Bagaimana dengan memasukkan unsur perkauman pada insiden kehilangan anak tersebut maka konflik akan jadi lebih menggemparkan? Entahlah, pada aku filem ini tidak begitu berjaya menggarap premise yang memainkan naluri keibuan dan perkauman dalam satu masa untuk menaikkan emosi. Julianne Moore memang berkesan sebagai ibu yang ghalau anaknya hilang manakala Samuel L. Jackson sebagai penguasa yang mengendalikan kes, memerankan wataknya dengan meyakinkan.
Gandingan dua karektor itu sepatutnya mampu mengekalkan momentum pada setengah jam pertama Freedomland yang di beri efek kasar dan suram berlokasi perumahan ghetto di New Jersey semasa Samuel datang ke situ serta berimbasan imej putih dan suci hospital yang dikunjungi Julianne untuk mendapatkan rawatan tapak tangannya yang tercedera. Tapi lama-kelamaan penonton tidak mahu tahu lagi adakah anaknya benar-benar dilarikan atau anak itu hanya imaginasinya saja (hahaha.... dah jadi macam The Forgotten pulak).
Freedomland bukan semata-semata menjadi lambang Tanah Amerika yang Bebas (itulah tanggapan awal aku masa tengok tajuk ni) tetapi ia adalah sebuah tempat yang memang wujud. “Freedomland Village“ ialah sebuah pusat mengumpulkan remaja dan kanak-kanak gelandangan tetapi kini pusat tersebut telah terbiar.
Semasa mereka beramai-ramai masuk ke situ untuk mencari anak Julianne, terbentuk satu barisan manusia yang panjang. Seakan memberi maksud demi nyawa seorang anak kulit putih mereka akan bersatu dan berganding bahu untuk menyelamatkannya. Tidak semena-mena kita akan rasa nak marah pula apabila mengingatkan mereka merestui Israel yang membunuh kanak-kanak Asia Barat dalam keganasan terbaru ini.
Tetapi dalam satu babak yang lain kita ditunjukkan pula barisan perisai manusia yang panjang terdiri dari kaum kulit hitam cuba memprovoke jujukan polis anti rusuhan yang kebanyakkannya berkulit putih dari tercetusnya konflik. Di sebuah negara yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan asasi manusia, kaum berwarna terpaksa mempertahankan hak sendiri tanpa belaan yang sewajarnya. Manakala kaum kulit putih nampaknya terus menduduki hierarki sebagai bangsa teratas waima kita cuba menafikannya.