Wednesday, February 29, 2012

The Artist


Lelaki: ??
Anjing: ??
(... bisu ok)

Jenis: Muat turun
Bahasa: Inggeris (Dekat nak habis ada dialog sikit, selain itu kena baca)
Genre: Drama

Aku cuma sedar tentang filem ni apabila membaca perihal seleksi beberapa filem yang layak dipertimbangkan untuk anugerah Oscar yang terbit akhir tahun lepas. Memang tidak tahu langsung betapa filem ini sudah terkenal malah telah memenangi beberapa penghargaan. Ketika itu yang tergambar apabila tahu bahawa ia adalah sejenis filem bisu ialah The Artist akan mengimbas kembali kisah belakang tabir industri perfileman pada dekad 20-an dan 30-an tentang para karyawan seperti pelakon, pengarah dan sekumpulan krew anak wayang ketika seluloid hanya berupaya mengeluarkan visual dan dialog pula terpaksa dinikmati melalui paparan title card. Aku terlepas pandang bahawa ini memang di bikin tanpa suara sepenuhnya.

Sungguh inovatif apabila Michel Hazanavicius, pengarah dan penulisnya benar-benar membuat The Artist berfungsi sebagai filem yang lahir pada era itu, mengetengahkan topik yang berkisar hal-hal studio, tatacara kerja, pihak penerbit, karenah para seniman dalam sebuah sistem yang merupakan pelopor kepada bidang perfileman seperti yang kita ketahui pada hari ini. Di sebalik kebanyakan pihak cenderung kepada 3-dimensi dan mencerap aneka janaan komputer canggih, beliau berpatah semula ke belakang dengan mengaplikasi teknik garapan produksi mirip zaman itu untuk mendapatkan hasil seirasnya bagi projek yang unik begini. Kombinasi suatu jalan cerita berkenaan insan-insan seni serta aura glamor mereka yang di buat secara pseudo-biografi tentang selebriti bernama George Valentin lakonan Jean Dujardin dan bintang dalam ciptaan Peppy Miller (Berenice Bejo) dizahirkan melalui metod aksi filem bisu yang kita sedia maklum.

Berdasarkan sinopsis itu, rasa tiada apa yang baru pun ingin dibawakan cuma strategi Hazanavicius mengutarakan ia secara hitam putih dan tanpa dialog membuatkan ia begitu istimewa. Malah ia menjadi homaj yang lebih manis apabila senario itu di terjemah menerusi medium yang sezaman dengannya supaya ia menepati ciri-ciri seperti yang telah didedahkan kepada kita selama ini. Sesiapa antara kita yang kenal gambar Charlie Chaplin memang boleh tangkap dan layan filem ini yang sangat benar mengambil semangat dan jiwa filem-filem bisu yang gah menyalurkan estetikanya. Semua adegan berkembang cantik bersama bantuan runut bunyi asli yang di cedok khas supaya mesra dengan konsep yang Hazanavicious ingin terapkan. Malah beliau membiarkan komposisi tanpa dialog itu berlanjutan sedangkan momentum cerita sudah bertukar tatkala industri itu berada dalam transisi ingin memperkenalkan jenis filem yang bersuara pula.

Sidang pelakonnya memang kena di puji kerana menjelmakan setiap memek dan aksi peranan pemain yang mengikut acuan gaya era tersebut yang selalu berlebih-lebih tetapi menjiwai. Di sebalik segalanya serba monokrom dan senyap membisu, emosi yang cuba dilontarkan oleh mereka semua sampai kepada penonton walaupun buat aku yang tengok hanya melalui skrin laptop ini. Aku tidak boleh bayangkan bahawa teknologi mengeluarkan suara itu boleh menjadi krisis identiti bagi seorang selebriti tersohor seperti Valentin yang kelihatan sangat karismatik dan berkeyakinan tinggi. Aktor pada zaman itu risau apabila ilusi yang khalayak umum ada terhadap mereka bakal musnah setelah berupaya mendengar sendiri vokal pelakon pujaan mereka yang rupa-rupanya tidak secocok dengan personaliti yang dipamerkan. Manakala Peppy pula berjaya berevolusi bersama peralihan ini lantas menenggelamkan Valentin yang dahulu menolongnya merintis nama di Hollywood. The Artist adalah pentas dua figura ini mewakili zaman yang mereka tidak pernah lalui untuk mengingati kembali bagaimana kita mula-mula jatuh cinta dengan kuasa imej dan bunyi, perfileman.

Monday, February 27, 2012

Man On a Ledge


Jaga...jaga...bersedia untuk terjun tiruk

Ya, dia terjun juga akhirnya, jika itu yang anda harapkan. Tapi sebelum gimik itu berlaku, anda kena dengar dulu penjelasan, kisah peribadi berselit auta yang lelaki di tebing belebas itu luahkan kepada anda. Agak penat juga menanti bilakah saat tersebut akan tiba sedangkan penonton di bawah bangunan sudah pun bersorak tak sabar. Pegawai penyiasat di sebelah tidak mengizinkan perkara itu daripada terjadi. Tapi kita perlukan hiburan.

Seseorang yang di lihat akan membunuh diri berpotensi untuk mencetuskan drama. Tetapi mestilah ada cerita di sebalik itu bukan? Sekurang-kurangnya mereka pasti ada asas terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan yang morbid itu. Itulah yang Man On a Ledge ingin bongkar berkenaan seorang lelaki lakonan Sam Worthington yang berdiri semacam serius, sekejap macam acah-acah pula di bangunan tinggi tersebut yang berisiko bahawa dia bakal terjun untuk menamatkan riwayatnya.

Aku tengok filem ini pun sebab tertarik dengan idea meletakkan seseorang di birai curam itu sebagai faktor thrill bagi kita untuk mengetahui lebih lanjut motif sebenar dan peristiwa susulan yang bakal terjadi. Watak Sam itu ada latar-belakang yang munasabah dan tindakan yang di ambil boleh di kira agak dramatik namun boleh dipertimbangkan jika sesuatu konflik itu hanya mampu di atasi menerusi pilihan yang ekstrem. Pemilihan Sam sebagai pelakon utama walaupun tidak sangat berkesan, tapi sekurang-kurangnya ada juga sisi lain beliau yang boleh dinilaikan.

Daripada satu aspek lain, topik yang di bawa oleh filem ini memang menarik berkenaan pihak polis yang korup bersekongkol dengan ahli korporat yang keparat. Manakala anggota polis yang bersih pula terpaksa mencari “mahkamah rakyat“ untuk mendapat pengadilan alternatif bagi membuktikan dirinya tidak bersalah. Cara apa lagi yang paling sesuai untuk menembusi perhatian khalayak umum secara skala lebih besar selain daripada berada tinggi di “kandang pesalah“ dengan juri-jurinya adalah orang awam New York yang tiada berkepentingan. Verdiknya, Man On a Ledge dijatuhkan hukuman bolehlah hidup setakat mengisi masa senggang.

Saturday, February 25, 2012

A Separation

Isteri: Saya ingin berhijrah. Iran akan di serang.
Suami: Mana ada. Russia dan China dah veto lah.

Jenis: Muat turun
Bahasa: Parsi beserta sarikata Inggeris
Genre: Drama

A Separation bukanlah semata-mata tentang pasangan suami-isteri yang dalam proses ingin bercerai seperti mana gambaran awal yang aku dapat tentang filem ini. Ia memang kompleks dan kaya dengan nilai penceritaan yang menuntut penelitian dan pertimbangan sendiri. Bermula saja filem, dua pelakon itu sudah bercakap dengan kita sambil memandang kamera berkenaan hujah masing-masing yang ingin mendapat hak penjagaan anak perempuan tunggal mereka (Termeh). Si isteri (Simin) ingin bermigrasi ke negara barat sebelum tempoh visanya tamat. Manakala si suami (Nader) yang taat ingin tinggal menjaga bapanya yang Alzheimer. Hanya suara latar pihak berkuasa yang kedengaran membalas kenyataan mereka. Ibarat kitalah penguasa itu.

