton filem remake itu dulu, janganlah cepat sangat mengalah. Lebih-lebih lagi kalau anda peminat filem horror, atau peminat Stephen King.

Atau tengok dari blurb posternya ada terpapar nama Frank Darabont yang punyai reputasi di belakang Shawshank Redemption dan The Green Mile, terus anda semakin musykil nak tengok. Aku memang tak pernah dengar pun pasal filem The Mist. Tapi melihat gambar poster dengan seorang lelaki memangku anaknya sambil merenung dinding kaca berkabus cepat saja menimbulkan misteri. Jadi, aku beli tiket dan menontonnya semalam. Maka aku kongsi sedikit apakah wap yang menyelubungi perjalanan filem yang sungguh mengujakan ini.

Pembukaannya bermula pada waktu malam dengan David Drayton lakonan Thomas Jane sedang melukis poster. Ingatkan itu poster filem Indy 4 tapi bila check trivia kat imdb itu rupanya lakaran gambar watak dalam siri novel Dark Tower yang juga karya Stephen King. Lepas tu satu kejadian ribut yang hebat melanda, membuatkan bilik melukisnya rosak di pukul angin kencang lalu sebatang pokok tumbang merosakkan poster tersebut.

Keesokan paginya, David bersama isteri dan Billy, anak kecilnya memeriksa sisa-sisa tinggalan ribut semalam. Mereka mendapati kemusnahan yang melanda turut melibatkan hartanah mereka dengan jiran sebelah namun ianya cuba ditangani dengan berhemah. Lalu David bersama Billy dan jiran itu, Norton (Andre Braugher) keluar ke pasaraya terdekat untuk mencari bahan bekalan.

Sebelum itu mereka terpandang satu kelompok kabus yang aneh menjelma dari arah lautan. Menyangkakan itu adalah sesuatu yang kasual, mereka tidak begitu memberatkannya. Dalam perjalanan ke pekan, ada banyak kenderaan tentera berpusu-pusu memenuhi jalan raya seolah sedang dalam suatu misi penting. Walaupun curiga mereka masih tidak rasa ia perlu di beri perhatian serius.

Sehinggalah kabus itu semakin menghampiri kawasan pekan dan seorang lelaki dengan hidung berdarah meluru ke arah pasaraya sembari memekik masuk mewar-warkan sesuatu dengan cemas dan melarang mereka dari keluar. Lalu pintu-pintu bersegera di tutup dan wap putih memenuhi luar dinding kaca. Biasanya aku malas nak buat sinopsis. Tapi sebab aku sendiri memang rasa excited dengan filem style gred-B yang tinggi sikit levelnya ni, biarlah korang pun rasa macam tu jugak. Itu pun kalau korang tak terbaca spoiler kat mana-manalah.

Wednesday, February 27, 2008

Lars and the Real Girl

Lakonan yang meyakinkan daripada Ryan Gosling, tanpa membuat dia nampak seperti budak terencat atau karektor anti-sosial yang stereotype. Segalanya nampak boleh dipercayai, kesunyiannya itu, dambaannya kepada insan lain. Cinta dan perasaan yang diperlukan dan cara berinteraksi yang hanya dia saja memahaminya walau orang di sekeliling sedaya boleh menunjukkan bahawa mereka cuba mengerti dan ikhlas, tetapi cuma dia yang mampu menyelami garisah di dalam.

Kerana siapalah agaknya yang boleh membina ikatan dengan sebuah patung? Dan dalam masa yang sama orang-orang sekitar yang melihat, ramai pula menyokong dan bertindak untuk berkawan serta meraikannya seolah-olah mereka juga delusi. Ibarat patung itu memang orang sebenar yang bernyawa dan bereaksi. Malah kita yang menonton ni pula sebenarnya tidak sedar bahawa yang berlakon itu memang manusia betul. Bukan manekuin. Macam yang berkhayal itu adalah kita semua.

