Kita mulakan entry ini dengan ucapan takziah kepada keluarga Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di atas kepulangan adinda beliau ke rahmatullah. Mula-mula terdengar berita yang adik beliau koma setelah terhantuk pada tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, pada Ahad lepas aku tak dapat nak absorb maklumat begitu untuk dikaitkan dengan Dr Sheikh.
Bagaikan berita tentang doktor itu saja adalah tidak cukup buat kita, sebaliknya kita perlu juga maklumat tentang anggota keluarga beliau yang lain. Tapi ini cerita kemalangan. Kebetulannya cuma mangsa yang terlibat adalah seseorang yang ada kena-mengena dengan person-of-the moment yang kita raikan.
Pun begitu aku tidaklah rasa perlu mengambil berat tentang cerita tersebut dan berharap yang adik beliau akan beransur pulih. Walau aku masih menganggap kes-kes terhantuk kepala ni bukanlah enteng. Macam aku tahun lepas yang terhantuk kat pintu lori. Naik benjol kepala. Esoknya mc. Alhamdulillah tak ada apa-apa. Namun sudah tersurat adik Dr. Sheikh tidak dapat survive.
Kebanyakan daripada kita tentu akan lebih khuatirkan nasib angkasawan itu rasanya. Macam kawan aku Azah yang sebelum projek itu dilancarkan lagi telah meluahkan spekulasi yang buruk tentang kapal angkasa yang meletup. Misalnya Space Shuttle Columbia dan Challenger. Syukurlah itu semua tidak berlaku kepada misi angkasa pertama yang disertai negara. Walaupun ada perkara sebaliknya pula yang menimpa.
Seolah-olah perkara seperti itu ada ironi yang minta di tamsilkan.
Tetapi semua itu tentulah ada hikmah di mana-mana.