Kita akan mengadili kehidupan mereka yang bertukar menjadi rumit selepas itu apabila muncul sebuah unit keluarga yang lain dalam rumahtangga. Razieh di panggil bekerja untuk menjadi amah setelah Simin keluar dari sana dan kembali menetap bersama ibubapa sendiri. Razieh seorang perahsia adalah beperwatakan warak membawa anaknya sekali tatkala bekerja di situ. Nader pula tidak berterus-terang bahawa wanita itu perlu menjaga seorang lelaki yang uzur. Razieh tidak mampu berkompromi dalam soal hukum-hakam malah dia laju menelefon pihak tertinggi agama apabila terlibat dalam satu situasi darurat. Keadaan bertukar hodoh tatkala suatu hari Nader mendapati perempuan kampung itu cuai semasa menjaga bapanya lalu menempoh satu lagi birokrasi mahkamah buat dirinya yang di tuduh berlaku kasar sehingga Razieh keguguran.

Penulis juga pengarahnya, Asghar Farhadi mengarang plot yang rancu namun bijak dalam bermain bersama emosi penontonnya supaya peduli dengan karektor yang wujud. Semua mereka di beri ruang yang agak seimbang untuk membayangi watak-watak utama yang mesti tunduk dalam sistem sosial, etika, agama dan undang-undang. Dialog yang sarat ditawarkan filem ini terkandung maklumat yang perlu bagi kita menganalisis sendiri atau jika rajin boleh patah balik ke adegan tertentu yang merujuk kepada informasi dimaksudkan. Contohnya polemik sama ada Nader sudah tahu bahawa Razieh memang hamil sejak awal di ambil bekerja di sana atau pun tidak, mengundang prejudis dan persepsi kita yang berbaur terhadapnya. Begitu juga dengan kes kandungannya gugur itu yang di beri garapan suspen dan mendatangkan tekanan. Sehingga penamatnya kita akan prihatin dengan sandiwara yang berlangsung dalam A Separation ini kerana proses yang melibatkan dua isu tersebut walaupun kedengaran mudah, ia tidaklah senang untuk dihakimi.

Farhadi memotretkan hidup golongan kelas pertengahan Iran yang mendiami pangsapuri berdekorasi moden bergelut masalah dengan pihak yang tidak setaraf namun tahu hak asasi mereka. Mungkin sekadar tahu adalah tidak cukup kerana manipulasi dan akujanji bersilang semasa perbicaraan dijalankan. Menarik juga di lihat operasi mahkamahnya yang ringkas di kamar hakim yang sempit namun sibuk meladeni kes. Adalah paradoks kita cemas tentang nasib seluruh negara itu sedangkan penduduk di sana juga ada masalah domestik mereka sendiri. Farhadi merakamkan kemelut sebenar yang kita sedia fahami berkenaan itu secara subteks manakala penutupnya juga diserahkan pada penonton untuk diputuskan.

Tuesday, February 21, 2012

The Grey


Serigala: Ada oranglah! Buat man-chop pun sedap nih.

Setakat baca ringkasan cerita sepintas lalu saja aku sudah membuak-buak nak pergi tengok. Terpesona dengan ayat “terkandas di kawasan terpencil yang lebat bersalji serta di ancam serigala liar“ sudah cukup buat aku di pancing. Aku memang suka filem yang mengandungi unsur cara-cara manusia mencabar diri dengan alam sekitar yang megah serta kejam. Ia lebih bermakna lagi jika cabaran itu adalah disebabkan oleh takdir semulajadi dan menuntut pengorbanan bukan enteng. Draf filem begini walaupun kita pasti plotnya akan mengitar formula yang sama, tapi The Grey ada emosinya.

Sekumpulan pekerja carigali minyak yang menaiki pesawat untuk pulang telah terhempas di kawasan gurun salji tatkala di landa ribut dan cuaca buruk. Aku ingatkan keadaan geografi yang sukar itu menjadi halangan terbesar buat mereka yang terselamat. Rupa-rupanya memang serigala itu sendiri yang menimbulkan ancaman menggerunkan bagi mereka semua. Segerombolan haiwan tersebut memburu lelaki-lelaki malang tadi yang ibarat sudah jatuh di timpa tangga tanpa dijelaskan motifnya. Tak masuk akal pun ada jalan ceritanya sebab melampau sangat serigala terbabit ditonjolkan bernafsu pembunuh yang mutlak dengan kerap saja muncul walau di mana para survivors itu bergerak.

Aku juga tidak faham kenapa tidak ada pasukan penyelamat atau misi mengesan kapal terbang yang bersepai itu tiada dalam plot supaya nampak munasabah. Strategi mereka supaya keluar dari bangkai pesawat dan mengembara cari bantuan sendiri di lokasi yang membinasakan itu adalah langkah yang tidak berapa cekap pada fikiranku. Penulis filem ini memang sengaja menongkah logik demi membawa penonton merasai pahit-getir mereka di gasak bencana tak henti-henti terutama apabila serigala menyerang dari segenap sudut. Terpaksa aku membuat andaian bahawa karnivor itu memang suka membaham manusia walaupun tanpa sebarang provokasi.

The Grey hanya menyayat tatkala Liam Neeson terimbas kembali hidup silamnya yang damai tenang yang kontras dengan faktor alam semulajadinya sekarang yang serba beku dan cemas. Aku suka dengan masalah dalaman yang Neeson tampilkan pada raut wajah gejolak krisis dirinya yang mungkin beliau ada miliki hubungan psikik dengan serigala berdasarkan kariernya di sektor minyak itu. Beliau punyai karisma untuk menggalas peranan ini sedang usia meningkat namun tenaga tak kalah. Namun komitmen yang cemerlang itu tidak berbalas bahana sebuah jalan cerita yang lemah.

Sunday, February 19, 2012

Haywire

Jangan cuba rapat...

"Slownya filem ni," ngomel penonton di sebelah.Ya, aku setuju. Pada sela-sela filem ini berlangsung, memang ada peringkat yang perlahan dan ia sedikit merencatkan tumpuan. Aku bayangkan ia akan dipenuhi aksi pada skala maksimum dengan heroin kita tidak akan membazirkan masa kita untuk melihat beliau bertarung, memikul senjata dan mempamerkan skil pertahanan diri yang padu. Tapi kalau sekadar untuk menunjukkan itu semua tanpa di bantu corak cerita yang munasabah, kita cuma mendapat pengalaman wayang yang sifar. Haywire ada impaknya tetapi bagai ada yang kurang.

Pengarahnya, Steven Soderbergh kali ini mencuba genre baru pula apabila memilih cabang aksi lasak sebagai bahan filem. Paling akhir hasil arahannya yang aku tengok ialah Contagion. Ada persamaan antara filem itu dengan Haywire iaitu terdapat ramai pelakon kelas-A yang terlibat dalam kedua-duanya cuma Haywire mengemukakan barisan pelakon lelaki tersohor mengiringi persembahan Gina Carano seorang pakar mixed martial arts yang muncul sebagai wanita tunggal dalam cerita ini. Lagipun kebolehan beliau yang handal dalam acara seni terbabit memang perlu untuk tampil meyakinkan dalam babak demikian.

Memang nampak hidup kareograf adegan pertarungan yang melibatkan Carano dengan para lelaki yang ramai itu sehingga kita pula yang rasa sakit-sakit. Permulaan filem saja sudah mantap melihat beliau membelasah Channing Tatum yang secara tiba-tiba. Memang ada beberapa senario pergaduhan yang berlangsung tanpa sebarang klue jadi ia menuntut kita supaya waspada. Gabungan aksi Carano yang cekap berlawan dan jalan cerita yang tidak secara terus ia mampu menambah nilai produk ini. Tetapi yang penonton komplen tu pasal filem ini adakalanya agak sunyi dan lembab.