Walaupun mula-mula agak kelakar filem Lars and the Real Girl ini (cuma taklah ketawa gila-gila), lama-kelamaan ia menjadi takut dan gementar serta sedih yang menghurung. Ia pandai bermain dengan lokasi dan iklim, musim dingin dengan keputihan dan sesuci alam seolah mahu kita melihat dari perspektif yang jernih. Malah, Bianca, patung yang keras tersebut kita tidak rasa dia juga membeku di dalam kedinginan. Kita terpaksa mengaku “aksi”nya yang macam kayu tu memang menghidupkan watak.

Semuanya ini ibarat kawan halimunan semasa kanak-kanak. Namun sekarang kita telah dewasa. Kawan itu bukan lagi entiti ghaib yang kita seorang saja nampak. Ia telah wujud di dunia realiti. Walaupun fungsinya masih sama namun ia menjurus ke satu bentuk hubungan yang lebih matang dan kompleks. Sehingga kita pun percaya ini semua adalah nyata.

Sunday, February 24, 2008

There Will Be Blood

Seriusnya, aku menonton There Will Be Blood cuma untuk saksikan lakonan Daniel Day-Lewis tapi di sini ia hanya ditayangkan di MidValley. Terlalu fokus kerana pelakonnya membuatkan aku terlupa ia diarahkan oleh Paul Thomas Anderson. Maknanya ia akan menelan masa yang panjang dan sedikit membosankan (kalau boleh jangan tengok tayangan 11.30 malam) serta akhirnya membuatkan kau terpinga-pinga.

Aku rasa ini boleh dibandingkan dengan Magnolia dari segi konsep tema dan tahap boringnya dari pengarah yang sama. Tapi aku tengok jugak sebab mungkin aku ni pretentious? Atau aku ingin menghargai jalan cerita yang simbolik, ada berlapis tafsiran atau sekadar ingin tahu apa yang hype tentang pelakon utamanya? For the record, inilah lakonan Day-Lewis pertama yang aku tengok. (aku dah check imdb dah mendapati memang benar, satu pun filem beliau yang aku tidak tonton - mungkin lepas-lepas ni akan aku cari dvdnya).

Bukan, aku tidak buat review There Will Be Blood. Bukanlah susah sangat filemnya cuma aku yang tidak berupaya menyerap apa yang ingin disampaikan. Watak utamanya bernama Daniel Plainview seorang hartawan minyak pada zaman awal 1900-an dulu membuat penemuan semasa melombong perak. Adegan mula-mula ini menarik, minimalis tanpa dialog, cuma aksi menarah bukit serta score lagu yang menusuk, macam seram bunyinya tetapi berjaya menimbulkan atmosfera. Dengan pelakon utama memakai nama sendiri sebagai karektor, ia narsisistik yang filem ini kita tahu kepunyaan siapa.

Selain seorang lelaki dengan pemburuan emas hitam sebagai subjeknya, satu lagi unsur membuatkan filem ni ada tragedi iaitu agama melibatkan Encik Plainview ini yang ateis (aku rasalah). Watak paderi muda diperankan Paul Dano turut menimbulkan impak kerana berjaya membuatkan kita rasa kasihan, serabut, aneh dan kelakar dengan kemunculannya. Seperti yang taglinenya cadangkan, seorang usahawan yang bercita-cita besar tetapi dalam masa yang sama di hambat oleh spirituil - sesuatu yang beliau tidak senangi. Seperti filem ini bukan semua akan menyenanginya juga.

Thursday, February 21, 2008

Paris je T'aime

Filem yang dah lama ni tapi baru hendak disiarkan di Malaysia. Tetapi ia cuma mendapat tayangan terhad di beberapa panggung. Aku mula-mula mendapat tahu tentang filem ini menerusi blog Jimi yang mengulas begitu komprehensif dan berseni mengenainya. Rasa macam nak cari dvd dan menonton sendiri. Peluangnya belum ada sehinggalah hari ini.

