Hari Sabtu lepas semasa aku di Johor sempat menonton siaran TCS Channel 5. Pada pukul 10.30 ia menyiarkan slot Saturday Movie House dengan filem yang mengisi tirai malam itu ialah The Family Man lakonan Nicholas Cage dan Téa Leoni. Filem itu mungkin tak ada yang istimewa tetapi ketika opening credit terpampang satu banner pada sudut kiri atas skrin bertulis Commercial Free.
Nampaknya filem ini akan disiarkan terus-menerus tanpa di celah oleh iklan-iklan. Sanggupkah kita bertahan terpaku depan kaca tv selama dua jam (lebih kurang) semata-mata untuk menghabiskan satu tayangan gambar? Benarkah iklan begitu menyusahkan?

Aku pernah ingat dulu ada sekali syarikat rokok Benson and Hedges (tak silap aku) mengadakan gimik begini dengan menaja sebuah filem di tv tempatan tanpa sebarang iklan. Filem tersebut ialah Dances with Wolves lakonan Kevin Costner malah beberapa hari sebelum itu telah di beri promosi besar-besaran kerana inilah kali pertama sebuah tayangan filem disiarkan tanpa gangguan dari sebarang iklan.
Semua orang tertunggu-tunggu di depan tv masing-masing pada hari yang dijanjikan kerana tidak sabar untuk menonton sebuah filem yang disiarkan secara sekaligus tanpa ada apa-apa iklan komersial mencacatkan durasinya. Biasanya pengalaman begini hanya boleh diperolehi apabila menonton di panggung wayang saja. Berapalah agaknya kos yang dihabiskan sebagai promosi oleh syarikat terbabit.

Begitu juga ketika mula-mula stesyen tv kabel di beri lesen untuk beroperasi iaitu Mega TV kita dijanjikan hiburan secara mutlak dengan tidak perlu ada iklan muncul di antaranya. Selepas itu Astro pula bersaing dengan menawarkan insentif serupa tetapi nampaknya lama-lama ia menjadi sama dengan stsyen tv terrestrial yang lain, penuh dengan iklan-iklan setiap 15 minit rancangan ke udara.
Kita hargai strategi pemasaran yang diaplikasi dengan menayangkan filem sepenuhnya tanpa iklan-iklan yang tak ada kena-mengena membuat kacau. Namun lupakan tentang berapa pulangan material yang dapat di pungut oleh organisasi berkenaan daripada promosi atau khidmat begini kerana kita ingin tahu berapa ramai yang mampu berjaga duduk secara tertib di depan tv tanpa ada hasrat untuk berganjak sekejap lebih-lebih lagi apabila berada di rumah sendiri.
Nanti kalau tinggalkan kejap cerita ni, miss pulak scene yang menarik. Bukan macam tengok dvd yang ada butang pause jadi kita boleh pause kan sebentar. Siapakah antara kita yang ada disiplin begitu?
Sebab itulah aku lebih suka jika filem atau drama atau sebarang rancangan tv dihiasi dengan beraneka jenis iklan. Kalau aku betul-betul suka ingin menonton sesebuah filem atau siri tv mengikut keselesaan sendiri aku akan dapatkan dvdnya. Kerana aku memang payah nak concentrate satu tayangan in one shot. Ada saja benda nak kena buat tapi dalam masa yang sama tak mahu terlepas apa-apa babak di dalam filem tersebut. Jadi bila sampai commercial break, bolehlah aku buat kerja-kerja yang tertangguh tadi.

Sekiranya commercial break itu benar-benar diperlukan. apakah agaknya yang anda lakukan semasa itu?
1. Pergi bilik air
2. Masuk dapur - buat air/ambik jajan/basuh tangan lepas makan
3. Balas/kirim sms
4. Buat call
5. Baca suratkhabar/majalah
6. Sambung buat assignment/latihan sekolah/kerja pejabat
7. Tidur kejap
8. Berborak dengan ahli keluarga/housemates
9. Tak buat apa-apa duduk saja tengok iklan