Carano memang mahir dari segi mempertahankan dirinya itu tetapi aku rasa lakonannya agak kayu. Di tambah dengan faktor suara bantuan yang terpaksa digunakan atas beliau bagi kedengaran kasar dan lebih tegas membuat itu semakin tidak asli. Karektor beliau yang menjalankan tugas rahsia suatu organisasi juga tidak mempunyai asas yang jelas. Beliau memang akan di tawarkan watak-watak stereotype begini untuk kerjaya seninya mendatang.

Friday, February 17, 2012

Chronicle

Helikopter: Eh, manusia tak perlukan kita lagi untuk terbang!

Filem yang di dakwa rakaman sendiri yang semakin kerap memenuhi pasaran wayang akhir-akhir ini terasa naik menyampah pula. Kita sangka mereka tidak puas untuk mendera deria mata dan mental kita dengan gaya kamera bergerak-gerak mengikut watak dan turutan aksi yang berlaku memberikan pencerita sudut pandang pertama. Tapi aku yang tidak serik kena torture dengan stail begitu masih meluap-luap semangat nak tengok Chronicle ni setelah menyaksikan trailernya. Ini kelihatan menjanjikan sesuatu, dengan budak-budak lelaki ada kuasa ajaib tanpa motif tertentu, mesti di tonton - detik hatiku.

Setelah menyaksikannya, aku mendapati yang cerita ini lebih sesuai dijalankan secara format biasa. Agak menyusahkan untuk enjoy jika fikiran kita asyik mempertikaikan beberapa adegan yang kelihatan tiada kamera di kawal atau posisi di mana gambar di rakam. Tetapi dengan fenomena youtube dan videoblog yang semacam wajib generasi sekarang untuk mengusung kamera di hulu hilir ia sekadar mengikut arus semasa bagi mereka semua merekodkan apa saja peristiwa dan maklumat peribadi. Filem ini menyertai sekian banyak produksi yang serupa dengannya seperti Rec, Paranormal Activity dan Cloverfield dengan mencetuskan elemen manusia ala adiwira sebagai subjek. Paling menarik apabila kuasa yang diperolehi tidak dibebankan dengan tanggungjawab spesifik. Menyelamatkan dunia, misalnya.

Aku pun pernah memikirkan perkara sebegitu jika tiba-tiba dikurniakan bakat luar biasa, perlukah di galas sekali tugasan tidak bergaji membantu umat manusia semesta alam? Tidak bolehkah jika anugerah di beri sekadar dilunaskan untuk kepuasan sendiri saja? Asalkan ia tidak memudaratkan sesiapa, kuasa yang ada dimanafaatkan mengikut citarasa individu. Begitulah yang mula-mula tiga remaja itu lakukan apabila mereka tidak semena-mena terserap adikuasa selepas meneroka sebuah lubang misteri di padang dalam gelap malam. Pelbagai aksi dan gaya yang mereka eksploitasi penangan magisnya elemen yang meresap dalam tubuh mereka sehingga variasi aktiviti di luar jangkauan akal dapat mereka kecapi. Betapa seronok tengok mereka bermain melayang-layang di atas awan begitu.

Namun hidup salah-seorang daripada remaja tadi yang selalu di rundung malang dan mempunyai masalah psikologi mendatangkan musibah akhirnya. Beserta kuasa yang terlalu perkasa dan konflik dalaman yang kronik, ia meledakkan ancaman yang memusnahkan sehingga seluruh bandaraya Seattle terlibat. Aku memuji filem ini dengan jalan cerita yang smart dan pelakon-pelakon tidak terkenal sebagai menguatkan konotasi found footage yang di label, kita percaya dengan penemuan kameranya. Bagai boleh di jangka bahawa filem susulan akan diteruskan selepas ini.

Tuesday, January 31, 2012

Underworld: Awakening

Melangkah bergaya kembali membinasakan jembalang tanah

Dalam bulan ini pun, ada sebuah lagi filem yang tajuknya mengandungi Awakening juga ditayangkan. Tapi aku tak tengok pula yang itu. Berdasarkan sinopsis yang aku baca, filem tersebut turut melibatkan unsur-unsur alam ghaib dan hantu. Manakala Underworld: Awakening ini, sudah pastilah membabitkan elemen puntianak, makhluk aneh dan aneka mistikal yang bersangkut-paut dengannya secara total. Ingatkan mereka sudah tidak lagi membuat sambungan filem ini setelah Underworld: Rise of the Lycans tidak mengembalikan Kate Beckinsale ke dalam francais itu. Namun polisi hasil yang menguntungkan wajar diteruskan menjadi pegangan, maka kita pun dapat mengikuti sekuel ini keluar. Malah ia lebih bermakna lagi apabila heroin bersut hitam melekap kita muncul semula untuk memuaskan peminat kental.

Kalau anda memang tak pernah langsung menonton Underworld sebelum ini, ada ditunjukkan recap kisah-kisah yang berlaku di siri terdahulu untuk menyegarkan kembali minda anda yang sudah tepu dengan perkataan puntianak atau serigala jadian. Walaupun secara ringkas, sedikit-sebanyak maklumat awal itu berguna untuk membuatkan anda sekurang-kurangnya peduli dengan malapetaka yang menimpa wirawati kita ini. Menonton Underworld edisi terbaru ini mengingatkan aku kepada Daybreakers. Persamaan dari segi dunia di kongsi oleh manusia biasa dan puntianak serta pembasmian makhluk macam ada mirip sikit-sikit. Gabungan realiti atas tanah bersama hidupan alam mistik tersebut yang terlihat mempunyai potensi jalan cerita yang boleh dikembangkan lagi berupaya untuk memacu minat penggemar supaya terus menantikan sambungannya kelak. Malah hint sudah di bagi pada akhir durasi tentang sesuatu yang melarikan diri daripada mereka perlu untuk di selesaikan dalam episod baru.

Underworld kali ini mungkin berjaya untuk mengembalikan kepercayaan terhadapnya setelah Beckinsale muncul semula bertarung dan membelasah setiap seteru yang ada. Tetapi watak Micheal yang pernah tampil dalam dua filem terawal walaupun turut hadir kali ini cuma ia sedikit ralat apabila pelakon asalnya Scott Speedman menolak untuk terlibat dalam versi terbaru ini. Kewujudan karektor anak kepada Selene (dilakonkan Beckinsale) dan Michael juga di lihat strategi untuk memanjangkan lagi usia produksi tersebut. Seringkali filem dengan genre begini akan keluar dengan jalan cerita yang boleh di tebak dan agak lazim. Jadi mereka mesti kareograf aksi lasak dan pertempuran yang lebih kreatif untuk menimbal kekurangan tadi.

Friday, January 27, 2012

Journey 2: The Mysterious Island


Bakat misteri sebidang dada

Hiburan adalah matlamat filem ini di tonton. Bukannya mahu sangat mengharap cerita yang bersungguh mantap dan padu di bikin. Sekadar melayan fantasi kembara sesuai si cilik ataupun yang dewasa berhati anak-anak dan tidak mahu serabut berfikir. Ini merupakan sekuel kepada Journey to the Centre of the Earth yang tidak kembalikan pelakon asalnya sama kecuali Josh Hutcherson. Mengangkat beberapa naskhah klasik novel advencer terkenal sebagai rangka, filem ini sesuai untuk menghidupkan imaginasi bagi sesiapa yang pernah membaca karya-karya yang didasarkan itu.