Paris je T’aime yang selewat ini datangnya, selepas 14 Februari, hari meraikan cinta. Sebenarnya tidak perlu sehari itu saja, dalam setahun kau tahu kan berbilang hari tertinggal yang masih ada selagi bernyawa malah setelah maut menjemput pun itu bukan halangan. Sebuah perasaan yang universal, tema yang malar segar dan cerita dari perspektif yang berbeza-beza terungkai dan bercantum membentuk sebuah seluloid dalam masa lebih kurang lima minit. Tentulah ia bukan sekejap itu kerana ada lapan belas kesemuanya.

Tak payahlah aku nak menghuraikan satu-satu kerana seperti apa yang mengalir daripada tulisan ini ia adalah cinta untuk kalian semua. Kalau tidak, kasih ini akan berhenti walaupun fikiran ini tidak pernah berhenti. Kerana cinta pada jurnal harus dibuktikan dengan perbuatan. Aku tidak akan membiarnya terumbang-ambing. Senyumlah dengan sinis atau menjelir lidah kerana entah siapa agaknya yang mendambakan cinta ini kerana permukaannya kosong dan jauh dan senyap dan susah bagai tidak mahu di mengerti.

Berilah definisi yang kau fikir menepati dengan jujur. Aku tidak mahu kebencian kerana seperti cinta ia juga bisa membutakan. Tolonglah berhenti dan berpaling jika ada orang memanggilmu untuk meluangkan waktu sekadar menikmati secawan kopi. Kerana mana tahu suatu hari nanti dia akan terlantar dan berdarah dan kau mungkin ada rasa kesal menyerbu di dada. Biarkan dia lepas pergi di hela derap kuda kerana masanya telah tiba dan dia boleh menyelami betapa mendalamnya cinta kau lewat sorot mata itu.

Sayangnya untuk berkelip kerana semua yang terhidang adalah cantik dan mencengkam ke sanubari, terlepas seminit rasa tak tertebus. Hayat yang pendek dan singkat akan lebih bermakna dan dihargai. Setiap satu yang mereka lahirkan ini datang daripada hati kerana aku dapat merasakannya begitu.


Kupon filem Paris je t’aime dapat dalam New Sunday Times untuk tayangan percuma semalam di GSC, MidValley

Sunday, February 17, 2008

Dan in Real Life

Sebuah filem yang memandang secara ironi kepada hidup seorang kolumnis yang berfungsi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para pembacanya, memberi ilmu keibubapaan serta menawarkan nasihat untuk konflik kekeluargaan yang mereka hadapi melalui tulisan di dalam ruangan kelolaannya di suratkhabar. Kadang-kadang kita yang membaca apa yang si pengarang tulis itu akan mendapat inspirasi dan semangat baru melalui kata-kata yang di coret mereka. Tambahan pula jika ia ada kena-mengena dengan liku hidup yang kita sedang tempuhi. Namun adakalanya kita timbul rasa jengkel atau sinikal dengan apa yang mereka karang itu. Macam bagus pula dia ni nak nasihatkan orang.

Dan in Real Life adalah mengenai Danny Ashburn, penulis yang aku maksudkan dalam filem komedi romantik untuk golongan dewasa yang sangat menawan hati dan terindah. Oleh sebab aku tak tahu satu apa pun pasal filem ni sebelum menontonnya, maka ia jadi lebih bernilai lagi. Steve Carell selaku teraju utamanya adalah duda beranak tiga kematian isteri yang mampu menjalankan tanggungjawab kepada anak-anak perempuannya yang sedang membesar, penuh emosi namun masih harmoni antara satu sama lain. Mula-mula mendengar intro pasal kerjanya yang menjadi pengarang ruangan itu aku bayangkan ia pasti tertumpu perihal dia akan lapangkan waktu dengan menulis atau mencari ilham untuk habiskan kolumnya.