Kalau perasaan anda masih tidak dapat mengelak daripada membandingkan antara versi ini dengan filem pertamanya, sudah pasti yang awal itu lebih bagus. Sedangkan menonton dalam format biasa pun sudah melonjak naik ketakjuban melihat atmosfera di “pusat bumi“ dengan imej geografi dan hidupan serta marabahaya yang dicetuskan menerusi paparan cerita yang baik dan bertenaga. Manakala Journey 2 ini tidak begitu rancak cabaran pengembaraan yang para pelakon itu jalani sebab macam penulisnya malas saja nak reka bentuk cerita yang lebih menggemparkan. Namun tahniah buat mereka kerana tampil dengan idea teknik The Rock ajar anak tirinya mengorat melalui cara menggerak-gerakkan dada. Satu panggung tergelak besar.

Sebelum tayangan bermula, seperti biasa kita ditunjukkan dengan trailer beberapa filem. Dua yang aku tertarik ialah filem di ambil berdasarkan kisah dongeng barat popular. Pertama, Snow White and the Huntsman. Manakala satu lagi ialah Jack the Giant Killer. Dengan tajuk Show White tanpa tujuh orang kerdil dan Jack tanpa pokok kacang, kita saksikan sendiri ilham semula cerita rakyat dengan barisan pelakon terkenal serta bajet yang lebih banyak di beri sentuhan baru kali ini.

Wednesday, January 25, 2012

7 Khoon Maaf

Jenis: Dvd
Bahasa: Hindi/Inggeris
Genre: Drama/Misteri/Thriller

Menonton filem ini membuatkan aku teringat kisah Nek Wook. Bukanlah maksud aku jalan cerita dia sama sebijik macam tu cuma ia sinonim darihal perempuan berkahwin banyak tersebut. Beberapa berita dan info yang aku baca dari internet turut menokok satu-dua maklumat lain yang tidak dapat disahkan tentang sejarah perkahwinan warga emas itu yang lepas-lepas. Sehingga kepada rumahtangga beliau yang terbaru dengan lelaki tujuh puluh tahun lebih muda daripadanya, hidup nenek ini masih di landa masalah. Setelah berkahwin 23 kali, Nek Wook nampaknya belum lagi bertemu lelaki yang betul-betul boleh membahagiakannya.

Manakala Susanna Anna-Marie Johannes lakonan Priyanka Copra dalam filem ini pun juga mengalami rentetan majlis perkahwinan yang banyak kerana dilema yang sama. Dia belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai untuk dijadikan teman sehidup sematinya. Sehidup? Ya. Semati? Err... ada risiko yang melibatkan suami-suami Susanna jika dia mendapati kemudiannya bahawa hidup selepas mengahwini mereka tidak seindah yang diharapkan. Sejak kecil wanita kaya ini sudah kematian ayah maka dia mendambakan seorang lelaki yang bertanggungjawab untuk melindunginya. Tetapi kebanyakan pilihan yang jatuh ke tangannya adalah jenis berperangai buruk, bertopengkan haiwan dan ada muslihat.

Di petik daripada sebuah cerpen, 7 Khoon Maaf menyorot kronologi kehidupan wanita ini dan setiap perkahwinannya melalui kacamata budak lelaki gelandangan yang dijadikan anak angkat di rumah agamnya itu. Di awal cerita ditunjukkan adegan Susanna ini membunuh diri dan Arun, budak tersebut yang kini sudah dewasa dan menjadi doktor, melakukan bedah siasat ke atas mayat terbabit. Dia melakukan tugasan itu dengan penuh terseksa dan begitu banyak kecamuk melanda jiwa. Selama naratif filem berputar, semakin kita boleh memahami konflik emosi yang melanda doktor muda itu sejak daripada awal hidup bersama perempuan penuh citra yang selalu tersungkur dalam pemburuan cinta sedangkan kita tahu insan sebenar yang mampu menawarkan semua itu terbatas oleh situasi yang rumit.

Filem ini memang milik Priyanka yang telah membuat persembahan muktamad untuk menzahirkan watak wanita berkuasa namun goyah dan licik seperti Susanna. Tidak ketinggalan nama-nama gah pelakon-pelakon lelaki yang hadir ibarat cameo dalam hidupnya turut memberi sokongan seimbang. Paling cemerlang ialah aksi pelakon pembantu sebagai amah dan babu di rumah besar itu yang sangat menggerakkan jalan cerita. Dvd ini tidak menawarkan apa-apa tambahan selain bahagian bab lagu untuk anda ulang balik kerana lagu Russia itu sedap juga di dengar kembali.

Thursday, January 19, 2012

The Beaver


Jodie: Cute gak menatang Beaver ni
Mel@Beaver: Aku bukan binatanglah, aku puppet

Sesekali muncul idea yang pelik dari kilang filem tersohor dunia itu. Tetapi masih terasa rasional dan munasabah kerana digambarkan watak utama tersebut mengalami masalah tekanan dalaman yang kronik. Kalau orang Jepun atau Korea yang menggarap cerita macam ni, tentu lagi aneh dan tak karuan jadi hasilnya. Orang gila atau yang di sangka begitu boleh di eksploitasi mewujudkan kisah yang kuat. Apatah lagi bertepatan pelakon utama yang memerankan karektor ini pun sedang berdepan konflik kejiwaannya tersendiri di luar layar.

Jika kaitkan dengan kisah peribadi Mel Gibson yang pemarah dan kaki pukul ini, kita mungkin boleh menerima faktor mental yang kurang stabil itu seperti Walter Black yang di pegangnya (atau patung Beaver yang dalam genggamannya itu) bahawa itu semua adalah natijah kepada apa yang terjadi. Sebuah boneka perlu menjadi alat untuk mengesahkan kepada faktor psikologi yang dihadapinya ketika itu walaupun ia hanya bahan buangan dari tong sampah. Semua orang perlu dicerahkan dengan maklumat yang penting ini, keluarga, rakan sekerja hatta seluruh masyarakat secara umumnya sepatutnya harus bertoleransi dengan aspek minda yang kompleks dan lucu juga kadang-kadang sedangkan dalam hati rasa ganjil dan terkesima.

Walter wakilkan seluruh jiwa dan jasadnya kepada makhluk daripada keluarga tikus itu. Biarpun kita nampak beliau sendiri yang bercakap apabila beaver itu menggerakkan mulutnya (tangan Walter sendiri yang buat, of course) tetapi mereka yang disekelilingnya perlu terima kewujudan patung ini dan berinteraksi dengannya kerana Walter secara realitinya sudah hirap dan yang ada hanya watak puppet itu yang sahih lagi nyata. Kenapa susah sangat orang untuk mengakui bahawa beaver itu yang dominan di sini dan masih ingin bercakap-cakap dengan Walter juga? Apakah mereka semua sudah gila?

Kegilaan bukan warisan. Ini adalah trauma buat anak sulungnya Porter yang muncul sub-plot untuk membawa sisi lain persembahan ini. Nyaris tergelincir ke jurang nestapa, Porter membawa mesej optimis bahawa dengan sokongan moral yang wajar, sesiapa yang seolah ada potensi merosakkan diri, boleh bangkit kembali. Walau jengkel dengan pengakhiran manis bergula, well, kita semua mengharapkan akal waras sebagai imbangan jalani pancaroba hidup.

Friday, January 13, 2012

The Darkest Hour


"Jangan tembak! Kami hanyalah orang Amerika"

Filem ini mengumpan nama Timur Bekmambetov yang juga salah seorang penerbitnya sebagai faktor penarik penonton. Kalau anda memilih untuk menonton filem ini kerana pelakon-pelakonnya, tiada siapa sangat yang betul-betul superstar di sini kecuali beberapa nama yang biasa terlihat seperti Emile Hirsch (Speed Racer) dan Max Minghella (The Social Network). Atau anda terkesan dengan sinopsisnya yang berkisarkan ancaman makhluk asing ke atas planet bumi yang membawa kekacauan. Atau pun anda tertarik dengan sedutan trailer yang memaparkan beberapa aksi luar biasa manusia di cerna suatu entiti halimunan lantas menjadi lebur berdebu.

Jadi, Timur adalah proksi yang berkuasa di sini yang cuba mengalih perhatian arus perdana Hollywood dalam sebuah genre fiksyen sains bertemakan hidupan angkasa lepas ke Moscow, sebuah lokasi yang janggal untuk tema begini melainkan ia lebih sinonim untuk para antagonis, doktrin yang ekstrem dan tempat himpunan pengganas berkomplot menghancurkan dunia. Beliau yang mula-mula di beri perhatian ekoran inovasi yang diberikan terhadap karya sai-fainya Day Watch dan Night Watch yang memikat studio besar di situ untuk mendapatkan khidmat kreatifnya dalam projek mendatang. Setelah mengarahkan Wanted, Timur menyalurkan penglibatan lebih kecil di dalam The Darkest Hour yang hasilnya juga sekadar cukup makan tanpa sebarang pengisian baharu yang boleh dikecapi.

Aku salahkan pihak promosinya yang kemaruk sangat untuk menghamburkan segala kandungan yang menarik dan aksi getir dalam trailernya sampai kepada filem sebenar, sudah tidak banyak bahagian yang mengujakan tertinggal lagi. Imej fizikal hidupan di basmikan oleh lembaga ghaib itu memang faktor penggerak yang baik malah ia idea seram yang boleh diperluaskan kerana bertolak dari situ banyak potensi yang dapat dikembangkan menjadi satu cerita fantasi sains yang berupaya menakutkan.

Sebaliknya The Darkest Hour menjadi sangat klise dan terlalu cepat penyelesaiannya sedangkan pada permulaan makhluk kejam itu ingin mendarat, macam banyak saja jumlah mereka di angkasa. Sudah tentu kita mengharapkan para survivors kita ini berjuang secara maksimum untuk mengatasi musuh mereka dalam skala yang tidak terkira itu. Tapi penulisnya lebih memberatkan mereka supaya bertindak untuk lari ke kedutaan Amerika dan berharap mereka dapat tumpang berteduh. Aku fikir penulis memang sengaja ingin menyindir orang Amerika betapa di saat bumi di landa serangan makhluk asing paling binasa sekali pun, mana-mana premis yang mempunyai kepentingan Amerika adalah masih selamat dan sila bersegera memohon perlindungan di sana ya.

Tuesday, January 10, 2012

Maharaja Lawak Mega

Dalam pada tengah mencari idea nak tulis apa dalam blog ni, aku terbelek-belek beberapa draf tulisan yang pernah aku rangka tetapi aku tidak paparkan di sini, tiba-tiba terjumpa bahawa aku pernah tulis pasal Abon! Isinya ialah seperti di bawah berdasarkan berita bertarikh 30 Jun, tahun 2005.

“Tatkala membaca artikel tentang Abon dalam Utusan Malaysia hari ini (walaupun agak surprise mendapati dia sebenarnya bukan Jawa sementelah itu menjadi trade-mark beliau dalam lakonan – No, that’s not my concern here] apabila beliau memberikan maklumat seperti di bawah.

[Abon mula berlakon ketika bertugas di DBP pada 1979. Katanya, ketika itu setiap kali DBP menerbitkan buku baru, kakitangan DBP di minta menjayakan teater untuk mempromosikan buku tersebut.

Hari Terakhir Seorang Seniman dan Salina merupakan antara teater yang pernah dijayakan oleh Abon sepanjang dia bertugas di DBP.]“

Rasanya aku tulis artikel seciput tu pasal aku tertarik dengan kaedah DBP yang menganjurkan pementasan teater yang diadaptasikan daripada buku yang baru di lancar sebagai strategi untuk memasarkan buku tersebut. Tetapi aku tiada banyak input untuk mengembangkan tulisan itu lantas ia mati begitu saja. Namun memandangkan popularnya Abon sekarang sejak menang Maharaja Lawak Mega bergandingan dengan Os, ok jugalah aku ambil balik draf tu dan buat cerita pasal Abon.

Sebenarnya aku pernah buat entry pasal aku tengok show di auditorium DBKL pada 27 Julai, 2004 dan salah seorang artis yang di jemput ialah Abon yang bertindak selaku pelawak pada konsert itu. Memang aku puji aksi jenaka stand-up komedi yang beliau buat ketika itu kerana ia sungguh bertenaga, kelakar dan terkawal malah tidak perlu untuk bergaya slapstik atau mekap seperti wanita sebagai bahan. Bukan macam sketsa yang beliau persembahkan tatkala bertanding dalam program realiti itu yang saban minggu ada saja lawak berpakaian dan menjadi perempuan yang beliau dan pasangan tampilkan.

Di dalam satu interviu di buat dengan Abon oleh Astro, beliau menegaskan bahawa taktik berlawak dengan memakai kostum wanita dan berlagak lembut seperti itu kerana ia senang untuk mendapat perhatian penonton. Jadi mereka perlu aplikasikan tema begini supaya sokongan dan perhatian kepada tim mereka akan meningkat. Kalau buat komedi yang intelektual dan smart, bimbang orang tak boleh terima.

Aku harap bakal-bakal peserta Raja Lawak musim terbaru nanti tidak akan menggunakan strategi yang serupa untuk memancing undi kerana ia hanya akan merencatkan kreativiti dan pembentukkan minda yang progresif. Sepatutnya ada lebih banyak bidang dan genre jenaka yang dapat di teroka dan mereka boleh menggunakan platform ini bagi mendidik penonton untuk mengecap dan menghargai variasi komedi yang lebih berisi, kreatif dan berhemah. Jika stigma "Ini yang orang ramai mahu" terus dijadikan kayu ukur, kualiti lawak sebegitu hanya layak di sambut dengan senyuman sinis.

Tuesday, December 27, 2011

Mission Impossible Ghost Protocol

Dulu, semasa pawagam Imax masih bertapak di Berjaya Times Square, aku tak terfikir pula nak pergi menonton apa-apa filem di situ. Mungkin sebab mahal. Atau mungkin kerana aku tidak merasa perlu untuk mengikuti sebuah tontonan melalui skrin yang luas lebar dengan imej begitu jelas terperinci. Aku yang selalu gagap teknologi ini seakan sebal apabila kita kena bergantung pula kepada gajet dan perkakasan bagi menjual sebuah cerita yang sepatutnya sudah boleh berfungsi sendiri. Hanya akan merabakkan poket pengguna saja. Namun itu dulu. Kini aku sebagai peminat filem, patut juga menokok pengalaman bermesra dengan panggung yang di lengkapi peranti audio visual spektakular yang tiada seumpamanya di sinema lain. Misi itu terlaksana bersama ejen Hunt dan rakan sepasukan di dewan teater Imax TGV Sunway Pyramid.

Tatkala masuk saja terus terpukau dengan permukaan skrin teramat besar yang memenuhi dinding depan. Hanya agak mengganggu dengan kepala penonton hadapan jika mereka itu tinggi. Satu masalah TGV Sunway ni ialah tempat duduk mereka agak curam. Prestasi gambar bagi aku sama saja dengan format 2D yang terang nyata dan jitu kualitinya seperti pernah aku alami dulu. Cuma bezanya diameter layar yang melaut luasnya adalah bonus bagi mereka yang menonton secara Imax ini. Sistem audionya juga lebih berkuasa dan adakalanya rasa bergegarlah juga sikit kesan daripada muzik latar kuat pada adegan tertentu.