Sebenarnya tidak. Kita di bawa meninjau di balik tabir kehidupan seorang penulis yang pandai sangat bercakap mengenai bidang yang dia dikatakan pakar, tetapi apa terjadi jika ia terkena batang hidungnya sendiri. Keseluruhan cerita berkisarkan perjumpaan keluarga Dan bersama ibubapa, adik-beradik serta anak-anak saudara di Rhode Island untuk merapatkan silaturahim serta mengeratkan perhubungan seperti amalan mereka sejak sekian lama. Setiap karektor yang terbentuk di sini sangat meyakinkan dan kuat hingga kita betul-betul menganggap mereka adalah saudara sebenar.

Mungkin plot ini tidaklah asli tetapi idea yang di bawa oleh Dan in Real Life adalah perlu di saat-saat struktur sesebuah keluarga terutama di barat semakin goyah dan meruncing. Malah ia juga berlaku sekarang di kalangan kita yang menjauhkan diri dari bermesra serta saling rapatkan ukhuwah antara anggota famili dan kaum kerabat. Dengan isi cerita yang ringan dan menghiburkan, filem ini dapat menerbitkan naluri untuk mengukuhkan tali persaudaraan yang renggang selama ini.

Monday, February 04, 2008

P2

Dia cuma inginkan perhatian. Kerana dia sepi dan tidak ada banyak cara yang boleh dia lakukan untuk meluaskan aktiviti sosialnya. Kerana tuntutan pekerjaannya begitu. Mereka berdua adalah mangsa kepada kemelut generasi muda sekarang yang terhimpit antara memenuhi kepentingan material sehingga terpaksa mengenepikan keutamaan lain. Ada insan yang boleh menjadi psycho kerana sunyi tetapi ada pula yang bertindak melalui menyibukkan diri dengan karier.

P2 ialah filem tentang lelaki yang kasihan. Atau pun perempuan di dalam kesusahan (bergantung dari sudut mana ia di pandang.)

Kalau bangunan tempat kerja anda ada basement tempat letak kereta, tentu anda tahu tajuk filem ini berkaitan apa. Sebab bangunan aku ni pun ada parking p2. Lokasi yang sesuai untuk merangsang efek takut dan cemas supaya timbul. Alexandre Aja (yang sebelum ini memberi kita versi 2006 The Hills Have Eyes) memang pandai memilih tempat ini kerana berjalan sendirian di lot letak kereta bawah tanah memang membawa perasaan semacam. Kerana kita tidak tahu apa yang ada di sebalik tiang sana.

Filem ini adalah seram mengambil faktor persekitaran urban pada saat-saat cuti krismas untuk masing-masing ahli keluarga duduk berkumpul makan semeja. Atau pun boleh juga di ambil kira cuti tahun baru Cina atau cuti Hari Raya. Watak-watak ini terperangkap dalam situasi yang sepatutnya mereka saling menggembirakan antara satu sama lain, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. Anda yang berkerja di mana-mana bangunan, rakan setugas anda bukan sahaja yang berada di kubikel sebelah, boleh juga ia menjadi insan yang menjaga kereta anda.

Saturday, February 02, 2008

Brad Renfro (1982 - 2008)

Seminggu sebelum Heath Ledger pergi, ada seorang lagi pelakon muda yang berbakat tetapi banyak konflik hidup dan masalah peribadi juga telah lebih awal meninggalkan alam yang fana ini. Sepatutnya aku lebih prihatin dengan personaliti tempatan yang meninggal, tetapi kerana ia ada signifikan tertentu denganku, maka aku kena dedikasikan enry ini untuk Brad Renfro. Tidak banyak cerita tentangnya di dada berita tempatan, malah filem-filemnya juga tidak diperkatakan.


Dua buah filem beliau yang aku betul-betul ingat ialah Apt Pupil dan Ghost World. Yang lain macam Sleepers atau The Jacket, tak perasan pulak dia ada sekali. Itu pun setelah aku periksa dalam imdb.


Muda dan banyak lagi boleh beliau curahkan, namun hayatnya setakat ini saja.