Ini merupakan siri Mission Impossible pertama yang sesetengah futej di rakam menggunakan kamera Imax. Menurut pengarahnya, Brad Bird menerusi format Imax, beliau percaya tahap aksi persembahan filem-filem Hollywood mampu melonjak kembali yang kian hilang akhir-akhir ini angkara penayangan filem di multiplex berbanding dalam bangunan panggung seperti zaman dahulu. Aku tak dapatlah nak berkongsi sentimen yang sama macam Bird sebab faktor utama yang membuatkan aku ke pawagam ialah mesti ia jenis cerita yang aku suka. Lokasi atau karektor panggung tu, ia tak menjadi hal. Mungkin sebagai pengkarya, beliau mahu mengecap sesuatu yang lebih utopia dalam seni krafnya. Lagipun MI:Ghost Protocol ini pula merupakan arahan pertamanya yang melibatkan orang hidup. Selama ini asyik dengan animasi.

Sebagai filem live-action yang pertama, Bird memang telah menjalankan kerja yang cemerlang. Ini mengingatkan kita dengan The Incredibles yang memuatkan tema serupa dengan sekumpulan perisik/superhero yang mahu menumpaskan penjenayah/saintis psycho. Tom Cruise telah kembali mengerah fizikal dan naluri melakukan lagak ngeri sendiri dan berlari (memang banyak berlari!) membuktikan usia meningkat bukan penghalang. Tapi aku baca dalam trivia imdb, membawa masuk Jeremy Renner adalah pra-perkenalan kepada ejen tersebut yang mungkin bakal mengepalai misi seterusnya jika Cruise berhasrat untuk aktif di belakang tabir saja. Terus-terang aku memang berpuas hati dengan instalasi terbaru serta di tambah pula dengan menontonnya di pawagam Imax. Suatu penutup hujung tahun yang wow.

Thursday, December 15, 2011

Festival Human Rights in Outer Space

Setelah membaca promosi dalam blog Fadz, minggu lepas aku pun ke Annexe, Pasar Seni untuk mengikuti filem-filem yang ditunjukkan sempena festival Human Rights in Outer Space anjuran Sisters in Islam & Centre for Independent Journalism. Walaupun selepas sesi tayangan ada diskusi dan dialog tetapi aku tidak tunggu sidang perbincangan itu. Jadi aku hanya dapat mengulas filem yang aku tengok itu berdasarkan pemahaman aku yang sekelumit ini. Sebelum wayang bermula, ada petugas menjaja kacang ngan yin manalah tahu ada penonton yang nak mengunyah sambil menonton.

Gie.

Sudah lama mendengar tentang filem yang hebat ini dan baru sekarang aku dapat saksikan. Mungkin apa yang bermain di fikiran sesetengah penonton apabila melihat babak si Gie ini berjalan kaki yang ala lenggang mak limah itu akan membuat andaian tertentu terhadap peribadinya. Apatah lagi digambarkan beliau seakan pasif terhadap perempuan dan adegan beliau dengan kawan karib lelakinya berlari-lari di gigi pantai kerap di imbas kembali. Ok, itu mungkin sudut atau latar lain aktivis ini yang mahu diketengahkan oleh penulis cerita yang ingin berkongsi segala sisi yang perlu kepada umum.

Jika anda hanya tahu sepintas lalu tentang sejarah pemerintahan Indonesia, maka naskhah ini seolah mengulang tentang secebis pengetahuan anda itu dalam bentuk dramatisasi. Kita di bawa menyorot susur-galur Gie atau Soe Hok Gie, lakonan Nicholas Saputra sejak dari kanak-kanak ke remaja hidup sebagai seorang Cina di negara tersebut yang begitu vokal dan tegas menyuarakan pendapatnya sama ada menerusi akhbar atau forum terbuka seputar ehwal politik setempat. Filem ini di pilih sebagai mengambil aspirasi daripada semangat Gie yang begitu lantang, proaktif dan kritis tatkala bergelar mahasiswa pada satu era yang sungguh mencabar di nusantara.



Inside Job

Filem ini akan lebih benar-benar berkesan jika anda mengetahui dengan mendalam tentang krisis kewangan yang melanda seantero dunia pada 2008 yang lepas. Macam aku yang hanya membaca maklumat dan mendengar berita secara sepintas lalu berkenaan isu tersebut, tentulah ia tidak berapa membantu tatkala menonton dokumentari berkisarkan konflik ini yang sarat info, data dan terminologi. Mungkin kalau ada sarikata ia sedikit mudah. Namun aku berbangga kerana berjaya menghasut dua orang kawan yang dalam kategori penonton tipikal filem-filem blockbuster untuk beralih selera sekejap dengan mengikuti dokumentari ini sampai habis. Walaupun mereka mengaku rasa terdera menonton filem ini, hey, sekurang-kurangnya mereka telah mendapat ilmu baru.

Ilmu yang di kongsi menerusi Inside Job ini adalah mengenai sektor kewangan, pasaran saham dan dunia bisnes yang melibatkan para pelabur, tokoh korporat, ahli politik, para intelektual, kerajaan antarabangsa dan firma terkemuka. Jadi, apa dan bagaimana kaitan mereka semua ini boleh menyebabkan ekonomi boleh menjadi merudum dan lumpuh? Testimoni dan penjelasan panjang lebar telah berjaya di perolehi dan ada pula individu terlibat yang enggan ditemuramah sekaligus bagai mensahihkan teori konspirasi. Namun situasi filem ini yang lebih menjurus kepada senario di Amerika yang masih berlarutan sehingga sekarang ibarat susunan domino yang kita tahu kesannya apabila jatuh satu maka jatuh semua.



The Stoning of Soraya M

Dengan tajuk berbunyi “The Stoning of Soraya M“, sesiapa pun akan timbul rasa intrig untuk menontonnya. Apatah lagi tatkala polemik hukum hudud sedang hangat berlegar sudah tentu ia sekurang-kurangnya boleh menjadi salah-satu medium bagi kita meninjau aspek komponen undang-undang ini di tafsir, di analisis dan di praktis oleh suatu kelompok masyarakat yang mendokongnya menerusi filem yang berdasarkan kisah benar ini. Sejauh mana insiden tersebut menepati kejadian asalnya, kita cuma mampu bergantung kepada mesej yang berjaya di seludup keluar oleh ibu saudara mangsa kepada seorang lelaki asing yang terkandas di pekan tersebut sehari selepas anak saudara perempuannya di rejam. Dan benarlah jika begitu bentuk simulasi hukuman tersebut dilaksanakan, memang kita akan gentar untuk membuat apa jenis kesalahan pun.

Tapi jika begitu pula proses dan prosedur undang-undang itu akan di kuatkuasa, ia pasti akan menimbulkan pertikaian, tohmahan dan salah faham. Kanun Islam itu telah di beri pendekatan yang sempit, lemah dan sungguh prejudis. Ya, aku bersetuju ia boleh dieksploitasi sebagai strategi kempen pilihanraya yang manipulatif. Di sebalik subjek tentang hudud dan eksekusinya, filem ini juga menjadi lambang emansipasi dua wanita iaitu emak dan anak saudara untuk bersuara dan berusaha lepas daripada strata adat resam setempat yang selalu diasosiasikan dengan hukum-hakam agama.

Sunday, December 11, 2011

The Dirty Picture

Melihat pada tajuknya yang kalau diterjemahkan menjadi Tayangan Gambar Kotor/Lucah, apakah agaknya yang bermain di benak akan kandungan filem ini jika kita tidak tahu-menahu tentang sinopsisnya? Posternya juga di kira agak provokatif untuk di pamer secara terbuka dan meluas sebagai tatapan masyarakat umum. Ia memang menjadi isu di sana apabila terbaca artikel yang aktres utamanya Vidya Balan akan dikenakan tindakan atas dakwaan berposing secara tunasusila pada poster dan promo yang boleh mencemar minda khalayak serta mendatangkan korup kepada penduduk. Dalam konteks komuniti di sana yang masih konservatif dan rigid apabila melibatkan aksi atau imej wanita, terdapat seorang aktres dengan beraninya telah melanggar benteng tabu untuk mencipta nama dengan cara yang tersendiri dalam dunia perfileman wilayah selatan India.

Dia yang dimaksudkan ialah Silk (lakonan Vidya). Sebuah nama pentas yang di beri secara spontan oleh seorang produser yang tertarik dengan bakatnya (atau badannya?) daripada cebisan futej yang telah di buang oleh pengarah filem yang merasa jengkel dengan adegan libasan cemeti yang membabitkan Silk di dalam produksinya. Namun pengarah tersebut, Abraham (Emraan Hashmi) yang digambarkan mempunyai hubungan suka-benci dengan pelakon berkenaan juga merupakan narrator kepada The Dirty Picture ini yang merekodkan kronologi kerjaya seorang pelakon yang begitu kontroversi dalam sejarah perfileman Tamil pada dekad 80-an. Abraham yang lebih cenderung kepada filem bercorak art-house tidak dapat berkompromi dengan kemunculan Silk dalam industri mereka yang tidak lebih sebagai gimik murahan pelaris panggung dengan kebolehan tidak seberapa cuma harapkan susuk tubuh menggiurkan sebagai daya penarik.

Aku yang memang tidak tahu menahu langsung mengenai kewujudan Silk Smitha ini hanya mampu berharap pada hasil tulisan Rajat Arora bagi menterjemahkan kehidupan seorang seniwati simbol seks di depan dan di belakang tabir yang di buat secara penuh dramatik seperti acuan filem-filem tipikal India. Dengan unsur tarian dan lagu yang masih terkawal serta suara latar Emraan yang menerangkan senario yang berlaku dalam nada berfalsafah, skripnya memang kuat kerana dialog yang padat berkias dan berisi, kalau secara realitinya memang begitu cara si Silk ini berkata-kata, memang boleh tersiat pedih mendengarnya. Apatah lagi tatkala berucap ketika menerima anugerah dalam satu majlis, memang dia menyelar habis-habisan kelompok insan seni di sana yang seakan terhina dan jelek dengan hadirnya dia dalam industri filem Tamil tapi masih berminat untuk mengeksploitasi khidmat serta pengaruhnya sama ada bagi aspek komersil atau pun keperluan peribadi.

Filem biografi ini memang bersifat universal bagi memotretkan jatuh bangun seorang anak seni yang bermula dengan taktik begitu manipulatif namun berkesan untuk dia mengejar cita-citanya. Ia mewakili sekian banyak manusia yang menaruh impian yang sama dan mencekup apa saja peluang yang ada serta mempertaruhkan apa jua hatta kehormatan diri sekalipun untuk bergelar bintang. Malah corak bisnes perfileman ini dijalankan juga sangat mirip dengan negara kita sendiri yang para produser ini begitu berorientasikan kutipan jualan tiket. Mereka tidak pedulikan dengan faktor seni atau filem yang berbudaya untuk di angkat sebagai bahan cerita sebaliknya dengan tampilnya individu seperti Silk yang sanggup mengangkang dan terselak depan kamera, itulah umpan mencari untung dengan prinsip dangkal mendakwa itulah sebenarnya hiburan, hiburan dan hiburan.

Friday, December 09, 2011

Petaling Street Warriors

Tengok ini kalau

1) Anda adalah peminat kental filem-filem karya James Lee

2) Anda curious nak tahu apakah benar Petaling Street dulu mempunyai pahlawan? Dan jika ada, macam manakah rupa gaya pahlawan tersebut?

3) Memang suka benar anda jika ada watak-watak lelaki berpakaian perempuan atau watak ala-ala nyah ni. Kelakar sangat dan anda akan gelak tak hengat bila melihat mereka muncul tak kiralah di panggung wayang atau di mana-mana

Jangan tengok ini jika

1) Anda tak boleh dengar nama Namewee. Apatah lagi nak menyokong sebarang media yang ada kena-mengena dengan nama itu. Pantang bebenor...

2) Anda ingin mengetahui asal-usul bagaimana Petaling Street boleh terkenal sebagai tempat penjualan barangan cetak rompak dan lain-lain komoditi pasar lambak

3) Anda bersikap perkauman

Wednesday, December 07, 2011

Happy Feet Two

Terasa macam ada sesuatu yang kurang pada Happy Feet 2 ini. Mungkin sebab segalanya telah dimuatkan dalam filem pertama jadi sudah tiada idea yang mantap lagi untuk di garap. Tentang isu pemanasan global yang menyebabkan habitat penguin tersebut terjejas turut di ulang kali ini cuma nampaknya ia menjadi plot utama untuk sekuel ini. Tetapi Ice Age 2 sudah melakukannya melalui senario zaman ais berakhir dengan lebih efektif. Malah beberapa topik yang serius dan relevan sudah di teroka menerusi Happy Feet terawal jadi apa yang tinggal untuk sekuel ini?

Tidak dinafikan betapa burung yang tak boleh terbang ini sangat comel, gebu dan sedap di dakap. Memang ketara para penganimasi itu telah melakukan kerja yang cemerlang dalam memperhalusi dan kemasan imej grafik filem ini supaya memukau pancaindera. Di bantu oleh muzik dan lagu yang boleh tahan catchy cuma ia tidak cukup kuat untuk diingati. Paling tidak boleh di terima ialah jalan cerita yang sungguh kering. Padahal filem susulan ini mengambil masa lima tahun untuk di sambung. Sempat saja kalau nak brainstorm dan gagas ilham sebanyaknya dan cipta sesuatu yang lebih segar melibatkan penguin-penguin ini.

Penonton baru mungkin boleh berseronok dengan kisah Mumble yang sudah berkelamin dengan Gloria sehingga di kurniakan seekor Erik. Masalah mungkin di situ kerana konflik yang mahu dicetuskan menerusi Erik ini sudah jadi tidak berbekas atau menyentuh hati. Berbanding dengan Mumble dulu yang begitu tragis dan penuh pancaroba yang dilalui bersama keunikan yang ada pada dirinya serta survival yang perlu kaumnya tempuhi adalah epik. Sedangkan Erik hidup di iklim kutub yang semakin merosot maka milieu mereka juga patut lebih katastrofe.

Mungkin motif sebenar mereka ingin menjual merchandise hasil karektor daripada filem ini dan produk-produk berkaitan dengan tujuan mendapat untung segera. Pedulikanlah untuk merangka plot yang lebih matang dan menjana minda asalkan ia boleh disiapkan kerana tradisi menghasilkan sekuel bagi filem animasi mesti diteruskan. Jika mereka ada niat untuk terbitkan bahagian ketiga pula nanti tanpa menitikberatkan isi cerita, eloklah jika ia dipasarkan terus dalam bentuk dvd.

Tuesday, November 29, 2011

Misteri Jalan Lama

Filem ini terperap hanpir dua tahun kerana ingin memperhalusi teknik imej janaan komputer yang diaplikasi pada beberapa adegannya. Hasilnya? Err... mungkin masih kelihatan amatur. Terutama akar-akar pokok yang menjalar itu. Inspirasi daripada Evil Dead? Dan hujan durian ketika di dusun yang tidak nampak sebati dengan latar. Namun semua itu boleh di pandang enteng. Cuma yang tak boleh blah pasal kostum mereka. Puak bunian yang di panggil kaum Nian tu, aku memang tak sanggup tengok pakaian yang digayakan oleh mereka semua tu. Terutama baju Que Haidar.

Siapa punya idea pakai persalinan mirip baju besi perang salib dengan replika tetek di dada dan siap ada pusat bersama perut buncit? Sangat kelakar dan pening. Diserikan pula dengan kain pelikat ala songket sebagai samping sebagai memberi penghormatan kepada dunia Melayu agaknya. Dastar yang dipakai juga tidak terserlah kehebatannya kerana nampak murah. Serba-serbinya busana perang mereka memang kelihatan lekeh dan merungsingkan.

Hanya puak Ghaul yang sangat berjaya dengan mekap dan kostum penjahat meyakinkan bahawa mereka memang lahabau. Juga shot-shot kemunculan seimbas lalu beberapa bayangan ngeri yang menimpa watak utamanya juga berupaya menakutkan. Sebenarnya orang kampung tanpa muka itu pun tidak kurang seramnya. Jadi, adakah Misteri Jalan Lama ini lebih berkuasa sebagai filem seram atau filem alam fantasi? Aku lebih suka jika ia boleh berdiri sebagai cerita hantu daripada menjadi kisah dunia kayangan atau sai-fai umpama Jula-Juli Bintang Tiga atau Anita Dunia Ajaib.

Aku respek dengan Afdlin Shauki kerana ingin memperluaskan portfolionya dengan mengarah filem genre begini. Tetapi apa salahnya jika Misteri Jalan Lama ini boleh diberi sentuhan filem seram yang tak kisahlah jika ia terikut-ikut dengan arus pasaran tempatan kerana ketara ia lebih berpotensi ke situ. Lebih-lebih lagi tajuknya sendiri sudah memberikan tonasi yang ia bakal meremangkan bulu roma. Penonton yang terpedaya dengan judul filem yang ada misteri itu mungkin akan merengus tak puas hati.

Sunday, November 20, 2011

My Brother's Summer

Permulaan filem ini agak mendadak sampai aku ingatkan pemain dvd gsc tu rosak atau apa. (Ya, untuk tayangan slot filem-filem Eropah ini, mereka gunakan dvd player macam di rumah kamu semua itu). Tiba-tiba saja keluar adegan budak-budak berebut pistol dan seorang emak memarahi anaknya dan menyuruh dia berkongsi saja senjata mainan tersebut. Dalam pada itu, di selang-seli dengan kredit pembukaan yang membuatkan kita yakin bahawa filem terbabit berada di landasan yang betul. Aku telah membaca terlebih dahulu sinopsisnya dan aku tahu ini memang ceritanya yang akan aku suka.

Sergio adalah seorang anak tunggal yang memiliki alam yang tersendiri di dalam kepalanya. Dia akan menzahirkan hampir apa saja situasi atau aktiviti yang berlaku di sekelilingnya mengikut interpretasi yang dia mahu. Dan selalunya ia sangat komikal dan comel. Contohnya apabila dia mengangkut tangga ke halaman di waktu malam dan berlakon turun dari tangga itu perlahan-lahan berlagak gaya seorang angkasawan yang sedang dalam misi mendarat di bulan. Terbaik. Cuma adakalanya imaginasi itu bertukar menjadi ekstrem bergantung kepada faktor semulajadi yang tercetus misalnya tatkala ibunya baru saja lepas keguguran dan itu merenggut emosi paling dalam bagi dirinya sehingga aku rasa aksi kreatifnya itu tidak berupaya lagi di dakwa sebagai cute sebaliknya ia menjadi sadis dan morbid.

Memang My Brother’s Summer ada berlapis humor gelap yang menuntut penonton mendekati seorang kanak-kanak yang di label sebagai anti-sosial hanya kerana dia kelihatan kurang mesra atau jarang terlibat bersama rakan sebaya sebaliknya lebih banyak bersendirian dan asyik beraksi bersama teman halimunan. Beberapa karektor dewasa yang berpusing di sekitarnya seperti ibu bapa dan saudara-mara kelihatan berperanan seperti orang tua yang normal dan membentuk anak itu seperti asuhan yang biasa layaknya dengan sesekali marah dan sayang serta prihatin macam sebuah keluarga yang lazim. Filem Itali ini bergerak pada skop keluarga kecil itu yang di landa konflik yang juga kecil skalanya walau isunya boleh jadi serius jika ia menjadi luar kawalan cuma pendekatan yang diambilnya membuatkan ia lebih realistik.

Budak yang menjadi Sergio itu memang berjaya sebagai kanak-kanak penyendiri yang lebih suka tenggalam dalam dunia fantasinya. Dia yang walaupun tidak berapa betah bergaul tetapi apabila berada di sekeliling sebilangan orang, masih sanggup menawarkan interaksi yang ikhlas dan menyenangkan. Sampai kita menganggap yang dia menyarung beberapa topeng pada mukanya untuk disesuaikan pada keadaan supaya itu membuatkan dia di terima walaupun dalam benaknya asyik membayangkan yang bukan-bukan. Filem dengan kapasiti mengungkap kejiwaan si cilik yang di sangka polos namun mampu menjadi bom jangka.

Thursday, November 17, 2011

Immortals

Sebelum anda dapat melihat beliau menjadi lelaki keluli, kenali dahulu beliau sebagai lelaki mitologi dalam Immortals. Pengarah Tarsem Singh memperjudikan nasib mengemukakan Henry Cavill, thespian paling malang di Hollywood yang selalu gagal dalam ujibakat untuk memegang peranan sebagai pahlawan legenda Greek, watak utama untuk filem barunya itu setelah agak lama tidak keluar dengan apa-apa produk. Tidak tersangka pula selepas itu Cavill berjaya dalam percubaan buat kesekian kalinya bagi bergelar superman apabila karektor adiwira itu akan menjalani reboot untuk tayangan 2013. Nama tersebut tiba-tiba menjadi strategi pemasaran tidak langsung bagi Immortals menarik khalayak berpesta darah dan keringat dalam sebuah lagi epik pedang dan sandal.

Aku tahu nama Tarsem ni bila seorang kawan yang giat mempromosi The Cell suruh aku tengok kerana baginya filem itu sungguh unik bersemarak warna, kaya fantasi dan rekaan set yang tinggi imaginasi. Apabila beliau membuat kemunculan kembali dengan Immortals ini kita boleh jangka tona filem ini juga akan sarat dengan trade-mark beliau yang segala-galanya kelihatan serba megah. Mungkin juga ini sebagai mengambil inspirasi atau penghormatan bagi produksi negara asalnya yang terkenal selalu ekstravaganza dan penuh dramatik.

Filem ini bersandarkan pada metos yang di olah secara liberal, menggunakan beberapa nama dan peristiwa yang mahsyur dalam hikayat sebagai lesen untuk mereka merangka sebuah kisah yang sepatutnya maskular. Selain tubuh Theseus (Cavill) dan lain-lain watak yang peragakan otot perkasa, sayang sekali ceritanya tidak begitu. Ia mendapat hentaman yang teruk kerana tafsiran semula yang melulu dan plot terlalu biasa serta dialog tidak berbekas yang boleh di buat slogan terutama ketika Theseus memberi kata-kata perangsang kepada askar-askarnya sepatutnya ada ucapan yang dapat dijadikan tagline. Malah tiada apa dalam Immortals dapat diingati selain keghairahan Tarsem bermain dengan aspek visual supaya ia kelihatan bergaya dan di luar dari dunia ini.

Lakon layar filem ini di tulis oleh adik-beradik Charley dan Vlas Parlapanides yang berketurunan Greek sendiri yang mungkin secara tiba-tiba mendapat ilham lantas menceduk beberapa naratif klasik yang mereka tahu lalu menggabungkannya menjadi satu metos lain yang hanya mereka faham rasionalnya. Di saat negara itu sekarang yang sedang di ancam muflis angkara kewangan merudum mengandaikan bahawa pada realitinya mereka juga mahu menulis balik cara mengendalikan ekonomi mereka supaya krisis tersebut tidak berlaku. Jadi dengan mengambil jalan mudah, Immortals bolehlah juga dijadikan motivasi supaya rakyatnya kekal bertahan menghadapi kemelut ini supaya mereka kebal dan boleh hidup lama untuk mengatasinya walaupun hasil akhir filem itu sendiri tidaklah memuaskan.